JABATAN Amal Malaysia telah menjangkau 26 tahun umurnya. Ditubuhkan pada 1991 hingga kini bergerak berkhidmat buat jamaah dan ummah.

Jabatan Amal menjadi bukti sebuah ketumbukan jamaah yang berdiri ikhlas dengan disiplin dan izzah mempertahankan jamaah serta berkhidmat tanpa mengenal erti penat lelah.

Anggota Amal yang merupakan ansorullah wajib dilatih dan disediakan bukan sahaja dari sudut disiplin tetapi dilengkapkan:
i) Kesatuan Fikrah
ii) Ribat jiwa, amal dan ukhuwwah
iii) Kukuh hubungan dengan Allah SWT

Justeru, Anggota Amal perlu dihiasi dengan "muwasofat Amilin" yang jiwa mereka senantiasa membuak-buak untuk melunaskan arahan jemaah dan kepimpinan. Cermatilah kalam dengan wahyi, hujanilah qalbu dengan Allah, ianya membuka seribu langkah keikhlasan mengintai mardhotillah.

Bagi pihak kepimpinan DPPNS kami mengucapkan jazakumullahu khairan atas khidmat kalian pada muktamar baru-baru ini. Moga Ribat 3.0 akan mengikat hati kita semua untuk terus istiqomah memperjuangkan agama Allah SWT

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Surah Muhammad: Ayat 7)

Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
9 Syaaban 1438H | 6 Mei 2017

HARI ini 6 Mei 2017, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta pesuruhjaya negeri bagi sesi 2017-2019.

Bagi Negeri Selangor, peringkat Dewan Pemuda merakamkan setinggi penghargaan atas lantikan pesuruhjaya negeri yang baharu iaitu YB Ustaz Sallehen Mukhyi. Pemilihan yang dibuat sudah pasti menjurus ke aras persediaan untuk menghadapi Pilihan raya Umum tidak lama lagi.

Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada YB Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan mantan pesuruhjaya negeri dan AJK BPPNS bagi sesi lalu yang telah melaksanakan tugas dengan amat baik.

Besar harapan kami Pemuda Selangor,  agar Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri yang akan dibentuk selepas ini adalah ahli jawatankuasa yang akan meningkatkan secara maksimum gerak kerja pilihan raya sekali gus menjadi benteng utama perjuangan PAS di bumi Selangor ini.

BERSIAGA MENUJU FATHU

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
9 Syaaban 1438H | 6 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 6/5/2017

PAS mengajak ke arah membina sebuah negara yang sejahtera dengan Islam. Semua bangsa dan agama akan diraikan dan dilindungi di bawah sistem Islam. Sebagaimana kita menerima hakikat bahawa wujudnya kepelbagaian bangsa adalah ciptaan Allah kepada mahkluknya, begitulah juga kita menerima hakikat bahawa manusia ada pelbagai pegangan dan kepercayaan agama. Menghormati kepercayaan orang lain adalah perintah agama dan dalam masa yang sama kebenaran Islam mesti disampaikan kepada seluruh manusia. Tetapi tiada paksaan sesiapa pun untuk memeluk Islam.

Insiden kes pukul di masjid yang baru berlaku hanya sekadar kes terpencil yang tak perlu diapi-apikan sehingga nyalaannya marak membakar sentimen perkauman dan keagamaan. Tiada siapa yang akan untung akhirnya.

Ianya boleh diselesaikan secara damai dengan melihat kepada punca kejadian tanpa diseret dengan emosi dan luapan kepanasan yang tak perlu.

Mungkin laluan kereta Camry itu terhalang. Tapi bertindak membunyikan hon secara tak wajar boleh ditafsirkan orang bahawa pemandu kereta sengaja menimbulkan provokasi yang tak perlu. Tambahan pula di situ tempat ibadat. Kalau ada pemandu Islam yang membunyikan hon bertalu-talu depan gereja pun tetap tak wajar sama sekali.

Kalau pemandu Camry tersebut memang tinggal berdekatan dengan masjid yang berkenaan, tentu dia sedia maklum, orang Islam bila sedang solat, kamu tekan hon macam mana sekalipun, orang tak akan berhenti solat sehinggalah selesai. Lantas perbuatan tekan hon berkali-kali memang ada unsur provokasi dan gangguan yang tak wajar. Apatah lagi bila disusuli dengan kata-kata yang tak manis terhadap para jemaah. Seseorang perlu menasihatinya supaya lebih bertolak ansur dan belajar menghormati agama orang lain.

Sangat baik kalau dapat diadakan pertemuan susulan antara pihak masjid dan pemandu Camry tersebut. Saya yakin segalanya akan dapat diselesaikan dengan cara yang paling harmoni. Ada sikit sebanyak salah faham, boleh sama-sama berlapang dada demi keharmonian dalam masyarakat. Tak ada siapa yang untung andai hidup saling membenci.

Islam tak pernah anti dengan mana-mana kaum kerana kita semua anak cucu Nabi Adam belaka. Bila kita asalnya dari Datuk yang sama, maknanya kita adalah 'worih-waroh' belaka. Sama-sama hidup menumpang atas muka bumi Allah. Saling kenal mengenal dan saling memerlukan antara sesama kita. Lantas apa perlunya permusuhan. Islam jangan diganggu gugat dan kita orang Islam memang tak ganggu orang lain.

Mari bersama kita hidup sejahtera di bawah naungan Islam. - HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

1. SAYA membaca kenyataan tuan di dalam laman Malaysiakini yang mendakwa bahawa PAS telahpun sesat daripada perjuangan politiknya apabila mengisytiharkan bahawa DAP adalah musuh utama. Ia disiarkan di dalam pautan berikut: https://m.malaysiakini.com/news/380900

2. Suka untuk saya membuat sedikit pencerahan kepada tuan bahawa kenyataan tersebut tidaklah disebut oleh mana-mana pimpinan utama di atas pentas muktamar PAS. Ia hanyalah kenyataan yang disebut oleh salah seorang perwakilan sahaja dan tidak bererti ia merupakan pendirian parti. Muktamar PAS berjalan dengan semangat demokratik dan membenarkan para perwakilan melontarkan pandangan tanpa perlu menggelarkan dirinya sebagai parti demokratik.

3. Namun, apabila tuan menyatakan bahawa PAS telah 'sesat' semata-mata kerana mengganggap DAP sebagai musuh utama, maka ia memerlukan kepada sedikit pembetulan. Hakikat yang sebenarnya, tuanlah yang telah sesat sebelum ini sehingga turut sama mengheret beberapa pihak yang sebelum ini di dalam PAS untuk ikut sama tersesat.

4. Bukankah tuan yang pada 18 November 2015 menyatakan bahawa "Supporting PAS now is the same as supporting Barisan Nasional (BN), a vote for PAS is a vote for BN.."? Kenyataan itu disiarkan oleh pelbagai media massa, antaranya di pautan berikut: http://m.thesundaily.my/node/338411

5. Sekali lagi pada 16 Mac 2016, tuan mengulangi kenyataan di atas dengan berkata,  "a vote for PAS ia a vote for Umno.." ketika mengulas gagasan sejahtera yang diumumkan oleh PAS bersama Parti Ikatan. Ia tersimpan kemas di pautan berikut: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/a-vote-for-pas-is-a-vote-for-umno-guan-eng-suggests-as-new-pact-forms

4. Menyifatkan bahawa mengundi PAS sama dengan mengundi Umno secara realitinya telah mengisytiharkan PAS sebagai musuh kerana bukankah selama ini tuan tidak pernah berganjak dari menyatakan bahawa Umno ialah musuh utama? Bermusuh dengan Umno sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin PAS sepentas dengan pemimpin Umno (walaupun tuan sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan).

5. Itu belum mengambil kira pelbagai serangan yang ditujukan oleh tuan kepada PAS ketika kehangatan PAS bermuktamar. Bukankah tuan yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada ketika kita masih bergelar 'rakan'? Bukankah itu nama tikam belakang ketika seluruh ahli PAS sedang menumpukan perhatian untuk bermuktamar?

6. Tuan,  'better to have an enemy who slaps you in the face than a friend who stabs you in the back..', memiliki rakan seperti parti tuan yang terkenal dengan 'arrogant' adalah satu langkah yang amat merbahaya dan berisiko.

7. Padahal, PAS tidak pernah menyatakan sokongan kepada Umno/Barisan Nasional kecuali kebersamaan terpencil dalam isu-isu tertentu sahaja. Ucapan-ucapan para perwakilan menyatakan tidak setuju dengan dasar kerajaan Barisan Nasional jauh lebih banyak daripada menjadikan parti tuan sebagai sasaran.

8.  Percayalah, akan tiba masanya parti-parti yang berada di dalam Pakatan Harapan akan menyatakan tdak selesa mereka dengan parti tuan menjelang pilihan raya umum nanti.  Jika tuan masih berada di luar pada masa itu, tuan akan membenarkan telahan ini.

9. Selamat berjuang, our true enemy!

Ahmad Fadhli Shaari
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
2 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 2/5/2017

DALAM ucapan sulung saya selaku Ketua Pemuda baru yang dimanahkan di Muktamar ke-63 ini, DPPM ingin mempertegaskan bahawa Pemuda berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama yang telah membuktikan kelangsungan PAS melalui pelbagai rintangan dan ujian sama ada dalaman mahupun luaran. Meskipun di luar sana terbit suara-suara yang memandang sinis PAS sebagai Parti Pak Lebai namun dalam muktamar ini jua kita nak beritahu bahawa Parti Pak Lebai inilah yang terbukti bersih daripada kekotoran politik sekular duniawi semata-mata. Sesungguhnya Parti Pak Lebai inilah yang telah berjaya 'melebaikan' golongan profesional dan aktivis dan Parti Pak Lebai inilah yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam dalam negara kerana manhaj politik PAS adalah manhaj politik Islam yang meletakkan Islam di hadapan dan tidak meletakkan akal semata-mata apatah lagi hawa nafsu di hadapan.

Perkaderan du’at dan mujahid dakwah adalah mauduk utama yang digalaskan ke atas DPPM. Kami dalam DPPM juga ingin mempertegaskan di sini untuk terus memperkasakan agenda-agenda perkaderan dan pentarbiyahan yang menjadi sendi terpenting kepada PAS sebagai sebuah Gerakan Islam. Alhamdulillah dengan lahirnya SRITI yang dipelopori oleh YB kekanda Ustaz Nik Mohamad Abduh maka ia berjaya meneruskan kesinambungan PASTI yang telah membuktikan kejayaannya dalam melahirkan anak-anak yang mendapat pendidikan Islam yang sebenar. Kami juga akan memberikan perhatian bagi memperkasakan Jabatan Remaja (13 - 17 tahun) sebagai elemen yang baru dilontarkan untuk memperkemaskan lagi saff Pemuda. Insyaallah perkara ini akan dijenamakan (rebranding) semula bagi memastikan gerak kerjanya lebih tersusun dan efisyen.  

Meneliti Ucapan Dasar Tuan Guru Dato’ Seri Presiden serta pimpinan yang lain, menelusuri bahasan setiap Perwakilan, dari Dewan-Dewan ke Negeri-Negeri, dapat kita fahami detik nadi, intipati dan hasrat naluri setiap ahli dan pimpinan. Kita juga saling memberi ucapan, melontar idea, mengemuka dan membahas usul, mengetengahkan persoalan dan dalam setiap dua tahun di mana kita sama-sama memilih barisan kepemimpinan baru untuk menerajui bahtera jamaah. Dan dalam setiap tempoh waktu berakhirnya muktamar, kita akan membina resolusi baru, membina azam dan tekad untuk sidang tahun perjuangan yang mendatang. Rata-rata pembahas dari kalangan pemuda menunjukkan PAS tidak ketandusan pimpinan pada masa akan datang

DPPM menyedari bahawa sasaran dakwahnya dan medan tempur utamanya ialah anak-anak muda yang begitu lunak didedahkan dengan pelbagai godaan 'fake news', cabaran dunia digital tanpa sempadan, pendedahan kepada pelbagai aliran pemikiran bukan 'mainstream'. Aliran-aliran sesat ini kembali meracuni pemikiran mereka akibat serangan idea-idea liberalisme dan sekularisme yang berselindung di bawah pelbagai NGO yang didokongi parti-parti anti-Islam mainstream di samping mendapat sokongan dana luar biasa dari luar yang memang menunggu detik dan saatnya untuk menghancurkan segala usaha pendaulatan Islam di Malaysia sebagaimana yang telah berlaku dalam episod Arab Spring di kalangan negara-negara Islam Timur Tengah, rampasan kuasa di Turki dan terkini cubaan cabaran terhadap merampas kuasa politik lslam di Indonesia.

Demi sesungguhnya, kita kini sedia menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan pilihanraya ke-14 kali ini dijangka cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok  besar: satu kelompok yang mahu memartabatkan Islam dan satu kelompok lagi yang tidak mahu Islam dimartabatkan. Saya ingin mempertegaskan di sini bahawa DPPM berdiri teguh di belakang saff pimpinan bagi melaksanakan agenda memartabatkan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan Matang dan Sejahtera yang diambil oleh PAS sekarang ini. Pendekatan ta’awun ‘ala al-birr wa al-taqwa dan tidak berta’awun ‘ala al-ismi wal-’udwaan adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Quran dan al-Sunnah.

​Demi merealisasikan hasrat ini, kita mesti bersedia mengubah minda rakyat jelata untuk benar-benar memahami misi dan visi kita dan apakah bentuk lanskap politik yang akan kita bina jika kita berjaya diamanahkan kepimpinan di Negeri-Negeri dan beberapa kerusi penting Parlimen. Pengalaman PAS di Kelantan dan Negeri-Negeri yang kita pernah perintah sebelum ini mesti kita manfaatkan sepenuhnya sebagai blue print asas dengan pembaikan untuk kerajaan-kerajaan baru yang akan kita bina kelak, dengan izin Allah SWT. Hanya dengan cara bekerja yang betul, mengatur langkah cermat dan menyeluruh, pandai membaca taktik musuh dan seumpamanya akan membuahkan hasil yang kita ingini. Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihanraya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki kemenangan melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita terima.

PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihanraya sebagai salah satu uslubud-dakwah berdasarkan manhaj al-Quran dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 sehingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU 14 DPPM telah meletakkan satu objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60% undi orang muda di setiap DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS. Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka perlembagaan sedia ada. Maka dengan ini, sebagai sayap kanan parti, insyaallah DPPM akan menggerakkan seluruh jentera pemuda daripada sekarang bagi menghadapi PRU ke-14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.

DPPM mengambil 'queue' daripada barisan kepimpinan ulamak untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU ke-14 adalah berdiri sendiri dan bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk mewujudkan Gagasan Sejahtera sebagai Blok Politik Ketiga dan berhadapan dengan Blok Pertama Umno dengan Barisan Nasional (BN)nya dan Blok Kedua DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH)nya.

Jangan kita anggap ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 sehingga kini menerusi sistem pilihanraya sebagai tanda kita berada di landasan yang silap. Demi sesungguhnya, beringatlah bahawa kita tidak ditanya oleh Allah SWT tentang hasil dakwah kita tetapi kita akan dipersoalkan apa yang kita buat semasa umur muda dan tua kita.

Akhirul kalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengakhiri Ucapan Pengangguhan Wakil Pemuda dalam Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah Darul Aman kali ini dengan mengungkapkan bait-bait doa dan munajat ringkas berikut:
Dengarkanlah Azam dan Tekad Pemuda-Mu ini
Berbekal Iman, Jihad dan Taqwa kita laungkan
Saff Pemuda yang kita persiap-siagakan,
Bersama-sama kepimpinan ulamak yang kita sepakati
Badai dan lautan siyasah kita renangi
di bawah Lembayung al-Quran dan Sunnah kita teduhi.

Penuh khusyuk takzim mengharapkan Nasrullah-Mu
Munajat doa kami panjatkan ke hadrat-Mu, Ya Ilahi
Janganlah Kau lupakan kami, Ilahi Rabbi
Dalam kesempatan Muktamar ini kami akur-janjikan
Pantang Melayu – Agama, Adat dan Raja dialpakan
Tiga Tiang Seri leluhur sejati kita sanjungi
Merafak sembah sujud kami hanya kepada-Mu

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 1/5/2017

TANAH jelapang padi bersimbah dengan cahaya keperakan mentari pagi yang indah menyambut kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar DPPM kali ke 58. Hujan lebat semalaman sebelum muktamar telah membuah udara segar, sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Dengan warna ungu sebagai tema muktamar kali ini, pimpinan dan para muktamirin kelihatan segak bergaya. Menguntum senyuman para petugas protokol menyambut hadirin yang memenuhi khemah besar muktamar di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Muktamar Dewan Pemuda semenjak keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS di medan operasional. Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.

Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin  menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang bergraduat daripada Universiti Aligagh India ini telah berjaya membawa PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan pada pilihan raya tahun 1959.

Dewan Pemuda PAS Pusat menerjang badai yang bukan kepalang dalam dekad 1960-an dengan kewujudan pemuda tahan lasak UMNO. Program dan pemimpin PAS diganasi anak-anak muda muda UMNO, sehingga pemuda PAS merespons dengan gerakan Pemuda Syuhada. Ketua Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul Mianji mati ditetak dengan kapak kecil di tanah serendah sekebun bunga. Haruman darah inilah yang membugar semangat anak-anak muda PAS di sepanjang zaman.

Dewan Pemuda dalam dekad 1970-an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Datuk Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah.  

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah  Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS selama berdekad-dekad selepas itu. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI, memotori pendidikan menengah Islam dan juga peringkat kolej universiti yang disempurnakan oleh Dewan Ulama.

Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat indah pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik.

Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.

Dewan Pemuda PAS yang menghampiri enam dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh serta dikucilkan oleh jentera regim. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak "kain batik", berada di zon selesa serta manja dibelai.

Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah, mara menuju cita!

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Malaysia.

1. PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang telah meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan serius dari hukuman disiplin melampau seorang pembantu warden di sekolah Almarhum.

thaqif2. Dilaporkan bahawa pembantu warden tersebut yang mempunyai rekod jenayah lampau, sedang ditahan reman.

3. Meskipun kes ini mengundang emosi namun sikap kita seharusnya mengelak untuk menghukum tanpa bicara. Apa yang wajar ialah doa buat Almarhum adik Thaqif dan agar keadilan segera terlaksana. Berdasarkan respons tuntas Ketua Polis Negara, kita meletakkan keyakinan kepada PDRM untuk memuktamadkan siasatan dengan cepat dan betul.

4. Sudah tiba masanya juga suatu sistem saringan diwujudkan sebagai pusat rujukan sehenti para majikan memeriksa latarbelakang pekerja yang ingin diambil khususnya bagi organisasi yang terlibat dalam sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

5. Kerajaan sudahpun mempunyai sistem e-Tapisan yang menyaring pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat di dalam perkhidmatan awam. Sebagai cadangan, sistem e-Tapisan ini boleh diperluas kepada sektor swasta terpilih bagi meningkatkan kualiti saringan pengambilan pekerja sekaligus mengurangkan individu berisiko tinggi dari berkhidmat di dalam sektor kritikal seperti di sekolah-sekolah.

Al-Fatihah untuk Almarhum adik Thaqif.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

SEMALAM ada pertemuan AJK Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Subang. Persoalan yang sama diajukan kebelakangan ini di tempat-tempat lain iaitu berkenaan dengan maksud dan makna Syura.

Hari ini biasa kita dengar Syura vs Demokrasi sedangkan dari segi syariat dan perlembagaan PAS, ianya jauh daripada kebenaran. Dengan kata lain, Syura diertikan veto dan demokrasi diertikan pemilihan. Maksud syura seperti ini adalah tidak bertepatan dengan Syura yang dimaksudkan di dalam kitab fekah sebaliknya ia lebih mirip kepada maksud istibdad dan Al-Qahru (veto) yang disenaraikan sebagai berlawanan dengan maksud Syura menurut fekah Islam. Silap faham ini jika berterusan tanpa pembetulan boleh membawa kepada PAS menjadi sebuah parti yang autokrasi.

Syura dari segi maksud dalam bahasa arab dengan istilah Fekah dan pelaksanaannya tidak jauh berbeza. Syura dari segi bahasa dengan maksud mesyuarat dan berbincang. Dari segi istilah ia bermaksud pelantikan pemimpin yang terdiri daripada dua komponen, iaitu ijab (pencalonan nama) dan qabul iaitu penerimaan oleh wakil masyarakat yang dikenali sebagai baiah.

Kedua-dua komponen ini wujud di dalam perlantikan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun, bermula daripada pencalonan dan diakhiri dengan qabul (baiah). Teknikal pencalonan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun berbeza-beza, di mana pencalonan Saidina Abu Bakar secara mesyuarat, pencalonan Saidina Umar secara "putera mahkota" dan pencalonan Saidina Othman melalui penamaan yang disenaraikan oleh Saidina Umar. Kesemua ijab ini diakhiri dengan baiah, persetujuan wakil-wakil masyarakat pada masa itu; Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain. Wakil masyarakat ini akhirnya dikenali sebagai Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Baiah ini mewujudkan mesyuarat dan perbincangan justeru setiap qabilah menghantar wakil dan ia disempurnakan dengan perbincangan dan mesyuarat.

Kesilapan faham yang besar pada hari ini apabila melihat cara pelantikan khalifah hanya fokus kepada ijab dengan melupakan baiah. Biasanya mereka menggunakan model Saidina Abu Bakar melantik Saidina Umar justeru Saidina Abu Bakar menamakan Saidina Umar sebagai Khalifah selepasnya dan mereka menyimpulkan bahawa Saidina Umar terlantik secara sah dengan sebab itu. Padahal sebenarnya itu hanyalah peringkat murassyah (pencalonan) tetapi pelantikan Saidina Umar secara rasmi dan sah berlaku hanya apabila berlakunya baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.

Dua komponen ini, iaitu pencalonan dan baiah dikenali sebagai sistem syura. Di dalam fekah Islam, disenaraikan cara pemlilihan pemimpin iaitu perlantikan dengan nas, putera mahkota dan pemberontakan. Dr Wahbah Zuhaili menyebut: "Cara Islam yang betul hanyalah dengan satu cara sahaja, iaitu pelantikan yang dibuat berasaskan baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi yang mengandungi elemen persetujuan orang ramai untuk menentukan seseorang pemimpin. Ini berasaskan kaedah Syura dan pemikiran bahawa perlantikan pemimpin ini adalah fardhu kifayah." (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 673)

"Telah berlaku ijmak umat Islam selain daripada Syiah bahawa penentuan Khalifah (pemimpin) disempurnakan (secara rasminya) dengan baiah, iaitu pemilihan dan persetujuan umat dan individu yang dipilih sebagai pemimpin. Ini adalah akad yang sebenar daripada keseluruhan (konsep) akad (dalam Islam) yang disempurnakan dengan persetujuan yang berasaskan keredaan kedua-dua belah pihak". (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 685)

Cara baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi di zaman dianggap sebagai pelantikan orang ramai justeru keanggotaan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi adalah mewakili masyarakat ramai atau qabilah-qabilah seperti Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain.

Kesemua Khulafa Ar-Raasyidun dan era khalifah selepas era itu melakukan sistem baiah atau syura ini dengan teknikal yang berbeza tetapi prinsipnya sama. Prinsip yang menjadi elemen penting di dalam pemilihan pemimpin ialah individu yang melengkapi syarat-syarat yang digariskan oleh nas seperti mencari orang yang paling alim dan berilmu di kalangan masyarakat. Bagi menepati ciri syariat ini, maka mereka mencarinya melalui perbincangan sewaktu pelantikan Saidina Abu Bakar. Tetapi era Saidina Abu Bakar pula melihat Saidina Umar orang yang melengkapi ciri tersebut lalu beliau terus menamakan Saidina Umar sebagai calon. Di zaman Saidina Umar pula, ia membiarkan sebilangan sahabat untuk berbincang untuk mencari mereka yang melengkapi ciri syariat tersebut di kalangan mereka. Jadi, prinsipnya sama iaitu mencari orang yang menepati ciri syariat, tetapi teknikalnya pencarian adalah berbeza. Kesemua perbezaan teknikal pemilihan calon ini diakhiri dengan prinsip pemilihan yang satu, iaitu diakhiri dengan baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.

Di zaman era Othmaniah, Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini dipilih daripada seluruh empayar Islam yang luas. Jika dilihat sepintas lalu, maka teknikal pelantikan anggota Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini agak mirip dengan demokrasi tetapi berbeza dari segi prinsip-prinsip asas yang bagi saya agak panjang perbahasannya jika dimuatkan dalam artikel pendek ini.

Dalam konteks pemilihan PAS hari ini sudah menepati kaedah Syura (baiah), di mana pencalonan daripada kawasan yang berakhir dengan pengundian di dalam muktamar sudah merangkumi elemen ijab dan qabul menurut fekah Islam di mana pengundian daripada perwakilan seluruh kawasan di Malaysia sudah melengkapi ciri-ciri baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Cuma yang perlu diperkasakan ialah semua perwakilan yang layak mengundi perlu memahami lebih mendalam ciri-ciri dan kelayakan-kelayakan calon yang mereka wajib pilih menurut syariat. Perkara ini boleh dimajukan dan diperkasakan dari masa ke semasa.

Dari sudut lain, jika pemilihan pemimpin dengan keputusan mesyuarat tertinggi kemudian keputusan itu dipaksa untuk kawasan menerimanya, atau tanpa mendapat persetujuan kawasan, maka ini bukan maksud Syura menurut fiqh Islam, bahkan ianya mirip kepada istibdad (al-qahr) dan kaedah pelantikan dengan nas yang diamalkan di dalam mazhab Syiah.

Adapun cara yagn diamalkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang boleh dicontohi ialah dengan cadangan daripada mesyuarat DUPP untuk Urusan Ulamak Kawasan (UUK) menerima calon sedia ada dan ditiadakan pertandingan. Keputusan ini dihormati dan diterima oleh seluruh UUK menyebabkan mereka tidak membuat pencalonan baru. Inilah fakta yang berlaku dalam DUPP sehingga tiada pertandingan sejak sekian lama. Kaedah ini menepati kaedah Syura kerana persetujuan cadangan calon daripada DUPP oleh UUK boleh dianggap sebagai baiah yang sah yang melengkapi 2 komponen Syura menurut Fekah Islam. - HARAKAHDAILY 26/4/2017

ISLAM sentiasa memberikan panduan kepada penganutnya dalam melaksanakan gerak kerja Islam dan meletakkan segala pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah Taala.

Maka sewajarnya bagi semua penggerak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat sejemaah bahawa dalam keghairahan melakukan gerak kerja tarbiah, dakwah dan siasah jangan sesekali melupakan munajat dan doa kepada Allah Taala demi meraih redha dan nushrah daripada-Nya.

Menjelang PRU14 ini, sebaiknya semua ahli PAS menjaga diri daripada melakukan maksiat, menggandakan ibadat serta memperbanyakkan zikir dan wirid antaranya yang telah thabit daripada hadis Nabi Muhammad SAW:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ

“Ya Hayyu ya Qayyum birahmatika astaghits” yang bermaksud "Ya Allah Yang Maha Hidup, ya Allah Yang Maha Pengatur, aku mohon pertolongan dengan rahmat-Mu! (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi)

Wirid ini dibacakan oleh Baginda Rasulullah SAW tatkala menghadapi kesukaran dan semoga dengan keberkatannya Allah memudahkan kesukaran kita jua serta memenangkan Islam dan jemaahnya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Saya menyeru agar semua lapisan muslimin dan muslimat juga menjaga hubungan dengan Allah agar negara kita diberikan keberkatan berpanjangan oleh-Nya.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah

KEDAH seperti perawan manis menunggu ketibaan rombongan meminang, segalanya indah nian. Sarat dengan harapan dan kenangan manis dengan segala persiapan yang telah diatur rapi selama berbulan-bulan tanpa lelah oleh petugas PAS Kedah. Cahaya rembulan memantulkan warna indah pada Kompleks PAS Kedah yang dibina dengan pengorbanan ahli dan pimpinan PAS, semuanya menunggu para perwakilan dan pemerhati daripada seluruh pelosok negara. Elok juga kita mengenang pengorbanan para leluhur yang berjuang menubuhkan harakatul ummah ini sehingga hampir mencecah umur 66 tahun ini.

Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada Mac 1948, namun umur parti Islam sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama Umno dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di Persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Haji Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris. PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan Umno-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan Umno-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usha parti perikatan parti tersebut sehubung dengan tuntutan kemerdekaan Prof Dr Zulkifli Muhammad, Timbalan Yang Dipertua Agung, pernah menegaskan bahawa: “Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk di bawah penjajah asing oleh orang yang tidak seagama dengannya. Sebab itu umat Islam diwajibkan oleh Tuhan-nya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajahan oleh orang-orang yang tidak sekeyakinan dengannya. Jadi nyatalah bahawa memperjuangkan kemerdekaan itu adalah kewajipan bagi umat Islam, dan bagi PAS sebagai parti politik Islam bukan sahaja merupakan kewajipan politik semata-mata tetapi lebih merupakan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan".

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua Umno ke London pada bulan September 1953 untuk menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan Umno-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini. - HARAKAHDAILY 25/4/2017

SAYA tertarik dengan respons Parti Amanah Negara apabila saya katakan Pan jangan masuk di kerusi PAS lawan Umno.

Respons mereka mengesahkan sememangnya Pan adalah penyebab kepada 3 penjuru. Dan sememangnya mereka berhasrat dan berniat untuk berlaku 3 penjuru

Jika 3 parti PAS, PKR dan DAP kekal pada kerusi masing-masing pada PRU ke-13 bertanding lawan BN maka tak akan berlaku 3 penjuru.

Tapi yang pasti Pan tentu mahu bertanding di kerusi tradisi PAS lawan Umno bagi merelevenkan kehadiran mereka dalam politik iaitu Pan nak ganti PAS.

PBBM juga mahu. Sebab itu dia mahu berunding kerusi dengan PAS.

Idea 2 penjuru yang PH jaja selama ini apa maksudnya?
Adakah maksudnya PAS jangan kacau kerusi DAP lawan MCA dan Gerakan?

Juga PAS jangan kacau kerusi pkr lawan MCA dan Umno, manakala kerusi tradisi PAS pula sebanyak lebih kurang 80 kerusi lawan Umno akan diagih-agihkan kalangan PAS, Pan dan PBBM?

Begitukah maksud mereka?

Kalau itu maksud mereka ia bererti idea dua penjuru bertujuan mengecilkan size PAS dalam pertandingan pilihan raya.

Jika BN jatuh maka PAS hanyalah parti politik yang seumpama melukut di tepi gantang parti-parti pembangkang lain. Perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak akan ke mana.

Sebab itu saya tegaskan Pan dan PBBM jangan bertanding d kerusi PAS lawan Umno iaitu 80 kerusi tradisi. Ia hanya akan menguntungkan Umno.

Pan dan PBBM minta sahaja sebahagian kerusi DAP dan PKR tandingi iaitu sebanyak lebih kurang 150 kerusi parlimen termasuk Sabah dab Sarawak. Itu akan menjadikan pembangkang satu lawan satu dengan BN.

Ia sangat senang untuk difahami.

SELAIN nama bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, nama bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, juga sering disalahguna oleh golongan tertentu untuk menunjukkan kononnya PAS di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah golongan “purist” yang kononnya bersifat jumud dengan hanya menekankan kepada agenda perlaksanaan syariat berbanding golongan "mainstreamer".

Walhal hakikat sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini adalah kerana, di bawah pimpinan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden-lah, dan di bawah pimpinan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sebagai Mursyidul Am-lah, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 telah memutuskan bahawa “PAS tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan dan undur ke belakang semata-mata untuk melayan kehendak Parti DAP” dan bahawa “prinsip (menegakkan Negara Islam) ini akan dipertahankan walaupun terpaksa kehilangan Parti DAP di dalam pakatan Barisan Alternatif”.

Akibat ketegasan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan prinsip perjuangan PAS inilah maka akhirnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pun memutuskan penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif mulai 22 September 2001.

Pemimpin seperti Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, mahupun mana-mana pemimpin lain yang sering menyalahgunakan nama Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sama ada terlalu benak untuk memahami perkara ini atau sengaja mahu menyelewengkan fakta demi kepentingan sendiri.

Kalau mahu dikira mengenai pesanan dan amanat bekas pimpinan PAS yang telah pergi mengadap Ilahi, maka pesanan dan amanat Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor di dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei 2002-lah yang paling awla diberikan perhatian kerana ini adalah pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum sebelum pergi mengadap Ilahi pada 23 Jun 2002.

Pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor kepada PAS ini adalah berbunyi: “Agenda pelaksanaan syariat adalah agenda terpaling mulia dan maha besar yang perlu disegerakan oleh seluruh pimpinan negara ini. Ia adalah ibadah dan jihad yang paling awla (utama) yang perlu didepani oleh seluruh umat ini”.

Jadi, bila ketiga-tiga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan agenda pelaksanaan syariat sebagai agenda terpenting PAS, hingga sanggup berpisah dengan DAP kerananya, maka di manakah bezanya antara PAS Abdul Hadi dan PAS Fadzil Noor atau PAS Nik Aziz? - HARAKAHDAILY 23/4/2017