PASTI Lumut rai murid beli pakaian raya

Komuniti
Typography
LUMUT: PASTI Kawasan Lumut telah meraikan murid-murid dalam kalangan anak yatim dan dari keluarga berpendapatan rendah dengan sumbangan kelengkapan baju raya di Pasaraya TF dan Bazar Ramadan, di sini hari ini.
 
Masing-masing mereka yang menerima set baju raya, kasut, baju harian dan tudung itu adalah dari PASTI Adawiyah, PASTI Al-Huda 1, PASTI Al-Hidayah, PASTI Al-Falah, PASTI At-Ta'alim, PASTI Istiqomah, PASTI Al-Hilal dan PASTI Abu Bakar.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid, dengan pemberian tersebut menjadi kesyukuran dan kegembiraan buat murid-murid tersebut meraikan Aidil Fitri nanti bersama keluarga mereka.
 
Katanya, menerusi program demikian bukan sahaja mengajak masyarakat untuk turut sama menyumbang, tetapi turut menggerakkan komitmen PASTI dalam melaksanakan agenda kebajikan dan meringankan tanggungan waris.
 
Hadir sama memilih dan menyerah sumbangan itu adalah Pengerusi PASTI Lumut, Abdul Basir Muhammad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Lumut, Nurhayat Abu Bakar bersama guru-guru pengiring yang lain. - HARAKAHDAILY 15/5/2019