NAMPAKNYA isu-isu melibatkan agama Islam di negara kita semakin hebat menerima serangan. Tidak seperti dekad-dekad yang lalu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan sudah tidak lagi dihormati. Perjuangan menjadikan Malaysia sebuah negara liberal yang menganjurkan persamaan semua agama sebagaimana barat semakin menjadi-jadi.

Teladani polemik RUU355. Pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah ini hanya melibatkan orang Islam sahaja. Tetapi ia diserang begitu hebat pemimpin politik bukan Islam. Turut terlibat menentang adalah golongan pejuang hak kebebasan beragama Islam. Malah ada agamawan turut mempertikai. Kita hairan, kenapa usul RUU355 yang bersifat begitu teknikal, bermatlamat menaiktaraf martabat Islam dan eksklusif hanya kepada penjenayah beragama Islam ini mendapat tentangan sebegini dahsyat?

Isu Dr Zakir juga sama. Dia dituduh ancaman kepada negara. Dia dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Dia diwatakkan seperti penjenayah berbahaya. Sedangkan kepada yang pernah mendengar ceramah beliau, pasti tahu bagaimana pembawaan beliau. Tidak pernah sekali-kali beliau memperomosikan keganasan. Ceramahnya sarat dengan hujah ilmiah dan logikal yang menepati manhaj akademik. Beliau tidak pernah menghina sesiapapun dan sangat hormat kepada undang-undang dan pemerintah setiap negara yang dilawati.

Lalu apakah punca sebenar semua penentangan ini berlaku?

Tidak lain dan bukan, kerana kedua isu ini membawa keuntungan buat masa depan Islam di negara ini.

Mereka tahu sekiranya undang-undang syariah berjaya diaplikasikan setelah RUU355 diluluskan, orang akan melihat keindahan ajaran Islam yang sebenar, jauh dari apa yang digambarkan barat. Lalu akan membawa kepada kecenderungan untuk memeluk Islam.

Mereka juga tahu setiap hujahan Dr Zakir Naik mampu membuatkan orang meyakini kebenaran ajaran, lalu memeluk Islam. Hampir setiap kali program ceramah yang dilakukan, ada sahaja saudara baru yang memeluk agama suci ini.

Jika kedua usaha ini dibiarkan, Islam akan terus berkembang pesat. Islam akan menjadi pegangan semua kaum yang ada di Malaysia. Maka ia akan menggagalkan usaha mengliberal negara ini. Justeru bagi mereka, ia tidak boleh dibiarkan.

Semua ini adalah sebab utama semua penentangan berlaku. Hakikat yang sebenar, mereka anti kepada usaha kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat. Dengan kata lain, mereka anti-Islam!

Malang sekali, mereka kini semakin lantang bersuara. Walaupun umat Islam adalah majoriti dan mereka hanya mewakili pandangan sebilangan kecil rakyat Malaysia, mereka tetap mengganas dan terus diberikan muka.

Puncanya adalah kerana umat Islam sendiri yang bertelagah. Masing-masing bermusuh antara satu sama lain. Ada orang Islam sanggup berpihak kepada penentang Islam ini termasuk agamawan, dengan memberi modal hujah kepada golongan ini, hanya kerana yang memperjuangkan syariat ini adalah seteru politik mereka atau berlainan fikrah dengan mereka.

Atas nama hak untuk berbeza, kita umat Islam sendiri membina tembok antara kita, sehingga tidak boleh duduk bersama walaupun demi kepentingan Islam.

Hanya satu-satunya cara mendiamkan golongan anti-Islam ini adalah bersatu atas nama Islam. Buang perbezaan politik, buang percanggahan ideologi, mazhab, aliran, dan semuanya. Sama-sama pertahankan Islam. Jangan lagi bercakap tentang perbezaan, tentang perkara khilaf. Semua itu tidak membantu agama buat masa ini. Melayu, aswaja, wahabi, kaum muda, kaum tua, PAS, Umno, keadilan, buang ke tepi dahulu semua nama ini. Kita guna satu nama sahaja. MUSLIM!

Atas nama muslim, sama-sama pertahan pemerkasaan syariat Islam. Sama-sama pertahankan Dr Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEAKAN menjadi sunnah dalam perjuangan para Nabi dan Rasul alaihimussalam berdepan tuduhan sebagai pendusta, ahli sihir, gila dan pemecah belah masyarakat lantaran seruan mereka kepada mentauhidkan/mengesakan Allah.

Mereka dihalau dari kampung halaman, dihalang memasuki negara orang, malah dengan cara yang kejam seperti Nabi Muhammad SAW yang dilontarkan batu sehingga berdarah ketika mahu masuk ke Taif.

Sebahagian Nabi dibunuh seperti perlakuan Bani Israel yang membunuh Nabi-nabi dari kalangan mereka.

Usaha yang sabar berjaya mengislamkan sebahagian, manakala sebahagian besar yang lain tetap tidak mahu beriman sekalipun mereka tewas apabila berdepan hujah yang benar, malah ditunjukkan mukjizat kenabian yang tertentu.

Pahala membawa manusia kepada Islam sangat besar. Jika satu orang menjadi Islam kerana usaha kita, Allah janjikan ganjaran begitu besar. Ini pula ribuan yang menjadi Islam oleh usaha para nabi.

Zakir Naik mengajak manusia kepada Islam dengan jalan menghujahkan secara terbuka dan ilmiah. Beliau membenarkan orang menyoalnya dan dia memberikan jawapan. Dia tidak memaksa bukan Islam hadir ke majlisnya, tetapi memberi layanan baik kepada yang sudi hadir. Beliau tidak memaksa orang menerima jawapannya. Beribu orang menjadi Islam oleh usaha beliau.

Ada yang menuduh Zakir Naik tidak patut membandingkan agama. Tetapi tugas semua pendakwah mengeluarkan manusia daripada kesesatan. Untuk berbuat demikian sudah tentu seorang itu perlu menjelaskan perkara yang benar dengan perkara yang salah. Yang lurus dengan yang sesat.

Nabi Ibrahim a.s pernah sampai menggantungkan kapak di patung berhala yang paling besar sehingga ditanya oleh kaumnya siapa yang telah pecahkan semua patung berhala yang ada di keliling patung yg terbesar itu?

Maka dijawab oleh Nabi Ibrahim "Tanya lah berhala yang besar yang ada kapak itu?

"Lalu dijawab kaumnya mustahil patung itu berbuat demikian kerana ia tak boleh buat apa apa kerana cuma patung.

Dibidas oleh Nabi Ibrahim, "makanya kenapa kalian menyembah patung yang tidak boleh berbuat apa-apa? "

Zakir Naik dituduh mengganggu keharmonian, memecah belahkan mesyarakat.

Tidakkah sama seperti yang dituduh kepada para Nabi?

Naudzubillah, tetapi kelihatannya jika Siti Kasim, Asiah Jalil dan 'Mujahidin" itu berada pada zaman Rasulullah SAW, mereka bagaikan berada di baris hadapan dalam kelompok menghasut masyarakat membenci Nabi atas alasan menggugat keharmonian, memecahbelahkan rakyat .

Orang Islam yang sejati mempertahankan Zakir Naik.

Malah saya sendiri ingin sekali menjadi Zakir Naik.

Kami semua adalah Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. (Riwayat Imam Malik)

 

PADA hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan Sambutan Maulid Nabi SAW sebagai menzahirkan kecintaan kita semua kepada Penghulu Segala Nabi, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda dalam bulan Rabi'ul Awal Tahun Gajah merupakan satu cahaya yang menerangi seluruh kegelapan alam. Kita sangat bertuah kerana dipilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW, sehingga kita mendapat nikmat iman dan Islam pada hari ini. 

Dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang penuh kesesatan dan dunia yang menjadi perebutan kuasa besar - Rom dan Parsi - telah memberi isyarat betapa kehadiran Baginda adalah untuk membawa rahmat, cahaya hidayah dan agama yang akan mengembalikan semula manusia kepada Sang Pencipta. Dalam tempoh 23 tahun, Baginda telah berjaya mengubah umat Arab Jahilliyah menjadi 'Khair Ummah.' Demikianlah besarnya kesan akibat kelahiran Sang Nabi SAW ini.

Sekarang, setelah 1348 tahun Baginda mendirikan negara di Madinah untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah, segalanya telah berubah. Kewafatan Baginda telah membawa semula manusia kepada kesesatan agama dan ideologi ciptaan manusia. Umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia menjadi seperti buih di tengah lautan kerana mereka meninggalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Lihatlah apa yang terjadi kepada umat Islam di Palestin dan Rohingya, ditindas tanpa pembelaan!

Bagi menguatkan semula umat yang telah terbabas dari al-Quran dan Sunnah inilah, para ulamak telah menubuhkan PAS pada 1951 dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum yang memandu perjuangannya. PAS mengajak manusia kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah demi untuk mengembalikan kekuatan seluruh orang yang beriman, sebagai mana zahirnya Nabi SAW dengan agenda Rabbani untuk benar-benar meletakkan manusia sebagai hamba Allah.

Bersempena dengan Sambutan Maulid Nabi SAW pada hari ini, saya menyeru seluruh umat Islam atas nama agama yang suci dan kemuliaan Nabi SAW, supaya kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Bersatu dan membina kekuatan atas nama Islam, melaksanakan syariat Allah demi sebuah ketaatan dan meninggalkan kesesatan seluruh ideologi serta kemungkaran demi menjayakan tujuan penciptaan.

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
12 Rabiul Awal 1438 - HARAKAHDAILY 12/12/2016

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar tindakan Kementerian Kewangan yang sanggup membela golongan ultra kaya dengan tidak mengenakan lebih cukai terhadap mereka.

Hakikatnya dalam Islam, golongan 1% - 5% dalam golongan T20 perlu dicukaikan dengan kadar sekitar 2.5% daripada pegangan saham atau lebihan simpanan mereka untuk diagihkan kepada golongan miskin.

PAS juga yakin banyak syarikat korporat dan konglomerat melarikan diri daripada membayar cukai dengan pelbagai strategi licik. Contohnya dalam rejim percukaian SST.

Pelaksanaan SST membuka banyak ruang kepada pengilang untuk tidak membayar cukai dengan membuat helah ‘transfer pricing’. Akhirnya, pengguna akhir terpaksa menyerap kos yang tinggi dan kerajaan hanya mendapat hasil yang kecil.

Pada masa yang sama, rakyat khususnya golongan pertengahan (M40) terpaksa menanggung pelbagai jenis cukai dan beban kewangan.

Contohnya, mereka tidak mendapat subsidi petrol, Bantuan Sara Hidup dan skim perkhidmatan kesihatan yang lebih baik. Malah, kumpulan penoreh getah, pekebun kecil dan nelayan telah dikurangkan elaun serta subsidi mereka.

PAS meminta Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula reformasi fiskal yang telah digubal bagi memastikan jurang pendapatan dikecilkan serta sistem agihan kekayaan kepada rakyat dipulihkan.

Polisi Kementerian Kewangan hanya menguntungkan golongan ultra kaya. Walhal, tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk membela nasib golongan susah dan mudah terjejas.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
7 Rabi’ul Awwal 1440 | 15 November 2018 – HARAKAHDAILY 15/11/2018

SETAHUN yang lalu, pada tanggal 14 September 2017, negara dikejutkan dengan tragedi ngeri kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 20 nyawa.

Ekoran peristiwa itu, pantas pihak yang berfikiran liberal mencadangkan supaya pusat tahfiz ditutup kerana mendakwa tahfiz tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pembangunan negara.

Hari ini 22 Sept 2018, Malaysia telah mencatat 31 orang maut dari seluruh negara sejak 18 September lalu akibat minum arak beracun yang mengandungi metanol. Anehnya golongan liberal membisu sejuta bahasa. Tidak kedengaran pula suara mereka menggesa agar kilang arak ditutup ekoran tragedi ini.

Manusia Selalu Zalimi Diri Sendiri

Nasrudin Hassan
Sabtu: 12 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 23/9/2018

FIRMAN Allah SWT dalam surah Al Anfal ayat 72,

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلَايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا ۚ وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِير

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan."

ustnajhansudupnsPenyertaan PAS dalam sistem demokrasi dan pilihan raya semenjak sebelum merdeka, berjuang bagi mendapatkan undi dan bilangan sokongan adalah perkara yang sangat penting untuk meletakkan PAS dan suara Islam di persada pemerintahan negara.

Kepentingan dalam usaha mendapatkan dan memperolehi undi sokongan bagi menjayakan misi dan visi Islam satu perjuangan yang sama seumpama dengan medan jihad dakwah untuk mengajak dan menyeru manusia kepada Islam.

Ini kerana Islam diturunkan oleh Allah ialah untuk menyeru seluruh umat manusia yang belum Islam dan juga yang meninggalkan Islam supaya kembali semula ke pangkal Islam jalan yang sebenar.

Kenangan peristiwa Hijratur Rasul SAW dan seluruh para sahabat Baginda Nabi SAW adalah satu aspek penting untuk dilihat dan diteliti oleh ummah pada masa kini.

Perlu difahami dan diteladani bahawa perintah penghijrahan Allah SWT dan Nabi SAW ke atas seluruh para sahabat di Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan undi dan sokongan suara Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW agar mendapat tempat dalam sistem pemerintahan Madinah.

Baginda Nabi SAW diangkat sebagai pemimpin Madinah selepas peristiwa Bai'ah kesetiaan suku Aus dan Khazraj dalam Aqabah Pertama dan Kedua memerlukan sokongan dan sokongan suara yang lebih kukuh daripada sahabat-sahabat Nabi SAW dari Mekah yang lebih teruji kesetiaan dan pengalaman.

Sahabat-sahabat Nabi SAW di Mekah amat di Madinah di kala Nabi SAW sebagai pemerintah yang sudah tentu sokongan suara diperlukan untuk memperteguhkan pemerintahan Nabi SAW di samping sahabat Madinah yang masih baru dalam Islam dan kurang berpengalaman. Pada masa yang sama golongan yang Bukan Islam seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan Musyrikin masih lagi menjadi majoriti dan memonopoli dalam pelbagai sektor di Madinah.

Maka sudah tentu, dalam keadaan suara Islam yang hanya bergantung kepada sahabat-sahabat asal dari Madinah sahaja masih belum mencukupi untuk memberi keteguhan kepada kepimpinan Nabi SAW.

Allah SWT mewajibkan secara mandatori penghijrahan sahabat-sahabat Nabi SAW ke Madinah adalah satu petanda bahawa pemerintahan Islam di Madinah memerlukan suara dan sokongan individu dari kalangan sahabat-sahabat Nabi SAW dari mekah, apa lagi mereka adalah sahabat yang telah terbukti kemampuan dan kesetiaan ketika mereka bersusah payah bersama Nabi SAW di permulaan perjuangan Islam selama 13 tahun.

Allah SWT juga dalam ayat diatas bagaimana kita mampu memahami bahawa besarnya kemurkaan Allah kepada mereka yang ingkar dan enggan berhijrah sehingga memungkinkan tergugatnya kedudukan pemerintahan Islam di Madinah.

FirmannNya, dalam AL Anfal ayat 72 (maksudnya): "Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya."

Begitu juga dalam ayat 89 Surah an Nisa' yang bermaksud: "Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam)."

Kedua-dua ayat ini secara langsung menjelaskan bahawa dalam sistem pemerintahan, apalagi dalam konteks sistem pilihan raya dan demokrasi yang diamalkan di negara ini yang disertai oleh PAS, undi dan sokongan individu Muslim begitu kritikal untuk memastikan suara Islam mampu memonopoli dan menguasai suasana dan sekali gus meletakkan kedudukan Islam pada tempatnya.

Undi rakyat dalam pilihan raya dan suara bilangan ahli parlimen serta bilangan ahli dewan undangan negeri sebagai contoh perlu dipastikan berpihak kepada Islam agar segala usaha untuk memperjuangkan Islam mendapat tempat dan direalisasikan.

Bayangkanlah bagaimana agaknya Nabi SAW mampu untuk meletakkan polisi-polisi Islam dalam pemerintahan Madinah sekiranya suara Yahudi, Nasrani dan Musyrikin menjadi majoriti? Sudah tentu, tidak. Walaupun Nabi SAW sebagimana diyakini akan dibantu oleh Allah SWT, namun hakikatnya usaha manusia tetap menjadi sebab dan faktor untuk memperolehi pertolongan daripada Allah SWT. Kalau tiada usaha daripada kita untuk membantu dan memberi sokongan kepada agama Allah, bagaimana mungkin Allah sendiri akan membantu perjuangan kita.

Sebagai contoh kini kita boleh melihat, bagaimana usaha memartabatkan sistem Mahkamah Syariah menerusi RUU 355 begitu susah untuk diluluskan dan direalisasikan, adalah disebabkan suara Islam adalah suara yang kecil berbanding dengan suara yang menentangnya. Bilangan ahli parlimen Islam di Dewan Rakyat masih belum mencukupi untuk berupaya memenangi kehendak Islam dalam sistem demokrasi yang diamalkan.

Begitu juga, sekiranya suara Islam lemah atau bilangan undi Islam tidak kukuh, maka sudah tentu golongan majoriti yang menolak Islam menguasai suasana undian dan berupaya menentukan keputusan mengikut kehendak mereka. Contohnya undang-undang dan polisi yang tidak menguntungkan Islam dan bercanggah dengan Syariah akan diluluskan. Adalah menjadi tidak mustahil sekiranya suara majoriti undi dan ahli wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri adalah bukan Islam atau yang menentang Islam, polisi membenarkan dan menghalalkan LGBT mampu diluluskan dan dibenarkan di negara ini.

Mungkin ada ahli parlimen Muslim yang lain, tetapi ahli parlimen Muslim sahaja belum mencukupi untuk menyokong Islam dan sebagai contoh RUU335 atau menentang polisi anti Syariah, kerana disebabkan kejahilan atau faktor duniawi yang menghambat amalan Islam mereka sehingga teragak-teragak untuk bersuara mengundi menyokong atau menentang.

Sebab itulah apabila dilihat kerahan mandatori sahabat-sahabat Nabi SAW dari Mekah untuk berhijrah ke Madinah adalah kerana sahabat-sahabat Mekah adalah golongan yang lebih berkeyakinan dan memiliki kemantapan Iman dan Islam mereka yang boleh diharap untuk mempertahankan dan memperteguhkan kepimpinan Nabi SAW di samping sahabat-sahabat di Madinah.

Kesimpulannya, adalah satu bentuk anjakan paradigma perlu diusahakan dan dilonjakkan kepada umat Islam di negara ini, bahawa kepentingan meraih undi, sokongan rakyat, memiliki bilangan majoriti Ahli Parlimen Muslim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Muslim agar kedudukan dan usaha memartabatkan Islam dapat dilaksanakan.

Kisah Hijratul Rasul SAW perlu diolah dan dicerakinkan dalam segenap ceramah, majlis ilmu dan kuliah termasuk ulasan para ulamak dan ilmuwan untuk memahamkan umat Islam dan rakyat di negara ini akan kepentingan undi dan pilihan raya bagi memenangkan calon pilihan Islam dalam sistem demokrasi negara ini.

PAS akan terus istiqamah dan tetap berjuang dalam ruang demokrasi berparlimen di negara ini menerusi penyertaan pilihan raya sebagai satu ijtihad PAS yang difahami dan diyakini bahawa ia juga tidak memiliki perbezaan dengan apa yang disirahkan oleh Nabi SAW dalam perjalanan hidup Baginda SAW sehingga Baginda berjaya meletakkan dan memartabatkan Islam lalu diteruskan oleh pengikutnya sepanjang zaman. PAS juga berkeyakinan usaha ini menepati syarak dan dikira sebagai dakwah sebagaimana Islam itu menguasai 2/3 dunia melalui dakwah dan akhirnya Islam menguasai pemerintahan ke atas seluruh umat manusia.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1440
Sejahtera Bersama Islam
Hijrah Itu Pengorbanan - HARAKAHDAILY 11/9/2018

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

ORANG tua terdahulu cekal tabah dan sabar menghadapi tekanan dan dendam Umno BN ke atas mereka. Mereka istiqamah di jalan Allah dengan PAS dan perjuangan Islam. Dengannya mereka pasti mendapat laba besar di akhirat nanti insya Allah.

Hari ini, generasi baru adalah untuk Malaysia baharu dan politik Islam yang lebih dinamik dan terbuka. Sejarah bukan untuk dibalas dengan dendam dan kemarahan. Ia bukan pun menambah pahala, bahkan mungkin sahaja meruntuhkannya kembali. Perpecahan bukanlah satu kejayaan untuk dikecapi.

Carilah pahala dan redha-Nya dengan meneroka sesuatu yang lebih baru, benar dan tepat buat umat Islam.

Perpecahan adalah dipaksakan pada zaman sayyidina Ali karramaLlahu wajhahu. Keadaan amat kelam dan menyedihkan. Tetapi, sebaik anaknya, sayyidina Hasan bin Ali mengambil alih khilafah daripada ayahandanya, beliau meneroka sesuatu yang luar biasa.

Khilafah umat diserahkan secara damai kepada saingan ayahnya iaitu sayyidina Muawiyah radhiaLlahu anhu dengan syarat beliau mengusahakan kesatuan umat yang menamatkan kelam perpecahan umat. Muawiyah menerimanya dan beliau berjaya melakukannya dengan segera dan sempurna. Itulah lambang persaudaraan yang terpasak teguh di persada politik umat.

PRK N32 Seri Setia sedang menyaksikan penerokaan politik baharu, sambungan daripada PRK Sungai Kandis.

Semalam saya berkata, orang PAS undilah Umno. Hari ini saya tidak perlu lagi berkata, orang Umno undilah PAS. Ia sedang dan pasti berlaku insya Allah.

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa. – HARAKAHDAILY 19/8/2018

BAGI negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang dan Terengganu mencatatkan kadar kemiskinan (2014) yang paling tinggi iaitu 0.9%, 0.7% dan 0.6% masing-masing berbanding negeri-negeri lain yang berada pada kadar 0.4% dan ke bawah.

Bagi peratus isi rumah berpendapatan kurang daripada RM6,000 sebulan (2014), negeri-negeri ini juga berada pada kedudukan yang paling tinggi iaitu 84.8%, 80.3% dan 77.1% masing-masing; selain Perak (81.1%), Perlis (80.3%) dan Kedah (79.1%).

Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah (2016) bagi keenam-enam negeri ini pula berada antara RM3,079 hingga RM4,694 sahaja, lebih rendah daripada pendapatan penengah nasional iaitu RM5,228.

Jika dikelaskan mengikut kumpulan isi rumah, ia adalah termasuk dalam kategori 40% pertengahan (M40) dan 40% terendah (B40). Bagi kedua-dua kategori kumpulan isi rumah ini, Bumiputera adalah teramai iaitu 38.0% bagi M40 dan 17.0% bagi B40 berbanding kaum Cina dan India.

Berdasarkan data-data yang dinyatakan ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah Bumiputera – atau lebih tepat, Melayu – di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) dan utara (Perak, Perlis dan Kedah) adalah golongan yang masih terpinggir pada aspek pembangunan dan kemajuan sosioekonomi terutamanya kumpulan isi rumah B40.

Sumber pendapatan kumpulan B40 ini selain daripada gaji atau upah yang hanya menyumbang 70% kepada pendapatan isi rumah, mereka juga bergantung sehingga 20% kepada pindahan tunai seperti zakat, bantuan pendidikan, BR1M dan bantuan tunai yang lain.

Sekalipun pendapatan kumpulan B40 naik sebanyak 5.8% setiap tahun sejak 2014, perbelanjaan pula meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 6%, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sedikit untuk berbelanja.

Penduduk di negeri-negeri ini juga umumnya bergantung kepada sektor perikanan, penternakan dan perladangan dengan bekerja sebagai nelayan, pengusaha sawah padi, penoreh dan pekebun kecil getah untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kehidupan.

Secara puratanya nelayan di Semenanjung Malaysia memperoleh RM2,100 sebulan manakala Elaun Sara Hidup (ESH) yang diberikan pula hanya RM300 sebulan bagi nelayan zon A dan RM250 sebulan bagi nelayan zon B, C dan C2 kepada pemohon yang layak sahaja.

Pengusaha sawah padi pula amat bergantung dengan subsidi bernilai RM800 juta yang disediakan dan elaun RM200 sebulan yang diberikan kerajaan sebelum ini. Sekiranya ia dikurangkan atau ditiadakan, ia sangat menjejaskan golongan ini pada aspek hasil padi dan sumber pendapatan.

Penoreh dan pekebun kecil getah pula kini hanya memperoleh 30kg getah sehari bagi kebun seluas kira-kira 1.2 hektar berbanding sekitar 60kg hingga 70kg sehari sebelum ini memandangkan harga purata peringkat ladang getah sekerap di Semenanjung Malaysia berada pada paras RM2.10 sekilogram.

Sehingga kini, menteri dari Pakatan Harapan sama sahaja dengan BN sebelum ini turut menolak untuk menetapkan harga lantai bagi getah sebagaimana jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018. Sedangkan harga lantai itu bukan sahaja permintaan oleh PAS malah juga Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 sebulan yang diberikan selama 3 bulan (November hingga Januari) melibatkan 440,000 pekebun getah sangat membantu. Malangnya dalam jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018, beliau memaklumkan BMT sedang diteliti semula. Saya bimbang ia tidak akan dilanjutkan.

Melihat kepada keadaan sosioekonomi golongan Bumiputera-Melayu di negeri-negeri Pantai Timur dan utara ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan lebih perhatian kepada golongan ini terutamanya menerusi penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibuat dan semasa kongres masa depan Bumiputera yang mahu dilaksanakan pada September nanti.

Sekiranya ia dibiarkan tanpa ditangani secara komprehensif dan kolektif, dikhuatiri ia akan melebarkan lagi jurang sosioekonomi antara kaum di negara ini. Justeru, pengagihan ekonomi yang adil yang mahu dicapai juga seharusnya melihat kepada aspek kaum ini.

”Sejahtera Bersama Islam"

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu, 15 Ogos 2018 | 2 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 15/8/2018

TAMAN Melewar 11 Ogos 2018 - “Kasihan Presiden. Kalau saya memang tak tahan dah,” ucap Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS dalam program Liqa Fikri PAS Pusat di Taman  Melewar pagi ini merujuk pelbagai fitnah dan tohmahan yang ditujukan kepada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS terutama melalui media sosial.

“Suasana politik hari ini saling tak tumpah seperti yang berlaku dalam cerita Abu Nawas, iaitu serba tak kena. Abu Nawas bersama anak dan seekor keldai. Berjalan kaki, ditanya kenapa tak tunggang keldai. Bila ditunggang seorang, dikritik kerana tinggalkan seorang lagi. Akhir sekali, Abu Nawas dan anaknya pula yang tanggung keldai,” ujar beliau membuat perumpamaan.

Beliau menambah: "Ahli Parlimen PAS bercakap pelbagai perkara, antaranya tentang aurat dan judi, seolah-olah tak kena. Dikritik kerana dilihat kononnya ia isu kecil”.

Beliau mengingatkan supaya tidak pedulikan apa orang cakap. Ahli Parlimen PAS dan ahli ada asas untuk bertindak dan berucap berdasarkan petunjuk agama. Kalau mahu dipedulikan kritikan semua pihak, tentu kita tidak akan dapat buat sebagaimana perintah agama.

Beliau juga memuji  program Liqa Fikri pada hari ini yang memfokuskan tentang topik istiqamah dan wala' yang mesti disuburkan di kalangan ahli PAS.

Beliau mengingatkan peserta Liqa Fikri tentang kepelbagaian cara dan sifat kepimpinan di zaman Nabi seperti yang ada pada Abu Bakar dengan kelembutan dan kesetiaannya, Umar dengan ketegasannya, juga seperti Abu Zar, sahabat yang tiada jawatan penting, hidup seorang dan mati sendirian.

Demikian juga kepelbagaian sifat ini wujud di dalam PAS. Yang penting ialah tiada bentuk pengkhianatan seperti kumpulan yang pernah wujud sebelum ini, dan ahli mesti memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden PAS menerajui parti, terutama dalam situasi politik tanah air mutakhir ini. - HARAKAHDAILY 12/8/2018

PENYAKIT sosial yang melanda masyarakat di negara ini terutamanya yang berlaku dalam kalangan remaja mesti diangkat sebagai keutamaan yang pertama untuk ditangani dan diselesaikan.

Tanpa menafikan keutamaan masalah ekonomi, sewajarnya perhatian yang diberikan terutamanya oleh barisan kepimpinan kerajaan terhadap penyakit ini adalah lebih baik daripada itu.

Penyakit ini jika diubati, dengan bersungguh-sungguh dan menyeluruh serta melibatkan semua pihak mengikut suluhan wahyu, pasti juga boleh menyelesaikan masalah-masalah lain dalam aspek politik dan ekonomi secara berkesan, kerana ia adalah pangkal sebelum cabang yang lain.

Jika angka seperti hutang berbanding KDNK, kadar inflasi, indeks harga pengguna dan kadar pengangguran menjadi petunjuk penting dalam masalah ekonomi yang sentiasa dikemaskini dan diulang siar di media cetak dan elektronik bagi menarik perhatian semua orang untuk memantau prestasinya justeru segera mengadakan langkah pengawalan, penyakit sosial dilihat tidak sedemikian.

Statistik berkenaan penyakit sosial seperti seks luar nikah, pelacuran, pembuangan bayi, seks songsang, lari dari rumah dan penyalahgunaan dadah sekalipun mendapat tempat di ruangan media, ia sekadar merupakan perhatian bermusim oleh pihak-pihak yang berkenaan sahaja ditambah lagi statistik yang ada dilihat hampir tidak dikemaskini kini kepada yang terkini dan tidak bersepadu.

Lebih malang lagi ada pihak yang memencilkan penyakit seperti ini sebagai isu peribadi seseorang sahaja dan menganggap ia hanya perihal hubungan seseorang itu dengan Tuhan, tiada kena mengena dengan orang awam.

Semestinya pemimpin kerajaan paling utama menjadikan para Nabi a.s. sebagai contoh dalam perkara ini. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. “إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق” (Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia) memperlihatkan bahawa masalah akhlak atau moral ini merupakan agenda terpenting kenabian dan kerasulan Baginda; bukannya sekadar menjadi masalah sekunder.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: Rabu 11 Julai 2018 | 27 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 11/7/2018

SAYA merujuk kenyataan media pertama Menteri Luar Negeri YB Datuk Saifuddin Abdullah yang bertajuk, “Saifuddin pledges to push for ratification of six international human rights conventions” yang disiarkan oleh The Star bertarikh 2 Julai 2018.

Salah satu dari konvensyen yang masih belum diratifikasi oleh Malaysia adalah International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights.

Difahamkan delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) telah berusaha menjadi pemerhati semasa sesi UPR Malaysia yang telah berlangsung pada 24 Oktober 2013 di Geneva, Switzerland.

Mereka telah melobi pihak Kerajaan untuk tidak meratifikasi syor-syor ICCPR khususnya kerana terdapat percanggahan peruntukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Malah, lebih kritikal lagi apabila tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam syor ICCPR tersebut adalah selari dengan tuntutan kontroversi pihak Comango yang jelas boleh menghakis kedudukan Islam, di samping mengiktiraf kewujudan LGBT termasuk menzahirkan kewujudan Syiah di Malaysia. Hal ini akan membangkitkan sensitiviti umat Islam di Malaysia.

PAS amat kecewa dengan kenyataan pertama Menteri Luar Negeri dan ia juga adalah salah satu daripada Manifesto Pakatan Harapan. Amat malang rakyat hari ini, apabila isu-isu ekonomi tidak diselesaikan oleh Kerajaan sebaliknya sibuk membangkitkan pelbagai isu yang mencabar status quo Islam dan Melayu di Malaysia.

"Sejahtera Bersama Islam"

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Syawal 1439 | 4 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 4/7/2018

KAWAN saya, seorang pakar terkenal dalam bidangnya, memilih untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini. Saya berkongsi pandangan dengannya lebih sejam.

Alasan utamanya adalah alasan utama pengundi PH iaitu demi jatuhkan DS Najib. Beliau menambah, bagaimana PH nak memerintah, kita kira kemudian. Yang utama, negara dah teruk akibat Najib. Semuanya adalah demi rakyat bawahan yang sedang hidup merana. Saya khusyukkan diri mendengar kawan yang dihormati berhujah penuh yakin. Saya hanya berseloroh, "Ingatkan dah jadi DAP..". Dia ketawa menafikan. Dia tahu saya tahu dia kuat semangat Melayunya.

Beliau mengkritik beberapa perkara mengenai PAS. Saya bersetuju dan berkongsi beberapa kritikannya adalah benar. Itu juga concern saya dalam membina PAS.

Dia 'push' supaya PAS lebih menonjolkan tokoh-tokoh profesional dan jangan terlalu ustaz sangat. Baru dapat bersaing memenangi hati rakyat.

Hehe 'boring' bab ini. Saya buat serius tanya dia dua soalan supaya dia lebih serius masa menjawab. Soalan satu, siapa Menteri Besar paling warak dalam Malaysia? Dia merenung 6 saat, kemudian menjawab, "Dato Mad Yakob kita." Saya mengiyakan. Saya tanya soalan kedua, siapa Menteri Besar paling profesional kepakarannya dalam Malaysia? Dia merenung 7 saat, lalu menjawab, "Menteri Besar Terengganu."

Saya berkata, "Nah, itu baru dua Negeri PAS memerintah." Hampir saya berkata kepadanya bahawa jika PAS berjaya memenangi Negeri Kedah baru-baru ini, maka calon MB-nya adalah Pesuruhjaya PAS Kedah, seorang pemilik Ijazah PhD.

Silalah buat perbandingan jika mahu. Tujuan saya, agar dia tersentak sedar bahawa golongan profesional dalam PAS adalah unggul. Jika Terengganu yang rakyatnya berlatar agama yang kuat boleh menerima seorang Pakar Kejuruteraan Aeroangkasa sebagai MB, bukankah lebih nyata bahawa PAS pasti mengemukakan calon yang sedemikian juga levelnya sebagai MB di semua negeri?

Apalah dogma bahawa PAS meminggirkan semua golongan demi penguasaan golongan ustaz? Ironinya, saya bersimpati pula dengan keluhan beberapa ustaz 'belah sana' yang mula rasa terpinggir tidak didengari akibat jamaahnya terlalu dikuasai golongan profesional. Kata mereka, pertimbangan agama sudah semakin menipis.

Begitulah perjuangan. Susah senang berpahala tiada ruginya.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AJK PAS Pusat
3 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 3/7/2018