18
Fri, Aug

USAHA mencari nelayan yang masih hilang sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan dan juga orang-orang kampung.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, di samping segala usaha mencari dilakukan dengan bantuan nelayan, pihaknya juga melakukan solat hajat memohon kepada Allah agar dipermudahkan usaha mencari mangsa hilang di laut.

“Untuk menghilangkan kerunsingan kepada keluarga dan juga ahli waris, di samping itu kita mengharapkan rakan-rakan dan juga sahabat handai terus memberi sokongan, dan memberi motivasi kepada keluarga (mangsa) supaya mereka dapat bersabar menerima ujian ini dengan penuh keredhaan dan anggaplah ini satu takdir dan ujian dari Allah SWT,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tepi pantai lokasi pencarian dijalankan.

Pada petang 12 Ogos lalu, Zakaria Omar, 58, dari Kampung Jambu Bongkok, Marang yang keluar menangkap ikan tidak pulang sehingga lewat petang dan dikhuatiri hilang di laut.

“Kita beserta penduduk kampung telah mengadakan solat hajat di beberapa buah masjid dalam kawasan kita ini.

“Dan insya Allah solat hajat akan diteruskan pada malam ini sehingga mangsa ditemui,” kata beliau.

PARA remaja diseru agar lebih berani dalam mengharungi dugaan dan cabaran hidup dalam dunia tanpa sempadan ini.

Ketua Ameerah Dun Teluk Pasu, Aishah Rodiah Rashid berkata, remaja perlu mempunyai sikap peduli masyarakat dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mematuhi segala syariat yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan Hadis.

“Tenaga pelapis parti di kalangan anak-anak muda dikumpul untuk menggerakkan kerja- kerja dakwah dan tarbiyah bagi mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara ahli jawatankuasa Ameerah Dun agar lebih mengenali dan lebih mesra antara satu sama lain,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Rehlah Cinta’ di Sungai Kampung Tanjung, Kuala Nerus, kelmarin.

Menurutnya, program itu telah berjaya mengumpulkan seramai 30 orang remaja yang berumur antara 18 hingga 35 tahun.

“Program Rehlah Cinta ini diselitkan dengan program santai seperti ice breaking dan juga program motivasi diri," ujarnya.

Turut hadir ialah Ketua Muslimat Dun Teluk Pasu, Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman.

RATUSAN anak muda menyertai Himpunan Aman Bantah Kekejaman Israel yang diadakan di dua tempat berasingan iaitu perkarangan Masjid As-Salam, Batu Rakit dan Masjid Lama Jabi, Setiu.

Himpunan aman itu anjuran Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit yang diadakan selama hampir 40 minit selepas solat Jumaat, hari ini.

Ketua Pemuda PAS Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata himpunan aman itu sebagai tanda solidariti umat Islam dan mewakili warga penduduk di Dun Batu Rakit.

Justeru, katanya sebagai umat Islam yang prihatin mendesak agar diadakan rundingan antara kerajaan dengan kerajaan di seluruh dunia.

“Kami mewakili rakyat di Dun Batu Rakit telah menunjukkan solidariti kita. Kita mahu supaya diadakan satu rundingan antara kerajaan dengan kerajaan yang ada di seluruh dunia.

“Ini penting untuk menyatakan pendirian mereka bahawa mereka juga menentang Israel terhadap apa yang rejim itu lakukan kepada penduduk di Palestin.

“Saya ucap tahniah kepada mereka yang hadir bersama bersolidariti pada tengahari ini, di bawah panas mentari mewakili rakyat di Dun Batu Rakit,” ujarnya ketika berucap pada himpunan tersebut.

Menurutnya, barang siapa mengaku Islam tetapi tidak mengambil peduli tentang nasib umat Islam lain bukan dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

“Barang siapa yang tidak ambil cakna terhadap urusan umat Islam yang lain, dia bukan dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

“Alhamdulillah, kita ini di kalangan umat Muhammad SAW kerana mengambil cakna terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam yang lain,” tegasnya disambut laungan takbir.

Sementara itu, Wakil Petubuhan Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan (Sisbakti), Ustaz Ahmad Naim Abu Bakar yakin dengan kebenaran Islam pasti akan menang.

Katanya, sesuatu yang batil dan salah pasti akan dikalahkan dengan kebenaran Islam kerana janji Allah SWT.

“Nafas kebenaran itu walau pun kelihatan ‘slow’ tetapi sebenarnya ianya berpanjangan dan akan ada sambungannya.

“Kebatilan apabila bertemu dengan kebenaran. Kebenaran pasti akan menang, kerana kebatilan itu bersimpang siur dan banyak kumpulan. Tetapi, kebenaran itu hanya satu kumpulan dan pasti akan menang.

“Walaupun nafas kebatilan itu kuat, ianya tidak akan ada penyambungnya. Tetapi, nafas kebenaran pasti akan ada penyambungnya.

“Islam pasti menang kerana itu janji Allah. Kita mahu menjadi orang yang memenangkan Islam,” jelasnya ketika berucap mewakili sebuah NGO lepasan pelajar.

Beliau yang juga seorang guru tahfiz menyelar sikap segelintir pihak tertentu yang beranggapan sia-sia menentang Yahudi dan rejim Israel.

“Di mana kita semua pada hari ini? Kita bersuara (berdemo) dikatakan Yahudi tak dengar. Kamu yang bodoh mengatakan demikian. Apa yang kamu buat untuk umat Islam yang sedang dizalimi di Palestin dan di mana-mana sahaja.

“Hari ini puak Yahudi menghalang umat Islam dari masuk ke Masjidil Aqsa untuk beribadat dan menyebut nama Allah. Yahudi (sekarang) berusaha untuk meroboh rumah Allah (Masjid Al-Aqsa) itu.

“Orang menjerit untuk umat Islam, orang menjerit menyatakan kebersamaan bersama dengan Palestin, kamu mengutuk dan kamu tidak bersama…tetapi kamu tidur. Adakah itu diredhai oleh Allah SWT,” ujarnya dengan penuh bersemangat.

Selain Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sisbakti, Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (Gamis) Cawangan Terengganu turut menghantar wakilnya berucap pada himpunan tersebut.

Manakala, Pemuda PAS Dun Jabi, Setiu turut mengadakan bantahan yang sama selepas solat Jumaat di Masjid Lama Jabi, Setiu. - HARAKAHDAILY 11/8/2017

BR2

BR3

PEMUDA PAS Perak semalam meluangkan masa meziarah sambil sembang-sembang di Kampung Jelai, Batu Kurau dengan bintang bolasepak PKNP FC, Hafiz Ramdan (Kancil) dan jurulatih Abu Bakar Fadzim (Burn).

Hafiz Ramdan baru-baru ini mengalami patah tulang bahu ketika aksi perlawanan Liga Premier 2017 menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Insiden yang berlaku pada awal babak pertama menyaksikan Hafiz bertembung dengan salah seorang pemain Kuala Lumpur yang mengakibatkan beliau terus dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Hafiz telah menjalani pembedahan bagi memasukkan besi untuk membetulkan semula tulang bahu yang telah patah.

Hafiz yang dipinjamkan dari pasukan Perak kini merupakan antara watak penting buat PKNP FC dengan keupayaan menghasilkan gol dan bantuan jaringan buat pasukan dan juga sedang berada di prestasi yang baik.

Pemuda PAS sentiasa mendoakan agar Hafiz cepat sembuh supaya dapat beraksi dalam kempen Piala Malaysia nanti. – HARAKAHDAILY 9/8/2017

PatahP 1

PatahP 2

PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan Konvensyen Kemenangan PAS Sarawak (Kompas) bagi memastikan wehdatul fikr dan amal dalam kalangan jenteranya.

Kompas telah dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri, hari ini.

Seramai 160 peserta dari seluruh Bumi Kenyalang hadir termasuk dari Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari pelbagai kaum peribumi Sarawak.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofrie Jaraie dalam ucapannya mengingatkan peserta bahawa tugas dilakukan itu hakikatnya adalah suatu dakwah.

Sehubungan itu, katanya akhlak Rasulullah SAW adalah contoh ikutan untuk diterapkan dalam menyempurnakan taklifan tersebut.

Beliau berharap, dengan segala niat dan pendekatan dibawa akan mampu sampai sasaran menarik masyarakat mendekati PAS.

Dalam majlis sama juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan membentangkan peraturan dan arahan semasa parti berdasarkan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-63, Mei lalu.

SETELAH merakamkan kejayaan yang membanggakan sepanjang penganjuran Program Karnival Dun Jabi pada tahun lepas, maka pada 3-5 Ogos 2017, Karnival Dun Jabi 2.0 yang merupakan siri kedua penganjuran akan memeriahkan Dataran PGU Jabi sekali lagi.

Pelbagai acara menarik bakal menanti pengunjung termasuk karnival jualan, kuliah dan ceramah, rawatan perubatan dan kesihatan, derma darah, kaunter SPR, sukaneka, persembahan silat dan pelbagai lagi.

Acara yang dijangka paling mencuri tumpuan ialah Santai Petang Ustaz Azhar Idrus bersama  Bob Lokman pada jam 5 petang Jumaat 4 Ogos 2017. Juga Ceramah Perdana yang bakal menampilkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah pada Sabtu 5 Ogos 2017.

Semua lapisan masyarakat adalah dijemput untuk bersama memeriahkannya.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi
29 Julai 2017

PAS akan menyelesaikan masalah pajakan tanah yang dibangkitkan penduduk Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi jika berjaya memerintah Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Setiausaha PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, beberapa orang penduduk yang ditemui dalam program ziarah telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap syarat pajakan tanah yang hanya diberi 60 tahun, lapor Buletin Online.

“Saya maklumkan tentang manifesto PAS kepada mereka dan mereka mengalukan malah mencadangkan supaya beberapa cadangan baru dibuat terutamanya bagi menyelesaikan masalah tanah, di antara yang dibangkitkan tadi ialah masalah tempoh pajakan tanah yang agak pendek iaitu 60 tahun, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menziarahi beberapa orang pemimpin masyarakat di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Wan sempena program Himpunan Harapan Semua (Harap)-PGU 3.7 yang diadakan di Kampung Pengkalan Atap, Setiu.

“Masyarakat atau orang kampung telah mengusahakan tanah sekian lama tapi setelah habis tempoh pajakan, mereka terpaksa menyambung pajakan dan diberi tempoh hanya 60 tahun sedangkan usaha yang telah dibuat banyak untuk memajukan, menghidupkan tanah,” ujarnya.

Begitu juga, katanya beberapa isu lain yang beliau nampak ada tanda-tanda positif mereka akan bersama dengan PAS.

“Saya jangka akan berlaku perubahan yang besar di dua buah kampung iaitu Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi dan saya dimaklumkan dua buah kampung ini kubu kuat bagi Barisan Nasional.

“Saya menemubual beberapa orang berpengaruh di antaranya guru silat, bekas Jawatan Kuasa Kawalan Kampung (J3K), imam serta bilal, masing-masing memberikan respons yang positif dengan PAS,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, selepas beliau menziarahi dari rumah ke rumah, sebenarnya masyarakat di situ sangat terbuka dan bersedia mendengar pandangan PAS.

Justeru kata Muhyiddin lagi, program yang dibuat itu perlu diteruskan iaitu pergi rumah ke rumah dan mendengar sendiri masalah-masalah yang dibangkitkan oleh mereka.

“Kita memberi cadangan-cadangan atau kita memberi maklumat kepada mereka apa yang sedang kita usahakan dan apa tawaran PAS terutamanya manifesto untuk menghadapi pilihan raya menjadikan isu penting yang kita, insya Allah akan lontarkan kepada masyarakat.

“Dan saya berharap semoga rakyat dapat menilai apa usaha yang kita buat ini untuk membantu masyarakat dan rakyat Terengganu khususnya, insya Allah,” tegasnya.

KUNJUNGAN Pemuda PAS Perak ke Pusat Pengajian Al-Barakah di bawah seliaan Datuk Ustaz Kazim Elias memberikan peluang menimba pengalaman dalam usaha membangunkan institusi pengajian Islam yang mendapat perhatian ramai pihak.

Pertemuan yang berlangsung selama sejam tersebut menjadi pengalaman bermakna kepada Pemuda PAS Perak dengan perkongsian perjuangan menyampaikan dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Kunjungan itu diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Akmal Kamaruddin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Hafez Sabri, Ketua Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Perak; Abdul Manaf Ismail dan beberapa pimpinan Pemuda PAS Perak.

"Penerimaan Ustaz Kazim dalam kunjungan mahabbah kali ini menjadi satu peluang anak muda seperti kami agar dapat berkongsi pendapat bersama beliau.

"Usaha beliau membangunkan pusat pengajian seperti Al-Barakah membuktikan keperluan semasa untuk memastikan masyarakat mengamalkan Islam dengan berlandasakan syariat Islam.

"Cabaran dan ujian semestinya ada namun itulah satu pengorbanan demi melihat anak bangsa mampu menyampaikan ilmu kepada masyarakat," ujar Ustaz Akmal. – HARAKAHDAILY 28/7/2017

Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) cawangan Johor merancang mengadakan jamuan muhibbah dan dialog santai di antara ahli dan juga bukan ahli Perantau dengan pimpinan PAS.

Menurut Pengerusi Perantau JDT, Zulkifli Ibrahim, program yang dirancang itu akan berlangsung di Surau Istiqamah, Jalan Bacang 13, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu, 29 Julai ini.

Tambahnya lagi, program itu juga antara lain ialah untuk mencari ahli-ahli baru Perantau selain daripada memberikan penerangan kepada rakyat Terengganu berkenaan situasi politik semasa Terengganu.

Program dailog itu menampilkan Ketua Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi sebagai tetamu, bertujuan membuka ruang terutama kepada orang muda untuk bertanya sendiri kepada Ketua DPPM.

“Saya mewakili Perantau JDT menjemput semua perantau yang  bekerja atau tinggal bersama keluarga tak kira sama ada bujang, beristeri atau bersuami yang berasal dari Terengganu untuk hadir.

"Tidak dilupakan juga seluruh keluarga mereka dijemput hadir termasuklah juga para pelajar IPTA atau IPTS yang ada di Johor,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Pok Zul.

NGO Perantau yang dikenali sebagai sebuah NGO yang mesra PAS itu juga berharap akan dapat membantu PAS untuk merampas kembali tampuk pemerintahan negeri Terengganu dalam PRU nanti.

Untuk keterangan lanjut, mereka yang berminta boleh menghubungi Pengerusi Perantau JDT, Zulkifli Ibrahim di talian 019-7550778.

perantajohor

TERDAPAT beberapa tempat di sekitar Putatan telah dikenalpasti mengalami masalah kerosakan jalan raya yang agak teruk.

Antara kerosakan jalan yang dilihat semakin teruk dan sudah lama terbiar ialah yang berlaku di Jalan Taipakkung Putatan, iaitu kawasan yang berhampiran dengan SJKC Hwa Shiong menghala ke Stesen Keretapi Putatan dan pasar raya Giant.

Kerosakan tersebut bermula dengan satu lubang kecil, yang kemudiannya menjadi semakin besar dan dalam apabila air hujan bertakung dan berterusan dilalui oleh kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Kesan daripada kerosakan tersebut, aliran trafik di jalan berkenaan akan menjadi perlahan apabila kenderaan terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan lorong sebelah kanan yang digunakan oleh kenderaan dari arah bertentangan bagi meneruskan perjalanan, kerana kenderaan tidak boleh melalui jalan tersebut disebabkan oleh lubang yang besar dan dalam yang boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.

Pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) kawasan Putatan menggesa supaya pihak berwajib agar mengambil tindakan yang segera bagi menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang berlaku di daerah Putatan ini, untuk keselesaan para pengguna jalanraya.

Selain itu, PAS Kawasan Putatan juga mencadangkan supaya pemantauan dan kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan jalan raya dilakukan secara berkala dan lebih sistematik agar setiap kerosakan jalan raya yang berlaku dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan efektif. – HARAKAHDAILY 26/7/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Putatan telah menganjurkan Hari Keluarga di Pantai Tanjung Aru, Ahad 23 Julai 2017. Hari Keluarga yang diadakan saban tahun ini bermatlamat menyatukan ahli dan memperkukuh ukhwah dalam kalangan amilin dan penggerak parti.

Hari Keluarga ini juga menyahut seruan dan arahan Tuan Guru Presiden PAS di Muktamar PAS Pusat yang lalu iaitu, merapatkan ukhwah sesama kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mengelakkan pertelagahan dan krisis sesama sendiri, istiqamah melibatkan diri dengan program peningkatan kefahaman ahli seperti usrah, liqa’, tamrin, rehlah dan sebagainya.

Penyelaras PAS DUN Tanjung Aru, Hamid Ismail dalam ucapan ringkas mengharapkan agar semua pendukung parti dan jemaah terus istiqamah dalam perjuangan.

Sambutan dan kehadiran Hari Keluarga pada kali ini sangat menggalakkan yang dihadiri oleh semua peringkat kepimpinan dan ahli keluarga PAS Putatan.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti sukaneka keluarga, 'Anugerah Pasangan Istiqamah' dan 'Otai Masih Berbisa' yang mewarnai Hari Keluarga PAS Putatan tahun ini.

Anugerah Pasangan Istiqamah dinobatkan kepada pasangan Mohd Nirman Halil dan Ain Soalhati.

Untuk rekod, jumlah ahli PAS Putatan sekarang seramai 500 orang dan terus bertambah dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 24/7/2017

HKPutatan 4

HKPutatan 3

HKPutatan 2

BUDAYA bergotong royong dan semangat kerjasama saling membantu di kalangan penduduk harus dipupuk kembali sebagaimana ajaran Islam yang menyuruh “bantu membantu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa”.

Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, ia padat menjalin silaturahim sesama umat Islam dalam meneruskan agenda murni memakmurkan muka bumi ini, lapor Buletin Online.

“Saya berharap agar kerjasama ini dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk setempat di samping menjalin silaturahim sesama umat Islam dalam meneruskan agenda murni menjadikan al-Quran sebagai teras hidup orang beriman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong royong membaik pulih sebuah balai raya lama untuk dijadikan tempat mengaji al-Quran bagi kanak-kanak setempat di Kampung Durian Pahit, Mercang, Marang, semalam.

Menurutnya, beliau dijemput bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (J3K), Asri bin Mohamad bagi memberikan semangat kerja lebih 20 orang penduduk kampung.

Turut sama beberapa anggota Jabatan Amal PAS Kawasan Marang.

Justeru itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Marang merakamkan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberi ‘infaq’ sama ada tenaga mahupun wang ringgit.

“Saya ucap terima kasih dan mendoakan agar tempat ni ‘jadi molek’ dan budak-budak boleh belajar ngaji dengan selesa dan terima kasih kepada semua yang menyumbang tenaga dan masa pagi ni, insya Allah kita berjumpa lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

pahit1