Malaysia pusat tumpuan pelancongan Islam

Surat Pembaca
Typography

MALAYSIA kekal di tangga pertama sebagai destinasi pelancongan Islam paling popular dalam pasaran pelancongan Muslim global dan ia merupakan kejayaan buat tahun kelapan berturut-turut buat Malaysia menurut hasil kajian selidik Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018.

Kaji selidik tersebut dijalankan terhadap 130 destinasi dengan mengambil kira aspek dan kriteria yang merangkumi infrastruktur, komunikasi dan cara sesebuah destinasi memasarkan kedudukannya kepada khalayak sasaran seperti keadaan alam sekitar dan perkhidmatan.

Menurut kaji selidik tersebut, Malaysia mendapat jumlah skor sebanyak 380.4 berbanding Indonesia di tangga kedua dengan skor 367.4 manakala Arab Saudi di tangga ketiga dengan skor 367.1. Jumlah skor ini berdasarkan kriteria dalam kemudahan perkhidmatan mesra Islam yang mudah untuk didapati yang merangkumi restoran yang diiktiraf halal, kawasan dan ruang solat, serta lapangan terbang dan hotel yang mesra Islam.

Dalam usaha untuk membangunkan lagi produk dan perkhidmatan pelancongan Islam di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pusat Pelancongan Islam (ITC) Malaysia pada tahun 2009 dan ia membantu dalam menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam mengekalkan kedudukan sebagai destinasi nombor satu pelancongan Islam global.

Malaysia begitu prihatin dalam menghasilkan produk pelancongan Islam negara yang baik dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengurusan pentadbiran negara, memacu pertumbuhan hub dan produk halal, serta pembinaan infrastruktur dan mercu tanda berkonsepkan seni bina Islam.

Usaha Banda Aceh menjadikan destinasi mereka ke arah destinasi pelancongan Islam selepas tsunami dan Jepun salah sebuah negara yang terkenal dengan negara mesra Islam juga sangat sesuai untuk dijadikan contoh oleh destinasi-destinasi pelancongan yang lain.

Untuk menjadikan sesebuah destinasi menjadi sebuah destinasi idaman dan tumpuan pelancong Islam, pihak berwajib sesebuah destinasi pelancongan hendaklah memahami keperluan dan kehendak pelancong Islam dan menyesuaikannya dengan keadaan dan kesesuaian destinasi, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Dalam konteks pelancongan Islam, antara aspek yang paling utama untuk dititikberatkan ketika melancong adalah makanan halal, penginapan mesra Islam dan aktiviti yang tidak melanggar syarak.

Keperluan utama bagi pelancong Islam adalah makanan yang halal. Usaha untuk mendapatkan makanan yang halal merupakan salah satu perkara wajib yang dituntut dalam Islam dan perlu dilakukan oleh setiap Muslim tidak kira di mana jua mereka berada.

Islam menggesa umatnya untuk mendapatkan makanan halal dan baik selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal dan baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (al-Baqarah, ayat 168).

Gesaan mengenai makanan halal ini juga ada disebut di dalam surah al-Maidah, ayat 88 yang bermaksud: “Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepadamu sebagai rezeki yang halal dan baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya”.

Penginapan yang mesra Islam bukanlah bermaksud wajib ada musolla atau masjid di dalam kawasan penginapan, ia memadai dengan adanya tanda arah kiblat dan paip air untuk berwuduk dan beristinjak. Manakala kolam renang yang berasingan dan bilik persalinan tertutup serta tidak menjalankan aktiviti yang melanggar syarak seperti judi dan arak juga perlu diambil perhatian dalam memenuhi kehendak dan keperluan Islam.

Diharapkan, dengan berkembangnya pelancongan Islam bukan sahaja dapat menggalakkan umat Islam untuk bermusafir dan melihat kebesaran pencipta, secara tidak langsung dapat menyebarkan kecantikan dan keindahan agama Islam secara global. – HARAKAHDAILY 11/10/2018

Penulis ialah Mahasiswa Sarjana Bahasa Arab Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.