Kerajaan negeri digesa bersemuka dengan penduduk

Surat Pembaca
Typography

PERSATUAN Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan sesi dialog dengan semua penduduk di sepanjang jajaran Projek Jalan Berkembar Pesisr Pantai Utara (NCPR) dari Teluk Bahang ke Tanjung Bungah, untuk menjelaskan butiran penuh mengenai jalan dan mendapatkan maklum balas daripada mereka.
 
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga mestilah menjelaskan semua alternatif yang ada untuk jalan itu dan analisis kos manfaat untuk NCPR, supaya penduduk yang terjejas di kawasan itu menyedari sepenuhnya mengenai alasan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek itu.  
 
Sesi dialog seperti itu adalah selaras dengan semangat Kerajaan Negeri yang telus dan bertanggungjawab kepada penduduk Pulau Pinang.
 
Gesaan yang dibuat oleh kami ini adalah selaras dengan ulasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri, Lim Hock Seng baru-baru ini yang memberikan maklum balas kepada kenyataan TBRA supaya NCPR dibatalkan.
 
Menurut laporan akhbar baru-baru ini, Lim berkata Kerajaan Negeri telah mempertimbangkan semua alternatif kepada laluan jalan ke Teluk Bahang dan Batu Ferringhi sebelum membuat keputusan untuk meneruskan dengan NCPR.
 
Lim juga dilaporkan berkata fasa pertama NCPR dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah, yang menurut beliau paling penting untuk disegerakan pembinaannya.
 
Beliau juga dilaporkan berkata terdapat cadangan untuk membina jejambat (viaduct) dari Lembah Permai (di Tanjung Bungah) ke Seri Tanjung Pinang.
 
Berkenaan perkara-perkara ini, pembinaan jejambat tidak disebutkan di mana-mana dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk NCPR.
 
Pembinaan jejambat itu mempunyai implikasi yang serius terhadap sosial dan alam sekitar, yang juga seharusnya dipertimbangkan dalam EIA.
 
Bagaimanakah dengan jajarannya dan komuniti mana serta kawasan kediaman yang akan terjejas?
 
Perkara ini mestilah dijelaskan dengan segera.
 
Adalah ketara bahawa Kerajaan Negeri tidak menjelaskan perkara ini dan menyebabkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Tanjung Bungah.
 
Selanjutnya, EIA untuk NCPR tidak mendedahkan semua alternatif yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri, yang dalam pandangan kami,  merupakan kecacatan utama.
 
Menurut garis panduan bagi EIA, satu EIA yang sempurna untuk projek seharusnya mempunyai pertimbangan alternatif atau pilihan projek dengan sempurna, termasuk menyediakan asas bagi penghapusan pilihan yang dianggap sebagai tidak munasabah. Memandangkan ia tidak dilakukan, Jabatan Alam Sekitar (DOE) seharusnya tidak meluluskan EIA seperti sekarang.
 
Fasa pertama NCPR (Dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah) akan melibatkan beribu penduduk yang akan terjejas yang tinggal di sepanjang koridor jajaran jalan termasuklah Taman Leader Condominium, Jalan Chee Seng 8, Taman Tanjung Bungah, Jalan Chee Seng, Surin Condominium, Coastal Tower, Desa Mar Vista Apartment, Beverly Hills, Shamrock Beach, Sri Sayang Service Apartment,  Ferringhi Delima Condominium dan  Kg. Batu Ferringhi.

Ramai daripada penduduk tidak menyedari implikasi projek jalan terhadap kualiti kehidupan mereka.
 
‘Menjimatkan’ 14 minit masa perjalanan antara Tanjung Bungah dan Teluk Bahang pada kos RM1bilion untuk NCPR akan hilang sebaik sahaja lebih banyak permintaan lalu lintas dijana oleh jalan baharu dalam tahun-tahun akan datang.
 
Kami juga tertanya-tanya kenapa NCPR perlukan laluan berkembar empat lorong?
 
Membina lebih banyak jalan bukan penyelesaian yang lestari, semakin banyak jalan dibina semakin membawa banyak kereta. Mencari pilihan pengangkutan yang benar-benar lestari yang menggerakkan manusia sebagai ganti kereta persendirian hanyalah satu jalan ke hadapan untuk benar-benar menjadikan Pulau Pinang lebih hijau.
 
Oleh itu adalah satu kewajipan dan sangat penting bagi Kerajaan Negeri untuk telus sepenuhnya terhadap keperluan bagi NCPR, implikasinya  kepada penduduk yang terjejas oleh jalan itu dan apakah alternatif yang dipertimbangkan dan dianggap tidak boleh dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 7/9/2017
 
Penulis ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah