24
Sat, Jun

Tip mengatasi perasaan marah

Surat Pembaca
Typography

MARAH adalah akibat ledakan luar biasa emosi yang sudah tidak mampu dikendalikan oleh sistem saraf di otak dengan pelbagai situasi dan maklumat yang menekan dan mencabar minda.

Ledakan emosi inilah yang dinamakan kemarahan. Biasanya berlaku pada individu yang kurang sabar dan emosional. Marah boleh dilempiaskan secara kreatif bagi individu yang bijak tanpa menyakitkan mana-mana pihak. Banyak cara yang boleh dilakukan bagi menghilangkan kemarahan antaranya melukis, menulis skrip dan mendengar muzik.

Namun, cara yang terbaik adalah dengan mengambil wuduk setiap kali perasaan itu datang. Di samping membaca ayatul Kursi, zikrullah, istighfar serta sentiasa mengingatkan diri bahawa kemarahan itu adalah dari api dan api itu adalah asal kejadian syaitan. Kita harus menutup pintu kemarahan kerana apabila kita marah, syaitan akan berpesta dan itulah cara mudah untuk dia mempengaruhi kita.

Bermakna orang yang sedang marah adalah dikuasai oleh syaitan. Bagi memadamkannya ia perlukan air, maka air wuduklah yang harus kita gunakan bagi membanteras sikap mazmumah di dalam diri kita oleh sikap marah melampau.

Salah satu cara lagi ialah dengan membisikkan kepada diri sendiri dan katakan mengapa aku mesti marah? Apa untungnya aku marah? Kalau aku marah tentu aku menyakiti hati orang. Apa pulak kesan buruk dari tindakan aku ini?

Orang yang sedang marah sebenarnya mempamerkan kelemahan serta kebodohannya. Tentu saja kita tidak mahu dikatakan lemah dan bodoh, jadi mulai hari ini tanamkan sikap untuk menahan rasa marah dan cuba senyum dengan senyuman paling manis biarpun hati sedang mendidih dengan kemarahan.

Cubalah berjenaka dan anggap masalah itu cuma hiburan. Jangan begitu serius semasa bekerja kerana ini akan menyebabkan anda sering tertekan. Serius disini bermaksud begitu terlampau memikirkan kerja sehingga sukar untuk memahami orang lain. Dengan itu, sikap kita yang sebegitu keras akan menekan perasaan orang. Sekaligus menjauhkan orang lain dari kita dan itu bakal mengundang tekanan di dalam diri.

Selain itu, kurangkan aktiviti yang menekan minda, carilah perbualan yang positif dan jangan cuba berbual perkara negatif seperti mengumpat orang, menyebarkan fitnah dan sebagainya. Ini kerana berita-berita kosong akan menyakitkan minda dan jiwa seterusnya meletuskan rasa amarah yang teramat.

Kalau rasa tertekan dengan kerja cubalah bertenang, rehatkan minda seketika, cuba buat sesuatu selama lima minit contohnya melukis, menulis dan buatlah apa-apa sahaja yang seketika tapi jangan pula ambil kesempatan sehingga mengabaikan tugas-tugas kita yang sebenarnya. Tapi bagi orang yang tidak kreatif dia tidak akan dapat memahami erti tekanan yang dihadapi orang lain.

Apa yang dia tahu kerja mesti cepat, mesti siap, tahu mengarah itu dan ini. Bila orang buat kesilapan terus saja dimarahi. Orang sedemikian memang tidak punya perasaan kemanusiaan yang tinggi. Sikap sedemikianlah yang menyebabkan mereka mudah menjadi insan yang pemarah dan tidak tahu menghormati orang lain. Ingatlah bahawa sesungguhnya sifat marah bakal mengundang pelbagai masalah kesihatan kepada anda.

Di samping itu, senyuman juga mampu mengurangkan rasa marah. Walaupun senyum nampak mudah namun senyuman tidak mudah di ukir di wajah orang yang berada dalam keadaan marah. Namun percayalah, dengan senyuman perasaan marah kita akan menjadi reda.

Bagi mengelakkan tekanan di dalam diri anda dan orang lain, sifat marah bukanlah jalan penyelesaian masalah, sebaliknya anda sendiri akan terperangkap dengan masalah yang berpanjangan seandainya ini berlaku di dalam sesebuah organisasi yang anda sertai.

Dengan itu, undanglah suasana yang kondusif dengan senyuman yang sopan dan sikap yang ramah. Tidak perlu hadirnya perasaan marah kerana sifat tersebut harus kena pada tempatnya. Jika tidak marah pun, tidak wajar andai kemarahan itu adalah untuk menegakkan yang hak. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia