FIRMAN Allah:

۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ٢٨ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَآبَّةٖۚ وَهُوَ عَلَىٰ جَمۡعِهِمۡ إِذَا يَشَآءُ قَدِيرٞ ٢٩ وَمَآ أَصَٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٖ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٖ ٣٠ الشورى.

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata. (27) Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji. (28) Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya). (29) Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu). (30)” (Surah As-Syura: 27-30)

Tajuk kos sara hidup menjadi perbincangan hangat hari ini, khususnya apabila sangat membebankan kehidupan rakyat sehingga pendapatan tidak mampu menanggung perbelanjaan hidup seharian. Kalaulah yang berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh, apatah lagi kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga jumlahnya, penganggur dan golongan kurang upaya. Ia tidak mengira yang bergaji atau bekerja sendiri juga menghadapi bebanan yang sama.

Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar. Semakin besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut bandar raya, semakin berat bebanannya. Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan penyangak yang juga membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan yang bukan kerjanya.

Tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan, perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.

Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisis, serta mengemukakan pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya daripada agama yang menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di sisi Allah dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh ajaran Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama.

Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas menegaskan betapa kebijaksanaan Allah mentadbir manusia, bukan sekadar menurunkan hidayah-Nya yang dapat dibaca, bahkan manusia juga dikurniakan akal, pancaindera, ilmu dan kemampuan jasad serta rezeki yang cukup secara saksama dan adil.

Sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir kehidupan mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang luhur apabila meninggalkan hidayah Allah, khususnya sifat mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna, sifat bakhil terhadap orang lain, sanggup boros dan membazir dalam kalangan orang kaya kerana hidup bermewah-mewah tanpa peduli kesannya terhadap golongan miskin. Semuanya memberi kesan negatif kepada ekonomi berkeluarga dan bermasyarakat, khususnya apabila mengundang kos sara hidup yang tidak saksama dengan pendapatan.

Para ulama Islam yang tersohor seperti Ibnu Khaldun, Al-Syatibi dan lain-lain telah menghuraikan aspek tersebut, bukan sahaja untuk zamannya, bahkan meredah masa hadapan ke zaman kita, sehingga menangani masyarakat manusia seluruhnya dengan rezeki yang melimpah ruah tetapi berlaku kesan yang negatif, apabila tanpa mengira perhitungan iman dan akhlak. Namun, Allah menangguhkan balasan akhirnya di Hari Akhirat dengan didahulukan fenomena hidup di dunia supaya sedar dan insaf. Allah berfirman:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Para ulama telah membahagikan kehidupan manusia dengan pembahagian mengikut konsep Al-Dharuriyyat, Al-Hajiyyat, Al-Tahsiniyyat dan Al-Tarafiyyat yang mencakupi aspek kehidupan manusia dan secara khusus juga sangat mempengaruhi aspek ekonomi dan cara kehidupannya dalam lapangan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Al-Dharuriyyat adalah perkara asas yang perlu dalam keperluan hidup seperti makanan asasi, pakaian dan rumah kediaman, iaitu sekadar dapat hidup walaupun tanpa kesenangan. Keperluan makanan sekadar mengisi perut untuk meneruskan kehidupan, pakaiannya pula sekadar menahan badan daripada udara dan cuaca yang menganggu kesihatan dan menjaga maruah dengan menutup aurat. Kediaman yang cukup bagi tempat menetap dan beristirehat untuk diri dan keluarga, walaupun tanpa punya kenderaan sendiri kerana sudah ada kemudahan pengangkutan kegunaan umum.

Al-Hajiyyat adalah penambah baikan yang diperlukan bagi memberi keselesaan sekadar yang cukup, seperti keperluan perasa gula dan garam, manis dan pedas kepada makanan. Pakaian tambahan dan mengikut musim cuacanya, ada kemudahan bekalan air, elektrik dan ada kenderaan dan lain-lain sekadar yang dihajati.

Al-Tahsiniyyat adalah penambah hiasan supaya lebih menarik dan menghiaskan dalam semua keperluan di atas, seperti memperbagaikan makanan, pakaian dan menghias rumah dan halamannya.

Al-Tarafiyyat adalah kemewahan yang melampaui batas, seperti makanan dan pinggan mangkuk termahal yang diimport, kediaman istana dan mahligai yang besar dan lebih daripada satu, ada yang berpaip airkan emas, kenderaan paling mahal dan jumlah yang banyak melampau, sehinggalah mengimport pemain bola sepak dari luar negara dengan kos berjuta-juta dalam kegiatan sukan. Aspek ini kurang disebut kerana melibatkan segelintir golongan atasan yang berkuasa dan berpengaruh.

Allah menunjukkan konsep kesederhanaan hidup dalam diri, keluarga dan negara dengan firman-Nya:

وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ٣٠ الإسراء

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (29) Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” Surah Al-Isra’: 29-30)

Apa yang menjadi masalah apabila manusia sendiri merungkai tertibnya, sehingga perkara Al-Hajiyyat dan Al-Tarafiyyat sudah diangkat menjadi Al-Dharuriyyat, menyebabkan golongan yang mengejar keuntungan yang besar banyak mengeluarkannya, dan mengurangkan pengeluaran Daruriyat sehingga terpaksa diimport dari luar negara, khususnya melibatkan makanan asasi.

Di samping itu, sumber dalam negara sendiri pula di eksport ke luar negara dan tidak diurus dengan baik, kemudian mengimportnya semula dan dikebas dengan mengenakan cukai oleh kerajaan apabila menangani krisis kewangan, sehingga disalahlakukan oleh para peniaga kerana sifat tamak haloba. Daripada pihak yang pertama sehingga yang menjadi orang tengah memaksa penjual runcit menaikkan harga barang.

Tanggungjawab memperbaiki sikap perangai manusia dan peranan politik yang mentadbir serta penggiat ekonomi sangat mempengaruhi pengeluaran dan pasaran.

Ibnu Khaldun pernah menyebut apabila pihak pemerintah dan kroni terlibat dalam banyak perniagaan akan merosakkan perjalanan ekonomi dan kehidupan rakyat, sehingga sekarang ada yang memiliki bot laut dalam dan pekerja asing yang mengacau nelayan miskin di pesisir pantai.

Kerajaan boleh mengendalikan sumber Daruriyyat dalam perkara yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.

الناس شركاء في ثلاثة: الماء والنار والكلأ

“Manusia itu bersama dalam tiga keperluan asas: air, api dan rumput (padang ragut).”

Hadis ini disebut oleh para ulama Siyasah Syariyyah berkait dengan sebab, realiti dan situasi mengikut zaman. Zaman terkini sudah berubah kepada keperluan asas makanan, kediaman, pendidikan, kesihatan, perhubungan dan lain-lain.

Ini menunjukkan bahawa teori penswastaan yang dipraktikkan oleh pemimpin sudah usang bagi meringankan bebanan kerajaan, apatah lagi dimonopoli oleh kroni politik yang boleh menjadi sebab yang mempengaruhi perkembangan negatif terhadap ekonomi seperti kadar inflasi yang meningkatkan harga barangan dan nilai matawang. Maka kerajaan sekarang perlu membuat kajian semula terhadap kesilapan yang lalu, kerana kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Islam juga memasukkan aspek rohani dalam mengawal dan menangani kemampuan yang berbeza dalam masyarakat dengan mewujudkan masyarakat yang bertimbang rasa dan bertolong-menolong, berpandukan firman Allah:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ وَلَوۡلَآ أَن يَكُونَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ لَّجَعَلۡنَا لِمَن يَكۡفُرُ بِٱلرَّحۡمَٰنِ لِبُيُوتِهِمۡ سُقُفٗا مِّن فِضَّةٖ وَمَعَارِجَ عَلَيۡهَا يَظۡهَرُونَ ٣٣ وَلِبُيُوتِهِمۡ أَبۡوَٰبٗا وَسُرُرًا عَلَيۡهَا يَتَّكِ‍ُٔونَ ٣٤ وَزُخۡرُفٗاۚ وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَٱلۡأٓخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلۡمُتَّقِينَ ٣٥ وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ ٣٦ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad S.A.W): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan Kami juga telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (32) Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga), (33) Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga) dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak juga), (34) Serta berbagai barang perhiasan (keemasan) dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa. (35). Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.dengan pendapatan). (36)” (Surah Az-Zukhruf: 32-36)

Di antara perangai syaitan itu adalah membazir dalam penggunaan dan perbelanjaan yang boleh mempengaruhi pengeluaran yang tidak seimbang dengan pendapatan golongan sederhana dan rendah yang merupakan paling ramai jumlahnya dalam masyarakat.

Rasulullah S.A.W. juga mengajar akhlak bersimpati dalam kalangan peniaga yang menjual dan pengguna yang membelinya:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى) صحيح البخاري(

“Allah mengurniakan rahmat kepada seorang yang bersikap mudah dan bertimbangrasa apabila menjual, membeli dan mengendalikan tuntutan” (Sahih Bukhari)

Akhlak bertimbang rasa daripada semua pihak berkonsepkan persaudaraan kemanusiaan sangat penting kerana melahirkan simpati yang boleh mewujudkan kesimbangan yang adil di antara pendapatan, keperluan dan pengurusan. Seperti pendapatan, gaji dan upah yang mencukupi sara hidup dan kawalan terhadap kegiatan ekonomi seimbang seluruhnya.

Pihak kerajaan hendaklah campur tangan apabila wujudnya masalah rakyat yang mengganggu kehidupan mereka mengikut nas hukum syariat atau Siyasah Syariayah atau Maqasid Syariah.

Apabila berlakunya inflasi pada zaman Rasulullah S.A.W. dan ada permintaan supaya menghadkan harga barangan:

غلا السعر على عهد النبي صلى الله عليه وسلم. فقالوا يا رسول الله! سعر لنا فقال (إن الله هو المسعرالقابض الباسط الرزاق، وإنى لارجو أن القى ربى وليس أحد منكم يطلبني بمظلمة في دم ولا مال). (روه الخمسة إلا النسائي وقال الترمذي هذا حديث حسن صحيح)

“Telah berlaku kenaikan harga barangan pada zaman Rasulullah S.A.W, lalu mereka mengadu: Wahai Rasulullah! Tetapkan harga barangan. Sabda Rasulullah S.A.W: Allah yang menentukan rezeki, sama ada melimpah rezeki dan mengurangkannya. Dia Maha melimpah rezekinya. Aku mengharapkan bertemu Allah (di Akhirat nanti) tidak siapa yang menuntut terhadapku kerana menzalimi darah dan hartanya).”

Para ulama menegaskan bahawa hadis ini tidak mahu menghadkan harga barangan kerana dalam keadaan masyarakat yang sangat berakhlak. Apabila berlakunya keadaan masyarakat yang tidak berakhlak, maka kerajaan sendiri hendaklah mengambil tindakan yang bijaksana membetulkan keadaan berpandukan kaedah Siyasah Syariah berkonsepkan Maqasid Syariah dalam menentukan maslahah oleh kerajaan termasuk dalam perkara yang tidak dinaskan halal dan haramnya oleh Al-Quran dan Hadis:

عن عثمانَ رضِيَ اللهُ عنه قال: إنَّ اللهَ يزعُ بالسلطانِ ما لا يزعُ بالقرآن

“Sesungguhnya Allah mengizinkan tindakan oleh pihak yang berkuasa dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran”

Juga berpandukan kaedah:

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

“Tindakan imam terhadap rakyatnya harus dihubungkan dengan kemaslahatan.”

Islam berbeza dengan teori Liberal Kapitalisma yang membebaskan kegiatan individu sehingga mengganggu kepentingan masyarakat umum. Islam juga berbeza dengan teori sosialisma dan Komunisma yang menganggu kebebasan individu, kononnya demi masyarakat umum. Islam berbeza dengan semua teori yang lahir daripada pragmatisma dan sekularisma yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia.

Islam tidak menghalang sesorang mengumpul kekayaan tetapi diwajibkan dengan cara yang halal dan bermoral luhur, namun diwajibkan juga menunaikan hak masyarakat dengan menunaikan zakat dan diwajibkan aktiviti-aktiviti lain yang mengambil harta, cara mengurus dan perbelanjaannya ada kaitan dengan akhlak serta perhitungan dosa dan pahala.

Maka semua langkah yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar diharamkan. Bukan sahaja haram zat barangan, bahkan termasuk juga pengurusannya. Bukan sahaja diwajibkan reda meredai dalam muamalat urus niaga dan lain-lain, bahkan diharamkan juga monopoli yang menyusahkan masyarakat seperti juga diharamkan riba, menipu, rasuah dan semua perkara yang membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat umum.

Imam Al Ghazali menegaskan:

الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

“Agama adalah asas dan pemerintah adalah pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya menjadi runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi hilang atau terbiar.”

Ini menunjukkan bahawa menegakkan kebajikan dan mencegah kemungkaran bukan sahaja menjadi kewajipan individu, bahkan diwajibkan juga menegakkan kerajaan yang melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran dalam semua kelakuan bermasyarakat termasuk gangguan kos sara hidup yang menjadi masalah bersama dan jangan hanya menjaga segelintir manusia demi kepentingan tertentu. Allah menegaskan dalam firman-Nya:

كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر

“Supaya harta (hasil negara) itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Rabiul Awal 1439 / 12 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 12/12/2017

PENUBUHAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah kesinambungan perjuangan menegakkan Islam yang memerintah, bukan Islam yang diperintah. Islam yang berkuasa, bukan Islam yang dipaksa. Inilah kesimpulan daripada persidangan para ulama dan pemikir Islam yang diadakan di Johor, selepasnya di Selangor dan berakhir dengan penubuhan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Seberang Perai pada tahun 1951. Dalam Undang-Undang Tubuh PAS menegaskan bahawa Islam adalah tertinggi.

Seterusnya PAS meluaskan lapangannya ke medan politik negara sehingga hari ini dengan menghidupkan semula syariat Allah yang dilupakan dan menegaskan bahawa politik sebahagian daripada Islam. Walaupun tidak mudah PAS menghadapi kejahilan umat Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajah dan para ulama yang sangat lemah kedudukannya, dan para pemimpin yang dibentuk mengikut acuan penjajah. Rakyat pula tenggelam dalam kejahilan terhadap agama sendiri walaupun masih kasih dan setia kepada Islam tetapi memisahkan urusan duniawi daripada agamanya menyebabkan urusan kehidupan, tindak tanduk dan perilaku khususnya dalam aspek politik tidak dikaitkan dengan dosa dan pahala.

PAS adalah tali arus daripada gelombang kebangkitan Islam sebagai Al-Din yang tidak boleh dimatikan dengan kewafatan Rasulullah SAW. Cahaya Islam yang datang di rantau ini adalah yang sempurna, di Islamkan rakyat dan kerajaannya yang beramal dengan syariat, sehingga tidak boleh dipadamkan ilmunya dengan kejatuhan Melaka tahun 1511, diikuti dengan kedatangan penjajah berbagai bangsa daripada Eropah dengan semangat Perang Salib yang berusaha menghakiskan jati diri umat Islam, sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap Islam.

Islam dibangkitkan semula dengan penubuhan kumpulan Islam yang silih berganti apabila penjajah mengharamkannya bertalu-talu. Kumpulan Islam di rantau ini melibatkan para ulama, raja-raja dan rakyat yang tidak berpisah. Perjalanannya menyumbangkan para syuhada dan siddiqin yang setia kepada Islam sehingga kini.

PAS menghidupkan semula hukum politik Islam yang dikuburkan oleh penjajah yang mahu mematikan kuasa Islam di seluruh dunia. Namun cahayanya gagal dimatikan, apabila ilmunya tetap hidup, serta ditubuhkan kumpulan Islam yang menghidupkan syariat politiknya di seluruh pelosok dunia Islam.

PAS adalah mata rantai yang bersambung, walaupun khilafah (pemerintahan Islam) dijatuhkan oleh penjajah itu sejak hampir satu abad dan mereka berjaya memecahkan umat Islam dan tanah airnya yang dibahagi-bahagikan dalam kalangan mereka.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar Islam dalam semua keadaan sama ada ketika pasang dan surut gelombang politik tanah air. PAS menegakkan Islam mengikut sekadar kemampuan kuasa yang ada apabila menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan tahun 1959-1978 dan 1990 sehinggqa kini dan Terengganu tahun 1959-1961 dan 1999-2004 dan memimpin Kerajaan Negeri Kedah tahun 2008-2013. PAS pernah menyertai kerajaan pusat tahun 1973-1978 dan pernah menjadi pembangkang yang paling sedikit kerusinya, namun terus membawa suara Islam di mana sahaja kerusinya di Parlimen dan DUN, termasuk dalam masyarakat yang tidak ada wakil rakyatnya.

Kerjasama PAS dengan pihak lain tetap bersempadankan Islam. PAS terus tidak berganjak menegaskan Islam, yang tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan oleh mana-mana pihak, walaupun dengan kuasa yang terhad di peringkat negeri dan bersabar bersama konsep negara federalisma yang dicabul.

PAS menyertai Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat yang tegas supaya tidak diganggu dasar Islam dan perjuangannya, serta diberikan peluang untuk berdakwah dan menerapkan Islam dalam jentera dan institusi kerajaan. Akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979 apabila kumpulan sekular kuat menguasai Umno dan BN selepas ketiadaan Almarhum Tun Abdul Razak, menyebabkan disingkir beberapa pemimpin yang bersemangat agama di dalam Umno di Semenanjung seperti Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Harun Idris dan disingkir pemimpin BN di Malaysia Timur seperti Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustafa serta diikuti PAS ditendang keluar.

Selepasnya pula PAS menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dengan syarat menerima Islam sebagai Al-Din, sehingga berjaya di Kelantan dan berusaha melaksanakan syariat, lalu diberi amaran keras oleh Perdana Menteri di masa itu sekiranya melaksanakan syariat Islam yang diusahakan dan akhirnya Parti Semangat 46 tiada lagi.

Kemudiannya PAS menyertai Barisan Alternatif (BA) dalam titik persamaan menentang penyelewengan dan salah laku tanpa gangguan terhadap Islam yang menjadi pegangan PAS, namun tetap tegas walaupun DAP keluar daripada BA kerana anti Islamnya. Seterusnya Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan dan akhirnya terkubur apabila hendak dipinggirkan cita-cita Islam dan wujudnya usaha mahu menggugurkannya kerana agenda politik mengatasi kepentingan Islam.

PAS juga menolak segala usaha meminggirkan kuasa umat Islam daripada persada politik Malaysia di atas konsep Malaysian Malaysia, namun PAS tetap menerima hakikat masyarakat majmuk di Malaysia. PAS dengan tegas mendukung konsep Islam itu adil terhadap semua tanpa mengira perbezaan agama dan kaum yang berpandukan Al-Quran.

Firman Allah:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa’: 58-59)

Inilah ayat-ayat yang mendukung konsep kuasa politik sebagai satu amanah terbesar dan mendukung negara adil terhadap semua bertonggakkan kepimpinan Islam Ulil Amri (kepimpinan ulama dan umara) serta tegak di atas aqidah dan rukun-rukun iman yang paling asas iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Inilah simpulan kukuh yang menjadi pegangan PAS, dipegang oleh pemimpin dan ahli yang setia dan diikat dengan baiah. Adapun yang tidak setia pasti dikeluarkan atau melompat keluar walaupun tiada siapa yang tahu keikhlasannya, namun Allah tetap melakukan penapisannya bagi menyelamatkan perjuangan Islam. Firman Allah:

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَ‍َٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ ١٧٩ آل عمران

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari kalangan RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar).” (Surah Ali-Imran: 179)

PAS melaksanakan usaha politiknya dengan kajian sendiri, mengerahkan tenaga, harta, jiwa raga dan pemikirannya bagi mendapatkan kemenangan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah yang memberi kemenangan apabila memenuhi syarat-syaratnya dan boleh mengisi kemenangan dengan beristiqamah, bukan sekadar kemenangan sahaja. Mereka yang tidak yakin kepada kemenangan seperti ini pasti ditinggalkan oleh PAS atau meninggalkan perjuangannya.

PAS menghayati firman Allah:

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢ التوبة

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah atau baiah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah At-Taubah: 42)

Firman Allah:

مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤ البقرة

“Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat).” (Surah Al-Baqarah: 214)

Firman Allah:

هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ الأحزاب

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. (12)” (Surah Al-Ahzab: 11-12)

PAS tetap sabar menunggu dan melihat sesiapa sahaja dan bila-bila masa terhadap semua pihak yang boleh menerima Islam yang menjadi perjuangan PAS dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang boleh berbeza pendapat tetapi tidak berpecah, memilih konsep mesra dan damai serta bertaawun dalam perkara kebajikan dan taqwa dan tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan, berpandukan Firman Allah:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Di atas konsep inilah, PAS menyokong walaupun dibawa oleh kerajaan apabila bersifat kebajikan dan taqwa. PAS menentang apabila adanya kemungkaran dan PAS berkecuali apabila bercampur di dalamnya tanpa dipisahkan. Inilah BPMS yang tidak boleh difahami oleh kalangan yang memisahkan politik daripada agama.

PAS tetap berpandukan politik Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W yang beramal dengan Al-Quran apabila mengiktiraf kebaikan dan kebajikan daripada semua pihak termasuk daripada kalangan musuh yang paling jahiliah, begitulah juga menentang kemungkarannya walaupun daripada diri sendiri.

PAS tetap mempertahankan ruang Islam yang masih dipelihara oleh Perlembagaan dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan dan PAS menentang sesiapa sahaja yang mahu merungkaikannya dan menafsirkannya dalam lingkungan kefahaman warisan penjajah kerana kita sudah merdeka, tidak kira sama ada dalam kalangan Melayu yang sempit atau bukan Melayu. PAS adalah parti Islam yang berasaskan aqidah, bukannya semata-mata ideologi sekularisme, protesme dan oportunisme.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Rabiul Awal 1439 / 9 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 9/12/2017

PENGUMUMAN Donald Trump terhadap Al-Quds sebagai ibu negara Israel merupakan suatu ujian ke atas orang-orang beriman. Namun sebaliknya, ia adalah ujian dan badai hebat bagi mereka yang lemah imannya, bahkan mereka akan tunduk menyerah.

Sebelum ini, mereka mengamalkan politik neutral terhadap negara rejim tersebut, malahan ada yang mengikut jejak langkah rejim sedikit demi sedikit. Tindakan itu diibaratkan jika rejim memasuki lubang biawak dhab, mereka juga akan turut sama memasukinya. Hakikatnya, kita sendiri menyedari siapakah yang rela mengikut telunjuk negara haram itu.

Kini sudah tiba masanya menghentikan tangan-tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan, menzalimi anak-anak, para wanita dan fakir miskin di khemah-khemah daif. Mereka adalah golongan yang terpaksa berhadapan dengan rejim Zionis dan sekutunya. Bahkan kita melihat orang-orang yang mendiami istana-istana megah serta menara-menara pencakar langit tidak mampu menjadi pemimpin kepada ummah ini.

Justeru, mereka membawa ummah menuju azab dunia, seterusnya menuju azab neraka di akhirat nanti. Pada waktu itu, tiada gunanya penyesalan orang-orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, kami mentaati pemimpin kami lantas mereka menyesatkan kami."

Telah tiba masanya untuk merobohkan tembok 'keamanan' yang dicanang-canangkan, nama yang dipergunakan untuk menundukkan dunia terhadap kezaliman antarabangsa sehingga meletakkan keturunan rejim Zionis di negara haram Israel. Tetapi kita hidup dalam kalangan pemimpin Zionis jadian yang menzahirkan kebencian mereka terhadap perjuangan kononnya atas nama mempertahankan Islam. Bahkan seluruh mazhab dalam agama Islam berlepas diri dari mereka.

Mereka juga kononnya mahu menentang terorisme (keganasan) tetapi merekalah yang mencipta terorisme dan memberi bantuan kepada golongan pengganas dengan pelbagai senjata dan sokongan.

Pengiktirafan ini hakikatnya pukulan hebat yang mampu mengejutkan mereka yang tenggelam dalam tidur lena, sekalipun dalam diri mereka hanya mempunyai iman sebesar zarah yang menyebabkan mereka berdiam diri. Itulah perang dalam diri umat Islam meletus sebelum perang bersenjata yang akan menzahirkan siapakah penyokong-penyokong musuh ini.

Begitu juga, akan zahirlah sekolompok manusia yang berjuang demi kebenaran. Mereka tidak dikalahkan musuh dan pengkhianat sehingga Hari Kiamat. Mereka inilah penjaga-penjaga Baitul Maqdis dan disekitarnya. Bersama-sama mereka adalah saudara yang berganding bahu ibarat jasad yang satu dari Timur mahupun Barat, Utara dan juga Selatan.

Orang-orang zalim akan mengetahui bahawa barisan hadapan kita bermula di Baitul Maqdis dan akan berakhir di Jakarta, Kuala Lumpur, Algeria dan Casablanca. Allah berkuasa terhadap segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Rabiul Awal 1439 / 8 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 8/12/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

Keberanian Trump disusuli selepas kejayaan Amerika-Zionis mencampuri urusan negara-negara Arab khususnya kejayaannya mengikat Arab Saudi sebagai rakan karibnya, melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan kekacauan dan huru-hara di Asia Barat. Situasi ini lagi membenarkan rahsia pemetaan dunia baru yang sedang berjalan supaya negara-negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitul Maqdis.

Sejarah tamadun dunia telah membenarkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat dengan bebas dan aman. Tiada harapan keamanan daripada Amerika dan Zionis yang bergelar ketua pengganas dunia dan pembunuh utama nyawa umat Islam.

PAS mengajak kepada semua umat Islam tanpa mengira kaum, mazhab dan fahaman politik untuk bersatu menentang pengisytiharan Trump ini.

Melalui Kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.

Justeru itu, PAS mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitul Maqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada 8 Disember 2017 serta menjemput NGO-NGO dan mahasiswa untuk turut hadir bersama.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rabiul Awal 1439 / 7 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 7/12/2017

solidariti

INILAH bahasa yang baru diistilahkan dan digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang dengan ajaran Islam yang berdasarkan nas yang qati’e dan thabit di dalam Al-Quran dan Hadis seperti PAS, yang tidak mahu dihanyutkan atau menerima perubahan mengikut selera kumpulan yang dinamakan Islam Liberal dan yang bersekongkol dengannya atau totok bukan Islamnya. Mereka mahu menjadikan Islam seperti agama yang ada ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pilihan raya.

Setelah mereka gagal meminda Undang-undang Tubuh PAS (Perlembagaan) dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulamak sekadar menjadi penasihat yang tidak wajib dipatuhi, khususnya dalam perkara hukum yang thabit bercanggah dengan kemahuan akal fikiran manusia, demikian juga mereka termasuk yang menganggap dirinya sangat bijak.

Setelah mereka gagal dalam usaha meminda asas tersebut dan juga gagal mempengaruhi Muktamar PAS dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya, lalu bertindak keluar daripada PAS dengan dukungan dan sokongan dalang-dalang di belakangnya.

Mereka juga gagal menolak PAS dari belakang supaya menyertai BN, di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan PAS menjadi tangganya, kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan. BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka.

Sebenarnya PAS hendak dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu mereka dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini. Daripada gerakan BERSIH pada namanya dan PAS berundur kerana jenamanya yang diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan berbagai pendekatan dan jenama.

Setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan PAS yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka. Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris, kerana ditolak BN, ditolak PAS dan ada tanda-tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang, Insya Allah.

Apabila mereka merasakan PAS menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan PAS menjadi kapak atau tukulnya, maka PAS tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan, khususnya media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya, walaupun PAS bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka PAS sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan.

Apabila peluru fitnah PAS mendapat duit Perdana Menteri sebanyak RM90 juta, yang mereka anggap boleh menembusi pengaruh PAS yang terus mara, Insya Allah. Kini mereka menggunakan bahasa yang zahirnya pujian, tetapi hakikatnya perlian, tanpa mereka sedari betapa mereka buta Al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf.

Bahasa Al-Quran menamakan perkataan kumpulan suci terhadap para Anbiya A.S.W. dan pengikutnya yang berbaiah dengan setia. Allah mengisahkan Nabi Lut A.S. dan pengikutnya yang menentang jahiliah aqidah dan keruntuhan akhlak melalui Firman-Nya:

وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوهُم مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٨٢ الأعراف

“Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” (Surah Al-Aaraf: 82)

Firman Allah:

۞فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوٓاْ ءَالَ لُوطٖ مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٥٦ النمل

“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.” (Surah An-Naml: 56)

Kami sangat gembira apabila mereka mengambil perkataan yang dipakai oleh kaum Lut yang terkenal dengan jenis keruntuhan akhlak, sama ada sengaja atau tidak yang terserah kepada Allah.

Kalangan yang memahami Islam yang sebenar tidak meletakkan diri mereka suci, kerana mengetahui bahawa makhluk yang suci ialah para malaikat, para Rasul dan Anbiya A.S.

Adapun yang lain termasuk para sahabat R.A, para ulama, para wali dan orang-orang yang beriman tidak boleh melepaskan diri daripada ujian maksiat dan dosa, lalu mereka sentiasa bermuhasabah, membetulkan aqidah, memperbaiki amalan mengikut syariat dan akhlak yang mulia. Mereka sentiasa melakukan muhasabah diri, bertaubat, mengikuti setiap dosa dengan istighfar dan menambahkan amal yang soleh dengan sentiasa beristiqamah. Bagi menguatkan istiqamah, diadakan bai’ah.

Apabila seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah R.A bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan dengan Islam yang terang dan nyata sehingga tidak keliru dan tidak bertanya lagi orang lain, khususnya setelah ketiadaan Rasulullah S.A.W, maka Baginda bersabda:

قل آمنت بالله ثم استقم

“Katakanlah aku beriman kepada Allah dan terus beristiqamah” (Hadis Sahih)

Terus bersama Islam, dengan beramal apa yang boleh diamalkan dan bercita-cita serta berjuang dengan apa yang tidak boleh diamalkan. Islam yang diambil secara yang sebenar daripada guru yang mursyid, walaupun menghadapi berbagai cabaran dan memakan masa yang panjang dan tidak diketahui penghujungnya.

Percayakan kepada janji Allah di dunia dan di akhirat. Kepercayaan kepada Allah ini tidak cukup dengan pengajian, usrah dan kata-kata, bahkan diikat lagi dengan bai’ah di hadapan Allah, bukannya di hadapan manusia yang menjadi pemimpin, berpandukan firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠ الفتح

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi baiah (pengakuan taat setia) kepadamu (wahai Muhammad S.A.W. untuk berjuang menegakkan Islam), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya).” (Surah Al-Fath: 10)

Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah (janji setianya), maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.

Mereka yang berbaiah di hadapan Nabi Muhammad S.A.W ada yang mengerjakan maksiat dan dosa, bukannya suci. Lalu mereka bertaubat dan fadilat berbaiah itu diharapkan menghilangkan dosa dengan meneruskan amal yang soleh dan perjuangan. Menyerah kepada Allah dengan harapan disucikan mereka daripada dosa yang menjadi kepunyaan Allah. Ada yang menyelewang menganggap bai’ah hanya cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya, maka hiduplah mereka dengan akibat di dunia sebelum menerima akibat di akhirat.

Amalan bai’ah dilakukan oleh para sahabat, tabi’en dan generasi yang menyambung perjuangan Islam yang bertali arus sehingga kini. Mereka yang berbaiah itu sangat takut di hadapan Allah, hanya dibatalkan baiah apabila ternyata pemimpinnya menentang hukum Allah yang nyata nasnya daripada Allah dan Rasul, bukan kerana berlainan pendapat dan pendekatannya sahaja kerana konsep ketaatan kepada berjamaah adalah wajib dengan syarat-syaratnya.

Mereka bersama Islam di sepanjang zaman tidaklah menganggap diri mereka suci murni daripada dosa dan maksiat kerana Allah berfirman:

فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ ٣٢ النجم

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (Surah An-Najm: 32)

Mungkin mereka itu terpengaruh dengan konsep para sami yang menentukan kesucian kepada manusia. Konsep yang asing daripada Islam.

Kumpulan Islam itu mengikat diri dengan baiah, apabila mereka merasa tidak cukup dengan sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jamaahnya dan bertawadu’ mengadap Allah bagi mencari keredaannya sahaja, tanpa mengikat diri dengan baiah. Bukan tujuan bai’ah untuk mencari keredaan manusia termasuk menipu, jauh sekali mencari keredaan sesiapa sahaja termasuk yang tidak beriman dan bertujuan semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi kerana mahu menang pilihan raya sahaja.

Sabda Rasulullah S.A.W.

من التمس رضا الله بسخط الناس رضي الله عنه وأرضاه الناس ومن التمس رضا الناس بسخط الله سخط الله عليه وأسخط عنه الناس

“Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi manusia tetap mendapat reda Allah dan Allah jadikan manusia meredainya dan barangsiapa yang mencari keredaan manusia dengan menempah murka Allah, nescaya dimurkai Allah dan Allah jadikan manusia memarahinya pada akhirnya” (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Hibban)

PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihan raya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat. Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan Allah apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayah-Nya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini.

Maka PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat.

Kita mengharapkan kelebihan yang diberi kepada Nabi Lut A.S dan pengikutnya yang diperlikan dengan jenama kaum yang mendakwa dirinya suci. Maka alangkah gembiranya ahli PAS yang membaca cerita perjuangan Nabi Lut A.S bersama kaumnya yang beriman yang diberi nama oleh musuhnya dengan kaum yang menganggap diri mereka suci murni.

Golongan Al-Sabiqun yang awal menyertai PAS lebih yakin, apabila melihat sendiri nasib mereka yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon dan pemimpin, telah menerima akibat di dunia. Adapun akibatnya di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Rabiul Awal 1439 / 2 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 2/12/2017

PERJALANAN hidup Nabi Muhammad S.A.W adalah qudwah dan contoh untuk umat Islam terutamanya pendekatan dakwah dan politik yang pernah diambil oleh Baginda S.A.W sama ada semasa Islam berada di dalam keadaan lemah atau berada di dalam keadaan kuat. Sirah Baginda bukanlah sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah, bahkan tujuan sebenarnya ialah untuk memahami tasawwur Islam yang hakiki.

Salah satu anggapan yang tidak betul apabila ada pihak yang mengatakan bahawa Islam dan gerakannya masa kini tidak mampu menghadapi golongan mustakbirin di dalam dan luar negara, kerana bilangan dan kekuatan musuh mengatasi mereka berlipat kali ganda. Apa yang kita hadapi sekarang itulah juga yang pernah dihadapi oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Kalau hari ini rangkaian musuh Islam diperingkat nasional, maka pakatan dan strategi yang sama telah mereka lakukan ke atas negara Islam pertama di Madinah pada zaman Nabi S.A.W.

Rahsia kejayaan Rasulullah S.A.W dan zaman keemasan Islam adalah keteguhan berpegang pada dasar dan prinsip Islam. Ketika Rasulullah S.A.W didatangi Abu Talib yang membawa hasrat pembesar Makkah dengan ditawarkan kemewahan harta dan takhta bersyaratkan mengekalkan dasar dan sistem jahiliah, lantas Baginda S.A.W dengan tegas menyatakan:

يا عم، والله لو وضعوا الشمسَ في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. السيرة النبوية لابن هشام (1/ 372)

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam: 372/1)

PAS ditubuhkan sebagai mata rantai perjuangan Islam telah meletakkan rujukan tertinggi dalam perjuangannya berpandukan Al-Quran, Sunnah Nabawi beserta Ijma’ dan Qias. Maka PAS membentuk Majlis Syura Ulamak untuk menjaga perjalanannya supaya berada benar-benar di atas landasan Islam dalam ijtihad politiknya.

Inilah sumber kekuatan PAS untuk terus kekal relevan menghadapi onak duri dan lautan gelora yang masih kekal berada di pentas politik sejak penubuhannya sebelum merdeka di saat parti sezaman dengannya sudah hilang ditelan arus zaman. PAS tidak akan ditipu atau tertipu dengan pihak lawan yang cuba mengubah hala tuju perjuangannya selagi terus beristiqamah dengan Islam.

Bersempena Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini, kita bukan sekadar menghayatinya seperti cerita-cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi atau memuja umur atau pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau membentangkan slogan-slogan yang ditulis pada sepanduk-sepanduk, bahkan kita menghayati dan mengambil seluruh kehidupan Baginda S.A.W dalam semua urusan aqidah, syariat dan akhlak, berpandukan firman Allah S.W.T:

وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ [الحشر/7]

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya, maka patuhilah larangan-Nya, sesungguhna Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)” (Surah al-Hasyr: 7)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rabiul Awal 1439 / 1 Disember 2017

BERSEMPENA dengan memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W pada bulan Rabiul Awal ini, umat Islam wajib mempelajari teladan dan contoh pelaksanaan Islam yang sempurna, sebahagiannya adalah aspek politik yang menjadi salah satu daripada peranan manusia diciptakan. Maka Allah menjadikan Rasulullah S.A.W adalah ikutan terbaik yang dipilih oleh Allah menjadi Rasul Akhir Zaman bagi sepanjang zaman dan dikuatkan dengan mukjizat ilmu daripada Al Quran.

Peranan Nabi Muhammad S.A.W membawa rahmat Allah kepada seluruh alam dan keadilannya pula terhadap semua, sehingga melangkah perbezaan agama, bangsa dan negara, termasuk wajib berlaku adil terhadap musuh, walaupun di saat kemuncak kemarahan dan kebencian, kerana menyahut seruan Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Perdamaian didahulukan walaupun terhadap musuh yang menceroboh supaya melihat Islam yang diamalkan secara langsung, bukannya teori sahaja atau cerita daripada golongan yang dengki terhadap Islam dan menganggapnya penghalang nafsu si zalim. Ini berpandukan firman Allah:

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ الأنفال

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Anfal: 61)

Pendekatan dakwah Nabi Muhammad S.A.W berusaha menyelamatkan manusia seramai-ramainya, dengan penuh kebijaksaan dan memilih cara terbaik tanpa paksaan. Walau apa jua halangan sekalipun, Baginda S.A.W terus beristiqamah dan tetap berpegang kepada Islam tanpa boleh dihanyutkan oleh pihak lawan yang paling zalim tanpa batas.

Berkat kesabaran bersama ketegasan beristiqamah menjadikan cahaya Islam menembusi hati yang layak mendapat hidayah dan tidak boleh dikalahkan oleh musuh yang tidak layak mendapat hidayah kerana takabur dan kezalimannya.

Perjuangan Islam terus mara ketika kuat dan lemah. Marhalah Makiyyah yang paling mencabar pada masa paling lemah kerana tiada negara yang menaunginya, yang ada hanyalah beriman kepada Allah bersama Islam dan percayakan janji Allah akan kemenangan dunia dan akhirat.

Apabila menghadapi halangan yang menekan dan menyekat perjalanannya, dakwah terus mara mengambil setiap kesempatan dan ruang, diizinkan berhubung dengan pihak yang masih tidak menerima Islam.

Allah mengizinkan hubungan bernama Tahalluf (bersefahaman), Himayah (mendapat perlindungan), Taawun (bertolong-menolong) dan berbagai pendekatan kerjasama dengan pihak bukan Islam, yang ada titik persamaan dalam menghormati hak kemanusiaan dan bencikan kezaliman, walaupun masih tidak mahu menerima Islam.

Rasulullah S.A.W tetap mengambil setiap ruang tersebut dan peluang untuk menyatakan Islam secara dakwah dan melaksanakan perkara yang boleh dilaksanakan walaupun dalam melakukan syiar ibadat sahaja dan menunjukkan akhlak yang mulia, meskipun belum lagi dapat menegakkan cara kehidupan sehingga berpolitik menegakkan negara.

Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang awal itu tetap teguh juga menyatakan Islam yang sempurna termasuk yang dihalang pelaksanaannya dan yang paling dibenci oleh musuh. Apabila Abu Talib, bapa saudara yang paling disayangi, disegani dan dihormati menyampaikan tawaran daripada pemimpin Makkah, mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W ditabalkan menjadi raja dan dijanjikan harta kekayaan, tetapi syaratnya terus mengekalkan dasar, konsep dan sistem jahiliah dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Maka Rasulullah S.A.W menolak dan menjawab dengan tegas:

يا عم، والله لو وضعوا الشمسَ في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. السيرة النبوية لابن هشام) 1/ 372(

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam: 372/1)

Begitu juga Rasulullah S.A.W. menolak permintaan untuk menubuhkan kabinet bayangan sebelum kemenangan yang ditawarkan oleh Bani Amir. Baginda Nabi S.A.W juga menolak Bani Syaiban yang percayakan kebenaran Islam tetapi mahu menunggu kemenangan yang dilihat secara kenyataan tanpa bersedia menghadapi cabaran yang besar dalam perjuangannya.

Rasulullah S.A.W. hanyalah menerima golongan Ansar daripada Aus dan Khazraj yang berbaiah dan setia dengan baiahnya, sepertimana yang dinyatakan dalam firman Allah tentang mereka:

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٤ الأحزاب

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (23) (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (24)” (Surah al-Ahzab: 23-24)

Inilah teladan perjuangan Islam yang beristiqamah. Inilah juga contoh yang wajib diikuti oleh semua ahli PAS yang ditubuhkan menjadi mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus di sepanjang zaman. Teguh bersama aqidah, dasar dan matlamat perjuangan, serta bijak menangani pendekatan dakwah dan menghadapi cabaran perubahan semasa dan situasi, serta realiti masyarakat yang menjadi tujuan dakwahnya.

Langkah menyembunyikan cita-cita Islam hanya dalam keadaan darurat bagi golongan lemah yang disebut sebagai rukhsah, berpandukan firman Allah:

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرٗا فَعَلَيۡهِمۡ غَضَبٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٦ النحل

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Surah An-Nahl: 106)

Adapun para pemimpin Harakah Islamiyah dan pengikutnya yang berada di medan perjuangan hendaklah memilih ketegasan menyatakan Islam secara terbuka walaupun akibatnya sangat mencabar, yang disebut azimah bagi menyontohi para Rasul Ulu Al-Azmi berpandukan firman Allah kepada Rasulullah S.A.W:

فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٩٤ الحجر

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Surah Al-Hajr: 94)

Firman Allah:

لَتُبۡلَوُنَّ فِيٓ أَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذٗى كَثِيرٗاۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ ١٨٦

"Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Surah Ali-Imran: 186)

Inilah petunjuk Al-Quran dan Sirah Nabawiyah dalam aspek aqidah, dasar dan matlamat. Adapun pendekatan dan strategi yang berkait dengan perkara ijtihad memerlukan kebijaksanaan dalam menghadapi perubahan dan perbezaan zaman, yang berlainan situasi dan realiti yang ditunjukkan oleh Sirah Nabawiyah yang sangat berkait dengan Asbab Nuzul dan berlakunya Hadis Rasulullah S.A.W. dalam perkara furu’.

Semua para pemimpin dan ulama gerakan Islam di seluruh dunia adalah pelopor gerakan tajdid yang mengikut perkembangan dan perubahan zaman masing-masing dengan beristiqamah di atas dasar dan matlamat perjuangannya.

Adapun tajdid adalah mengikut keadaan yang berubah. Apabila tamat tempoh pendekatannya kerana masyarakat berubah dan berlakunya perubahan situasi, realiti dan isu. Maka pendekatan mereka hendaklah dikaji semula dan dilakukan muhasabah, bukan semuanya dijadikan nas yang tidak boleh diubah seperti Al-Quran dan Hadis dalam perkara asas. Namun, mereka yang terdahulu tetap disanjung kerana telah menunaikan janji dan baiah masing-masing sehingga akhir hayat beristiqamah.

Petunjuk yang kekal untuk diteladani ialah Sirah Nabawiyah dan mukjizat daripada petunjuk Al-Quran dalam perkara prinsip, konsep dan matlamat perjuangan. Maka hendaklah difahami di antara perkara asas yang disebut sebagai Thawabit iaitu perkara yang tetap teguh dan wajib beristiqamah di atasnya tanpa perubahan serta menjadi aqidah perjuangan dan wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

Selain itu, hendaklah difahami juga perkara yang wajib berubah yang disebut Mutaghayyirat yang berhubung dengan strategi dan pendekatan menarik seramai mungkin pengikut bersama Islam, berpandukan pesanan Rasulullah S.A.W kepada menantunya Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H yang berkobar semangatnya dalam peperangan Khaibar untuk menghadapi kaum Yahudi, musuh yang paling zalim. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W. bersabda:

فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَم. متفقٌ عَلَيْهِ

“Demi Allah! Sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah (menerima Islam) lebih baik daripada kamu mendapat kenderaan paling mahal harganya”

Sikap terbuka Rasulullah S.A.W dalam menerima kebaikan dan akhlak mulia yang ada pada musuh, sembelihan kaum Yahudi itu dimakan dan kepercayaan kepada Taurat yang sebenar diiktiraf, namun tetap menolak kekufuran mereka dalam banyak perkara dalam kitab Allah seperti haramnya riba dan lain-lain.

Inilah politik matang dan sejahtera yang sinonim dengan konsep demokrasi yang mengizinkan PAS bersuara dan bergerak secara terpilih di Parlimen dan DUN. Di lapangan pula, PAS bersama rakyat dengan cara menijinakkan bukan meliarkan, berhujah dengan menerang bukan menyerang secara melulu dan tidak memutuskan hubungan dengan semua pihak berasaskan konsep ta’awun mengikut petunjuk Allah dan Rasulullah S.A.W.

وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوكُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُواْۘ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah S.A.W:

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا) صحيح البخاري)

“Tolong saudara mu yang berlaku zalim atau dizalimi”

Pendekatannya ialah menyelamatkan si zalim supaya berhenti dan bertaubat dan selamatkan yang menjadi mangsa kezaliman dengan membela dan mempertahankan haknya. Mendahulukan kemaafan kepada yang bertaubat dan insaf, bukannya menghukum secara dendam. Inilah kunci yang membawa kejayaan ketika Fathu Makkah dengan berduyun-duyunnya datang menganut Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Rabiul Awal 1439 / 28 November 2017 - HARAKAHDAILY 28/11/2017

TINDAKAN negara-negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar serta mengeluarkan 'senarai baru pengganas' bukanlah perkara yang mengejutkan. Negara-negara tersebut turut menyenaraikan organisasi-organisasi Islam yang lain seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan Majlis Islami. Selain itu, beberapa orang tokoh yang terkenal dengan sikap sederhana mereka terhadap pemahaman Islam juga turut disenaraikan sebagai pengganas.

Negara yang mengeluarkan senarai pengganas ini telah mengamalkan politik peneutralan hubungan dengan Israel dan negara-negara dalam rangkaian Mason - Zionis Antarabangsa. Pendekatan politik sebegini sebenarnya ibarat kapal yang berlayar sesat di lautan samudera yang luas.

Mereka tidak mempunyai jatidiri untuk membuat keputusan secara bebas berpandukan nilai-nilai mulia walaupun sudah lama melalui zaman-zaman kegelapan dan penindasan yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada mereka.

Walaupun negara-negara ini terkenal dengan kekayaan dari sudut sumber buminya, namun mereka miskin integriti serta sahsiah. Mereka turut hilang keagungan serta kemuliaannya. Lebih malang, mereka juga mengubah pendirian mereka mengikut hawa nafsu sehingga menjadi lemah di hadapan orang-orang kafir, namun bersikap keras ke atas orang-orang beriman dan memuliakan 'tetamu-tetamu' Zionis melebihi saudara seagama. Bahkan lebih parah, mereka telah bertindak keras ke atas negara yang seagama dengannya hanya kerana berbeza pendapat.

Bangsa Arab asalnya menjadi mulia kerana Islam akan tetapi kini bakal hancur dengan kejahatan mereka sendiri yang mengiktiraf rejim Zionis serta mengabaikan Palestin dan kesuciannya. Mereka didorong rasa percaya dan kagum kepada penguasa-penguasa Yahudi Zionis melebihi kepercayaan kepada Allah, Islam dan umat Islam.

Justeru, inilah sebagaimana difahami daripada firman Allah S.W.T yang bermaksud:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم (38)

"Dan, jika kamu berpaling nescaya Allah akan mengganti(mu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)." (Muhammad: 38)

Allah juga membuat penegasan mengenai kuasa pemerintahan melalui firman-Nya dalam Surah Al-Imran:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Imran: 26)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Rabiul Awal 1439 / 25 November 2017 – HARAKAHDAILY 25/11/2017

PARA pemikir dan ilmuan Barat meletakkan perpaduan di atas asas persamaan lahiriah sahaja iaitu dari sudut bangsa dan keturunan, persamaan kepercayaan agama yang dipisahkan daripada cara kehidupan, lingkungan sempadan tanah air dan wilayah, ideologi politik dan kepentingan ekonomi yang dipisahkan daripada agama. Maka, dipilih salah satu daripadanya atau dicampur yang terpilih sahaja dan ditubuhkan negara secara kesatuan, persekutuan atau diwujudkan pertubuhan di antara negara.

Semuanya berakhir dengan kekhilafan yang mencetuskan pergeseran, pertembungan sehingga berpecah dan ada yang berperang. Bukan sahaja di antara negara, bahkan dalam satu negara, satu bangsa, satu bahasa, satu agama dan satu ideologi, termasuk kesatuan di antara negara seperti Komanwel, Kesatuan Eropah (EU), Kumpulan Tujuh (G7), Kesatuan Negara Afrika, Kesatuan Negara Teluk, ASEAN dan lain-lain. Hal ini disebabkan apabila berlakunya perlumbaan kepentingan masing-masing sehingga mewujudkan pertembungan.

Kenyataannya berlaku dalam sejarah semua benua, negara dan bangsa. Terkini dipaparkan tentang berita kemunculan kumpulan dan negara baru merdeka dalam negara yang telah wujud sekian lama sama ada yang diiktiraf atau tidak. Ada yang dihapuskan dengan tindakan undang-undang atau ketenteraan, dan bakinya retak menunggu belah.

Islam yang berpandukan petunjuk Al-Quran menegaskan wujudnya kepelbagaian, perbezaan, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia. Manusia yang diciptakan di atas muka bumi bersama makhluk yang lain yang diurus tadbir oleh mereka menjadikannya sangat mencabar sehingga mencetuskan peperangan sesama manusia dan ada yang melampaui batas. Semuanya mengandungi hikmah yang mewajibkan manusia juga hendaklah berhikmah dengan kemuliaan yang diberikan oleh Allah Tuhan Pencipta Alam.

Firman Allah:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ الإسراء

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (Manusia) dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’: 70)

Islam yang sempurna ajarannya mencakupi naluri manusia yang berjasad, bersamanya roh, akal dan sifat hidup bersendiri, berkeluarga dan bermasyarakat. Manusia dijadikan kepelbagaian bangsa, kefahaman dan kemampuan dalam berbagai aspek, kerana kepelbagaian itu ada peranan masing-masing bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kemampuan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bertolong-menolong secara bermasyarakat madani.

Tidak mungkin manusia hidup secara individualistik sahaja, kerana semuanya memerlukan penggunaan dan perkhidmatan yang wajib dilakukan melalui penyelarasan yang saksama. Adalah mustahil manusia itu dapat menyempunakan kehidupan secara bersendirian tanpa hubungan di antara satu sama lain, kerana tidak ada manusia pandai dalam semua perkara dan tidak ada negaranya yang ada semua hasil keperluan.

Islam menegaskan peranan manusia dan tujuan mereka diciptakan yang adanya ikatan hubungan dengan pencipta dan alam semesta. Perlu dihormati juga betapa penting hubungan ibadah dengan Tuhan Pencipta Alam, yang disebut Allah Yang Maha Esa bersifat kepujian semuanya dan Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan.

Peranan manusia sebagai khalifah yang bermaksud mentadbir dan mengurus adalah untuk melaksanakan kewajipan menegakkan syariat Allah yang menjadi petunjuk dan dibenarkan menggunakan akal, tenaga dan pengalaman serta kajian pada diri masing-masing (individu) dan secara jama’ei (kolektif). Namun akal dan ilmu manusia sendiri tetap mempunyai kelemahan makhluk yang memerlukan petunjuk Tuhannya.

Islam juga menegaskan perbezaan itu ada yang wajib diterima hakikatnya dan dipuji peranannya. Apa yang penting diolah dan diselaraskan dengan bijak secara bermasyarakat yang menjadi tabiat manusia yang wajib berhubungan di antara satu sama lain. Ada juga perbezaan yang dikeji apabila menimbulkan kerosakan pada diri sendiri, masyarakat dan alam sekeliling.

Bagi melaksanakan perbezaan yang wajib di atas, perlu diselaraskan secara saksama dengan melaksanakan konsep perpaduan yang unggul supaya bersama dalam titik persamaan dan menjaga sempadan apabila adanya perbezaan.

Perpaduan itu diwujudkan bukan sahaja atas faktor lahiriahnya tanpa peduli aspek rohani yang menjadi fitrah manusia. Maka Islam menegaskan dua aspek hubungan sesama manusia yang dijadikan asas pendekatan kepada perpaduan yang holistik.

Pertama: Hubungan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat yang disimpulkan daripada ajaran Islam yang menyeluruh kesempurnaannya mengikut peranan manusia yang tidak memisahkan aspek kehidupan berpolitik, ekonomi dan kemasyarakatan dan kedudukannya berada di dalam ajaran Islam yang merangkumi aqidah, syariat, akhlak dan semua sistem kehidupan manusia secara menyeluruh yang tidak terkongkong objektifnya di kalangan penganut Islam sahaja dan hanya terkurung dalam kelompok bangsa dan perbatasan negara sahaja, tetapi mewajibkan hubungan dengan pihak lain sama ada menunaikan kewajipan dakwah berkonsepkan tiada paksaan dan kewajipan kemanusiaan walaupun berbeza agama, bangsa dan kemampuannya.

Kedua: Hubungan kemanusiaan yang berkeluarga besar walaupun berbagai bangsa, agama dan tahap kedudukan dan kemampuannya. Islam mewajibkan berlaku adil terhadap semua dan Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.
Perkara tersebut ditegaskan secara huraiannya oleh Al-Quran. Firman Allah terhadap penganut Islam:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠ الحجرات

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat: 10)

Firman Allah terhadap manusia:

يأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Islam yang sempurna mewajibkan adanya negara Islam yang melaksanakan Islam yang sempurna dan berlaku adil terhadap semua apabila menunaikan amanah memerintah negara. Firman Allah:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Islam menegaskan bahawa perpecahan dan pertembungan juga adalah sifat kejadian manusia secara naluri kerana ada di kalangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan memaksa pihak yang lain menerimanya secara paksaan. Sifat itu wajib dihalang dan ditentang bagi menyelamatkan semua, maka Allah menyatakan hikmah-Nya:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١ البقرة

“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai karunia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” (Surah Al-Baqarah: 251)

Firman Allah menegaskan bahawa keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara di bawah pemerintahan Islam yang berdaulat:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج

“Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” (Surah Al-Hajj: 40-41)

Kedudukan yang sebenar dibuktikan dalam sejarah keemasan apabila Islam dilaksanakan dengan sempurna dalam negara paling besar berkuasa telah melaksanakan syariat Islam yang adil terhadap semua dalam lingkungan sempadan negara yang luas di Timur dan Barat merangkumi Benua Asia, Utara Afrika dan Selatan Eropah yang bermasyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya dalam tempoh beberapa abad.

Jangan diambil daripada penulisan Orientalis Barat yang menutup kejahatan mereka yang menentang Islam kerana hasad dengki yang salah, sehingga melakukan konsep kolonialisma dan imperialisma serta perluasan penjajahan Barat yang menakluk secara paksaan, perhambaan dan merompak hasil negara yang dijajah. Pendekatannya sangat berbeza dengan kedatangan Islam yang menjadi penyelamat bersama konsep adil dan rahmat.

Kedatangan penjajah Barat ditentang oleh semua penduduk dunia. Malangnya mereka melabelkan pula perjuangan menentang penjajahan yang zalim itu dengan jenama pemberontak, lanun, penderhaka dan sebutan yang jelik.

Pada zaman mutakhir ini ketika memuncaknya pertembungan kuasa Barat dan mencetuskan perang Korea dan kemaraan Komunis di beberapa negara Eropah pada tahun lima puluhan abad yang lalu, maka beberapa tokoh politik Barat memberi amaran bahawa di sana ada lagi yang lebih bahaya daripada Komunis ialah Islam. Jangan diberi peluang kepada Islam berkuasa memerintah, kerana Islam bukan sahaja menakluk tanah air, bahkan menakluk hati manusia. Bukan kerana zalimnya, tetapi kerana adilnya.

Malangnya masih terdapat kalangan yang berjenama penganut Islam tetapi terikut-ikut menggunakan istilah lanun yang dipopularkan oleh para orientalis terhadap bangsa Islam yang menentang penjajah, termasuk kenyataan mereka menyebut bahawa PAS yang menegakkan Islam lebih bahaya daripada Komunis. Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang melupai kenyataan ini.

Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan selamat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rabiul Awal 1439 / 22 November 2017 - HARAKAHDAILY 22/11/2017

BEBERAPA media Arab mendedahkan hubungan terbuka dan sulit secara intim di antara Arab dan Israel. Dikatakan tujuannya ialah keselamatan serantau Asia Barat. Namun fikirkan hujahnya, adakah bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap dunia Sunni atau menjaga keselamatan Israel?

Semua media yang dikuasai oleh kerajaan di serantau Asia Barat menjadikan bahaya Syiah dan Iran sebagai noktah yang satu dan disokong pula oleh media Israel. Adapun gerakan menentang Israel seperti Hamas, Tanzim Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah semuanya dilabelkan pengganas. Marilah berfikir dan mengkaji terlebih dahulu dengan bijak, sedar dan insaf sebelum membuat keputusan.

Kumpulan Syiah sudah wujud sejak zaman awal Islam, kerana kekhilafan berhubung masalah pelantikan khalifah selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin, pelantikan Saidina Abu Bakar R.A, Saidina Umar R.A, Saidina Uthman R.A dan Saidina Ali K.W.H diterima secara sepakat oleh para ulama muktabar daripada semua mazhab, sehingga bersatu mempertahankan Islam, menegakkannya dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelosok dunia.

Namun dihangatkan semula pada zaman Umawiyah dan Abbasiyah apabila platform Ahli Sunnah diambil oleh para khalifah, khususnya yang berlaku zalim. Pertelingkahan politik berkenaan calon khalifah yang semuanya sudah meninggal dunia dinyalakan semula pada zaman mutakhir.

Ahli Al-Bait menjadi sasaran buruan pemerintah tanpa mengira Sunni, Syiah atau Khawarij semata-mata kerana pengaruhnya dikira ancaman kepada khalifah yang ada. Para ulama pula ada yang beristiqamah dan ada yang hanyut. Namun semua ulama dan ketua madrasah mazhab khususnya Ahli Sunnah tidak menyokong khalifah yang zalim dan bersama Ahli Al-Bait, padahal mereka bukan Syiah. Semuanya melaknat peristiwa pembunuhan Saidina Husain R.A, cucu Baginda Nabi S.A.W.

Ada kalangan yang dizalimi sehingga dibunuh seperti Abdullah bin Al-Zubair, dan dalam kalangan para sahabat dan kalangan Tabi’ein seperti Said bin Jubair dan lain-lain. Ada yang dipenjarakan seperti Imam Abu Hanifah. Di sana ramai kalangan ulama ahli Al-Bait bersama dengan ulama Ahlu Sunnah turut menjadi sasaran pemerintah pada zamannya seperti Imam Jaafar Al-Sodiq. Ada juga kalangan ulama mujtahid yang selepasnya seperti pengikut Said bin Jubair dan lain-lain yang dibunuh oleh khalifah yang zalim, tiba-tiba pengikutnya disenaraikan kumpulan Khawarij oleh kerajaan pada zamannya dengan sebab kepentingan politik, bukan hukum syariat.
 
Walaupun mazhab politik dalam Islam ini akhirnya mempengaruhi pengajian aqidah, feqah dan tasawuf sehingga berkhilaf pula di dalamnya, serta ada yang melahirkan banyak perkara bid’ah yang wujud daripada semua mazhab. Namun, para ulama mengumpulkan semua mazhab di dalam kitab-kitab yang dikarang supaya dikaji mana yang kuat hujahnya dan mana yang ditolak berpandukan sumber hukum Islam yang sahih berpandukan Al-Quran dan Sunnah, serta kaedah sumber kajian yang lain secara ijtihad yang adil. Peranan ini adalah tugas para ulama semua mazhab yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa campur tangan kerajaan yang tidak istiqamah (konsisten).

Semuanya adalah perkara rumahtangga umat Islam yang tidak boleh diizinkan campur tangan asing, khususnya kalangan musuh Islam yang nyata tidak ikhlas terhadap umat ini. Langkah awal OIC yang menubuhkan kumpulan pemikir daripada kalangan para ulama muktabar sangat baik dengan syarat jangan diganggu oleh pengaruh politik negara yang tidak sihat.

Sila kembali kepada sejarah penjajahan Barat yang menggunakan Syarif Husain sebagai Raja Hijaz (termasuk Makkah dan Madinah) supaya mengisytiharkan Revolusi Agung Arab di Tanah Suci ini pada tahun 1916, yang sepatutnya tidak berulang lagi kerana membawa celaka yang panjang ke atas umat Islam.

Kedatangan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan susulannya menubuhkan kumpulan negara Arab dan Islam, serta dilakukan perubahan struktur kerajaan Arab Saudi terkini dan disertakan pula penglibatan Israel secara terbuka yang mendukung gagasan untuk menghadapi bahaya yang dikatakan Syiah dan Iran, hendaklah difikirkan dengan bijak secara bebas dan ikhlas, khususnya hari ini dipalu gendang perang selepas Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri membuat kenyataan peletakan jawatannya. Persoalannya, mengapa di Riyadh bukannya di Beirut?  

Al-Quran mengajar umat Islam supaya sentiasa bersama Kitab Allah ini dan Rasul yang diutuskan bersamanya. Al-Quran mengesahkan walaupun Nabi Musa A.S dan Harun A.S daripada bangsa Yahudi tetapi Allah melantik mereka menjadi Rasul bersama Kitab Allah bernama Taurat. Maka Allah memerintahkan supaya beriman kepada kitab Taurat dan Rasul-Nya walaupun daripada bangsa Yahudi dan menolak Firaun Mesir yang kafir laknat walaupun kelahiran Mesir di bumi Al-Azhar yang menjadi pusat ilmu Islam kini kerana Firaun menolak Rasul dan Islam.  

Begitulah Allah mewajibkan beriman kepada Al-Quran dan Rasulullah S.A.W bukan kerana bangsa Arab dan Bumi Makkah yang suci dan Batu Kaabahnya. Allah menolak Abu Jahal dan Abu Lahab kerana mereka menolak Al-Quran dan Rasulullah S.A.W. walaupun kelahiran di Makkah dan daripada keluarga Ahli Al-Bait.

Kini Israel ditubuhkan bagi menegakkan negara Haram Israel yang merupakan agenda Yahudi Zionis ke arah menakluk dunia di atas nama keagungan bangsa Yahudi, bukan kitab Taurat daripada Allah dan Islam yang sebenar. Berbeza dengan negara yang dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. yang dibanggakan oleh bangsa Yahudi kini, sedangkan mereka bukannya menegakkan Islam warisan Nabi Sulaiman A.S, sepertimana dinyatakan dalam perutusannya yang disebut di dalam Al-Quran:

إِنَّهُۥ مِن سُلَيۡمَٰنَ وَإِنَّهُۥبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ٣٠ أَلَّا تَعۡلُواْ عَلَيَّ وَأۡتُونِي مُسۡلِمِينَ ٣١ النمل

“Sesungguhnya surat itu daripada Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani (30) Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan Islam (menyerah diri, beriman dan mematuhi ajaran agama Allah) (31)” (Surah AN-Naml: 30-31)

Adakah bunga Perang Dunia Ketiga dinyalakan di Makkah sepertimana perisytiharan Revolusi Arab pada tahun 1916 oleh Syarif Husain di Makkah yang mencetuskan Perang Dunia Pertama yang telah meranapkan kuasa Islam?

Apakah yang dilakukan ini kerana sebenarnya bahaya Syiah dan Iran? Atau sebenarnya kerana keselamatan Israel yang menjadi kubu paling hadapan menghadapi kebangkitan semula umat Islam?

Saya tidak boleh menerima alasan bahaya Syiah, hujahnya kerana Sana’a di Yaman kini sudah dikuasai oleh mereka. Saya tidak lupa betapa Arab Saudi menyokong kumpulan Syiah ini sejak tahun 1961 sehingga diubah pendirian hari ini dengan menentangnya selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyelar Amerika di hadapan Kongresnya setelah kumpulan Syiah menawan Sana’a, dan Saudi terus melakukan perisytiharan perang ke atas Yaman di Washington, bukannya di Riyadh. Barangkali mengambil contoh Perdana Menteri Lubnan mengisytiharkan peletakan jawatannya di Riyadh, bukannya di Beirut.

Saya tetap kembali kepada Al-Quran walaupun raja yang menjadi khadam dua Tanah Haram mengadakan hubungan intim dengan Israel bersama Amerika Syarikat kerana saya tidak beriman kepada Batu Kaabah tetapi beriman kepada Allah.

Saya mendukung gabungan Turki, Iran dan Rusia, serta Qatar yang sudah beralih kecenderungan kepadanya bersama beberapa negara Arab yang lain tanpa mempedulikan kebanyakan Negara Teluk. Malah Mesir menunjukkan kegoyangan pendiriannya walaupun pernah bersama Israel.

Turki menunjukkan perubahannya daripada sekular dan bersekutu dengan Barat dan Israel kepada ke arah Islam. Iran pula menunjukkan perubahan kerajaannya yang tidak terikat dengan Feqah Syiah yang fanatik dalam pemerintahannya kepada sistem Islam yang demokratik yang mereka sebut Wilayah Al-Faqeh. Sedangkan negara Arab terus berlindung dengan Sunni yang paling Salafinya, tetapi berwajahkan diktator yang tidak ada kaitan dengan Sunni. Adapun Rusia menunjukkan polisi yang tidak bersifat Islamofobia mengikut agenda Amerika dan sekutunya.     

Apakah alasannya yang kita wajib bersama kumpulan Islam Hamas, Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah yang dijadikan kambing-kambing hitam yang hendak dikorbankan dengan mudah? Marilah kita bersatu menghadapi Israel dan sekutunya terlebih dahulu, kemudian selesaikan isu Sunni dan Syiah secara dalaman dan ukhuwwah dalam satu keluarga Islam dalam perkara rukun dan asas, walaupun berkhilaf cabangnya.

Allah juga mendedahkan bahawa kumpulan Yahudilah yang mencetuskan api peperangan dunia dan Allah tidak mengizinkannya marak sehingga kemuncak. Firman Allah:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤ وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَكَفَّرۡنَا عَنۡهُمۡ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ وَلَأَدۡخَلۡنَٰهُمۡ جَنَّٰتِ ٱلنَّعِيمِ ٦٥ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ أَقَامُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِم مِّن رَّبِّهِمۡ لَأَكَلُواْ مِن فَوۡقِهِمۡ وَمِن تَحۡتِ أَرۡجُلِهِمۚ مِّنۡهُمۡ أُمَّةٞ مُّقۡتَصِدَةٞۖ وَكَثِيرٞ مِّنۡهُمۡ سَآءَ مَا يَعۡمَلُونَ ٦٦ المائدة

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: Tangan Allah terbelenggu (bakhil, kikir), sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga Hari Kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. (64) Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (65) Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya. (66)” (Surah Al-Maidah: 64-66)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Rabiul Awal 1439 / 21 November 2017 - HARAKAHDAILY 21/11/2017   

SABDA Rasulullah SAW.

ويل للعرب من شر قد اقترب
 
“Kemusnahan menimpa bangsa Arab, disebabkan kejahatan yang telah mendekati mereka” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kita sedang menyaksikan betapa benarnya sabda Rasulullah SAW yang menjadi tanda kerasulannya, menyebut perkara yang tidak berlaku pada zamannya, tetapi dapat dilihat pada zaman kita yang paling mutakhir. Ini disebut perkara ilmu Allah yang diberitahu kepadanya.  

Mimpi Rasulullah SAW adalah benar dan sebahagian daripada wahyu. Hadis ini menceritkan ketika Baginda S.A.W berada di rumah Ummul Mukminin Zainab binti Jahsyin R.A, lalu beliau bertanyakan bagi meminta penjelasan:

قيل : أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : نعم، إذا كثُر الخبثُ

“Adakah kita boleh ditimpa bencana (sebegitu) padahal dikalangan kita ada ramai orang-orang yang soleh?” Sabda Rasulullah SAW: “Ya! apabila banyaknya kejahatan” (Hadis Riwayat Bukhari)

Al-Marhum Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Mantan Mufti Arab Saudi apabila ditanya dan diminta penjelasan berkenaan hadis ini telah menegaskan:

“Kebenarannya berlaku apabila tersebarnya kemungkaran di kalangan bangsa Arab dan tidak ada lagi yang mencegah kemungkaran, laksana Bani Israel yang dilaknat Allah”, sebagaimana diceritakan dalam firman-Nya:  

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩ المائدة

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam (A.S). Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau. (78) Mereka sentiasa tidak mencegah kemungkaran (berlarang-larangan sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (maksiat dan melampau), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (79) (Surah Al-Maidah: 78-79)

Kemungkaran adalah menempah kemusnahan apabila tidah dicegah. Paling besar ialah meninggalkan Islam sedikit demi sedikit kerana kelemahan iman dan terpengaruh dengan budaya bukan Islam, serta berwala’ (bersahabat setia) dengan musuh Islam.

Perkara ini telah juga ditafsirkan oleh Rasulullah S.A.W. apabila berlakunya bencana pembunuhan atau peperangan melalui sabda Baginda yang berwasiat ketika menunaikan Haji Wada’ (selamat tinggal):

لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض

“Jangan kamu menyeleweng dengan menjadi kufur selepas aku (tidak ada lagi, apabila wafat meninggal dunia) sehingga kamu memancung leher sesama sendiri (berperang)” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kini berlakunya kemungkaran tersebut yang mengundang kemusnahan, apabila melakukan maksiat di dalam negeri dan ketika melancong di luar negeri. Berpecah dan berkelahi tanpa batas sehingga bermusuh dan menjemput musuh luar, kerana mahu mengalahkan pihak yang dianggap musuh walaupun saudara seagama, menyebabkan berlakunya pertelingkahan dan perkelahian yang mencetuskan perang saudara dalam negara yang telah dibentuk mengikut kamahuan penjajah dahulu dan juga berperang terhadap jiran tetangga seagama dan sebangsa.

Kewajipan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar dipandang kecil dan dikatakan mengganggu kemajuan. Maka para ulama yang berani mencegah kemungkaran secara nasihat meringkuk ditahan dalam penjara, bersembunyi dan terpaksa berhijrah ke luar negara. Hanya yang bertahmid dan bertasbih memuji kerajaan sahaja diberi lesen, walaupun salah dan sesat.

Inilah yang sedang dilakukan sekarang, sehingga mencetuskan peperangan dan pembunuhan sesama sendiri. Senjata yang dibeli ditujukan kepada kawan bukannya musuh, sehingga ditinggalkan Israel, musuh yang sebenar yang merompak Tanah Suci.

Bangsa Arab yang paling hampir dengan Israel, meninggalkan kewajipan membebaskan Palestin setelah mengecewakannya, kerana sibuk berperang dalam negara sendiri dan negara jiran, dengan alasan yang tidak berpijak di atas Islam yang sebenar daripada Al-Quran dan Hadis yang dibaca dalam Bahasa Kebangsaan mereka. Sebaliknya yang berjihad menentang Zionis seperti Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah dianggap pula sebagai pengganas dan pelampau agama.

Ini disebabkan oleh kehakisan aqidah apabila menganut berbagai ideologi dan berwalikan musuh Islam serta tidak bersyukur atas nikmat kekayaan yang dikurniakan oleh Allah, sehingga tidak dimanfaatkan sebanyak-banyaknya kepada Islam dan umatnya, tetapi dibinasakan harta kerana membeli senjata untuk membunuh sesama sendiri, berbelanja secara membazir dan bermewah dan lebih malang lagi ada yang berfoya demi memuaskan nafsu semata-mata.

Sepatutnya mereka sedar kesilapan yang berlalu telah menjadi bencana awal yang tidak patut diulang lagi. Mereka tidak mengambil iktibar daripada zaman perjanjian di antara Syarif Husain (Raja Hijaz) dan Henry McMahon (wakil British), kerjasama di antara Malik Abdul Aziz (Raja Saudi) dan Lawrence serta rakan-rakannya daripada barat. Begitu juga di antara Shah Iran yang menjadi wakil penjajah dan Kamal Ataturk yang mengambil sekularisma dan menolak Islam kerana kononnya boleh memajukan Turki. Semuanya adalah permainan pihak barat yang sudah berlalu dan menjadi cerita lama yang sangat mengecewakan.

Akibatnya ialah kejatuhan Khilafah dan dirampasnya Palestin untuk ditubuhkan negara haram Israel. Umat Islam dan Arab dipecahkan mengikut bangsa dan mazhab, serta dibahagi-bahagikan negaranya. Kemudian hilangnya maruah negara kerana politik, ekonomi dan pendidikan berkiblatkan kepada musuh yang menghina mereka.

Hari ini berlaku pertembungan yang panas apabila mencetuskan peperangan di antara Arab dan Arab yang berlainan agama, mazhab dan ideologi, di antara Arab dan Kurdis dan di antara negara Arab, Turki  dan Iran yang seagama dan berjiran.

Sepatutnya era baru terkini sudah merdeka daripada barat, maka hendaklah ditukar pengisiannya dengan memecahkan tembok perkauman dan mazhab yang memecahkan belahkan mereka dahulu dan menghancurkan belenggunya. Sepatutnya negara umat Islam khususnya negara Arab bertaut kembali kepada asal Islam yang selamat dan sejahtera, membina jati diri umat berteraskan Islam dan perpaduan umat yang satu, walaupun banyak bangsa dan mazhabnya.  

OIC yang telah ditubuhkan telah mengadakan resolusi dan melaksanakan pendekatan mengeratkan semula hubungan di kalangan negara umat Islam. Namun diletakkan dibelakang kerana berkiblatkan politik dan ekonomi kepada bukan Islam. Kaabah hanya untuk sembahyang dan haji sahaja.

Selain itu, Bank Pembangunan Islam (IDB) telah ditubuhkan, tetapi mata wangnya masih bergantung kepada negara barat yang pernah menjajah dan menyamun harta. Malangnya juga masih terus melimpahkan pelaburannya di negara barat dan tidak yakin kepada sesama Islam dan Arab, bahkan tidak juga membantu saudara seagama Islam yang menderita, menjadi pelarian dan menghadapi bencana dalam negeri sendiri.
 
Majmak Fiqh dibawah OIC juga telah ditubuhkan yang mengiktiraf 8 mazhab sebagai mazhab Islam, supaya diadakan program susulan dan muzakarah secara ilmu di kalangan ulama berbagai mazhab secara dalaman dan melakukan tashih. Tetapi mereka lebih mendengar kenyataan Presiden Bush, Condoleezza Rice, Henry Kissinger dan lain-lain supaya melawan di antara Sunni dan Syiah. Selepas itu, muncul para ulama yang menyokong dengan fatwa takfir secara mudah tanpa huraian ilmu yang mendalam kajiannya dan tidak mengambil kira mereka yang tenggelam dalam kejahilan, dan tidak sedar permainan musuh Islam dibelakangnya.

Tanpa dinafikan ada kalangan yang sesat dalam kalangan mazhab Syiah dan Khawarij seperti juga ada yang sesat di kalangan Sunni seperti Ayah Pin dalam masyarakat Ahli Sunnah di Malaysia, Kasim Ahmad dan rakan-rakannya yang menolak Hadis dan buta Al-Quran, yang juga muncul di negara-negara lain dan mazhab yang lain.

Hanya ahli ilmu yang dapat menjernihkan secara dalaman, bukannya mendengar nasihat daripada musuh Islam, atau dibiarkan si jahil murakab memerintah negara yang diikuti oleh para ulama pengampu yang menjilat kesenangan laksana anjing kelaparan.

Sekarang telah menunjukkan keadaan yang lebih parah dengan membunuh dan membakar hangus rumah sendiri, tetapi matahari belum lagi naik daripada arah barat, nyawa belum sampai ke kerongkong dan pintu taubat masih terbuka luas. Maka ubahlah dengan kesedaran dengan membuat pembetulan.

Sepatutnya hubungan di kalangan negara Arab dan Islam, serta negara jiran hendaklah diutamakan dan didahulukan, bukannya Israel dan pengkalan tentera asing yang sangat dipelihara. Sepatutnya krisis dalaman diselesaikan oleh OIC dengan semangat Islam dan kejiranan, jangan dijemput campur tangan asing yang menjadi hakim monyet yang membuat keputusan memasukan barang yang menjadi rebutan ke dalam mulut si hakim monyet itu, sehingga yang menuduh dan dituduh tidak mendapat apa-apa.

Percayalah bahawa kembali ke pangkal jalan yang benar bersama Islam adalah lebih baik daripada berterusan bersama kebatilan yang merosakkan diri sendiri. Bangsa Arab akan selamat dan boleh memimpin apabila bersama Islam. Sekiranya meninggalkan Islam, maka bangsa Arab walaupun sebangsa dengan nabi akan juga menjadi hina.  

Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A menegaskan kepada bangsa Arab yang telah berjaya membebaskan Bait Al-Maqdis dan mengalahkan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi, berkata:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام , فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

“Kita menjadi umat yang dimuliakan Allah bersama Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan atau kehaibatan dengan yang lain daripada apa yang pernah dikurniakan Allah, nescaya kita dihina Allah”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Safar 1439 / 17 November 2017 - HARAKAHDAILY 17/11/2017

PILIHAN RAYA Umum adalah mahkamah rakyat. Kerajaan menjadi pihak yang dituduh. Pembicaraannya memerlukan pengakuan secara rela hati yang penuh keinsafan dan keterangan saksi yang adil, serta bukti-bukti benar yang membantunya.

PAS tidak boleh bersama kerajaan yang dituduh, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau kesalahannya. Kaedah Kehakiman Islam yang dipakai oleh barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.

PAS juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang telah diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu.

PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara, dan tuduhan sama yang bertali arus laksana mata rantai atau biji tasbih yang dibilang setiap kali berwirid. Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS.

PAS percaya bahawa rakyat yang mahu menjadi hakim yang adil melalui pilihanraya itu sedang menghadapi krisis keyakinan bagi menentapkan hukumannya kepada siapa hendak dihukum atau dipersalahkan. Dalam keadaan penyakit politik wang yang menimpa rakyat dan menimpa Umno yang sedang memerintah, yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu dan selepasnya dan kini tidak mudah untuk diubati, namun tidak ada penyakit yang tidak ada ubat yang wajib dicari selagi belum mati, maka ikhtiar hendaklah diteruskan.

Ucapan YB Datuk Husni Hanzalah, Ahli Parlimen Tambun menggambarkan betapa krisis keyakinan berlaku sehingga beliau meletakkan jawatan daripada Kabinet, kerana ada masalah dalam kerajaan sejak dahulu dan betapa saksi yang fasik atau yang tidak nyata adilnya menjadikan beliau tidak boleh dipancing oleh pembangkang yang bertemakan Pakatan Harapan, yang tidak boleh diberi harapan. Namun, beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan. Berbeza dengan PAS yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat di mana sahaja seseorang itu berada berpandukan Hadis Rasulullah S.A.W:

الدين النصيحة قلنا: لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم. رواه مسلم

Sabda Rasulullah S.A.W: “Agama itu nasihat”. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda S.A.W: “Bagi Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, hak para pemimpin dan masyarakat umum” (Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun demokrasi barat yang bermoral menunjukkan perubahan boleh berlaku seperti di mana-mana negara yang mengubah kerajaan melalui Pilihan raya Umum yang bersih, namun perubahannya sangat rapuh yang sekadar mengubah pemimpin dan parti pemerintah.

Konsep barat itu tanpa aqidah beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan perhitungan dosa dan pahala, menjadikannya sangat rapuh sehingga tidak boleh bertahan lama, apabila yang mengambil alih kuasa pemerintahan mengulangi perkara yang sama atau lebih parah lagi.

Di sinilah Allah memberi petunjuk betapa perlunya perubahan pemikiran yang salah dengan kembali kepada kebenaran dan mengubah tindakan yang zalim kepada yang adil, daripada akhlak yang keji kepada akhlak yang mulia. Firman Allah:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ ١١ الرعد

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d: 11)

Maka Rasulullah S.A.W. yang menafsirkan Al-Quran secara amali dengan memulakan dakwah dan politiknya mengajak kepada perubahan peribadi supaya menerima Islam. Baginda S.A.W melaksanakannya melalui ucapan, perbincangan dan perutusan yang dihantar kepada raja-raja dan para pemimpin dengan menyebut ayatnya:

أسلم تسلم

“Terimalah Islam (dengan beriman dan beramal) nescaya kamu selamat.”

Tindakannya tidak merampas kuasa dan menurunkan takhta sewenang-wenangnya. Sesiapa yang berubah kepada Islam seperti Raja Habsyah, Raja Oman, Raja Bahrain dan lain-lain terus dikekalkan kedudukannya, ini menunjukkan bahawa konsepnya bukan mengubah orangnya sahaja tetapi mengubah dasar dan sistem.

Maka Islam menolak perubahan zahir dan diri tanpa perubahan aqidah, akhlak dan sikap kerana tiada mencapai maksud kebaikan dan kebajikan, serta nahi mungkar, dengan hanya sekadar meruntuhkan jahiliah dan diganti dengan jahiliah lain. Perubahan musim politik tanpa Islam yang berlaku di negara Arab menjadi iktibar. Tegasnya, tegakkan Islam dalam dirimu dan tegakkan juga Islam di dalam negaramu.

Khalifah Umar bin Al-Kahttab R.A. menegaskan:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

“Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan”

Maka PAS menegaskan hanya kepemimpinan Muslim yang bersama Islam boleh menyelamatkan negara sama ada kembali kepada Islam atau perubahan kepada sesiapa sahaja yang menerima Islam yang sebenarnya, bagi mengisi mengikut acuan Islam yang telah ada dan melakukan perubahan di tempat yang perlu.

Ketegasan PAS ini bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia. Maka PAS tidak boleh terikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar dan hala tujunya. PAS boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan halatuju wawasannya yang berkekalan.

Bahtera PAS tidak boleh disertai oleh golongan yang lain tujuannya, walaupun ahli PAS tidak mengenalinya tetapi kami percaya kepada jaminan Allah yang memelihara Islam dan perjuangannya dengan firman-Nya:

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَ‍َٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ ١٧٩ آل عمران

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.” (Surah Ali-Imran: 179)

PAS berusaha mendapat keyakinan rakyat dengan tegas kepada keyakinan PAS sendiri berpegang kepada Islam, disertakan hujah yang diucap, yang tersurat dan tersirat dengan ikhlas yang diketahui Allah. PAS beramal dengan kemampuan kemenangannya di Kelantan sehingga kini dan ketika PAS memimpin Terengganu dan Kedah yang boleh dibuat perbandingan oleh semua pihak dengan mereka yang juga memerintah mengikut bidang kuasanya. PAS tidak pernah jatuh dan kalah kerana kesilapan dasarnya, tetapi dijatuhkan oleh pihak lain yang bertembung dengan dasarnya, bahkan sehingga kini Alhamdulillah, tidak ada seorang pun yang dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Safar 1439 / 10 November 2017 - HARAKAHDAILY 10/11/2017