21
Mon, Aug

SETIAP muslim beriman bahawa yang akan menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan rahmat-Nya.

Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.

Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.

Kita berusaha dengan amal soleh di dunia. Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.

Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu kalut dengan amal soleh di dunia ini?

Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh yakin dan tawakkal kepada-Nya.

Sekarang mari kita bertumpu kepada dua persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana untuk mendapat rahmat Allah?

Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.

Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.

Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan, bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.

Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.

Jawabannya adalah dengan amal soleh dan harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.

Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.

Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.

Penyelamat amal soleh adalah akidah yang benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.

Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.

Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.

Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.

Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana ajarannya yang sampai kepada kita. Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.

Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.

Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya. Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.

Justeru setiap muslim mestilah menyucikan jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas kepada-Nya.

Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.

Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama. Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan lagi. - HARAKAHDAILY 17/8/2017

ALHAMDULILLAH. Solawat dan Salam ke atas Rasulillah, keluarga dan Sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut dan membantu baginda sehingga ke Hari Pembalasan.

Allah berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

"Hendaklah kamu berdakwah menyeru ke jalan Rabb kamu dengan Hikmah dan nasihat yang baik dan hendaklah kamu berbahas dengan mereka menggunakan perbahasan yang terbaik." (Surah al-Nahl ayat 125)

1. Dakwah lebih kepada penerangan, penjelasan dan ajakan. Mengajak dan menyuruh manusia melakukan yang makruf dan mencegah manusia melakukan kemungkaran. Menjelaskan kekeliruan, merungkaikan kekusutan, meluruskan kefahaman dan membongkar kesesatan adalah sebahagian tugasan dakwah.

2. PAS sebagai Gerakan Politik, Dakwah dan Tarbiyah tidak hanya berpolitik untuk mendapatkan kuasa semata-mata tetapi berpolitik mengajak manusia menerima penyelesaian Islam dalam kehidupan dan mengajak manusia memberikan kuasa kepada Islam supaya keadilan untuk semua dapat ditegakkan.

3. Sangat menarik apabila Tuan Guru Presiden menegaskan dalam sesi taujihat sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tadi bahawa para Anbiya' membanyakkan penjelasan berbanding menyerang dan menjawab tuduhan. Justeru, beliau menasihatkan semua petugas parti untuk membanyakkan penjelasan bagi menarik masyarakat pelbagai peringkat bersama penyelesaian Islam. Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang telah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan terkini PAS perlu dihayati dan diamalkan di semua peringkat dalam melaksanakan tugasan ini.

4. Menurut Tuan Guru Presiden, apa yang utama perlu dijelaskan kepada masyarakat ialah asas Akidah, Syariat dan Akhlak Islam. Topik-topik ini tidak digemari oleh orang ramai. Mereka lebih suka mendengar isu semasa sahaja. Namun itulah tugasan pendakwah yang tidak perlu berbicara menurut tajuk yang manusia suka sahaja.

5. Isu-isu rakyat tidak hanya ditampilkan permasalahannya sahaja tanpa cadangan penyelesaian Islam. Dalam isu cukai GST sebagai sumber kewangan negara, PAS menampilkan alternatif penyelesaian Islam menerusi cukai simpanan korporat dan cukai keuntungan saham yang didokumentasikan dalam Dokumen Hijau.

6. Kenaikan kos hidup rakyat perlu ditangani dengan sistem ekonomi Islam yang adil menolak monopoli ekonomi, menolak Riba, menolak cukai yang dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat, menolak cukai yang menekan pendapatan rakyat dan cukai melampau yang dikenakan ke atas barangan keperluan rakyat.

7. Pengurusan ekonomi perlu dibina di atas asas dan kesedaran bahawa harta yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah yang diberi amanah untuk diguna dan diuruskan yang semuanya akan disoal di akhirat.

8. Skandal kewangan 1MDB dan skandal-skandal kewangan seumpamanya sepanjang sejarah bernegara hanya akan dapat ditangani jika ia ditadbir oleh tangan yang amanah.

9. Memperjuangkan kedaulatan Islam dalam perlembagaan Malaysia, memperkasakan Mahkamah Syariah dan membuka ruang pelaksanaan Syariat menerusi RUU 355, menegaskan sikap terhadap pindaan Akta 164, memperingatkan umat terhadap ancaman Evangelis, ancaman pemikiran liberal yang ingin merungkai hukum hakam Islam dan pemikiran serta amalan songsang seperti LGBT, semuanya menjadi sebahagian agenda dakwah yang mesti sentiasa meniti dibibir ahli dan pimpinan PAS.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

DALAM keghairahan menyambut kemerdekaan kali ke-60 negara ini, pelbagai program telah dibuat oleh pihak penguasa termasuk bertindan niat untuk memastikan penguasaan mereka semakin kukuh untuk memerintah negara. Penyiaran filem-filem patriotik yang kadang kala tersasar daripada lukisan sejarah yang sebenar, juga himpunan yang diselitkan dengan aroma propaganda yang memualkan.

Dalam kita memutar kembali sejarah perjuangan yang berat sebelah ini, peranan ulama dan gerakan Islam dikesampingkan dan disepikan daripada pengkisahan perjuangan kemerdekaan. Tidak kepalang pengorbanan para ulama dan Islamis dalam menoreh sejarah emas perjuangan, ada yang gugur syahid, dibuang jauh daripada tanah leluhur dan terpenjara jasad dalam jeriji besi.

Langit sejarah telah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemuculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Kebangkitan Ulama Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia.

Islam telah telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.

Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, Libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825-1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.

Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendukungnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria, Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan Umno di Tanah Melayu. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Di Mesir, tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al- Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948.

Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Al-Ehya As-Syariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (MASYUMI).

Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama- agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama.

Pertubuhan politik Islam ini telah menyasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.

Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat.

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Bandaraya Kota Bharu mendepang tangan dengan senyuman terukir, menyambut ribuan umat Islam yang berhimpun sempena Ijtimak Antarabangsa kali keempat. Kelantan semenjak 1959 telah menjadi kubu PAS di negeri jantung orang Melayu ini dengan menyaksikan kemenangan bergaya PAS dan seterusnya membentuk arus kesedaran Islam.

Kelantan dengan karektornya sebagai negeri berbudaya, sarat dengan kesenian tradisional dan kesedaran beragama mengakar teguh dengan jaringan sekolah pondok. Kelantan kaya dengan pergumpalan ilmu dan idea, malah medan perdebatan kaum tua dan kaum muda pada awal abad ke 20. Tanah serendah sekebun bunga ini juga terselit manusia gedebe yang mudah bertetak dan menumpahkan darah atas alasan yang remeh. Sebahagian anak muda membesar di gelanggang silat dan tomoi, mengacuankan mereka sebagai anak muda yang berani mempertahankan prinsip dan maruah diri.

PAS mengalami pasang surut dalam perjuangan, antaranya telah kehilangan pangkalan kuasanya ini pada tahun 1978. Para leluhur PAS Kelantan telah membina kembali kekuatan di negeri ini sehingga berjaya merengkuh kembali Kelantan pada tahun 1990. Fasa kedua pemerintahan PAS di Kelantan telah menyaksikan PAS sebagai gerakan Islam lebih berenergi  dalam menterjemaahkan Islam sebagai cara hidup dengan tema kerajaan ini "Membangun Bersam Islam".

Kelantan dalam tempoh 27 tahun mengalami kepungan "Ahzab Moden" yang sangat rakus, dikucilkan daripada arus pembangunan nasional, ditekan dengan sistematik dan mengalami perlecehan yang jelek oleh musuh-musuh Islam. Serambi Mekah ini terus memicu perubahan dan memancing pesona masyarakat dan rakyat negara ini, Kelantan menjadi guru perubahan dan juga universiti terbuka.

Tak mampu untuk tulisan ringkas ini untuk meninta semua pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kelantan selama 27 tahun ini, dengan titisan keringat dan airmata para leluhur daripada PAS. Sebahagian mereka telah meninggalkan alam yang fana ini, namun keberhasilan ini cuba diruntuhkan oleh kelompok pecundang yang semakin nanar. Kelompok kecil yang ditaja oleh musuh Islam, dengan ketamakan mereka pada mandraguna kuasa seolah tiada kamus dosa dan pahala.

Ijtimak Antarabangsa peringkat Asia ini dengan sengaja memilih Kelantan sebagai tuan rumah program sebagai usaha memugar semangat rakyat negeri ini untuk mempertahankan kerajaan Islam ini. Malah inilah satu-satunya negeri yang hampir tiga dekad diperintah oleh gerakan Islam.

Himpunan yang dihadiri oleh ribuan peserta serta pimpinan pelbagai gerakan Islam antarabangsa ini juga memerah idea dan solusi untuk membina kekuatan dan jaringan gerakan Islam. Melumat dan berbincang tentang nasib perih umat Islam di seluruh peta umat Islam, Palestin, Syria, Rohingya dan lain-lain.

Ijtimak yang bukan sekadar medan memintal ukhuwwah namun wahana mengasah kesedaran menyintai ummah. Sebahagian peserta Ijtimak juga akan mengadakan bantahan awam pada hari Jumaat, 21 Julai di Dataran Muhammadi bagi memprotes kebiadapan rejim zionis terhadap Masjidil Aqsa serta menyokong kebangkitan umat Islam Palestin.

Semoga ijtimak yang dikenali juga Ijtimak Kelantan ini menjadi pemicu kebangkitan gerakan Islam di seluruh Asia bagi mendepani ancaman ahzab moden dan seterusnya menjulang deenullah tercinta ini.

ij3

ij5

ij6

 (Foto daripada fb Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah)

GAGAL memahami hikmah pelaksanaan syariat Islam, lahirkan pandangan yang sangat dangkal terhadap hasrat Kelantan yang mahu praktiskan sebatan syariah secara terbuka.

Mereka nilai dengan akal yang terpisah dari wahyu dan sunnah. Diselubungi kabut kejahilan yang sangat tebal lantas perkecilkan syariat Islam. Mereka selesa lihat mungkar dan maksiat terbuka berbanding sebatan syariah secara terbuka.

Mereka bimbang pelancong dan pelabur lari lintang pukang meninggalkan Kelantan. Aneh cara fikir mereka. Songsang kedudukan akal mereka. Sebatan syariah secara terbuka ke atas pelaku jenayah syariah yang sabit salah adalah suatu yang wajar dalam peruntukan undang-undang Islam untuk mendidik masyarakat agar jauhi jenayah.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

UMAT Islam mestil memahami tuntutan menutup aurat yang diperintahkan oleh Allah SWT sejak dari kecil. Didikan awal seharusnya ditegaskan kepada semua supaya kefahaman mengenai kewajipan orang Islam difahami sebaiknya.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: Katakanlah kepada orang laki–laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allâh maha mengatahui apa yang mereka perbuat.” Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera–putera mereka, atau putera–putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allâh, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Banyak lagi dalil al-Quran dan hadis mengenai kewajipan menutup aurat. Namun hari ini, perintah tersebut secara jelas dipermainkan oleh golongan ingkar. Kenyataan terbaru melalui bekas Ketua Pegawai Operasi Malay Mail, Endie Shazlie Akbar menggesa agar lebih ramai wanita memberanikan diri untuk menanggalkan hijab jelas melampaui batas seorang muslim.

Melalui akaun twitternya, beliau berkata “Trying to make this world a better place by urging girls to take off their tudung and #MakeFreeHairGreatAgain!" (mencuba menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik dengan menggesa wanita untuk menanggalkan tudung mereka dan menjadikan rambut yang bebas tanpa hijab kembali hebat).

Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia melihat isu ini satu kebiadaban apatah lagi ia muncul daripada seorang muslim. Di sini kami melihat betapa hari ini agama Islam dipermainkan sewenang-wenangnya.

Justeru, kami menegaskan supaya beliau menarik balik kenyataan biadab tersebut dan kembalilah ke jalan yang benar. Pihak berwajib juga seharusnya mengambil tindakan sewajarnya demi menjaga hak agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Akhir kalam, kami berharap penerangan demi penerangan daripada semua pihak disebarluaskan bagi menangani isu ini berulang lagi. Tiada apa yang lebih baik dari seorang muslim itu selain menyampaikan kebenaran walaupun dengan sepotong ayat. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang taat dan beramal dengan perintah Allah SWT.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Julai 2017 / 19 Syawal 1438 - HARAKAHDAILY 13/7/2017

KENYATAAN BALAS MEDIA “JIKA GAGAL SILA LETAK JAWATAN” OLEH YBHG. DATUK SARONI JUDI, TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN MELALUI SINAR HARIAN PADA 5 JULAI 2017
 
1. Kerajaan Negeri telah pada bulan Februari tahun ini membuat keputusan untuk menurunkan peruntukan sejumlah RM7 juta bagi membaikpulih 24 unit lif di Pangsapuri Seri Perantau melalui Skim SMART LIFE (Smart Lift Improvement For Quality Life). Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan sebanyak 2 kali kepada JMB Pangsapuri Seri Perantau untuk membaikpulih lif melalui Skim CERIA.  Walau bagaimanapun, ianya ditolak kerana JMB Pangsapuri Seri Perantau terbabit tidak dapat memberi komitmen bayaran pendahuluan 5%.
 
2. Berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], Pangsapuri Seri Perantau sewajarnya menubuhkan Badan Pengurusan Bersama. Oleh itu, bagi membantu mengatasi kelemahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau, Kerajaan Negeri melalui Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor serta Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor telah melantik ejen pengurusan yang berpengalaman untuk memperkemaskan pengurusan sedia ada supaya peralihan pengurusan kepada JMB menjadi lebih teratur dan lancar.    Ejen pengurusan yang dilantik telah membantu Kerajaan Negeri untuk memberi fakta tepat tentang permasalahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau.    Berdasarkan fakta tersebut, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang bersama ejen pengurusan telah mengadakan pelbagai program untuk  memberi pendidikan dan kefahaman kepada penduduk tentang tanggungjawab membayar caj, keupayaan pengurusan berdasarkan hasil kutipan caj sedia ada, penjagaan harta bersama serta peranan dan kelebihan penubuhan JMB.   

3.         Langkah pemberian pendidikan  ini walaupun tidak popular dan “tidak nampak” tetapi sangat penting kerana Kerajaan Negeri menekankan keperluan pembangunan komuniti yang bistari untuk jangka masa panjang.   Ini kerana, Kerajaan Negeri telah melahirkan beberapa JMB pangsapuri kos rendah yang berjaya  malah pengurusannya lebih baik dari pangsapuri kos sederhana dan kos tinggi.    Punca utama kegagalan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau kerana Kerajaan terdahulu hanya fokus kepada pemindahan setinggan dan dimomokkan dengan budaya subsidi atau semuanya ditangung percuma  sehingga unsur-unsur pendidikan kepada budaya kehidupan berstrata dan pembentukan komuniti bistari diabaikan.
 
4.         Kerajaan Negeri juga secara serius telah menyelesaikan isu pemilikan tanah di Pangsapuri Seri Perantau bagi membolehkan proses pengeluaran hakmilik strata boleh dilaksanakan kepada pemilik.  Malahan, bagi tidak mengulangi kesilapan terdahulu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan PKNS mengeluarkan hak milik strata berdasarkan 2 lot bagi mengelakkan Pangsapuri Perantau mengalami masalah pengurusan akibat daripada jumlah unit rumah yang tidak ideal bagi satu lot hakmilik tanah.
 
5.         Kerajaan Negeri berasa dukacita kerana sebelum ini tiada tindakan penguatkuasaan dari Kerajaan Persekutuan sehingga Kerajaan Negeri terpaksa berfikir di luar kotak untuk merangka pelbagai program bagi mengatasi kelemahan sedia ada. Namun, semasa Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya tanpa putus asa untuk membantu penduduk Pangsapuri Seri Perantau,adalah tidak adil Kerajaan Negeri dituduh gagal dan lepas tangan.​

PAS tidak pernah setuju dengan penyelewengan, salah laku, rasuah, penggubahan wang haram, riba, pembaziran, penipuan dan sebagainya dalam orientasi ekonomi negara termasuklah isu berkait dengan 1MDB. Justeru ia suatu yang bertentangan dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Justeru itu, sejak awal PAS tegaskan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasatkan dakwaan salah laku 1MDB secara menyeluruh, tidak berpihak dan telus.

Kerajaan tidak boleh lengah dalam hal ini. Ambil tindakan segera untuk menyelesaikan siasatan rapi. Lengah membawa padah. Rakyat hilang kepercayaan kepada wibawa kerajaan.

Tiada siapa yang boleh dilindungi, yang salah tetap salah maka ia mesti diseret ke muka pengadilan walau siapa mereka. Lantaran itu, siasata yang telus dan tindakan yang serius mesti dilakukan.

Negara mesti bersih dari dakwaan skandal kewangan terbesar ini. Berapa kali maruah negara dibiarkan tercalar? Skandal BMF, PERWAJA, PKFZ, KWSP, FOREX dan kini 1MDB. Kita tidak mahu negara ini ditanda sebagai Negara Korupsi.

Kerajaan mesti mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan waran bagi menahan siapa jua pihak yang enggan memberi kerjasama bagi membantu siasatan. Jangan jadi kerajaan yang 'lembam' dalam tindakan.

Pada masa yang sama, YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi telah kemukakan peringatan tegas agar tidak usahlah kita mengundang atau membuka jalan kepada pihak asing khasnya Amerika untuk campur tangan.

Soal mereka nak siasat apa yang berlaku berkait dengan hal ehwal negara mereka, biarkan mereka. Tidak perlu dari pihak negara kita ada pihak yang terhegeh-hegeh membuka jalan masuk kepada Amerika kerana Amerika juga bukan pihak yang boleh dipercayai dengan lagak mereka sebagai Polis Dunia itu.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

PORTAL nyamuk cuba lagakan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi dengan Timbalannya Dato Tuan Ibrahim Tuan Man. Mereka dakwa Timbalan Presiden lantik semula pihak yang telah dipecat oleh Presiden parti. Mereka habis daya mahu kucar PAS setelah menyedari kedudukan mereka kian retak menanti runtuh.

Insyaallah, saf kepimpinan PAS semakin utuh dan siap mendepani pilihanraya umum akan datang. Ianya tidak tergugat dengan propaganda murah pihak yang simpan hasad DENDAM pada PAS. Makin teruk PAS diserang, makin ERAT kami bersatu.

Dato Mustafa Ali dilantik sebagai Pengerusi Badan Penasihat parti oleh YB Dato Seri Presiden parti dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat, demikian juga anggota yang lain. Kemudiannya dimuktamadkan oleh Mesyuarat Bulanan PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Dato Timbalan Presiden ekoran keuzuran Presiden.

Mereka amal politik Pak Pandir Moden. Kalau parti aku sudah retak, parti kamu tidak boleh dibiar kuat.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

SAYA difahamkan bahawa telah ada dalam pengetahuan awam dan belum dinafikan oleh individu-individu terbabit bahawa merekalah yang pergi ronda buat aduan di Paris, Switzerland dan US supaya pihak luar ambil tindakan terhadap isu 1MDB.

Soalnya, apa motif mereka buat aduan di US mengenai isu 1MDB? Kenapa singkat akal mereka, lapor hal negara kita kepada Amerika yang berlagak polis dunia itu? Kita tahu ada pihak yang sengaja jemput US campur tangan isu dalam negara kita.

Ini maksud Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengenai isu campur tangan asing. Apapun salah laku dalam negara, kita selesaikan perhitungannya dalam negara kita. Rakyat boleh guna kuasa undi dalam pilihan raya untuk tukar kerajaan.

Jangan undang BERUANG untuk tampar nyamuk di muka KANCIL.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

APABILA kapten kapal terbang sebuah syarikat penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur meminta penumpang membaca doa agar kapal terbang yang mengalami masalah teknikal baru-baru ini selamat, saya teringat satu peristiwa 34 tahun yang lampau.

Ketika itu saya di Tingkatan 4, Sekolah Alam Shah, Ceras, Kuala Lumpur. Guru Matematik Moden seorang Tionghua tanpa agama. Ketika hampir selesai pengajaran Matematik Moden itu, dia menyebut kepada kelas yang kesemua pelajarnya ialah pelajar lelaki: 'I'm free. I've no rules to follow.'

Seorang kawan bernama Zainal Arifin (almarhum) menyampuk: 'Kalau cikgu naik kapal terbang, tiba-tiba kapal terbang nak jatuh, cikgu nak minta tolong siapa?'

Loceng berbunyi menandakan pertukaran subjek lain pula. Cikgu kecil molek yang tidak berkahwin itu diam, tidak respon apa-apa dan terus keluar.

Kenyataan seorang guru aties yang secara halusnya mengajak manusia engkar kepada Allah dan peraturan-Nya disanggah dengan soalan spontan daripada mulut pelajar yang menggunakan logik akal mudah.

Manusia secara fitrah dan semulajadi percaya kepada satu superpower yang berbeza dengan dirinya dan makhluk lain. Ketika senang, ia mungkin tidak ketara. Tetapi ketika susah, ia akan berdoa kepada-Nya memohon pertolongan membebaskannya dari dukalara.

Perkara ini dikuatkan oleh ayat al-Quran yang menyebut tentang manusia yang berada di laut di saat gelombang kuat, dia akan berdoa kepada Allah agar diselamatkan, tetapi bila tenang berada di darat, dia mula lupa.

Si fulan komen isu di atas dengan berkata: Ia masalah teknikal sahaja, tiada kaitan dengan tuhan.   

Nama si fulan sangat baik dari segi maknanya. Zaid nama popular dalam buku tatabahasa Arab. Ia digunakan untuk menunjukkan kata nama Zaid itu sebagai isim marfu', mansub atau majrur. Ops, maaf, ramai yang tak faham. Nama Ibrahim pula sempena nama nabi yang membanteras syirik dan bentuk kepercayaan yang salah di zamannya. Sepatutnya orang bernama seperti ini mempunyai sifat macam Nabi Ibrahim yang membanteras kesesatan, tidak sebaliknya.

Kerosakan teknikal kapal terbang boleh berlaku kepada semua jenis kapal terbang, tambang murah atau tambang mahal. Langkah keselamatan tentu telah diambil. Namun apabila berlaku perkara yang penuh risiko, adakah salah kapten kapal yang punya pengalaman dan prinsip meminta penumpang berdoa agar semua selamat?

Kalau yang komen itu seorang aties, ia memang tidak percaya kepada tuhan dan mungkin tidak berdoa. Namun, dia tidak dapat melawan fitrah semulajadi dirinya sendiri bahawa di sana ada kuasa yang mengatasi segalanya.

Kalau yang bernama Zaid itu muslim, dia tentu percaya kepada agamanya termasuk ayat al-Quran dan isinya.

Lama dulu, dialah yang memfailkan kes di mahkamah menentang hudud di negerinya sendiri.

Kini, dalam kes kapal terbang pun, dia menunjukkan seolah-olah kuasa tuhan tidak tertakluk kepada perkara itu.

Takdirnya nanti (moga dijauhkan Allah), partinya mendapat kuasa, tentu syariat dan hukum agama terpinggir kerana tuhan tiada peranan di situ.

Kembalilah kepada fitrah. Kembali lah kepada agama Allah. – HARAKAHDAILY 28/6/2017

(Penulis adalah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu)

SUNNAH perjuangan Islam ini getir dan sukar. Tiada jalan mudah dan singkat untuk menang. Memerlukan nusrah daripada Allah swt, jiwa yang tabah, fizikal yang kuat dan sikap yang optimis terhadap masa depan Islam yang diperjuangkan.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Berapa ramai Dari para nabi terdahulu telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-yang taat kepada Allah swt, mereka tidak rasa  lemah hina terhadap musibah yang menimpa mereka pada jalan Allah dan mereka tidak rasa lemah semangat dan tidak pula tunduk (kepada musuh). Dan Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

Surah Aali Imran : 146

“Masa depan Islam sangat cerah dengan pertolongan Allah SWT dan kemenangan yang hampir. Teruskan langkah perjuangan dengan mematuhi akhlak dan disiplin berjamaah. Usah ragu dengan hala tuju perjuangan ini dan jangan risau dengan ancaman lawan.”

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.”

Surah As Saff : 13

Dewan Ulamak PAS Malaysia dengan Muktamarnya yang ke-56 telah mengangkat tema Membina Negara Sejahtera, kini meletakkan sayap penting PAS itu membuka langkah tampan bergaya untuk :

i - menggerakkan kebangkitan ummah
ii - memimpin perubahan
iii - mengisi kemenangan
iv - mengembangkan empayar Islam

Bermula dengan aqidah yang menjadi tapak kukuh membina negara sejahtera, Dewan Ulamak PAS Malaysia mula membina kelestarian daya fikir ummah agar mengangkat agenda penyelesaian berdasarkan prinsip dan kaedah Islam serta membangunkan negara berpaksikan Syariat Islam.

Seiring dengan langkahan mantap yang dilakukan oleh Dewan Ulamak PAS Malaysia, sayugia seluruh anggotanya mestilah mempersiapkan diri guna mendepani cabaran ini.

Bukan lagi fitnah dan tohmahan key board warrior yang menjadi cabaran besar kepada Dewan Ulamak PAS Malaysia. Bukan juga ancaman musuh politik yang menjadi cabaran hebat Dewan Ulamak PAS Malaysia. Malah bukan juga pengkhianatan para munafikin yang menjadi cabaran berat kepada Dewan Ulamak PAS Malaysia.

Tetapi, cabaran sebenar bagi Dewan Ulamak PAS Malaysia ialah:

i - proses pengupayaan diri agar para alim ulamak kita mampu memimpin negara dengan memiliki watak dan sifat kepimpinan yang berwibawa. Ianya merangkumi :

- ilmu kepimpinan
- pengalaman mengurus
- spiritual yang jitu
- disiplin berjamaah
- peribadi yang thiqah
- komunikasi yang memikat
- jaringan enggagement yang lebar
- peka isu semasa

ii - jatuh maruah dan terjerumus dalam persoalan tengik bengik dan pertikaian yang tidak berkesudahan di mukabuku. Kita pemimpin bukan cybertrooper. Kita pendidik bukan pengherdik. Kita pendakwah bukan pemecah belah.

Kepimpinan ulamak bukan hanya terhad dan melingkar di sempadan parti sendiri, tetapi juga menjadi pemimpin dan memimpin ummah yang tentunya mempunyai pelbagai latar depan belakang mereka, bahkan menjangkau sensitiviti dan keperluan non muslim.

Potensi ilmu yang dimiliki oleh para alim ulamak ini selayaknya meletakkan mereka sebagai sandaran rakyat dan rujukan semasa. Justeru itu ulamak mesti "ada" bila sahaja diperlukan oleh masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017