Kerana lubang, tayar pecah, rim bengkok

Komuniti
Typography

PUTATAN: Berikutan sistem pembentungan yang sudah lama tidak diselenggara, akhirnya air dari dalam pembentung melimpah keluar, sekaligus mengeluarkan bau busuk.

Limpahan air dari pembentung yang berada berhampiran kedai runcit Hap Huat, berhadapan dengan dua buah restoran dan pasar Putatan itu mengalir keluar ke jalan raya, lalu bertakung dan lama-kelamaan takungan air tersebut menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan raya yang semakin hari semakin lebar dan dalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan, Asrul Samat ketika meninjau lokasi berkenaan kelmarin mendapati bahawa perkara tersebut menyebabkan beberapa kesan negatif kepada orang awam dan pengguna jalan raya.

Bau busuk daripada pembentung tersebut ternyata tidak menyenangkan, lebih-lebih lagi kawasan tersebut berhampiran dengan restoran, manakala kerosakan jalan raya pula mengakibatkan berlakunya kesesakan apabila kenderaan dari arah bertentangan perlu menunggu untuk menggunakan ruang jalanraya yang tidak rosak, bagi mengelakkan daripada kenderaan melanggar lubang yang lebar dan dalam.

Jika tidak, ia boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kenderaan serta tidak mustahil hal tersebut boleh menjadi punca kemalangan jalan raya.

Demi keselesaan orang awam dan pengguna jalan raya khususnya, pihak PAS Kawasan Putatan telah membuat aduan berkenaan perkara ini untuk diambil tindakan oleh pihak berwajib agar sistem pembentungan dan kerosakan jalanraya tersebut diselenggara dan dibaikpulih. – HARAKAHDAILY 20/1/2018

Putatlub 2