Sidebar

23
Sat, Sep

RCI Memali: Kebenaran pasti tersuluh, kebatilan akan hilang

Pimpinan
Typography

ISU Peristiwa Memali kembali menjadi polemik yang menghangatkan iklim politik negara sejak akhir-akhir ini. Tragedi yang berlaku lebih 30 tahun dahulu telah menjadi memori hitam dalam negara ini, menjadi episod luka buat umat Islam di negara ini. Tragedi menggemparkan itu telah mengorbankan As Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang pengikut beliau.

Bagi PAS, tragedi hitam itu menjadi titik penting bahawa perjuangan PAS bertunjangkan Islam tidak pernah sunyi dari dugaan dan cabaran getir sepanjang sejarah perjuangannya. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya telah membayar harga perjuangan ini dengan kesyahidan beliau. Beliau menjadi mangsa kerakusan manusia yang tamak dan gila dalam mempertahankan kuasa.

Ketika isu Memali diangkat semula ke tengah masyarakat, sesetengah pihak menganggap ia isu politik yang sengaja dibesar-besarkan menjelang musim Pilihan raya Umum ke-14. Cadangan PAS untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali dianggap sebagai mempolitikkan keadaan. Ramai menganggap PAS mahu melunas dendam lama yang terpendam.  Ada pula yang menganggap ia memberi kredit kepada Umno-BN. Pihak pembangkang menganggap isu ini sekadar untuk menjatuhkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

PAS sejak dahulu tetap istiqamah dalam isu Memali. Sejak awal kejadian itu, PAS tidak pernah menarik balik perjuangan mendapatkan keadilan untuk mangsa tragedi ini. Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu Memali bukan hari ini dilontarkan, tetapi telah dicadangkan oleh Presiden PAS ketika itu, Tuan Haji Yusof Rawa pada 22 November 1985. PAS Pusat juga telah membuat keputusan rasmi dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Disember 1985.

Kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya seramai 13 orang diakui oleh kesemua pemimpin tertinggi PAS termasuk Tuan Guru Haji Yusof Rawa, Datuk Fadzil Mohd Nor, dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan para pemimpin PAN (Parti Amanah Negara) juga dahulunya lantang memperjuangkan isu Memali. Mengapa pula apabila PAS membangkitkan perkara ini sekarang, mereka pula menganggap PAS yang mempolemikkan keadaan? Siapa yang tidak konsisten dalam kenyataan, prinsip dan tindakan? Apakah para pemimpin PAN sudah berubah sikap dan tidak mengakui kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya pula?

Isu Memali adalah tragedi kemanusiaan yang melibatkan darah dan nyawa. Lebih 30 tahun mangsa termasuk keluarga mereka memendam rasa dan menanggung penderitaan berat. Mereka juga telah dinafikan keadilan serta hak sewajarnya. Lebih malang lagi, sejak kejadian itu, mereka dituduh dengan pelbagai tuduhan liar dan dianggap sebagai penderhaka.

Penubuhan RCI menjawab persoalan mengapa isu ini terjadi, bagaimana ia berlaku dan siapa yang mengarahkan pembunuhan ini. Ketika ramai anggota polis yang terlibat menyatakan kekesalan serta dipaksa untuk bertindak, ia menimbulkan persoalan lebih besar, siapa yang mengarahkan mereka dan mengapa mereka sampai dibunuh.

Menuduh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan ‘Amanat Haji Hadi’ sebagai punca tercetusnya isu Memali adalah suatu usaha jahat pihak tertentu. Mereka seakan mahu memandang rendah tahap keilmuan As Syahid Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya.  Hakikatnya, As-Syahid bukan orang jahil untuk bergantung taklid kepada "Amanat". Dia mengaji Islam sejak dari kecil dan telah merantau menuntut ilmu dalam dan luar negara. Jika benar mereka menuduh  amanat itu sebagai punca, pastilah isu Memali berlaku di Terengganu, bukan di Kedah.

Namun begitu, Presiden PAS berbesar hati untuk disiasat oleh RCI yang bakal dibentuk nanti. Jika Presiden PAS yang dituduh juga sanggup tampil membantu siasatan, mengapa pula pihak tertentu menikus dengan cuba mengalihkan isu? Sepatutnya biarlah jawatankuasa siasatan menjalankan tugasnya dengan kesemua pihak dapat dipanggil memberi keterangan supaya kebenaran dapat disingkap sejelasnya.

Penubuhan RCI isu Memali tidak memberi kredit kepada mana-mana pihak kerana yang paling utama, keadilan telah tertegak. Lagipun, rakyat akan menilai siapakah dalang sebenar kejadian tersebut. Ia juga menjadi penanda aras bahawa pihak manakah yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan golongan manakah yang melakukan kezaliman atau hanya mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat