ISLAM adalah satu cara atau sistem hidup manusia. Islam akan memastikan manusia sentiasa hidup bahagia dan berjaya walaupun mereka terpaksa melalui perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran dan ujian.

Ertinya, Islam telah dirangka dengan sempurna dan menepati tuntutan kehidupan manusia di muka bumi. Tidaklah pelik kehebatan Islam ini kerana pembinanya adalah Allah sendiri. Dia-lah tuhan langit dan bumi dan Dia jugalah tuhan manusia dan kehidupan ini. Dia mengatur semuanya sekali. Dia maha mengetahui dan maha berkuasa ke atas segala-galanya. Maka Islam yang diturunkannya khas untuk manusia hakikatnya mengandungi segala ramuan yang sejati dan tuntas untuk menyelesaikan segala isu kehidupan.

Allah membuktikannya melalui kehidupan Rasul-Nya nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di bumi Mekah dan Madinah. Di Mekah baginda terpaksa hidup dalam susah dan sukar. Di Madinah pula baginda hidup lebih selesa dan berkuasa mentadbir negara. Samada di Mekah atau Madinah, dalam susah atau senang, baginda membina kehidupan para sahabatnya dengan cemerlang. Kesemua mereka mengecapi hidup dalam acuan Islam yang penuh dengan asbab kebahagiaan hidup.

Justeru mudah difahami bahawa Islam tidak memerlukan kemenangan terlebih dahulu untuk memastikan matlamat kebahagiaan tercapai. Ia tidak memerlukan kekayaan atau kekuasaan terlebih dahulu untuk mencipta kebahagiaan hidup. Bahkan Islam mampu mecipta kemiskinan dan kesusahan yang berisi kebahagiaan kepada pemiliknya tanpa perlu menanti hari senang dan kaya.

Tetapi apabila dikurniakan kekuasaan, kekayaan dan kesenangan, maka kebahagiaan hidup itu berjaya disebar-luaskan kepada kehidupan orang lain sehingga turut mampu dikongsi bersama orang bukan Islam juga. Justeru Islam menuntut dan memburu kekuasaan, kekayaan dan kesenangan. Kenapa? Ya, kerana Islam didatangkan adalah dengan misi membahagiakan kehidupan manusia seluruhnya. Ia 'rahmatan lil alamin' atau rahmat untuk sekelian alam.

Justeru Islam adalah ugama dakwah dan jihad. Ia berdakwah mengajak manusia kepada kebahagiaan sebenar kehidupan. Ia kemudiannya berjihad dan bersungguh-sungguh menghadapi rintangan dan halangan musuh demi memperolehi kekuasaan dan kekayaan yang dengannya Islam menjadi semakin cergas melebar-luaskan kebahagiaan hidup ke seluruh sendi dan pelosok kehidupan manusia.

Itulah hubungan antara Islam dan kekuasaan. Islam bukan bergantung kepada kekuasaan untuk hidup dan berfungsi. Islam sedia berfungsi tanpa perlu ada kekuasaan, kekayaan dan kesenangan terlebih dahulu. Islam itu sendiri zatnya adalah bahagia. Pemiliknya adalah pemilik kebahagiaan tanpa perlukan apa-apa lagi.

Tetapi oleh kerana matlamat Islam itu adalah tawaran untuk semua dan memang disediakan untuk dikecapi oleh semua, maka Islam menuntut pemilik atau penganutnya sentiasa menuntut dan memburu jalan-jalan menuju matlamat itu. Maka dakwah dan jihad ke arah kekuasaan, kekayaan dan kesenangan dilancarkan oleh umat Islam sepanjang masa.

Itulah keadaan PAS hari ini. Ia adalah sebuah parti Islam yang secara benar dan konsisten membawa mesej Islam. Ia terpampang jelas di dalam perlembagaannya, struktur binaannya, kegiatannya, dakwahnya dan cita-citanya. Maka anda sedang menyaksikan kejayaan-kejayaan yang telah dan sedang dicapai oleh PAS yang hakikatnya adalah cerminan kepada janji-janji yang ditawarkan oleh Islam kepada sesiapa sahaja yang mengambil Islam sebagai cara atau sistem kehidupan. Ia akan memberikan keputusan dan natijah yang sama iaitu kebahagiaan dan kejayaan hidup.

PAS sedang cergas membina negara. Sejak bila? Ya, sejak ia mula ditubuhkan 66 tahun yang lepas. Umurnya seusia umur UMNO tetapi PAS kekal muda dan cergas membina negara pada ketika saingannya, UMNO telah pun secara nyata menunjukkan tanda-tanda keletihan dan ketuaannya menuju hari hujung.

Bagaimana PAS membina negara? Ia adalah dengan memenuhi segala tuntutan sebuah kenegaraan. Walaupun PAS belum memperolehi kekuasaan sebenar (kecuali
beberapa negeri), sumbangan PAS kepada negara amatlah besar. Wujudnya PAS sebagai pemain penting dalam arena politik negara telah menjamin keselamatan negara daripada berhadapan kerosakan lebih teruk yang dilakukan oleh pihak pemerintah yang sering alpa daripada amanah dan tanggung jawab pemerintahan.

Mari lihat beberapa peranan utama yang dimainkan oleh PAS. Pertama adalah kesetiaan oleh warganegara terhadap negaranya. Ia adalah satu ajaran Islam yang jelas. Islam memerlukan tapak atau tanah air untuk kedaulatannya dan membolehkannya berkembang maju. Malaysia adalah negara dengan majoriti umat Islam. Sejarahnya beratus tahun adalah sejarah kegemilangan orang-orang Melayu membangun dengan Islam.

Justeru PAS sedari awal menanamkan semangat patriotisme yang benar untuk rakyat Malaysia. Semangat membara ahli PAS bagi memastikan negara berjaya dan berkembang maju dengan Islam adalah amat ketara. Lihatlah bagaimana sedari awal PAS konsisten menentang anasir-anasir dari dalam atau luar negara yang cuba merosakkan negara.

Kedua, PAS menjunjung dan mempertahankan Islam sebagai ugama negara. Islam mestilah menjadi akidah dan nyawa negara. Sejak awal kemerdekaan, PAS mengingatkan bahawa memahami Islam sebagaimana kefahaman barat terhadap ugama mereka adalah salah. Ia akan meneguhkan fahaman sekularisme yang menolak ugama sebagai agen utama pembinaan negara. Islam adalah din dan daulah. Ia teguh dengan negara yang menjaganya.

Walaupun PAS terpaksa berhadapan tentangan yang sengit daripada pemimpin dan umat Islam yang masih jahil dengan ugama sendiri, apatah lagi memahami tipu daya musuh untuk merosakkan umat Islam, tetapi dengan semangat, keikhlasan dan istiqamah, PAS kini boleh menikmati hasilnya apabila menyaksikan kebangkitan Islam dan rakyat Malaysia sendiri mula menyedari hakikat perlunya negara kembali kepada Islam yang sebenar dan syumul untuk pembinaan sebuah negara Malaysia yang cemerlang.

Ketiga, kesatuan umat Islam di atas Islam. Ia amat hakiki di dalam kemajuan negara hari ini. Umat Islam yang mengambil selain daripada Islam sebagai cara hidup pasti akan hina dan merana. Itu amaran daripada Allah. Ia juga terpampang di muka dunia hari ini di mana umat Islam hidup dalam kelemahan dan kehinaan akibat meninggalkan ugama sendiri dan sanggup berkiblatkan musuh untuk memajukan diri. Pemimpin Islam hanya hidup berbangga dengan kekuasaan dan kemewahan yang mereka miliki, bukannya negara mereka.

Kebangkitan umat Islam mestilah dengan meraikan sunnatuLlah atau ketetapan Allah ke atas kehidupan. Ia tidak akan berlaku dengan melanggar sunnahNya itu. Walau dengan semangat dan kesedaran yang membara, umat Islam akan tetap gagal bangkit jika syarat-syarat kemenangan diketepikan.

PAS berusaha keras menepati jalan-jalan menuju kemenangan. Salah satu yang paling utama ialah kesatuan umatnya dengan mengetepikan perbezaan-berbezaan yang wujud. Walau bagaimanapun ia tetap tidak boleh mencair demi kesatuan sehingga mengorbankan prinsip-prinsip Islam yang mesti ditegakkan.

Di sinilah PAS begitu menunjukkan teladannya sebagai sebuah parti dan gerakan Islam yang berusaha memupuk sifat persaudaraan Islam selain mendekatkan antara kumpulan-kumpulan Islam yang berselisih. Ia amat sukar kerana wujud keegoan dan kepentingan kumpulan masing-masing yang menyukarkan tindakan kompromi, saling menerima dan memaafkan.

Senario hari ini mungkin mampu menjadi bukti bagaimana PAS berjaya menyatukan ratusan NGO muslim dan mendekatkan sesama tokoh-tokoh masyarakat untuk bersama bangkit di atas nama Islam. Kongres Rakyat ditubuhkan dengan sokongan besar pertubuhan-pertubuhan Islam terhadap usaha PAS. PAS juga berjaya membentuk budaya politik baru yang lebih sejahtera demi memastikan perbezaan kefahaman politik tidaklah harus menjadi faktor yang memecah belahkan umat Islam walau sesengit mana pun.

Tiga perkara utama di atas adalah contoh bagaimana PAS memainkan peranannya yang penting bagi memastikan pembinaan negara Malaysia yang berjaya. Ia dalam keadaan PAS belum pun lagi memperolehi kemenangan yang membolehkannya memegang tampuk kekuasaan negara.

Anda boleh saja melihat kejayaan PAS memandu Kelantan selama hampir 30 tahun. Ia negeri yang tidak kaya harta, tetapi kaya keharmonian dengan agama dan akhlak sebagai pakaian utamanya. Ia hampir menjadi negeri bebas rasuah dan salah guna kuasa yang semakin menghakis kekuatan negara kita. Ia juga adalah sebuah negeri yang sentiasa menerapkan nilai-nilai dan hukum hakam ugama dalam kehidupan rakyatnya.

Kelantan adalah model kecil binaan PAS hasil daripada sedikit kekuasaan yang diperolehinya melalui mandat rakyat. Selepas mengambil alih kekuasaan daripada UMNO, PAS menukar negeri Kelantan daripada negeri yang panas pertembungan politiknya kepada sebuah negeri yang adil dan sejahtera.

Inilah PAS hari ini yang semakin cergas membina negara. Ia tidak perlu menunggu sehingga memperolehi kekuasaan terlebih dahulu. Tidak. Ia bahkan sentiasa cergas membina negara dalam kekalahannya yang mendahului kejayaannya yang pasti hadir pada masanya yang semakin dekat. – HARAKAHDAILY 3/10/2017

RASULULLAH S.A.W ada bersabda:

المهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ

Yang bermaksud: “Orang-orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah daripada melakukannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap kali kedatangan tahun baru Islam, umat Islam seluruh dunia akan memperingati peristiwa agung Hijrah Al-Rasul S.A.W sebagai suatu sejarah yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan mereka. Pengambilan peristiwa hijrah sebagai peristiwa penting setiap kali memasuki awal tahun baru Islam adalah sebagai gesaan untuk umat Islam membina tekad baru dan persiapan yang lebih rapi dalam mempertahankan keizzahan Islam.

Sesungguhnya peristiwa hijrah mempunyai pelbagai pengajaran, tindakan dan contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasullulah S.A.W. dan para sahabat Baginda. Rasulullah S.A.W dan para Sahabat telah berjihad dan berkorban nyawa sehingga mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang paling mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita pula untuk memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang mekar dan perundangannya berjaya ditegakkan.

Semoga tahun baru 1439 Hijriyah ini lebih memberi makna kepada seluruh umat Islam dengan siri-siri kemenangan yang berpihak kepada penegak kebenaran di seluruh pelusuk dunia Islam. Kesepakatan umat Islam terutamanya pemimpin dunia Islam dalam menangani kemelut yang melanda saudara-saudara seaqidah seumpama di Rohingya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

DUPP menyeru seluruh umat islam membina tekad dan semangat baru untuk mengukuhkan jalinan ukhuwwah serta mengelakkan pertelagahan yang merugikan umat islam itu sendiri. Budaya Politik Matang dan Sejahtera sangat perlu dihayati oleh semua pihak bagi membina ummah dan negara menuju keredhaan Allah S.W.T.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”
“MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
30 Zulhijjah 1438 / 21 September 2017 - HARAKAHDAILY 21/9/2017

"SESUNGGUHNYA orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Al Baqarah: 218)

Awal Muharram muncul lagi dan kita selalunya memperbaharui tekad. Bermula dengan semangat baru dan bersyukur terhadap illahi di atas kejayaan yang dapat diraih. Bermuhasabah terhadap pencapaian dan kelemahan gerak kerja yang lepas. Natijahnya dijadikan sebagai anjakan ke arah yang lebih baik dan juga sebagai ibrah agar kesilapan dan kesalahan lalu tidak diulang kembali. Yakin dan istiqamah memacu kemenangan.

salamDewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat. Tingkatkan amal kebajikan dengan menteladani Rasulullah SAW sebaik-baik contoh teladan. Lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu di dada, tambahkan kemahiran serta pengalaman untuk membina kerjaya yang lebih dinamik. Ubah gaya hidup yang jahiliyyah, tinggalkan perkara yang lagho dan teruskan memberi sumbangan sama ada berbentuk tenaga, masa, idea, kemahiran mahupun harta untuk kerja-kerja kebajikan di mana jua. Hindari diri dari sebarang kemungkaran yang akan membawa kepada kecelakaan dan kemurkaan Allah SWT.

Isilah masa 24 jam sehari anda dengan perkara yang memberi manfaat untuk diri dan ummah sejagat. Dunia kini semakin parah, semakin tenat dan tandus. Kemanusian sudah mula tergadai dimana generasi muda remaja semakin terjebak dengan pelbagai gejala yang menggemparkan, mengeri dan menakutkan. Perbatasan sempadan media baru yang terlalu terbuka mudah diakses mempengaruhi lagi aktiviti dan perkara yang diluar jangkaan. Kemungkaran sudah berada di hujung jari. “Barang siapa bertakwa kepada Allah maka Dia akan menjadikan jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak ia sangka, dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukuplah Allah baginya, Sesungguhnya Allah melaksanakan kehendak-Nya, Dia telah menjadikan untuk setiap sesuatu kadarnya” (Surah At-Thalaq: 2-3)

Ayuh! Bangkit bersama untuk melakar kejayaan dan kecemerlangan. Sejarah telah membuktikan umat Islam unggul di setiap dimensi ilmu. Lahirkan dan terus mengkader jiwa-jiwa anak bangsa 'ulul albab'. Didik mereka ke arah tamadun madani dari segala aspek ekonomi, syariah dan perundangan, teknologi, politik, kesihatan, pendidikan dan semua bidang agar jatidiri dan minda anak generasi muda sekarang dapat memimpin dan membina negara ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, makmur dan sentiasa mengikut acuan Islam insyaallah. “Dan Al-Qur`an itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” (Surah Al An’am: 155)

Selamat menyambut Awal Muharram yang ke 1439 Hijrah daripada kami Dewan Muslimat PAS Malaysia. Semoga Allah sentiasa sematkan kesabaran, ketenangan dan kejayaan buat kita semua. Salam perjuangan serta beristiqamah memacu kemenangan.

"Sejahtera Bersama Islam”
"Muslimat Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Zulhijjah 1438 / 21 September 2017 – HARAKAHDAILY 21/9/2017

SEMALAM Jumaat, 15 September 2017 bersamaan 24 Dzulhijjah 1438H adalah hari bersejarah! Buat pertama kalinya sejak 66 tahun penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat diadakan di Sabah dan ianya bertempat di Bilik Selingan, Hotel Sandakan, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Mesyuarat PAS Pusat Kali Ke-6 sesi 2017-2019 ini telah dipengerusikan oleh Dato' Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Dato' Seri Presiden, Tuan Guru Sheikh Haji Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir kerana perlu berehat dan atas faktor kesihatan dinasihatkan untuk tidak berjalan jauh.

Alhamdulillah, seperti bulan-bulan sebelumnya, keahlian PAS kian bertambah dan untuk bulan September 2017 ini Mesyuarat PAS Pusat telah meluluskan sebanyak 2,600 orang permohonan Ahli Baharu PAS. Ini menjadikan jumlah Ahli Baharu PAS sepanjang Januari - September 2017 ialah sebanyak 34,527 orang! Allahu Akbar, Wa lillahil hamd! Teruskan perjuangan liridhalLah.

Mesyuarat adalah tuntutan di dalam Islam dan di situlah berkatnya dalam keputusan berjamaah. Pelbagai perkara, agenda dan isu dibincangkan serta beberapa keputusan dan ketetapan telah disepakati. Semua keputusan, perbincangan dan perancangan yang dibuat ialah ke arah memenangkan Islam di tanahair tercinta dan untuk Ummah keseluruhannya.

Mesyuarat ini juga diadakan di sini sempena Sambutan Hari Malaysia PAS Pusat anjuran Lajnah Perpaduan Nasional yang dipengerusikan oleh Dr Najihatussalehah Ahmad dan PAS Sabah yang mana Pesuruhjayanya ialah Tuan Mohd Aminuddin Aling. Tahniah kepada penganjur di atas sambutan dan program yang sangat meriah! Program yang telah diadakan di Dewan Tadika Chi Hwa, Batu 1 1/2, Sandakan dihadiri oleh pelbagai kaum dan agama serta dari pelbagai peringkat umur tua dan muda.

Antara program yang telah diadakan termasuklah Konvoi Bermotosikal dan Berkereta mengelilingi Bandar Sandakan (tahniah kepada Alternative Riding Club (ARC) DACS dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang menjayakan aktiviti ini), Deklamasi Sajak Hari Malaysia, Gimik Pelancaran Logo Hari Malaysia & Montaj Aktiviti, Peragaan Pakaian Tradisi Mewakili Kaum Bajau, Sungai, Suluk, Brunei, Buton, Bugis dan lain-lain, Forum Santai Anak Muda "Semangat Cintakan Malaysia", Demo Masakan Tradisi Pelbagai Kaum termasuk Kadazan-Dusun, Tambanuo, Bajau, Sungai, Brunei, Bugis, Suluk dan Rungus, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Futsal Hari Malaysia.

PAS komited dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan serta kemerdekaan negara sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Ayuh marilah bersama kita membina Malaysia Sejahtera dengan Islam ke arah membentuk negara Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Sebagai muhasabah dan motivasi, marilah kita renungi tafsir Surah al-Hadid ayat 26-27 dan kaitannya tentang kepimpinan dan perjuangan gerakan Islam.

Allah Ta'ala berfirman tentang kisah kenabian yang penuh 'ibrah dan perbezaan kedudukan orang yang beriman dan orang yang fasik:

{وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا وَإِبْرَاهِيمَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ فَمِنْهُمْ مُهْتَدٍ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (26) ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الإنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (27)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya keNabian dan Al-Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik. Kemudian Kami iringkan di belakang mereka Rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka, tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik."

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah al-Anfaal, ayat 46).

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya! Islam pasti akan menang dan sungguh kemuliaan kita kerana Islam. Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! - HARAKAHDAILY 16/9/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) & Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

TRAGEDI kebakaran pada awal pagi khamis 14 september 2017 yang mengorbankan lebih 20 orang anak-anak yang sedang berjihad menghafaz Kalam Allah tentu sahaja meruntun hati setiap insan. Namun, perginya mereka ke rahmatullah sebagai syuhada akhirat akibat kebakaran sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud, yang diberikan kemuliaan oleh Allah menjadi pengubat hati kepada waris kaum keluarga yang terlibat.

Kita wajar mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas musibah ini. Kata-kata dan tindakan yang membenihkan kesabaran di hati mereka adalah sebahagian daripada skop takziah buat mereka sebagaimana pengajaran Islam.

Tidak perlu dikesali musibah yang telah berlaku dengan pelbagai andaian berunsur "kalau" kerana ia membuka pintu bisikan jahat Syaitan yang bertujuan menambahkan kesedihan. Nabi SAW bersabda:

ْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

"Dan sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah maka janganlah menyebut: ‘kalau saya sebelum ini lakukan demikian tentulah demikian demikian’, tetapi sebutlah: ‘Allah telah menentukan. Apa yang Dia mahu Dia lakukan’, kerana sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ itu membuka tindakan Syaitan." Hadis riwayat Muslim.

Pada masa yang sama hati dan perasaan kita juga bersama pengasas dan guru-guru pusat Tahfiz tersebut. Mereka telah berjihad dengan masa, tenaga dan harta mereka belasan tahun untuk menyediakan pusat ilmu untuk anak-anak Islam. Dalam tempoh itu mereka telah berjaya melahirkan puluhan para Huffaz yang menjadi kebanggaan masyarakat.

Kejayaan mereka ini sewajarnya dititipkan dengan pujian dan kata semangat. Namun, dalam kerangka kejayaan itu ada ujian yang mendatang. Mereka diuji dengan musibah yang meruntun dan merungsingkan hati dan perasaan mereka. Tentu sahaja ia boleh mematahkan semangat jihad pendidikan mereka. Maka di saat inilah mereka memerlukan motivasi yang berterusan memberikan sinar harapan. Malah, jika ada sebarang kelemahan yang menjadi sebab memungkinkan berlakunya musibah ia boleh dijadikan motivasi pengajaran untuk mendatang.

Bagi pihak berkuasa pula, musibah ini sewajarnya menjadi pemangkin untuk mereka terus melipat-gandakan usaha membantu pusat Tahfiz dan pusat-pusat pengajian Islam dengan dana pembangunan dan nasihat serta panduan keselamatan yang berterusan. Tidak wajar musibah ini diiringi dengan ugutan terhadap pengusaha-pengusaha institusi Tahfiz yang lain yang sedang berjihad di alam pendidikan dengan seribu macam kepayahan. Ia bukan premis untuk mengancam dan mengecam tetapi medan untuk saling membantu dan bekerjasama untuk kebaikan.

Inilah juga masanya bagi masyarakat awam memperkukuhkan dokongan terhadap institusi pendidikan agama seumpama Tahfiz ini. Sangkaan baik kita terhadap mereka ialah mereka berjihad di bidang pendidikan demi Allah dan Rasul dan demi mencari syurga di alam abadi. Membuat andaian dengan sangkaan buruk terhadap guru-guru dan pengurus pusat ilmu ini bukan akhlak umat beriman.

Membuat tuduhan melulu dengan andaian penyelewengan dana yang mungkin berlaku di kalangan guru-guru yang berjihad mengusahakan pusat ilmu ini adalah akhlak yang sangat jelek, apatah lagi jika datang dari mereka yang dianggap ilmuwan. Kemungkinan dan kebarangkalian baik dan jahat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada jawatan dan amanah apa sekalipun. Tragedi ini bukannya lesen untuk membenihkan persepsi negatif dan jahat meskipun secalit.

Marilah kita bersama menjadikan tragedi ini sebagai rahmah buat ummah di sebalik musibah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

"Dan pasti Kami menguji kamu dengan sesuatu berupa kebimbangan, kelaparan dan kekurangan sebahagian harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan: sesungguhnya kita milik Allah dan kita kepada-Nya pasti kembali."HARAKAHDAILY 16/9/2017

ALHAMDULILLAH, dengan limpah kurnia-Nya, dapat lagi kita melangkah bulan Zulhijjah yang di dalam disyariatkan rukun Islam kelima Haji dan Ibadah Korban. Di bulan penuh berkat ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru seluruh umat agar sama-sama memaknai sirah rasul mulia Ibrahim a.s serta ahli keluarganya yang sanggup berkorban apa sahaja demi mematuhi perintah Ilahi.

Allah s.w.t berfirman:
‎ومن يرغب عن ملة إبراهيم إلا من سفه نفسه؛ ولقد اصطفيناه في الدنيا وإنه في الآخرة لمن الصالحين (130) إذ قال له ربه أسلم قال أسلمت لرب العالمين (131) -سورة البقرة

Maksudnya: Dan tiadalah sesiapa yang bencikan agama Ibrahim melainkan dia menjadi orang yang membodohkan dirinya sendiri. Sesungguhnya kami memilih dia di dunia ini (menjadi rasul kesayangan Allah) dan sesungguhnya di akhirat nanti dia dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang soleh (yang tinggi martabatnya). Ingatlah apabila berkata kepadanya oleh Tuhannya: "Islamlah!" Ibrahim berkata: "Saya Islam kerana Tuhan Pencipta seluruh alam." (Surah Al-Baqarah: 130-131)

Dari ayat tersebut, dapatlah kita simpulkan bahawa Nabi Ibrahim a.s telah membuktikan Islamnya dengan menyerah diri secara ikhlas kepada Allah s.w.t serta tidak menyekutukan-Nya dengan segala yang lain. Nabi Ibrahim a.s berkorban meninggalkan tanah air, menunaikan perintah Ilahi meletakkan isteri dan anaknya di bumi tandus Mekah; malah sanggup menyembelih anaknya demi ketaatannya kepada Allah. Akhirnya anaknya digantikan dengan haiwan korban setelah terbukti ketaatan Ibrahim a.s yang tidak berbelah bahagi. Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah seperti inilah yang sewajarnya dalam diri umat Islam masa kini.

Di samping menzahirkan semangat berkorban demi agama, marilah kita sama-sama mengingati betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Titiplah apa jua sumbangan tanda solidariti kita kepada saudara-saudara kita di Palestin, Myanmar, Syria serta segala pelosok yang kini dibantai tanpa belas oleh penzalim-penzalim.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه (رواه البخاري)

Maksudnya: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri."

Cukuplah sabda junjungan mulia s.a.w ini sebagai peringatan kepada kita akan hubungan kesempurnaan iman serta kecintaan sesama kita.

Pada hari-hari yang mulia ini juga, DMPM menyeru seluruh umat Islam agar membanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w yang telah banyak berkorban dan berjihad demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rasul; menyampaikan Islam kepada kita semua.

Marilah kita menjadikan ucapan selawat dan salam ke atas baginda serta kepatuhan dan kesungguhan memenuhi perintah agama sebagai tanda kasih dan cinta kepada baginda. Merdekakanlah diri kita dari cinta dunia. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

"Sejahtera Bersama Islam"
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

PERUTUSAN Hari Raya Aidiladha 1438h: Iktibar Pengorbanan Keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Assalamualaikum w.b.t

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
 
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.

Pengorbanan adalah satu ucapan yang mudah diucapkan tetapi belum pasti dapat direalisasikan di dalam bentuk praktikal dan perlaksanaannya. Di dalam situasi cabaran yang pelbagai masakini sudah tentulah besar pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seseorang manusia untuk menjadi lebih baik dan maju. Hati, perasaan, harta, wang ringgit, masa dan segala yang dimiliki perlu dikorbankan demi menjamin masa depan yang cemerlang dan teratur. Namun begitu perlulah dipastikan semoga setiap yang perngorbanan yang perlu dilakukan itu benar-benar dapat mengembalikan diri kita ini kepada ketaatan, kecintaan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
 
Sesungguhnya kisah pengorbanan Keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba di dalam menjunjung titah perintah Penciptanya iaitu Allah SWT. Kisah pengorbanan mereka telah menjadi pengetahuan umum kepada seluruh umat Islam dan pada setiap tahun jutaan umat Islam yang menunaikan ritual ibadah haji sebagai bentuk keteladanan terhadap perjalanan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. beserta Baginda. Setiap rukun Haji melambangkan kejadian yang dilakukan oleh Nabi Ibrahi a.s., isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. seperti sa’i, melontar jamrah dan menyembelih haiwan qurban.

Terdapat beberapa pengajaran dan pelajaran yang boleh kita jadikan sebagai pengiktibaran daripada kisah Keluarga Nabi Ibrahim a.s. ini agar kita dapat memahami keberadaan kita di dalam dunia ini bukanlah sia-sia melainkan ada tanggungjawab yang perlu kita tunaikan yang antaranya:

1. Setiap orang yang Mukmin yang mengaku beriman pasti akan diuji oleh Allah SWT. Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling kuat menerima ujian daripada Allah SWT walaupun mereka tidak melakukan dosa berbanding kita selaku insan biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai dan alpa. Ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada hambanya adalah berbentuk musibah dan nikmat yang mana kedua-duanya adalah bergantung kepada kemampuan manusia tersebut menerimanya. Baik musibah mahupun nikmat, yang pastinya ujian daripada Allah SWT ini adalah merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat manusia sekiranya manusia tersebut akur, patuh serta kembali bertaqwa kepada Allah SWT;
2. Setiap orang Mukmin perlulah melaksanakan ibadah mereka secara ikhlas dengan tidak mengharapkan sebarang imbuhan melainkan keredhaan Allah SWT;
3. Kewajiban untuk mentaati arahan dan suruhan orang tua (ibu bapa) sekalipun mereka tidak beriman kepada Allah SWT dengan menuruti nasihat dan perintah mereka sealama ianya membawa kebaikan dan tidak melanggar larangan Allah SWT;
4. Mendahulukan perintah Allah SWT kerana rasa cinta dan kasih kepadaNya mengatasi kecintaan terhadap dunia dan keluarga;
5. Mencontohi dan meneladani kehidupan keluarga bahagia Nabi Ibrahim a.s. yang dibina atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sehingga akhirnya dapat menuju kepada Syurga Allah secara bersama-sama. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Ghaafir ayat 8 yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang Telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Marilah kita sama-sama memahami serta mengambil pengajaran dan pelajaran daripada kisah pengorbanan Keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. ini sebagai bekalan untuk kita bawa di hari kemudian nanti. Semoga Hari Raya Aidiladha pada tahun ini akan menjadi momentum bagi kita semua untuk mengevaluasi keluarga kita masing-masing. Kisah teladan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarga Baginda ini hendaklah kita jadikan sebagai sumber inspirasi dan motivasi bagi kita untuk membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang sentiasa berada di dalam redha Allah SWT.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Taqabbalallahu minna wa minkum, Selamat Hari Raya Aidiladha 1438 Hijrah, Minnal ‘Aidil Wal Faizin, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh Umat Islam di Malaysia dan di Selangor khususnya. Rapatkan silaturrahim, mesrakan ukhuwah, tolak ekstrimis dan keganasan serta berbelanjalah secara berhemah. Semoga anak-anak perantau yang akan pulang berhari raya di kampung dapat merancang perjalanan dengan sebaiknya agar selamat sampai ke destinasi tujuan. Didoakan semoga seluruh ibadah kita selama ini diterima oleh Allah Taala.  

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd

DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI,
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
08 Zulhijjah 1438H bersamaan 30 Ogos 2017M – HARAKAHDAILY 30/8/2017

APA hukum menjadi ahli PAS? Jawabannya, tidak wajib. Ia adalah pilihan. Anda boleh memilih untuk menjadi ahli PAS atau sebaliknya.

Kalau begitu, mengapa pula PAS serius mengajak orang ramai menjadi ahli PAS? Ya, PAS serius berkempen ke arah itu kerana ianya menguntungkan Islam. Matlamat PAS adalah Islam. Maka menjadi ahli PAS adalah bagi maksud menjayakan perjuangan PAS iaitu Islam.

Jika ia tidak wajib, buat apa bersungguh-sungguh? Ya, kerana ianya satu pilihan. Maka ramai mengira ia tidak penting. Lainlah kalau wajib. Justeru PAS terpaksa bersungguh-sungguh meyakinkan masyarakat bahawa menjadi ahli PAS banyak keuntungannya demi Islam dan umatnya.

Menjadi ahli PAS bukan wajib tetapi ia adalah satu jalan pilihan bagi melaksanakan kewajiban besar di dalam berugama iaitu memastikan syariah Allah ditegakkan di bumi-Nya. Itulah matlamat PAS.

Apa yang wajib adalah Islam. Anda mesti menjadi seorang muslim yang benar. Anda boleh sahaja bermain-main dengan Islam, mengucapkan syahadahnya sambil memperolokkan syariatnya, tetapi anda dimurkai Allah. Apabila Allah murka, maka hukumnya adalah haram. Anda tidak boleh lakukan apa yang dimurkai Allah, apatah kekal dan berterusan melakukannya. Justeru anda wajib beragama Islam secara benar. Islam main-main adalah batil walaupun ia bukan kekufuran yang nyata dan jelas batilnya.

Kerana Islam itu tidak boleh main-main, maka anda juga wajib beriman, bukan sekadar Islam di lidah dan pada zahir diri. Islam adalah perakuan zahir di lidah dan amalan anggota tubuh dengan kewajiban ugama seperti solat dan zakat. Tetapi jika Islam tidak bertapak di dada dengan iman yang kukuh, anda ditempelak dan ditolak oleh Allah. Anda akan terdedah dengan sifat nifak atau talam dua muka yang dimurkai oleh-Nya. Maka seorang muslim wajib mengusahakan dirinya menjadi seorang mukmin juga.

Ini kerana Islam walaupun ianya berkaitan urusan zahir, tetapi ia hanyalah terpakai dan berguna apabila ianya lahir atau keluar dari batin iaitu hati yang beriman. Kerana itulah solat dan semua ketaatan adalah tertolak kecuali ianya terhasil daripada niat yang ikhlas. Niat itu di dalam hati, bukannya tuturan lidah.

Kemudian anda wajib berusaha menyucikan diri dan jiwa secara berterusan. Sifat iman adalah naik dan turun atau bertambah dan berkurang mengikut kekuatannya berhadapan ujian Allah. Ia pasti berkurang jika dibiarkan tanpa dipugar dengan baik. Ia bertahan atau bertambah kuat jika penyucian jiwa dan pemugarannya dilakukan sentiasa.

Penyucian jiwa bermula dengan pengenalan terhadap Allah dan kepercayaan serta iman yang ditambah baik melalui ilmu tauhid. Tanpa tauhid yang benar, jiwa tidak akan mampu disucikan. Tauhid adalah pelantaian dan tiang utama penyucian jiwa.

Jiwa juga disucikan melalui amalan ketaatan kepada-Nya dengan menarik dan menanam sifat-sifat terpuji (mahmudah) di dalam diri. Ia juga berlaku dengan menolak dan membuang sifat-sifat keji (mazmumah) dari dalam diri. Justeru seorang muslim atau mukmin wajib melakukan proses penyucian jiwa yang berterusan. Memelihara diri daripada tergelincir iman dan Islam adalah wajib.

Apa yang wajib adalah dakwah. Anda wajib berdakwah kepada Islam. Ini kerana Islam adalah untuk semua. Ini kerana Islamlah satu-satunya ugama di sisi Allah yang diredhai-Nya. Justeru membiarkan kesesatan manusia adalah haram. Maka berdakwah adalah wajib.

Islam tidak tersebar kepada sesama manusia kecuali hasil sebaran sesama manusia juga samada secara lisan atau apa jua metod dakwah yang sahih. Islam bukan disebar oleh para malaikat yang diutuskan atau melalui apa-apa mukjizat tersendiri daripada Allah. Ia disebar oleh para nabi yang berstatus manusia. Tanpa para nabi berdakwah, Islam akan kekal di dalam tubuh para nabi sahaja. Para nabi tidak diutus untuk dirinya sahaja, bahkan untuk sekelian alam.

Kewajiban berdakwah tidak sama. Ia berbeza-beza mengikut keadaan. Orang alim tugas dakwahnya lebih besar berbanding orang biasa yang kewajibannya hanyalah pada berdakwah dan menjaga anak isterinya serta persekitaran sekelilingnya sahaja. Begitu juga orang kaya atau miskin, lelaki atau perempuan. Ia berbeza-beza, tetapi ia tetap adalah kewajiban ke atas semua.

Apa yang wajib adalah melaksanakan segala perintah Allah di dalam kehidupan. Itu maksud beribadah kepada-Nya yang menjadi matlamat kehidupan di dunia. Itu juga maksud melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sebagaimana solat adalah kewajiban, begitulah menegakkan hukum Islam di dalam sektor ekonomi, sosial, jenayah dan sebagainya.

Oleh kerana kewajiban berhukum dengan syariat Allah di dalam masyarakat dan negara itu tidak mampu dilaksanakan oleh individu, bahkan oleh masyarakat dan negara itu sendiri, maka menyuruh dan menggerakkan masyarakat dan pemerintah ke arah melaksanakannya adalah wajib. Setiap individu muslim wajib bertindak melaksanakan kewajiban menyeru kerajaan untuk memerima Islam sebagai sumber hukum.

Apa yang wajib adalah mengukuhkan kekuatan suara dakwah agar didengari dan diterima oleh masyarakat dan kerajaan. Hanya suara dakwah yang besar dan gagah sahaja yang mampu memaksa pemerintah untuk akur. Ternyata dalam sejarah suara kecil dakwah tidak mampu mengubah masyarakat dan negara.

Apabila berlaku pertentangan dengan pihak yang menentang perlaksanaan syariah Islam, maka kewajiban adalah jihad fi-sabilillah iaitu bersungguh-sungguh bekerja dan berkorban untuk Islam dengan segala kepunyaan termasuk tubuh, jiwa, harta, masa, tenaga dan segalanya.

Oleh kerana jihad fi sabilillah tidak akan membuahkan hasil jika ianya dilakukan secara terpisah-pisah tanpa kekuatan yang disatukan, maka kewajiban seterusnya adalah kesatuan umat bagi melaksanakan jihad. Kesatuan pula terjadi dengan wujudnya ciri-ciri utama sebuah kesatuan seperti ketua yang didengari dan ditaati serta ahli yang saling mempercayai dan bekerjasama di antara mereka.

Oleh kerana kerajaan-kerajaan negara umat Islam hari ini tidak melaksanakan Islam secara syumul dan sempurna, maka mestilah wujud kesatuan di dalam masyarakat sivil yang mampu memaksa kerajaan untuk melaksanakan kewajiban ugama tersebut. Kerajaan lahir dari kuasa rakyat. Jika ia gagal, maka menjadi kewajiban rakyat untuk memperbaiki atau menukarkannya.

PAS lahir daripada tanggung jawab ini iaitu menyatukan umat Islam ke arah perlaksanaan syariah Allah di dalam negara. Ia adalah satu kewajiban dan jihad.

Bersama PAS lahir juga persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan lain yang menyeru kepada matlamat yang sama. Maka wujud kumpulan-kumpulan atau jamaah-jamaah dengan pandangan dan cara yang berbeza-beza. Alangkah baik jika kumpulan-kumpulan ini disatukan atau didekatkan demi mempercepatkan seruan ke arah penyatuan umat.

Oleh kerana pilihan jamaah adalah lebih daripada satu jamaah, maka umat Islam mempunyai pelbagai pilihan untuk menyertai mana-mana jamaah pun yang mereka suka. Ini hanyalah soal ketepatan di dalam memilih yang terbaik. Memilih yang terbaik adalah amalan mulia dan terbaik umat Islam.

Menjadi ahli PAS adalah pilihan, bukan kewajiban. Kewajiban adalah melaksanakan syariat Allah dengan setiap muslim mesti memastikan masyarakat dan kerajaan melaksanakannya. Ia tentunya sukar jika kerajaan sendiri bertindak menolak dan melawan. Maka kekuatan ramai dan berkualiti adalah kewajiban yang nyata.

Oleh kerana PAS yakin dengan kekuatan yang dimilikinya melalui usaha yang tidak mengenal penat lelah sejak sekian lama samada dari sudut kualiti atau kuantiti, maka PAS bersungguh-sungguh berkempen bagi meyakinkan masyarakat bahawa PAS adalah pilihan terbaik bagi mencapai dan menjayakan kewajiban yang menjadi matlamat Islam iaitu melaksanakan syariat Allah di muka bumi.

Justeru kempen menjadi ahli PAS adalah satu ajakan untuk rakyat semua bersama-sama bergerak secara tersusun dan penuh kekuatan mencapai kuasa pemerintahan ke arah perlaksanaan syariat Allah di muka bumi.

Walaupun menjadi ahli PAS adalah satu pilihan, tetapi memilih untuk menjadi ahli PAS adalah keputusan tepat yang pasti memberi kekuatan samada kepada individu tersebut atau umat Islam seluruhnya. Pilihlah. Sesungguhnya dunia ini diciptakan agar manusia terus memilih yang terbaik dan diredhai oleh Allah.

YANG PAS nak, ialah Islam menang, bukan PAS. PAS cuma peralatan atau jentera yang bekerja untuk Islam menang, sampai bila? Sampai Islam menang.

Bukan semestinya PAS memerintah baru disebut Islam menang, sesiapapun memerintah jika ia melaksanakan Islam secara keseluruhannya maka itulah kemenangan Islam.

Tanggung jawap PAS ialah berdakwah dan sebagai wadah politik Islam bagi tujuan menegakkan sistem Ilahi yang pastinya akan memberikan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Islam itu agama, agama itu ilmu, ilmu perlukan kefahaman, untuk faham wajib belajar, maka dakwah itu ialah mengajar dan memberi faham kepada yang tidak faham.

Apabila faham barulah timbulnya keyakinan pada Islam, bukan yakin kepada yang lain. Bila dah yakin maka ia akan mencetuskan semangat berkorban dan berjuang untuk menegakkan Islam. Bukan semangat kepada yang lain.

Pengorbanan akan sia-sia jika tiada diberikan pahala, dan tiadalah pahala jika tidak dilakukan kerana Allah SWT dan tiadalah sesuatu itu dilakukan kerana Allah melainkan bertepatan dengan syariat-Nya. Syariat itulah yang hendak ditinggikan, bukan dirinya.

Syariat itu yang mengawal PAS, bukan sebaliknya. Syariat itulah yang mengarahkan PAS berjuang, PAS hanya menjadi suruhan syariat untuk tegakkan-Nya, PAS cuma menjadi alat untuk tegakkan syariat bukan syariat menjadi alat PAS untuk kekuasaan politik.

Hari ini ada orang marahkan PAS, ada orang rimas kerana PAS nak tegakkan syariat Allah, orang kata PAS lambatkan kemenangan untuk kalahkan Umno/BN jika terus menerus pertahankan prinsipnya untuk tegakkan Syariat Allah.

PAS tak peduli semua tu, sebab yang kawal PAS ialah syariat bukan manusia. PAS bukan berjuang untuk tegakkan sebuah negara yang serupa dengan kerajaan Umno/BN yang tidak laksanakan syariaat Allah. Teramat rugi perjuangan begitu.

Yang PAS nak ialah tertegaknya syariat Allah. Syariat perintahkan kita supaya menyokong sesiapa sahaja yang nak tegakkan syariat-Nya, jika ada yang berhasrat untuk laksanaknnya, PAS pasti akan sokong, kerana yang diperjuangkan oleh PAS adalah syariat-Nya. – HARAKAHDAILY 29/8/2017

ISU Peristiwa Memali kembali menjadi polemik yang menghangatkan iklim politik negara sejak akhir-akhir ini. Tragedi yang berlaku lebih 30 tahun dahulu telah menjadi memori hitam dalam negara ini, menjadi episod luka buat umat Islam di negara ini. Tragedi menggemparkan itu telah mengorbankan As Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang pengikut beliau.

Bagi PAS, tragedi hitam itu menjadi titik penting bahawa perjuangan PAS bertunjangkan Islam tidak pernah sunyi dari dugaan dan cabaran getir sepanjang sejarah perjuangannya. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya telah membayar harga perjuangan ini dengan kesyahidan beliau. Beliau menjadi mangsa kerakusan manusia yang tamak dan gila dalam mempertahankan kuasa.

Ketika isu Memali diangkat semula ke tengah masyarakat, sesetengah pihak menganggap ia isu politik yang sengaja dibesar-besarkan menjelang musim Pilihan raya Umum ke-14. Cadangan PAS untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali dianggap sebagai mempolitikkan keadaan. Ramai menganggap PAS mahu melunas dendam lama yang terpendam.  Ada pula yang menganggap ia memberi kredit kepada Umno-BN. Pihak pembangkang menganggap isu ini sekadar untuk menjatuhkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

PAS sejak dahulu tetap istiqamah dalam isu Memali. Sejak awal kejadian itu, PAS tidak pernah menarik balik perjuangan mendapatkan keadilan untuk mangsa tragedi ini. Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu Memali bukan hari ini dilontarkan, tetapi telah dicadangkan oleh Presiden PAS ketika itu, Tuan Haji Yusof Rawa pada 22 November 1985. PAS Pusat juga telah membuat keputusan rasmi dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Disember 1985.

Kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya seramai 13 orang diakui oleh kesemua pemimpin tertinggi PAS termasuk Tuan Guru Haji Yusof Rawa, Datuk Fadzil Mohd Nor, dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan para pemimpin PAN (Parti Amanah Negara) juga dahulunya lantang memperjuangkan isu Memali. Mengapa pula apabila PAS membangkitkan perkara ini sekarang, mereka pula menganggap PAS yang mempolemikkan keadaan? Siapa yang tidak konsisten dalam kenyataan, prinsip dan tindakan? Apakah para pemimpin PAN sudah berubah sikap dan tidak mengakui kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya pula?

Isu Memali adalah tragedi kemanusiaan yang melibatkan darah dan nyawa. Lebih 30 tahun mangsa termasuk keluarga mereka memendam rasa dan menanggung penderitaan berat. Mereka juga telah dinafikan keadilan serta hak sewajarnya. Lebih malang lagi, sejak kejadian itu, mereka dituduh dengan pelbagai tuduhan liar dan dianggap sebagai penderhaka.

Penubuhan RCI menjawab persoalan mengapa isu ini terjadi, bagaimana ia berlaku dan siapa yang mengarahkan pembunuhan ini. Ketika ramai anggota polis yang terlibat menyatakan kekesalan serta dipaksa untuk bertindak, ia menimbulkan persoalan lebih besar, siapa yang mengarahkan mereka dan mengapa mereka sampai dibunuh.

Menuduh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan ‘Amanat Haji Hadi’ sebagai punca tercetusnya isu Memali adalah suatu usaha jahat pihak tertentu. Mereka seakan mahu memandang rendah tahap keilmuan As Syahid Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya.  Hakikatnya, As-Syahid bukan orang jahil untuk bergantung taklid kepada "Amanat". Dia mengaji Islam sejak dari kecil dan telah merantau menuntut ilmu dalam dan luar negara. Jika benar mereka menuduh  amanat itu sebagai punca, pastilah isu Memali berlaku di Terengganu, bukan di Kedah.

Namun begitu, Presiden PAS berbesar hati untuk disiasat oleh RCI yang bakal dibentuk nanti. Jika Presiden PAS yang dituduh juga sanggup tampil membantu siasatan, mengapa pula pihak tertentu menikus dengan cuba mengalihkan isu? Sepatutnya biarlah jawatankuasa siasatan menjalankan tugasnya dengan kesemua pihak dapat dipanggil memberi keterangan supaya kebenaran dapat disingkap sejelasnya.

Penubuhan RCI isu Memali tidak memberi kredit kepada mana-mana pihak kerana yang paling utama, keadilan telah tertegak. Lagipun, rakyat akan menilai siapakah dalang sebenar kejadian tersebut. Ia juga menjadi penanda aras bahawa pihak manakah yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan golongan manakah yang melakukan kezaliman atau hanya mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

SATU perkara yang kita sedang saksikan dan akui bahawa pastinya satu bentuk polemik tidak bernoktah berlaku apabila melibatkan Islam dan hak umatnya di negara ini.

2. Masih teringat memori apabila cadangan dan usul pindaan Rang Undang-Undang 355 iaitu berkenaan bidangkuasa Mahkamah Syariah dibentangkan di parlimen oleh Tuan Guru Presiden PAS, bagaimana kita boleh menyaksikan betapa riuh gegar gempita DAP, MCA, MIC dan juak mereka PAN dan PKR membantah dan mengemukakan 1001 alasan dan penolakan.

3. RUU 355 adalah satu inisiatif untuk menaiktaraf akta yang sedia ada dalam perlembagaan yang berkaitan mahkamah syariah untuk umat Islam sahaja yang tidak menyentuh secara langsung kepentingan masyarakat bukan Islam. Cadangan pindaan ini semata-mata untuk memberi ruang dan hak kepada umat Islam agar memperolehi jaminan amalan kehakiman menurut agama Islam yang sebenar sebagaimana diberikan kebebasan kepada agama lain dan juga undang-undang sivil lain. Malah, cadangan pindaan ini dijamin perlembagaan bertepatan dengan kedudukan Islam dalam Perkara 3.

4. Amat mengejutkan apabila cadangan usul ini apabila dibawa ke parlimen, penentang-penentang usul ini mempolemikkan RUU 355 ini semahunya beralasan seolah-olah RUU 355 ini satu yang bercanggah perlembagaan, tidak demokratik, pintu belakang hudud, menggangu hak masyarakat bukan Islam dan bermacam-macam lagi. Mereka terus menerus merekacipta pelbagai helah dan membuat tindakan tidak berakhlak untuk menghalang agar RUU 355 tidak berjaya diluluskan.

5. Walaupun PAS telah berjaya melakukan pelbagai usaha seperti penyerahan memorandum kepada ahli-ahli parlimen, mengadakan majlis penerangan, dialog harmoni antara agama, ceramah dan penulisan ilmiah, wacana, forum termasuk berjaya mendapat sokongan suara rakyat dengan himpunan besar-besaran bagi meyakinkan bahawa RUU 355 ini adalah usaha yang wajar dan menepati suara umat Islam, namun ia tetap juga ditentang oleh mereka.

6. Semoga RUU 355 apabila tiba masanya dibentang dan dibahas nanti, diharap tiada lagi suara-suara sumbang yang menentang dan menghalang.

7. Ironinya apabila munculnya Isu pindaan Akta 164, iaitu akta yang melibatkan urusan perkahwinan dan perceraian masyarakat bukan Islam, lain pula kelihatan reaksinya penentang-penentang RUU 355 dahulu.

8. Mereka bersungguh pula mempertahankan pindaan Akta 164 ini dengan beranggapan ia adalah satu akta khas untuk masyarakat bukan Islam dan demi menjaga hak mereka.

9. Mereka pula bertegas meminta agar tidak dikeluarkan Seksyen 88A yang memperuntukan status agama anak dimana jikalau salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam (muallaf) yang selama ini menjadi isu pertikaian aqidah seorang anak walaupun ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Iaitu ia terkandung dalam Perkara 12(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

10. Pihak yang menentang Akta 355 atau RUU 355 adalah pihak yang sama menyokong dan mendesak agar seksyen 88A tidak dikeluarkan daripada Akta 164. Ini boleh disaksikan menerusi kenyataan dan perbahasan mereka di parlimen.
Alhamdulillah, walau begitu, Seksyen 88A tidak dimasukkan dalam pindaan ini.

11. Tujuan pindaan Akta 164 ini pada asalnya bertujuan untuk menyelesaikan isu pertikaian hak suami isteri sekiranya salah seorang memeluk Islam, namun disana kedudukan dan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara dan juga hukum syariat perlulah diambil perhatian.

12. Kekhuatiran terhadap pindaan Akta 164 ini adalah lojik sebagai contoh dalam pindaan Seksyen 3 yang mana perkataan "Eksklusif" diberikan kepada Mahkamah Sivil walaupun pihak yang terlibat adalah seorang muallaf dimana dia juga tertakluk dengan hukum Syariah. Persoalannya adakah Mahkamah Sivil dijamin mampu merujuk Syariah Islam dalam penghakimannya atau sekurang-kurang mampu menghormati kedudukan Islam seperti Perkara 3 dan juga Perkara 121 (1A)?

13. Tambahan pula kekhuatiran juga kepada pindaan Seksyen 51 dan 51A, secara langsung Akta 164 ini akan berlaku pertindanan dengan Syariah Islam dan hak seorang muallaf (Muslim) dalam tuntutan hak.

14. Mereka yang menyokong pindaan Akta 164 ini daripada awal sudah tentu menganggap akta ini mampu membela masyarakat bukan Islam atas semangat kebebasan mengamalkan agama masing-masing atau dapat mengubat kebimbangan yang kemungkinan pasangan bukan Islam tidak terbela disebabkan perceraian. Akan tetapi, bukankah sebaliknya jika dilihat secara adil, seorang muallaf itu juga dinafikan haknya apabila dia sendiri tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila dia sendiri gagal perolehi kehakiman berlandaskan Islam?

15. Sikap pihak Kerajaan Persekutuan dengan tergesa-gesa mmeluluskn Akta 164 (pindaan) ini apabila dibentang pada hari kedua dan terus dibahaskan serta diluluskan walaupun pihak Ahli Parlimen PAS mengemukakan bantahan dan cadangan agar penelitian dan kemaskini secara holistik diambil tetapi masih tidak dihiraukan amat dikesali.

16. Pihak Ahli Parlimen PAS juga berjaya menyuarakan peranannya mewakili umat Islam dan kepentingan saudara muallaf, walaupun tidak mampu menghalang Akta 164 (pindaan) daripada diluluskan atau ditangguhkan, mereka tetap berhak mendapat pujian.

17. Semua pihak khasnya Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira cadangan daripada Ahli Parlimen PAS supaya satu Tribunal diwujudkan dalam akta ini atau diadakan mediasi antara kedua pihak iaitu pasangan yang menuntut hak itu atau antara Mahkamah Syariah dan Sivil, maka sewajarnya Akta 164 (pindaan) diberikan ruang mencukupi sebelum ia dilaksanakan nanti.

18. Inilah prinsip dan sikap PAS, konsisten berpendirian teguh dan bertanggungjawab dengan membawa suara Islam serta berusaha memastikan kedudukan Islam sesuai dengan agama yang tinggi dan suci mengikut lunas Perlembagaan.

19. PAS tidak hanya menyokong mahupun membantah membuta tuli atau mengikut telunjuk mana-mana pihak. Sekiranya PAS inginkan undi, nescaya PAS tidak mengusulkan pindaan RUU 355 dan begitu juga sekiranya PAS takut hilang undi, pastinya menyokong sahaja pindaan Akta 164 ini.

20. PAS adalah parti yang ingin melaksanakan amanah Allah swt dan umat Islam di Malaysia ini.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Inilah Penyelesaian Kita"

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

SETIAP muslim beriman bahawa yang akan menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan rahmat-Nya.

Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.

Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.

Kita berusaha dengan amal soleh di dunia. Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.

Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu kalut dengan amal soleh di dunia ini?

Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh yakin dan tawakkal kepada-Nya.

Sekarang mari kita bertumpu kepada dua persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana untuk mendapat rahmat Allah?

Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.

Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.

Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan, bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.

Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.

Jawabannya adalah dengan amal soleh dan harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.

Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.

Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.

Penyelamat amal soleh adalah akidah yang benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.

Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.

Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.

Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.

Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana ajarannya yang sampai kepada kita. Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.

Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.

Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya. Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.

Justeru setiap muslim mestilah menyucikan jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas kepada-Nya.

Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.

Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama. Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan lagi. - HARAKAHDAILY 17/8/2017