21
Mon, Aug

BPMS: Politik penyelamat bukan politik geram

Presiden
Typography

RASULULLAH SAW adalah pemimpin teladan sebenar pilihan Allah yang mendapat wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah S.W.T, maka ahli politik Islam tidak boleh menjadikan yang lain daripadanya sebagai ikutan dan teladan yang sebenar khususnya dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Para ulama merakamkan sabda Rasulullah SAW dengan menyatakan sikap terhadap pihak lain:

أحبب حبيبك هوناً ما، عسى أن يكون بغيضك يوماً ما، وأبغض بغيضك هونا ما، عسى أن يكون حبيبك يوماً ما. (الترمذي. وقال الألباني جيد أسانيده رجال مسلم وقيل موقوف لعلي بن أبي طالب)

“Kasihlah terhadap seseorang yang disayangi dengan berpada-pada (jangan melampau), kerana kemungkinan di satu hari nanti dia menjadi musuh yang paling dimarahi, marahlah terhadap seseorang dengan berpada-pada, kerana dia boleh menjadi kekasih di satu hari nanti”

Jangan terpengaruh dengan budaya politik melampau amalan jahiliyah yang tersebar luas dalam dunia kini. Budaya yang sangat menggoda khususnya melalui media sosial tanpa sempadan dan akhlak yang tidak mengambil kira dosa dan pahala. Pendekatannya lebih banyak menyerang daripada menerang, menyebarkan fitnah, memburukkan lawan dan kawan tanpa sempadan akhlak dalam mencegah kemungkaran.

Islam memandu kita walaupun kemungkaran itu sebenarnya berlaku, tetapi diutamakan menyelamatkan kedua-dua pihak, pelaku dan mangsanya, kerana manusia itu boleh berubah. Kalau tidak akan berubah, itu adalah urusan Allah, bukan urusan kita. Maka dalam mencegah kemungkaran itu, jangan melampau sehingga mencetuskan fitnah yang lebih parah dan lebih buruk akibatnya. Laksana memberi ubat terlebih dos sehingga menjadikan penyakit lebih parah dan boleh membawa maut.

Pendekatan ini berpandukan hadis Rasulullah SAW:

انْصُرْ أخَاكَ ظَالماً أَوْ مَظْلُوماً. فَقَالَ رجل: يَا رَسُول اللهِ، أنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُوماً، أرَأيْتَ إنْ كَانَ ظَالِماً كَيْفَ أنْصُرُهُ؟ قَالَ: تحْجُزُهُ - أَوْ تمْنَعُهُ - مِنَ الظُلْمِ فَإِنَّ ذلِكَ نَصرُهُ. رواه البخاري

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: “Saya nampak kalau saya menolong kalau dia dizalimi. Apakah pandangan Rasulullah kalau dia si zalim? Bagaimana cara saya menolongnya? Sabdanya: Kamu halang atau cegahnya daripada berlaku zalim, itulah cara menolongnya”   

Politik hidayah Allah yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W ada batasan akhlak mulia, sempadan baik dan buruk serta perhitungan halal dan haram. Caranya lebih bersifat menjadi penyelamat rakyat dan mereka yang terjerumus ke dalam dosa. Tujuannya adalah mengislahkan bukan terus dibiarkan menjadi rosak atau lebih merosakkan lagi. Di zaman pendekatan ini diamalkan, ia telah menjadikan pengikut Islam makin bertambah apabila mereka menyaksikan pelaksanaanya bukan untuk mencipta musuh seramai-ramainya.

Pendekatan ini juga tidak hanya melihat dari sudut kesalahan seseorang sahaja sehingga menafikan sudut kebaikannya, atau menentang sesuatu pihak untuk dijatuhkan semata-mata ingin mendapatkan peluang mengambil kuasa untuk diri sendiri dan puaknya sahaja, selepas itu tidak mempedulikan rakyat dan menegakkan jahiliyah di atas runtuhan jahiliyah.  

Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana ditegaskan oleh Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧ الأنبياء

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Surah Al-Anbia’: 107)

Mesej politik Islam adalah mengajak manusia bersama Islam, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk diri orang yang melakukan kesilapan, bukan sahaja menyelamatkan mangsanya.

Islam menunjukkan bahawa punca dan sebab paling utama adalah masalah aqidah dan akhlak, tetapi aspek ini tidak diminati oleh masyarakat umum hari ini untuk diselesaikan kerana mereka hanya berfikir di perut, bukannya berfikir di kepala dan hanya mengutamakan masalah kehidupan yang sangat menekan. Jauh sama sekali memahami bahawa punca segala masalah disebabkan oleh kefahaman yang rosak.

Peranan PAS adalah menjadi penyelamat bersama Islam supaya yang salah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, bukan sekadar mahu merampas jawatan semata-mata atau sekadar membalas dendam terhadap yang menjatuhkan dan mengambil semula jawatan dengan penuh geram kerana pernah dijatuhkan, dikalahkan dan dipecat.  

Kita tegas dengan keyakinan bahawa hanya pemimpin yang beriman, benar aqidah, budiman dan luhur akhlaknya dapat menyelamatkan rakyat dengan contoh dirinya, sehingga berjaya mendidik rakyat menjadi beriman dan budiman. Bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Sifat pemimpin itu dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ السجدة

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah As-Sajadah: 24)

Semua para Rasul A.S mengajak para pemimpin dan kaum masing-masing dengan pendekatan menjadi penyelamat terhadap yang paling zalim dan keras, walaupun terpaksa memakan masa yang panjang sehingga kebanyakan mereka tidak sempat menyaksikan hasil perjuangan semasa hidup di dunia, tetapi kejayaannya disaksikan oleh generasi yang meneruskan perjuangan mereka.

Allah mewahyukan perintah-Nya kepada Nabi Musa A.S yang dipilih Allah, supaya menghadapi Firaun yang paling dimurkai Allah kerana sikap melampau dalam aqidah, mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman politik dan ekonomi, menyembelih anak yang dilahirkan dan memperhambakan rakyat, namun Allah berfirman kepada Rasul-Nya Musa dan Harun A.S:

ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ٤٣ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ ٤٤ طه

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut (44)” (Surah Taha: 43-44)

Allah juga menamakan para Rasul-Nya adalah saudara kepada kaumnya walaupun kaumnya sesat dan zalim.

Firman Allah:

۞وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودٗاۚ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٦٥ الأعراف

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya?” (Surah Al-A’raf: 65)

Firman Allah:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَٰلِحًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ فَإِذَا هُمۡ فَرِيقَانِ يَخۡتَصِمُونَ (النمل - 45)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): Sembahlah kamu akan Allah! Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.” (Surah An-Naml: 45)
 
Firman Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya:

ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ (فصلت ٣٤)  

“Tolaklah (kejahatan yang dilakukan terhadapmu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seorang sahabat penyayang” (Surah Fussilat: 34)

Maka Rasulullah S.A.W mendahulukan kemaafan dan menggalakkan bertaubat, bukan yang paling diutamakan untuk menjatuhkan hukuman sehingga mewajibkan syarat-syarat yang memayahkan, jauh sama sekali untuk membalas dendam.

Walaupun dalam keadaan paling tegang, keras dan berkuasa, namun Allah menegaskan wajib berlaku adil juga terhadap musuh.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Allah menunjukkan kepada Rasulullah S.A.W tentang cara-cara untuk menghadapi mereka yang melakukan dosa paling besar iaitu melantik tuhan selain Allah:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨ الأنعام.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 108)

Beginilah Allah melarang sikap melampau dalam mencegah kemungkaran. Walaupun kemungkaran itu benar tetapi tidak dibenarkan meledakkan kemungkaran yang lebih besar daripadanya.

Oleh kerana Islam beristiqamah dengan aqidah dan akhlaknya, maka semua tahaluf (persefahaman politik) bersama pihak lain dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dalam keadaan kedudukan Islam yang lebih kuat, memimpin dan memerintah, bukan dalam kedudukan yang lemah dan mudah di arah oleh pihak yang lain sehingga menjadikan kumpulan Islam terikut dengan budaya pihak lain yang tidak matang dan sejahtera.

Hanya Islam dengan jati diri pendokongnya sahaja mampu menangani pertembungan dalam masyarakat majmuk dengan panduan Allah:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج.

“Mereka yang diusir daripada kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat kaum Yahudi dan tempat-tempat sembahyang), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” (Surah Al-Hajj: 40-41)

Walaupun dihalau daripada tanah air kesayangannya, dibunuh keluarga dan para sahabat tersayang, Rasulullah SAW. menunjukkan sifat wasatiyyah (tidak melampau) apabila berjaya mencapai kemenangan Fathu Makkah (membebaskan Makkah) tanpa membalas dendam terhadap musuhnya, walaupun kedudukannya kuat berkuasa.

Contoh ini diteladani oleh generasi kemenangan Islam di zaman keemasan selama beberapa abad. Ramai kalangan musuh yang paling ganas terhadap Islam bertukar menjadi penganutnya yang setia, ikhlas menyebarkan Islam dan membangun negara bersama Islam. Golongan bukan Islam pula lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam.

Dalam menghayati konsep demokrasi untuk mendapat dokongan rakyat, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) secara Islam wajib berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW supaya mencapai fadhilat menyelamatkan rakyat bersama Islam dengan petunjuk Allah yang sempurna dan berwawasan di dunia sehingga akhirat.

Sabda Rasulullah SAW.

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم . (متفق عليه)

“Demi sesungguhnya seseorang mendapat hidayat Allah dengan sebabmu lebih baik daripada kenderaan termahal harganya” (Muttafaqun ‘Alaih)

Kita wajib beriman kepada Qadar dan takdir Allah terhadap alam yang boleh berubah termasuk manusia, maka sikap yang anjal (fleksibel) dalam berpolitik dan berdakwah dalam perkara yang tidak ada nas yang tetap, sangat penting untuk kita berijtihad bagi melaksanakan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bersama Islam.

Sikap begitu bukannya bererti lemah, namun kekuatannya tetap dibuktikan apabila pihak musuh Islam melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بالصُّرَعَةِ، إنَّمَا الشَدِيدُ الَّذِي يَملكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ. مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

“Bukanlah orang yang hebat gagah perkasa itu yang cepat bertindak membelasah secara melulu. Sesungguhnya yang hebat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika terlalu marah”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulkaedah 1438H / 11 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 11/8/2017