LUMUT: PAS Cawangan Pangkor dan PAS Cawangan Sungai Pinang besar telah menjalankan operasi 'clean and clear' kediaman penduduk yang ditenggelami banjir, di sini semalam.

Berikutan hujan lebat dan bertembung fenomena air pasang besar, selain masalah saliran perparitan telah mengakibatkan banjir kilat melanda pulau ini pada malam kelmarin.

Aktiviti dipimpin Ketua Pemuda PAS Sungai Pinang, Mohd Zailani Yusuf itu turut melibatkan Umno Pangkor bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pangkor serta penduduk setempat.

Gotong-royong kebajikan itu telah menumpukan beberapa kediaman yang teruk menghadapi kejadian ini iaitu di Kampung Masjid, Kampung Haji Hussin dan Rumah Murah.

Maklum beliau, usaha itu juga sebagai meringankan beban mangsa yang merupakan jiran tetangga memandangkan masing-masing akan menempuh bulan Ramadan. - HARAKAHDAILY 6/5/2019

PERMATANG PAUH: Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Tok Kandu telah mengadakan program Sumbangan Kasih Ramadan di Kampung Pertama, di sini semalam.
 
Program tersebut bertujuan menyantuni penduduk, terutama dalam kalangan asnaf terdiri daripada miskin, Orang Kelainan Upaya, sakit, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
 
Menerusi ziarah tersebut, rombongan PAS telah menghulurkan sumbangan berupa keperluan dapur termasuk wang tunai sebagai perbelanjaan menjelang Ramadan.
 
Usaha tersebut selain mengerat silaturahim, juga sebagai kecaknaan terhadap hal ehwal kebajikan golongan tersebut yang sentiasa dalam perhatian pihak PAS.
 
Selain dapat mengemaskini perkembangan semasa golongan itu, pihak PAS Tok Kandu juga setidaknya telah mengurangkan beban serta memberi keceriaan buat mereka.
 
Tidak ketinggalan dikunjungi adalah Guru-guru PASTI Zabidi yang dihargai jasa mereka sebagai pendidik di sini di mana program ini dihasratkan diteruskan setiap Ramadan. - HARAKAHDAILY 5/5/2019

TAWAU: Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah Kawasan Tawau bersama Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) PASTI Nurul Izzah Jalan Saddani telah membersihkan premis tersebut yang ditimpa banjir.

Gotong-royong tersebut telah disertai 30 anggota Amal, guru PASTI, JIBG dan Alumni PASTI ini yang menjalankan kerja-kerja 'clean and clear' (C&C) seawal pagi hingga tengahari, di sini semalam.

Aktiviti tersebut sebagai usaha meringankan beban PASTI Nurul Izzah yang turut mengalami kerosakan memandangkan kedudukannya berhampiran sungai pada kejadian banjir baru-baru ini.

Selain itu, langkah mengadakan kerja-kerja pembersihan tersebut juga supaya dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung sebagaimana sedia kala.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Apas, Munzir Mahmud berharap agar PASTI dan JIBG sentiasa erat untuk bersamaJabatan Amal melaksanakan lebih banyak usaha kemasyarakatan dan kebajikan. - HARAKAHDAILY 5/5/2019

NIBONG TEBAL: Lajnah Pemerkasaan Parti Muslimat PAS Kawasan Nibong Tebal telah mengadakan permukiman dewan itu di Pusat Tahfiz Al-Furqan, Taman Murni, di sini kelmarin.
 
Ia melibatkan penyertaan seluruh Ahli Jawatankuasa Lajnah-lajnah dan Jabatan untuk merencana perjalanan Muslimat PAS Nibong Tebal bagi sesi baharu kepimpinan mereka.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu, Prof Dr Amir Suffian Abdullah hadir sebagai tetamu jemputan memberikan taujihat kepada para peserta.
 
Beliau menyentuh kepentingan merangka gerak kerja seawal sesi selepas berlaku peralihan kepimpinan baharu dalam melangsungkan gerak kerja perjuangan Islam.
 
Memetik ayat 105 surah at-Taubah dalam ucapannya, beliau menyuntik semangat peserta dengan ingatan bahawa Allah, Rasul dan orang Mukmin menjadi saksi usaha dilakukan.
 
Sebanyak sepuluh Lajnah dan dua Jabatan terlibat dalam permukiman tahunan itu selain diwujudkan Lajnah Assabiqun untuk memanfaatkan lebih ramai veteran PAS untuk berkhidmat. - HARAKAHDAILY 3/5/2019

BUKIT GANTANG: Pemuda PAS Cawangan Taman Mewah telah mengambil inisiatif membina hubungan bersama anak-anak muda dalam Dun Kuala Sepetang.
 
Sehubungan itu, satu pertemuan santai dengan menganjurkan perlawanan futsal ukhuwah telah diadakan di Foxx Sport, Econsave Kamunting, di sini kelmarin.
 
Antara pasukan anak muda yang turut serta menyambut salam persahabatan itu adalah dari Taman Mewah FC, Sedih FT, AKFC dan juga Taman Yayasan.
 
Ketua Pemuda PAS Taman Mewah, Muhammad Zamzuri Muhammad Zahari berkata, program tersebut menjadi ruang anak muda lebih mengenali PAS.
 
"Melalui aktiviti ini, kita mahu masyarakat tahu bahawa PAS bukan hanya berpolitik sahaja. Kita juga mengajak anak muda beriadah dan bersukan bersama," ujarnya.
 
Pertandingan yang dijalankan secara format liga itu menyaksikan pasukan Sedih FT unggul untuk muncul juara, manakala AKFC pula sebagai naib juara.
 
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang, Zu Hazmin Badri dan Ketua PAS Cawangan Taman Mewah, Abdul Rahman Hatim. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

BERUAS: Pemuda PAS Kawasan dan Pemuda Umno Bahagian ini giat menarik sokongan anak muda dalam Parlimen Beruas untuk bersama agenda ta'awun yang sedang dijalin kedua parti.

Demikian itu, Pemuda PAS dan Pemuda Umno Beruas mengukuhkan hubungan mereka dengan mengadakan perlawanan bowling di Ocean Bowl Manjung, di sini malam tadi.

Program sempena cuti Hari Pekerja itu telah dirasmikan Ketua Umno Beruas, Dato' Dr Azhar Ahmad yang menyokong agar agenda tersebut didukungi kuat oleh para Pemuda PAS dan Umno.

Sekitar 40 peserta kedua-dua parti menyertai pertandingan itu di mana setiap pasukan digabungkan ahli dari parti PAS dan Umno untuk mereka lebih erat saling mengenali.

Kehadiran dua entiti itu masing-masing dipimpin Ketua Pemuda Umno Beruas, Mohd Fahami Asmawi dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Beruas, Ahmad Faridz Mohamed Sabri. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

NIBONG TEBAL: Sukaneka PASTI As-Solihin telah berlangsung meriah pada temasya yang diadakan di Bandar Tasek Mutiara, di sini semalam.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Nibong Tebal, Ustaz Zulazhar Muhammad, ianya merupakan antara kegiatan luar bilik darjah.
 
Jelasnya, aktiviti kokurikulum itu mendedahkan murid kepada kegiatan sukan dan penting dalam keseimbangan pendidikan mereka.
 
"Kurikulum PASTI digubal dengan menekankan aspek duniawi dan ukhrawi, akademik dan diniah yang bertujuan memberi pentarbiyahan sempurna," ujarnya.
 
Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff sekali gus meraikan lebih 300 murid dan waris.
 
Sukaneka penuh semangat ukhuwah itu turut dihadiri Pengerusi dan Pengurus PASTI, Mohd Nizam Nasir dan Suhaimi Ahmad. - HARAKAHDAILY 2/5/2019
IMG 20190502 WA0048

LUMUT: Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Lumut telah mengadakan Sambutan Hari Guru yang telah dilangsungkan secara santai tetapi meriah di Teluk Batik, di sini semalam.
 
Majlis tersebut telah meraikan 50 guru PASTI Lumut sebagai penghargaan di atas bakti ditabur serta pengorbanan telah didedikasikan mereka kepada PASTI selama ini.
 
Program dipimpin Pengerusi MGP Lumut, Faridah Salamon itu telah dihadiri Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PASTI Lumut, Abdul Basir Mohamad dan Aminuddin Ahmad.
 
Menurut Abdul Basir, perkembangan baik PASTI Lumut selama ini adalah hasil sumbangan dan pengorbanan khususnya dalam kalangan guru-guru PASTI.
 
Beliau menyeru agar mereka terus mengikhlaskan diri kerana segala komitmen tersebut merupakan saham akhirat yang akan menatijahkan 'pendapatan' di akhirat kelak.
 
Majlis ini telah diserikan juga dengan acara permainan seperti 'Telefon Karat', 'Getah dan Straw' serta 'Balingan Kasih' selain pertukaran hadiah dan cabutan bertuah. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

KAMPAR: Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan Rehlah Tarbawi yang telah diadakan di Air Terjun Batu Berangkai, di sini semalam.

Program ini bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama anggota Pemuda selain mengadakan khidmat komuniti membersihkan kawasan persekitaran air terjun.

Pengisian utama telah disampaikan Timbalan Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Anuar Morat, selain diadakan aktiviti Mini Hiking, Santai BBQ dan lain-lain lagi.

Ketua Pemuda PAS Kampar, Shahrizan Ahmad Fuat berharap Rehlah Tarbawi ini menjadi antara aktiviti meribatkan kekuatan Pemuda demi kelangsungan gerak kerja.

Program separuh hari itu menjadi antara aktiviti outdoor terawal diadakan Pemuda PAS Kampar bagi sesi baharu kepimpinan anak muda kawasan tersebut. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

IPOH: Cuti sempena Hari Pekerja menjadi kesempatan buat ahli-ahli PAS Kawasan Tambun mengadakan gotong-royong perdana Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru 1A, di sini semalam.
 
Menurut Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin, usaha itu adalah antara tanggungjawab ke atas pemeliharaan aset dan premis milik parti yang penting sebagai pusat kegiatan dan urusan rasmi.
 
Apatah lagi menurutnya, penggunaan tersebut memerlukan premis itu mesti sentiasa berada dalam keadaan baik untuk menjalankan aktiviti berterusan, lebih-lebih lagi juga sepanjang Ramadan ini.
 
Bagi Naib Ketua Pemuda PAS Tambun, Saiful Nizam Ismail, aktiviti gotong-royong tersebut menjadi medan mengeratkan silaturahim terutama sesama ahli jemaah solat dan kuliah Pusat Tarbiyah ini.
 
Anak muda dipimpin Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Meru, Mohd Yusof Nor Badarudin bersama ahli-ahli PAS Cawangan Taman Meru, Taman Meru 2B dan 2C menjadi tulang belakang aktiviti semalam.
 
Sebagai menampung kos operasi dan penyelenggaraan serta kegiatan Pusat Tarbiyah PAS Tambun, para dermawan boleh menyumbang ke akaun BIMB 0801 3010 0133 61 atas nama Bendahari PAS Kawasan Tambun. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

IPOH: Pasukan DACS Junior FC membuat kemunculan pertamanya dengan menyertai Kejohanan Piala Klebang Putra Soccer Academy (KPSA) bawah 9 tahun, semalam.

Namun, pasukan ini berjaya muncul juara kumpulan dan seterusnya layak ke suku akhir bertemu pasukan DrZ A yang mewakili DrZ Football Academy.

Bagaimanapun DACS Junior FC tewas kepada pasukan lebih berpengalaman itu pada kejohanan yang yang berlangsung di Padang Awam Taman Klebang Putra, di sini.

Pun begitu, pencapaian ini sangat membanggakan di mana DACS Junior FC berada pada kedudukan 8 pasukan terbaik daripada 20 pasukan yang menyertainya.

Pasukan berbakat ini dibarisi semua pemain cilik yang disatukan melalui Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) daripada Tambun, Muallim dan Tapah.

Pengarah Jabatan Sukan, Seni dan Kebudayaan (DACS) Dewan Pemuda PAS Tambun, Muhamad Safwan Jaafar telah bertindak selaku Pengurus Pasukan ini.

Beliau menyatakan hasrat untuk memperkemas lagi pasukan ini untuk terus mengasah bakat yang ada melalui akademi latihan dan penyertaan ke kejohanan berikutnya.

Jurulatih, Mohd Helmi Hashim yakin bahawa pasukan ini boleh dibentuk lebih baik termasuk penyertaan pemain-pemain baharu yang akan turut menjalani latihan selepas ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri turut hadir pada kejohanan yang menyaksikan pasukan DrZ A yang menewaskan DACS Junior FC muncul johan. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

KAMPAR: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Muallim muncul Johan Keseluruhan pada Sukan SRITI Negeri Perak yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa, di sini kelmarin.
 
Kejohanan bagi tahun kedua institusi ini menyaksikan penguasaan SRITI Muallim dan SRITI Lenggong dalam hampir semua acara dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, memanah, lari individu dan bergantian.
 
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri, penganjuran tersebut menunjukkan SRITI bukan sahaja berfokus kepada pendidikan ilmu agama dan akademik, tetapi juga sukan.
 
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam perasmiannya mahu masyarakat melihat kemampuan institusi pendidikan Islam itu melahirkan individu berjaya dalam pelbagai bidang.
 
SRITI yang menjadi kesinambungan PASTI katanya, perlu terus diberi sokongan oleh para ibu bapa agar didikan kepada generasi masa depan dapat menerima ilmu duniawi dan ukhrawi secara seimbang.
 
Hadir sama Pengarah SRITI Perak, Ustaz Zulfadli Zainal, manakala penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait. - HARAKAHDAILY 30/4/2019
IMG 20190430 WA0096