DIALOG atau debat agung antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Menteri Nazri Aziz yang sepatutnya berlangsung di Padang Rengas petang 25 Mac tidak jadi diadakan kerana tidak dapat izin polis.
       
Tidak usah ditanya gerangan apa polis kedekut mengeluarkan permit, mungkin justeru kesannya menggandakan apa yang PM Najib maksudkan sabotaj ekonomi negara.
        
Tindakan polis itu mengingatkan semua kepada Debat Agung PAS-Umno suku pertama tahun 80-an yang ditunggu oleh semua, sehari menjelang debat yang dijadualkan diliput Langsung TV dilarang Yang Dipertuan Agong.
       
Debat PAS-Umno dibatalkan atas dikri Agong dan Dialog Mahathir-Nazri terhalang atas tidak diizin polis.
       
Debat PAS-Umno dulu gara-gara cabaran Dr. Mahathir Perdana Menteri masa itu. PAS seperti Nazri juga terima cabaran itu dengan syarat disiarkan TV secara langsung. Umno setuju dan Mahathir bagi tajuk PAS kata Umno kafir. PAS setuju tajuk itu. Mahathir namakan  moderatornya Tan Sri Lokman Musa. PAS setuju.
      
Semua kata tajuk itu berat sebelah dan seru supaya PAS jangan langsungkan debat. Tajuk itu seolah-olah boleh pukul mati PAS. PAS enggan batalkan. Kalau mahu batal biar oleh Umno. PAS tahu tajuk itu tidak adil baginya tapi ia akan untuk kata, Umno kata, PAS kata Umno kafir.
      
Jika Umno dan PM Najib tidak restu Nazri sahut cabaran Mahathir atas tema 1MDB dan lain-lain, Debat PAS-Umno itu sebenarnya tidak dikehendaki Umno termasuk Mahathir sendiri. Mahathir dipercayai tidak bersungguh. Cabarannya sekadar main-main. Tetapi PAS ikat dia supaya ia dapat bersemuka dengan Mahathir dan Umno.
       
PAS tak akan tarik diri. Kalau Umno batalkan malulah ia.
       
Untuk keluar dari kemelut itu, Agong dikri ia dibatalkan. Agong dipercayai bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Bagi selamatkan air muka Umno, Mahathirlah di belakang perintah istana itu.
      
Sekarang Mahathir hendak sangat dialog itu. Ia sarat dengan isu yang boleh pukul mati PM Najib dan Umno yang Nazri sepatutnya tahu PM Najib selama-lamanya tidak mahu ia dibincang terbuka. Mungkin Nazri sangka dia sang kancil mahu berjenaka dengan Mahthir dan rakyat seluruhnya. Tetapi dialog itu boleh pukul mati Najib seperti PAS boleh pukul mati Mahathir dalam Debat PAS-Umno dulu.
      
Macam-macam Umno sindir Nazri, tetapi dia sanggup bersendirian, asal jangan disingkir dari kerajaan kerana memberi tombak pada Mahathir untuk panah Najib.
       
Tiada cara bagi mengelakkan dialog itu melainkan mengilhamkan polis tidak mengeluarkan permit.
       
Sebagaimana orang payah percaya Agong memandai mengeluarkan dikri 30 tahun lalu, maka tiada yang percaya Najib tiada di belakang polis tentang permit itu.
       
Debat dulu berjaya dibatalkan. Tetapi dialog kali ini sekadar ditunda, belum dibatalkan. Kerana sekarang ada Karangkraf yang bebas mengadakan puluhan wacana di premisnya tanpa permit. Setakat ini 7 April disetujui sebagai tarikh baru. Jika polis tidak pernah ganggu Karangkraf jadi gelanggang percambahan  fikiran dipremisnya selama ini, payah baginya campur tangan atas dialog ini.
      
Apa Najib dan polis dapat buat bagi mempengaruhi Karangkraf menarik diri daripada penganjuran itu?
      
Apa yang Najib buat bagi mempengaruhi polis bagi menghalang  dialog itu adalah mengulangi apa yang Mahathir buat bagi membatalkan debat dulu.
      
Sekarang Mahathir mahu sangat dialog itu, tetapi Najib cuba sekat sebagaimana dia pernah sekat debat dulu.
      
Jenaka Nazri adalah nahas buat Najib. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

BERSATU sudah sah menyertai Pakatan Harapan dan Dr. Mahathir mengesyorkan gabungan parti pembangkang itu meniru kaedah yang digunakan oleh Perikatan yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional.
      
Ertinya Pakatan Harapan akan muncul sebagai Barisan Nasional 2.0 atau BN Kedua.
      
Ia boleh kekal dengan nama Pakatan Harapan atau apa-apa jua nama yang disetujui tetapi konsepnya kira-kira sama dengan BN.
      
Jika PAS dulu mencari regu bukan Melayu dan DAP mencari regu Melayu, maka ia ditempelak BN yang dipimpin Mahathir sebagai  peniru atau  ciplak. Buat begitu bukanlah meniru dalam politik suatu yang salah atau ada hak cipta dalam politik. Tiru atau ciplak tak laku dibawa ke mahkamah.
      
Dia kata begitu dengan harapan pihak yang meniru berasa malu dan tidak meneruskannya.  Mahathir pun jelaskan hal itu baru-baru ini sebagai usaha menghalang kaedah BN itu ditiru. Jika ia ditiru juga, maka ia ancaman bagi BN sejak masa itu.
      
Apabila ia ditiru juga sekalipun tidak 100 peratus sama, tetapi ikut konsep Pakatan Rakyat, memang BN cemas. Nasib saja menyelamakan BN.
       
Sekarang orang yang ikut dari awal mengubah Perikatan jadi BN dan bertanggungjawab menorak BN hampir 30 tahun mengizinkan BN ditiru sekalipun tidak 100 peratus, maka BN tidak boleh tidur malam lagi.
    
Antara yang dianjurkan ia guna satu lambang untuk semua, suatu yang pernah difikirkan semasa Pakatan Rakyat dulu tetapi tidak tercapai, menggunakan satu nama, tidak lagi gunakan nama parti masing-masing. Jika  boleh Mahathir mahu nama baru, tetapi mengekalkan Pakatan Harapan pun tiada masalah.
       
Tetap yang tidak dapat disamakan ialah BN adalah satu parti yang dominan iaitu Umno sekalipun tiada kuasa veto, tetapi pengaruh dan cengkamannya atas parti lain agak kuat. Pemimpin Umno seolah-olah Yang Dipertuan Agong BN yang keputusannya didengar. Parti seperti itu tidak ada dalam BN 2.0 ini.
       
Siapa hendak dijadikan Pengerusi BN 2.0? Dr. Mahthir atau Anwar Ibrahim atau jadi Pengerusi Bersama? Pengerusi BN adalah calon Perdana Menteri. BN 2.0 belum bincang hal ini.
      
Apapun BN 2.0 boleh jadi cabaran seperti PRU13 jika PAS sebahagian daripadanya. Tetapi dengan PAS berada dalam Grup Ketiga. Satu lawan satu tidak lagi relevan. Maka cabaran itu tidak sekental dulu.
      
Apapun BN 2.0 boleh dikira pencabar utama BN. Banyak yang tidak menyangka BN 2.0 menjadi pemenang dalam PRU14 tanpa satu lawan satu. Solon, pemikir Greek purba berkata, tiada siapa tahu kejadian masa depan.
       
 Wujudnya BN 2.0 boleh menyambung hayat beberapa kerabat parti itu. Jika wawasan itu tidak diwujudkan tiada jaminan hayat dapat disambung. Kecuali DAP. Jika sekali ini gagal lagi, ia boleh jadi pembangkang yang penting lagi.
       
PAS bekerja dan ia berserah sepenuhnya kepada perkenan Allah sebagai sifat orang beriman. Justeru ia biasa tinggal seorang  ahli Parlimen, ia boleh ada lagi dalam arena politik seperti selalu. Ia mahu menang dan ia sedia kalah.
        
Jika BN 2.0 tidak ada, yang lain-lain pun payah ada lagi. Hayat Umno juga tidak terjamin dengan adanya BN 2.0. Ia mungkin tidak cukup kerusi untuk berkuasa lagi. BN 2.0, dengan tiga penjuru atau lebih, belum tentu cukup kerusi bagi menggantikan BN.
      
Yang jelas ia boleh jadi penyelamat hayat parti-parti kerabatnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2017
    

JIKA media tidak salah lapor Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein diberitakan berkata, Malaysia ada kelebihan jika berperang dengan Korea Utara.
       
Cakap macam ini, sekalipun betul, tidak membantu  sedikit pun usaha menyelesaikan perbalahan kedua negara berhubung dengan pembunuhan abang pemimpin Korea Utara di sini dan masalah sembilan orang warga kita yang tidak dibenarkan pulang dari Korea Utara.
      
Sekalipun pemimpin Malaysia berhempas pulas bagi meyakinkan orang Malaysia betapa orang kita di sana itu dikatakan tidak apa-apa dan ada kebebasan seperti biasa, tetapi semua melihat menteri-menteri itu cemas, apa lagilah keluarga orang yang tidak dapat pulang itu.
       
Banyak bersangka bahawa yang menjadikan ketegangan itu adalah ketidakcekapan Wisma Putra bermain diplomasi hingga rancangan mengosongkan kedutaan tak dapat dikosongkan. Moga-moga sangkaan itu sekadar persepsi.
       
Tetapi semuanya melihat Wisma Putra berhempas pulas untuk membawa pulang kesembilan mereka. Jika keadaan tidak  cemas, apa perlunya mereka hendak dibawa pulang dan  apa perlunya dua warga kita yang berkhidmat dengan Bangsa-Bangsa Bersatu terpaksa dipindah ke Beijing?
      
Sekarang kita sudah tingkatkan kerja diplomasi bagi membawa pulang petugas kita dulu dan hubungan diplomasi itu dipulihkan kemudian setelah isu pembunuhan itu selesai.
      
Tetapi ketika kerja penyelesaian itu berjalan tiba-tiba Menteri Pertahanan bercakap kononnya kita ada kelebihan jika berperang kerana kita ada ramai kawan di seluruh dunia.
     
Cakap seperti ini boleh menyusahkan perundingan diplomasi yang licin. Ia dilihat sebagai satu provokasi yang boleh menaikkan darah orang lain.
       
Boleh dikira ia bodoh tetapi yang diplomasinya ia bukan kenyataan cerdik. Apa perlunya kita bangkit soal perang dalam apa keadaan jua.  Akui saja ia mencemaskan hubungan. Apa untungnya bagi tahu orang, kita ada ramai rakan di dunia. Sekalipun banyak negara membantu kita mengesan kapalterbang yang hilang, tetapi belum bijak menyatakan semua orang akan membantu kita apabila berperang dengan Korea Utara?
       
Singapura tak bagitahu, ia mudah pukul sesiapa yang berperang dengannya. Sekalipun Amerika getik   dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad, tetapi hingga akhir ia tidak bantu pemberontak tumbangkan kerajaan Syria.
      
China boleh pukul Taiwan bila-bila masa tetapi ia pun takut berperang. Amerika itu perkasa tetapi ia pun takut berperang. Bush serang Iraq dan Afghanistan, tetapi sampai hari ini ia tidak tahu bagaimana hendak keluar daripada beban yang dihadapinya.
      
Betul Kuwait dibantu oleh sekutu NATO semasa diceroboh Saddam Hussein, tetapi banyak mana kecederaan yang ia hadapi dalam perang teluk, sedang kekayaan yang lebur kerana perang itu boleh digunakan bagi membantu umat Islam yang miskin di seluruh dunia.
      
Semua kuasa besar sekarang takut untuk berperang dengan Korea Utara. Ia ada macm-macam jenis nuklear. Jika perang tercetus, ia boleh tuju pelurunya ke mana ia suka. Jika ia berperang dengan kita. Dipercayainya dunia akan sokong kita, ia boleh tembak semua negara sebelum dunia tembak negeranya.
        
Ia ada pengalaman berperang dengan Amerika dalam Perang Korea dulu. Sampai sekarang tiada perjanjian tamat perang dengan Korea Selatan. Bayangkan payahnya kita ia naik angin dengan cakap Hishamudin yang tidak cerdik itu.
       
Mengapa orang yang tidak cerdik ini dijadikan menteri sepenting itu? Jangan sampai orang kata kerajaan yang menjadikannya menteri adalah kerajaan yang tidak cerdik! – HARAKAHDAILY 16/3/2017

HUBUNGAN kita dengan Korea Utara tegang dan bertambah tegang. Kesnya warganya yang penting mati dibunuh di negara kita yang kita wajar kendali mengikut undang-undang kita.
     
Kaedah kita itu tidak disetujui olehnya. Ia mahu kes itu dikendali bersama. Kemahuannya tidak betul pada undang-undang kita. Tetapi yang tidak betul padanya dikiranya betul juga, seolah-olah yang betul itu dia, yang tidak betul ialah kita.
       
Macam-macam kenyataannya yang tidak diplomatik, tiada apa yang dapat dibuat melainkan persona non gratakan dutanya. Maka ia pun ambil tindakan sama pada duta kita.
      
Kemudian ada orang pentingnya yang penting bagi membantu penyiasatan tidak dibenarkan meninggalkan negara ini. Tindakan kita tidak salah pada peraturan kita, tetapi Korea Utara bertindak pula tidak membenarkan kaki  tangan kedutaan kita dan keluarga masing-masing serta warga kita di sana meninggalkan negara itu  bahkan mereka dijadikan tebusan di kedutaan. Terkurung mereka sehelai sepinggang.
     
Benarkan orang mereka yang tidak dibenarkan meninggalkan negara, barulah orang yang dijadikan tebusan itu dibebaskan.
      
Tindakannya melanggar susila diplomatik dan peraturan angtarabangsa.
       
Maka kita bertindak balas pula tidak membenarkan  warganya di sini meninggalkan negara ini.
       
Biasa bagi amalan diplomatik, tindakan terhadap sebuah negara itu tidak ikut sangat susila. Apabila duta diusir atas sebab tertentu, maka ia mengusir pula duta negara yang mengusirnya.
      
Sekarang orang kita tak boleh balik dan orang dia pun tak boleh tinggalkan Malaysia.
      
Orang kita yang tersekat itu tidak bebas keluar masuk tempat mereka tersekat. Tidak dipastikan mereka cukup bekalan makanan dan bagaimana kemudahan makanan dan persalinan mereka.
      
Kebimbangan kita ialah mereka putus bekalan makanan. Semasa tiada krisis dulupun mereka sukar untuk mendapatkan bekalan makanan. Makanan tak halal pun payah, yang halal lagi payah. Bagi mendapat ayam mereka terpaksa ke sempadan China yang beratus kilometer jaraknya.
       
Jika boleh dalam masa aman pun tiada orang kita yang tahan berada lama di sana.
      
Allah saja yang tahu payahnya mereka dan Allah saja yang dapat melepaskan mereka daripada masalah yang dihadapi.
      
Kepayahan yang orang  kita hadapi dipercayai tidak akan dirasai sangat oleh orang-orangnya yang tidak dibenarkan pulang. Kalaupun ada orangnya berlindung di kedutaannya, mereka tidaklah terkurung sangat. Tidak mungkin mereka sampai putus bekalan makanan.
        
Mungkin mereka terpaksa mencatu makanan. Tetapi catuan di sini mungkin tidak seteruk catuan biasa di negara itu.
        
Ada pun orang kita di sana tidaklah berapa orang sangat. Tetapi orang Korea utara yang berkhidmat di negara ini ramai. Bagi orang kita kalau boleh tidak mahu tinggal sesaat pun, tetapi bagi orang mereka jika boleh mahu tinggal di sini  selama-lamanya.
      
Menghantar mereka pulang adalah suatu hukuman berat, tetapi tidak dibenarkan pulang adalah rahmat.
      
Tindakan menyekat mereka pulang dipercayai sangat mereka suka, kerana di sini ibarat syuga.
      
Pada Korea Utara demi kepentingannya termasuk mengurung orang kita di kedutaan betul padanya sekalipun tak ikut aturan dunia. Tindakan kita yang sama ke atas orangnya tidak semesti betul kerana ia tidak mendera mereka yang tidak dibenarkan pulang.
      
Kita kena cari kaedah yang lain. Apa kaedahnya? Kita ramai ahli fikir dan  pakar strategis, biarlah mereka memikirkannya. – HARAKAHDAILY 11/3/2017

APA yang Malaysia alami dalam mala petaka tegang hubungan diplomatiknya dengan Korea Utara adalah gara-gara berkawan akrab dengan regim komunis paling teror dalam dunia.
      
Kerajaan komunis sama seperti rata-rata orang komunis di mana-mana saja adalah teruk tetapi Korea Utara dalam suasana komunis rata-rata berubah, ia tidak berubah dan ia kekal seperti komunis Soviet Union zaman Stalin dan zaman komunis China bawah Mao Zedung dulu.
     
Stalin boleh kirim pembunuh ke Maxico membunuh Leon Trotsky, Menteri Perang  Soviet semasa Lenin yang melarikan diri dari Stalin. Maka Kim Jong-Un  yang berkuasa di Korea Utara sekarang kirim pembunuh membunuh abangnya di Malaysia sekalipun Kim Jong Nam yang dibunuh itu tidak menjadi ancaman besar kepada negaranya.
      
Jika Malaysia berdepan dengan banyak masalah menghadapi komunis yang tidak berkuasa di sini, maka apa yang dapat dikata komunis yang berekuasa.
      
Adapun Korea Utara sekarang ini tiada siapa yang ditakutnya. Amerika tidak apa-apa padanya. Rusia dia tidak peduli. Jika ada yang disegannya hanya China. Itupun China tidaklah boleh pandang rendah kepadanya.
       
Dengan kerajaan yang macam inilah yang kita hadapi dalam krisis pembunuhan Kim Jong Nam.
        
Malaysia begitu cemburu dengan Daesh dan ia tidak percaya kepada Israel, tetapi tidak dipastikan Malaysia begitu memberi kecurigaan kepada Korea Utara.
       
Tidak salah menjadi negara yang terbuka, berkawan diplomatik dengan sesiapa saja tidak kira ideologi dan kepercayaannya. Hubungan baik itu ada baiknya tetapi mestilah ada kewaspadaan dan hadnya.
      
Dasar luar kita agak terlalu laju. Ia tidak sekadar punya hubungan baik dengan negara-negara tertentu, tetapi dalam hubungan denga Korea Utara ini ia membenarkan parti yang berkuasa di Malaysia iaitu Umno dan hubungan dengan parti yang memerintah Korea Utara sedang parti itu adalah parti komunis yang komunisnya adalah paling teruk dari parti-parti komuis yang lain.
     
Tidak tahu apa yang Umno boleh dapat daripada hubungan dengan parti pekerja Korea Utara? Tetapi jangan fikir parti komunis Korea Utara tidak dapat apa-apa.
       
Kita mesti ada anggapan kemahiran dan keberanian buat apa yang ia mahu. Kita mesti anggap perisiknya memilik keupayaan kelas tinggi dunia. Kita mesti ada fikiran ke depan dari apa yang perisik dan pengintip asing fikir.
      
Mungkin kita fikir Jong Nam yang tiada kedudukan dalam kerajaan adiknya bahkan dia tidak dikehendaki oleh adiknya tidak memberi apa-apa ancaman kepada kita. Maka kita tidak peduli sangat tentangnya. Tetapi kita mugkin tidak fikir bahawa kerajaan yang menghendakinya boleh buat yang mereka hendak buat kepadanya seperti yang mereka telah buat sekarng.
      
China komunis mungkin boleh buat sesuatu kepada orang Taiwan di Taiwan, tetapi kerajaan Taiwan berjaya kawal hingga tidak banyak Beijing buat terhadap musuhnya di Taiwan.

Dengan suasana terbuka di Malaysia, siapa saja bebas masuk dan keluar, maka Korea Utara dapat peluang buat apa yang kita tidak fikir. Mereka tidak bawa senapang dan kirim penembak tepat, mereka  guna orang yang boleh dupah untuk sapu muka mangsa.
       
Peri kekejaman Korea Utara itu tidak usah kita banyak pertikai. Memperkatakan reaksi Korea Utara tentang tindakan yang diambil adalah sama seperti kucing makan lauk yang terbiar. Memang kucing cari peluang itu. Boleh menyalahkan kucing tetapi apa kita dapat?
       
Jika kita hendak berkawan dengan komunis kita mesti jadi lebih bijak daripada komunis. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

SEJAK beberapa tahun saya menghadiri temu janji enam bulan sekali dengan doktor di hospital.
   
Saya dibekalkan dua jenis ubat, makan sebiji  sekali lepas makan malam.
     
Dalam temu janji terbaru, doktor tanya sama ada saya tekun makan ubat itu?
      
Ya, Saya istiqamah.
     
Alhamdulillah penyakit itu terkawal.
     
Maka dotkor pun beritahu, dua jens ubat itu tidak dibekalkan lagi kerana kerajaan tak ada duit.
     
Reaksi saya dalam hati, Inna lillah wainna Ilaihi rajiun.
     
Ia satu berita musibah, kerajaan sudah tidak berduit atau sudah tidak cukup duit. Bukan mati saja disyariatkan dengan reaksi kata-kata, Inna Lillah, tak berduit bagi kerajan itu satu musibah juga, antara lain-lain musibah yang menyamai mati juga.
      
Raja Saudi labur puluh billion tak berduit lagi?
     
Senyum saja doktor itu.
      
Tapi dua jenis ubat itu diganti dengan satu ubat baru yang menyamai khasiat dua ubat sebelum ini. Ertinya ubat baru itu dua dalam satu.
      
Bagaimanapun warga emas tak berada seperti saya, masih dapat ubat subsidi. Percuma.
      
Pertukaran ubat itu dipercayai termasuk dalam langkah kerajaan mencatu peruntukan kesihatan dan rawatan mulai Mac ini.
     
Saya tidak takwil ubat itu dulu dua kini jadi satu. Jika dua ubat bagi satu penyakit boleh ditransformasi jadi satu ubat saja, ia adalah satu kemajuan dan menjimatkan. Adalah lebih ringan bagi pesakit ke mana-mana dengan satu ubat saja. Ongkos ubat boleh dikurangkan dan ruang penyimpan ubat boleh digunakan untuk lain.
     
Yang saya takwil, ubat saya itu diganti kerana kerajaan tak berduit.
     
Ucapan Inna lillah saya itu adalah takziah dan ia doa, moga-moga musibah tak berduit itu tidak diikuiti oleh lain-lain musibah dan kesan negatifnya.
      
Bertuahlah saya masih dapa subsidi ubat, tetapi keadaan telah menjadikan ada orang dan ada ubat yang mungkin sudah  tiada ada subsidi lagi.
     
Sebelumnya kita dikejutkan dengan musibah mulai Mac juga, cabut gigi sepuntung di klinik kerajaan dan hospital naik RM15 dari RM2. Cuci gigi dinaikkan jadi RM55. Ada yang kata cuci gigi di klinik swasta RM50 saja.
     
Sejak sebelum merdeka adakah percuma. Sekalipun selepas merdeka perkhidmatan rawatan ada yang diswastakan, tetapi ubat dan rawatan masih percuma terutama bagi orang berpendapatan kecil.
      
Kebajikan perubatan itu dibuat kerana kerajaan kita mampu, negara kita kaya. Selain ia banyak hasil mahsul, kerajaan sejak merdeka melancarkan pembangunan menyeluruh  bagi menambah pendapatan rakyat dan mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara.
      
Negara kita tak termasuk wilayah bangsat. Sekalipun kita tidak semaju England tetapi pembangunan luar bandar kita ada yang mengatasi kampung-kampung di Britain.
       
Catu makanan benda biasa. Tetapi catu ubat di negara tidak berperang bagi wilayah yang kaya bahan mentah adalah satu musibah.
      
Ia adalah tanda Malaysia menuju negara muflis, barang dilindungi Allah.
       
Jika kurang bahan makanan, kita boleh puasa sehari berbuka sehari. Ada kurangkan makan dari tiga kali kepada dua kali sehari. Ibu bapa boleh makan sekali asal anak makan cukup.
    
Tetapi ubat tidak boleh dicatu. Ubat bagi tiga kali sehari tak boleh jadi sekali. Ibu bapa  tak boleh kurangkan ubat bagi cukupkan ubat pada anak.
      
Musibah buat kita ini teruknya sepuluh tahun terakhir ini. Tiap-tiap rancangan lima tahun adalah bagi memajukan negara, bukan membawa Inna  Lillah. – HARAKAHDAILY 7/3/2017

ALANG kepalang seronoknya Makhdum betapa Raja Saudi yang melawat Malaysia itu dikatakan hendak meniru pemberian BRIM kepada rakyatnya dan hendak mengadakan GST pula di negaranya.
     
Orang-orang yang menceceh hal itu di sini seperti Dr. Mahathir dan lain-lain hendak kata apa lagi.
     
Kata Makdum, kalau di negeri kita dikatakan rasuahlah! Menindas rakyatlah! Apakah Raja Salman merasuah rakyatnya dengan BRIM dan menindasnya dengan GST?
      
Bagi Makhdum yang seronok itu, kita tanya bila Saudi ada pilihan raya? Rajanya hendak rasuah politik apa sedang kerajaannya tidak pernah diundi.
      
Yang ditempelak rasuah itu ialah BRIM itu mula diperkenalkan menjelang PRU lalu. Tahun berikutnya, PRU belum diadakan lagi diberi sekali lagi.
      
BRIM yang pertama dulu di kebanyakan tempat diberi di majlis-majlis anjuran Umno. Seganlah si miskin yang tidak Umno hendak masuk ke kandang Umno. Sekarang dielokkan sedikit sistemnya supaya  tidak dilihat Unmo dan tidak dikatakan rasuah.
       
Mungkin pemberian di sini – niat dan sistemnya – kurang sah, tetapi di negara Wahabi itu sah. Bahkan berpesan Raja Wahabi itu kepada tuan rumah, memerintahlah mengikut syarah; berpesan kerana kebenaran dan kerana kesabaran. Jika pemberian ikut syariah tiada diraguilah sahnya.
       
Jika Raja Salman adakan BRIM, negaranya mampu dan berduit banyak. Dari beri derma RM2.6 bilion pada oang tak tentu hala buat apa duit itu, beri berbilion pada Mesir kerana dapat tumbangkan kerajaan Mursi, buang berbilion perangi Yaman, baiklah bagi pada rakyat berpendapatan kecil.
       
Negaranya berkecukupan dalam semua perkara. Tidak diketahui ia berhutang. Dengan duit berguni-guni tidak sewajarnya berhutang.
       
Biar jadi macam pemerintahan Umar Abdul Aziz tiada yang mahu terima zakat (BRIM), yang belum nikah diberi perbelanjaan nikah. Duitnya memang tak habis. Tak perlu Saudi tiru BRIM, tapi tiru apa yang Umar Abdul Aziz Berjaya hapuskan kemiskinan.
      
Apapun Malaysia yang memberi BRIM adalah ibarat berkain singkat. Tarik ke atas nampak lutut, tarik ke bawah nampak pusat. Bagi BRIM terpaksa batal subsidi. Bagi  bantuan peladang, potong geran pelajar di luar negara.
      
Dengan ekonomi jatuh, duit jatuh, harga barang naik, BRIM suatu yang menelan belanja. Ia diadakan bukan sangat kesian kepada si miskin, tetapi  cara baru mengekalkan kuasa.
      
Jika GST diadakan adalah kerana kerajaan tidak cukup pendapatan dan hilang banyak punca pendapatan. Ada yang komoditi jatuh harga, adalah duit dicuri dan ditipu, ada bayaran hutang terlalu besar dan  ada kerana rasuah menjolok ozon.  
       
Dengan GST beban negara dapat diringankan tetapi ia mendera rakyat seperti Firaun kerah rakyat bina piramid.
       
Tidak diketahui kewangan Saudi teruk hingga memaksa mengadakan GST. Sebagai negara kaya ia tidak perlu mencukai berat rakyat. Jika kekayaan negara-negara teluk membebaskan rakyat dari cukai pendapatan, maka teruklah ertinya kalau Saudi adakan GST.
       
Lainlah kalau pendapatan rakyat tinggi, GST tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Sekalipun rakyat tidak terasa beban GST, ia mengancam umat yang naik haji dan umrah. Perbelanjaan haji akan naik. Sekarangpun sudah diancam dengan visa yang tinggi. Bila ada GST akan mnyebabkan penyimpan Tabung Haji menabung lama atau meninggikan caruman bulanannya.
      
Makhdum gembira Raja Wahabi hendak meniru BRIM dan GST, tapi sangka ia membetulkan tindakan kita yang tidak sah. Di Saudi ia sah, di sini belum tentu. – HARAKAHDAILY 4/3/2017

KELUH Baba Lim Kit Siang, jika TG Nik Aziz masih Mursyidul Am PAS, maka hubungan DAP dan PAS tidak jadi seperti hari ini. Yang jadi begini dipercayainya justeru pimpinan TG Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang.
      
Di tengah kelam kabut revolusi Hang Jebat menguasai politik kerajaan Melaka dulu, maka mengeluh Sultan Melaka, jika Hang Tuah masih hidup, tidaklah Melaka jadi begitu.
       
Terdengar Bendahara akan keluhan itu seraya bertanya dia akan Sultan, jika Hang Tuah masih hidup bagaimana?
       
Bawa dia pulang! Nescaya politik Melaka baginda serah kepadanya. Tetapi Hang Tuah tidak dibunuh. Dapatlah Sultan lihat politik Melaka diselesaikan. Akan tetapi TG Nik Aziz sudah almarhum. Tak dapat dibuktikan  perubahan sikap terhadap DAP  justeru kemahuan Presidennya saja.
       
Keluh Kit Siang itu adalah andaian politik yang menarik boleh menghidupkan polemik tempur PAS dan DAP supaya petaka Pakatan itu diserahkan pada PAS saja dan DAP berlepas tangan. Andaian politik ada yang benar dan banyak tidak benar.
        
Sepanjang hubungan antara dua ulama itu sejak sebelum kedua-duanya jadi peneraju parti, adalah saling sokong menyokong. Sepanjang keduanya sebagai Mursyidul Am dan Presiden tidak terdapat tempur dalam perkara pokok, dan kiranya ada dalam perkara cabang.
       
Gerakan politik matang sudah bermula selepas PRU13. Pakatan tidak diharap dapat melonjakkan agenda politik Islam justeru DAP tolak kerana ia tidak termasuk hal yang disetujui bersama. Demi Islam PAS boleh bersama sesiapa dan demi Islam saja PAS tidak bersama DAP.
       
Mursyidul Am dikunjungi Menteri Jamal Khir Baharom, Dr. Asyraf Wajdi, PM Najib, TPM Muhyidin Yassin dan Zahid Hamidi singgah di wadnya. Bermula perbincangan kiranya enekmen kanun jenayah syariah II Kelantan dipinda, Parlimen sedia meminda RUU355. Perkembangan yang bermula di Kelantan ini tidak dibantah oleh Presiden.
      
Beberapa tahun sebelum TGNA meninggal bermula gerakan mempertikai kepimpinan ulama di Kelantan. Dari Kelantanlah tercetuskan NGO Pasma sebagai persediaan menggantikan PAS dalam Pakatan. Sasarannya ialah pimpinan Presiden dan Mursyidul Am dikecualikan.
       
Kencang sebut PAS mahu bersekongkol dengan Umno. Pimpinan TG Haji Hadi diserang. TG Nik Aziz jadi dua dalam satu dengan TG Haji Hadi. Dalam polemik itu saya terbaca kenyataan TG Nik Aziz, ‘Saya sekali saja mimpi melihat Nabi, Ustaz Hadi mimpi tiga kali.’ Sekalipun TG Nik Aziz uzur, saya terima kenyataannya, kedua-duanya adalah bagai aur dengan tebing. Tiada percanggahan dari sudut dasar dan matlamat, jika berbeza adalah pendekatan seperti berbezanya pendekatan antara Abu Bakar dan Umar.
       
Jika TG Nik Aziz masih ada tetap bersama TG Haji Hadi seperti yang Nik Abduh buat. Nik Abduh adik-beradik afdal mengimamkan solat jenazah TG Nik Aziz, tetapi mereka beri laluan pada Presiden. Solat ghaib Dr. Haron Din di Shah Alam diimami cucunya sedang TG Haji Hadi ada. Afdal imam adalah waris. Nik Abduh dengan TG Haji Hadi ibarat ayahnya sendiri. Tentu dia lebih tahu dari Kit Siang tentang ayahnya.
      
Kata Tian Chua dalam akhbar Cina, DAP percaya serpihan PAS dapat menjadi ganti berkesan PAS dalam Pakatan. Tetapi ternyata andaian itu, katanya, meleset.Tiada yang dapat menggantikan PAS.
      
Jika TG tidak almarhum lagi, dengan layanan dan penghinaan yang PAS terima, Beliau buat apa yang pimpinan PAS lain buat. Politik tinggi PAS kini, bukan Kit Siang saja  tidak faham, PM Najib pun tak faham. – HARAKAHDAILY 3/3/2017

DENGAN sedihnya diberitakan pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA-2  pada 13 Februari lalu.
      
Apa yang dikatakan atas tragedi itu ialah Inna Lillah Wainna Ilaihi Rajiun.
      
Sebagaimana reaksi spontan setiap umat atas semua musibah termasuk kematian atas sesiapa jua, maka ia adalah seelok-elok reaksi yang dapat diberi terhadap yang menimpa cucu Presiden pertama Korea Utara, anak Presiden selepasnya dan abang kepada Presiden  sekarang.
       
Dia pergi bukan dengan kehendaknya. Allah menentukan musibah begitu. Kerana ia berlaku di bumi Malaysia, umat Malaysia wajar sabar dan bertenang menerimanya, dan dengan mengungkapkan kata-kata Inna Lillah itu moga-moga kita tidak ditambahkan dengan musibah selanjutnya!
       
Ia bukan musibah keluarga dan waris Kim, tragedi bagi bangsa Korea Utara, bahkan ia bencana bagi Malaysia dan rakyatnya kerana ia berlaku di  Malaysia.
      
Doa dan harapan kita, pembunuhan itu tidak mempengaruhi hubungan diplomatik antara Malaysia dan tanah air mangsa sebagaimana hikmat kalimah Inna Lillah tadi, bahang seterusnya menjadikan kita ada ekoran musibah lagi.
        
Reaksi duta Besar Korea utara di sini menempelak layanan dan tindakan kerajaan dan polis menyiasat kes bunuh itu mengikut undang-undang di sini. Malaysia cuba dijadikan pihak yang bersalah atas  tindakannya, sedang Malaysia menerimanya sebagai masalah kerana berlaku dalam negara ini.
      
Cara kita menangani kes itu tidak dihormati. Ia mahu mayat disiasat bersama dan jika boleh serahkan mayat kepada kedutaan. Malaysia tidak boleh setuju. Banyak kerjasama yang diminta belum disetujui.
       
Setakat ini hubungan  kedua negara sudah jadi musibah lain selain dari musibah dia terbunuh.
      
Hasil penyiasatan awal tentang senjata yang digunakan ialah komponen senjata kimia yang sangat bahaya dan diharamkan dibawa masuk. Dengan penggunaan senjata itu, Malaysia terima satu lagi musibah yang kena lafazkan inna Lillah lagi. Musibah ini menambah masalah lagi buat negara kita.
       
Malaysia setakat ini hanya bermasalah dengan politik dalaman dan kerajaan yang tidak telus. Ia ada masalah keyakinan kepada kerajaan menurun. Masalah politik itu diselesaikan oleh pilihan raya saja. Bencana besar selain daripada banjir tidak ada. Keseluruhannya ia tenang.
       
Tetapi tragedi Jong-Nam ini boleh jadi satu mala petaka yang kini menjadi perhatian dunia. Dunia memang bermasalah dengan Korea Utara dalam banyak perkara. Tidak banyak masalah negara itu membabitkan kita.
       
Korea Utara diketahui memiliki pelbagai senjata nuklear canggih. Dia dipercayai mati kerana mukanya dicekup kain, setelah disiasat membawa racun kimia. Rakaman sulit menujukkan dua wanita menyekup mukanya. Keduanya sudah ditahan polis. Beberapa laki-laki yang disyaki terlibat sudah tiada dalam negeri antaranya seorang diplomat Korea Utara.  
      
Korea Utara ada  senjata itu. Yang terbunuh orang  Korea Utara, antara yang dapat lari pegawai kedutaan. Tiba-tiba didapati pula senjata kimia. Maka dunia boleh membuat syak.
      
Walaupun orang tidak yakin atas siasatan pelbagai skandal melibatkan pimpinan yang tidak banyak hasil, tetapi umum tidak pertikai ketepatan siasatan tentang Kim Jong-Nam ini .
       
Sebagai negara yang tidak banyak bencana alam yang besar, satu tuah kepada semua. Entah apa malangnya Allah timpakan kita dengan bencana perbalahan keluar pemimpin Korea Utara berlaku di Malaysia. Ia mungkin balasan terhadap perkara tidak telus. Maka musibah itu datang sebagai ujian dan amaran atas kepincangan masyarakat supaya diinsafi. – HARAKAHDAILY 1/3/2017

BERMULA dari sebaran sekeping gambar daripada akaun Perdana Menteri, ianya mula ditularkan lewat petang semalam. Bagai halilintar semua cyber trooper PKR dan PAN ranap hancur dan tiada bangkai. Bagai dibom dengan senjata nuklear yang paling power di abad ini.

Sebelum ini lidah mereka gian bertari, jari jemari rancak berkeyboard. Macam bermacam kata nista sebelum ini. Mereka dengan mulut manis mengecam Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana menerima kunjungan dari seorang pemimpin negara yang amat mereka benci setakat ini.

Mereka kata Lebai PAS terkulai layu di sisi Najib, ada dedak melintasi katil, Lebai PAS gila berUG, Lebai PAS kemaruk kuasa, Lebai PAS pelahap jawatan dan bermacam kata nista mereka hambur di media sosial sebagai penghias catatan mereka.

Bila mereka sendiri memakan liur Mahathir, orang yang menzalimi Anwar Ibrahim, pemimpin idola mereka satu waktu dahulu bermula refomasi 1998, mereka sudah boleh melupakan Bapak Anwar yang dituduh peliwat oleh Mahathir.

Hari ini tiada lagi pemuda gagah reformasi, tiada lagi angkatan hebat yang sering melaungkan reformasi di jalanan. Semuanya hilang bila Mahathir berjaya menjadi dewa mereka sekali lagi. Anwar kian dilupakan. Oleh kerana Anwar memang licik dia berjaya keluar dari kurungan untuk mengingatkan pengikutnya yang dia masih hidup.

Anwar kesepian, tidak seperti dahulu lagi. Penyokong PAS, penyokong reformasi, pentas PAS, pentas Anwar, bila Anwar diberi sedikit kuasa Ahli Parlimen Pematang Pauh, yang tidak boleh disembunyikan faktanya PAS membantu memenangkan beliau di sana, Anwar kian gian dan rancak berpolitik dalaman.

Dia cuba menjadi Menteri Besar Selangor dengan cara pelik iaitu Langkah Kajang. Taktik Anwar yang didukung Rafizi dan sekutu DAPnya tidak menjadi dan Anwar kini meringkuk di sebalik jeriji Sungai Buloh tanpa dipedulikan lagi. Mahathir dijulang ke sana ke mari.

Bila sekeping gambar Najib yang mereka sudah labelkan manusia paling celaka dan sial terpaku duduk tersenyum sinis di sisi katil Bapak Anwar Ibrahim di Hospital bersama bini masing-masing, semua pendekar cyber terkunci mulut dan jari. Kaku, lumpuh dan terduduk.

Kelicikan Anwar tidak menjadi lagi kali ini. Walaupun dia berjaya keluarkan diri dia sementara dengan alasan kesihatan, sebenarnya Anwar hendak sampaikan mesej kepada pengikutnya yang dia masih hidup. Tapi sebaliknya. Tiada pengikutnya melaungkan Hidup Anwar di hadapan hospital, sebaliknya Najib meranapkan kelicikan Anwar dalam masa beberapa detik sahaja.

Suara rengetan pun yang keluar busuk kohong bagaikan bangkai, jari-jari pun memburuk bagai kena penyakit kencing manis tahap 10. Jatuh tulang-tulang jari, lidah memburuk dan mereka cuba bersembunyi muka mereka di sebalik sekeping tisu tangan...hanya sekeping gambar tersebar...

Catatan Noja
LPT2 Tol Paka
18/11/2017

Pendahuluan

Pelaksanaan wasiat si arwah dan pengagihan harta pusaka merupakan perkara penting dalam masyarakat Muslim. Setiap harta yang tertentu boleh membawa kepada isu permasalahan besar dalam pengurusan kewangan dan harta Islam. Hal ini merujuk kepada kes faraid yang sering terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu penangguhan dan kegagalan pengagihan harta pusaka si arwah, diskriminasi antara ahli keluarga, pengabaian wasiat si arwah, pertikaian antara pewaris dan ketiadaan dokumen mahupun bukti bagi proses pengagihan harta pusaka si arwah.

Dalam kes sebenar yang berlaku, isu utama bermula apabila sebuah keluarga besar berebut untuk memperoleh pemilikan harta pusaka si arwah. Bagaimanapun, antara ahli keluarga tersebut, kebanyakan mereka tidak langsung mengetahui sejauh mana perhubungan keluarga sesama mereka dan langkah prosedur pengagihan harta pusaka yang berlaku. Bagaimanapun, pengagihan harta pusaka tetap berjalan dan menimbulkan lebih banyak isu berkait dengan isu utama iaitu terdapat sekatan dalam proses berpunca daripada isu kekeliruan salasilah keluarga. Akhirnya, proses pengagihan harta pusaka tersebut ditangguhkan dan diabaikan tidak terurus. Beberapa faktor umum ditemui mempengaruhi isu permasalahan yang berlaku dalam pengagihan kewangan dan harta Muslim.

Faktor yang menjejaskan pengagihan kewangan Muslim

1. Cetek pengetahuan dan kesedaran tentang pengagihan harta pusaka Islam

Berdasarkan hukum Islam, Muslim perlu mematuhi sistem faraid mengikut kadar yang telah ditentukan bagi setiap pewaris dalam pengagihan harta pusaka Islam berpandukan sumber Al-Quran dan As-Sunnah setelah diselesaikan segala urusan pengebumian, hutang si arwah, pelaksanaan wasiat dan harta sepencarian. Pengagihan harta pusaka si arwah juga perlu merujuk kepada status pewaris dan hubungannya dengan si arwah (Harun). Pengetahuan am dalam pengagihan harta pusaka ini perlu difahami oleh masyarakat Muslim sebelum menguruskan kewangan yang ditinggalkan si arwah seperti yang telah dijelaskan dalam Al-Quran Surah al-Nisa, ayat 7, 11, 12 dan 176.

2. Maklumat kewangan si arwah kurang jelas semasa hidupnya

Dalam kes faraid masyarakat Muslim, keadaan ini sering terjadi khususnya apabila si arwah membeli polisi insurans atau saham semasa hidupnya. Keadaan ini boleh membawa kepada permasalahan besar dalam proses tuntutan insurans seperti maklumat penama kurang jelas jika si arwah tidak memaklumkan ahli keluarganya mengenai insurans yang dibeli ketika hidupnya. Selain itu, hal ini boleh membawa kepada ketidakadilan dan pengagihan harta pusaka mungkin tidak dapat diakses oleh pewaris sebenar.

Oleh hal sedemikian, si arwah memainkan peranan penting semasa hidupnya untuk memastikan ahli keluarga yang dipercayainya maklum secara jelas mengenai maklumat harta peninggalannya. Dalam hal ini, ahli keluarga juga bertanggungjawab untuk mengingatkan si arwah semasa hidupnya supaya memaklumkan atau melantik orang yang dipercayainya untuk mengurus harta peninggalannya.

3. Hubungan dingin antara ahli keluarga

Dalam sesebuah institusi keluarga, hubungan yang retak dalam kalangan ahli keluarga selalu terjadi sama ada atas kerelaan dan pilihan sendiri atau sebaliknya. Sebagai contoh, ahli keluarga tidak cakna berita sesama ahli keluarga. Hal ini boleh membawa kepada kejanggalan apabila ahli keluarga bertemu pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu kewangan si arwah. Keadaan ini juga melibatkan isu permasalahan isteri cerai mati atau hidup terutamanya bagi suami atau si arwah yang berkahwin melebihi seorang. Proses pengagihan harta pusaka si arwah boleh menjadi sukar diurus disebabkan maklumat yang tidak diketahui seperti tempat tinggal terkini pewaris atau cara menghubungi mereka. Maka, dalam konteks hubungan kekeluargaan ini, ibubapa sepatutnya menjadi contoh teladan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga supaya anak-anak akan mudah terikut untuk bersama-sama cakna dan memperkukuhkan lagi institusi keluarga.

4. Peranan orang awam dalam kes kematian berkumpulan

Kebiasaannya, kemalangan besar seperti kemalangan di jalan raya yang melibatkan keseluruhan ahli keluarga sering kali terjadi sama ada di kawasan awam atau berbahaya. Apabila kemalangan berlaku, bukan sahaja pihak bertanggungjawab bahkan orang awam yang berada berdekatan kawasan kemalangan juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti mangsa dalam kalangan ahli keluarga yang masih hidup walaupun tidak sampai satu jam bertahan.

Hal ini kerana situasi tersebut boleh memberi kesan kepada pengagihan harta pusaka dalam sistem faraid di mana situasi tersebut diambil kira untuk mengetahui pewaris yang berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan si arwah. Sebagai contoh, sekiranya mangsa kemalangan terdiri daripada datuk, bapa dan seorang anak, datuk telah meninggal terlebih dahulu sebelum bapa, pewaris bagi harta pusaka peninggalan datuk tersebut akan meningkat jika wujud pewaris di bawah susur galur salasilah keluarga sebelah bapa. Kes sedemikian juga boleh membawa kepada penyalahgunaan harta anak yatim dalam pengagihan harta pusaka si arwah jika penentuan masa kematian bagi mangsa kemalangan tidak dapat dikenal pasti (Hassan).

Sesungguhnya, faktor-faktor yang telah disebutkan di atas jelas memberi kesan besar dalam pengurusan kewangan dan harta Muslim. Oleh itu, Islam sering mengajar umatnya terutama bagi setiap individu, orang awam, masyarakat Muslim dan pihak bertanggungjawab supaya bersama-sama menangani isu permasalahan yang berlaku dengan menyelesaikan proses pengagihan harta pusaka si arwah secepat yang mungkin. Hal ini perlu dilakukan bersama demi pengurusan kewangan dan harta yang lebih baik untuk generasi masa hadapan (Hasliza binti Talib).

Penulis ialah mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia.

RUJUKAN:

Harun, T. H. (n.d.). Isu-isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam dalam Konteks Perundangan Malaysia. 6-10.

Hasliza binti Talib, N. b. (n.d.). Isu-isu Tuntutan Harta Pusaka: Satu Sorotan Literatur. 8-9.

Hassan, S. N. (n.d.). Isu-isu dan Permasalahan dalam Pembahagian Pusaka Orang Islam di Malaysia. Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan).

SAYA kira para penyokong ketum silap perkiraan. Mereka hanya bermimpi di siang hari dan khayal. Kononnya Jerman lebih maju dari negara kita kerana tidak pandai mengeluarkan produk ketum secara pil itu. Kononya juga Malaysia mengamalkan undang-undang terkebelakang kerana mengharamkan metragynine yang terdapat dalam ketum.

kratomApa yang berlaku, pil itu hanyalah serbuk kisaran ketum yang mungkin diseludup dari negara kita. Cuma bezanya dengan ketum kedai kopi belakang kilang getah kampung xxxx, orang Jerman membuat inovasi memasukkan serbuk ketum itu dalam kapsul gelatin dan bungkus cantik dalam botol. Itu sahaja, tiada nilai tambah pun. Manakala kedai kopi belakang kilang getah itu menggunakan teknik rebus daun. Sekali sekala dicampur air rebusan itu dengan ubat gegat dan ubat nyamuk bagi menambahkan khayal.

Dakwaan mereka bahawa kapsul ketum ini boleh mengubati darah tinggi, kencing manis, tingkatkan sistem imun dan pelbagai lagi hanya andaian-andaian. Masih di peringkat hipotesis. Tiada pun lagi kajian klinikal bahawa ketum ini sama tara dengan ubat darah tinggi, ubat kencing manis yang sudah berada di pasaran sekarang ini.

Saya konsisten dalam mempertahankan bahawa ketum ini tiada manfaat besar kecuali dibuktikan sebaliknya. Ironinya ia menimbulkan ketagihan di kalangan penagih. Lebih sadis, ketum ini menjadi pintu masuk kepada pengedaran dadah-dadah lain yang menjadi musuh utama negara.

Marilah bersama saya menutup pintu-pintu fitnah itu dalam masyarakat.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli