Bengkel lahir bakat baru wartawan Zon 5 Perak

Komuniti
Typography

PASIR SALAK: Lajnah Penerangan Media Baru Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak telah melaksanakan Bengkel Kewartawanan bagi Zon 5 negeri Perak yang dijayakan di Pusat Aktiviti Sosial PAS Chenderong Balai, di sini semalam.

Objektif utama program dihadiri 33 peserta dari PAS Kawasan Pasir Salak, Teluk Intan, Bagan Datuk dan Tapah ini adalah untuk mengasah pengetahuan serta kemahiran penulisan khususnya berkaitan pelaporan berita.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Penerangan PAS Pasir Salak, Muhammad Zaidi Harris dan Pengarang Harakahdaily, Ustaz Izwan Abdul Halim selaku pembentang dan pembimbing bengkel tersebut.

Program ini mendedahkan peserta kepada dua slot penting iaitu pengetahuan mengenai Operasi Komunikasi Strategik serta teknik cepat dan mudah penulisan tiga jenis berita standard selain sesi soal jawab.

Dalam program tersebut pengetahuan asas untuk menulis serta format standard telah diajar kepada peserta di mana setiap peserta juga diuji dan diberi tunjuk ajar bagi mempraktikkan pelaporan masing-masing.

Lajnah Penerangan Muslimat PAS Pasir Salak turut menyerahkan akhbar rasmi 'Kalam Al-Wardah' kepada Ustaz Izwan dan mengalu-alukan komentar serta pandangan daripada beliau untuk penambahbaikan.

Menurut Ketua Lajnah Penerangan Muslimat PAS Pasir Salak, Qatrunnada Mohd Lafti, pelaksanaan program ini dapat membantu peserta untuk lebih giat lagi berkarya serta menyampaikan maklumat aktiviti telah dilakukan di kawasan masing-masing.

Beliau turut berharap supaya kelangsungan program seperti ini dengan siri-siri serta kupasan modul yang lain dapat dilaksanakan sebagai program tahunan pada masa akan datang. - HARAKAHDAILY 25/8/2019