KEDUA-duanya Datuk Najib dan Dr. Mahathir berlumba dalam PRU14 ini untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

PM Najib hendak menyambung jawatannya menjadi Perdana Menteri untuk penggal ketiga dan Dr. Mahathir pula yang bersara tahun 2003 hendak menjadi Perdana Menteri semula bagi kali kedua.

Subki 1PRU14 ini adalah peluang yang diberi oleh sistem demokrasi untuk rakyat sekalian untuk mencari Pedana Menteri yang terbaik dan pengundi jangan sia-siakan peluang yang Allah beri itu. Carilah yang bersih, bermaruah dan berakhlak mulia, bijaksana, berpandangan jauh, berwibawa/integriti, jujur dan dipercayai.

Siapakah antara keduanya yang lebih layak?

Kedua-duanya sudah ada pengalaman dan rakyat dan bukan rakyat, dalam negeri dan luar negeri tahu mereka dalam dan luar.

Kedua-duanya tidak layak lagi untuk menjadi Perdana Menteri baik sementara atau sepenggal lagi. Sekalipun ada pengalaman yang luas. Seorang 23 tahun Perdana Menteri saja dan seorang lagi 9 tahun.

Sepatutnya pengalaman yang banyak dapat menjadi pemimpin yang baik dan bewibawa. Tetapi mereka gagal pemimpin yang bersih, mulia, berwibawa dan bermoral.

Amalan demokrasi dan sistem yang terpakai di serata dunia tidak berjaya menjadikan kedua-dua pemimpin yang demokratik yang disegani ramai seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi kedua-duanya menjadi diktator, seorang keras dan garang iaitu Dr. Mahathir dan seorang lagi lembut pijak semutpun tak mati. Tapi kalau yang dipijak itu tikus, tikus itu mati.

Kuku besi itu tidak semesti garang, keras dan kasar. Tetapi ada juga diktator itu senyum dan lemah lembut di depan, tapi di belakang betul-betul besi, ditakuti semua. Diktator lembut itu kadang-kadang lebih menggerunkan dari yang kasar.

Antara maqasid syariyah yang PM Najib selalu sebut ada menjaga nyawa. Mahathir gagal menyelamatkan nyawa 14 rakyat awam dan empat anggota polis dalam kejadian berdarah di Memali. PM Najib pula gagal melindungi nyawa nona dari Mongolia, Altantuya yang melancong ke sini, bahkan mayatnya diberitakan diletupkan berkecai.

Keluhuran undang-undang yang jadi satu rukun dari Rukun Negara tidak dilihat berjaya digunakan bagi menyelesaikan kedua-dua pencabulan atas kehendak maqasid syariyah itu. PM Mahathir tidak menggunakan kuasanya menyelesaikan pembunuhan di Memali melalui undang-undang.

Selain dari tiada siasatan dilakukan, saman mangsa Memali yang difailkan tidak diusik mahkamah hingga peguam yang membela mereka mati dan mangsanya yang beratus tidak ramai lagi yang ada.

Bahkan pembunuhan nona Altantuya masih belum diselesaikan oleh undang-undang kita. Apakah kita menunggu PM Najib mati baru hendak diselesaikan?

PM Mahathir campur tangan dalam urusan mahkamah bila mentribunal lima hakim termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Semua hakim itu dipecat oleh tribunal itu. PM Najib yang diputuskan untuk disiasat badan khas atas skndal 1MDB/duit 2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, sekonyong-konyong Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang jadi pengerusi badan siasatan itu dipecat serta merta dari jawatan Peguam Negara atas alasan kesihatan yang diketahui rekod sakitnya.

Mahathir tidak menyekat amalan rasuah berleluasa, dan Najib juga mampu membendung rasuah yang berganda-ganda di zamannya. Berguni-guni duit Bank Negara lesap dalam niaga mata wang asing di zaman Mahathir dan berbilion-bilion duit 1MDB hilang di depan mata Najib.

Banyak lagi keburukan kedua-dua mereka itu sebagai Perdana Menteri, maka kedua-duanya tidak layak menjadi Perdana Menteri lagi. – HARAKAHDAILY 29/3/2018

TERAS ketujuh Manifesto PAS, Malaysia Sejahtera untuk PRU14 ini adalah mahu mengukuhkan semula federalisma dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.

Perkara ketiga dan keempat dalam teras ini ia menyebut untuk mengembalikan hak royalti minyak kepada negeri-negeri yang layak pada kadar 20 peratus, 15 peratus lebih dari yang kerajajan beri sekarang iaitu lima peratus.

Manakala perkara keempat ialah untuk memulangkan wang royalti minyak yang tertangguh bagi Kelantan dan Terengganu yang dirampas kerajaan pusat mulai tahun 2000.

Subki 1Royalti 20 itu adalah janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang lalu yang PAS rasa amat penting kerana secara langsung kesannya ditanggung oleh negeri yang PAS kuasai dan PAS pernah kuasai seperti Terengganu. Sebelum muafakat Pakatan Rakyat wujud PAS sudah menyuarakan supaya royalti dinaikkan dari lima peratus.

Sarawak dan Sabah yang banyak telaga minyak mendapat faedah dari yang PAS suarakan dari dulu. Sejak Pakatan memperjuangkannya, Sabah dan Sarawak adalah sama menyuarakannya sekarang agar ia dipulangkan 20 peratus.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentuk negeri diperuntukkan banyak kuasa. Tetapi sedikit-sedikit kuasanya diambil pusat. Tiada banyak takwil. Ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura beroleh banyak keisitimewaan dibanding dengan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Perlembagaan memperuntukkan kajian dibuat setiap tahun. Tujuannya untuk mengambil langkah-langkah supaya negeri dan pusat lebih rapat. Tetapi kajian sepuluh pertama seolah-olah bergerak menjarakkan, tidak menambah dekatkan.

Di bawah konsep 1Malaysia, menjarakkan suara menjarak lebih bergema dari menyatukan. Tetapi di wilayah dulunya Persekutuan Tanah Melayu kuasa negeri lebih mengecil. Contohnya hak ke atas minyak. Negeri makan kuah, pusat makan isi.

Inilah yang PAS anjurkan royaltinya dinaikkan ke 20 dari lima peratus. Anjuran seperti itu adil tetapi negeri yang menuntut dikira mementingkan diri dan negeri yang berminyak. Tetapi dari duitnya dicurahkan entah ke mana, memulangkan 20 peratus kepada negeri lebih adil.

Pelobi pusat mungkin mengira ia keterlaluan. Tetapi apa yang negeri dapat selama ini jauh lebih kecil dari yang Indonesia bagi kepada Aceh. Perjanjian Indonesia dengan Aceh Merdeka, lima peratus yang federal bagi kepada negeri habis celah gigi saja. Jika 20 peratus dikabulkan, masih negeri tidak bernasib baik dibandingkan dengan yang Aceh dapat.

Bagi telaga minyak 12 batu dari pantai, Aceh dapat 70 peratus, Indonesia ambil 30 peratus. Bagi luar dari 12 batu Indonesia ambil 70 peratus, Aceh diberi 30 peratus. Aceh jauh lebih beruntung dari negeri-negeri di Malaysia kerana berpuas hati dapat lima peratus.

Jika Indonesia kabul perjanjian itu, menjadi orang Aceh lebih beruntung dari jadi orang Kelantan dan Terengganu. Mengapa Indonesia lebih bermurah hati terhadap propinsinya dari Malaysia terhadap negeri-negerinya.

Soal propinsi lain tidak dapat yang Aceh dapat itu adalah masalah mereka, tetapi ia dilihat lebih pemurah dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Ia adalah tanda-tanda Aceh yang benar-benar mengutamakan rakyat.

Setakat ini PAS menawarkan 20 peratus dulu. Tidak penting Umno setuju atau tidak. Jika mereka tidak setuju, tiada apa yang ia dapat buat kiranya PAS disokong oleh pengundi. Jika PAS jadi kingmaker, kita tidak perlu tanya BN boleh beri atau tidak.

Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak akan dapat royalti yang tinggi selepas PRU nanti dan selepas itu negeri-negeri ini akan dapat imbuhan dari royalti yang digelapkan selama ini. Bolehkah PAS beri? Ia boleh beri kerana ia bukan kerajaan yang bocor. – HARAKAHDAILY 26/3/2018

PROF Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dipercayai telah memberikan pencerahan baru betapa tidak popularnya GST sekalipun yang terbaru ia dikatakan menyumbang lebih 40 bilion kepada pendapatan negara.

Cukai mencekik darah itu memang ditolak oleh semua pembangkang dan lain-lain orang berfikiran madani.

Terkedu lidah sekalian orang awam bila pelobi GST memberitahu banyak negara di dunia termasuk yang maju melaksanakan cukai itu. Dan orang Islam yang buta ekonomi pun terpesona kononnya Saudi pun hendak mengadakan GST. Jika negara Islam itu yang lazimnya peka dengan syariyah pun tertarik dengan GST, seolah-olah ia petunjuk yang baik bagi Negara Islam seluruhnya.

Subki 1Memang kerajaan sebelum menguatkuasakan GST menjamin rakyat ia boleh membendung harga barang yang tinggi dan bertambah tinggi masa demi masa. Tetapi apabila dilaksanakan harga barang dan kos hidup tidak pernah turun, bahkan naik dan naik. Seolah-olah semuanya gembira mendengar guruh di langit tapi hujan tidak turun jua.

Jika jaminan GST itu dulunya satu berita, ia adalah conoh berita palsu yang terbesar.

Adapun GST itu ada di banyak naegara, tidak pernah kita diberitahu betapa rakyat dan pengundinya menolak cukai itu. Kita diberitahu, mereka juga ada GST tetapi kita diberitahu masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat yang ada GST.

Prof Awang Azman menjelaskan betapa kerajaan yang melaksanakan cukai itu telah berdepan dengan risiko yang besar hingga beberapa kerajaan telah tumbang dalam pilihan raya.

Dia tidak meramalkan PM Najib dan Barisan Nasional akan kalah PRU14 ini, tetapi ia akan berdepan jejas peratus undi yang banyak dibandingkan dengan sebelum ada GST dulu.

Jika kita berada pada tahap masyarakat madani jelaslah BN akan tersungkur seperti yang dialami beberapa kerajaan yang bermasyarakat madani.

Untung bagi BN ialah ia masyarakat yang belum madani. Bagi masyarakat madani rakyat tidak dapat diperbodoh kerajaan dan pemimpin. Bila kita belum madani, kita jadi mangsa diperbodoh pemimpin dan kerajaan.

Adalah betul Malaysia sekarang diselamatkan oleh GST yang setiap tahun memungut puluhan bilion. Jika GST tidak ada, mampuslah semuanya. Kerana itu kononnya GST adalah wajar.

Negara kita bukanlah sebuah wilayah yang bangsat. Selain ia kaya dengan hasil mahsul semua jadi, ia dikayakan dengan perkebunan dari luar. Misalnya getah dan sawit. Getah adalah tanah di Brazil. Bila ia dimajukan besar-besaran, Tanah Melayu menjadi pengeluar getah terbesar dunia. Sawit bukanlah tumbuhan yang menghutani negara kita.

Baru setengah kurun ia ditanam besar-besaran. Ia jadi komoditi penting dan kita kaya dengannya. Apabila dalam tempoh 40 tahun belakangan ini Malaysia dipimpin oleh lintah darat, gunung emas sebesar Gunung Uhud, ia jadi tanah rata mendatar apabila dikikis setiap hari.

Dengan limpah rahmat yang dicurah Allah, tiada janji Malaysia boleh bangsat. Di bawah kerajaan lintah darat, kering sekering-keringnya khazanah negara, hingga ia ada di jurang kepapaan. Demi hidup sesuap pagi dan sesuap petang, kantung sudah kering, maka diselit setiap saku rakyat di bawah sistem GST.

Bukan cukai tidak perlu. Cukai satu sumber pendapatan, tetapi ia bukan mencekik tengkuk rakyat. Ia adalah pendapatan tambahan bagi negara dan rakyat yang sejahtera.

Jika sekalian profesor boleh berfikir dan bercakap seperti Prof. Awang Azman, kita akan jadi masyarakat yang bertuah. – HARAKAHDAILY 25/3/2018

DALAM PRU 1969 diikuti oleh perstiwa 13 Mei Perikatan Perak tidak cukup seorang untuk membentuk kerajaan.

Ramai orang mencari abang saya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Pesuruhjaya PAS Perak bagi mendapatkan sokongan ADUN tunggal PAS yang menang di Bota bagi memungkinkan Perikatan membentuk kerajaan.

Subki 1Abang saya menghilangkan diri. Tidak dapat dikesan dalam suasana Perkatan tidak dapat membentuk kerajaan itu. ADUN tunggal PAS itu didatangi orang-orang Umno minta dia menyokong Perikatan. Dia ditawarkan macam-macam.

Dia jawab, dia hanya mendengar keputusan Ustaz Baharuddin. Mereka cari dia, tidak ditemui. Dia menyorok di hotel kecil di Ipoh dalam masa undang-undang berkurung 13 Mei itu.

Perikatan dapat membentuk kerajaan setelah seorang dari 12 ADUN PPP, Samsuddin Harun terpisah dengan isteri dan anak-anaknya semasa berkurang itu dan rumahnya diawasi oleh orang-orang Umno. Bagi menentukan anak isterinya selamat dia balik juga. Dia dikepung, dikatakan hingga bersetuju menyertai Umno. Barulah Perikatan dapat membentuk kerajaan Perak.

Abang sayapun balik ke Semanggol. ADUN Bota iu kekal jadi ADUN tunggal PAS Perak.

Dengan seorang ADUN PAS dikira amat berharga, maka apa lagi kalau PAS dapat 40 atau lebih kerusi Parlimen dalam PRU14 nanti. Kurang dari 40 pun amat berharga bagi BN dan Harapan yang tidak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan. 10 pun memadai jika ia boleh membantu BN atau Harapan membentuk kerajaan.

Masa itu PAS dapat menjadi kingmaker. Kalau BN cukup majoriti mudah sekalipun seorang, ia tidak memerlukan kingmaker. Demikian juga Harapan dapat majoiti dua orang, ia boleh bentuk kerajaan sendiri.

Kingmaker dalam situasi itu tidak berbangkit dan tidak diperlukan. Jika Umno tidak cukup orang dan tiada sedia membatalkan GST, maka PAS biarkan saja apa yang ia boleh buat.

Demikian juga jika Harapan tidak setuju meluluskan RUU355, maka biarkan Mahathir dengan labu-labunya.

PAS goyang kaki tengok apa yang BN dan Harapan hendak buat bagi membentuk kerajaan. Tiada siapa boleh membentuk kerajaan. Bolehlah mencuba membentuk kerajaan minoriti. Risikonya ia akan menghadapi undi tidak percaya dalam sidang pertama Parlimen.

Untuk jadi kingmaker PAS tidak perlu buat apa-apa. Tunggu saja orang datang mengajak membentuk kerajaan. Siapa boleh setuju dengan manifesto PAS dan sedia gugurkan janji manifesto mereka yang pelik-pelik, maka boleh terima sebagai rakan kongsi dalam kerajaan dan tidak semestinya PAS jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kalau semua tidak sedia menerima manifesto PAS, biarkanlah negara tanpa kerajaan hingga beberapa bulan seperti yang Canselor Angela Markel, sampai empat bulan baru dapat bentuk kerajaan.

Dalam PRU Jerman Barat 1969, parti SPD enggan meneruskan kerajaan campuran terbesar dari dua parti besar. SPD sedia mengadakan kerajaan campuran lebih kecil. Parti yang disekutunya hanya punya belasan anggota Bundestag. Willy Brandt dapat menjadi Censelor Jerman Barat yang tersohor hanya dengan sokongan parti sekutu kecil sekadar berbelas MP.

Jika PAS dapat 40 ia sudah boleh jadi kingmaker yang hebat. 15 memadai jika BN atau Harapan berada dalam keadaan terdesak.

Kalau kedua-duanya tak sedia, jalan keluarnya, PAS tidak jadi kingmaker, tapi BN dan Harapan mengadakan kerajaan campuran. Jika BN lebih kerusi Najib jadi PM, Mahathir jadi TPM. Kalau Harapan lebih, Mahathir jadi PM, Najib TPM.

PAS? Jadi pembangkang! – HARAKAHDAILY 24/3/2018

BIAR masing-masing mengulas dulu pro dan kontra, positif dan nagatifnya Manifesto Malaysia Sejahtera yang PAS/Gagasan Sejathera bentangkan kepada pengundi dalam PRU14 ini.

Memadai komen awal saya manifesto yang Sembilan teras dan 20 tawaran utamanya adalah sebuah dokumen politik dan pilihan raya yang sederhana. Sesuatu yang sederhana itu biasanya datang dari orang dan golongan masyarakat yang sederhana.

PAS itu bermula lebih 60 tahun dahulu sebgai sebuah gerakan, parti Islam yang sederhana dan sepanjang penyertaannya sebagai parti politik dan pembangkang lebih banyak sederhananya dari melampaunya. Bila banyak sederhana, maka ia adalah layak dikenali parti politik sederhana dan pembangkang sederhana.

Subki 2Pada ketika mulanya dahulu – masa assabiqun dan awalunnya – ketika parti pembangkang tidak banyak ia sudah jadi pembangkang yang sederhana, tidak terikut dengan ekstremisma pembangkang yang lain antara bergerak bawah tanah yang diharamkan seperti komunis dan yang tidak sampai jadi komunis dalam masyarakat terbuka dan separuh terbuka lebih melampaunya dari sederhananya.

Sampai sekarang pun ketika Umno dan Barisan yang memerintah sudah banyak buruknya dari eloknya, PAS tetap mahu mengekalnya sifat sederhananya dari mula dahulu, sedang pembangkang lain seangkatannya lebih ekstremnya dari sederhananya.

Kerana kesederhanaannya itu menyangkalah pesaing pembangkangnya dan antara kerabatnya yang tidak khatam tarbiyah semasa bersama PAS, ia sudah jadi Umno dan hampir ditelan Umno.

PAS dengan pendirian sederhananya itu pernah bersama pembangkang yang ada sekarang ini secara langsung dan tidak langsung selama lebih dua dekad, seawal DS Anwar Ibrahim dinyah dari Umno dan kerajaan.

Adapun keadaan pembangkang yang PAS dekati dan temani itu ada ekstremnya dan mungkin ada kesederhanaannya tetapi sederhananya itu tidaklah sampai sederhana PAS.

Mengapa PAS dekati yang ekstrem itu? Jika ada baiknya apa salah mendekatinya. Pertama ia boleh mengurangkan kemaharajalela Umno dan supaya kesan mustadhafinnya ke atas rakyat dan Negara tidak terlalu teruk sekalipun ia memang betul-betul teruk.

Sekurang-kurangnya penyertaan PAS bersama muafakat pembangkang mengerat beberapa sayap dan taring maharajalela Umno/BN di banyak tempat. Ia mengekalkan kerajaannya di Kelantan, mengambil kuasa di Terengganu dan mendapat lebih banyak kerusi Parlimen di Kedah dan pembangkang erat dalam DUN Kedah.

Kemudian maharajalela Umno di kerat-kerat lagi di Kedah, Pulau Piang, Perak dan Selangor sekali gus majoritinya di Parlimen dirobek dalam dua PRU berturut-turut tahun 2008 dan 2013. Peryertaan PAS bersama pembangkang dapat mengajar Umno ia hilang undi popular di Parlimen.

Sekalipun beroleh sedikit sebanyak faedah politik bersama kaum pelampau setengah pembangkang, tetapi tidak ia menjadikan PAS kagum dengan apa yang diraih itu.

Bukan menang banyak kerusi itu tidak guna tetapi jangan kemenangan yang sedikit itu sampai melupakan PAS kepada perjuangan sucinya yang asal dan merobek statusnya sebagai pembangkang yang sederhana. Tidak salah dalam percubaannya kalau dapat mengendurkan kedudukan pembangkang totok masing-masing supaya sama-sama jadi pembangkang yang sederhana.

Tetpi percubaan PAS tidak kesampaian, dakwahnya tidak berjaya, bahkan puak-puak pelampau itu menempelaknya sudah dibeli Umno. Ia dikira alat dan boneka Umno kerana ia hendak mengekalkan status pembangkangnya yang sederhana.

PAS ditubuhkan tahun 1951 kerana ulama dalam Umno kecewa dengan Umno pimpinan Dato Onn Jaafar tidak indahkan isu Islam bahkan mahu meniru MCA mengumpul dana melalui loteri MCA. Bimbangkan politik mengabaikan Islam itu diwujudkan.

Maka bila pembangkang yang PAS temani tidak tidak sedia menimbangkan isu-isu Islam kerana ia tidak menjadi sebahagian dari persetujuan semasa Pakatan Rakyat dibentuk, pejuang politik Islam terasa ia sudah kembali pada masa Datuk Onn tidak peduli isu Islam. Jika mereka tubuhkan PAS membantah Umno Datuk Onn meremehkan isu Islam, maka apa yang PAS harap dari pembangkang tidak jadi macam Dato Onn tidak mahu dibabitkan dengan isu Islam.

Sebagai pembangkang yang sederhana selama bersekutu dengan kumpulan pembangkang, kerajaan tidak persetujuan semasa penubuhannya dulu PAS tidak boleh kegiatan dan isu Islam dari kerajaan dan Umno, maka tiada apa yang menghalang PAS peduli bersama Islam isu Islam dari Umno dan kerajaan.

Pembangkang ekstrem tidak suka peduli Islam PAS dari sesiapa dan oleh sesiapa jua. PAS bersedia bertaawun atas perkara Islam dan kekal sebagai pembangkang dalam isu skandal dan rasuah Umno. Bersekongkol dengan Umno tidak sama sekali sekalipun PAS terpaksa bersendirian dalam PRU14.

Banyak yang kata PAS habis bila bersendirian. Ia yakin dengan janji Allah, tiada siapa tahu secara tepat segala sesuatu di hari muka melainkan Allah. Terlalu banyak buruknya Umno untuk kongsi oleh PAS jika bersamanya. Ketika Umno sendiri bergolak, lebih baik PAS bersendiri dari rebah bersama Umno.

Jika Umno sendiri mentakwil Umno kiri dan kanan, bodohlah PAS untuk keluar dari status pembangkang sederhana. PAS meminjam kalimah wasatiyah yang Umno dan Najib perkenalkan bagi perkara-perkara yang sederhana.

Sekalipun Umno tidak peduli dengan wasatiyah dalam skandal dan rasuahnya, biarlah PAS berwasatiyah dalam politk, pembangkangannya, hubungannya dengan kerajaan dan kuasa politik kerajaan.

Umno sekarang amat ekstrem dengan rasuahnya, dengan skandalnya, dalam fanatik membabi buta dengan Najibnya, dengan poltik wangnya. Mulai ramai Umno yang tidak senang dengan Umno, ada yang melepas cakap dan ada yang menyimpan dalam hati.

Orang-orang yang tidak senang tidak banyak pilihan. Mereka tolak pembangkang yang ekstremis, dan mereka juga muak dengan ekstremis salah guna kuasa Umno. Apa pilihan mereka selain dari menerima pembangkang yang sederhana.

Pembangkang itu membenci Umno totok. Ia sokong apa yang boleh disokong dan tidak boleh sokong apa yang tidak boleh disokong.

Bersama Umno memang tidak boleh terlalu banyak yang Umno biar tidak dapat ditelan. Untuk bersama-sama dengan orang Umno dan rakyat yang kenal dengan Umno adalah sikapnya yang terbuka.

PAS tidak dapat bersama pembangkang yang ekstrem menumbangkan Najib di luar pilihan raya seperti memorandum dan tanda tangan yang mereka serahkan kepada Agong. Bukanlah kerana PAS sayang pada Najib, tetapi PAS mahu menggugur Najib dalam pilihan raya yang akan diadakan sebelum bulan puasa ini.

Akan semuanya sudah tidak percaya PAS akan bersama Najib dan Umno. Ia sudah ada manifesto Malaysia Sejahtera yang amat sederhana.

Dengan sikap sederhananya itu ia mendakwa untuk membentuk kerajaan. Ia datangg dengan calon tidak seramai BN dan Harapan. Jika semua calonnya menang, senang ia menjadi king-maker. Kalau menang sepah saja, masih boleh penentu kerajaan baru.

Pilihan pengundi sekarang bukan ekstrem BN yang maharajalela skandal, politik wang dan salah guna kuasanya dan bukan juga pembangkang yang ekstrem yang dipengerusikan oleh pelampau skandal dan rasuah juga, tetapi yang terbaik ialah pembangkang yang sederhana yang tiada rekod rasuah/skandalnya di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang pernah diperintahnya. – HARAKAHDAILY 23/3/2018

MENTERI binti Osman Said menempelak dasar tentang kebebasan pesuratkhabaran. Dikatakannya amat mengongkong sedang zaman Najib adalah lebih terbuka.

Ada betul dan tidak betulnya.

Dibandingkan Mahathir dengan zaman sebelumnya, Mahathir lebih terbuka.

Zaman Tunku bermula tidak susah menerbitkan akhbar dan majalah jika ada modal. KDN atau permit penerbitan tidak ketat. Syarikat England dan Hong Kong yang cukup modal boleh menerbitkan akhbar.

Orang Melayu yang tidak berduit bergantung kepada Utusan Melayu saja. Berita Harian pun terbit. Ia bukan syarikat orang dalam negeri. Ia diterbitkan oleh syarikat asing berpangkalan di Singapura.

Bila kerajaan Tunku bertambah maju sistem KDN di zaman British diteruskan. British mewajibkan permit demi memastikan bilangan penerbitan semasa. Sebelumnya tidak diperlukan permit. Siapa ada duit boleh terbit akhbar. Kebanyakannya mati. Bagi memastikan kerajaan tahu bilangan penerbitan semasa, disyaratkan minta permit.

Akhirnya permit menjadi syarat dan kena mohon semula setiap tahun. Jika KDN tidak disambung penerbitan tidak boleh diteruskan.

Saya pernah menerbitkan beberapa tabloid. Mati kerana KDN tidak disambung. Antara sebab tidak disambung kerana menyiarkan surat dari kampung di kawasasn Timbalan Menteri Dalam Negeri kononnya janji pilihan raya memina jambatan tidak ditunaikan. Yakin surat itu benar saya siarkan. Kata menteri ia tidak betul. Saya tidak peluang mmbetulkannya kerana permit tidak diluluskan.

NGO/parti pembangkang sebelum Mahathir hanya boleh menerbitkan penerbitan dalaman dengan KDN juga. PAS tidak diberi lesen mengeluarkan penerbitan berkala. Sebelum merdeka parti politik bebas menerbitkan lidah rasmi.

Zaman Tun Hussein PAS tiada lidah rasmi tetap. Tiada permit. Tiba-tiba bila Mahathir jadi Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri diluluskannya KDN Harakah. Untuk dalaman. Tidak boleh dijual kepada umum.

Bila lay-out Harakah siap, tiada percetakan mahu menerbitkannya kerana saya jadi editornya. Mereka takut tindakan kerajaan kerana masa itu nama saya tidak digemari KDN. Pencetak takut mencetaknya.

Sebuah akhbar Tamil sedia mencetak. Untuk minggu kedua ia tidak sedia mencetak lagi.

Nasib baik ada percetakan yang tunggu ditutup sedia mencetak kerana ia dibayar tunai. Percetakan hidup atas tempahan Harakah.

Tetapi tidak boleh dijual di pasaran terbuka. Penjual akhbar mencari Harakah kerana pelanggan mencarinya. Polis dapat tahu penjual akhbar mengedar Harakah, semuanya menerima amaran. Mereka jual kepada pelanggan yang dikenali saja.

Kerana permintaan banyak polis pun tidak dapat kawal. Akhirnya polis tidak kacau kerana KDN setuju Harakah cetak di muka depan Untuk Ahli PAS sahaja.

Harakah boleh jadi akhbar besar kalau ia ada percetakan sendiri. Harakah tidak sedia mengambil risiko membeli percetakan kerana permitnya setahun saja. Jika idak disambung KDN, modal berjuta mati saja.

Syarikat percetakan dapat untuk besar kerana mencetak Harakah. Syarakat itu daftar lesen lain untuk cetak Harakah tanpa membeli mesin cetak lain. Guna mesin yang ada atas lesen lain.

Megat Junid, Timbalan Menteri KDN nasihatkan Harakah jangan hentam Mahathir teruk sangat. Kalau Mahathir bertindak, Megat Junid tidak boleh bantu.

Saya tanya ada Mahathir komplen? Tidak ada. Apa yang Harakah tidak kata pada Mahathir? Dia biarkan. Cuma dia tidak luluskan Harakah minta permit harian untuk pasaran terbuka. Dia benarkan dari seminggu sekali kepada dua kali seminggu.

Bila dia bersara Tun Abdullah jadi ganti, Harakah boleh terbit dua kali sebulan. Mahathir lebih terbuka daripada penggantinya. Bila Najib naik, dibenarnya Harakah terbit semula dua kali seminggu. – HARAKAHDAILY 22/3/2018

MANIFESTO yang belum bertulis untuk PRU14 memikirkan untuk menghapuskan sistem tol. Itu yang disebutnya dalam jelajahannya di ambang PRU. Tetapi jalan yang baru siap di DUKE ke Bulatan Jalan Pahang ditolnya.

Seeloknya selepas hapuskan tol Batu Tiga Shah Alam beberapa bulan lalu, tak payahlah jalan ke Bulatan Jalan Pahang itu ditol seperti tiadanya rancangan mengetol Lebuhraya Trans-Borneo yang sedang dibina sekarang.

Subki 1Harapan Najib membatal tol bergantung kepada kesan Manifesto Mahathir bahawa Harapan akan memansuhkan tol. Jika manifesto Harapan itu laku, maka Najib akan membuat manifesto bertulis mengakhiri tol. Jika ia tidak laku menanggung kita sampai mati.

Dan Najib juga dipercayai menunggu memulangkan paku buah keras betapa yang meniagakan lebuh raya itu ialah Dr. Maahthir. Macam penyangak zaman Nabi Syuaib dulu menunggu di laluan penting. Pengguna laluan di tol dan dagangan dirompak. Anak-anak raja kita di zaman purba diibaratkan seperti menahan lukah di tempat genting. Siapa yang lalu lalang selamat jika membayar tol.

Tol zaman itu tidak bergezet. Bila Mahathir memajukan sistem lebuh raya bagi memesatkan perdagangan diperudang sistem tol.

Sebagai pengerusi Harapan dan calon Perdana Menteri sementara, Mahathir mengumumkan Manifesto Harapan tanpa tol.

Ia adalah cabutan Manifesto Pakatan Rakyat dulu berjanji untuk memansuhkan tol. PAS, PKR dan DAP setuju jika Putrajaya diambil tol pun habis.

Kerana tol itu dasar Mahathir. Dia yang mahu macam itu, maka dia pertahankan macam Najib mempertahankan GST sekarang. Dan kalau BN kalah kali ini dan Najib kekal dalam politik sebagai ketua pembangkang pula, maka manifesto Najib buat PRU15 akan memansuhkan GST pula?

Sebagaimana oang tidak terfikir Mahathir akan terjerumus ke lembah pembangkang, orang tidak terfikir Mahathir menjadi pengerusi perangka manifesto untuk untuk membatalkan tol. Tidak pelik bagi Anwar, Kit Siang dan PAS yang bersendirian sekarang untuk memansuhkan tol. Itu yang pembangkang mahu sejak sistem tol itu diguna dan ia yang Anwar tuntut sejak PKR ditubuhkan.

Lebuh raya bertol itu adalah seperti anak yang Mahathir lahir dan bidani sendiri samalah seperti membidani Mukhriz dan anak-anaknya yang lain.

Maka tol bagi Malaysia sepanjang 30 tahun ini adalah selari dengan politik dan pentadbiran Mahathir. Selagi berkuasa Mahathir tidak terfikir sesiapa tol itu berakhir. Dengan konsesi dan bebannya yang tidak terkira, tidak diketahui bila akan habis.

Kuasa Mahathir berakhir tetapi janji tolnya berterusan. Dia akan mati, tetapi tol payah mati dan ditinggalkannya untuk diwarisi rakyat.

Semua tahu bahawa baharu tidak kekal. Yang kekal hanya Allah. Tol itu pun baharu, tidak kekal juga. Mungkin generasi tol yang ada mati belaka, mungkin lepas itu tol binasa.

Mahathir yang ada sekarang seperti bukan Mahathir dulu lagi. Dia yang menggubal sistem tol yang ada, dan dia pula di barisan depan untuk menghapuskan tol.

Geli dan menggelikan. Dia yang cipta tol dan dia hendak hapuskan pula. Mahathir itu keras orangnya. Kini seperti lembut dalam keras. Dia juga baharu. Tidak sentiasa keras dan tidak sentiasa lembut.

Jika tol itu menindas, maka Mahathir sekarang yang menebus penindasannya. Mengakhiri penindasan dengan menghapuskan penindasan adalah betul dan mulia. Penindasan itu boleh diakhiri jika Mahathir berkuasa semula. Bila tidak berkuasa semula, apapun tidak dapat dibuat. – HARAKAHDAILY 21/3/2018

PAS adalah pihak kedua dari tiga komponen parti yang mengumumkan manifesto pilihan rayanya yang mengandungi sembilan teras utama. Yang pertama HARAPAN dan belum berbuat demikian Barisan Nasional.

Ketika rencana ini ditulis belum melancarkannya. Ia baru sekadar mengumumkan terasnya dan huraiannya baru diperolehi pada pelancarannya nanti.

Subki 2Untuk itu saya salin terasnya tanpa komen sementara menunggu apa yang tersirat dari parti yang melahirkan dokumen itu dan membandingkannya dengan manifesto yang terawal yang keluarkannya menjelang PRU 1955 sebelum merdeka dan sebelum ia dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Masa itu tiada yang tahu apa gerangan yang dikatakan manifesto itu.

Manifesto yang terbaru untuk PRU14 dengan bahasa dan teknik sesuai dengan pencapaian dan kemajuan rakyat pada masa ini, dan yang pertama dulu sesuai dengan tapak pemikiran dan politik pengundi pada masa itu.

Berikut adalah teras yang sembilan itu yang dinamakan Malaysia Sejahtera untuk amatan awal pakar dan penganalisis politik sebelum mereka membaca dokumen sepenuhnya dan huraian dari PAS seperti berikut:

1. Pembentukan sebuah krajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas rasuah;
2. Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu untuk rakyat;
3. Pemberdayaan rakyat untuk meredakana kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup;
4. Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar;
5. Peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang;
6. Pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah;
7. Pengukuhan semula konsep federalism dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri;
8. Pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi;
9. Penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.

Berikut adalah salinan manifesto pilihan raya tahun 1955 itu seperti yang terdapat dalam buku Perjuangan PAS 1951-1970 oleh Dr. Ismail Said terbitan Buku Harakah:

SIASAH (Politik)

1. Menyemak dan menyusun semula perjajian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuai dengan hasrat rakyat;
2. Berusaha supaya sekalian Ahli Majlis Mesyuarat sama ada Majlis Persekutuan, Negeri, Jajahan, Selat dan bandaran semua sekali dipilih oleh rakyat;
3. Mengakui kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia sebagai raja-raja berperlembagaan;
4. Berusaha menghapuskan dasar pindu terbuka, yakni menahan kemasukan orang-orang dagang ke Tanah Melayu yang membahayakan kedudukan anak negeri;
5. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia;
6. Berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya Bahasa Melayu diamal benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan;
7. Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan saja;
8. Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan dengan secepat mugkin; dan
9. Berikhtiar bersungguh-sungguh peraturan-praturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksana cita-cita Islam.

IKTISAD (ekonomi)

1. Berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk memajukan pertanian, perusahaan, perniagaan dan pelayaran (Pelajaran?);
2. Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli);
3. Berikhtiar supaya Negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya;
4. Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas bagi membantu perkembangan ekonomi orang Melayu;
5. Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan;
6. Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan Negara dengan seberapa kecil yang boleh dengan memotong segala perbelanjaan yang tidak mustahak;
7. Berikhtiar mengadakan peraturan-peratran untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, perniagaan, perusahaan dan sebagainya;

KETENTERAAN

1. Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja unuk menjamin keselamatan Negara;
2. Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan supaya tempat mereka diganti dengan askar-askar kebangsaan saja;
3. Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya darurat dapat ditamatkan dan supaya undang-undang darurat dihapuskan;
4. Berusaha supaya diadakan perkhidmatan Negara untuk menjamin keselamatan Negara;
5. Menggalakkan supaya rakyat mula mengambil sebahagian dalam pertahanan Negara ini.

PELAJARAN DAN PENDIDIKAN

1. Mengambil langkah supaya tiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuai dengan kemajuan;
2. Pelajaran Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam;
3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-seolah dewasa dengan seberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi;
4. Berikhtiar dan berusaha supaya Sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah Negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara;
5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasasr pelajaran.

KEBAJIKAN

1. Berikhtiar dengan bersunggh-sungguh supaya tahanan-tahanan darurat dapat dibebaskan dengan segera atau dihadapkan ke muka pengadilan;
2. Berikhtiar supaya dapat menjalankan undang-undang terhadap perkara-perkara pelacuran, perjudian, minuman keras, permakanan riba dan sebagainya;
3. Mengadakan peraturan-peraturan yang tegas mengenai (peng)hiburan, pertunjukan, bacaan, filem-filem dan sebarang apa yang boleh menyebabkan jatuhnya akhlak rakyat;
4. Berikhtiar membaiki kesihatan, terutama di kawasa luar bandar;
5. Berikhtiar memperbaiki nasib fakir miskin dengan mengadakan rancangan yang menjamin hak hidup mereka; dan
6. Berikhtiar dan berusaha supaya hal-hal kebajikan tempatan diselengarakan dengan sebaik-baiknya.

Ketika manifesto ini dibuat PAS baru berusia dua tahun. Ia belum ditubuhkan di semua negeri di Semenanjung dan dalam pilihan raya itu ia hanya meletakkan 11 calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Rata-rata ia dianggotai oleh lulusan sekolah agama dan orang professional amat terhad sekalipun ia ketika itu dipimpin oleh Dr. Abas yang berpendidikan sistem pendidikan barat tetapi tidak pernah belajar di luar negeri.

Manifesto itu dirangka dengan mengambil kira penduduk Tanah Melayu adalah anak tempatan dan orang dagang kebanyakannya adalah pemegang pasport British. Majoriti yang rendah saja menjadi rakyat dan pengundi.

Isu kebanjiran orang dagang menjadi perbincangan di kalangan orang tempatan tetapi ia tidak didorong oleh sentimen perkauman. Ia berbangkit justeru rakyat terancam oleh kebanjiran orang dagang justeru itu menjejas kepentingan anak negeri.

Yang dibangkitkan ialah seperti rakyat semua kaum sekarang membincangkan kebanjiran begitu ramai orang dagang dari Indonesia dan Bangladesh hingga menjejaskan peluang pekerjaan dan ekonomi rakyat berbagai kaum itu.

Yang amat peka atas isu itu masa itu ialah orang PAS samalah seperti kepekaan berbagai parti politik dan kaum sekarang atas kehadiran pekereja Indonesia dan Bangladesh itu. Tidak adil dianggap perkauman bagi rakyat berbagai kaum peka mengenainya kerana mereka rakyat. Demikian kepekaan PAS masa itu.

Maka manifesto PAS itu dirangka dengan latar belakang demikian. – HARAKAHDAILY 20/3/2018

BETAPA jurutera yang amat diperlukan oleh orang Melayu tetapi memilih menjual nasi lemak sebagai kehidupannya menyebabkan Dr Mahathir menempelak kerajaan di bawah Najib.

Itulah nilai kerajaan yang ada hingga jurutera, unuk maka sesuap pagi dan sesuap petang, terpaksa berniaga nasi lemak.

Berniaga nasi lemak tidak hina. Ia adalah lebih mulia dari berniaga dadah dan perdagangan orang. Nabi pun zaman remajanya jadi jurujual kepada pedagang wanita terbilang di Makkah. Tetapi itu adalah permulaannya dalam bidang pekerjaan.

Jurutera yang jual nasi lemak adalah gara-gara ramainya orang berkelulusan tinggi tetapi tiada pekerjaan. Universiti Perguruan Sultan Idris mengeluarkan ribuan graduan guru tetapi tidak cukup sekolah untuk menampung mereka. Sekarang bukan saja lulusan tinggi payah dapat kerja, ribuan yang sudah bekerja dibuang kerja.

Kita pernah ada bekas tentera tiada kerja dan mereka digaji jadi komunis oleh komunis yang diperangnya dulu. Baik juga jurutera itu jual nasi lemak, amat malang kalau dia ambil upah sebagai penumpang kapal terbang hantar dadah ke negara asing dan ditangkap sebaik mendarat. Atau dia ambil upah sapu muka abang pemimpin Korea Utara dengan upah RM400.

Mungkin jurutera itu berjiwa berniaga dan bermula dengan buka gerai nasi lemak. Tapi dalam suasana pengangguran terhormat bertimbun-, payah orang menerima seorang lulusan sains yang kerajaan atau ibu/bapanya melabur ribu-ribu menyekolah tinggikannya, bila tamat jual nasi lemak.

Sekalipun minat niaga, kerja dulu di bidang kejuruteraan. Dengan pengalaman kerja itu nanti, berhenti dan berniaga, nescaya senang jadi jutawan. Unuk jadi jutawan mesti beniaga, bukan rasuah. Tapi niaga itu bukan jual nasi lemak. Saudagar nasi lemak juga lumayan tetapi payah jadi jutawan.

Jika minat jadi saudagar nasi lemak, tidak perlu belajar jadi jurutera. Ilmu jurutera itu akan membazir bila jadi peniaga nasi lemak. Bila ilmu kejuruteraan itu hendak digunakan? Kalau lulusan pondok jual nasi lemak, ilmunya boleh juga untuk beri kuliah di surau dan masjid. Berguna juga ilmunya.

Ilmu kejuruteraan nescara membazir kecuali kemudiannya dia tinggal nasi lemak itu pada orang lain, dia kerja di bidang kepakarannya. Teknik masak nasi lemak dan memasarkannya tidak perlu belajar kejuruteraan, kecuali nasi lemaknya hendak difrancais ke seluruh dunia seperti ayam goreng Kentucky.

Hendak belajar masak nasi goreng mari jumpa isteri saya. Setelah 40 tahun kahwin saya tidak jemu dengan nasi gorengnya. Nasi goreng kampong, nasi goreng Hailam, semua saya tidak minat. Tetamu sarapan tidak tolak jemputan saya kalau diberitahu ada nasi goreng.

Memang payah dapat pekerjaan sekarang, tapi kalau jurutera berniaga nasi lemak, orang ajaib akan pilihannya, tapi persepsi semua ia adalah tanda teruknya kerajaan dan urusan Negara kita sekarang. Jurutera Bangladesh dan Indonesia boleh datang kerj di Malaysia, tetapi jurutera kita yang menganggur hendak ke mana?

Tanggapan awal kejadian itu ialah Najib telah mmbazirkan jurutera dan lulusan pengajian tinggi kita. Najib mungkin wujudkan banyak peluang pekerjaan,tapi untuk warga Bangladesh dan Indonsia. Bukan untuk belia kita.

30 tahun dulu Tan Sri Megat Joned kata saya aniaya anak-anak hantar mengaji Quran di Turki. Balik nak jadi apa. Jawab saya, kita ada 17 universiti. Semua ada fakulti kejuruteraan. Bila satu jawatan jurutera kosong ribuan yang mohon. Anak saya ke Turki untuk belajar sejarah Empayar Othmaniyah. Jika dia jadi pakar sejarah Othmaniyah, 17 universiti mengambilnya jadi profesor. - HARAKAHDAILY 5/3/2018

SEPATUTNYA kenyataan AMK Selangor yang mengira ulang hasrat PAS mengambil Selangor dalam PRU14 nanti sebagai pengkhianat kepada kerajaan sekarang tidak perlu dilayan.

Kenyataannya itu bukan satu kejutan politik yang menggemparkan. Belum tentu ia pandangan rasmi kerajan negeri dan ia juga pandangan rasmi PKR.

Justeru ia satu kenyataan politik, seremeh mana sekalipun elok juga diulas supaya orang-orang yang baru hendak mengenali politik dapat memahami persoalan yang dihadapi.

Yang kata PAS hendak tawan ngeri itu bukan suatu pengkhianatan, dan yang kata beberapa kejadian di Selangor yang mengejutkan PAS sepanjang kerajaan bersama itu bukan juga pengkhianatan.

Lidah dan gigi bergigitan dalam kerajaan oleh lebih dari satu parti politik adalah biasa dalam apa sistem politik sekalipun. Jika ia kecil dan sekali sekala, kerajaan iu dapat dipertahankan. Jika sebuah rumahtangga idak dapat dikawal lagi, Islam membenarkan perceraian sekalipun ia tidak salah dan dibenci Allah.

Keluar dari rumah yang runtuh adalah lebih baik dari hidup dalam rumah dalam rumah yang runtuh.

Sekalipun PAS dan PKR ada msalah di Selangor tetapi kedua-dua parti berjaya mengatasi masalahnya sehingga menjelang PRU baru mereka masih kekal. Ia satu toleransi atau tolak ansur baik yang patut disyukuri dan patut dipuji.

Kedua-duanya berseetuju untuk kekal lagi tetapi kalau idak boleh kekal juga, kedua-duanya setuju unuk tidak kekal lagi.

Masalah kdua-dua tidak boleh meneruskan tahaluf ialah PAS tidak lagi boleh bersama dengan DAP dan DAP juga tidak boleh bersama PAS lagi manakala PKR tidak boleh idak bersama DAP.

PAS sayang pada kerajaan Selangor dan DAP juga sayang pada Kerajaan Selangor. PKR tentu tidak kurang sayangnya dari kedua-dua parti itu. Sekalipun PAS dan DAP sudah bercerai, mereka ada idah duduk serumah lagi hingga idah itu tamat apabila Parlimen dibubarkan.

PAS mahu bersama PKR lagi tetapi PKR tidak boleh berenggang dengan DAP. Kerana PKR tidak sedia tinggalkan DAP, maka tiada jalan lagi untuk bersama.

Bila kedua-duanya tidak dapat brsama lagi, apa yang patut mereka buat? Dari mula PAS sudah bai tahu, ia idak dapat bersama dalam pilihan raya bagi menyambung kerajaan yang 12 tahun itu. PKR mahu kekalkan PAS bersamanya tetapi mesti sedia bermadu dengan DAP. Cerai PAS dengan DAP itu talak tiga. Untuk kahwin semula mesti yang jadi isteri kena cina buta dulu.

Bukan untuk PRU14 saja PAS tidak akan bersama lagi dengan PKR selagi ia bersama DAP, malah dalam PRK Parlimen Sungai Besar lebih dua tahun PAS tidak dapat bersama PKR tidak menyokongnya lagi sebaliknya dalam Pakatan yang sudah ditransformasi.

Notis PAS tidak bersama lagi dalam pakatan pembangkang sudah dibuat lama. Harapan sudah tahu hakikat itu. Kalau hendak dikatakan pengkhianatan juga, ia adalah pengkhianatan bernotis.

Demokrasi yang kita setujui ialah tidak boleh larang sesiapa hendak bersatu dan tidak boleh larang siapa tidak mahu bersekutu. Tidak boleh siapa hendak bertanding dan tidak boleh paksa sesiapa hendak bertanding. PAS tidak halang sesiapa menentang PAS dalam pilihan raya dan PKR tidak boleh halang PAS bertanding dengannya.

PAS ikut perlembagaan dan PKR pun ikut perlembagaan. PKR menyediakan calon untuk bertanding denan PAS, bukan pengkhianatan. Bila PAS suarakan untuk tubuh Kerajaan Selangor juga bukan pengkhianatan. - HARAKAHDAILY 1/2/2018

HARAPNYA tidak berlaku apa yang dikatakan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan pembangunan di DUN yang diwakili PAS.

Inilah yang berhembus di Selangor hingga menggerak hati PAS hendak mengadu kepada Sultan. Angin menderu itu tidak dikira ribut, tetapi angin politik menjadi ribut.

Sama ada ia ribut atau sekadar sepoi-sepoi bahasa, ia adalah politik yang menggelikan. Sama ada ia betul atau sekadar satu salah faham, dan yang dikatakan dipotong itu termasuklah dua DUNnya yang dibawa lari? Ia terjadi beberapa bulan saja lagi pilihan raya.

Yang jadi geli itu kerana penggal kerajaan di ambang tamat. Dua tiga bulan saja lagi. Lepas itu peruntukan itu akan ditentukan oleh parti yang menang dalam pilihan raya.

Berapa duit sangat yang dapat selamatkan atau dijimatkan oleh kerajaan yang berlebihan duit itu.

Tiada apa manfaat politik yang boleh diraih kerajaan dan pimpinan kerajaan yang bertindak begitu. BN yang mengamalkan diskriminasi di Parliman/DUN pembangkang, sekalipun politik tidak bermaruah, tetapi hendak melemahkan pembangkang di kawasan itu. Bila sekatan dibuat Waibi tidak dapat menggunakan peruntukan kerajaan untuk mendapat faedah politik, dan bila pembangunan di kawasan itu tidak rancak diharapkan pegundi tidak lagi menyokong pembangkang.

Kesannya pun tidak ada. Peruntukan ada atau tidak, pembangkang di bandar-bandar terus menyokong DAP. Peruntukan di Kelantan disekat, ia masih dikuasai PAS juga. Apa yang BN dapat? Nama buruk saja.

Maka tiada apa yang PKR dan Harapan dapat dari menyekat peruntukan dua tiga bulan lagi. Sebaliknya ia boleh menjejaskan wibawa kepimpinan si penyekat.

Tidak berapa masuk akal Embi Azmin Ali boleh bertindak begitu melainkan tidak rasional lagi. Dan sekalipun MB banyak kuasa, tapi kerajaan yang ada itu masih kerajaan bersama PAS. Tidak bijak tindakan seperti tidak dibincangkan oleh Exco sedang PAS ada tiga Exco untuk menentukan kelancaran pentadbiran kerajaan dari semasa ke semasa.

Tekanan dari BN dan DAP bahawa PAS jadi pihak ketiga dalam PRU14 bukan perkembangan baru. Ia sudah diiklankan sejak tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan lebih dua tahun lalu. Jika peruntukan itu hendak disekat mengapa tunggu tiga bulan sebelum Parlimen bubar? Mengapa tidak dari dulu atau setahun dulu?

Dan politik geli ini terjadi bukan mustahil gara-gara perangkap berterusan DAP dan BN/UMNO supaya pilihan raya tiga penjuru diteruskan. BN mahu PAS bersendirian dan DAP mahu jangan ada hubungan lagi PKR dengan PAS.

Subki 2Sekalipun betul ada sekatan itu, saya payah percaya. Yang saya percaya ia satu salah faham justeru ada yang tidak kena dalam pentadbiran, maka aliran peruntukan terlambat. Terlambat boleh jadi silap atau ada anasir yang buat silap supaya memburukkan imej Azmin berterusan hingga DUN dibubarkan.

Ramai yang mahu supaya orang PAS marah pada Azmin dan jika boleh sama marahnya dengan DAP.

Memang perkara bukan isu itu sudah jadi isu. Kita ada banyak isu mengapa PAS tidak boleh bersama Harapan dan tidak boleh bersama UMNO. Menyekat peruntukan menjelang Parlimen bubar memang menggelikan sama geli dengan Mahfuz Omar tidak tunggu Parlimen bubar untuk keluar PAS.

Benda boleh selesai dengan Parlimen bubar, buat apa tambah perbalahan dengan benda kecil sedang kita banyak benda besar yang dibalah? – HARAKAHDAILY 25/1/2018

MENJELANG genap setahun Presiden Donald Trump meraja Rumah Putih secara angkuh mengumumkan kepada dunia, Amerika mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan bersegera memindahkan kedutaannya ke situ dari Tel Aviv.


Sedunia termasuk PBB mengecam sikap Trump itu sebagai pencabulan terhadap usaha damai yang dunia usahakan tetapi presiden yang ranggi itu mempersetan bantahan semua orang. Dia kekal dengan keangkuhannya.

Tiada yang dapat menghalang nafsu dan kegilaannya sepanjang setahun lalu. Apa yang dimahunya ikut peraturan atau tidak mesti dilaksanakan.

Dipercayai daripada sedikit balasan Allah, setahun genap pentadirannya, malapetaka awal menimpa Amerika sebagai amaran kepada kegilaannya.

Senat tidak meluluskan belanjawan. Memang senat dikuasai oleh Demokrat. Bukan sentor Demokrat saja menghalang bajetnya, senator Republikan ada yang tidak menyokongnya. Apabila bajet ditolak, kerajaan tidak boleh berbelanja. Beribu staf pentadbiran tidak dapat gaji dan semua kerperluan kewangan dibeku.

Pentadbiran Washington dikira seperti tudup kedai. Untuk beberapa ketika ini ia adalah bencana kepada bangsa dan pentadbiran itu. Ia lebih malang dibandingkan dengan bencana banjir atau ribut salji atau gempa bumi. Semua bencana alam itu tidak menyekat bantuan perbelanjaan. Tetapi bencana bajet disekat, duit banyak tapi tidak boleh diguna.

Tindakan senat itu bukan totok kerana pencabulannya terhadap Baitulmuqaddis, tetapi lain-lain tindakan tidak popularnya khususnya sekatan perjalanan terhadap pemastautin dari beberapa negara Islam Arab. Beribu-ribu diancam diusir dari Amerika, yang keluar Amerika secara sah dihalang pulang ke Amerika dan macam-macam gangguan kebebasan bergerak sekalipun masing-masing mematuhi undang-undang tempatan.

Atas tindakan hawa nafsunya yang lain itu tidak begitu nampak amaran dari langit, tetapi tidak lama selepas Baitulmuqaddis dan Palestin dihina, pentadbirannya diancam dengan sekatan bajet yang menjadikan pentadbiran beku.

Kita memastikan apa sebenarkan bencana itu diizinkan Allah, tetapi kita boleh mengagak, ia adalah kejadian mencolok mata beberapa ketika setelah kota suci semua agama langit – Islam, Yahudi dan Kristian – dicabulnya.

Mungkin para senator tidak peduli sangat atas pencabulan atas Baitulmuqaddis itu, tetapi semua mereka digerakkan hati oleh Allah menghukum pantadbiran yang genap setahun itu. Adakah gara-gara itu Trump dibala, tetapi tindakan paling angkuhnya yang terbaru ialah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel seperti yang dimahu oleh Negara Yahudi itu.

Tindakan adalah demi mengajar Trump yang ranggi, tetapi kini yang terhukum keseluruhannya ada bangsa Amerika, yang kesannya pentadbiran tidak bergerak dan pegawai kerajaan tidak dapat gaji selagi bajet itu dibekukan. Bagaimana mereka hendak berbelanja?

Biasanya apabila berlaku sekatan bajet begini akan ada rundingan dan tolak ansur. Tuntutan senator Demokrat sekarang ialah Trump membatalkan ancaman terhadap pemastautin tetap dari negara luar.

Masyarakat Amerika secara rasional melayan saksama terhadap pemastautin dengan warga negaranya. Mereka menentang sebarang layanan tak saksama sesama penduduk tanpa mengira rakyat atau pemastautin tetap dari luar.

Bajet itu nescaya dicairkan jika Trump membatalkan penindasan terhadap para pemastautin dan lain-lain tindakan tidak siumannya sebelum ini termasuklah isu Baitulmuqaddis. Senat mungkin tidak minta isu itu dibatalkan kerana ia sensitif bagi bangsa dikuasai Yahudi, tetapi secara mudahnya ia tidak dilaksanakan.

Trump kini diajar. Dia mungkin tidak mahu belajar kerana masyarakat termakan dengan buku yang mengatakan otaknya tidak ‘centre’. Payah otak yang bermasalah hendak dibetulkan. – HARAKAHDAILY 24/1/2018