Kemasik bakal punyai taman tema air

Komuniti
Typography

KEMAMAN: Hasrat besar Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili memajukan daerah itu telah menarik perhatian Pengarah Syarikat Hamzah Ibir Sdn Bhd, Dato' Khaidir Khana Hamzah untuk membangunkan taman tema air di situ.

Idea usahawan terkenal itu tercetus dari kesedaran diutarakan Ir Saiful terhadap pembangunan di situ yang jauh dari mencerminkan hakikat sebagai bandar 'minyak dan gas'.

Sehubungan itu, Dato' Khaidir berhasrat membangunkan taman tema air yang dijangka menelan kos RM3 juta di atas tanah seluas 6 ekar miliknya di Kemasik dan tidak jauh dari Mesra Mall, Kampung Baru Kiri.

Bagi Ir Saiful, beliau menyambut baik penyertaan swasta dan individu perseorangan untuk turut serta membangunkan Kemasik dan tentunya hal itu bakal memberi manfaat kepada penduduk.

Maklum Dato' Khaidir, kerja-kerja pembinaan akan melalui beberapa fasa dan dijangka dapat dibuka kepada awam dalam dua tahun lagi dengan kapasiti 3,000 pengunjung serta menjana ekonomi setempat. -HARAKAHDAILY 1/8/2018