J3K: Bukan kemuliaan tetapi amanah

Komuniti
Typography

MARANG: Jawatan adalah satu amanah wajib dilaksanakan oleh pemegangnya sama ada suka, payah mahupun senang secara adil dan saksama dan bukannya kemuliaan yang harus dibanggakan.

Pun begitu seseorang mesti memikul beban amanah di mana dia mestilah kuat dan beriman supaya tidak akan menjadi kehinaan dan penyesalan kepada pemegangnya di akhirat nanti jika gagal menjalankannya.

Demikian pesanan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika merasmikan Taklimat Fungsi dan Peranan J3K Daerah Marang.

“Allah taala pernah bentang (amanah) kepada golongan yang lebih besar, tujuh petala langit dan bumi, Allah taala pernah tawarkan, tetapi mereka menolak.

"Beri kepada manusia, manusia ambil, sedia, pikul, tetapi Allah meletak satu amaran, manusia ini ramai yang zalim dan jahil.

"Manusia lupa akibat satu-satu akan dipersoalkan oleh Allah, elaun yang diterima, kita rasa sikit, tetapi akan ditanya oleh Allah, dapat duit, apa kerja awak?

"Sehinggakan Rasulullah pernah menolak permintaan sahabat untuk diberikan jawatan kerana amanah,” pesan beliau kepada seramai 200 orang Pengerusi dan Setiausaha J3K yang baharu dilantik.

Turut hadir dalam majlis tersebut yang diadakan di Pejabat Daerah Marang, ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Kamarudin Yaakob, penghulu-penghulu mukim daerah Marang.

Seterusnya Ustaz Mohd Nor juga mengingatkan J3K adalah mata dan telinga bagi kerajaan untuk membantu melicinkan pentadbiran negeri, sehingga sampai ke akar umbi, bertujuan memenuhi keperluan rakyat.

Beliau turut berpesan agar J3K meningkatkan kesabaran, senyum dalam berkomunikasi menguruskan kehendak rakyat kerana kebiasaannya, mereka inginkan penyelesaian yang segera tanpa memahami prosedur kerajaan.

“Berkat hidup yang paling penting ialah dengan memakmurkan masjid, jadi Pengerusi, SU dan AJK J3K kena rajin pergi masjid.

"Kalau boleh sembahyang subuh berjemaah di masjid, kalau tidak boleh setiap masapun kena ada masa lain.

"Jangan Pengerusi J3K sampai berbulan-bulan tak nampak di masjid,” kata beliau memberi ingatan.

Sementara itu, Pengerusi J3K Bukit Jetit, Pengkalan Berangan, Norhayati Mohd Nor 43, selaku pengerusi wanita tunggal dalam daerah Marang, berkata beliau bersyukur kepada Allah atas lantikan itu walaupun memahami beban yang bakal beliau terima nanti.

“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberi oleh kerajaan sebagai wakil muslimat di kawasan saya.

"Saya akan memastikan pembangunan yang sekata di kawasan saya, masalah sosial dihapuskan dan masalah rumah PPRT yang ada sebahagiannya sudah tidak diduduki oleh generasi kedua kerana sudah keluar dari kemiskinan,” kata beliau apabila ditanya berkenaan rancangan awal beliau sebagai J3K.

Mustafa Yaakob 52, Pengerusi J3K Paya Resak pula merancang untuk menyegerakan pembaikan sistem perparitan yang sedia ada dan menambah jika perlu bagi menangani masalah banjir di sekitar Paya Resak.

“Jalan-jalan kampung juga, saya akan memastikan sentiasa dalam keadaan baik dan akan membaiki mana-mana yang telah rosak.

"Buat masa sekarang ini, semenjak J3K baharu ditubuhkan, kami telah membaik pulih rumah OKU dan mengadakan gotong royong membersih kubur di sini,” ujar beliau. -HARAKAHDAILY 1/8/2018