Sidebar

23
Sat, Sep

SAYA merasa terpanggil untuk meninta warkah ini memandangkan Abang Din makin galak menyerang PAS, meremeh malah menista harakatul ummah ini seperti abang Din tak pernah bersama jamaah Islam ini. Saya mengambil sikap memerhati gelagat abang Din agak lama, semenjak pasca Muktamar PAS ke-61, tidak terpilih semula sebagai Naib Presiden, diberikan jawatan lantikan sebagai AJK PAS Pusat namun ditolak.

Abang Din dipujuk oleh Dato Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad untuk terus bersama PAS, namun tetap ditolak dengan alasan "orang PAS buang ana".

Abang Din hanya kalah dalam pemilihan muktamar di mana setiap dua tahun sekali pemilihan diadakan oleh gerakan Islam ini untuk memilih barisan kepimpinan. Kalah dalam pemilihan, tidak bermakna dibuang oleh ahli-ahli. Ramai pimpinan PAS kalah dalam pemilihan sejak dahulu lagi, bahkan mereka jauh lebih berkompetensi, berilmu, pakej.

Antaranya Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Dato Abu Bakar Chik, Ustaz Dato Tuan Ibrahim dan lain-lain nama besar dalam PAS. Adakah mereka merajuk, menyerang PAS atau menubuhkan wadah baru?.

Saya menjadi saksi bagaimana figura-figura ini terus menyemai bakti pada jamaah tanpa lelah. Almarhum Ustaz Hasan Shukri sebagai contoh tanpa segan silu, dengan penyapu dan berbaju pagoda membersihkan Markas Tarbiah Taman Melewar, dengan senyuman khasnya terus menyemangati anak-anak muda untuk berjuang memenangkan Islam.

Di malam hari almarhum hadir ke pelbagai tempat mengisi fikrah ahli-ahli PAS dengan kereta buruknya dipandu oleh amilin parti. Istiqomah almarhum sehinggalah nyawanya diambil pulang, ribuan yang menyolati jenazah mantan Ketua Pemuda PAS didikan Ikhwan Muslimin ini. Apakah lagi kesudahan yang membahagiakan dalam hidup ini, disolati dan didoakan oleh ribuan manusia?.

Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik dan Almarhum Ustaz Harun Taib juga dengan jasa bakti yang sama kepada jamaah Islam. Mereka membina institusi  pendidikan Islam,  mengkaderkan amilin tanpa jemu, bergerak keseluruh negara untuk mencerdaskan ummah. Lihatlah kesudahan hidup mereka yang mulia, didoakan oleh masyarakat Islm tanpa mengenal apa latarbelakang politik.

Saya merasa agak kehairanan dengan sikap Abang Din sebaik sahaja meninggalkan bahtera PAS, berterusan menyerang dan cuba mewajahkan PAS dengan wajah yang hodoh. PAS diratib sebagai gerakan takfiri sedangkan sebaik masuk PAS dalam tahun 80-an daripada keluarga berdarah likat Umno, abang Din dibawa ke tamrin panjang di Kelantan oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah.

PAS dalam apa sahaja medan pengajian, para asatizahnya membuka kitab berkaitan  batas-batas iman dan kufur, asatizah dan pimpinan PAS menerangkan berkaitan aqidah Islam dan betapa perlu menjaga batas-batas akidah agar tidak tergelincir. Dekad 80-an, mulut pimpinan Umno sangat lancang menolak penegakan Syariah Islam, maka PAS sentiasa menerangkan isu menjaga batas-batas iman dan kufur. PAS sentiasa menjadi kambing hitam dalam pelbagai isu untuk menyudutkan PAS ke ruang paling hujung dalam strata masyarakat.

Abang Din sangat arif sejarah PAS dan sentiasa mengulangi kisah seorang dua penceramah PAS yang ghuluw, akhirnya menyertai Umno. Jamaah ini mempunyai tapisan dan Allah memelihara jamaah ini dan itulah ratib serta tazkirah Abang Din kepada kami saban waktu semasa memimpin Dewan Pemuda. Semasa abang Din menjadi ketua, kami akur dan taat, membantu program -program yang dirancang tanpa jemu.

Teringat juga bagaimana sebelum abang Din menang sebagai MP Kubang Kerian, kami Exco Dewan Pemuda Pusat mencadangkan abang Din untuk bertanding di kawasan selamat  agar berjaya menjadi jurubicara ummah yang berkesan. Dalam mesyuarat DPPP di Taman Melewar, abang Din dikeluarkan daripada bilik mesyuarat supaya mesyuarat tidak bias dan berkesan, seterusnya wakil DPPP dihantar menemui Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini, kerana saya mahu abang Din tak lupa kasih sayang kami pada abang Din yang seakan melupakan sejarah ini.

Abang Din menikmati keadaan yang selesa sebagai anggota legislatif, namun sebahagian Exco-Exco DPPP yang menggalang watak murabithun hidup sebagai orang miskin. Ada yang dimarah dalam mesyuarat kerana  terlewat hadir kerana menghadiri kuliah dhuha, semua anak buah abang Din tak pernah merasa kecil hati ditegur walaupun kehidupan mereka ala kadar. Ustaz Azli Toliban semenjak muda sehingga tua tetap berdengkur dalam bas ekspress, menyambangi keseluruh negara berdakwah, bermesyuarat, menghadiri program-program parti.

PAS disinis memakan dedak, usaha PAS mengumpulkan ratusan ribu ahli-ahli dan rakyat ke lautan ungu H355 disindir, seolah Abang Din tak kenal sikap dan watak orang PAS dalam berkorban harta dan jiwa. Saya teringat kembali kisah-kisah yang Abang Din sentiasa lontarkan dalam ceramah, bagaimana penoreh getah PAS yang menyisihkan setiap hari beberapa keping getah yang mereka perolehi untuk perjuangan.

Ahli-ahli PAS mempunyai tabung khas jamaah, mereka menyimpan bukan sahaja untuk keluarga mereka, namun untuk membiayai perjuangan PAS. Abang Din bimbang tentang pimpinan PAS terutama "young blood" yang memiliki kereta hebat, saya kira Abang Din sendiri maklum mereka mempunyai perniagaan sendiri untuk menyarai keluarga dan membantu perjuangan. Menjadi motivator, memiliki rangkaian perniagaan, penasihat Syariah dan pelbagai ruang untuk meraih rezeki yang halal.

Abang Din, pasti menyimpan kenangan paling indah bagaimana berukhuwwah dalam PAS, bagaimana ahli-ahli harakatul ummah ini saling melengkapi, membahu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat perjuangan. PAS digelar oleh ahli dan pimpinan PAN sebagai "parti sejarah" dan kami lansung tidak berkecil hati kerana kami tahu sejarah PAS yang ditulis dengan tinta emas. Ada yang meregang nyawa syahid, dipenjara, dikucilkan malah dihina sepanjang masa demi menggalang perjuangan Islam ini.

Untuk maklumat Abang Din, program PAS pasca Muktamar ke-61 terus menerus mendapat sambutan masyarakat, bermula daripada cawangan hinggalah ke peringkat Pusat. Keahlian PAS terus membesar dan memancing pesona kelompok intelektual sehinggalah rakyat jembel yang berkeringat untuk sesuap nasi, mesyuarat kami bulan Februari baru-baru ini, PAS Pusat telah meluluskan lebih 5000 orang ahli baru. Manakala di sepanjang tahun 2016, kami menerima lebih 26 000 ahli baru, dengan erti kata  yang lain menyertai PAN, yang dibanggai oleh Abang Din jauh lebih kecil berbanding ahli-ahli baru kami dalam tahun 2016.

Abang Din, saya merasa bersyukur jauh di sudut hati saya yang paling  dalam kerana dalam tempoh selepas pasca Muktamar ke-61, Mesyuarat PAS Pusat tidak pernah bocor kepada pihak lain. Ahli ahli Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat dengan penuh harmoni, bersepuh ukhuwwah, berulam ceria dan mematuhi arahan yang diputuskan. Sangat kontradik dengan apa yang berlaku dalam beberapa penggal sebelum ini dan ini melonjakkan semangat kami untuk terus berkerja bagi memenangkan perjuangan Islam.

Abang Din, cukuplah  coretan ukhuwwah untuk kali ini, kami mempunyai jadual kerja yang padat dengan medan operasi siasah, dakwah dan tarbiah yang sentiada memerlukan sentuhan. Saya memegang teguh kata-kata Abang Din pada anak-anak muda pada suatu masa dahulu, "PAS akan terus dijaga oleh Allah selagi mana parti ini berpegang pada al Quran dan didoakan oleh manusia-manusia yang ikhlas". – HARAKAHDAILY 5/3/2017

ISU Pindaan Akta 355 masih terhangat di pasaran. Perbahasan mengenainya menarik perhatian pelbagai pihak dan terkini tumpuan teralih kepada usaha para ilmuan Islam untuk membahas dan mendebatkannya secara terbuka.

Biasanya pindaan sesuatu akta hanya mengambil ruang bahas atau debat di galeri parlimen dan terhad kepada 222 orang ahli parlimen sahaja. Berbeza dengan Akta 355,  cadangan untuk memindanya telah mendapat perhatian semua pihak dan diperbahaskan secara terbuka.

Satu sudut, ia adalah satu perkembangan yang sangat baik. Secara tidak langsung, isu pindaan Akta 355 ini telah "merakyatkan parlimen dan memparlimenkan rakyat".

Andai masih ada Ahli Parlimen yang tidak memahami isu pindaan Akta 355, maka kini sudah ada rakyat yang memahaminya dan mendesak supaya Ahli Parlimen tidak menentang bahkan menyokong agar Akta 355 dipinda.

Malah terdapat juga rakyat yang berperanan bagai ahli parlimen dalam membahaskan isu Pindaan Akta 355 tersebut. Sekali gus membuktikan negara tidak tandus bakal ahli parlimen dan pemimpin yang mampu, berkaliber dan bertanggungjawab terhadap agama dan negara untuk dipilih mewakili rakyat ke Parlimen.

Isu Pindaan Akta 355 ini selayaknya lah dibahas secara ilmiah, jujur dan tenang. Para cendikiawan Islam mestilah memandunya dengan pendekatan yang terbaik.

Semoga hasilnya memulangkan manafaat yang besar kepada proses memperkasakan syariat di Malaysia, bukan meretakbelahkan ummat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam dan ummatnya.

Hari ini saya terbaca satu laporan media yang menyiarkan bahawa Sohibus Samahah Datuk Dr Asri Zainul Abidin selaku Mufti Perlis pula mahu berdebat dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 di Parlimen.

Saya tertarik dengan pandangan dari seorang rakan saya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Sdr Amzad Hashim bahawa tiada kewajaran debat Datuk Dr Asri dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi. Sebaliknya apa yang wajar dan perlu ialah dianjurkan muzakarah yang melibatkan semua para mufti bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memandangkan isu ini sangat penting dan para mufti selayaknya mengangkat satu keputusan yang muktamad dari muzakarah tersebut ke arah meninggikan syariat Allah swt di bumi bertuah ini.

Objektifnya ialah supaya Ashabus Samahah Para Mufti mendapat penjelasan langsung dari orang yang bertanggungjawab membawa RUU Persendirian untuk meminda Akta 355 lantas membahaskannya dan sekali gus menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan dari pihak mufti-mufti di Malaysia ini.

Firman Allah swt:

أن أقيموا الدين و لا تتفرقوا فيه

Bahawa kamu mestilah menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah padanya. (Surah Asy Syura: 13)

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEGALA puji bagi Allah. Solawat dan salam buat Rasulillah SAW, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut sunnah baginda sehingga ke hari Kiamat.

1.Pindaan Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 adalah satu kewajipan beragama setiap muslim bagi membolehkan beberapa Kesalahan Syariah di Mahkamah Syariah dihukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Fakta ini sentiasa ditegaskan oleh Datuk Dr Khairuddin at-Takiri dalam tulisan dan ucapan beliau.

2.Oleh sebab antara yang dilihat berbeza pandangan dalam isu ini ialah Sohibussamahah Datuk Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis maka satu diskusi ilmiyah sangat elok diadakan secara terbuka antara Dr Khairuddin dan Dr Asri bagi merungkaikan sudut pandang bersama dan berbeza dalam isu ini untuk kefahaman bersama masyarakat Islam.

3. Diskusi ini membuka ruang untuk setiap pihak menyampaikan sudut pandang mereka secara ilmu atas semangat ukhuwah islamiyah dengan tujuan yang satu iaitu agar Islam dan dakwah Islam sentiasa diperkukuhkan dalam negara ini.

4. Diskusi ilmu bersama Dr Rozaimi dalam isu yang sama boleh diadakan selepas pada itu.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Wakil Peribadi
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri - HARAKAHDAILY 2/3/2017

HARGA gula naik lagi. JKKK duduk sembang dalam kedai kopi, kenaikan harga gula bagus untuk mengurangkan kencing manis. Walaupun dia sendiri minum kopi O lebih gula.

Nak buat macam mana. Perdana Menteri yang bawa hujah ni setiap kali harga gula naik. Yang di bawah ini macam burung kakak tua saja tukang ikut.

Diabetes atau kencing manis penyakit yang sangat sinonim dengan masyarakat umum. Semua orang biasa dengar perkataan kencing manis dan biasanya masyarakat umum mengaitkan dengan pengambilan gula.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sering dijadikan kambing hitam setiap kali gula naik.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type), type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1

Diabetes Type 1 berlaku apabila badan  tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dibuat.

Punca hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin disebabkan faktor-faktor risiko genetik dan faktor persekitaran.

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk hidup.

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1 , tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap  glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.   

Diabetes Type 2

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.

Bagi diabetes type 2, puncanya sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan.

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.

Harapan saya, sebelum dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar.

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula ) dalam darah dalam julat yang normal.

Kencing manis memang bahaya, tapi penyakit kencing rakyat memang berat nanang! - HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEBAGAIMANA saya tegaskan dalam banyak tulisan dan ucapan saya, meminda "Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965" adalah kewajipan bersama seluruh umat Islam. Hal ini kerana Akta 355 sekarang menghalang beberapa kesalahan Syariah di Mahkamah Syariah di negeri-negeri daripada dihukum berdasarkan kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Jangan merasa pelik jika ada yang menentang usaha ini kerana kurang memahaminya atau kerana agenda peribadi atau kerana sengaja mengelirukan masyarakat tentangnya.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 49:

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

"Dan berhukumlah di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka".

Ayat ini mewajibkan umat Islam khususnya pemerintah memerintah dan menghukum berdasarkan apa yang Allah turunkan. Dalam masa yang sama memperingatkan seluruh umat Islam agar jangan mengikut kehendak dan keinginan mereka yang menentang usaha menegakkan hukum Allah.

Seterusnya Allah memperingatkan pula

وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ

"Dan berwaspadalah terhadap mereka bimbang mereka melakukan "fitnah" memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu"

Jika mereka tidak berjaya memalingkan umat daripada keseluruhan Islam cukuplah jika berjaya pada sebahagiannya.

Teruskan penerangan tanpa jemu.

Dr Khairuddin at-Takiri
1hb Mac 2017