GERAKAN kesatuan Islam atau wehdatul Islamiyah (atau ittihad al-Islamiyah dan al-jamiah al-Islamiyah) yang biasa disebut oleh sarjana Barat sebagai gerakan Pan-Islamisme ialah satu gerakan politik Islam yang berkembang selepas Sultan Abdul Hamid II menjadi khalifah pada 1876. Gagasan ini turut diperjuangkan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani yang bergerak di Othmaniyah dan Mesir, kemudian di Perancis sejak 1871. Pada 1882, Syed Jamaluddin telah bergabung dengan Sheikh Mohamad Abduh di Perancis dalam mempelopori pembaharuan pemikiran Islam. Agenda utama pemikiran pan-Islamism adalah untuk menyatukan politik Islam dalam mempertahankan khilafah dan membendung penjajahan. 
 
Gerakan Pan-Islamisme yang mula dipelopori oleh Sultan Abdul Hamid II dan Syed Jamaluddin al-Afghani ini kemudiannya dikembangkan oleh Sheikh Mohamad Abduh dan Sheikh Rashid Ridha. Melalui majalah al-Urwathul Wuthqa dan al-Manar mereka menyebarkan kesedaran pan-Islamisme ini ke seluruh dunia termasuk di dunia Arab, India dan Nusantara. Perkembangan awal pemikiran ini di Nusantara dapat dilihat kepada kewujudan organisisasi pertama di Betawi (Jakarta) iaitu Jamiat Kheir yang ditubuhkan pada 1901 dan penerbitan majalah al-Imam di Singapura pada 1906.
 
Penubuhan Jamiat Kheir atau Djamiat Choir ini tercetus hasil daripada kesedaran kelompok bangsawan Arab di Betawi yang menerima pengaruh dari Sheikh Mohamad Abduh menerusi Urwathul Wuthqa sejak 1884 di Paris. Pada 1898, para pemimpin Arab di Betawi telah mengadakan beberapa siri pertemuan untuk mewujudkan gerakan kesedaran dengan dipimpin oleh Mufti Betawi, Syed Uthman bin Abdullah bin Yahya, hinggalah mereka berjaya membentuk Djamiat Choir pada 1901. Organisasi ini bertujuan untuk menggerakkan kesedaran sosial dan pendidikan Islam dalam menghadapi Kristianisasi dan mempertahankan khilafah Islam. 
 
Pada peringkat awal ini, Djamiat Choir yang dipimpin oleh Syed Ahmad Basandiet telah mendaftarkan organisasinya kepada penjajah Belanda pada 15 Ogos 1903, tetapi tidak diluluskan kerana dilihat sebagai ancaman. Kerana itu pergerakannya ditetapkan untuk orang Arab di Pekojan, Betawi sahaja. Pada 13 Mac 1905, barulah Belanda meluluskan penubuhannya dengan Syed Fakhir Abdul Rahman al-Mashoor sebagai setiausahanya, dan mulai 17 Julai 1905 ia berdiri secara rasmi dengan Syed Idrus Abdullah al-Mashoor sebagai ketua. Seorang pendukung pan-Islamisme, Syed Abdullah Alwi al-Attas turut mengangotainya, walaupun Belanda tidak membenarkan Djamiat Choir terlibat dalam politik. Djamiat Choir mulai 1906 telah membuka keahliannya kepada orang Islam bukan Arab.
 
Perkembangan organisasi Djamiat Choir selepas 1907 sangat membimbangkan Belanda sehingga ia disekat daripada berkembang ke luar Betawi. Walau bagaimanapun Djamiat Choir tetap menubuhkan sekolah-sekolahnya di Banyuwangi, Teluk Bentung, Banten dan lain-lain atas nama "Choir" atau "Choiriyah." Djamiat Choir dianggap pelopor sistem pendidikan moden di Nusantara melalui penubuhan madrasah atau sekolah-sekolahnya. Satu aspek yang menarik ialah hubungan antara Djamiat Choir dengan akhbar-akhbar di Asia Barat yang mengembangkan pan-Islamisme seperti al-Muayyad, al-Liwa, as-Siyasah al-Musyawarah, Samarat al-Funun, al-Qistah al-Mustaqim, Syamsu al-Haqiqah dan al-Adl.
 
Perkembangan yang lebih menarik dalam Djamiat Choir ialah apabila bekas pejuang Tunisia, Muhammad al-Hashimi yang pernah berperang dengan Perancis telah menjadi guru di Djamiat Choir pada 1911, diikuti oleg kedatangan Sheikh Ahmad Syurkati, pejuang pembaharuan Sudan yang sangat anti Inggeris pada 1912. Pada tahun yang sama, Djamiat Choir yang telah mempunyai hubungan dengan tokoh reformis antarabangsa seperti Sheikh Rashid Ridha dan Amir Syakib Arsalan, telah terlibat membantu mangsa Perang Itali di Libya sejak 1911. Di sudut yang lain, Djamiat Choir dianggap berbahaya oleh Belanda kerana wujudnya kerjasama dengan orang Cina, terutama melibatkan Sarekat Dagang Islam (SDI) dan Kong Sing. Revolusi China pimpinan Dr Sun Yat Sen pada 1911 dengan bantuan Cina Muslim dianggap 'boleh berulang' di Indonesia melalui peranan Djamiat Choir dan SDI.
 
Penglibatan Djamiat Choir dalam politik Islam tidak dapat disembunyikan apabila mereka menubuhkan percetakan HV Handel Maatschappij Setija Oesaha di Surabaya pada 1913 dengan dipimpin oleh Haji Omar Said Chokroaminoto sebagai direktor. Setija Oesaha pula menerbitkan majalah Oetoesan Hindia mulai 13 Mac 1913 dengan Chokroaminoto sebagai pengarangnya. Oleh kerana Sarekat Islam yang mula dipimpin oleh Chokroaminoto telah diterima sebagai pergerakan politik yang sah, Djamiat Choir telah bergabung dengan Sarekat Islam dalam pergerakan politik dan pernah didatangi oleh konsul Khalifah Othmaniyah, Abdul Aziz Musawi dan Galib Bek, sehingga ia menerima tekanan Belanda.
 
Bagi membendung perkembangan Djamiat Choir yang dianggap berbahaya ini, Belanda telah mengambil beberapa tindakan antaranya menangkap dan menahan pimpinan Djamiat Choir, menubuhkan Budi Utama (Boedi Oetomo) dengan kebangsaan Jawa untuk menyaingi pemikiran politik Islam pada 1908 dan akhirnya bertindak membubarkan Djamiat Choir pada 1918 atas alasan pergerakan ini tidak ditubuhkan oleh anak Indonesia. Sejak itu, ia bertukar menjadi Yayasan Pendidikan Jamiat Kheir mulai 17 Oktober 1919 yang tidak lagi terlibat dalam politik Islam.
 
Perjuangan Djamiat Choir walaupun dalam waktu yang relatifnya dua dekad sahaja, tetapi telah berjaya menggerakkan kesedaran pan-Islamisme di Nusantara, memulakan sistem pendidikan Islam moden, membina jaringan kerjasama umat Islam global, memajukan percetakan dan penerbitan, serta melahirkan tokoh-tokoh terkenal. Antara tokoh keluaran Djamiat Chori ialah Sheikh Ahmad Syukarti, tokoh reformis Indonesia yang terkenal; Haji Omar Said Chokroaminoto, pemimpin Sarekat Islam yang sangat berpengaruh; dan Kiyai Ahmad Dahlah, pengasas Pergerakan Muhammadiyah pada 1912. 
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Januari 2018 -  HARAKAHDAILY 2/1/20178

SEKALIPUN sudah tidak ramai, tapi masih ada wanita Islam tidak bertudung. Jika awal 70-an dulu orang soksek mana-mana wanita yang menutup aurat, maka sekarang kita dapati yang sekadar muslimah awam bersoksek sama sendiri melihat wanita tidak bertudung terutama ibu-ibu tua atau sudah jadi opah.
       
Tidak ada yang kutuk perempuan yang tidak bertudung, tetapi secara spontan mereka getik wanita yang mendedahkan kepala itu. Pada hal mereka tidaklah terdiri daripada ahli-ahli agama yang menjaga adab dan akhlak sebagai orang Islam, tetapi getik pada yang masih tidak bertudung itu.
      
Selama ini terutama bagi masyarakat Islam konservetif mengira anak-anak wayang sebagai golongan yang tidak peka akhlak Islam. Saya tidak mahu kata mereka dibenci, tetapi mereka dipandang tidak enak oleh orang Melayu. Dan mereka dikira golongan paling bebas pergaulannya. Pergaulan bebas itu tidak disukai masa itu.
       
Tetapi masa ini penyanyi dan pelakon filem pun rata-rata sudah menjaga aurat. Saya adalah peminat lakonan seniwati Sarimah semasa muda dulu. Amat bangga saya apabila Sarimah menjaga auratnya dalam semua keadaan termasuk dalam filem.
      
Kerana terlalu menjaga auratnya hingga terasa saya lakonannya tidak realistik. Dalam kehidupan anak-beranak dalam rumah ibu dan anak perempuan tidak haram mendedahkan aurat. Tetapi dalam lakonan sedemikian Sarimah menjaga aurat. Terasalah ia tidak realistik. Tetapi itulah pekanya dia menjaga aurat.
      
Kebanyakan ahli seni sekarang sudah peka dengan adab aurat, tetapi setengah anggota masyarakat yang hidupnya ada kelas tidak hiraukan kod berpakaian itu sekalipun berada dalam majlis yang semuanya bertudung. Ketika ziarah jenazah saja tutup kepala tapi leher terdedah.
     
Apa jua status agamanya masing-masing sudah menjaga aurat. Payah kita jumpa orang bersekolah Orang Putih dulu kini tidak menutup aurat. Tahniah buat Tun Rahah, bonda PM Najib, semasa jadi isteri Perdana Menteri dulu tidak ramai orang kenamaan menutup  aurat. Tetapi hari ini dia menutup aurat.
     
Wanita Umno tidak tahu bertudung, tetapi hari ini ketuanya Shahrizat Jalil pun sudah lingkup. Sebelumnya kebanyakan perwakilan bertudung tetapi ketuanya keras kepala tak bertudung.
     
Mula orang bertudung selepas 13 Mei, 1969. ABIM ditubuhkan selepasnya. Semua ahli bertudung. Lepas itu ia berkembang pesat. Tahun 1984 saya ke Mesir selepas haji. Sekalian wanita dalam rombongan bertudung belaka. Orang Mesir bertanya, semua wanita Malaysia macam inikah?
      
Sekalipun ia belum diterima pakai orang majoriti, tapi bagi orang Mesir, beginilah  wanita Malaysia. Mereka bersyukur, kerana di Mesir ketika itu seolah tidak cukup kain unuk bertudung.
     
Dulu bertudung itu bukan budaya isteri menteri-menteri. Sejak Anwar Ibrahim jadi TPM kebanyakan isteri TPM bertudung. Isteri PM hingga hari ini belum bertudung. Raja-Raja adalah ketua agama, permaisuri belum semua bertudung. Untung juga isteri rakyat tidak ikut isteri raja mereka.
      
Perkembangan meggalakkan. Hanya kerajaan Kelantan mensyaratkan petugas wanita Melayunya bertudung. Kerajaan pusat dan lain-lain negeri tidak membuat syarat tetapi kebanyakannya memilih bertudung.
     
Apakah menjelang TN50 tamat, semua wanita Islam bertudung? Moga-moga amin! Yang masih tidak bertudung, bukan mereka saja berdosa, tetapi yang bertudung kerana bersoksek pada yang tidak bertudung boleh disambar dosa juga.
     
Jika yang tidak bertudung itu tidak dapat dicegah dengan tangan dan mulut, sekadar getik sekalipun selemah-lemah iman, berpahala jua. – HARAKAHDAILY 2/1/2018

PENDIDIKAN agama adalah antara keprihatinan besar para ulama di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua, sehingga pergerakan politik Islam menaja penubuhan Universiti Hang Tuah di Gunung Semanggol melalui Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada 16 Mac 1948, sebelum isu penubuhan Kolej Islam Malaya diangkat dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 20-21 Februari 1950. Bahkan, PAS sendiri, sejak awal penubuhannya telah mengadakan usaha-usaha ke arah penubuhan Kolej Islam sehingga wujud cadangan agar rancangan penubuhan Kolej Islam yang dipertanggungjawabkan kepada Jam'iyatul Dakwah Islamiyah Singapura pada 1948 diserahkan kepada PAS.
 
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS sendiri, semenjak yang pertama pada 3 Januari 1953 hingga merdeka, isu pendidikan agama sentiasa dibangkitkan bermula dengan cadangan biasiswa pelajaran agama PAS (pertama - 1953), mewujudkan pelajaran agama Islam di Sekolah Melayu (kedua - 1953),  penubuhan sekolah agama dan Arab oleh PAS (ketiga - 1954), mewujudkan kelas agama di setiap sekolah (keempat - 1955), bantuan kewangan kepada sekolah agama (kelima - 1956) serta desakan supaya disegerakan dana pendidikan agama dan pembukaan kelas agama di sekolah (keenam - 1957), yang memperlihatkan kesungguhan PAS terhadap pembangunan pendidikan Islam di negara ini.
 
Di Majlis Undangan Persekutuan (Parlimen sekarang), Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah membangkitkan pada 20 November 1952 agar kedudukan Sekolah al-Quran diperkasa dan waktu belajar agama di sekolah ditambah ketika membahaskan Penyata Fenn-Wu 1952. Kemudian, selepas Pilihan Raya Umum 1956, wakil rakyat PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (PAS - Krian) telah menyuarakan Manifesto PAS untuk memastikan "pelajaran agama Islam hendaklah diberatkan kepada kanak-kanak..." Di mana pada 14 Mac 1956, beliau telah membangkitkan isu bantuan kepada sekolah agama, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan yang turut dianggotai oleh wakil Krian itu. Jawatankuasa ini membuat kajian antara Ogos hingga Oktober 1956 berkait pendidikan pondok, madrasah, maahad dam kolej Islam.
 
Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, PAS mengatur langkah melalui Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959 untuk mengukuhkan kedudukan pendidikan Islam di negara ini. Hal ini terbayang dalam memorandum PAS kepada Menteri Pelajaran pada 24 Januari 1958, "Memorandum Atas Perkara Pelaksanaan Dasar Pelajaran," yang berkait umur pelajar di sekolah Melayu, sekolah lanjutan (kelas petang dan malam) berbayar, isu bahasa kebangsaan dan pendidikan agama.
 
Setelah Pilihan Raya Umum 1959 tamat, dalam Sidang Pertama Parlimen Pertama yang bermula pada 11 November 1959, PAS telah mula membawa isu-isu pendidikan ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Sebaik sahaja selesai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, majlis mengangkat sumpah ahli parlimen, meluluskan usul mewujudkan Aturan Mesyuarat (Standing Order) dan  pembentukan Committee of Selection untuk tujuan tersebut, PAS terus membahaskan isu-isu rakyat mulai 25 November 1959.
 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Utara, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad pada 25 November 1959 telah mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran supaya membuka kelas pelajaran agama Islam terutama di sekolah Inggeris jika mempunyai tidak kurang 15 orang pelajar Islam, dengan guru digaji oleh kementerian. Bahkan Profesor Zulkifli Mohamad (PAS - Bachok) turut menimbulkan persoalan tanggungan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai guru-guru agama di seluruh negara. Ustaz Hassan Adli (PAS - Kuala Terengganu Utara) juga mencadangkan supaya kementerian menyelaraskan sukatan pelajaran di sekolah-sekolah agama dan menubuhkan jawatankuasa khas untuknya mengikut syor Jawatankua Menimbang Bantuan Kerajaan Kepada Sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan 1956. 
 
Wakil PAS itu juga mengesyorkan supaya kerajaan menyediakan asrama di sekolah-sekolah kerajaan, khususnya untuk anak-anak polis dan askar. Khadijah Mohd Sidek (PAS -Dungun) pula menimbulkan isu berkaitan Taman Asohan RIDA iaitu intitusi untuk melatih wanita melalui kursus jangka pendek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang kini dikenali sebagai MARA. Beberapa isu pendidikan yang lain turut ditimbulkan oleh ahli-ahli parlimen seperti pengiktirafan ijazah Nanyang Technological University of Singapore, perperiksaan kemasukan sekolah menengah dan pendidikan rendah percuma.
 
Isu-isu pendidikan yang dibangkitkan oleh PAS pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat ini menunjukkan kesungguhan PAS dalam membela dan membangunkan pendidikan Islam di negara ini. Seorang pengkaji, Ismail Said (2011: 182) mengakui bahawa kesan daripada kesungguhan desakan PAS ini telah membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Penyemakan Dasar Pelajaran Razak yang diketuai oleh Dato' Abdul Rahman Talib pada 1960.
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 1/1/2018

GUAN Eng, Setiausaha Agung DAP telah membuat cabaran yang betul supaya MCA meninggalkan Barisan Nasional justeru UMNO dikatakan kian rapat dengan PAS.

Apakah betul PAS dan UMNO sudah seperti isi dengan kuku, hanya Allah dan PAS saja yang tahu. Nampaknya UMNO macam bersedia, tetapi ia belum berani tawarkan apa ia hendak beri kepada PAS.

Jika tawaran itu baik, apa salah ia ditimbangkan. Ini adalah jawapan atas teka-teki politik tinggi sekarang dan PAS adalah sepat yang tidak makan pancing emas.

Teka-teki itu adalah dari DAP. MCA seolah-olah termakan dengan teka-teki itu. Ia amat bimbang umpan UMNO itu dimakan PAS. Kebimbangan itu atas sebab nafsu UMNO akan ditelan hudud PAS. Jika MCA tidak peka, ia akan ditelan bersama UMNO.

Bimbang tidak bererti apa-apa jika tidak bertindak seperti tinggalkan BN seperti cabaran Guan Eng. Jika MCA bodoh ia sambut cabaran itu.

Tetapi ia belum sambut kerana politik isi dengan kuku UMNO-PAS itu satu andaian. Jika ia jawab cabaran, ia akan terperangkap. BN ditinggal, PAS tidak sambut UMNO. Kerana lamanya ia dengan UMNO, ia tidak percaya PAS tidak terperangkap dengan UMNO. Ia tahu susahnya orang yang menubuh parti bagi menggantikan PAS yang dikatakan dipancing UMNO. Parti sudah ditubuhkan, PAS masih jinak dengan UMNO tapi tak makan pancing emas.

Bagi MCA serugi-ruginya kalau ia dalam BN dan PAS bersama, ia akan dapat beberapa kerusi, dan dengan PAS join UMNO itu BN menang besar, aka nada MCA jadi menteri.

Jika ia keluar BN sekarang, apapun ia tidak dapat. DAP tidak akan bagi apa-apa padanya. Jika ia jawab cabaran DAP melompat tinggilah Gerakan. Itulah yang Gerakan tunggu. I suka cabaran Guan Eng dan ia suka MCA terima.

Sama ada PAS bersama UMNO atau tidak, MCA sudah jadi embun di rumput. Ketika UMNO sendiri tidak tentu nasibnya, MCA tidak dapat berpaut sangat pada dahan yang rapuh.

Jika UMNO patah, MCA akan ditimpa dahan reput itu. Kalau UMNO diselamakan oleh PAS, ia akan dapat seperti apa yang ia dapat sebelum ini. Jika PAS akan membawa hudud, ia tidak menghalang MCA dapat panggunya.

Cuma berkat hudud itu akan membuka hati ahli-ahli MCA suka akan keadilan Islam. Mereka mungkin tinggalkan MCA untuk bersama DHPP.

Dan dalam teka-teka politik tinggi ini MCA tinggalkan BN, bergabung dengan PAS dalam Gagasan Sejahtera. PAS akan ganti UMNO dan MCA teruskan peranan sebagai pari orang Cina yang bekerjasama dengan parti Melayu lain yang menggantikan UMNO.

Di mana-mana pun MCA payah menarik undi Cina. Dalam suasana UMNO cemas ini pengundi Cina lagi tidak percaya kepada UMNO dan sekutunya. Tetapi kalau MCA jadi regu PAS, pengundi PAS akan beri kepada MCA sebagaimana ia beri kepada calon DAP dulu.

DAP boleh berkawan dengan Anwar, Mahathir dan lain-lain, tapi tidak akan terima MCA. Semasa Lee Kuan Yew bersama Malaysia dulu, dia berusaha menggantikan MCA dalam Perikatan. Tunku sedia terima PAP tapi tidak buang MCA. Kuan Yew tolak sertai Perikatan kerana MCA dikekalkan.

Kuan Yew jadi pembangkang dalam PRU1964 kerana tidak mahu bersama MCA. Sampai hari ini DAP yang ganti PAS tolak MCA. – HARAKAHDAILY 31/12/2017

MUNGKIN Perdana Menteri Najib benar-benar tidak tahu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang nilai semasanya kini sekitar RM270 juta telah ditukar milik kepada satu syarikat yang dikatakan orang penting Felda ada kepentingan.
      
Dia adalah bukan sekadar Perdana Menteri bahkan pegawai besar paling berkuasa di Felda yang statusnya boleh dikira seperti raja Felda. Cuma ladang negara itu tidak distatuskan sebagai Felda Diraja.
      
Maka amat ajaiblah jika sungkelap tanah Felda itu tidak diketahuinya. Bukan pula mustahil dia tidak tahu seperti sindiran cerita rakyat barat yang popular iaitu Raja Berbaju Baharu. Raja tidak menyangka dia ditipu penyangak yang mengaku boleh sediakan pakaian ajaib yang tidak dapat dilihat oleh orang bebal.
     
Digayanya pakaian yang tidak nampak oleh semua di badan raja. Maka yang tak nampak raja berpakaian kata ajaibnya pakaian itu. Pakaian itu sebenar dongeng dan raja tidak sedar dia ditipu.
      
Dalam keadaan raja tertipu seperti ini saja Najib boleh ditipu oleh penyangak mencuri tanah Felda itu. Sebagai pemimpin berwibawa, Perdana Menteri dibekalkan dengan semua maklumat dan nasihat oleh sekalian pegawainya. Maka tiada sesuatu dirahsiakan kepadanya. Jika mungkin PM ditipu seperti pencurian dalam 1MDB, maka amat rendah wibawanya unuk menjadi Perdana Menteri dan hilang kelayakan menjadi Raja Felda.
      
Tidak tahunya itu mungkin, tetapi tarafnya sudah sama dengan raja yang sangka dia berbaju tadi.
      
Tanah Felda itu dalam usaha untuk diambil balik. Semua setuju siasatan diambil dan penyangak mesti dikenakan tindakan. Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu siasatan hingga ke akar umbi. Jika siasatan demikian, Najib tentu tidak terlepas daripada disiasat. Setujukah menteri itu dan sekalian pacal dalam UMNO memasukkan Najib dalam siasatan?
      
Jika boleh disiasat dan ditakdirkan ada kes setujukah dia dikenakan tindakan?
     
Setakat ini Najib bebas daripada tohmah. Sama ada dia bersubahat atau penipuan dirahsiakan daripadanya, tidak terlepaslah dia daripada pertanggungjawaban dan akauntabiliti.
      
Bagi mana-mana pemimpin yang bermaruah dalam amalan politik yang bermaruah akan mengambil tanggungjawab memelihara maruahnya dengan melepaskan jawatan.
    
Willy Brandt, Censelor kafir Jerman Barat tahun 1970 meletak jawatan kerana skandal seorang menterinya. Bukan salahnya. Demi menjaga maruah politik, dia letak jawatan.
     
Malulah Melayu/Islam tidak peka dengan maruah politik. Orang kafir pekakan maruah, orang Islam  persetankan maruah.
      
Najib telah banyak mencatutkan maruah yang dikira rendah. Menggelapkan tanah Felda ini adalah yang terakhir daripada banyak kekacauannya. Sama ada dia selamat atau tidak, dia patut lepaskan jawatan atas nama maruah Melayu/Islam/UMNO dan lain-lain. Biarlah ada dalam UMNO itu seorang Perdana Menteri yang bermaruah.
      
Biar TPM Zahid Hamidi teruskan pimpinan menghadapi PRU.
      
Sekalian Melayu/Islam dan Malaysia sudah penat dengan politik kacau bilau PM Najib dan tipuan demi tipuan, skandal demi skandal. UMNO tidak mampu selamatkan Melayu dengan timbunan skandal. Jika UMNO rasa hendak selamatkan Melayu, mesti setuju dulu gantikan Najib.
      
Tengok dulu apa Zahid boleh buat bagi menyelesaikan kecurian tanah Felda dan hadapi Dr. Mahathir dalam PRU14.
      
Bukan kita hendak menghukum sesiapa. Tetapi Malaysia perlu keluar daripada timbunan skandal. Tidakkah kecurian tanah di Jalan Semarak itu satu puaka semua. Maka kita mahu keluar daripada puaka itu. – HARAKAHDAILY 26/12/2017

SAMA ada Lim Kit Siang berpura-pura tidak mahu jadi Perdana Menteri bukanlah suatu yang perlu didebat.
      
Isunya bukan Kit Siang tetapi kemungkinan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti orang Cina.
      
Sekalipun pemimpin senior DAP itu tidak jadi Perdana Menteri, apakah orang UMNO reda seorang Cina yang lain jadi Perdana Menteri?
      
Suka atau tidak suka tiada cara ia dapat dibantah. Mungkin orang UMNO dapat menghalangnya. Sekali atau 10 kali. Tetapi ia tidak mungkin terhalang akhirnya. Kalau tidak dalam masa 50 tahun ini, dalam masa 100 tahun lagi atau 200 tahun lagi.
     
Siapa yang tidak terliur untuk jadi Perdana Menteri. Orang yang jadi sultan pun jika boleh teringin juga kerana banyak yang sultan tidak boleh buat tapi Perdana Menteri boleh buat.
     
Bukan satu dosa besar atau dosa kecil jika Kit Siang teringin jadi Perdana Menteri. Ia tidak dilarang oleh perlembagaan. Perlembagaan yang disediakan oleh UMNO 70 tahun dulu membenarkan siapa saja warganegara boleh jadi Perdana Menteri. Yang tidak boleh untuk jadi sultan saja.
     
Kit Siang dengan usianya, pertengahan 70-an sekarang masanya tidak sempat. Menangis air mata darah pun dia tidak jadi Perdana Menteri. Bukan dihalang perlembagaan, politik masa ini tidak memberi laluan kepada selain Melayu jadi Perdana Menteri. Bukan semua Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Setakat ini Melayu UMNO saja.
     
Melayu Sarawak sekalipun kerabat Barisan Nasional, tiada peluang. Kena jadi UMNO dulu. Lainlah setelah tiada lagi UMNO.
      
Masa 10 tahun ini tidak selesa bagi Kit Siang unuk jawatan itu. Selepas 10 tahun usianya lewat 80-an. Bukan usia yang logik lagi. Yang 90-an boleh jadi PM, Mahathir saja.
      
Kalaupun Kit Sing terliur, dia tahu masa tidak memihak kepadanya. Maka tidak berbangkit baginya jadi PM.
    
Jika dengan kemahiran politiknya, dia dapat gunakan Dr. Mahathir atau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, itu adalah kelebihannya. Bodohlah dia jika tidak menggunakan siapa saja - Melayu, Mahathir atau Anwar – untuk bekerja demi kepentingan kumpulan yang diwakilinya.
     
Jangan sangka Mahathir dan Anwar saja jika jadi PM diperalatkan oleh Kit Siang atau mana-mana Cina jua. Jangan kata Tunku dan Tun Razak bebas langsung daripada diperalat Cina dan India.
     
Selain Tunku dan Tun Razak memperalat Cina dan India untuk jadi PM, mereka juga bagi persepsi setengah orang, diperalat saudagar Cina. Banyak yang kata mereka pernah jadi alat MCA.
     
Bahasa politik terbuka Melayu dan Cina, UMNO dan MCA bekerjasama bagi mencapai kemenangan demi kekuasaan. Bahasa tidak diplomasinya iaitu Melayu diperalat Cina dan UMNO diperalat MCA dan sebaliknya.
     
Tunku pernah kata pada MCA, jangan tuntut banyak sangat. Setakat yang diberi itu orang sudah kata dia jual negeri pada Cina. Dari mula MCA tidak boleh menang di kawasan pengundi Cina. MCA menang sampai sekarang di kawasan Melayu. Ertinya UMNO jual kawasannya pada MCA.
     
PM itu baik dari DAP atau MCA sama saja iaitu Cina. Bukan PM dari DAP saja UMNO  tidak suka. Mana-mana Cina saja UMNO tidak senang. Jika Anuar Tan, Cina PAS Kelantan jadi PM, UMNO tidak suka juga.
     
Tiada jaminan Cina tak boleh jadi PM. Itulah sebab TG Nik Aziz pernah kata, Cina yang menguasai Islam lebih layak daripada Melayu yang jahil. - HARAKAHDAILY 21/12/2017

PERHIMPUNAN Agung UMNO boleh apa keputusan jua seperti tiada pertandingan bagi Datuk Najib dan Dr. Zahid Hamidi untuk jadi Presidennya dan Timbaln Presidennya sekalipun ia kurang indah untuk roh demokrasi dan parti dan transformasi politik parti itu.
      
Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan apa jua perlanggaran tidak boleh diadukan ke mahkamah. Sekalipun ia berlawanan dengan semangat perlembagaan, kerana kekangan untuk ke mahkamah itu ia adalah agung.
    
Adakah ia demokrasi? Tidak berbangkit. Banyak amalan dalam dunia komunis diragui sebagai amalan demokrasi, tetapi semua negara komunis menamakan ia wilayah demokrasi.
      
Jika Najib hendak jadi Presiden UMNO seumur hidup dengan keputusan itu dia akan jadi Presiden hingga mati.
      
Tetapi ia tidak sesuai dengan semangat transformasi yang diperkenalkan oleh pimpinan Najib. Layaknya politik transformasi itu meliputi semua bidang.
     
Dengan keputusan itu ada cacat pada demokrasi UMNO dan transformasi Najib. Ia tidak pernah berlaku dalam UMNO sejak 70 tahun lalu.
    
Dr. Mahathir membuat peraturan. Sepuluh undi bonus untuk satu pencalonan bagi Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam demokrasi parti yang terkawal, tiada terbuka peluang sewajarnya bagi calon lain bertanding. Dengan ini Presiden dan timbalan tidak bertanding. Masing-masing boleh bertanding, tetapi payah bagi pencabar dapat memenuhi syarat.
     
Bagi Najib dan Zahid tiada ruang lagi untuk bertanding sehinggalah perhimpunan membuat satu keputusan yang lain.
     
Keputusan yang baru dibuat itu bagi mengelakkan berulang perpecahan UMNO seperti yang berlaku  apabila Tengku Razaleigh mencabar Dr. Mahathir. Gara-garanya ia berpecah dan UMNO diharamkan oleh mahkamah.
      
Perpecahan itu bukan kerana adanya pertandingan, tetapi masing-masing  tidak sabar menerima keputusan dan kegagalan pentadbiran parti menjalankan keadilan.
     
PAS dengan sistem syuranya juga jika boleh mengelakkan pimpinannya dicabar, tetapi ia tidak menutup pintu kepada pertandingan. Ia mengelakkan pertandingan kerana Islam dan membenarkan pertandingan kerana Islam.
     
Mengharuskan pertandingan adalah satu langkah terbuka dan terbaik. Demikianlah UMNO selama ini harus jawatan itu dicabar. Harus tidak semestikan dicabar. Ia boleh dicabar dan boleh tidak dicabar. Tetapi zaman Najib ia tidak jadi harus lagi.
     
PAS yang lebih 60 tahun baru sekali dicabar Presidennya tahun 2015 dulu. Memang berlaku pertembungan sengit. Dan memangnya berlaku perpecahan. Kerana Islam mengharus pertandingan, maka pertandingan itu sewajarnya kerana Islam. Masing-masing wajar menerima keputusan. Walaupun ada yang tidak dapat menerima keputusan dan kekal dalam parti, justeru pertandingan tadi kerana Islam, hikmat niat Islamnya, sekalipun ada tidak menerima keputusan, tidaklah ia menjadikan parti itu lumpuh.
      
Perpecahan UMNO atas pertandingan antara Mahathir dan Ku Li, bukan kerana pimpinan dicabar, tetapi keengganan yang menang menerima yang kalah terus berada dalam UMNO. Walaupun pengendalian pertandingan itu ada kelemahan dan kelemahan itu diadukan ke mahkamah, ia tidak dibuat untuk mengkhianati parti, tetapi manusia itu dibenarkan mengadu atas yang ia tidak puas hati bagi menentukan keadilan dan kebenaran ditegakkan.
      
Jika yang menang dapat melayan yang kalah sewajarnya, Ku Li tidak menubuhkan parti lain. Ia menubuhkan parti sendiri kerana mereka tidak diterima lagi dalam UMNO.
      
Mengapa Najib tutup pertandingan? Kerana  takut dikalahkankah? Dengan sokongan yang dirasakan besar sekarang, payah dia kalah. Tetapi dia tidak yakin sokongan kepadanya. Bukan takut perpecahan tapi takut dikalahkan. - HARAKAHDAILY 19/12/2017

NEGERI Sembilan adalah negeri kedua melancarkan Assabiqun menjelang senja 26 November di Seri Menanti.
     
Saya sebagai Pengerusi Sidang Assabiqun melancarkannya yang dihadiri sama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Harun, Ketua Penerangan Assabiqun Pusat dan Pengerusi Assabiqun Negeri Sembilan, Haji Alias Tijat.
     
Pelancaran itu satu daripada acara sambutan 50 tahun penubuhan PAS Negeri Sembilan.
     
Negeri pertama melancarkannya ialah Pahang pada 4 November lalu.
     
Pelancaran itu adalah muqadimah awal kegiatan Assabiqun bagi menggerakkan wadah dalaman PAS itu bagi menyegarkan semangat dan keberadaan warga berjasa PAS yang berusia 55 tahun ke atas yang dalam buku induk keahlian PAS yang berusia 60 tahun ke atas berjumlah lebih 300 ribu dari sejuta ahlinya sekarang.
     
Jika dimasukkan yang 55 tahun ke atas, maka jumlahnya lebih besar.
     
Golongan ini rata-rata tidak cergas lagi untuk bergiat dalam politik yang aktif kerana faktor usia, sebahagiannya uzur dan yang lain tenaga tidak mengizinkan dan ramai yang solat dengan kerusi.
      
Bagi menyegar semangat dan istiqamah dengan PAS, maka PAS bentuk wadah dalaman dinamakan Assabiqun bagi mengekalkan rasa senang kepada perjuangan PAS demi mendaulatkan Islam dan merangsang orang PAS yang lebih muda meneruskan azam mewujudkan tertegaknya sebuah pemerintah di Malaysia yang terlaksana di dalamnya aturan dan peraturan Islam.
      
Jika orang-orang tua yang berjasa ini tidak pernah putus asa menunggu kemenangan PAS, dengan semangat tingginya untuk melihat kemenangan, maka tentulah ia dapat membakar semangat sekalian aktivis yang lebih muda meningkat jasa juang bagi memacak bendera PAS di puncak kejayaan.
     
Ia dinamakan Assabiqun mengambil barakah peranan dan sumbangan Assabiqun pada zaman Nabi menyambut kedatangan Islam di tengah masyarakat jahiliyah Quraisy Mekah dulu. Sahabat-sahabat yang awal menerima Islam sebagai agama dan menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul dirakam dalam al-Quran sebagai Assabiqun.
      
Antara yang al-Quran rakamkan ialah Allah meredhai mereka dan mereka meredhai Allah.
      
Dengan menamakan demikian, ia adalah menghormatan tinggi PAS kepada golongan ini dan saya sendiri terharu dan bersyukur atas panggilan PAS mengepalai mereka.
     
Bagi menggerakkan wadah dalaman ini pertamanya mengadakan pelancaran di peringkat negeri. Pada 9 Disember pelancaran di Kelantan dan 22 Disember di Muar, Johor. Assabiqun menunggu lain-lain negeri menetapkan tarikh pelancaran.
      
Kerana yang dinamakan pemimpin Assabiqun adalah warga emas keupayaan bergeraknya terhad. Maka Pesuruhjaya Negeri, Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan mestilah menggerakkan tenaga dulu bagi Assabiqun tiba ke sasarannya.
    
Atas bantuan itu barulah Assabiqun dapat mendekati 300,000 orang itu. Atas sokongan itu nescaya pembentukan Assabiqun dapat dicapai.
     
Menjelang PRU14 yang sudah dekat, sekalian Assabiqun boleh berperanan berpesan-pesan untuk kemenangan sebagai sampingan kepada berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Manusia itu sentiasa dalam kerugian. Dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran dapat meminimumkan kerugian.
      
Dan berpesan-pesan kepada kemenangan selepas itu nescaya dapat mendekat kepada kemenangan. Maka berpesan-berpesanlah kepada anak menantu dan isteri, kepada adik-beradik dengan SMS, kepada jiran-jiran dan orang sebelah menyebelah dalam saf solat berjemaah pastikan kemenangan dan jangan lepaskan lagi peluang kemenangan.
     
Dengan berakah memuliakan para Assadiqun-al-awalun mempermudah pesan kemenangan itu. Allah berjanji kemenangan itu. Carilah melalui kemulian Assabiqun. Janji Allah adalah benar. Jika kemenangan terlepas juga, jangan salahkan Allah, tetapi kajilah kelemahan sendiri. Kepada-Nya sekalian berserah. – HARAKAHDAILY 18/12/2017

PERISYTIHARAN Presiden Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel dan akan memindahkan segera kedutaan Amerika ke situ dari Tel Aviv dalam waktu segera bukan sekadar membakar roh umat Palastin, bahkan ia membakar hati dan roh umat Islam seluruhnya.
      
Bumi Palestin itu memangnya sudah terbakar sejak Perang Dunia Pertama, dengan pembentukan negara Israel atas sebahagian besar bumi Palestin memarakkan lagi nyala bakaran itu. Tetapi menukar ibu kotanya ke Baitulmaqdis mengesahkan pengambilan semua  bumi umat Islam di Timur Tengah bermula.
      
Ketika pencabulan itu dibuat Trump, memang semua negara Islam Arab berperang sama sendiri. Iraq dan Syria masih belum reda, Saudi mengebom Yaman tak henti-henti dan tindakan terbaharu Saudi itu mengancam  keselamatan rantau teluk itu.
      
Secara tidak langsung ini membantu Israel mara ke semua bumi umat Islam, bukan saja Baitulmaqdis jadi pusat bagi orang Yahudi, bahkan Mekah dan Madinah akan masuk dalam bubunya.
      
Memang sebelum kiamat berlaku, dunia akan dikuasai Dajjal dulu. Imam Mahdi yang muncul semasa dunia diharung Dajjal tidak dapat menundukkan Dajjal. Itu adalah tanda kiamat itu sudah dekat.
      
Tiada berlaku kiamat selagi belum datangnya Dajjal dan diikuti turunnya Nabi Isa al-Masih. Kedatangan Dajjal itu meletakkan dunia di bawah kuasanya. Dengan pengaruh dan kuasa Israel di rantau itu, tidak  nampak Palestin dapat ditebus semula. Israel bukan saja ada kehandalan pertahanan dan kelengkapan senjatanya, tetapi ia sentiasa dilindungi Amerika dan Amerika itu sendiri dikuasai Yahudi yang mahukan bumi Islam diambil semuanya.
      
Amerika selama ini melindungi Israel dan Yahudi. Ia tidak menentang Baiulmaqdis dijadikan miliknya. Tetapi bedebah Trump mengisystiharkan ambillah sepenuhnya kota suci daripada umat Islam. Apabila Presiden Amerika itu mengesahkan ia milik zionis dan mulai sekarang Yahudi sudah dapat memulakan peluasan kuasa dan bumi Israel itu seperti yang bakal dikuasai Dajjal nanti.
     
Maka tidakkah tindakan Trump itu menjadi muqadimah kedatangan Dajjal? Makhluk Dajjal yang memusnahkan bumi itu difahami bermata satu. Trump masih seperti manusia lain bermata dua. Tidaklah Trump itu sendiri Dajjal yang sebenarnya, tetapi dia telah memulakan kerja-kerja Dajjal dan menyediakan tapak untuk didatangi Dajjal.
      
Trump itu akan jadi Dajjal jika sebelah matanya buta. Jika ini berlaku, maka dia tinggal sebelah mata. Ia menjadikannya  bermata satu. Dajjal memang bermata satu, maka mungkin dialah permulaan turunnya Dajjal.
      
Sah Dajjal itu sudah ada apa diketahui Imam Mahadi sudah ada. Imam Mahadi itu dikatakan seorang yang namanya Muhammad bin Abdullah, sama dengan mana Rasulullah SAW. Imam Mahdi itu tidak tahu dirinya Imam Mahdi, tetapi apabila tiba waktunya orang bernama Muhammad bin Abdullah akan jadi Imam Mahdi yang peranan besarnya adalah menghadapi Dajjal.
      
Kerana Imam Mahdi itu belum ada, maka tidak dapat dikatakan Presiden Trump itu adalah Dajjal yang menunggu itu.
     
Setakat ini dia menyediakan dirinya untuk jadi Dajjal. Dia sudah melancar perang ke atas Korea Utara dan dengan arahannya dipindahkan kedutaan Amerika di Israel ke Baitulmaqdis, ia menaja perang meluaskan persempadanan Israel.
      
Sekalian sekutu Amerika di Eropah dan Amerika utara adalah cemas dengan pentadbirannya yang sepuluh bulan itu. Sekalipun mereka sependirian dengan polisi politik Amerika tetapi mereka juga cuakkan  Dajjal. Sasaran Dajjal bukan Islam saja bahkan kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 15/12/2017

MASYARAKAT Islam Amerika khususnya dan lain-lain di luar Amerika bangkit atas kenyataan anti Islam Presiden Donald Trump dalam twitternya.
     
Hingga ada yang mahu Trump diimpeach iaitu dibicara dan dipecat.
      
Memang Presiden Amerika bedebah itu diketahui benci Islam sejak sebelum jadi Presiden lagi dan apabila jadi Presiden dia bertindak tidak memberi visa kepada rakyat beberapa buah negara Islam untuk mengembara ke Amerika. Bahkan yang sudah menetap di Amerika keluar Amerika pernah tidak diizin kembali ke Amerika.
       
Akan tetapi ada orang Malaysia rasa yakin Donald Trump ada perubahan terhadap Islam setelah didatangi Perdana Menteri Najib di Rumah Putih beberapa bulan lalu.
      
Menteri luar Anifah Aman yang menemani PM Najib bertemu Trump itu rasa positif ada kesan penjelasan Najib atas Islam kepada pemimpin Amerika itu khususnya tentang pegangan umat Islam di Malaysia.
     
Dalam petikan video Najib pada Trump tentang amalan Islam kita itu adalah Islam Progresif. Pendirian yang bukan pengganas agaknya bahkan kerajaan yang dipimpin orang Islam Malaysia adalah memerangi keganasan dalam kalangan orang Islam yang  sama-sama Amerika dan dunia hadapi sekarang.
      
Sekalipun Anifah Aman tidak selesa Trump dalam ucapan sulung di Perhimpunan Agung PBB selepas itu tidak ada pembelaan terhadap Rohingya yang Najib hajat sangat agar Trump sentuh. Pengungsian setengah juta umat Rohingya ke Bangladesh adalah antara yang Najib bangkitkan dengan Trump.
      
Bagaimanapun sebelum dia menempelak Islam yang terbaru itu, dia menyelar regim Myanmar dan nyonya yang memimpinnya atas isu tidak peri kemanusiaan. Tidak dipastikan marah Trump kerana kezaliman Myanmar terhadap Islam atau kezaliman sesama manusia?
     
Apapun Malaysia boleh berpuas hati atas sikap terbaru Trump tentang Rohingya. Ia sesuai dengan yang Najib kata semasa menemuinya itu.
     
Malaysia amat positif dengan petemuan Najib - Trump itu. Jika seruan itu justeru dakwah, logiknya dakwah Najib positif. Indahnya pertemuan mereka justeru telah berkenalan lama.
      
Tetapi dakwah itu tidak mengubah isi perut Trump tentang Islam. Dilanyaknya Islam melalui twitternya. Tidak pasti akan sikap Trump itu tetapi umat Islam Amerika amat menyayat hati.
      
Kesemua Presiden Amerika dulunya adalah tidak mesra Islam. Tetapi munafiknya tidak dinyata kepada umum benci dan anti Islam. Kerana Israel kata Yasser Arafat dan PLOnya pengganas, merekapun jadi tiong juga. Benci di hati di mulut dan jari tidak kata benci.
     
Adapun Trump bedebah ini, bencinya  di hati, di lidah  dan di hujung jari.
     
Dia ibarat Kaisar Parsi yang diseru Rasulullah SAW agar menerima Islam. Jika tidak terima bukan dia saja berdosa, dia tanggung dosa sekalian rakyatnya yang kekal kafir. Lain-lain raja juga tidak terima tapi tidak koyak mesej baginda. Kaisar Parsi koyak. Gara-garanya putera Kaisar bunuh ayahnya.
      
Trump mungkin macam hati Kaisar itu. Tidak mustahil kuasanya dikoyak dan bangsa Amerika dan terus dibayangi Islam.
      
Memandangkan Najib dikira positif dalam misi semi dakwahnya pada Trump, Trump suka padanya dan mendengar pandangannya, apa kata kalau Najib pergi jumpa Trump lagi, ceritakan lagi Islam progresif itu kalau-kalau terbuka pintu hatinya tidak anti Islam lagi.
     
Tidak pasti apa Islam progresif itu. Adakah ia seperti Islam syumul macam yang Islam faham terhadap Islam? Tentunya tidak sama progresif dengan Islam sebagai addin. – HARAKAHDAILY 13/12/2017

DEMI mengatasi krisis pembantu rumah oleh setiap/kebanyakan keluarga Bajet 2018 Perdana Menteri Najib menyarankan masing-masing tidak perlu lagi bergantung pda agensi, tetapi boleh ambil terus dari negara asal dan kemudian selesaikan urusan rasminya dengan pihak berwajib kerajaan.

Ia mungkin satu langkah awal bagi mengatasi masalah itu, tetapi masih terlalu banyak karenah birokrasi menjadi penghalang.

Pegawai di pihak terbabit belum disediakan dengan kaedah membereskan urusan rasmi bagi calon pembantu rumah yang masing-masing sudah perolehi sendiri. Pembantu rumah sudah ada tetapi urusannya masih payah. Sehingga urusan rasminya selesai semua terpaksa menggunakan pembantu rumah haram.

Kemajuan yang Malaysia alami, sama ada ia pesat atau di tahap dunia ketiga soal pembantu rumah adalah krisis getir yang dihadapi oleh semua orang. Boleh dikatakan setiap rumah dan setiap keluarga memerlukan perkhidmatan pembantu rumah.

Kebanyakan isteri tidak lagi jadi suri rumah. Sama ada makan gaji dengan kerajaan atau swasta atau berusaha sendiri di luar rumah. Isteri bekerja atau ada pendapatan sendiri adalah penting bagi setiap keluarga bagi menampung keperluan hidup zaman ini. Pendapatan suami tidak mencukupi keperluan rumahtangga.

Ini memerlukan pembantu bagi mengasuh anak. Boleh anak diserahkan kepada pengasuh sambilan yang terdiri dari suri rumah, tetapi biaya bagi seorang anak sudah mahal. Jika ia adalah lebih dari dua anak, maka tak berbaloi gaji yang diperoleh dengan bayaran mengasuhi anak-anaknya.

Dan anak-anak sudah tidak lagi dapat menjaga dan melayan ibu bapa yang memerlukan bantuan dalam semua perkara.

Maka pembantu rumah sudah jadi satu keperluan sebagai mana dulu semua memerlukan kediaman, pakaian dan makanan, tetapi pembantu rumah adalah keperluan yang baru.

Bukan orang berada saja perlukan pembantu, orang yang tiada pendapatan pun perlukan pembantu. Itulah cara hidup sekarang.

Pembantu yang dibekalkan oleh agensi selain dari bayarannya tinggi, tetapi tiada jaminan mereka akan kekal. Banyak kejadian belanja mendapat seorang orang gaji mencapai belasan ringgit. Baru sebulan dua mereka lari. Banyak kejadian duit habis, pembantu tidak kekal.

Ia satu krisis yang kerajaan hadapi, ia gagal membekalkan ketenangan dan keselesaan kepada rakyat.

Apa yang menyebabkan krisis itu ialah kerana pengambilan pembantu rumah asing itu adalah sebahagian dari perniagaan orang dan ia juga satu bentuk perhambaan. Lesen membawa masuk pekerja asing adalah satu industri yang lumayan. Lesen itu hampir sama dengan cara saudagar Amerika mengambil hamba dari Afrika itu.

Perniagaan orang mesti dihentikan dan sistem pengambilan pekerja asing khusus pembantu rumah mesti mengikut kehendak transformasi dikatakan itu.

Pengambilan sendiri adalah betul. Berbelanja mencari orang ke Indonesia misalnya lebih murah dari mendapatkannya dari agensi.

Dan jika PAS berkuasa sistem itu mesti dirubah. Jangan jadikan ia terlalu mahal dan terlalu susah. Yang memerlukan pembantu itu adalah susah-susah belaka. Urusan itu mesti diringankan.

Jika pengambilan itu dari Indonesia, kerajaan PAS mesti berunding dengan Indonesia supaya urusan jangan dipersusah. Pengambilan itu bukan lagi atas dasar perniagaan orang tetapi atas dasar persaudaraan serumpun.

Mereka tidak dilihat seperti buruh yang ada pemisahan antara tuan dan pekereja, tetapi ada saudara satu keluarga.

Jika Nabi tidak melihat hamba sebagai kuli, tetapi sebagai saudara sesama Islam, mengapa tidak dijadikan contoh. Upah tetap dijamin.

Indonesia tidak dapat memberi pekerjaan cukup untuk rakyat. Malaysia memberikan pekerjaan/rezeki kepada mereka. Apakah ia bukan tolong menolong? – HARAKAHDAILY 30/11/2017

SARANAN Islam buat seluruh ummah, hendaklah hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Ia dikongsi oleh semua tamadun.

Pesanan itu tidak berlaku untuk rakyat kita di bawah pentadbiran yang ada ini.

Yang terjadi kepada sekalian pacal, dua tiga minggu sudah lebih senang dari hari ini. Payah hendak memikirkan esok akan lebih senang. Kerana akhir-akhir ini pacal tidak pernah senang, ertinya kita semua susah. Jika semalam cukup susah, maka hari ini lebih susah.

Tinjauan yang dibuat oleh media atas pasaran basah harian, semuanya mengaku yang mahal dua minggu dulu tidak semahal yang mahal sekarang.

Antara keperluan harian seperti ikan dan sayur lebih dari dua kali naik dalam masa kurang dari sepuluh hari. Ikan kembung adalah lauk hari orang awam selama-lamanya. Bawal, gegerut, senangin bukan lauk mereka. Ia lauk orang berada.

Mereka tidak beli bawal kerana harganya tinggi. Tetapi ikan kembung hari ini lebih mahal dari bawal awal tahun ini. Saya tidak mahu sebut berapa harganya sekarang. Kalau saya sebut nescaya makan tak berlauk sekarang.

Keadaan barang mahal, tidak padan dengan pendapatan semua, amat ketara di bawah pentadbiran Najib yang mewawasankan pendapatan tinggi. Pendapatan tak tinggi-tinggi. Yang tinggi dan tinggi harga barang.

Bila PM Najib mewawaskan pendapatan tinggi tentulah dia hendak melihat dicapai dalam masa pentadbirannya. Tentulah tempoh pentadbirannya tidak sampai 22 tahun seperti dia dan rakan-rakannya selalu jejek sekarang.

Pendapatan itu sudah diinjak untuk rakyat dalam TN50. Masa itu mungkin 40 peratus orang yang ada hari ini sudah tidak ada lagi. Khairy Jamaluddin kalau ada lagi sudah bertongkat.

Suasana serba payah sekarang adalah takdir selepas pembentangan Bajet 2018. Sebelum pembentangan bajet Oktober lalu sumuanya sudah susah, tetapi tidak serba susah.

Sekalipun bajet itu guna mengadakan peruntukan supaya kerajaan boleh berbelanja, bukan itu saja tujuannya. Ia adalah untuk merangsang keadaan yang lebih senang untuk semua dan jangka panjang kesenangan tahun-tahun muka.

Agong tidak dapat mimpi seperti Raja Mesir semasa Nabi Yusuf dipenjara. Mimpi Raja Rayyan ditakbir Nabi Yusuf bahawa wilayah sekitar Laut Mediterranean akan subur selama tujuh tahun dan akan diikuti tujuh tahun kemarau tanaman tidak menjadi.

Maka Nabi Yusuf membuat bajet, mengisi sebanyak stok makanan semasa subur bagi bekalan masa kemarau.

Najib tidak menunggu mimpi Agong menyediakan bajet 2018 dan TN50. Makanya yang dia sendiri dakwa ibu segala bajetnya sejak dulu menjanjikan agihan peruntukan besar untuk semua. Tun Ghafar Baba dulu suka menyebut juta-juta. Najib pula suka bilion-bilion. Semua syok kerana masing-masing dapat bahagian dari bilion yang diguruhkan. Tiada yang tidak dapat apa-apa.

Semua keluar berpusu-pusu setelah mendengar guruh di Parliman untuk menyambut hujan di luar Parliman. Bajet menjanjikan rahmat untuk semua. Rahmat hanya dari Allah. Ia belum datang.

Kaum Aad mengharapkan langit gelap membawa hujan setelah lama tidak hujan. Yang turun taufan membinasakan kaum Aad dan segala tamadunnya.

Rahmat bajet pada pembentangannya. Hujan di luar Parliman membawa kenaikan harga minyak beberapa kali seminggu dan harga barang yang melambung tiap-tiap minggu.

Selepas bajet dibentang semuanya tidak seronok lagi. Negara keluarkan minyak, rakyat tiada duit hendak isi minyak motokar. Laut lambakkan ikan kembung, rakyat mampu beli seekor dua untuk satu keluarga. Bajet tak dapat beri lauk. Takut masa TN50 makan tak berlauk. – HARAKAHDAILY 29/11/2017