Inisiatif PAS Kg Luat Tengah dekati penduduk

Komuniti
Typography
LENGGONG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Cawangan Kampung Luat Tengah mewujudkan Tabung Bekalan Dapur untuk mengumpul barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi, teh dan lain-lain.
 
Ketuanya, Mustafa Kamal Ibrahim, berkata Tabung Bekalan Dapur diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan daif, warga emas, pesakit, mereka dalam keadaan kesempitan wang dan sebagainya yang sangat memerlukan bantuan. 
 
Menurutnya, barangan terkumpul dalam tabung ini akan disalurkan kepada penerima yang berhak di mana telah disenaraikan di seluruh Kampung Luat dekat sini, khususnya menjelang Ramadan ini.
 
"Kami telah mengenal pasti golongan sasar yang hendak diberi bantuan dan bantuan akan disampaikan menjelang Ramadan atau dalam bulan puasa ini," katanya kepada Harakahdaily semalam.
 
Mustafa Kamal menjelaskan, dengan adanya Tabung Bekalan Dapur, akan memberi peluang kepada mereka yang suka menginfaq pada jalan Allah secara berterusan kerana tabung berkenaan akan dibuka sepanjang masa untuk menerima sumbangan.
 
Beliau memaklumkan, kewujudan inisitif itu adalah sebahagian daripada lebih 30 aktiviti yang diputuskan dalam Retreat PAS Kampung Luat Tengah untuk dilaksanakan oleh lima lajnah teras yang dibentuk Mac lalu sepanjang penggal pertama sesi 2019-2021 ini.
 
Katanya, iklan mengenai tabung ini akan ditular kemudian menerusi aplikasi WhatsApp bagi memudahkan mereka yang ingin membuat sumbangan.
 
Sementara itu, Jawatan Kuasa Muslimat PAS Cawangan berkenaan telah pun memulakan aktiviti Ziarah Amal mereka semalam dengan memilih rumah-rumah warga emas.
 
Setiausahanya, Sharizah Shahruddin berkata, Ziarah Amal diketuai Ketua Muslimat, Maznah Mahram telah membersihkan dan mengemas rumah- rumah berkenaan sambil menyampaikan sumbangan sekampit beras, gula, tepung dan lain-lai .
 
"Muslimat memilih hari Sabtu minggu kedua setiap bulan untuk Ziarah  Amal dan telah menyenaraikan rumah-rumah di seluruh kampung untuk tahun ini," maklumnya.
 
Sharizah menjelaskan, peruntukan untuk membeli beras, gula, tepung dan sebagainya itu dikeluarkan dari wang tabung Muslimat sendiri dengan tambahan sumbangan pimpinan Cawangan. - HARAKAHDAILY 15/4/2019
20190415 140122
 
20190415 140105