KITA bersama PAS kerana dasar Islam, bukan kerana pemimpin atau mana-mana individu. Jika PAS membuang dasar Islam, maka kita akan mengasingkan diri dengan PAS. Kita tidak bersama dengan parti lain, bukan kerana marah kepada pemimpin atau mana-mana individu dalam parti tersebut. Inilah penawar yang paling mujarab untuk istiqamah dalam perjuangan. Pemimpin boleh datang dan boleh pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan untuk mencapai cita-cita Islam.

Ini jalan kita, kita yakin dengan jalan kita. Jika orang lain yakin dengan jalan mereka, terpulanglah kepada diri masing-masing. Kita tidak boleh paksa. Panduan kita ialah ulama. Majoriti ulama dan Tuan Guru pondok bersama PAS. Mereka tidak ada kepentingan apa-apa dengan PAS. Apa yang diajar di pondok selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Merekalah yang menjadi pembimbing dan panduan dalam gerak kerja PAS.

Biarpun musuh PAS hendak membuat tuduhan dan fitnah untuk menjarakkan PAS dengan masyarakat, terpulanglah kepada mereka. Kita tidak boleh halang mereka, mungkin mereka anggap ini kerja yang boleh memberatkan amal mereka, dan boleh meluaskan kubur mereka, sila teruskan. Semua amalan kita dan mereka akan dinilai di akhirat. Masing-masing akan dibangkit bersama amalan masing-masing. Waktu itu tidak ada siapa yang boleh berhujah dengan lidah. FB, twitter, instagram dan lain-lain lagi. Semuanya hancur bersama dengan alam. Inilah hari pengadilan sebenar. Tidak ada lagi persepsi dan emosi semuanya realiti.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
29 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 29/5/2018

PRU14 adalah paling bersejarah. BN yang memegang tampuk pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan akhirnya tumbang. Ini membenarkan sunnah kehidupan bahawa tiada pemerintahan yang akan kekal selamanya.

Tempoh 60 tahun BN kekal itu pun sudah cukup lama. Hampir semua negara jiran sudah pun beberapa kali bertukar pemerintahan, apatah negara-negara maju yang lebih matang dan berilmu rakyatnya. Perubahan hadir daripada kesedaran yang tinggi. Ia mencetuskan keberanian. Apabila berkumpul kedua-duanya, perubahan pasti berlaku.

Bagaimana BN boleh kekal begitu lama, itu bolehlah dikaji dan diselidiki. Akan adalah jawabannya. Apa yang saya ingin lontarkan di sini ialah bagaimana PAS dengan politik baru sesudah BN tumbang. Telah lahir Malaysia Baru. Bagaimana pentas perjuangan seterusnya?

PAS adalah nafas kepada perjuangan menegakkan Islam di Malaysia. Politik negara tanpa PAS akan kosong daripada laungan 'Allahu akbar'. Tiada parti politik yang istiqamah berjuang untuk menegakkan agama Islam seperti PAS. Justeru tiada siapa pun mampu menolak bahawa PAS terlalu banyak menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia sejak dari awal penubuhan negara lagi.

Malah sejarah membuktikan bahawa PAS dan jalur perjuangan Islamlah yang memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British. Ketika rakyat Tanah Melayu masih lesu, para ulamak bangkit menggerakkan kesedaran rakyat untuk menentang penjajah. Fatwa agama memainkan peranan besar di dalam menolak penjajahan kuffar ke atas negara umat Islam. Ia akhirnya mencetuskan gelombang rakyat bagi menuntut kemerdekaan.

Tetapi bukan PAS yang menerajui Malaysia merdeka. Umno bersama parti Perikatannya berjaya mendapat mandat untuk menerima dan mengepalai negara selepas kemerdekaan pada 1957. Itu kehendak penjajah barat. Umno lebih disenangi mereka berbanding PAS. Rakyat juga mahukan Umno walaupun ia hanyalah ditubuhkan pada 1946, jauh tertinggal di belakang perjuangan kemerdekaan yang lebih awal oleh para ulamak.

Tetapi PAS turut gembira dengan kemerdekaan negara. Buat pertama kalinya selepas ratusan tahun, negara merdeka dengan pemerintahan sendiri oleh rakyat di dalam menentukan masa depannya. Ia satu kemenangan rakyat dan mestilah disambut besar-besaran.

Justeru PAS, walau pun terpinggir, turut melaungkan keramat 'merdeka' demi melihat sebuah negara baru yang berjaya.

PAS membina negara dengan peranan sebagai parti pembangkang. Asas perjuangannya adalah sama iaitu menegakkan Islam sebagai satu cara hidup. Negara telah merdeka sebagai sebuah negara sekular sebagaimana itulah kehendak dan peninggalan yang diperkenankan oleh penjajah British. Ia meminggirkan agama sebagai teras utama pembangunan negara.

Justeru kelibat PAS dalam politik negara seawal kemerdekaan adalah menuntut sebuah negara Islam. Rakyat diseru kepada kesedaran dan kewajiban memerintah dengan cara yang diredhai oleh Allah. Ertinya PAS tidak menerima kemerdekaan negara sebagai sebuah kemerdekaan yang sempurna. Ia cacat selama mana Islam tidak berada di puncak dan dijadikan rujukan utama pemerintahan.

Selepas peristiwa hitam bersejarah 13 Mei 1969 yang meretakkan hubungan antara kaum dalam negara, PAS akhirnya bersetuju dengan plan perpaduan negara untuk bergabung dengan BN dan memerintah negara secara bersama. Tetapi PAS kekal meletakkan syarat utama bahawa mereka sebagai sebuah parti Islam tidak boleh dihalang daripada matlamat asal menegakkan agama di dalam negara.

Ia adalah sumbangan PAS yang amat penting. Negara akhirnya berjaya keluar daripada kemelut perbalahan dan rusuhan antara kaum yang memeritkan. Islam ternyata memiliki solusi amat berkesan ke arah perpaduan nasional. Ia adalah rahmatan lil alamin.

Jangka hayat PAS di dalam kerajaan tidak lama. Akhirnya, PAS kembali sebagai pembangkang. Bayarannya, negeri Kelantan di bawah PAS tumbang pada 1978. Ia cukup memberi kesan negatif kepada masa depan perjuangan PAS seterusnya.

Tetapi PAS bangkit cepat. Suara Islam yang lebih gagah terus berkembang di dalam PAS. Semakin hari semakin politik Islam difahami dengan lebih baik. Ia menepati kehendak zaman yang semakin moden.

Pada awal 80-an, Umno BN membuat kejutan dengan menerima kemasukan DS Anwar Ibrahim ke dalam Ummo. DS Anwar adalah tokoh muda gerakan Islam yang begitu terkenal dan disenangi termasuk oleh PAS. Kemasukan beliau telah berjaya mencetus fenomena Islam di dalam Umno BN dan pemerintahan. Negara bergerak laju dengan projek Islamisasi yang dicanangkan oleh Anwar dan mentor politiknya, Tun Dr Mahathir.

Penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Pusat Islam adalah antara projek besar yang meninggikan rating politik Anwar di persada tanah air. Umno yang berjiwa sekular kebangsaan mendapat kredit besar daripada kemasukan DS Anwar dalam pasukan mereka.

Tetapi PAS menolak kemasukan Anwar ke dalam Umno BN dan menyifatkannya sebagai jalan perjuangan yang salah dan akan gagal. Bagi PAS, ia lari daripada manhaj nabawi yang menolak pelaksanaan Islam secara terpilih atau sebahagian sahaja, apatah lagi terpaksa pula tunduk kepada bos besar atau ideologi sekular yang memimpin. Gerakan Islam tidak boleh bekerjasama dengan gerakan sekular yang enggan menghormati prinsip perjuangan mereka.

Ia adalah hari yang sukar buat PAS. Pimpinan PAS menjelajah seluruh negara untuk memberi pencerahan kepada rakyat dan penyokong PAS bahawa projek Anwar Ibrahim akan menemui noktah buntu. Ia hanyalah angan-angan untuk Islam. PAS menyeru rakyat agar terus menyokong PAS dengan alasan walaupun lambat, perjuangan PAS adalah lebih menepati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan pasti menemui kejayaan yang sebenar.

PAS memenangi balik Kelantan pada tahun 1990. Ia adalah malam penuh purnama buat PAS. Ia tanda 'fitnah Anwar' berakhir. PAS kembali diyakini rakyat. Negeri Kelantan betul-betul sinar permata yang menyaingi projek Islamisasi Anwar.

Lama-kelamaan, dengan kejayaan negeri Kelantan di bawah PAS memacu pembangunan negeri berasaskan Islam melalui slogan 'Islam Boleh', dasar 'Membangun Bersama Islam' dan pelbagai lagi, PAS akhirnya menimbus projek angan-angan DS Anwar Ibrahim di dalam kerajaan Umno BN. Krisis politik Mahathir-Anwar di hujung alaf baru telah turut membantu PAS mengukuhkan kedudukannya di persada politik.

Begitulah perjuangan PAS yang Istiqamah dengan Islam saat memasuki alaf baru. Umno selepas era Tun Mahathir terus melemah dan menuju tumbang. PAS menjemput dan dijemput untuk turut sama mengambil peranan di dalam usaha menjatuhkan Umno BN. Pakatan politik pembangkang dibentuk dalam usaha menyatukan kekuatan pembangkang bagi menjatuhkan BN.

Pembentukan Pakatan Rakyat (PR) adalah fasa pertama penglibatan PAS bekerjasama dengan parti-parti sekular yang lain. Ia setelah syarat-syarat tahaluf disetujui di mana semua parti mestilah menghormati prinsip perjuangan rakan masing-masing. Islam mestilah dihormati sebagai prinsip perjuangan PAS.

Pecahnya Pakatan Rakyat (PR) selepas itu adalah fasa kedua di mana PAS memilih untuk dikeluarkan daripadanya demi memelihara prinsip perjuangan. PH dan GAGASAN terbentuk daripada perpecahan itu. PRU14 adalah medan pertembungan tiga penjuru yang bersejarah. Umno BN tumbang dengan PH mengatasi parti-parti lain. PAS memperolehi sebahagian daripada matlamatnya untuk PRU14.

Kini PH dengan tiga suara. Pertama adalah suara liberal totok. Kedua adalah suara liberal yang lebih manis. Ketiga adalah suara Islam yang mesra liberal. Ini adalah istilah mudah yang saya sebut untuk pemahaman seterusnya nanti.

Suara Islam di dalam PH adalah suara di tempat ketiga. Ia adalah hakikat yang diperhatikan walaupun pada zahirnya, kesemua parti-parti di dalam PH adalah setaraf. Ya, parti-parti adalah setaraf, tetapi ideologi perjuangan adalah bertingkat-tingkat tangganya. Hakikat akan menjelma di hadapan mereka yang berfikir dan matang. Zahir hanyalah tipu daya.

Ia adalah kedudukan yang pernah dipaksakan ke atas PAS semasa di dalam PR dahulu. PAS menolak kerana ia akan meminggirkan Islam daripada ditegakkan. Apabila Islam terpinggir, maka ia adalah kemenangan dan kuasa yang rapuh yang pasti membawa kesan buruk terhadap kemajuan Islam di dalam mencorak pembangunan dan masa depan negara.

Hari ini, selepas berlalu PRU14, PAS kekal sebagaimana dahulu. PAS akan menjadi suara Islam di dalam arus politik negara. Perjuangan PAS adalah untuk Islam yang benar. Benar dalam erti Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna, sederhana, adil, maju dan segala makna yang membawa maksud kesejahteraan untuk manusia di dunia dan akhirat.

Islam is not a part of life, but Islam is a way of life. - HARAKAHDAILY 28/5/2018

RAMADHAN adalah kesempatan terbaik untuk kita melipatgandakan amal kebajikan. Antaranya ialah infaq fisabilillah atau bersedekah dan membelanjakan harta di jalan Allah SWT.

Inilah amalan Nabi kita Muhammad SAW. Daripada Abdullah ibn Abbas Rhma katanya:

كَانَ النَّبيُ صلَّى اللهُ عليه وسلمَ أَجْوَدَ النَّاس، وأَجْوَدَ ما يكونُ في رمضانَ، حِيْنَ يَلْقاهُ جِبريل، وكانَ جِبريلُ عليهِ السلام يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رمضانَ فَيُدارِسُهُ القرآن، فَلِرَسُول اللهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيْحَ اْلمُرْسَلَة

Adalah Nabi saw orang yang paling dermawan dari kalangan manusia. Ia lebih dermawan di bulan Ramadhan detik Baginda saw bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat Imam Bukhari)

Siapa lagi qudwah dan uswah bagi pejuang Islam jika tidak Nabi kita Muhammad SAW. Terlalu banyak kelebihan infaq dan sedekah ini. Selain daripada ia memulangkan pahala kepada pelakunya, ia juga membina sebuah hubungan masyarakat yang baik dan harmonis.

Malah aktiviti infaq fisabilillah ini juga memakmurkan aktiviti amal Islami yang digerakkan oleh Gerakan Islam dan pastinya ia sangat penting untuk menyemarakkan syiar Islam dan memartabatkan syariatnya.

Usah ragu lagi pada kelebihan mengeluarkan infaq fisabilillah. Justeru ia suatu yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Ada sedikit maka infaqlah sedikit. Ada banyak maka infaqlah sebanyak yang boleh. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh lalu menerbitkan tujuh tangkai, kemudian setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas kurniaNya, lagi Maha Luas pengetahuanNya. (Surah Al Baqarah: 261)

Nasrudin Hassan
Musolla Ar Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah
08 Ramadhan 1439 / 24 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 24/5/2018

MEMPERJUANKAN Islam bukanlah suatu yang mudah dan ringan. Namun ia mesti dilunaskan oleh setiap kita yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah swt yang layak disembah. Kita perlukan kekuatan dalaman dan luaran untuk menggalas tanggungjawab perjuangan suci ini.

Saban ketika, pejuang Islam akan dihadapkan halangan dan rintangan yang tidak sedikit. Ini adalah sunnatullah. Dihina, dicaci dan dimaki hamun menjadi rutin dalam diary harian seorang pejuang. Tambah pula di zaman siber ini. Dunia tanpa sempadan menjadikan ruang tekanan dan ancaman kepada pejuang semakin luas, lebar dan ganas.

Antara kapsul yang membekalkan kekuatan utama untuk pejuang mendepani berat beban perjuangan ini ialah qiamulail iaitu bangun menghidupkan malam dengan amal ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah swt seperti solat, zikir, baca al Quran dan lainnya. Inilah yang telah dipertegaskan oleh Allah swt kepada Nabi saw. Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا
نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Wahai orang yang sedang berselimut, Bangunlah menghidupkan malam kecuali sedikit (untuk isterehat). Iaitu separuh atau kurang sedikit dari separuh. Atau lebih sedikit daripadanya dan bacalah Al Quran dengan bacaan yang baik (tartil). Sesungguhnya kami akan turunkan ke atas mu wahyu yang mengandungi perintah yang berat. (Surah Al Muzammil: Ayat 1 – 5)

Ramadhan memiliki suasana yang paling baik untuk kita bangun malam dan menghidupkannya dengan tahajjud, munajat dan bacaan ayat-ayat suci al Quran. Insya Allah, ia menjadi sumber kekuatan yang mantap dan jitu mendepani ujian getir perjuangan Islam ini. Malah Allah swt menjanjikan kedudukan terpuji bagi mereka yang melakukannya. Firman Allah swt:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (Surah Al Isra': Ayat 79)

Dari Abdullah bin Salam Rha bahawa Nabi SAW bersabda:

أيُّها النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَ أَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَ النَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلوا الجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Wahai manusia, sebarluaskanlah ucapan salam, berilah makan dan solatlah pada waktu malam detik manusia sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat. (Riwayat Imam Tirmizi)

Sebagai seorang pejuang, pasti sahaja detik seperti ini juga sangat diperlukan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan munajat mengadu hal mengenai perit getir perjuangan serta mengharapkan pertolongan dari Allah swt. setelah dihimpit pelbagai tekanan dan ancaman.

Nasrudin Hassan
Musolla Ar Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah – HARAKAHDAILY 23/5/2018

1) TAHNIAH saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah keluar beramai-ramai pada 9 Mei 2018 untuk melaksanakan kewajiban mengundi bagi memilih pemimpin negara.

PAS sentiasa mengajak rakyat untuk memahami kewajiban mengundi sebagai satu kewajiban agama yang tidak boleh diabaikan. Semakin kesedaran politik di kalangan rakyat meningkat, semakin bertambah baiklah masa depan rakyat dan negara dengan para pemimpinnya yang berkualiti.

2) Tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah secara berani dan tekad memilih untuk menukar kerajaan di bawah BN kepada sebuah kerajaan baru dengan harapan memperolehi pemerintahan yang lebih baik. Ia adalah sejarah negara yang paling besar selepas kemerdekaan.

PAS menunggu hampir 30 tahun selepas melakukannya di Kelantan pada 1990. Kecekalan rakyat Kelantan bertahan lama menongkah arus dan tekanan daripada kerajaan pusat di Putrajaya sedikit demi sedikit membuahkan hasil. Keberanian dan tekad itu akhirnya merebak ke beberapa negeri, seterusnya memuncak pada PRU14.

3) Beribu tahniah saya ucapkan kepada rakyat Kelantan yang terus istiqamah mengundi PAS. Kelantan akan kekal sebagai negeri yang diperintah parti pembangkang paling lama dalam sejarah Malaysia.

Kelantan dan rakyatnya akan kekal menjulang Islam sebagai 'ad din' iaitu sebagai satu cara hidup, seterusnya menjadikan Kelantan sebagai model kecil sebuah pemerintahan yang menjadikan Islam sebagai teras keadilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

4) Beribu tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat negeri Terengganu yang telah memilih PAS untuk kembali menerajui kerajaan negeri. Ia adalah satu keputusan terpuji demi sebuah pemerintahan Islam yang adil dan sejahtera.

Terengganu akan bersama Kelantan seiring sejalan membina keyakinan rakyat untuk kembali kepada Islam yang benar dan syumul.

Kedua-dua Dun negeri ini juga akan menjadi Dun tanpa pembangkang dari kerajaan pusat.

5) Kalungan tahniah buat rakyat negeri Kedah yang turut mengundi PAS sehingga hampir mencapai kemenangan untuk kali ke-2.

Semasa saya menulis ini, kerajaan negeri Kedah masih belum dapat dibentuk. Didoakan semoga ada penyelesaian terbaik di Kedah. Begitu juga di negeri Perak yang turut tergantung.

6)Kalungan tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat negeri Pahang kerana memberikan pertambahan kerusi kepada PAS di Dun Pahang. Ia adalah petanda yang amat positif kepada PAS untuk terus mara di negeri Pahang Darul Makmur.

7) Kalungan tahniah juga kepada PAS negeri Perlis, Johor, Selangor dan Pulau Pinang kerana berjaya memenangi satu Dun di negeri masing-masing (2 kerusi di Perlis).

Johor menjanjikan kebangkitan PAS yang lebih gagah insya Allah.

8) Seterusnya, jutaan tahniah saya ucapkan kepada jentera PAS di seluruh negara yang telah bekerja keras dan berpenat lelah mencurahkan segala keringat dan bakti dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan upah dan balasan.

Jentera PAS yang terdiri daripada ahli dan penyokongnya adalah menara dan simbol kepada perjuangan Islam yang sentiasa menampilkan teladan dan kebaktian.

9) Tahniah khas daripada saya buat seluruh jentera PAS kawasan Bachok. Tanpa anda yang penuh budiman, bukan mudah untuk kita menumpaskan seorang daripada tiga figura besar Umno Kelantan.

10) Semoga Allah membalas jasa semua hamba-Nya yang beriman dan bekerja demi agama-Nya dengan sebaik-baik ganjaran.

Tiada apa yang rugi apabila kita berada di jalan istiqamah.

Allahu akbar wa liLlahil hamd.

BUDAYA fitnah dan persepsi adalah satu budaya negatif yang mesti ditolak kerana menimbulkan ketegangan dan pertelagahan antara masyarakat. PAS dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mendidik masyarakat berpolitik cara Islam yang terpimpin dengan akhlak Islam.

Keghairahan dalam berpolitik demi mendapatkan sebuah kemenangan sehingga sanggup menghalalkan segala cara adalah bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Sedangkan dalam Islam telah digariskan dasar dan panduan dalam menjaga perkara yang fardhu, menjauhi perkara yang diharamkan serta tidak melampaui batasan agama.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا

“Sesungguhnya Allah telah menfardhukan sesuatu kefardhuan maka jangan kamu tinggalkannya, Dia telah menetapkan batasan, maka jangan kamu melampauinya dan Dia telah mengharamkan sesuatu maka jangan kamu cerobohinya.”

[Riwayat Dar al-Quthni dan selainnya]

Berpolitik cara Islam adalah untuk mendatangkan maslahah dan menolak kemudharatan dalam kehidupan manusia berpandukan acuan wahyu Ilahi. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu al-Qayyim berkenaan tujuan pensyariatan agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas manusia:

فَإِنَّ الشـرِيعَةَ مَبْناها وَأَساسَها عَلَى الحِكَمِ وَمَصالِحِ العِبَادِ فِي المَعَاشِ وَالمَعَاد، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّها، وَرَحْمَةٌ كُلُّها، وَمَصَالِحٌ كُلُّها، وَحِكْمَةٌ كُلُّها

“Maka sesungguhnya Syariah Islam itu dasar dan asasnya terbina di atas hikmah dan kemaslahatan untuk Hamba-hamba Allah dalam kehidupan dunia dan akhirat. Syariah Islam itu bersifat adil, sebagai rahmat, menjaga maslahah dan mempunyai hikmah dalam semua perkara.”

Berbeza dengan politik cara Barat yang semata-mata bermain dengan persepsi dan fitnah bagi memburukkan pihak lawan demi meraih kemenangan. Allah S.W.T memerintahkan agar menyelidiki akan kesahihan sesuatu berita yang tersebar.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kesahihannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

[al-Hujurat: 6]

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak kepada seluruh pengundi untuk menolak segala budaya politik yang mengandungi unsur fitnah dan persepsi negatif kerana ia jelas diharamkan oleh Islam. Maka setiap pengundi mestilah pandai menilai dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat yang datang daripada pihak berautoriti dan selayaknya agar pertimbangan yang betul diambil semasa undian dilakukan nanti.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat - HARAKAHDAILY 6/5/2018

1. ALLAH swt meletakkan tanda aras yang sangat tinggi berkaitan informasi dan berita. Ia menjadi tanggungjawab iman seseorang Muslim supaya tidak bertindak atas kejahilan atau termasuk golongan yang jahil.

2. Jahil itu bukan sekadar jahil ilmu, tetapi ia lebih kepada sikap dan sifat seseorang yang meletakkan dirinya di situasi menjauhi kebenaran Islam. Ini kerana kejahilan itu sama ada pada ilmu pengetahuan, atau pada akidah pegangan dan pada akhlak serta moral.

3. Kemungkinan sesuatu kumpulan manusia itu hebat pada ilmu dan teknologi, namun jahil pada akhlak dan akidah. Sebab itulah al Quran menceritakan kebanyakkan para nabi diutuskan kepada umatnya yang sudah memiliki ketamadunan ilmu yang tinggi tetapi masih jahil dari sudut akidah dan akhlak.

4. Nabi Musa as, Nabi Saleh as dan Nabi Hud as diutuskan kepada bangsa firaun, Kaum Samud dan Kaum Ad yang memiliki ketinggian ilmu dan kecanggihan teknologi. Tetapi dianggap jahil pada sisi Allah kerana tidak beriman dan tidak berakhlak.

5. Dalam al Quran kedapatan dua ayat yang menerangkan bagaimana terjadinya manusia menempatkan diri mereka dalam kejahilan.

Pertama: Surah Al Maidah ayat 50,

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُون ۚ وَمَنْ
أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum (sistem) jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah."

Kedua: Surah Al Hujurat ayat 6,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

6. Kedua-dua ayat di atas adalah satu bentuk pedoman daripada Allah swt kepada orang beriman agar tidak meletakkan diri dalam keadaan yang disebut sebagai kejahilan.

7. Ayat surah al Maidah disebut secara jelas menyatakan bahawa orang beriman tidak seharusnya menolak sistem daripada Allah dengan menerima selainnya. Manusia sebahagian besarnya mengakui keesaan dan kewujudan Allah sebagai pencipta alam, pentadbir, pemberi nikmat rezeki dan sebagainya.

7. Akan tetapi ada di kalangan mereka tidak mahu menerima konsep ubudiyyah (kepatuhan) secara syumul kepada sistem Allah swt. Mereka menolak Islam dalam perundangan, menolak sistem pemerintahan Islam dan ekonomi Islam.

8. Mereka lebih meredhoi sistem ciptaan manusia seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme sempit serta pragmatisme daripada menerima petunjuk Allah swt dan Nabi saw.
Dengan sebab itu, Allah meletakkan mereka sebagai golongan yang jahil.

9. Ayat daripada surah al Hujurat pula, al Quran menggambarkan ada sebahagian manusia yang terkena virus jahiliyyah. Ini kerana sikap mereka yang tidak memiliki akhlak dalam melibatkan penerimaan dan penyebaran maklumat.

10. Perkataan fasiq dalam ayat bermaksud orang yang tiada integriti dalam nilai dosa pahala pada tindakan sebaran dan penerimaan berita dan maklumat. Tidak kira sekalipun di kalangan mereka yang terpelajar, mahupun tidak sama ada pemimpin dan juga rakyat.

11. Setiap maklumat yang diterima adalah berkewajiban diselidiki terlebih dahulu asal usul sumbernya, dan bukannya diterima bulat-bulat. Apatah lagi menyebarkannya pula tanpa usul periksa dan mengenal pasti kesahihahnnya. Sikap begini tidak seharusnya ada pada orang beriman, kerana itu dimulai ayat seruan itu dengan, " Wahai Orang Yang Beriman".

12. Bagaimana menangani kelakuan dan sikap kejahilan ini?
Para ulama berdasarkan Al Quran, membahagikan umat yang jahil kepada 4 keadaan dan cara mengatasinya.

13. Pertama: Jahil yang diberikan penerangan dan penjelasan agar mereka memahami dan menerimanya.

Firman Allah dalam surah al A'araf ayat 199,

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)."

14. Kedua: Jahil yang perlu dihadapi mereka dengan jelas dan berprinsip.

Surah Az Zumar ayat 64,

قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ)

"Katakanlah, wahai Muhammad saw, apakah patut kamu menyuruh aku sembah selain daripada Allah (setelah jelas bukti KeEsaan-Nya) wahai orang yang jahil?"

15. Ketiga: Mohon perlindungan dengan Allah daripada sikap jahil mereka.

Firman Allah swt, surah al Baqarah ayat 67,

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً ۖ قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)."

16. Keempat: Jahil yang dibiarkan mereka dan jangan dihiraukan sikap mereka dan tindakan mereka. Umat Islam teruskan kerja dan perjuangan.

Ayat surah al Furqan 63,

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."

17. Oleh itu, wahai umat Islam, jauhilah diri daripada sikap yang dicela oleh Allah swt sebagaimana dalam Al Quran. PRU 14, adalah medan memerlukan kita membentengi diri dengan nilai Iman dan Islam yang selama ini menghiasi diri kita. Jadikanlah ia sebagai penyelamat daripada kemurkaan Allah.

Malaysia Sejahtera

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
27 April 2018 bersamaan 11 Syaaban 1439 – HARAKAHDAILY 27/4/2018

SEWAKTU baru balik dari pengajian pada tahun 1997, saya dan beberapa orang rakan berbincang untuk menubuhkan Cawangan PAS Kampung Seri Damai, lalu kami mulakan kerja-kerja merisik dan mengenali penyokong PAS di Kampung Seri Damai.

Lalu saya mendapat maklumat tentang beliau, saya belum mengenali beliau pada ketika itu, saya menjejaki beliau dan menziarahi rumahnya. Alhamdulillah hasil perbincangan beliau bersetuju untuk sama-sama berusaha menubuhkan Cawangan PAS di Kampung Seri Damai.

Beliau berusia awal 30-an dan masih lingkungan akhir 20-an. Beliau telah pun menjadi ahli PAS pada ketika itu, kami bersama-sama berusaha mencari ahli dan akhirnya kami berjaya menubuhkan Cawangan PAS Kampung Seri Damai dan beliau telah dilantik menjadi Ketua PAS Cawangan Kampung Seri Damai yang pertama.

Beliau dikenali sebagai Cikgu Sulaiman kerana beliau memiliki pusat pengajian sendiri, beliau memiliki Ijazah Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sekarang dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. Kami juga telah dipilih untuk memegang jawatan di peringkat Kawasan Paya Besar.

Di usia muda beliau telah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar dan saya pula telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Paya Besar. Beliau juga telah dipilih sebagai untuk bertanding pada PRU10 di kerusi Dun Sungai Lembing.

Setelah berlaku persempadanan baru, kami sama-sama pula berada di dalam PAS Kawasan Kuantan. Beliau sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk bertanding di Dun Sungai Lembing, meskipun tewas beliau tetap Istiqamah untuk bersama di dalam kepimpinan PAS Kawasan.

Pada PRU14 kali ini, kami bagi pihak PAS Kuantan telah mengangkat beliau sebagai calon P.083 Kuantan, komitmen beliau di dalam parti dan kepimpinan PAS Kawasan menjadikan kami yakin beliau mampu untuk menggalaskan tugasan ini dengan baik.

Kami juga yakin bahawa beliau akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik jika diberikan kemenangan di Parlimen Kuantan. Beliau yang tinggal di Kampung Peramu adalah warga Kuantan dan sangat dikenali oleh penduduk setempat dan sering bersama saya dalam program ziarah rakyat dan program kemasyarakatan.

Walaupun beliau memiliki Ijazah di bidang pertanian dan sekarang terlibat di dalam bidang perniagaan namun beliau juga mampu untuk berkuliah di masjid dan surau dan sering diundang untuk menyampaikan kuliah. Kerana inilah beliau cukup dikenali oleh sebahagian masyarakat Kuantan.

Beliau adalah calon terbaik dari PAS Kuantan, dengan kesungguhan, kegigihan dan komitmen beliau dalam membangunkan parti dan masyarakat, InsyaAllah dengan izin Allah beliau akan diberikan kemenangan di P.083 Kuantan.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Kuantan 
YDP PAS Kuantan - HARAKAHDAILY 25/4/2018

BELIAU adalah bonda kami di PAS Kuantan, kami semua memanggilnya dengan panggilan Mak Itam. Saya tidak ingat sejak bila saya mengenali beliau, namun seingat saya sejak saya berada di dalam PAS Kuantan beliau telah aktif di dalam Dewan Muslimat PAS Kuantan sehinggalah dipilih sebagai Ketua Dewan tersebut.

Setelah PAS Kawasan memutuskan N.14 Teruntum mesti diletakkan Calon PAS yang sebelum ini belum pernah PAS bertanding, PAS Kuantan telah kemukakan tiga orang calon lain di kalangan Muslimin dua darinya pemilik ijazah dan seorang darinya calon dari Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Masih saya ingat, ketika kami bermesyuarat untuk memutuskan calon N.14 Teruntum, keempat-empat nama yang dicadangkan sebagai Calon N.14 Teruntum hadir dan sememangnya PAS Kuantan memiliki stok calon yang agak ramai, dari kalangan Muslimin, pemuda dan Muslimat.

Sebagaimana biasa semua mereka menolak namun akan patuh jika itu adalah arahan parti termasuklah Mak Itam. Lalu keputusan mesyuarat meminta sayalah yang memutuskan siapakah Calon N.14 Teruntum dan berjanji akan patuh apa juga keputusan saya. Saya meminta tempoh tiga hari untuk istikharah dan membuat sedikit kajian.

Selama tiga malam saya istikharah, wajah kesayangan ahli-ahli PAS inilah yang sentiasa muncul. Saya mengambil masa lagi untuk melihat sejauh mana sokongan terhadap Mak Itam. Yang pertama-tama pastinya saya melihat sokongan dan sambutan jentera parti kerana ini adalah perkara yang sangat penting.

Alhamdulillah, jentera parti bukan sahaja bersetuju dan amat teruja bila saya katakan cadangan saya untuk meletakkan Mak Itam sebagai calon dan semua AJK PAS Kuantan juga bersetuju. Lalu saya melihat pula penglibatan beliau di tengah masyarakat untuk beliau mendapat sokongan rakyat.

Ternyata beliau adalah seorang yang popular di kalangan masyarakat kerana beliau adalah seorang Ustazah yang saban hari berkuliah mendidik masyarakat terutama Muslimat. Kuliah bimbingannya sentiasa "Full house", kuliahnya juga dihadiri oleh ramai wanita-wanita Umno. Watak lemah-lembutnya dan sifat keibuannya menjadikan beliau sangat disenangi dan disayangi.

Saya juga melihat kemampuannya untuk menarik masyarakat Cina yang menjadi majoriti pengundi Teruntum. Rumah kediamannya di tengah masyarakat Cina. Beliau juga terkenal di kalangan masyarakat Cina terutama di kawasannya. Mengambil maklumat sambutan masyarakat Cina kepadanya, ternyata masyarakat Cina di sekelilingnya sangat menyukai beliau yang disifatkan sangat baik dan lembut.

Ada yang berkata sebagai Muslimat apakah beliau mampu menggalas tugas sebagai calon dan wakil rakyat jika diberikan kemenangan? Saya katakan bahawa saya mengenali beliau bukan baru sehari dua, saya tahu beliau sangat aktif dan komitmen dengan tugasannya sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS, sejauh mana program pun beliau hadir, inikan pula bumi Teruntum yang sekangkang kera.

Kadang-kadang kita yang melihatnya terasa penat. Namun beliau seperti tidak kepenatan langsung. Beliau sering mengikuti saya dalam program ziarah, malahan selepas bubar Parlimen ini pun beliau juga mengikuti saya. Tiada nampak pun tanda-tanda kepenatan, langkahnya tetap laju, semangatnya tetap sentiasa berkobar-kobar dalam melaksanakan kerja parti dan amal.

Keluarganya besar, Allahyarham bapanya orang terkenal. Malahan surau nama di Kampung Tengah pun dinamakan Surau Haji Ali sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham ayahnya dalam pembangunan jiwa dan mendidik masyarakat dengan Islam.

Saya penuh yakin beliau dapat menggalas tugasan dan amanah ini dengan baik. Jentera parti kelihatan begitu semangat. Anak-anak muda Dun Teruntum kini bersengkang mata untuk hijaukan bumi Teruntum yang sebelum ini seperti kekeringan. Namun kini subur dengan bendera dan logo bulan yang bertebar dan berkibar indah dan megah mengiringi seorang Insan Solehah iaitu bonda kami Mak Itam atau Ustazah Azizah Md Ali calon N.14 Teruntum.

Ketika saya mengumumkan nama beliau sebagai calon N.14 Teruntum, saya begitu terharu hingga ianya menggerakkan jari-jemari saya untuk menulis pandangan mata hati saya terhadap Mak Itam. Moga Mak Itam diberikan kekuatan oleh Allah untuk memikul cabaran perjuangan hebat ini InsyaAllah. Takbir.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
YDP PAS Kuantan - HARAKAHDAILY 20/4/2018

SAYA menjalankan tanggungjawab perjuangan Islam yang digalaskan kepada saya oleh parti, di mana pun posisi yang ditempatkan.

Hari ini saya diposisikan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Indera Mahkota bagi membawa cabaran PAS dalam PRU ke-14 bersama rakan-rakan yang lain.

Pada tahun 2004 (PRU ke-11), pertama kali saya diamanahkan oleh PAS untuk bertanding ialah di Dun Bukit Ibam dalam Parlimen Rompin Pahang Darul Makmur.

Tahun 2008 (PRU ke-12), saya sekali lagi diminta menggalas cabaran parti menyertai pilihan raya umum dan saya diumumkan bertanding di Parlimen Maran Pahang Darul Makmur.

Sementara tahun 2013 (PRU ke-13), saya ditaklifkan pula oleh PAS supaya bertanding di Parlimen Temerloh Pahang Darul Makmur.

Mendepani PRU ke-14 pada tahun 2018 ini, PAS menetapkan saya bertanding di Parlimen Indera Mahkota Pahang Darul Makmur.

Sebagaimana sebelumnya, Saya akur dan mematuhi ketetapan jamaei. Malah secara peribadi, sebenarnya ia lebih mudah kerana saya sememangnya bermastautin dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota ini sejak hampir 15 tahun yang lalu sehingga sekarang.

Saya hargai kepercayaan yang diberikan oleh jamaah. Namun ia bukan mengenai saya, tetapi ini adalah urusan perjuangan yang digerakkan secara kolektif. Saya hanya wakil yang dinamakan oleh parti.

Realitinya, PAS lah dengan segala prinsip dan dasarnya, objektif dan matlamatnya, agenda dan halatujunya, gagasan dan wawasannya, manifesto dan tawarannya,yang turun “bertanding” dengan mewakilkan saf kepimpinan dan calon pilihannya menyertai saingan pilihan raya di pentas demokrasi negara.

Justeru itu, saya, rakan-rakan seperjuangan dan pengundi amnya akan menyebut “Undilah PAS”, kerana ia bukan soal individu. Saya bukanlah siapa-siapa tanpa PAS yang menjadi wadah atau platform perjuangan saya dan rakan-rakan.

IM Sejahtera
Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
25 Rajab 1439 / 11 April 2018 – HARAKAHDAILY 11/4/2018

AKHIRNYA teka-teki Pilihan Raya Umum ke-14 berakhir dengan pengumuman pembubaran Parlimen Malaysia penggal ini oleh YAB Perdana Menteri pada Sabtu 7 April 2018. PRU14 akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

PAS bersama rakan politiknya dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) kali ini akan bersaing menghadapi Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Mahathir walaupun partinya iaitu PPBM dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Ia dianggap persaingan tiga penjuru paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.

Ia sengit kerana BN yang telah memerintah negara semenjak kemerdekaan dianggap berada dalam keadaan paling lemah apabila berlaku perpecahan dalaman yang menyaksikan Tun Mahathir dan beberapa lagi pemimpin utama bertindak keluar daripada Umno dan membentuk parti baru, seterusnya menyertai pakatan politik pembangkang yang pernah dimusuhinya dahulu iaitu PKR dan DAP.

Tetapi kelemahan itu tidak pula boleh diterjemahkan sebagai satu kekuatan kepada pakatan pembangkang kerana mereka juga turut berpecah. Pakatan Rakyat yang pernah menggabungkan parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN dalam PRU13 dahulu telah pecah lalu membentuk dua pakatan politik baru iaitu Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan.

Siapa berpeluang?

Secara mudahnya, BN akan mengambil peluang terbaik daripada perpecahan blok pembangkang untuk mengekalkan kemenangan majoriti yang akan membolehkannya membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya nanti.

Manakala pihak pembangkang pula pasti mengambil peluang daripada 'mood' dan sentimen majoriti rakyat yang semakin muak dengan kelemahan dan kegagalan BN mentadbir negara dengan adil dan berjaya. Kehidupan rakyat yang semakin tersepit berhadapan pelbagai krisis kehidupan benar-benar akan menolak BN ke hujung usianya.

Para penganalisis politik hampir bersetuju bahawa jika blok pembangkang berjaya mencipta persaingan dua penjuru bagi melawan BN, BN pasti akan tersungkur. Tetapi malang, takdir menentukan bahawa persaingan tiga penjuru yang lebih menguntungkan BN hampir pasti tidak dapat dielakkan dalam persaingan sengit Pilihan Raya Umum kali ke-14 tidak lama lagi.

Tumpuan kepada PAS

Tumpuan adalah kepada PAS yang bertindak berani menolak untuk bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya membentuk blok sendiri melalui Gagasan Sejahtera yang dilihat sebagai sebuah gabungan paling kecil daripada tiga blok yang bersaing.

PAS yang mengakui keadaan tersebut telah bertindak lebih rasional dan matang apabila mengisytiharkan matlamatnya memasuki PRU14 sebagai parti yang akan menjadi 'kingmaker' di dalam menentukan pembentukan kerajaan akan datang, seterusnya berperanan sebagai pendesak dan pengimbang terhadap polisi dan tindakan kerajaan baru nanti.

Rakyat akan menentukan siapakan yang terbaik untuk mereka. Jika sebelum ini dan sejak sekian lama rakyat menjawab dengan memilih dan mengundi BN, tetapi kali adalah berbeza. Majoriti rakyat terpaksa berhadapan pilihan lebih sukar iaitu siapakah paling terbaik untuk menggantikan BN? GAGASAN yang diketuai PAS atau PH yang diketuai Tun Mahathir?

Pertimbangan mestilah benar

Ia adalah persoalan yang agak kritikal dan memerlukan pertimbangan yang betul dan tepat. Ia adalah soal masa depan yang akan menentukan samada negara akan menjadi lebih baik atau sebaliknya. Pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira mestilah jelas dan benar supaya pilihan rakyat adalah diiringi keberkatan oleh Allah, tuhan yang memiliki kerajaan langit dan bumi dan Dia-lah yang mengurniakan kekuasaan kepada sesiapa yang dimahukan-Nya.

Saya perturunkan di bawah ini beberapa pertimbangan yang harus diambil kira oleh seluruh pengundi dan mengapakah PAS-lah pilihan terbaik untuk diundi.

Pertama, PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan dengan alasan dan hujah syar'ie. Ia bererti PAS ditubuhkan kerana ia tuntutan syarak agar pemerintahan negara mestilah berlandaskan nilai dan hukum agama Islam yang benar dan menyeluruh.

BN dan PH adalah sebaliknya. Ia ditubuhkan bukan dengan ukuran syarak. Buktinya adalah jelas, bahawa sikap, polisi dan tindakan yang mereka lakukan di dalam menangani isu-isu kenegaraan begitu banyak tidak bertepatan dan menyalahi hukum syarak dan mereka tidak menghiraukannya. Anda boleh sendiri menyaksikan PAS adalah sebaliknya.

PAS menyeru perpaduan Islam

Kedua, PAS secara konsisten menyeru kepada perpaduan umat dan rakyat dengan Islam. PAS tegas tiada erti perpaduan tanpa Islam. Ia palsu dan pasti berhadapan perpecahan segera akibat persaingan nafsu nafsi antara pemuka-pemuka politik. Ia adalah seruan yang jelas oleh Allah dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Perhatikan bagaimana sikap dan tindakan PAS berkaitan hubungannya dengan pesaing politinya samada BN atau PH. Umum mengetahui betapa BN lebih lunak dengan isu-isu agama Islam berbanding PH yang terumbang ambing di antara berlunak dengan Islam atau berlunak dengan DAP yang nyata memusuhi agenda Islam untuk negara.

Anda saksikan PAS bertindak benar dan jelas, bahawa di sebalik persaingan politik yang sengit, PAS tetap bersedia bekerjasama, bahkan menyokong apa sahaja agenda kerajaan BN untuk kebaikan dan kemaslahatan Islam dan rakyat. Ia jelas dan PAS tidak pernah bersembunyi daripada meneguhkannya di sebalik kecaman membuta tuli oleh PH yang menuduh PAS sebagai bersekongkol dengan kezaliman BN.

Begitu juga sikap benar dan tegas PAS mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan ancaman terhadap Islam yang dipandang remeh oleh PH. Islam adalah agama peringatan. Ia tidak jemu mengingatkan manusia dengan bahaya tipudaya duniawi yang datang untuk menyesatkan dan mengalahkan kekuatan Islam di dalam diri dan negara. Itulah PAS yang tidak pernah takut dengan pelbagai celaan oleh orang-orang yang mencela.

Tolak kezaliman

Ketiga, PAS konsisten menolak kemungkaran dan kezaliman BN di dalam pemerintahannya yang merugikan negara dan menindas rakyat. Ia adalah sayap 'mencegah kemungkaran' yang beriringan dengan sayap 'menyuruh kepada al makruf' di dalam konsep dakwah 'al amru bil makruf wa al nahyu anil munkar' yang diajarkan oleh agama Islam yang sempurna.

PAS menolak salah saku di dalam 1MDB yang dipenuhi kerosakan yang dilihat memangsakan wang rakyat dan menuntut siasatan yang benar-benar telus dan diperakui oleh rakyat. Sikap kerajaan hari ini adalah memalukan dan dilihat takut untuk melihat kebenaran dibongkar.

PAS menolak pelaksanaan cukai GST oleh kerajaan BN dan melihatnya salah dan bertentangan dengan sistem percukaian Islam yang antara syarat utamanya melarang kenaan ke atas rakyat jelata yang miskin. PAS malah mengemukakan cadangan cukai alternatif yang lebih baik dan tidak akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

PAS menolak polisi kerajaan yang menjadikan pendidikan anak bangsa sebagai satu perniagaan. Ia membebankan rakyat dan memangsakan anak bangsa dengan hutang peribadi seawal usia mudanya. Ia adalah bebanan hidup yang mesti dihapuskan oleh kerajaan. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan BN pula jadi tukang yang meletakkan bebanan ke atas anak muda.

PAS menolak ketidakadilan dan kezaliman secara konsisten. Ia adalah lebih mudah untuk menilainya kerana neraca PAS adalah pada hukum-hukum agama dan sumber rujukannya yang unggul. Anda akan sentiasa teruja untuk melihat PAS merumus dan bertindak berlandaskan agama di dalam semua isu-isu negara.

Kelantan sebagai model

Keempat, PAS menonjolkan negeri Kelantan sebagai model kecil pentadbiran Islam yang dilaksanakan dalam negara. Hampir 30 tahun dengan rekod pentadbiran yang sifar rasuah adalah menakjubkan. Bandingkan dengan parti-parti lain yang turut diberi peluang memerintah dan mentadbir. PAS nyata di tempat pertama dalam kebersihan dan ketelusannya.

Saksikan pembaharuan-pembaharuan yang mengujakan yang dilakukan oleh 28 tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Dan janganlah lupa, ia adalah kejayaan di sebalik tekanan penuh kejahatan oleh regim Tun Mahathir dan BN yang dipenuhi adegan kediktatoran.

PAS menuju kejayaan

Kelima, PAS berjaya mengukuhkan dirinya dengan lakaran masa depan untuk negara yang sejahtera. Untuk dirinya, seterusnya untuk negara, PAS memperkenalkan konsep Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). Ia kini menjadi praktis politik yang begitu memajukan PAS dan diterima rakyat.

PAS memperkenalkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai wawasan terbaik melihat potensi negara memajukannya ke arah menjadi sebuah negara model untuk negara-negara serantau dan juga untuk negara-negara Islam menjelang 2051. Ia adalah julung kali dibentangkan oleh PAS semenjak penubuhannya.

Itulah PAS pada saat ia bergerak melangkah gagah menuju PRU14. Harapan adalah menggunung agar rakyat memilih PAS sebagai parti pilihan terbaik demi sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan cemerlang. - HARAKAHDAILY 10/4/2018

ALLAH telah berfirman di dalam Surah Yusuf ayat 55 yang bermaksud: “Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir; sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

Ayat ini menyebut tentang kriteria mereka yang sesuai untuk dijadikan pemimpin. Yakni, mereka yang al-Hafiz dan al-Alim.

Dalam ayat yang lain juga merakamkan perbualan antara Nabi Syuaib dan anaknya tentang kualiti pekerja yang terbaik dalam surah Al-Qasas ayat 26 (maksudnya);

"Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". – Al-Qawi dan Al-Amin

Negara Malaysia sekarang berhadapan dengan pelbagai masalah. Daripada masalah ekonomi negara sehinggalah kepada masalah keharmonian hidup rakyat. Lebih-lebih lagi, dengan cabaran daripada geopolitik serantau dan ancaman revolusi perindustrian 4.0.

Di peringkat global, kita telah menyaksikan ‘perang hibrid’ (Hybrid War) antara blok Barat pimpinan Amerika dan UK ke atas Rusia dan China. Seluruh dunia sedang dilanda kebimbangan akibat ‘perang perdagangan’ yang mulai memuncak antara Amerika dan China. Bagaimana isu geoplitik ini bakal mencorakkan masa depan kita dan anak-anak kita kelak?

Kerajaan yang memerintah sekarang tidak dapat menguruskan masalah ini dengan baik disebabkan oleh masalah dalaman parti pemerintah itu sendiri. Pelbagai isu penyalahgunaan kuasa telah diserahkan kepada Jabatan Audit Negara.

Hal ini menyebabkan rakyat bosan dengan politik. Kajian yang telah dijalankan oleh Merdeka Centre pada 3 sehingga 8 Ogos 2017 mengenai ekonomi, kepimpinan dan isu semasa mendapati, 57 peratus golongan anak muda berpendapat Malaysia menuju ke arah yang membimbangkan. Manakala isu yang paling menjadi kebimbangan mereka adalah isu kenaikkan kos sara hidup.

Tambahan pula, dengan isu pengangguran di kalangan anak muda disebabkan oleh peluang pekerjaan dalam negara di pelopor oleh warga asing. Selain itu, ahli politik yang berkepentingan mengharapkan laba kutipan levi pekerja asing melalui kroni.

Oleh itu, apa solusi yang ingin dibawa oleh Gagasan Sejahtera dalam menangani masalah ini? Gagasan Sejahtera telah membawa satu pendekatan Kerajaan Teknokrat sekiranya diberi peluang untuk mentakbir Malaysia selepas PRU ke-14 nanti.

Kerajaan Teknokrat merupakan sebuah strategi pelaksanaan bagi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Strategi pelaksanaan ini perlu bagi memastikan fasa pertama dalam WINS2051, iaitu Transformasi Negara Sejahtera dapat mencapai target yang telah ditetapkan.

Manakala Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merupakan sebuah budaya Politik baru yang dibawa oleh PAS untuk seluruh rakyat Malaysia.

Gabungan strategi halatuju negara menerusi WINS2051 dan budaya politik baru BPMS ini, memerlukan konsep pelaksanaan yang efektif. Konsep pelaksanaan efektif inilah yang dipanggil dengan nama Kerajaan Teknokrat. Kerajaan Teknokrat akan membawa sebuah pemerintahan berpandukan kepada kerangka pencapaian dan visi negara - Wawasan Induk Negara Sejahtera – WINS2051 bersama budaya politik baru Budaya Politik Matang dan Sejahtera – BPMS.

Secara kasarnya, Kerajaan Teknokrat (KT) adalah sebuah pemerintahan yang diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu, keupayaan dan kemampuan intelektual, dan keupayaan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

Kerajaan Teknokrat ini akan menfokuskan kepada menyelesaikan masalah yang melanda negara. Manakala ahli politik pula memfokuskan kepada usaha dalam memperbaiki dasar dan perlembagaan negara. Ini akan memberikan waktu bertenang kepada semua pihak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ketenteraman dalam negara memberi peluang untuk kepimpinan negara untuk fokuskan dalam mencari penyelesaian kepada masalah-masalah Negara.

WINS2051 telah mengenalpasti permasalahan negara dan menggariskan beberapa program-program yang dapat dijalankan dalam menyelesaikan permasalahan ini. Pelaksanaan solusi yang dicadangkan dalam WINS2051 dapat dilaksanakan secara objektif oleh Kerajaan Teknokrat tanpa gangguan politiking. Perinciannya akan kita bincangkan bersama panel-panel kita pada malam ini.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ucapan dalam program “Town Hall Mega: Kerajaan Teknokrat Penyelesaian Terbaik Untuk Rakyat & Negara” pada 7 April lalu di Shah Alam.