Sidebar

23
Sat, Sep

Hubungan amal dan rahmat Allah

Pimpinan
Typography

SETIAP muslim beriman bahawa yang akan menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan rahmat-Nya.

Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.

Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.

Kita berusaha dengan amal soleh di dunia. Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.

Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu kalut dengan amal soleh di dunia ini?

Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh yakin dan tawakkal kepada-Nya.

Sekarang mari kita bertumpu kepada dua persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana untuk mendapat rahmat Allah?

Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.

Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.

Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan, bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.

Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.

Jawabannya adalah dengan amal soleh dan harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.

Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.

Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.

Penyelamat amal soleh adalah akidah yang benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.

Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.

Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.

Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.

Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana ajarannya yang sampai kepada kita. Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.

Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.

Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya. Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.

Justeru setiap muslim mestilah menyucikan jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas kepada-Nya.

Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.

Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama. Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan lagi. - HARAKAHDAILY 17/8/2017