ALMARHUM ayahanda beratus kali difitnah sepanjang hayatnya, tetapi beliau tidak pernah saman. Malulah saya pada keteguhannya.

Dia memilih mahkamah Allah nanti. Itu mahu dia, itulah mahu saya. Itu mahkamah yang pasti tidak akan tersembunyi walau sekecil zarah kebenaran atau kebatilan.

Perakuan penafian keras saya adalah benar dan mencukupi. Bukan kuasa saya untuk memaksa sesiapa mempercayai atau mendustakan saya.

YB yang menuntut saya bersumpah dengan nama Allah itu, dulu dia telah pun bersumpah dengan nama Allah dan berbai'ah dengan nama-Nya. Kemudian dia langgar dan langgar tanpa rasa takut.

Apa kalau saya bersumpah, dia akan percaya? Tidak. Dia akan berkata Nik Abduh berbohong dalam sumpahnya. Mengapa? Ya, kerana dia kira saya juga akan berbohong sepertinya. Piirraahh..

Sumpah adalah untuk perkara besar atau di tempat yang besar seperti mahkamah atau di hadapan pemimpin kita.

Pada saya, 'rakaman bohong' itu kecil saja. Bebudak PAN saja yang bertawaf di sekelilingnya, menjadikannya makanan buat jiwa mereka yang lemah dan sakit. Fitnah akan lebur dan kebenaran pasti kekal.

Mereka mahu menjadikannya bahan bukti? Ah, saya juga akan menjadikannya bahan bukti di sana nanti, di hadapan Allah, pemilik suara saya dan anda. - HARAKAHDAILY 5/4/2018

ALHAMDULILLAH. Beberapa hari ini, ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi ahli PAS di seluruh Malaysia. Selamat Datang diucapkan kepada ahli-ahli baru menyertai PAS. Sama ada anda dari tiada berparti mahupun dari parti lawan PAS dahulu. Pintu PAS terbuka untuk sesiapa sahaja yang ingin membantu PAS menegakkan Islam.

mohd norSilalah masuk, lihatlah persekitaran dalaman PAS, moga anda akan dapat mencari kesesuaian posisi di dalam PAS. Paling sesuai ialah bagi orang yang sanggup bersusah payah kerana Allah. Tanpa bayaran, tanpa nama, tanpa diketahui dan tanpa pangkat. Semakin ia diamalkan insya Allah semakin dekat anda dengan Allah. Apa yang anda lakukan di dalam PAS adalah untuk Allah dan akan kembali kepada anda insya Allah.

Rumah PAS ini ada empunyanya, ada keluarganya dan ada peraturannya. Jika ada sampah, sama-sama kita bersihkan, jika ada rosak, sama-sama kita baiki, jika ada cacat cela, sama-sama kita bantu. Namun membuka walau sedikit ruang bagi musuh merosakkan rumah ini, jangan sekali-kali.

Akhirnya pesan saya, untuk menguatkan jati diri kita sebagai pejuang Islam, selalulah bermuhasabah diri melalui usrah, kuliah, liqa dan segala program yang kita diamanahkan mengikutinya. Kita kuat bukan kerana ramai, kita hebat bukan kerana pandai, tetapi semua kemuliaan itu dikurniakan Allah kerana kita memilih untuk berada atas jalan Islam. Selagi kita faham semua ini, insya Allah kita akan berjalan seiringan, jatuh bangun bersama, kita akan bergerak bersama-sama di atas jalan yang Allah dan rasul mahukan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Rejab 1439/28 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 28/3/2018

TERIMA kasih jika yang bertanya, jikalau benar-benar ikhlas untuk melihat hukum Allah SWT ditegakkan.

Kalau hanya hendak perli semata-mata maka ini jawapannya.

Daripada 20 tawaran Gagasan Sejahtera yang dibaca oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, perkataan hudud yang dicari.

Bagi mereka yang perli ini, adakah mereka hendak sokong?

RUU 355 yang tidak mengubah prinsip apa-apa pun hiruk pikuk. Pada hal Mahkamah Syariah yang sama, hakim yang sama, pendakwa yang sama. Cuma hendak ditingkatkan bidang kuasa saja daripada 6 rotan kepada 100 sebatan syariah (bukan sebatan mahkamah sivil).

Terlalu marah dengan PAS sehingga sudah hilang rasional.

Sila lihat dalam teras keenam, “pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah”.

Sila lihat juga di dalam tawaran kesebelas di dalam manifesto Gagasan Sejahtera “memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan”.

Ertinya ayat yang diguna pakai di dalam teras dan tawaran ini sudah jami’dan mani’ (merangkumi semua).

Saya tidak mahu minta mana pula manifesto dan tawaran mereka mengenai untuk memperkasakan syariah.

Inilah masalahnya bukan tidak faham, tetapi buat tidak faham.

Untuk pengetahuan semua, Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, bukan sahaja hudud, tetapi juga qisas dan takzir. Hudud sebahagian daripada syariah Islam.

Sebagai seorang Islam kita tidak boleh menolak hukum qisas dan takzir. Malahan satu ayat di dalam Al-Quran pun tidak boleh ditolak.

Menunjukkan PAS bukan parti menghukum, tetapi yakin penyelesaian ada bersama Islam.

PAS dan Gagasan Sejahtera bukan hendak membawa negara teokrasi, otokrasi dan revolusi.

PAS dan Gagasan Sejahtera bukan hendak membentuk negara ala Iran, ala Saudi, bukan IS. Tetapi PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi.

PAS dan Gagasan Sejahtera tidak akan memisahkan Islam dalam politik dan bernegara.

Gagasan Sejahtera juga akan mengukuhkan institusi agama yang sedia ada seperti Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam, jauh sekali untuk menghapuskannya.

Payah menerangkan kepada golongan yang serba salah ini, mereka fikir PAS ini parti hendak hukum orang ja.

Biar rakyat menilai tawaran Gagasan Sejahtera berbanding dengan BN dan PH.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
22 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 22/3/2018

PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sedar bahawa untuk melakukan pengislahan terhadap masalah yang sedia wujud dalam memacu kesejahteraan dan kemajuan negara adalah suatu cabaran yang besar.

2. Masalah rasuah dan salah guna kuasa di segenap peringkat; ketidaksetaraan ekonomi antara negara dan rakyat serta bandar dan luar bandar; ketidakmapanan dasar dan sistem pendidikan; pertikaian terhadap hak agama dan kaum; ancaman terhadap keselamatan dan keamanan termasuk insiden jenayah dan gejala sosial, semuanya menjadi isu utama yang sentiasa mendapat perhatian dan desakan daripada orang awam agar ia diselesaikan.

nasrudin33. Menghadapi masalah begini, Presiden PAS, YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Pengerusi GAGASAN dalam syarahan perdana yang beliau sampaikan pada 18 Mac 2018 di Hotel Astana Banquet Hall Cyberjaya telah menggariskan tiga (3) asas utama:

(a) Menekankan aspek akidah dan akhlak dalam kehidupan seharian dan bernegara.

(b) Menginsafi bahawa kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan kaum adalah suatu cabaran dan peluang bagi membentuk negara yang sejahtera.

(c) Memberikan peranan utama kepada Islam dengan tafsirannya yang sebenar dan selari dengan perutukan perlembagaan bagi membina Malaysia Sejahtera.

4. Pendirian politik yang ditegaskan oleh Pengerusi GAGASAN juga sangat menarik untuk diberikan perhatian sekaligus ia menjadi ciri yang unik kepada GAGASAN justeru menjadikan GAGASAN sebagai pilihan terbaik buat rakyat Malaysia terutamanya untuk keluar dari kemelut politik berpanjangan akibat budaya politik usang yang masih diamalkan oleh sebahagian parti politik.

(a) Menghormati mandat rakyat kepada sesebuah parti politik untuk membentuk sebuah pemerintahan.

(b) Menyertai pilihan raya sebagai kaedah sebenar membentuk kerajaan baru yang lebih baik.

(c) (Sementara menjadi pembangkang) berperanan sebagai pembangkang yang berkesan dengan menegur kerajaan dan sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak ke arah yang lebih baik.

(d) Mengelak campur tangan pihak asing,

(e) Menolak politik fitnah dan persepsi.

5. Bertitik tolak daripada asas dan pendirian ini serta sembilan (9) teras yang diumumkan sebelum ini, GAGASAN telah melancarkan 20 Tawaran Utama pada malam tadi meliputi semua segmen rakyat Malaysia.

6. Kesemua tawaran yang dikemukakan oleh GAGASAN ini adalah berpijak di atas paksi yang jelas, teguh dan realistik termasuk mengambilkira kemampuan GAGASAN untuk melaksanakannya dan keperluan rakyat terhadapnya; bukannya sekadar untuk mendapatkan populariti dan publisiti bagi meraih undi.

7. PAS bersama GAGASAN komited untuk merealisasikan manifesto ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
01 Rajab 1439 / 19 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 19/3/2018

ISLAM adalah agama berteraskan akal. Jika akal tiada atau akal itu belum matang (baligh), maka Allah tidak akan menghukum hamba-Nya itu sebagai sesat sekiranya dia menolak Islam dan al Quran.

Pergantungan kepada akal adalah kerana agama Islam itu berintikan kepercayaan-kepercayaan yang berstatus 'ghaibiyyat' atau di luar capaian lima panca indera manusia. Manusia tidak mungkin mampu menilai benar atau salah pengajaran agama Islam kalau hanya bersumberkan penglihatan, pendengaran dan panca indera yang lain.

Untuk mengenali Allah dan ciptaan-Nya di alam ghaib seperti dosa pahala, syurga neraka, malaikat iblis dan sebagainya, manusia memerlukan kekuatan mencerap yang tinggi. Ia tidak dimiliki oleh panca indera lima itu. Tetapi kekuatan yang tinggi itu hanyalah milik akal. Akal pula di dunia ini hanyalah milik istimewa manusia.

Justeru agama Islam adalah taklifan Allah ke atas manusia. Haiwan dan tumbuhan tidak ditaklifkan kerana mereka makhluk tidak berakal. Tetapi mereka tidak sesat, bahkan beriman dan meyembah Allah kerana mereka terdedah dan melihat perkara ghaibiyyat  yang dihijabkan daripada manusia.

Manusia ditutup daripada melihat ghaibiyyat adalah kerana faktor 'ujian terbesar kehidupan' daripada Allah iaitu adakah mereka bersedia menggunakan akal untuk mengenal Allah dan menyembah-Nya atau membiarkan dan mensia-siakan nikmat akal yang besar itu.

Justeru peranan akal adalah begitu besar di sisi Islam. Ia adalah asas kebahagiaan dan kecelakaan manusia.

Akal peranannya adalah merumuskan segala maklumat yang diperolehi melalui panca indera. Apabila manusia melihat alam raya, akal mestilah merumuskan dengan tepat. Apabila manusia mendengar al Quran, akal mestilah merumuskan dengan tepat.

Oleh kerana agama Islam itu tinggi untuk dicapai maklumat-maklumat ghaibiyyatnya, wahyu Allah melalui al Quran diturunkan sebagai cahaya untuk akal melakukan pencerapan yang benar dan berpetunjuk.

Memahami dengan sempurna, tepat

Ertinya untuk memahami agama Islam dengan sempurna dan tepat, manusia perlukan gabungan telinga untuk mendengar wahyu, mata untuk melihat alam raya dan kejadiannya serta akal untuk memahami dengan baik. Gabungan inilah yang pasti mengangkat darjat manusia ke tingkatan-tingkatan yang tinggi di sisi Allah. Ia adalah perlumbaan menuju pengabdian terbaik di sisi Allah.

Malangnya, manusia hanya mementingkan kesihatan mata dan telinga. Akal pula digunakan hanya semata-mata untuk mencapai dan memuaskan apa yang dimahui oleh hawa nafsu mereka yang bertaraf rendah dan hina.

Mereka membiarkan hawa nafsu menakluki dan merajai diri mereka dan membiarkan akal yang bernilai tinggi itu menjadi hamba yang bekerja demi kepuasan nafsu duniawi semata-mata.

Di situ peranan akal terbengkalai. Ia seperti menggunakan jentera berat hanya untuk melakukan kerja-kerja yang boleh saja dilakukan oleh tangan dan cangkul. Akal langsung tidak digunakan untuk melonjakkan manusia ke tingkatan atas dan samawiy, seterusnya menggerakkan segala anggota tubuh untuk mengejar ketinggian di dalam kehidupan.

Petunjuk Allah pada saat ini amatlah penting. Ia adalah proses memandu manusia dan akalnya dengan sinar cahaya kepada jalan yang benar. Apabila manusia tidak berfikir dengan betul, dia tidak akan melihat gelap sebagai gelap, dinding sebagai dinding, bahkan dia tidak pernah sedar bahawa dia sedang bermain-main di tepian lubang yang dalam.

Proses menunjuki ini dinamakan hidayat Allah atau petunjuk Allah. Ia proses memperlihatkan dan meletakkan manusia di atas jalan benar menuju Allah. Ia seperti kegelapan malam yang dihadiahkan dengan sinar siang. Sudah pasti jalan-jalan menjadi nyata dan perjalanan meraba-raba dan tanpa hala tuju akan berakhir.

Cuba anda perhatikan bagaimana Allah memberi hidayat-Nya kepada orang-orang kafir yang tidak beriman. Ia adalah dengan pelbagai cara dan jalan. Tetapi persamaannya adalah pencerahan akal. Akal ditarik untuk berfikir kepada soal ketuhanan dan perihal ghaibiyyat.

Akal dimudahkan, sifat kehambaan

Akal juga dimudahkan untuk menerima kehadiran Allah dalam diri dan juga sifat kehambaan dirinya. Maka dengan tiba-tiba keyakinan menerjah dirinya bahawa dia sedang memijak jalan yang jelas yang belum pernah dipijaknya sebelum ini. Itulah al Siratul Mustaqim atau jalan yang lurus iaitu Islam. Dia lalu mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi muslim.

Berapa ramai manusia yang berfikir tetapi kegelapan adalah teman hidupnya. Semuanya adalah dengan kehendak Allah yang maha mengetahui. Jika Dia mahu, maka dibuka-Nya jalan hidayat. Jika sebaliknya, maka ditutup-Nya jalan hidayat dan tiada manusia mampu membukanya. Itulah kehendak Allah yang maha agung. Itulah juga rahmat-Nya yang maha luas.

Al hidayah atau petunjuk ini lawannya adalah 'al dhalalah' atau kesesatan. Ia adalah cahaya yang menghapuskan kegelapan. Ia adalah permulaan kepada sebuah perjalanan di atas jalan Allah yang lurus.

Tetapi di atas jalan yang lurus itu ada ujian seterusnya. Ujian Allah tidak berhenti hanya apabila seseorang itu telah meletakkan kakinya di jalan-Nya yang lurus itu. Pendek kata, kaki manusia masih boleh tersadung walau sudah dekat dengan pintu syurga. Jalan yang istiqamah lurus juga memerlukan kaki yang istiqamah lurus di atasnya. Jika tidak, si hamba tetap gagal.

Tidakkah anda perhatikan atau rasakan bahawa kita ini, walaupun sudah muslim dan beriman, tetapi masih melakukan kesalahan dan dosa? Adakah apabila kita sedang melakukan dosa dan maksiat, kita merasa berada di atas jalan yang lurus itu? Sudah tentu tidak bukan? Ya, kita akan merasai bahawa kita sudah tersasar dan tersadung.

Semakin banyak dan berulang-ulang kita melakukan dosa dan maksiat, kita akan merasa semakin jauh daripada-Nya. Bahkan anda perhatikan, orang-orang Islam yang melakukan kezaliman dan kejahatan, mereka seolah-olah lupa kepada Allah dan balasan-Nya. Jalan lurus apakah ini?

Apakah yang akan menyelamatkan kita daripada tersadung di atas jalan ini. Ya, sudah pasti dengan petunjuk daripada Allah jua. Tetapi ia bukan lagi sebagaimana petunjuk pertama yang merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan di dalam cahaya iman. Petunjuk kedua ini adalah lebih merupakan satu kekuatan dan kesediaan dalam diri untuk kekal dengan arahan dan petunjuk-Nya.

Mengapa? Ya, tiada yang mampu menghalang seseorang yang telah beriman kepada Allah daripada terus mengikuti arahan dan larangan-Nya selain hilangnya azam atau lemahnya diri di dalam menanggung kesukaran. Apabila diri lemah, dia akan memilih untuk berhenti atau melalui jalan yang cepat walaupun salah.

Halangan adalah banyak. Ia adalah ujian Allah di perjalanan sukar ini. Musuh-musuh agama daripada syaitan, orang-orang kafir, para munafikin bahkan saudara-saudara Islam sendiri yang berpenyakit akan menjadi sebab yang melemahkan jiwa dan memesongkannya daripada mengikuti jalan agama. Malah, musuh utama setiap muslim adalah nafsunya sendiri.

Nafsu yang gagal dididik untuk tunduk kepada Allah akan sentiasa meronta-ronta untuk memburu kehendak syahwat duniawinya. Daripada punca-punca inilah, kita melihat ramai umat Islam yang tewas, bahkan sebahagiannya melawan dan menentang agamanya sendiri.

Petunjuk kedua yang merupakan kekuatan dan kesediaan untuk teguh di jalan yang lurus ini dinamakan al rusyd atau al rasyad. Al Hidayat dan al rusyd kedua-keduanya bermakna petunjuk atau hidayah. Ia disebut berulang kali di dalam al Quran dan al Sunnah. Para ulama tafsir telah memahaminya sebagai dua jenis petunjuk Allah yang amat diperlukan oleh setiap hamba.

Kegelapan memerlukan cahaya, manakala kelemahan memerlukan kekuatan dan kesediaan. Justeru walaupun muslim itu tetaplah muslim, tetapi di jalan Allah tetap berlangsung pertarungan yang mengalahkan atau memenangkan. Kepada Allah jualah tempat kita memohon petunjuk dan pertolongan.

"Ya, Allah, kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakanlah untuk kami 'rasyada' (petunjuk) dalam segala urusan kami." (Surah al Kahfi: 10)

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 18/3/2018

APABILA keluar PAS, maka dituduh PAS tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. PAS hanya boleh kuat dalam organisasi Islam. PAS tidak boleh ubah negara. Saya teringat inilah hujah yang Umno lemparkan lepada PAS sejak sekian lama. Sekarang, hujah ini diambil oleh pembenci PAS. Begitu juga hujah Umno mengatakan PAS tidak layak memerintah, PAS hanya layak mengajar di masjid dan surau. Setelah 28 tahun memerintah Kelantan, PAS mampu membuktikan walaupun ditekan dan dinafikan hak sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Namun, PAS mampu mara menuju cita-cita yang suci.

PAS tidak pernah memisahkan PAS sebagai gerakan dakwah dan politik untuk mendapat kuasa. Mungkin sewaktu di dalam PAS tidak sempat hadam perkara ini. Hanya kenal, PAS sebagai partii politik sahaja, Inilah bahananya.

Susah juga manusia dilanda dengan penyakit perasan atau penyakit kagum dengan diri sendiri (I’jab Binafsi). Ini di antara penyakit yang membinasakan sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tiga perkara yang membinasakan, sifat kikir, ikut hawa nafsu dan bangga diri.”

Mereka ingat apabila mereka meninggalkan PAS, maka PAS akan mati dan semakin menguncup. Telahan ini silap. Berapa ramai pemimpin PAS yang cabut lari dan kutuk PAS yang mereka makan rezeki daripada hasil berjuang di dalam PAS, namun PAS tidak merempat.

Merasakan PAS hebat kerana individu, sedangkan PAS hebat kerana dasar yang ada kepada batang tubuh PAS. Siapa pun memimpin PAS, PAS tidak akan hilang daripada persada politik Malaysia, selagi PAS tidak membuang dasar Islam. Saya masih ingat ketika Almarhum Dato’ Asri Haji Muda meninggalkan PAS, penganalisis politik mengandaikan PAS akan hilang daripada persada politik Malaysia. Tetapi berlaku sebaliknya. Waktu itu masyarakat anggap PAS, “Parti Asri Sekeluarga”. Betapa hebatnya pengaruh Dato’ Asri dengan pidato dan kelicikan politiknya. Apabila beliau tidak ada, muncul tokoh-tokoh penggantinya yang meneruskan agenda perjuangan Islam.

Mereka yang meninggalkan PAS anggap, PAS sekarang berbeza dengan PAS zaman almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Apa yang beza?. Apakah kedua-dua tokoh ini kemaruk kuasa sehingga menggadaikan prinsip Islam. Bukankah DAP pernah keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001, waktu itu kedua-dua tokoh ini masih memimpin PAS. Mereka berdua bertegas mengenai dokumen Negara Islam, walaupun DAP tidak bersetuju. Akhirnya DAP keluar BA. Mereka ingat kedua-dua almarhum kemaruk kuasa sehingga hilang jati diri kot. Saya yakin, kalau kedua-dua tokoh ini ada mereka akan bersama dengan PAS. - HARAKAHDAILY 17/3/2018

PAS mengakui akan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang ada di negara ini. Justeru itu, PAS menegaskan bahawa variasi masyarakat ini mesti dipelihara dan diolah menjadi sumber kekuatan bagi memacu kemajuan negara dalam pelbagai aspek.

nasrudin2. Amat tidak wajar sekali perbezaan yang lahir secara semulajadi ini diperalat dengan cara mencetuskan sentimen perkauman dan menyentuh sensitiviti agama semata-mata untuk meraih kepentingan tertentu sehingga mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Sedang Allah swt. berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu pada sisi Allah swt ialah insan yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui. (Al-Hujuraat : 13)

3. Islam dengan syariatnya yang sejagat telah menggariskan hak terhadap orang bukan Islam yang mesti diberikan dan dilindungi oleh pemerintah Islam. Betapa pentingnya menjaga hak bukan Islam sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Ketahuilah bahwa orang yang menzalimi bukan Islam sedang ia menjalin perjanjian dengan kerajaan Islam atau mengurangi haknya atau membebaninya di atas kemampuannya atau mengambil darinya sesuatu yang ia tidak relakan, maka aku adalah orang yang akan membelanya pada Hari Kiamat." (Riwayat Abu Daud)

4. Islam juga melarang orang bukan Islam dipaksa meninggalkan agamanya bagi menganut agama Islam. Orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menganut kepercayaan dan mengamalkan ajaran agama masing-masing.

5. Orang bukan Islam juga berhak untuk menganggotai badan eksekutif dalam pemerintahan Islam terutamanya bagi mentadbir pelaksanaan sesuatu dasar dan juga penggubalan dasar-dasar yang melibatkan kepentingan orang awam secara umum.

6. Sama ada orang Islam atau bukan Islam, semuanya wajib bekerjasama menjaga keamanan dan keselamatan negara terutamanya daripada ancaman musuh negara.

7. Selain itu, cukai yang dikutip daripada orang bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam seperti jizyah adalah bagi menjamin orang bukan Islam mendapat hak perlindungan dan penjagaan yang sebaiknya terhadap nyawa, harta dan maruah mereka.

8. Sekiranya tidak berupaya menjamin perkara ini, pemerintah Islam wajib mengembalikan semula cukai yang telah dipungut itu kepada mereka.

9. Demikianlah betapa prinsip Islam memberikan perhatian yang sangat istimewa terhadap orang bukan Islam. PAS komited dan konsisten untuk memperjuangkan dan menterjemahkan prinsip-prinsip ini sehingga menjadi dasar penting negara.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
26 Jamadil Akhir 1439 / 14 Mac 2018
https://m.facebook.com/bayaanulmubin/ - HARAKAHDAILY 14/3/2018

SAYA beberapa kali pernah masukkan foto kaki gajah terikat rantai ini. Orang tanya apa cuba saya maksudkan dari simbolik gajah berantai ini. Hari ini saya nak ceritakan apa yang terbakar dalam hati saya sekian lama. Saya lahir dan membesar di Kuala Terengganu. Saya dan rakan-rakan saya bersekolah di sini. Kami di Terengganu mendapat keputusan peperiksaan antara terbaik dalam negara.

Saya bersekolah di sekolah asrama penuh seperti juga mereka yang terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang terkenal di seluruh negara seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, STAR, SDAR, MTD, KTK, STF, KIK dan pelbagai sekolah sains seluruh negara.

Kami ada acara tahunan pertandingan antara SBP-SBP ini. Bahas, Sukan, Kuis Sains Matematik. Adakala kami mengatasi mereka, adakala kami diatasi. Kami punya daya saing dan tidak berani direndah-rendahkan orang. Mereka leka, kami potong mereka.

Kami masuk ke universiti pun sama. Anak Terengganu ramai jadi jagoan dalam pelbagai bidang. Saya bersama Wan Zainuddin (peguam kanan sekarang) dan Hj Ramli Nuh (bekas YB Umno) pernah satu pasukan debat di peringkat universiti. Kami jadi johan kalahkan pasukan negeri-negeri lain. Pemimpin Mahasiswa jika datang dari Terengganu dipandang, 'lantang dan bekeng', tegas, berprinsip. Gerakan Mahasiswa dilihat berbisa.

Kami membesar dalam keadaan mengetahui bahawa Terengganu bukanlah 'basat tere', papa kedana tak ada apa apa. Kami tahu Terengganu kaya-raya. Dalam perut bumi, atas permukaan bumi, dalam sungai, dalam laut. Serba-serbi Allah kurnia.

Tun Mahathir tulis Terengganu penyumbang terbesar petroleum negara. Tapi dia suruh semua yang nak berurusan industri petroleum pergi Kuala Lumpur, KLCC, Dayabumi. Ratusan kapal dalam industri petroleum datang dari Johor, Singapura, Lumut, Port Kelang, Pulau Pinang. Yang kaya raya logistik cari gali petroleum adalah Sapura Kencana, Mokhzani Mahathir. Yang kaya raya berdagang petrol, diesel, kerosene adalah Petron Mirzan Mahathir.

Mana ada taikun industri petroleum dari Terengganu. Sikit-sikit celah gigi adalah! Kita Gergasi Besar yang terantai oleh skim aturan politik yang merugikan diri. Ditambah pemimpin dipilih rakyat Terengganu dari kalangan yang kononnya terpilih hok paling bagus dalam Umno jelas sifatnya berjiwa 'hamba' yang taat mengkhinzir buta terhadap apa-apa yang diputuskan berkaitan ehwal harta hatta kedaulatan Negeri Terengganu oleh kepala mereka di Umno pusat.

Tiada pemimpin Umno Terengganu yang punya gigi di kalangan pemimpin teratas Umno. Jauh sekali dalam BN. Yang ada dilantik untuk sekadar penyeri pemenuh kuota 'wat lawo' sahaja. Tajinya tiada. Orang agih peruntukan pembangunan tak setimpal pengorbanan Terengganu serahkan hak petroleum. Sebanyak 5 peratus royalti mula-mula dikawal pusat.

Zaman Tun Mahathir wang royalti diarah belanja untuk Perwaja Steel. Buka kilang billion ringgit di Gurun Kedah. Angkut billet besi dari Terengganu melalui Lebuh Raya Timur Barat hantar ke Gurun. Berpuluh treler berat setiap hari. Sampai Samy Vellu pening lebuh raya Jeli Grik asyik runtuh.

Kemudian episod royalti petroleum dinafikan bayaran kepada kerajaan negeri oleh kotornya amalan diskriminasi politik Umno sehingga mungkir perjanjian. Wang Ehsan dikawal Umno. Kena lalui meja Tan Sri Shamsudin Hitam di Treasury. Kena pohon minta sedekah. Selanjutnya dijenamakan sebagai Dana Khas. Hinggalah zaman Razif jadi MB, kenyataan "Tiada minyak di Terengganu" berani diungkapkan tanpa sikit habuk pun bantahan dari Umno Terengganu. Celaka sungguh.

Kita ada pelabuhan antara paling dalam di Teluk Kalong Kemaman. Ada pakar pelabuhan berbisik, sayang sungguh mengapa ditimbus begitu luas, kalau tidak bakal jadi tumpuan dunia. Pelabuhan Kemaman yang ada pernah diletak di bawah Kuantan Port Konsortium yang memiliki pelabuhan Kuantan. Sudahnya pelabuhan Kuantan segar bermaya, pelabuhan Kemaman setakat ada-ada saja.

Seluruh Pantai Timur Semenanjung, industri pembinaan dan pembaikan kapal moden sudah sedia maju di Kuala Terengganu. Tapi yang dihargai dan diberi publisiti adalah cuma industri bot tradisional kayu yang penuh estetik dan eksotik. "Bot Terengganu bina tak pakai paku, tak pakai skru! Kita pakai pasak saja, hebat!". Dalam industri kapal komersil hari ini, siapa peduli paku atau pasak? Yang penting 'fitness for purpose'. Kesesuaian untuk tujuan apa ia dibina.

Orang luar hargai kita. Tapi orang kita, tak hargai aset yang ada di kalangan kita. Tenaga kepakaran yang ramai berhijrah merata sampai Singapura dan Timur Tengah. Yang lebih malang, pakar eletrikal, pakar kemasan dalam paip akhirnya tukar profesion. Jual nasi bajet pun ada. Nelayan kita paling ramai bilangan di Malaysia. Tapi miskin. Penghasilan ikan tak munasabah dengan bilangan nelayan.

Saya teringat laporan Ketua Audit Negara berkenaan bagaimana duit petroleum Terengganu digunakan lebih RM100 juta untuk bina rumah rakyat dalam Negeri Terengganu, yang peliknya belanja lebih RM700 juta untuk bina rumah di negeri-negeri lain luar dari Terengganu.

Kontraktor Melayu pun paling ramai di Malaysia. Sebab itu begitu lama Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia datang dari Terengganu. Tapi mana ada kontraktor yang besar yang gah melaksanakan projek di Terengganu? Hari ini kalau ada projek, orang duduk bercakap, lepas dapat dekat liziz, liziz lagi. Lepas tu barulah dapat dekat syarikat lain, proksi liziz lagi! Itu jadi buah mulut kalangan kontraktor.

Mungkin jika ada senarai panjang anugerah projek di Terengganu, nilai, nama kontraktor, kita boleh telitikan satu persatu, soheh atau tidak. Sekarang perhatikan pembinaan 50,000 unit rumah rakyat PRIMA yang diumumkan MB Terengganu. Belum apa-apa sudah umumkan beri peluang kepada syarikat berpangkalan di Beijing China untuk bina. "Jika berjaya disempurnakan, kesemua rumah PRIMA akan dibina oleh mereka" ujar MB Terengganu pada tahun 2015.

Gergasi dari Negara China ini tak buang masa. Buka kilang keluarkan komponen pasang siap IBS secara besar-besaran di Hulu Terengganu. Adalah penyusunan korporatnya agar tak nampak sangat 'beri saja-saja' kepada kontraktor asing. Tapi moral of the story adalah sama. Beruk di hutan disusukan. Anak sendiri mati kelaparan.

Macamlah tiada orang Terengganu yang pandai bina rumah setingkat dua. Ia bukan kondominium, bukan apartment. Sayang sungguh Negeri Terengganu. Kita kaya, ramai orang pandai-pandai, tapi rakyat pilih mereka yang tidak selayaknya menjaga kepentingan rakyat dan negeri. Sedangkan orang Terengganu dihormati dan berposisi selayaknya dalam PAS dan Gagasan Sejahtera.

Presiden PAS jadi antara tokoh terpenting dalam dunia Islam Antarabangsa. Punya pengaruh yang boleh menarik rangkaian perekonomian Islam Dunia ke Malaysia dengan dukungan Gerakan Islam seluruh dunia. Punya hubungan Institusi-institusi Pengajian Tinggi dunia. Kita gajah yang kaki kita terbelenggu rantai besi. Putuskan ikatan. Kita akan bergerak gagah menggegarkan dunia.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
26hb Februari 2018 - HARAKAHDAILY 26/2/2018

DUA kejutan

Saya nak mengambil kesempatan untuk menerangkan, menghuraikan matan yang diberi oleh Yang Berhormat Ustaz Idris tadi. Dia matan, saya nak buat huraian semampu yang saya boleh mengikut keadaan masa yang ada kepada kita pada malam ini. 

Minggu lepas saya di Kelantan beberapa kejutan telah saya lihat dan alami. Yang pertama selepas solat maghrib di Masjid Pulau Melaka, saya dipelawa oleh Yang Berhormat Nik Abduh ke rumah Tok Gurulah, rumahnya. Saya pun dengan beberapa orang kawan masuk rumah Tok Guru, tengok buah limau mandarin separuh ruang rumah. Saya pun dengan suara yang agak sinis berkata enta raya hebat tahun ini, limau banyak. 

Barulah Yang Berhormat beritahu dekat saya, dia kata ada seorang tauke Cina menghantar buah limau ini selori ke rumah dia dengan menyebut hadiah untuk Tok Guru. Nik (Abduh) kata Tok Guru mati tiga tahun dah. Tak apa, hadiah untuk Tok Guru. 

Tuan-tuan, saya peristiwa itu membuat saya berfikir, sudah tiga tahun al-Marhum Tok Guru Nik Aziz meninggalkan, tiba-tiba perkara hadiah limau ini masih terus berlaku. Kenapa boleh berlaku? Apa hubungan Tok Guru dengan penderma ini? Apa jasa Tok Guru bagi dekat dia? Dan apa hubungan pula dia dengan Tok Guru? Tak ada apa. Bukan keluarga dia, bukan pernah bagi projek dekat dia, bukan itu dan bukan ini. Tetapi kejujuran, amanah, keberkatan daripada keikhlasan Tok Guru menegakkan kebenaran. Maka terpaut hati orang yang bukan Islam dengan Islam. Dia bawa buah itu dah tiga tahun. Tiga tahun dah mati. 

Inilah yang selalu ditekankan oleh pimpinan kita bahawasanya untuk mengubat penyakit yang menyentuh masyarakat kita hari ini adalah disebabkan oleh penyelewengan-penyelewengan yang berlaku. Seorang yang boros sampai bila pun dia tak senang selagi dia tak buang perangai borosnya. 

Perasuah, penipu dan sebagainya sekarang tak payah kita duduk sebut lagi, dia tutuh sesama dia saja, orang duduk kata, orang ini kata, dan memang itu pun hakikatnya yang duduk berlaku dalam masyarakat. PAS boleh ubah, kita yakin dan kita buktikan di Kelantan. Ustaz Ahmad Yakob buktikan bahawa pengurusan kewangan pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Kerajaan Kewangan Negeri, bahagian-bahagian lain dalam kerajaan negeri telah mencapai kejayaan yang cukup cemerlang dan bebas daripada unsur-unsur penyelewengan, rasuah dan sebagainya. 

Kita dah bukti, cumanya kalau dah, rakyat dapat tahu. Yang kita hairan, kita dah buktikan kepada dunia pada masyarakat bahawa kita boleh buat yang terbaik mengikut panduan al-Quran. Kenapa ada pula daripada kalangan orang Islam sendiri yang sekarang sedang bekerja keras, ceramah tiap-tiap hari, tiap-tiap malam untuk nak menjatuhkan kerajaan yang sudah pun membuktikan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik. 

Jadi, kita ragu bekas Pesuruhjaya tuan-tuan ini saya berkenallah, kenal dengan dia. Dan pada satu ketika dulu saya hormat dia, masa saya mengikuti rombongan Tok Guru Nik Aziz ke London, dia menjadi ‘Amir kepada pelajar-pelajar yang berhimpun untuk program-program yang diatur. Saya hormat dekat dia. Balik ini, saya puji Presiden kerana melantik dia sebagai Pesuruhjaya.

Tapi rupa-rupanya menjadi lagu itu juga. Saya minta maaf, saya datang ke Johor ini kalau boleh saya nak ziarah dia. Saya sayang dekat dia, saya kesian dekat dia, dia seorang yang baik, yang saya kenal. Tetapi dia hasut, maka dia sanggup untuk nak menolak kebenaran yang pernah satu ketika dialah pendukungnya.

Jadi, manusia-manusia jenis ini kita kena lihat mereka dengan perasaan kesian, kasih-sayang, kesian jadi begitu. Kenapa? Kenapa tidak kembali? Macam tadi alasan yang Ustaz... marah dekat PAS, sebab PAS putus hubungan dengan DAP. Cuba tanya balik kenapa PAS putus hubungan dengan DAP? Mana dia hujah syaraknya kita putuskan hubungan, kita putuskan hubungan dengan PKR, mana hujah syaraknya yang mereka tuduh kita ini menyeleweng dan meninggalkan perjanjian? Mana hujah syaraknya? 

Saya mengikuti seorang pemimpin yang juga kawan baik saya, pemimpin parti Amanah ini melalui media massa. Dia kata baiah yang berlakunya  antara dua pihak, antara PAS dengan calon. Apabila salah satu mungkir, maka tersendirinya baiah itu batal. 

Ertinya, dia bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallah sumpah itu dia ingat dia dengan Tok Guru Haji Hadi, dia dengan Ustaz Idris. Maka kerana DAP tolak Tok Guru Haji Hadi dan Tok Guru Haji Hadi tak mahu dekat DAP, maka dengan sendirinya dia bebas, terlepas daripada janji:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ (١٠)

“Orang yang berbaiah dengan kamu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka berbaiah dengan Allah (10).”

(al-Fath: 10)

Hat ini tidak disedari oleh mereka, mereka melakukan apa yang otak mereka suruh mereka lakukan. Dengan sebab itu inilah satu yang mengejutkan saya ketika di Kelantan.

Satu lagi peristiwa mengejutkan saya. Saya juga pada malam yang sama malam terkejut buah limau itu, saya dijemput dalam satu majlis makan malam derma pilihan raya dianjurkan oleh satu kawasan, saya nak habak kawasan Kubang Kerian, buat di PUTIK. Apabila majlis berjalan, pengerusi dia sebut kutipan kita sehingga sekarang ini, dia duduk kutip lagi pun ada, untuk derma pilihan raya bagi kawasan,  bukan negeri. 

Tuan-tuan malam ini negeri ke kawasan? Ini negeri. Tadi alhamdulillah kita dah dapat 6000. Kalau Dato’ Dr Haron Din duduk bagi kertas yang macam itu tulis berapa puluh ribu pun dia  cukup marah. Dia kata tunjuk replika cek itu, duit sekupang pun tak ada. Dia tak nak macam itu, dialah, saya tak apa. 

Apabila pengerusi mengumumkan setakat dia duduk bercakap lagi, kutipan sudah dicapai sebanyak 160 ribu ringgit oleh satu kawasan, hat itu saya terkejut kali yang kedua. Apa makna itu? Maknanya Kelantan negeri mundur tahu. Perlis tiga tahun dah diisytihar sebagai negeri maju, Negeri Perlis. Di Kelantan satu kawasan kutip boleh 160 ribu. Kalau kutip di Perlis boleh 1600, Pesuruhjaya lompat sampai siling, dia suka. Apa makna? Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS, ramai orang kaya, orang ada duit, dan pemurah, penderma pada jalan Allah S.W.T.

Perlis negeri maju, miskin, tak ada duit, kedekut. Saya tak malu untuk sebut benda-benda seperti itu. Baru bulan lepas kita dihadiahkan seluas lebih kurang orang Perlis panggil lima relung tanah kosong untuk diberi kepada Maahad Tarbiyah kepada PAS Perhubungan Negeri Perlis. PAS pun bersihkan sikit, buatlah sikit, panggil Presiden untuk pergi membuat pelancaran. Panggil semua cawangan-cawangan yang ada dalam Perlis, tetamu-tetamu jemputan. Saya tak malu untuk sebut Negeri Perlis negeri maju, boleh 16 ribu. Itulah, sepatut boleh 160 ribu, bukan satu kawasan, Perlis satu negeri, negeri maju pula. Apa makna? Maknanya kesedaran keagamaan, pengorbanan ke arah menegakkan hukum Allah begitu rendah di Negeri Perlis. 

Dan saya harap juga bahawa sumbangan-sumbangan ini akan menunjukkan bahawa kesedaran al-wa’yul Islami di kalangan kita ini adalah tinggi. 

Kisah Umair dan Safwan

Saya nak balik sikit lagi, ada sikit. Saya teringat kita ini musuh kita disebut tadi macam-macam. Dalam politik ini cukup banyak musuh. Tadi saya jumpa seorang Yang Berhormat di airport, dia pun menceritakan di negeri dia itu dia Yang Berhormat juga, kena santau dah dua orang Yang Berhormat disantau. Yang Berhormat PAS kena santau, ini apa ini? 

Tapi dalam pada itu,  saya suka mengingatkan kita semua, mari kita lihat dengan perasaan ingin mengubah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita kepada ke arah yang lebih baik. Kerana kita tak tahu kadang-kadang seorang itu jahatnya, musuhnya terhadap Islam begitu tinggi, tiba-tiba dia boleh jadi baik. 

Untuk ini saya nak paparkan kepada tuan-tuan pada malam ini suatu peristiwa yang pernah berlaku selepas daripada peperangan Badar, perang Badar, tentera Islam 313 orang menewaskan musuh lebih daripada 1000 orang kaum Quraisy. 

Apabila Quraisy kalah, 70 orang pemimpin-pemimpin besarnya terkorban, Quraisy balik ke Makkah dengan perasaan sangat geram, benci, dengki kepada orang Islam terutamanya Rasulullah. Mereka berpakat, bincang, bagaimana nak mengatasi ataupun nak menebus kekalahan mereka dalam perang Badar. Ringkaskan cerita, ada dua orang yang ahli sejarah menyifatkan Min Syayatin Quraisy, dua orang ini pemimpin Syaitan daripada Quraisy. Insan Syaitan ini, jahat sungguh. Mereka tak terbunuh, mereka balik.

Satu hari, orang yang pertama nama dia Umair Bin Wahb al-Jumahi, dia kepala Syaitan. Dia duduk geram dekat Nabi Muhammad, dia berjumpa dengan sahabat baik dia, Safwan Bin Umaiyah. Dia beritahu, hai Safwan, kalaulah tidak kerana aku ini anak banyak, hutang pun banyak, tanggungjawab rumah tangga banyak, kalau tak kerana itu, hari ini juga aku akan pergi ke Madinah dan membunuh Muhammad.

Apabila Safwan mendengar apa keluhan yang dibuat oleh Umair, dia kata jangan bimbang, aku jamin hutang kamu banyak mana pun aku bayar. Anak-anak kamu dan keluarga kamu akan aku anggap seperti keluarga aku sendiri jika berlaku satu keburukan kepada kamu. Kamu pergilah, aku berjanji dan aku ambil tanggungjawab itu. Dia pun balik siap pedang dia itu dia tajamkan, dia bubuh terus dah racun. Kalau kena sikit saja, mati. Terus pergi ke Madinah. 

Kebetulan dia sampai saja di Madinah, Nabi dalam masjid bersama dengan beberapa orang Sahabat termasuklah Saidina Umar Bin al-Khattab. Apabila Saidina Umar tengok kedatangan Umair dengan wajahnya yang bengis, menunjukkan geramnya kepada Rasulullah, dia pun beritahu ya Rasulullah, Umair, syaitan Quraisy datang. Aku jangka dia datang dengan perasaan jahat, nak melakukan sesuatu. Nabi kata apa? Nabi beritahu izinkan dia masuk jumpa aku. 

Sahabat tak bantah apabila Nabi kata masuk, dia pun dibenarkan masuk. Pedang dia itu terhunus, tapi diiringi oleh Sahabat-sahabat Nabi kalau dia bergerak agak mencurigakan, mungkin mereka akan buat dia dulu. Nabi kata, duduk, dia duduk. Bagi tahu kepada aku wahai Umair, tolong beritahu kepada aku, apa matlamat kamu datang ini? Cakap betul.

Dia kata, kau tahu anak aku Wahb Bin Umair Bin Wahb. Jadi, dia suka sangat nama Wahb. Kamu dah tawan, aku nak tebus balik anak aku. Nabi kata apa? Nabi kata kamu bercakap tak betul. Yang sebenarnya kamu telah berbincang dengan Safwan Bin Umaiyah di tepi Kaabah, di tepi Hajar Aswad begini-begini-begini. Nabi cerita habis daripada awal perjumpaan sampai habis, dan perjanjian yang dia buat di antara Umair dan juga Safwan. Dia terkejut waktu itu bukan ada handphone nak whatsapp ke, nak ini, nak telefon ke, nak beritahu segera tak ada. Tapi apa yang Nabi kata, bertepatan dengan apa yang dia buat. 

Waktu itu tuan-tuan, tersemat di pemikirannya, akalnya bahawa Muhammad tak akan tahu benda ini, tak ada siapa yang tahu, orang Quraisy pun. Dia dengan Safwan sahaja yang tahu cerita ini, rahsia ini. Bagaimana Muhammad boleh tahu? Maka dia buat kesimpulan Muhammad adalah seorang Nabi, dimaklumkan kepada dia oleh satu kuasa iaitu Allah S.W.T. Selepas daripada itu dia terus mengucap dua kalimah syahadah dan dia peluk Islam.

Orang jahat ini nak bunuh Nabi, datang dalam keadaan jahat. Tapi Allah beri hidayah dekat dia. Dia beriman dengan dinamakan al-imanul aqli, beriman dengan ajaran Islam dan dia selamat. Si kawan dia Safwan, dia pun panggil orang-orang Quraisy, dia kata tuan-tuan, insyaa Allah dua tiga hari lagi kita akan dapat khabar gembira. Dia tak cerita apa yang Umair pergi itu dia nak buat apa, tapi kita akan dengar berita gembiralah.

Jadi tiap-tiap orang balik daripada Utara, Madinah ke, Syam ke, dia orang bertanya, ada apa-apa berlaku di Madinah? Tak ada. Tiba-tiba satu orang yang balik, dia orang tanya, Safwan tanya apa dia yang berlaku? Dan apa yang dibuat oleh Umair? Dia itu jawab, Umair telah peluk agama Islam. Apabila dia dengar Umair telah peluk agama Islam, dia duduk harap Umair bunuh Nabi, tiba-tiba beriman dengan Nabi, pengsan sekejap. Dia duduk tunggu di Makkah. Yang Umair ini, ini yang saya nak simpulkan, setelah dia memeluk agama Islam, Nabi pesan dua perkara:

فقهه في الدين، وعلمه القران

Apa makna itu? 

“Bagi dia faham agama ini, (agama Islam, bagi dia faham). Dan ajar kepadanya al-Quran.”

Kenapa Nabi sebut dua ini? Dua inilah asas iaitu orang yang duduk menentang Islam sebahagian besarnya dia tak faham Islam. Sebab itu Nabi pesan:

 فقهه في الدين

“Bagi dia jadi fakih dalam agama.”

Dan ini tugas kita sekarang. Nak bawa masyarakat faham agama. Dan memahami, mempelajari al-Quran. Minta maaflah saya duduk bercakap ikut kampung saya saja, di luar saya jarang bercakap. Tapi hari ini dia berani pula bercakap sini iaitu anak kamu ini nak pergi mana? Oh nak jadi doktor. Anak kamu nak bagi dia masuk mana? Nak bagi jadi engineer, akauntan itu dia. Kamu tak tengok ke itu berapa orang dah doktor yang lulus doktor tak ada kerja? Adalah. Anggapkan lima tahun lagi, banyak mana doktor yang tak ada kerja? Banyak mana engineer yang tak ada kerja?

Kalau dulu daftar sahaja mula masuk belajar bahagian perubatan, hospital duduk tungguh dah, bila nak keluar budak ini nak diambil kerja? Jadi, keluar Tanjung Malim, jamin kerja dapat. Sekarang beribu orang tak ada kerja. Cuba kita balik semula kepada apa Nabi pesan:

 فقهه في الدين

Ini tugas kita. Sebab Nabi pesan dekat Sahabat:

فقهه

Orang baru ini, ajar dia agama:

وعلمه القران

“Ajar dia al-Quran.”

Maka tak sia-sia Maahad-maahad Tahfiz melahirkan ribu setahun mereka yang menghafal al-Quran, tetapi mereka insyaa Allah Allahuwar Razzak, tuhan yang beri rezeki, dan mereka terus mendapat rezeki daripada Allah S.W.T. 

Akhirnya terima kasih kepada tuan-tuan terutama PAS Johor yang sudi menjemput saya untuk hadir dalam majlis yang permai pada malam ini. Tempat ini tempat bersejarah iaitu tempat bermulanya tercetus pertembungan antara dua puak dalam PAS. Inilah tempat yang saya masih ingat. 

Dan diikuti setahun selepas itu di Kuala Selangor dengan Allah bersihkan. Dan sekarang saya cukup senang apabila melihat kepimpinan yang faham cakap. Pimpinan yang wala’ kepada pemimpin atasan dan juga arahan-arahan yang diberi. Kita harap tuan-tuan juga akan mengikuti jejak yang sama, kita akan dapat keberkatan. Kalau Umair yang degil boleh berubah, Safwan yang degil akhirnya dia juga masuk Islam, dan mereka bekerja meng-Islamkan orang-orang di Makkah pada ketika itu sebelum datangnya tahun Fathu Makkah.

(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dari Ucapan Mursyidul Am PAS dalam Ceramah Fastaqim 2.5 H10K JDT semalam di Dataran Istiqamah, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, Johor.) - HARAKAHDAILY 25/2/2018

MASA begitu pantas berlari meninggalkan kita, detakan jarum jam terus berputar tanpa menghiraukan hiruk pikuk dan carut marut dunia ini. Telah tiga tahun sang maestro dakwah dan siasah ini telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, menoreh sejarah emas dalam perjuangan Islam di negara ini. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,mantan Mursyidul Am PAS yang kedua, juga mantan Menteri Besar Kelantan yang telah merubah wajah Kerajaan Kelantan yang dimenangi oleh PAS dan APU dalam tahun 1990.
 
Sosok ini berjaya membudayakan al Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al Quran di tanahair ini. Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al Quran.
 
Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Makkah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al Quran.
 
Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dalam kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.
 
Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.
 
Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa. Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.
 
Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri. Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan. Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.
 
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan. Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR). Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran.
 
Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. Abnaul harakah PAS wajar melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran.
 
Generasi muda wajar mengkaji sejarah hidup almarhum membangunkan Kelantan, dengan kekangan regim Umno-BN yang pada masa itu diterajui oleh Tun Mahathir. Kelantan dikucilkan kerana iltizam almarhum kepada Islam, rakyat Kelantan didera kerana menyokong PAS dan meletakkan almarhum Tuan Guru sebagai pemimpin utama kerajaan negeri jantung hati orang Melayu ini. Kelantan menjadi kampus politik terbuka dan negeri yang menjadi tadahan wahyu dengan erti kata lain, merealisasikan suruhan al Quran dan mencegah kemungkaran dengan bidang kuasa yang dimiliki oleh Tuan Guru dan kerajaan negeri. Moga sosok murabbi ini damai di alam abadi dan kita mengambil ibroh daripada kesungguhan beliau membangunkan Islam dalam setiap jiwa rakyat Kelantan dan juga pendokong PAS.
 
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

KEANGKUHAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah ketika kunjungan kerjanya di Kelantan beberapa hari lalu. Dalam kenyataannya itu beliau mengingatkan Kerajaan PAS Kelantan mengenai bantuan yang dihulurkan Kerajaan BN pada negeri itu. PM mengungkit bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu membayar gaji penjawat awam jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.
 
Analogi kenyataan PM ini ibarat seorang ayah yang kerap kali mengungkit jasa dan pengorbanan ayah terhadap anak-anaknya. Walhal, itu adalah tanggungjawab seorang ayah. Tidak perlu mengungkit hal tersebut pun anak-anak akan tahu bahawa ayahnya yang perlu berkorban untuk anak-anaknya. Malah, itu tugas dan rutin seorang ayah yang membanting tulang bekerja demi kesejahteraan anak-anaknya. Seolah-olah, pemberian selama ini tidak ikhlas dan hanya mengharapkan balasan. Jika begitu sifatnya, inilah watak seorang ayah yang tidak baik kerana sering menuntut dan meminta balasan dengan anaknya terhadap apa yang diberikannya selama ini.
 
Seorang pemimpin yang baik tidak akan berkira dan kedekut terhadap rakyatnya. Dia tidak akan mengira latar belakang, warna kulit, idelogi politik, sokongan, dan kedudukan mereka. Sesiapa sahaja yang susah pasti akan dibantu. Baik Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, mahupun Sabah dan Sarawak menjadi perhatian jika kedudukan mereka susah. Tidak perlu diungkit jasa dan pengorbanan kerana rakyat sendiri yang menilai keikhlasan seorang pemimpin. Sememangnya tugas Perdana Menteri mengagihkan bantuan kepada kerajaan negeri yang memerlukan, termasuk Kelantan.  
 
Pemimpin jahat adalah pemimpin yang bersifat pendendam dengan menyekat bantuan kerana tidak suka kepada sesetengah pihak atau golongan yang tidak menyokongnya. Pelbagai alasan diberikan bagi menghalalkan tindakannya. Hanya kerana benci atau tidak suka kepada kelompok tertentu, yang mungkin kerana mereka tidak menyokongnya, maka pelbagai kekangan dibuat. Jika diberi sekalipun, dia akan mengungkit ‘selama tujuh keturunan’ seolah-olah dia telah berjasa besar dan berbuat perkara paling baik dalam hidup. 
 
Yang PM ingat adalah dia pemimpin besar dan berjasa banyak kepada rakyat, khususnya negeri Kelantan. Yang dia lupakan adalah dia adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Sekali dalam tempoh lima tahun rakyat akan memilihnya dan partinya untuk menjadi Perdana Menteri. Tujuan rakyat memilihnya adalah bagi membela rakyat untuk tempoh lima tahun kemudiannya. Antara rakyat yang memilih BN dalam pilihan raya lalu datangnya dari Kelantan. Justeru, bagaimana dia boleh mengungkit jasa kerajaan sedangkan rakyat pula yang memilih kerajaannya berkuasa selama lima tahun.
 
Bagaimana nanti rakyat mengungkit sumbangan dan jasa mereka yang memilih Kerajaan BN selama ini tetapi PM melupakan mereka. Jika inilah keadaannya, maka rakyat berhak menilai semula sokongan mereka kepada BN. Rakyat mahu memilih pula kerajaan dan pemimpin yang ikhlas dalam berkorban untuk rakyatnya, merasakan rakyat banyak berjasa kepadanya daripada dia berjasa kepada rakyatnya. Tatkala itu baru beliau kenal siapa lebih berkuasa, antara Kerajaan Pusat dengan rakyat. Tunggulah, beberapa bulan lagi rakyat pula akan memilih mana kerajaan yang mereka impikan dan tahulah PM siapa berkuasa sebenarnya ketika itu.
 
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 30/1/2018

SAYA menerima satu gambar daripada seorang teman seperjuangan. Ia adalah satu keratan akhbar tempatan yang menyiarkan berita berkenaan pertikaian berkenaan hal wang royalti negeri Terengganu di antara dua pihak iaitu satu di pihak kerajaan Terengganu dengan sebuah gabungan pembangkang yang baru bertapak di Terengganu. Saya tidak berminat mengulas panjang berkenaan perbalahan mereka. Tetapi saya sangat berminat untuk menerangkan kepada rakyat bahawa kedua-dua belah pihak ini sama sahaja mengkhianati rakyat dalam isu royalti ini.

PAS sudah belasan tahun berjuang bagi mendapatkan kembali royalti petroleum iaitu hak mutlak dan maruah bagi negeri Terengganu yang kita cintai ini. Tidak kira samada PAS ketika menang menjadi kerajaan, mahupun ketika menjadi pembangkang, PAS mengira maruah ini mahu tidak mahu, wajib kita kembalikan kepada Terengganu. Sedang mereka bersedap-sedapan menyedut minyak dan gas kita, kita hanya menjadi pemerhati bisu yang lemah yang tiada dapat berbuat apa-apa.

Bagi menjelaskan kembali perkara ini, Umno pada tahun 2012, melalui penggubalan Akta Laut 750 telahpun menukar status perairan negeri-negeri dengan meletakkan sehingga tiga batu nautika sahaja. Jika royalti tidak diiktiraf bermula daripada tahun pertama perjanjian dibuat, kenapa perlu takrifan perairan negeri-negeri diubah? Setelah puluhan tahun Petronas membayar royalti itu sebagai tanggungjawab perjanjian antara negeri-negeri, kenapa tiba-tiba ia diubah tanpa persetujuan negeri Terengganu yang ketika itu ditadbir oleh PAS?

Bukan setakat itu, mereka juga mendakwa tiada royalti, tetapi yang ada hanyalah wang ehsan daripada kerajaan persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kepada rakyat negeri Terengganu, tanpa melalui kerajaan negeri yang dipilih secara sah. Sekiranya benar tiada royalti, kenapa tidak juga diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai pentadbir wang itu? Adakah dalam perlembagaan JPP dibenarkan berperanan mengambil alih tugas kewangan kerajaan negeri? Dan jika benar tiada royalti, kenapa telaga minyak Bertam diumumkan diserahkan kepada Pahang? Bukankah sepatutnya ia menjadi milik pusat?

Jangan kita lupa bagaimana tidak terlepas juga dari ingatan kita ketika mantan MB Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan akan mendapatkan kembali wang royalti itu daripada pusat, sehinggalah beliau diturunkan dengan cara yang memalukan. Menunjukkan bahawa sememangnya royalti itu hak Terengganu. Begitulah jelasnya penipuan Umno.

Alhamdulillah sekarang MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman jelas menyebut kembali ‘royalti’ merujuk kepada wang hasil perolehan petroleum di negeri Terengganu, tidak lagi wang ehsan. Bermakna royalti itu sememangnya wujud dan diketahui umum kewujudannya. Tiada alasan lagi, bagi Umno dan sekutu-sekutunya menafikan kebenaran itu. Sangat keji permainan Umno, sudahlah royalti tidak mahu diberikan kepada yang berhak, orang lain juga boleh menggunakan sewenang-wenangnya wang royalti kita. Maruah negeri Terengganu tercalar kerana Umno.

Oleh itu, anda semua janganlah terpedaya dengan sandiwara kedua-dua Umno dan gabungan pembangkang yang baharu bertapak ini yang kononnya berkelahi mempertahankan maruah dan hak rakyat Terengganu melalui isu royalti ini. Jelas kerana orang yang mula-mula mencadangkan untuk royalti disekat ialah wakil Umno Terengganu di dalam Perhimpunan Agung Umno, orang yang melaksanakannya pula ialah Tun Dr Mahathir, bakal PM dari Harapan sekarang dan yang meneruskan kezaliman ini ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Umno sekarang.

Rakyat seharusnya bertenang dan ketawa dengan cerita komedi yang dilakonkan oleh kedua-dua belah pihak. Tidak mudah bagi mereka mencari bakat-bakat pelakon yang baik untuk melakonkan watak-watak penipu dan pembelit ini. Saya yakin dan percaya rakyat Terengganu sangat bijak dalam menilai siapa yang menipu mereka. Jadi Umno dan Harapan sekarang diibarat sebagai dua ekor pelanduk yang sedang bergaduh dan di tengah-tengah sekawan gajah iaitu rakyat. Pastinya kedua-dua pelanduk itu akan dipijak gajah kerana hanya mengganggu dan tidak mendatangkan manfaat kepada gajah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
4 Jamadilawwal 1439/23 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 23/1/2018