SAM gesa pembinaan kilang sawit dikaji semula

Surat Pembaca
Typography

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengkaji semula rancangan pembinaan kilang kelapa sawit di Sungai Renggam Pasir Salak di sini yang mencetuskan bantahan di kalangan penduduk tempatan baru-baru ini,
 
Mereka bimbang jika kilang tersebut dibina di kawasan berkenaan ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan para penghuni taman perumahan berhampiran serta nelayan-nelayan sungai di tempat itu.
 
Mengulas laporan akhbar tempatan (Utusan Malaysia : 15.9.17) mengenai perkara ini, SAM berpendapat kajian terperinci perlu dilakukan sebelum kelulusan pembinaannya diberikan kepada pengusaha terbabit bagi menjamin kualiti alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan tidak terjejas pada masa akan datang.
 
SAM bimbang jika aspek alam sekitar dan masalah sosial tidak diberi keutamaan dalam proses pengeluaran lesen bagi tujuan tersebut, kesan buruk yang melibatkan sumber pendapatan dan kesihatan penduduk mungkin akan turut berlaku.
 
SAM berharap agar pihak yang bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya berhubung bantahan yang dibuat oleh penduduk-penduduk di sini dan perjumpaan perlu diadakan dengan mereka secepat mungkin supaya masalah ini tidak berlarutan
 
SAM juga khuatir pelepasan asap, pencemaran bau busuk dan pembuangan sisa dari kilang tersebut boleh mengganggu keselesaan dan aktiviti harian penduduk-penduduk di sini termasuk mencemarkan air sungai berdekatan serta mengancam hidupan di dalamnya dan sumber pendapatan nelayan kecil di sini.
 
Justeru itu SAM juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan membuat kajian secara menyeluruh kesan yang bakal berlaku jika kilang ini dibina berdekatan dengan kediaman penduduk dan sungai yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki.
 
SAM akan menghantar surat kepada pihak berwajib dalam masa terdekat untuk menggesa masalah ini ditangani segera. – HARAKAHDAILY 20/9/2017