SAYA kira para penyokong ketum silap perkiraan. Mereka hanya bermimpi di siang hari dan khayal. Kononnya Jerman lebih maju dari negara kita kerana tidak pandai mengeluarkan produk ketum secara pil itu. Kononya juga Malaysia mengamalkan undang-undang terkebelakang kerana mengharamkan metragynine yang terdapat dalam ketum.

kratomApa yang berlaku, pil itu hanyalah serbuk kisaran ketum yang mungkin diseludup dari negara kita. Cuma bezanya dengan ketum kedai kopi belakang kilang getah kampung xxxx, orang Jerman membuat inovasi memasukkan serbuk ketum itu dalam kapsul gelatin dan bungkus cantik dalam botol. Itu sahaja, tiada nilai tambah pun. Manakala kedai kopi belakang kilang getah itu menggunakan teknik rebus daun. Sekali sekala dicampur air rebusan itu dengan ubat gegat dan ubat nyamuk bagi menambahkan khayal.

Dakwaan mereka bahawa kapsul ketum ini boleh mengubati darah tinggi, kencing manis, tingkatkan sistem imun dan pelbagai lagi hanya andaian-andaian. Masih di peringkat hipotesis. Tiada pun lagi kajian klinikal bahawa ketum ini sama tara dengan ubat darah tinggi, ubat kencing manis yang sudah berada di pasaran sekarang ini.

Saya konsisten dalam mempertahankan bahawa ketum ini tiada manfaat besar kecuali dibuktikan sebaliknya. Ironinya ia menimbulkan ketagihan di kalangan penagih. Lebih sadis, ketum ini menjadi pintu masuk kepada pengedaran dadah-dadah lain yang menjadi musuh utama negara.

Marilah bersama saya menutup pintu-pintu fitnah itu dalam masyarakat.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli

Soalan
Kategori: Kesihatan
Macam mana kita nak mengatasi mengantuk yang melampau di waktu siang menyebabkan hilang tumpuan kerja...mengantuk tidak kira masa...mohon penjelasan dari sahabat...jazakallah khairan kathira.

Jawapan:

1. Tidur adalah satu keperluan dalam kehidupan. Manusia menghabiskan satu pertiga kehidupan untuk tidur [1]. Badan memerlukan kerehatan setelah berpenat sepanjang hari. Kajian menunjukkan jumlah tidur malam 5-7 jam sudah mencukupi bagi menyegarkan badan pada siang hari [2]. Jumlah kecukupan tidur bagi setiap individu berbeza-beza bergantung kepada metabolisma badan masing-masing. Secara urufnya, jika tidur mencukupi, badan kita akan segar apabila bangun pagi. Tidur yang tidak mencukupi, akan mengganggu sifat, perangai dan fizikal seseorang.

2. Punca tidur tidak mencukupi disebabkan beberapa faktor:

(i) Makan ubatan yang anti tidur, makanan yang berkefein (kopi)

(ii) Terlalu menumpu kepada gajet seperti komputer game, telefon pintar sehingga menjadi ketagihan.

(iii) Suasana bilik tidur yang tidak kondusif seperti bising, panas atau bau yang tidak menyenangkan.

(iv) Beberapa penyakit perubatan yang mengganggu fizikal.

3. Apabila dilihat kita selalu mengantuk semasa siang hari, siasat beberapa perkara:

(i) Adakah anda gemuk dan tidur berdengkur? Kemungkinan mempunyai masalah "Obstructive Sleep Apnea" - pernafasan berhenti seketika semasa tidur menyebabkan anda kerap terbangun tanpa sedar untuk dapatkan udara. OSA ini telah dibuktikan mempunyai kaitan dengan risiko sakit jantung [3].

(ii) Kaki selalu kejang dan menyentak (twitching)? Kemungkinan anda mengalami Restless Leg Syndrome - kaki tidak rehat semasa tidur, bergerak ke sana-sini. Ianya boleh mengganggu tidur yang berkualiti tanpa kita sedari. Ia juga mungkin berkait rapat dengan penyakit buah pinggang, kencing manis dan penyakit saraf. (Pengesahan dan pemeriksaan doktor amat diperlukan). Minum kopi sebelum tidur boleh menyebabkan RLS ini semakin serius. [4]

(iii) Terdapat kajian juga mengaitkan Vitamin D boleh menyebabkan gangguan semasa tidur. Sila lihat rujukan ini [5].

4. Tidur sebentar semasa siang hari juga telah menjadi hasilan kajian para pengkaji yang mengaitkan kesan kesihatan. Rasulullah SAW melazimi qailulah, iaitu tidur seketika sama ada sebelum atau selepas zuhur. Kajian mendapati sesiapa yang tidur sebentar kurang dari 30 minit boleh mengurangkan kematian akibat serang jantung [6]. Tetapi kajian lain pula menyatakan jika tidur melebihi 30 minit boleh menyebabkan penyakit kencing manis![7].

"Ilmu Allah itu luas, penerangan ringkas ini tidak mencukupi kerana isu tidur dan permasalahannya terlalu banyak dibincangkan sehinggakan ada persatuan masalah tidur ditubuhkan dalam banyak negara."

Link Rujukan
[1]  Colten HR, Altevogt BM. Sleep Disorders and Sleep Deprivation: An Unmet Public Health Problem. Online http://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK19956/.
[2] M Suzanne Stevens. Normal Sleep, Sleep Physiology, and Sleep Deprivation. Online http://emedicine.medscape.com/article/1188226-overview.
[3] Sleep Apnea -a Overview and Facts. Online http://www.sleepeducation.org/essentials-in-sleep/sleep-apnea/overview-facts
[4] SDA Facts Sheet.  Restless Legs and PLMS. Online https://www.sleepoz.org.au/images/FactSheets/AT07-Restless_Legs_and_PLMS.pdf.
[5] Vitamin D Deficiency Could Explain Your Restless Nights and Broken Sleep. Online http://bodyecology.com/articles/vitamin-d-deficiency-could-explain-your-restless-nights-and-broken-sleep
[6] Darul Ifta. Online http://islamqa.org/hanafi/darulifta-deoband/24332
Naska A1, Oikonomou E, Trichopoulou A, Psaltopoulou T, Trichopoulos D. Siesta in healthy adults and coronary mortality in the general population. Online http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed?cmd=Retrieve&dopt=AbstractPlus&list_uids=17296887.
[7] Webmd. Daytime Sleepiness, Long Naps Tied to Heart Risks. http://www.webmd.com/sleep-disorders/news/20160324/daytime-sleepiness-long-naps-linked-to-heart-risks-study.

Dr Suhazeli Abdullah
Kuala Terengganu

BAYAN LINNAS SIRI KE- 97: TERSALAH BERBUKA PUASA AWAL KERANA AZAN DI RADIO
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 18 Jun 2017
 

Soalan: Apakah hukum seseorang yang berbuka puasa sekitar 5 minit sebelum azan disebabkan DJ radio tersalah mengumandangkan azan Maghrib lebih awal?

Jawapan:

Telah sampai kepada kami isu tersalah azan Maghrib sebelum masuknya waktu. Dalam hal ini, kami amat prihatin apa yang berlaku dan meneliti respon serta pendapat pelbagai pihak berkaitan dengan situasi yang berlaku itu. Apakah puasa perlu diqadha’ atau tidak? Maka, kami akan bahaskan dalam ruangan ini sebagai pencerahan dan penyelesai kepada kemelut isu yang berlaku ini. Semoga jawapan yang dikemukakan ini menjadi tenang jiwa dan lapang dada kepada mereka yang ingin mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya berpandukan kepada neraca syariat dan fiqah Islami.

Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin. Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…”  (Surah al-Baqarah: 187)

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.”

Berhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. Terdapat dua pendapat.

Pertama, jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.

Kedua, hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.

Hujah dan Dalil

Kami kemukakan di sini dalil serta hujah dari kedua-dua belah pihak.

Hujah Jumhur Yang Mengatakan Batal Puasa

Kami kemukakan di sini mengikut pandangan 4 mazhab di kalangan jumhur.

Mazhab Hanafi

Imam Al Kasani dari kalangan Hanafiah menyebutkan di dalam kitabnya Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’, 2/100 berkata:

ولو تسحر على ظن أن الفجر لم يطلع فإذا هو طالع أو أفطر على ظن أن الشمس قد غربت فإذا هي لم تغرب فعليه القضاء ولا كفارة لأنه لم يفطر متعمدا بل خاطئا

Maksudnya: "Jika seseorang bersahur dengan menyangka bahawa fajar belum terbit, sedangkan sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan menyangka bahawa matahari telah tenggelam, padahal sebenarnya ia belum tenggelam, maka wajib baginya mengqadha puasanya tersebut tanpa perlu membayar kaffarah. Ini kerana dia tidak membatalkan puasanya tersebut secara sengaja tetapi tersilap."

Mazhab Maliki

Ibn Abdi al-Barr dari kalangan Malikiyah menyebutkan dalam kitabnya Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah, 1/350:

ومن السنة تعجيل الفطر وتأخير السحور والنهار الواجب صومه هو من طلوع الفجر إلى مغيب الشمس فإذا استيقن الصائم مغيبها حل له الفطر فإن ظن ان الشمس قد غربت بغيم أو بغيره فأفطر ثم ظهرت الشمس فعليه القضاء

 Maksudnya: "Daripada sunnah ialah menyegerakan berbuka dan menta’khirkan sahur. Pada siang hari maka wajib baginya berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Apabila ia yakin telah tenggelamnya matahari, maka halallah baginya berbuka. Sebaliknya diwajibkan baginya mengqadha puasa sesiapa yang berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam dengan sebab lindungan awan atau lainnya padahal belum tenggelam.”

Mazhab Syafie

Berhubung mazhab kita iaitu mazhab al-Syafie, Imam al-Nawawi menjelaskan:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.

Maksudnya: “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363)

Begitu juga hukum yang sama iaitu batal puasa bagi yang menyangka tenggelam matahari, sedangkan hakikatnya belum tenggelam, boleh ditemui dalam Nihayat al-Muhtaj, 3/174; Fath al-Mu’in, hlm. 269; Mughni al-Muhtaj, 2/161.

Mazhab Hanbali

Ibnu Qudamah dari kalangan Hanabilah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni, 3/145

وكل من أفطر والصوم لازم له، كالمفطر بغير عذر، والمفطر يظن أن الفجر لم يطلع وقد كان طلع، أو يظن أن الشمس قد غابت ولم تغب، أو الناسي لنية الصوم، ونحوهم، يلزمهم الإمساك. لا نعلم بينهم فيه اختلافا

Maksudnya: "Dan setiap yang berbuka sedangkan puasa wajib baginya seperti orang yang berbuka tanpa uzur, dan yang berbuka dalam sangkaan bahawa fajar belum terbit, sedangkan sudah terbit atau sangkaan matahari telah tenggelam padahal belum, atau orang yang lupa niat puasa dan seumpamanya maka dia wajib untuk melanjutkan puasanya tersebut, tanpa ada khilaf sepengetahuan kami berkaitan hal ini.”

Hujah dan Dalil Yang Menyatakan Tidak Batal

Kami kemukakan di sini sebahagian daripada hujah mereka.

Mazhab Hanbali

Al-Mardawi dari kalangan Hanabilah mengatakan dalam kitabnya Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf, 3/310

وإن أكل يظن الغروب، ثم شك ودام شكه: لم يقض وجزم به، وقال في القاعدة التاسعة والخمسين بعد المائة: يجوز الفطر من الصيام بغلبة ظن غروب الشمس في ظاهر المذهب،

Maksudnya: “Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qadha’ puasa tersebut. Dan inilah yang dijazamkannya. Dia berkata pada kaedah 159: Harus berbuka puasa dengan sebab sangkaan berat matahari telah tenggelam pada zahir mazhab.”

Mazhab Zahiri

Ibnu Hazm Al-Andalusi menyebutkan dalam kitabnya Al-Muhalla Bi Al-Athar, 4/356:

ومن ظن أنه ليل ففعل شيئا من ذلك فإذا به قد أصبح؛ أو ظن أنه غابت الشمس ففعل شيئا من ذلك فإذا بها لم تغرب -: فإن صوم كل من ذكرنا تام لقول الله تعالى: { وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ }

Maksudnya: “Siapa yang menyangka bahawa masih malam lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), sedangkan sebenarnya sudah waktu Subuh atau pagi, atau dia menyangka matahari telah tenggelam, lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), tetapi sebenarnya belum tenggelam lagi, maka puasanya setiap mereka yang kami nyatakan adalah sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”
Jawapan Kepada Hadith al-Bukhari

Lafaznya seperti berikut:

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَتْ: «أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya: "Daripada Asma’ binti Abi Bakr R.Anhuma berkata: ‘Kami telah berbuka puasa pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih lagi muncul.”
Hadith ini adalah hadith sahih riwayat al-Bukhari, no. 1959.

Untuk menjawab isu ini, alangkah baiknya kita melihat perawi yang menyebut selepas lafaz hadith ini. Antara lain berkata:

قِيلَ لِهِشَامٍ: فَأُمِرُوا بِالقَضَاءِ؟ قَالَ: «لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ»

Maksudnya: "Ditanya kepada Hisham: ‘Maka apakah mereka diperintahkan untuk qadha’? Jawabnya ‘Mesti qadha’."

Tarjih

Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:

Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187.
Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.
Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.
Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:
عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”

Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:

“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)

Justeru, kami berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Wallahua’lam.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Jun 2017 bersamaan 23 Ramadhan 1438H

IRSYAD AL-FATWA #201: MAJLIS MEMPERINGATI PENGGIAT SENI YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 16 Jun 2017

Soalan: Apakah hukum melakukan tribute buat penggiat seni / artis yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Telah sampai ke meja kami soalan daripada seorang penggiat seni berhubung hukum membuat majlis tribute kepada golongan karyawan yang telah meninggal dunia. Sebagai contoh, Anugerah Tribute P.Ramlee, Anugerah Kaseh Tribute P.Ramlee dan lain-lain yang seumpamanya. Adakah ia dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya?

Definisi Tribute

Tribute adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud

an act, statement, or gift that is intended to show gratitude, respect, or admiration.
Maksudnya: Satu perbuatan, kenyataan atau hadiah yang dikhususkan untuk menzahirkan rasa terima kasih, penghormatan dan kekaguman.

Ia adalah satu bentuk majlis bagi memperingati (commemoration) jasa seseorang yang telah meninggal dunia. Dalam Islam, ia dikenali dengan istilah al-ta’bin (التأبين) ataupun al-ritha’ (الرِثاء).

Hukum Majlis Memperingati Orang Yang Telah Mati

Kami melihat, ada tiga bentuk hukum majlis ta’bin ini dan ianya bergantung kepada bagaimana ia diadakan.

Pertama: Haram

Majlis sebegini menjadi haram sekiranya ianya lebih kepada ratapan, tangisan yang melampau-lampau, menambahkan kesedihan dan kepiluan akan kehilangan si mati. Ini sebagaimana hadith daripada Ibn Abi Aufa:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المراثي

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang al-marathi.”
(Riwayat Ibn Majah, no. 1592)

Al-ritha’ adalah ratapan atau pujian terhadap si mati setelah dikuburkan. Ia juga boleh difahami dengan kesedihan terhadap si mati akibat sesuatu yang menimpanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 14/309)

Ratapan sebegitu juga termasuk dalam kategori al-nihayah yang dilarang oleh Nabi SAW. Sabda Nabi SAW;

ليس مِنَّا من ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَةِ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami, mereka yang memukul muka, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 1232)

 Kedua: Makruh

Ini merupakan pandangan sebahagian ulama’ Syafi’iyyah. Imam al-Nawawi berkata:

“Berkata penulis kitab at-Tatimmah (Imam al-Mutawalli al-Naisaburi), bahwa hukumnya makruh memuji-muji si mati dengan menyebutkan nenek moyangnya, sifat-sifatnya dan perbuatannya. Apa yang lebih utama adalah mendoakan keampunan buatnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/216)

Imam al-Ramli menyebutkan:

“Dimakruhkan untuk memuji atau meratapi si mati atas larangan al-marathi.” (Lihat Nihayat al-Muhtaj (3/17).

Ketiga: Harus

Ini merupakan pandangan ulama’ Hanafiah dan sebahagian Syafi’iyyah. Muhammad bin ‘Ali al-Hanafi menjelaskan,

“ Tidak ada masalah untuk memindahkan jenazah sebelum dikuburkan, dan mengumumkan kematiannya, serta memujinya dengan syair atau cara lain, tetapi dimakruhkan berlebih-lebihan di dalam memujinya apalagi disamping jenazahnya ( yang baru saja dikuburkan).” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin (2/239)

Sekiranya majlis tersebut hanya sekadar memperingati jasa seseorang tanpa pujian yang berlebihan-lebihan sehingga membawa kepada penipuan, tidak ada ratapan, tangisan yang melampau, maka para sahabat dan para ulama’ banyak yang melakukannya Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli. (Lihat Nihayat al-Muhtaj (3/17).

Memetik kenyataan al-Mubarakfuri,

"Al-Marathi yang dilarang adalah yang di dalamnya terdapat pujian kepada si mati dan penyebutan tentang kebaikan-kebaikannya yang membangkitkan kesedihan dan memperbaharui kepiluan. Atau melakukan hal tersebut dengan cara berkumpul atau memperbanyakkan perkara-perkara tersebut. Apa yang hendak dinyatakan di sini adalah Nabi SAW sendiri berdukacita dan bersedih atas kematian Sa’d di Mekah selepas hijrah, bukannya pujian kepada si mati untuk membangkitkan kesedihan. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qastallani.” (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, 6/253)

Dalam satu hadith riwayat Anas bin Malik RA, beliau berkata:

مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا، فَقَالَ: وَجَبَتْ ,فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه، مَا وَجَبَتْ قَالَ: هذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ، وَهذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ، أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللهِ فِي الأَرْضِ

Maksudnya: “Suatu ketika para sahabat melewati jenazah yang diangkat menuju pemakamannya, merekapun memuji jenazah ini. Kemudian Nabi SAW bersabda : Telah wajib (baginya syurga).  Kemudian mereka melewati jenazah lain, maka mereka pun memberikan penilaian buruk, maka Rasulullah SAW bersabda : Telah wajib (baginya neraka). Maka Umar bin Khattab RA bertanya,”Apanya yang wajib?” Jawab Nabi SAW: “Jenazah pertama kalian puji dengan kebaikan, maka dia mendapat syurga. Jenazah kedua kalian cela, maka dia mendapatkan neraka. Kalian adalah saksi Allah di muka bumi.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 1367)

 Hadith di atas seolah-olah memberi petunjuk kepada kita bahawa apa yang disebutkan itulah yang diperoleh oleh si mati. Maka, majlis memperingati si mati yang disulami dengan doa memohon keampunan untuknya setidak-tidaknya dapat meringankan bebanannya di alam barzakh dan mengangkatnya ke darjat yang lebih tinggi di sisi-Nya.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa Nabi SAW sendiri pernah bersedih dengan pemergian Sa’d bin Khaulah dengan sabdanya:

لَكِنْ الْبَائِسُ سَعْدُ بْنُ خَوْلَةَ

Maksudnya: Tetapi kasihan Sa’ad bin Khaulah
(Riwayat al-Bukhari, 1295)

Maka, jelas di sini bahawa melafazkan kesedihan terhadap si mati bukanlah sesuatu yang dilarang asalkan tidak berlebih-lebihan. Imam al-Nawawi Rahimahullah juga membawakan dua hadith (Riwayat al-Bukhari, no. 1367 dan 1368) dalam Bab “Pujian Orang-Orang kepada Orang yang Meninggal Dunia” dalam kitabnya Riyadh al-Salihin.

Beliau mengatakan bahawa pujian yang dimaksudkan adalah pujian daripada ahl al-fadhl ataupun orang soleh yang punya keutamaan. Pujian mereka pasti sesuai kenyataan yang ada dari orang yang meninggal dunia. Sehingga dinyatakan dalam hadith, dialah yang dijamin syurga.

Selain itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pujian itu terdapat secara umum dan mutlak. Setiap muslim yang mati, Allah akan memberi ilham pada orang-orang dan majoritinya untuk memberikan pujian padanya, itu adalah petanda bahawa ianya adalah penduduk syurga, baik pujian tersebut benar ada padanya atau tidak. Jika memang tidak ada padanya, maka tidak dipastikan mendapatkan hukuman. Namun, ia tetap berada di bawah kehendak Allah. Justeru, jika Allah mengilhamkan kepada orang-orang untuk memujinya, maka itu tanda bahawa Allah menghendaki padanya mendapatkan keampunan. Itu sudah menunjukkan faedah dari memujinya. Demikian penjelasan dari Imam Nawawi. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/20)

Al-Khatthabi juga menjelaskan:

“Adapun al-marathi yang di dalamnya terdapat pujian kepada si mati dan mendoakannya, maka hal tersebut tidaklah makruh. Ini kerana Rasulullah SAW pernah memuji beberapa Sahabat (yang telah meninggal dunia) sebagaimana yang diriwayatkan para ulama.” (Lihat Gharib al-Hadith, 1/649)

Oleh itu, kami berpandangan bahawa majlis memperingati sumbangan dan jasa seseorang yang telah mati, adalah diharuskan di dalam Islam dengan mematuhi beberapa garis panduan berikut:

Tidak ada ratapan dan tangisan yang melampau.
Tidak menimbulkan kesedihan yang bersangatan atas pemergian si mati.
Tidak ada pujian yang keterlaluan apatah lagi penipuan
Anjuran kepada keluarga si mati untuk bersabar dan tabah menghadapi ujian tersebut.
Memberikan motivasi kepada hadirin untuk mengambil pengajaran dan mencontohi sumbangan si mati dalam hal kebaikan.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkilkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Jun 2017 bersamaan 21 Ramadhan 1438H

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-203: SOLAT ISYAK MENDAPAT GANJARAN LAILATUL QADAR
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 14 Jun 2017

Soalan: Apakah dengan solat Isyak di masjid pada 10 malam terakhir akan mendapat ganjaran orang yang berqiyam pada malam al-Qadar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ramadhan merupakan satu bulan di mana Allah SWT anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan tawaran-tawaran yang hebat dan lumayan. Ini termasuklah sepuluh malam terakhir yang terdapat padanya satu malam yang ganjaran lebih baik daripada seribu bulan. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah hadith daripada Sahih Ibn Khuzaimah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat Isyak yang terakhir (Isyak merupakan solat fardhu terakhir yang wajib ditunaikan atau solat Isyak yang sebenar dalam waktunya) dengan cara berjemaah pada bulan Ramadhan maka dia telah mendapatkan Lailatul al-Qadar”. [Riwayat Ibn Khuzaimah (2195)]

Kebanyakan ulama’ mengatakan kelebihan malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Antaranya, Imam al-Syafie RA mengatakan disunatkan seseorang itu bersungguh-sungguh pada siang harinya (hari Lailatul Qadar) sebagaimana dia bersungguh-sungguh pada malamnya. Imam al-Syafie RA berkata lagi pada mazhabnya yang lama:

مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”. [Lihat: Raudhah al-Tholibin, 390/2]

Di samping itu, tidak diketahui nas yang bertentangan dengan hal ini di dalam mazhab Imam al-Syafie yang baru. Dengan itu, setiap yang dinaskan di dalam mazhab yang lama yang mana tidak berlaku percanggahan di dalam mazhab yang baru samada yang bertentangan dengannya atau juga yang bertepatan dengannya maka itu adalah mazhabnya. Tambahan pula, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar. Ini juga merupakan pendapat ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) ketika menafsirkan ayat tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 451/6]

Kami cenderung untuk mengatakan bahawa ganjaran malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah kerana itu telah dikira sebagai qiyam dan telah bermula waktu malam al-Qadar. Walaubagaimanapun, kita dituntut untuk mencari dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir berdasarkan hadith-hadith sahih lain. Antara ganjaran lain yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya pada malam al-Qadar adalah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadith yang sahih:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa berqiyam pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari (1901)]

Penutup

Kesimpulannya, malam al-Qadar adalah satu malam yang istimewa disediakan oleh Allah SWT secara khusus oleh umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Di samping itu, marilah sama-sama kita penuhkan amalan-amalan kita pada sepuluh hari atau malam terakhir di bulan Ramadhan ini dengan amalan-amalan seperti membaca al-Quran, berdoa, bersedekah dan amalan-amalan kebaikan yang lain kerana di dalam hari-hari tersebut pasti akan ditemui malam al-Qadar. Di sini kami ingin kongsikan sebuah hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Nabi SAW dalam beribadah:

Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim (2009)]

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

Wallahua’lam

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-200 : CARA MENYUCIKAN TELEFON BIMBIT YANG DITIMPA NAJIS
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 02 Jun 2017

Soalan:
Salam Dr. Bagaimanakah cara bersihkan handphone yang terkena najis sedangkan peralatan sebegitu tak boleh kena air. Apakah memadai sekadar dengsn renjisan air dan mengelapnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pendapat Ulama Tentang Menyucikan Besi yang Berkilat

Isu menyucikan telefon bimbit yang terjatuh ke dalam najis yang cair adalah isu baharu yang memerlukan perhatian. Kami melihat kes yang paling dekat yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh adalah penyucian bahan-bahan berkilat seperti pedang dan cermin dengan menyapunya. Kami nyatakan pendapat para ulama tentang hal itu.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Jika najis terkena pada sesuatu yang berkilat seperti pedang, pisau dan cermin dan seumpamanya, tidak boleh disucikan dengan sapuan dan tiada yang boleh menyucikannya melainkan dengan basuhan jua seperti bahan-bahan lain. Inilah juga adalah pendapat Ahmad dan Daud manakala Malik dan Abu Hanifah berkata ia disucikan dengan sapuan.”
Rujuk al-Majmu` (2/599)

Imam al-Zailaie Rahimahullah daripada ulama Hanafiyyah menghuraikan: “Hukum pedang yang diperbuat daripada besi yang berkilat sama hukumnya seperti cermin dan pisau. Jika menjadi mutanajjis, ia disucikan dengan sapuan. Ini seperti mana kisah yang sahih bahawa para sahabat Rasulullah SAW, mereka membunuh orang kafir (harbi dalam peperangan) dengan pedang-pedang mereka, kemudian menyapunya dan bersolat dengannya. Ini kerana membasuh (dengan air) akan pedang dan cermin (besi) dan bahan yang seumpamanya akan merosakkannya (seperti karat dan lain-lain). Maka dalam kes ini ada darurat.”
Rujuk Tabyin al-Haqa’iq (1/72)

Hukum Telefon Yang Terkena Najis

Justeru, pendapat kedua menuntut agar dibasuh bahagian yang terkena najis dan tidak merosakkan telefon dan disapu dengan kain atau seumpamanya yang boleh menghilangkan ain najis tetapi tidak boleh dibasuh kerana akan merosakkan atau ditakuti akan merosakkannya, dengan kain sehingga kering dan boleh dibawa solat.

Manakala bagi pendapat pertama, telefon berkenaan masih boleh digunakan tetapi tidak boleh dibawa solat. Maka diletakkan telefon tersebut di tempat lain, atau berdekatan dengan tempat solat tanpa terkena pada badan ketika solat.

Kesimpulan

Kami cenderung kepada pendapat yang pertama bertepatan dengan mazhab al-Syafie. Pun begitu, ada beberapa pilihan dan kaedah yang masih boleh dipertimbangkan.

Pertama, jika telefon jatuh ke tempat najis, contohnya ke lubang jamban, kemudian segera dicuci dengan air pada bahagian luar. Ini kerana telefon bimbit berbeza kadar ketelapan dan kalir airnya. Ada telefon yang senang dimasuki air dan ada yang sukar bahkan kalis air. Jika ada baki air yang keluar daripada soket atau telefon itu yang tidak memiliki sifat najis seperti bau, warna dan rasa, maka dianggap suci. Jika baki tersebut bersifat dengan najis, maka dihukum najis. Ini kerana yang diyakini terkena najis itu adalah bahagian luar sedangkan bahagian dalamnya bergantung pada binaan telefon tersebut.

Kaedah ini berdasarkan hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.
Rujuk al-Iqna’ (hal. 49) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini Rahimahullah.

Samalah juga hukum mendukung bayi ketika solat. Sah solat jika tidak zahir ciri-ciri najis pada pakaian bayi itu ketika didukung. Ini kerana sekalipun hukum kebiasaan bayi itu adalah tidak mampu menjaga diri daripada najis lantaran belum mumayyiz, tetapi hukumnya kembali kepada hukum asal berdasarkan apa yang zahir di sisi orang yang solat.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Maka setiap pakaian yang tidak diketahui siapa yang menenunnya adakah Muslim, musyrik, penyembah berhala, majusi, ahli kitab, atau pakaian berkenaan dipakai oleh salah seorang daripada mereka, atau bayi, maka hukumnya adalah suci sehingga diketahui kenajisannya. Begitu juga pakaian bayi itu, kerana Rasulullah SAW pernah solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As sedangkan dia adalah bayi perempuan yang memakai pakaian bayi (yang kebiasaannya bernajis seperti lampin)”
Rujuk al-Umm (1/72)

Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”

Imam al-Nawawi mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”
        Rujuk al-Majmu` (3/150)

Begitu juga kaedah yang Rasulullah SAW anjurkan setelah beristinja’ disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh diihtimal (diambilkira) bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Daripada al-Hakam bin Sufyan (atau Sufyan bin al-Hakam):

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW kencing lalu merenjiskan air pada kemaluannya.”
Riwayat Ahmad (23470), Abu Daud (167), Hakim (609), al-Nasaie (135) dan lain-lain.

Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secebuk air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was seperti yang disebut oleh al-Ruyani dan selainnya. Datang hadis yang sahih pada ciri-ciri sunat fitrah yakni perbuatan merenjis ini.”
Rujuk al-Majmu` (2/112)

Bahkan dalam hadis lain, Rasulullah SAW meminta wanita yang berhaid untuk meletakkan pewangi berdekatan dengan alat sulit wanita untuk menghilangkan bau najis darah. Daripada Aisyah R.Anha, sabda baginda:

خُذِي فِرْصَةً مِنْ مَسْكٍ، فَتَطَهَّرِي بِهَا

Maksudnya: “Ambil sedikit kasturi dan bersucilah dengannya.”
Riwayat al-Bukhari (314) dan Muslim (332)

Keduanya, jika diyakini air mutanajjis sudah masuk ke dalam telefon bimbit, boleh juga dikeringkan terlebih dahulu (dijemur, menggunakan pengering rambut, dll) sehingga hilang warna, bau dan rasa, setelah dimatikan telefon. Kemudian, dengan berhati-hati, disembur air mutlak pada tempat-tempat yang ditimpa najis untuk menyucikannya. Sebaiknya berbincang dengan juruteknik yang membaik pulih untuk membantu.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang mendalam dalam agama.

Wallahua’lam.

BAYAN LINNAS SIRI KE-93 : VINCE FOCARELLI: SEBUAH PERJALANAN MENUJU TUHAN

Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 26 Mei 2017

Mukadimah

Kehadiran Vince Focarelli ke pejabat kami pada pagi ini (Khamis, 25 Mei 2017) adalah satu rahmat daripada Allah SWT. Pertemuan yang tidak dirancang ini telah memberikan kami peluang untuk lebih mendekati susuk sasa Vince Focarelli yang mana pada satu masa dahulu pernah tular di media sosial apabila ramai netizen berkongsi akan kisahnya yang kembali kepada Islam, berubah 180 darjah dari kehidupannya yang dahulu.

Vince Focarelli dilahirkan di Italy namun pada usianya yang kecil, beliau telah berpindah ke Australia bersama keluarganya dan membesar di sana. Vince Focarelli adalah bekas ketua gangster (kumpulan motosikal) di bahagian selatan Australia. Difahamkan juga bahawa kumpulan tersebut adalah antara kumpulan gangster terbesar yang terdapat di Australia. Beliau sangat dihormati di kalangan ahli kumpulan dan ahli kumpulan juga amat senang dengan beliau. Kumpulan yang diketuainya itu adalah serpihan dari kumpulan sebelumnya yang mana beliau bertindak keluar dari kumpulan asal dan bertekad menubuhkan kumpulannya sendiri.

Kumpulan baru ini mendapat sambutan dari mereka yang amat mengagumi dirinya di samping pengaruhnya yang sedia ada. Kewujudan kumpulan baru ini tidak disenangi oleh kumpulan-kumpulan yang lain dan dari rasa tidak senang inilah berlakunya huru-hara, pergaduhan serta peperangan di antara kumpulan-kumpulan ini.

Bermulanya Hidayah

Di dalam kehidupan Vince, beliau tidak pernah mengetahui akan Islam. Bahkan perkataan Islam itu sahaja tidak pernah singgah ke telinganya apatah lagi ingin mengetahui Islam itu sebagai sebuah agama, amatlah jauh sekali. Vince dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang beragama Kristian (katolik). Hidayah itu mula timbul tatkala Vince selalu meluangkan masa bersama ahli-ahlinya, duduk bersembang dengan mereka. Dalam banyak-banyak ahli yang menganggotai kumpulannya itu, terdapat sebahagiannya yang berbangsa Arab dan beragama Islam. Perbincangan mengenai Nabi Isa A.S (Jesus) menarik minat Vince sehingga apabila diceritakan perihal Nabi Isa A.S mengikut kaca mata Islam, Vince kemudiannya mengaitkannya dengan kefahaman agama sedia adanya pada ketika itu. Perbincangan semakin rancak pada hari-hari yang berikutnya dan sehinggalah Vince merasakan ada sesuatu yang tidak kena mengenai agama sedia ada yang sedang dianutinya. Vince merasakan ada sesuatu yang bertentangan dengan apa yang selama ini diiktikadkan. Bagaimana tuhan itu boleh disalib sedangkan dia tuhan? Bagaimana tuhan itu boleh diusung dan diarak dalam keadaan yang amat menyedihkan? Dimanakah kekuasaan tuhan sehingga boleh diperlakukan sedemikian rupa?

Persoalan-persoalan di atas sering menghantui dirinya sehinggalah hidayah itu muncul dan Vince sendiri mengucapkan syahadah, penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT. Maka di sini, bermulalah bahagian kehidupannya sebagai seorang muslim.

Perjalan Sebagai Seorang Muslim

Tidak dinafikan bahawa perjalanan seorang muslim itu pasti akan diuji. Begitulah juga keadannya Vince. Meskipun Vince telah memeluk Islam, namun dia tetap meneruskan aktiviti bersama kumpulannya. Boleh dikatakan pada waktu itu, Vince hanyalah seorang muslim pada nama dan bukan pada penghayatannya.

Menjadi ketua di dalam sebuah kumpulan gangster memerlukan dirinya sentiasa berwaspada. Kumpulan-kumpulan gangster yang lain sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Vince tidak terlepas dalam beberapa siri pergaduhan ini dan dalam enam percubaan untuk membunuhnya, kesemuanya dia terselamat termasuklah juga satu percubaan bunuh menggunakan bom. Namun, dalam siri-siri percubaan untuk membunuh itu, salah satu daripadanya telah meragut nyawa Giovanni, anaknya. Vince mengalami kecederaan setelah diserang hendap oleh kumpulan gangster yang lain dan ekoran dari pergaduhan tersebut yang menyaksikan aksi tembak-menembak, Vince telah dipenjarakan.

Di dalam penjara, takdir Allah SWT telah menempatkannya bersama seorang senior gangster dari kumpulan yang pernah dianggotainya dahulu. Entah bagaimana, pergaduhan antara mereka berlaku dan Vince menceritakan kepada kami bagaimana dirinya melutut, berdoa kepada Allah agar diberikan kemenangan pada pertarungan kali ini. Menyedari bahawa lawannya itu adalah seorang ahli tinju professional, ini menjadikan perlawanan tersebut amat sukar. Di atas kertas, pastilah kemenangan lebih berpihak kepada lawannya namun kuasa Allah SWT, Vince berjaya mengalahkan lawannya dalam masa yang amat singkat dan ekoran dari pergaduhan tersebut, Vince telah diasingkan ke dalam sebuah bilik tahanan yang lain yang mana Vince ditempatkan bersendiri.

Sebaik sahaja mendengar kisah beliau tersebut, kami mencelah dengan mengemukakan kisah Nabi Muhammad SAW yang bergusti dengan Rukkanah yang akhirnya ditewaskan oleh Nabi dan Rukkanah memeluk Islam. Hakikat ini menunjukkan kekuatan kita adalah daripada Allah dan milik-Nya. Benarlah bacaan zikir kita:

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksudnya: Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Setelah itu, beliau dipindahkan ke sel tahanan yang lain, Vince meminta al-Quran sebagai penemannya. Di dalam penjara inilah Vince membaca al-Quran dari mula hinggalah berjaya mengkhatamkannya meskipun Vince sendiri tidak mengetahui isi kandungan al-Quran tersebut. Sejurus sahaja mengkhatamkan bacaan al-Quran, datang warden penjara mengatakan bahawa dirinya telah bebas. Vince menghabiskan masanya selama 14 bulan di dalam penjara atas kesalahan dadah dan senjata api.

Perkara pertama yang dilakukan olehnya apabila dibebaskan dari penjara adalah dengan pergi ke masjid dan solat di dalamnya. Ekoran peristiwa-peristiwa yang telah menghambat kehidupannya, Vince mula memikirkan arah tujuan kehidupannya. Anaknya telah mati dibunuh dengan cara kehidupannya yang lampau. Kehidupan yang amat tidak berbaloi untuk diikutinya semula. Bermula di sinilah Vince mula mengubah kehidupannya. Meninggalkan kumpulannya bersama segala aktiviti lampau. Vince memulakan hidup yang baru dengan membuka sebuah restoran di Australia. Restoran yang menyediakan makanan halal dan turut menyumbang kepada masyarakat dengan memberi makan kepada gelandangan di samping amal jariah yang lain. Vince kini mendapat kehidupan yang tenang setelah kembali mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Vince Abdul Salam Focarelli

Vince memilih Abdul Salam sebagai nama Islamnya. Apabila ditanyakan mengapa anda memilih nama Abdul Salam? Jawab Vince: “Dahulu aku banyak membuat huru-hara, kini aku seorang muslim, hamba Allah SWT. Aku tidak akan membuat huru-hara lagi.”, sesuai dengan nama yang dipilih (Salam) yang membawa maksud selamat sejahtera.

Terkini, Vince telah diarahkan untuk menjalani hukuman deportasi yang mana menjadikan dirinya tidak lagi boleh tinggal di Australia. Oleh itu, Vince telah kembali ke negara asalnya iaitu Italy dan itu tidak mematahkan semangatnya dalam berdakwah, mengajak manusia lain untuk mengenal Islam. Kisah perubahan dirinya yang menjadi tular pada satu masa dahulu banyak dijadikan sebagai motivasi untuk melakukan perubahan dalam kehidupan bahkan membuka mata ramai pihak bagaimana Islam mampu merubah kehidupan seseorang itu.

Penutup

Sebelum kami berpisah, ketika waktu Zohor kami mengajak Vince bersolat bersama-sama. Alhamdulillah, kami menyaksikan sendiri bahawa beliau benar-benar menunjukkan istiqamah dengan ibadat solat dan tidak mencuaikannya.

Kami sempat bertanya kepadanya satu soalan, “Apakah perasaannya selepas memeluk Islam dan memahaminya?” Beliau mejawab, “Tiada bahasa yang dapat menggambarkan hatinya apabila bergantung kepada Tuhan dan memeluk Islam." Itulah bernilainya nilai syahadah seseorang yang memahami Islam dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT memberikan kepada saudara Abdul Salam, juga kepada kita semua, akan kekuatan, istiqamah, taufiq dan hidayah untuk melayari kehidupan yang mendatang dan akan terus berada di atas jalan Islam dan iman serta menggunakan segala kelebihan yang telah Allah SWT anugerahkan buat dirinya untuk terus memperlihatkan kepada manusia akan kehebatan serta kecantikan Islam itu sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.

Doa ini mengikut sebahagian ulama’ dinisbahkan kepada Saidina Umar dan dikatakan bahawa Imam Nawawi kerap menyebut dalam kitabnya al-Azkar. Sebahagian ulama’ seperti al-Buhuti telah menyebut dan membincangkannya dengan panjang lebar melalui kitabnya yang masyhur. Lihat Syarah Muntaha al-Iradat, 3/497

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
26 Mei 2017 bersamaan 29 Sya’ban 1438H

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-190: ISTIGHFAR ANAK KEPADA IBUBAPANYA
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 12 Mei 2017

Soalan: Adakah terdapat hadith berkaitan istighfar anak kepada ibubapanya?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Anak merupakan satu anugerah yang terindah dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Ini kerana, tidak semua orang direzekikan oleh Allah SWT untuk merasa nikmat mempunyai zuriat ini. Untuk itu, kita perlu dan wajib bersyukur kepada Allah SWT dengan nikmat yang agung ini.

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan istighfar seorang anak kepada ibubapanya. Tambahan pula, disebabkan istighfar ini akan mengangkat darjat atau kedudukan seseorang hamba itu jika dia seorang yang soleh. Hadith tersebut adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu”. [Riwayat Ahmad (10610)][Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini sebagai hasan disebabkan Asim bin Abi al-Najud. Selain daripadanya adalah perawi yang thiqah dan sahih].

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang anak itu mampu mengangkat darjat seseorang yang soleh walaupun orang tersebut daripada ahli keluarganya di syurga. Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang masyhur berkaitan doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun ibubapanya sudah tiada di dunia lagi.

Di dalam hadith ini juga ada menyatakan bahawa istighfar seorang anak itu yang akan meningkatkan kedudukan ibubapanya di syurga. Istighfar yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah memohon ampun kepada ibubapanya  supaya diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu ketika hidup di dunia ini.

Penutup

Kesimpulannya, sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk sentiasa memohon ampun dan berdoa kepada ibubapanya yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Akhirnya, semoga kita dan ibubapa kita diampunkan dosa oleh Allah SWT serta ditempatkan di dalam syurga yang tinggi kedudukannya di akhirat kelak. Amin.

Wallahua’lam

BAYAN LINNAS SIRI KE-89: MASJID DAN GEREJA BERKONGSI RUANG MELETAK KENDERAAN
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 02 Mei 2017

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas Baginda SAW, keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kemudian.

Dalam kemelut, pergeseran dan salah faham antara agama di Malaysia, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini setelah mendapat satu perkhabaran yang menarik dari Sarawak. Kami mendapat info bahawa Masjid An-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Lutong, Sarawak yang jaraknya hanya sekitar 100 meter mengambil inisiatif berkongsi kawasan meletak kenderaan. Pada setiap hari Jumaat, pengurusan gereja akan membuka kawasan parkir untuk kegunaan umat Islam. Manakala pada setiap hari Ahad, pihak pengurusan masjid pula membuka kawasan parkir untuk kegunaan penganut Kristian.

Bagaimanakah pandangan Islam berhubung perkara ini? Apakah yang boleh difahami dengan fiqh ta’ayush dalam konteks semasa? Bagi mengupas lebih lanjut akan perkara ini, kami bawakan kepada anda Bayan Linnas Siri ke-89 dengan tajuk “Masjid Dan Gereja Berkongsi Ruang Meletak Kenderaan”

Keperluan Memaham Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/ Co-Existence) Pada Masa Kini

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.[1]

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”
(Surah al-A’raf: 73)

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya: Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”
(Surah al-Syu’ara: 36)

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”
(Surah Hud: 50)

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا

Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.
(Surah Hud: 84)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa perkataan saudara digunakan walaupun pada masa itu kebanyakan kaumnya tidak seagama dengan mereka berdasarkan mafhumnya. Mereka didakwahkan oleh Rasul-rasul dengan penuh hikmah dan kesabaran.

Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ

Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”[2]

Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.

Contoh Unggul Fiqh al-Ta’ayyush Dalam Kehidupan

Ini adalah kisah benar, Abdullah yang buta mata (beragama Islam) dan Samir yang kenit dan lumpuh (beragama Nasrani). Samir yang lumpuh itu dipikul dan dikendong oleh sahabatnya yang buta bernama Abdullah. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain; Samir sebagai penunjuk jalan bagi Abdullah manakala Abdullah pula membawa Samir. Keduanya bergabung tenaga dan kelebihan untuk mendepani kehidupan. Samir bekerja sebagai penglipurala di sebuah kedai kopi di bandar lama Damsyik. Abdullah pula menjual hummus di hadapan kedai kopi. Halwa telinganya setiap hari adalah celoteh Samir yang amat menghiburkan. Setiap pertemuan, ada perpisahannya. Ditakdirkan Tuhan, Samir meninggal dunia. Abdullah menangis pemergian sahabatnya hampir seminggu dan berkurung di dalam biliknya. Akhirnya beliau ditemui meninggal dunia di biliknya dek kesedihan atas kehilangan sahabat baiknya tersebut.

Inilah contoh unggul dua insan biasa yang tidaklah terlalu memahami agama masing-masing tetapi kaya dengan sifat manusiawi yang saling melengkapi, merentasi sempadan agama.

Toleransi Islam - Kristian Dalam Lembaran Sejarah Islam

Asas toleransi inter-agama yang paling baik sudah pasti mengambil contoh daripada apa yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan salafussoleh di mana kisah mereka dan peristiwa yang berlaku pada zaman mereka patut menjadi neraca dalam tindakan kita. Inilah hujah dan nas yang terbaik.

Rasulullah SAW ketika berbicara tentang Nabi Isa AS telah menyatakan:

أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَالْأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلَّاتٍ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ

Maksudnya: “Aku adalah orang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahupun di akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 3443)

Pertama: Perlembagaan Negara Kota Madinah

Usai penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, peranan Baginda SAW bukan lagi hanya sebagai seorang Rasul tetapi juga adalah seorang pemimpin politik sebuah negara baru yang ditadbir berlandaskan nilai-nilai Islam. Ia menuntut kepada pelaksanaan undang-undang pentadbiran yang jelas, bagi menjamin keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat - yang pernah berpecah kerana siri peperangan yang panjang - yang hidup secara berbilang agama iaitu Islam, Yahudi, Kristian dan juga mereka yang menyembah berhala. Oleh itu Baginda SAW telah melancarkan sebuah piagam atau perlembagaan yang memperincikan tanggungjawab-tanggungjawab semua pihak yang menetap di Madinah, peranan dan kewajiban terhadap satu sama lain, dan beberapa had atau larangan yang terpakai antara satu sama lain. Perlembagaan ini dikenali sebagai Sahifah Madinah.[3]

Kedua: Kristian Najran Sembahyang Di Masjid Nabawi

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.”

Kisah ini disebutkan oleh Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:

Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja.[4]
Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan.[5]
Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh menyatakan bahawa kisah ini menunjukkan bahawa sekiranya ada keperluan atau hajat yang memungkinkan hal seperti itu, ia dibolehkan.
Ketiga: Pertemuan Kristian Najran dan Rasulullah SAW

جَاءَ العَاقِبُ وَالسَّيِّدُ، صَاحِبَا نَجْرَانَ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ، قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: لاَ تَفْعَلْ، فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ، وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا، قَالاَ: إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا، وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلًا أَمِينًا، وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلَّا أَمِينًا. فَقَالَ «لَأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ»، فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الجَرَّاحِ» فَلَمَّا قَامَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ»

Telah datang al-‘Aqib dan al-Sayyid; dua orang kepada dari Nejran kepada Rasulullah SAW, atas tujuan mubahalah dengan Nabi SAW. Berkata salah seorangnya kepada yang seorang lagi, “Jangan kamu lakukannya. Demi Allah, jika dia benar seorang Nabi dan kita lakukan li’an inim samada kita, tidak juga keturunan selepas kita akan berjaya.’ Mereka berdua berkata: ‘Sesungguhnya kami akan memberikanmu apa yang kamu minta. Tetapi kamu perlu mengutuskan bersama kami, seorang yang dapat dipercaya, dan jangan engkau mengutus orang yang tidak dapat dipercayai bersama kami. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya aku akan mengutus seorang yang dapat dipercaya.’ Maka para sahabat Nabi SAW menginginkan dirinya yang dimaksudkan itu. Rasulullah SAW bersabda: ‘Berdirilah wahai ‘Ubaidah bin Jarrah.’ Dan ketika Abu Ubaidah berdiri dan Baginda bersabda, “Ini orang paling dipercayai dalam umat ini.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 4380)

Hadith di atas adalah tentang peristiwa kedatangan delegasi Kristian Najran bertemu dengan Rasulullah SAW. Mereka datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW tidak pula menghalau, menyuruh mereka pulang ke Najran bahkan berlaku dialog, antara mereka dan kisah ini masyhur dan dikenali dengan kisah al-Mubahalah.

Keempat: Hatib bin Abi Balta’ah dan Raja al-Muqauqis

Rasulullah SAW mengutus Hathib ibn Abi Balta’ah ke Mesir untuk membawa surat untuk Muqawqis, raja/penguasa Qibti. Surat itu berisi ajakan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada Muqawqis untuk memeluk Islam. Dr. Muhammad ‘Imarah menyatakan bahawa terdapat kenyataan Hatib ibn Abi Balta’ah semasa dialognya dengan Raja al-Muqauqis membuktikan bahawa beliau meraikan kebebasan beragama. Hatib ibn Abi Balta’ah berkata: “Bukanlah kami melarang kamu memeluk agama Nabi ‘Isa, bahkan kami menyeru kamu kepadanya (kefahaman sebenar ajaran Nabi 'Isa)…” Allah SWT jualah yang menciptakan kepelbagaian dan perbezaan dalam syariat agama-agama yang merupakan sunnatullah.[6]

Kelima : Kisah Syeikh Ahmad Kiftaro[7]

Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah ketika menerima lawatan Pope John Paul II berucap menceritakan bagaimana dahulunya umat Islam dan Kristian di Syria hidup ratusan tahun lamanya bersama-sama dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Berjuang mempertahankan tanah Syria dari musuh sehingga ada nyawa yang terkorban dan kini musuh telah pergi manakala Muslim dan Kristian masih kekal hidup bersama-sama dalam sebuah negara.[8]

Keenam: Mauqif Ulama’ Azhar

Kami dapati sejak dahulu lagi ulama’ al-Azhar yang berwibawa termasuk Syuyukh al-Azhar begitu menyantuni golongan Nasara dengan penuh hikmah. Antara yang terkenal ialah Syeikh Muhammad al-Maghari, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan yang terbaru Syeikhul Azhar sekarang ini, Syeikh Dr. Ahmad Tayyib. Beliau juga mempelopori Fiqh al-Ta’ayyush dan hadir dalam banyak pertemuan dengan paderi Kristian.

Ketujuh: Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Kami nukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebahagiannya daripada kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam: “Segala ketetapan ini meliputi semua ahli kitab walau di mana jua sekalipun mereka berada.  Namun, bagi mereka yang bermastautin di bawah naungan kerajaan Islam, terdapat satu perkara yang khusus bagi mereka. Mereka inilah dalam istilah Islam dikenali sebagai ahl al-zimmah yang membawa maksud ‘golongan yang membuat perjanjian’.[9]

Ianya merupakan satu perkataan yang digunapakai bagi mereka yang menunjukkan bahawa mereka sudah memberikan janji setia kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan kepada golongan Muslim bahawa mereka akan menjalani hidup di bawah naungan pemerintahan Islam dalam keadaan aman dan sentosa.

Mereka dikira dengan istilah baru iaitu warganegara dalam negara Islam. Golongan Muslimin telah memutuskannya sejak abad pertama sehingga hari ini yang bahawa mereka mempunyai hak yang sama dengan apa yang dimiliki oleh orang Islam. Ia akan dihitung ke atas diri mereka seperti ke atas orang Islam kecuali berkaitan agama dan akidah. Maka Islam akan membiarkan mereka hidup bebas dengan apa jua pegangan yang menjadi kepercayaan mereka tanpa sebarang campur tangan oleh agama Islam dalam konteks ini.[10]

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dengan mengambil contoh apa yang sudah sekian lama diamalkan oleh pengurusan Masjid an-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Sarawak, kami berpandangan bahawa ianya adalah satu contoh yang baik bagi mengekalkan keharmonian dan toleransi inter-agama. Maka,  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke - 101 pada 26 April 2017 telah memutuskan hukum berkongsi ruang letak kenderaan antara masjid dan gereja adalah harus dan dibenarkan dalam Islam.

Dalam kaedah usul fiqh ada satu perkara yang dinamakan sebagai mafhum al-aula (مفهوم الأولى).  Mafhum al-aula adalah sesuatu yang tidak disebut itu lebih utama mendapat hukum daripada apa yang disebut.[11] Jika Kristian dibenarkan memasuki masjid atas keperluan-keperluan tertentu, maka apatah lagi cuma berkongsi ruang meletak kenderaan yang terletak di luar daripada kawasan masjid/gereja.

Imam Syihabuddin al-Qarafi bermazhab Maliki berkata: “Sesungguhnya terdapat janji setia daripada golongan zimmi yang mewajibkan beberapa hak yang mesti dipelihara. Ini kerana mereka hidup di dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah dan Rasul-Nya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka atau apa jua jenis bentuk penganiayaan maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan Rasul-Nya serta naungan agama Islam itu sendiri.”[12]

Demi menjaga sesiapa yang berada dalam naungan Allah dan Rasul-Nya manakala menyerahkan mereka kepada musuh adalah satu perbuatan yang sama seperti mencuaikan akad janji setia yang dibuat dalam naungan tersebut. [13] Para Khulafa’ al-Rasyidin juga telah melaksanakan hak ini serta melindungi kehormatan mereka yang bermastautin.[14]

Tambahan pula di dalam Islam, ruang toleransi inter-agama sentiasa terbuka luas dalam soal kehidupan seharian selagi tidak memasuki isu yang melibatkan akidah.

Firman Allah SWT:

وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang beriman ialah orang yang berkata: “Bahawa kami ini adalah orang-orang Kristian” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”
(Surah al-Ma’idah: 82)

Ibn Kathir menyatakan: “Mereka yang menyatakan bahawa mereka adalah Kristian yang mengikuti al-Masih (‘Isa ‘alaihissalam) dan di atas manhaj Injil, pada mereka ada kasih sayang terhadap Islam dan penganutnya. Ini kerana kelembutan dan kasih sayang mereka diperoleh melalui sebahagian ajaran al-Masih.”[15]

Semoga Allah merahmati kita dan sentiasa memelihara negara kita dengan penuh keamanan dan masyarakatnya sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kita mengharapkan dikurniakan negara kita menjadi baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, Amin.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

________________________________________

[1] Al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374.

[2] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 1113.

[3] Bagi mendapatkan pencerahan yang lebih baik serta huraiannya, kami cadangkan supaya dirujuk kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri.

[4] Lihat Taqrib al-Tahzib, 2/471.

[5] Lihat Zad al-Ma'ad, 3/557.

[6] Muhammad ‘Imarah. Al-Islam wa al-Akhar, m. 83.

[7] Beliau merupakan Mufti ‘Am Syria dan menjawat jawatan tersebut begitu lama sehingga beliau meninggal dunia. Kemudian digantikan dengan Syeikh Ahmad Badreddin Hassoun.

[8] Ucapan penuh Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah bersempena lawatan Pope John Paul II ke Syria pada tahun 2001 boleh didapati di sini: http://www.kuftaro.net/english/activity1.php?activity_no=1%20&%20act_no=%2013

[9] Dalam Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh al-Anbari menyebutkan ahl al-zimmi adalah kaum Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lain yang tinggal di negara Islam secara tetap. Golongan ini diakui oleh pemerintah akan agama mereka dengan syarat mereka mestilah patuh kepada sistem perundangan Islam dalam aspek mu’amalah dan hukuman mahkamah Islam.

[10] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (terj.), hal. 646.

[11] Lihat Al-Madakhil Al-Usuliyyah Li Al-Istinbat Min Al-Sunnah Al-Nabawiyyah. m. 156.

[12] Lihat al-Furuq, 3/14.

[13] Dinukilkan daripada kitab Maratib al-Ijma’ oleh Ibn Hazmin al-Zahiri

[14] Dalam Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah menyebut: Antara hak ahl zimmi itu ialah:

Mematuhi perjanjian perlindungan.
Tidak boleh memaksa mereka memeluk agama Islam.
Tidak boleh membinasakan rumah ibadah mereka.
Melindungi dan mempertahankan mereka.
Baik dan bersimpati dengan mereka.
Darah dan harta mereka terpelihara.
Haram menzalimi mereka.
[15] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/167.

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-183: BERHUKUM DENGAN YANG ZAHIR
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 14 April 2017

Soalan: Apakah benar ucapan ini daripada Nabi SAW?

Matan Hadith

أُمِرْتُ أَنْ أَحْكُمَ بِالظَّاهِرِ وَاللَّهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi”.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, ucapan tersebut amat masyhur dan kita sering mendengar ia diungkapkan oleh para penceramah. Untuk itu, soalan tersebut amat penting kerana sesuatu ucapan yang disandarkan kepada Nabi SAW perlulah diselidiki atau dipastikan akan kesahihannya sebelum ia disebarkan kepada orang lain. Tambahan pula, Syeikh Mulla Ali al-Qari mengatakan bahawa ucapan ini juga masyhur dalam kalangan ahli usul dan para fuqaha’ yang besar, bahkan ia juga dimuatkan di dalam syarah Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi.

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menghukum hadith ini ialah:

Imam al-Sakhawi berkata hadith ini tidak wujud di dalam kitab-kitab hadith yang masyhur dan begitu juga tiada di dalam ajza’ (juzuk-juzuk) yang tersebar. Imam al-Iraqi mengatakan hadith ini tiada asal baginya dengan yakin. Begitu juga, hadith ini diingkari oleh al-Mizzi dan selain daripadanya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 162]
Imam Ibn al-Mulaqqin mengatakan hadith ini gharib dan aku tidak mengetahui sesiapa yang mengtakhrijkannya daripada ashab kitab-kitab yang muktamad dan juga selain daripada mereka. Selain itu, telah ditanya Hafiz pada zaman kami Jamal al-Din al-Mizzi dengan berkata: “Aku tidak mengetahuinya”. [Lihat: al-Badr al-Munir, 590/9]
Imam al-Qauqaji berkata hadith ini palsu dan Imam Ibn al-Mulaqqin mengingkari hadith ini ketika mengtakhrijkan al-Baidhawi. Bahkan, Imam al-Iraqi meyakini bahawa hadith tersebut tiada asal baginya. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 48]
Imam al-Syaukani mengatakan hadith ini tidak sahih daripada Nabi SAW dan ia tidak thabit daripada ungkapan Baginda SAW walaupun makna hadith tersebut sahih. [Lihat: al-Fath al-Rabbani, 3043/6]
Syeikh Mulla Ali al-Qari menilai hadith palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’, 114/1]

Setelah kami meneliti dan menekuni pendapat para ulama’ berkaitan hadith di atas, maka kami mengatakan bahawa hadith tersebut adalah palsu lagi tidak thabit daripada Nabi SAW. Maka dengan itu, kita tidak dibolehkan menyandarkannya kepada Nabi SAW serta menyebarkannya kepada orang lain.

Walaupun begitu, makna hadith di atas adalah sahih berdasarkan beberapa buah hadith, antaranya adalah sebuah hadith di dalam sahih Muslim:

Daripada Said al-Khudri RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنِّي لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ عَنْ قُلُوبِ النَّاسِ، وَلَا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk menyakiti hati manusia dan tidak pula untuk merobek perut mereka”. [Riwayat Muslim (1064)]

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah telah mengulas hadith ini secara panjang lebar ketika beliau mengtahqiq dan mengta’liq hadith ini di dalam kitab al-Maudhu’at al-Sughra oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari dengan berkata bahawa ucapan di atas disebut oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sahih Muslim. Untuk itu, terdapat orang yang telah tersalah memahami disebabkan tergesa-gesa dalam memahami teks Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas. Ini kerana, Imam al-Nawawi meletakkan ucapan di atas selepas daripada hadith di atas tanpa menyandarkan kepada Nabi SAW, bahkan tujuan Imam al-Nawawi meletakkan ucapan tersebut selepas daripada hadith di atas adalah bagi menafsirkan makna hadith di atas. Disebabkan itu, datang seseorang yang dalam keadaan tergesa-gesa melihat teks tersebut lalu memahami bahawa ia adalah sebahagian daripada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sedangkan ucapan tersebut hanyalah menafsirkan makna hadith bukannya sebahagian daripada hadith. [Lihat: al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’, 59]

Walaubagaimanapun, ucapan tersebut dijadikan salah satu kaedah oleh para fuqaha’ atau ahli ilmu dalam menentukan sesuatu hukum. Ini dapat difahami dengan perbuatan Nabi SAW berdasarkan beberapa buah hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menghukum apa yang zahir sahaja. Antaranya:

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti bagi orang yang mendakwa dan sumpah bagi orang yang ingkar”. [Riwayat al-Baihaqi (20990)]

Daripada Usamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda ketika beliau membunuh seseorang yang mengucapkan kalimah syahadah disebabkan ketakutan:

أَفَلَا شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لَا

Maksudnya: “Adakah kamu telah merobek hatinya sehingga kamu tahu apa yang dikatakan atau tidak?”. [Riwayat Muslim (158)]

Berdasarkan kedua hadith di atas, jelaslah bahawa kita dituntut untuk mengeluarkan sesuatu hukum pada perkara yang zahir atau jelas sahaja. Ini kerana, kita sebagai manusia biasa tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat di dalam hati manusia lain kerana itu semua diluar kemampuan kita.

Penutup

Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyandarkan sesebuah hadith kepada Nabi SAW. Amin.

Wallahua’alam

PERASAAN saya bukan sahaja girang, bahkan pelbagai rasa yang tak mampu diungkap bila seorang demi seorang pelajar-pelajar OKU diketengahkan sebaik keputusan cemerlang mereka perolehi dalam peperiksaan masing-masing. Hanya lafaz syukur dan kata-kata memuji dan memuja Allah S.W.T sahajalah mampu diungkapkan sebagai meluahkan rasa girang di hati.

Terbaru dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adik MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi sekali lagi muncul dengan keputusan cemerlang yang tersendiri. Beberapa minggu lepas, adik Ahmad Faiz sekian kalinya telah mengejutkan masyarakat dengan keputusan cukup cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Tahniah buat ibu bapa mereka yang berjaya menyerlahkan potensi dan keupayaan mereka berdua yang masing-masing merupakan seorang OKU penglihatan dan OKU terlantar.

Saya cukup rasa gembira setiap kali bertemu dengan bapa kedua-dua mereka iaitu Sarimi Yusoff dan mutakhir ini Ustaz Ibrahim Yunus. Sungguh dapat saya rasakan, bagaimana pengorbanan kedua orang tua saya membentuk diri saya, demikianlah cukup hebat sebagai seorang bapa yang tabah, pengorbanan mereka bersama pasangan masing-masing membesar dan mendidik seorang anak OKU hanya Allah S.W.T sahajalah yang sebenar-benarnya tahu.

Dalam ruang ini, saya akan membawa perhatian para pembaca kepada keperluan yang wajar kita fikirkan bersama agar cerita-cerita hebat ini tidak hanya sifatnya bermusim dan timbul pada waktu-waktu tertentu. Telah memadai pelbagai kisah suka duka tokoh-tokoh istimewa ini dipaparkan dalam pelbagai media dan ruang kesempatan.

Jika dihalusi, Allah S.W.T telah bekalkan setiap anak OKU itu dengan keupayaan dan potensi yang tersendiri. Senarai sahajalah apa kecacatan atau ketidakupayaan yang dialami, sudah tentu pasti ada kurniaan Allah S.W.T pada setiap individu OKU tersebut. Hal inilah yang seharusnya difikirkan oleh setiap dari anggota masyarakat, terutamanya mereka yang berada pada tampuk kekuasaan pada mana peringkat sekalipun.

Bagi mengenal pasti pelbagai keperluan dan potensi individu OKU, ia bukanlah semudah yang disangkakan. Bermula dari memahamkan ibu bapa dan keluarga OKU, ia akan berkembang kepada penyediaan pelbagai system sokongan dalam masyarakat agar setiap keperluan dan potensi OKU itu dikenal pasti.

Setiap kali hal ini kami timbulkan, jawapan seragam yang diterima, “Bukankah telah ada NGO-NGO untuk OKU?”. Untuk makluman pembaca dan kalian di luar sana, apa yang saya bangkitkan di atas bukanlah sekadar tanggungjawab NGO-NGO yang ada. Ia lebih dari itu.

NGO-NGO berkaitan OKU boleh saja menjadi badan-badan pelengkap kepada usaha mencukupkan keperluan dan pembinaan potensi OKU. Lebih dari itu, usaha ini harus dirintis dan diselenggarakan secara penuh perencanaan oleh satu badan yang dibentuk khusus oleh pihak kerajaan.

Dengan adanya unit pembangunan OKU dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan OKU di bawah Yang Berhormat Menteri, kewujudannya tetap memberi manfaat dan faedah yang tersendiri. Namun ia masih tidak memadai bila keperluan dan usaha pengupayaan OKU itu masih berada atas kertas dan tidak mendasari rakyat terbawah.

Begitu juga usaha ini bukan hanya wajar dibincangkan di peringkat persekutuan, pihak berkuasa di pelbagai peringkat termasuklah di negeri-negeri tidak boleh bersikap lepas tangan dan memberi alasan itu bukan bidang kuasa mereka. Dengan unjuran 15% penduduk terdiri dari OKU, hal menyediakan sistem sokongan bagi membina keperluan dan pengupayaan OKU ini wajib diberi perhatian yang lebih serius oleh pihak berkuasa.

Dalam satu pertemuan saya dengan wakil-wakil OKU peringkat Asian, satu kajian kasar juga telah dinyatakan bagaimana hanya 3% dari ahli-ahli politik di Asia Tenggara mengetahui isu-isu yang didepani oleh komuniti OKU. Kajian ini tentunya sangat tidak memberangsangkan memandangkan ahli-ahli politiklah yang menentukan dasar dan perundangan melalui dewan-dewan perundangan.

Tidak hairanlah selain Incheon Strategi 2013-2022 yang ditandatangani oleh menteri-menteri serantau, terbaru dalam Sustainable Development Goal SDG memberi penekanan khusus berkaitan penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan politik. Semuanya mengambil kira betapa suara komuniti OKU itu perlu mengambil tempat dalam proses perencanaan dan penyeddiaan dasar, perundangan serta pelaksanaan. Penyertaan suara-suara OKU ini dilihat sangat signifikan agar setiap dasar dan perundangan bertepatan dengan keperluan dan keupayaan OKU pelbagai kategori.

Harapan saya dengan kefahaman para pembaca melalui tulisan ini, pemikiran kita akan lebih terarah kepada pembinaan sistem sokongan sosial yang lebih menyeluruh berbanding sekadar rasa bangga dan teruja dengan keputusan-keputusan cemerlang dari pelajar-pelajar OKU. Bukanlah salah untuk kita rasa bangga dan girang dengan pencapaian pelajar-pelajar OKU, lebih dari itu kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa merencana dan melaksanakan perancangan yang lebih menyeluruh buat OKU itulah yang akan lebih bermakna.

Pelbagai penegasan dalam Al-Quran dan tauladan dari junjungan Rasul Allah S.A.W telah cukup sebagai panduan bagi membolehkan kita merencana dan melaksanakan usaha mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian. Apatah lagi ianya juga telah dibuktikan melalui pelbagai instrument perundangan di pelbagai peringkat sama ada antarabangsa, serantau mahupun domestik.

Ayuh, bersedialah Malaysia untuk membina sebuah masyarakat dan negara bangsa yang sifatnya mesra OKU! - HARAKAHDAILY 17/3/2017

SEHARI dua ini, aktiviti perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin telah tular dengan hangat dalam kalangan netizen.

Berikut tulisan penuh.

bayan

BAYAN LINNAS SIRI KE- 87: UPACARA PERBOMOHAN YANG DILAKUKAN OLEH DATUK IBRAHIM MAT ZIN / RAJA BOMOH
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 16 Mac 2017

Sehari dua ini, aktiviti perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin telah tular dengan hangat dalam kalangan netizen. Kami merasakan isu ini perlu diberi perhatian dan kami menjawabnya dalam ruangan kali ini dengan lebih tuntas. Kami namakan BAYAN LINNAS: Upacara Perbomohan Yang Dilakukan Oleh Datuk Ibrahim Mat Zin / Raja Bomoh.

Kami sempat meneliti beberapa video yang dimuatnaik di media sosial berkenaan kaedah perbomohan beliau sebelum membuat keputusan atas isu ini. Setelah kami melihat kepada amalan yang dilakukan oleh beliau, maka kami dapati bahawa  amalan tersebut tidak terdapat di dalam Al-Qur’an, hadis dan juga athar yang sahih daripada generasi salafussoleh. Untuk itu, di sini kami nyatakan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa amalan yang dilakukan itu adalah satu perkara yang baru dan ia tidak diterima serta bercanggah dengan ajaran agama yang suci ini.

Daripada Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

(Riwayat Muslim, no. 1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

(Riwayat Muslim, no. 1718)

Hadis ini adalah keadah yang agung di dalam agama dan ia merupakan sebahagian daripada jawami’ al-kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haithami :

“Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas jika dipandang dari sudut lafaznya kerana ia merupakan mukadimah umum bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak.”

Hadis ini juga merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis “semua amalan adalah bergantung pada niat” yang merupakan neraca kepada setiap amalan manusia samada zahir atau batin. Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan beragama, maka ia bukanlah daripada agama ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie Rahimahullah:

“Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”

Selain itu juga, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullah antara lain berkata: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu perkara yang baru dalam urusan (agama) kami yang ia bukannya daripada urusan (agama) kami, maka ia tertolak”, yang dimaksudkan perkara baru yang diadakan di dalam agama ini terbahagi kepada dua:

Pertama: Perkara yang bukan daripada agama dan bercanggah dengan kaedah dan dalil yang sahih maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat lagi tertolak.

Kedua: Perkara yang disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil yang sahih maka ia diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.

Oleh itu, perlu untuk kita ketahui bahawa amalan yang dinilai bukan pada kualiti ataupun kuantiti tetapi sejauh mana kesesuaiannya menurut apa yang Allah SWT dan Rasul-Nya kehendaki. Walaupun amalan tersebut dilihat baik dan banyak dilakukan tetapi jika ia tidak berasaskan kepada peraturan syarak maka amalan tersebut adalah sia-sia.

Beberapa Isu Dalam Amalam Perbomohan Datuk Ibrahim Mat Zin

Di samping itu, antara masalah yang terdapat pada amalan perbomohan oleh beliau adalah seperti yang berikut:

Penggunaan alatan yang pelik seperti teropong, meriam buluh dan kelapa.

Tidak didapati sebarang nas syarak mahupun amalan sahabat dan salafussoleh yang menggunakan alatan seperti ini dalam berdoa dan juga perubatan. Ia dilihat perbuatan yang sia-sia kerana penggunaan asal teropong adalah bagi melihat sesuatu objek yang jauh. Begitu juga alatan simbolik seperti meriam buluh yang tidak dapat difahami tujuannya. Perbuatan berdoa dengan memegang buah kelapa juga bukanlah sebahagian daripada adab ketika berdoa. Selain itu, buah kelapa adalah makanan yang boleh diambil manfaatnya dan bukan dibuang ke laut.

Ritual yang meragukan

Terdapat beberapa bentuk ritual yang kami lihat, agak meragukan iaitu membaling buah kelapa ke dalam laut, merenjis air dari dalam bekas (seakan tempurung kelapa) ke dalam laut dan mengibas kain batik.

Kami nyatakan bahawa amalan sebegini tidak ada asasnya dalam al-Qur’an, hadis, mahupun athar yang sahih. Malah perbuatan membaling kelapa dan merenjis air ke laut amat menghampiri bentuk ritual membuang sial ke laut yang dilakukan oleh masyarakat yang menganut animisme di Nusantara. Walaupun perbuatan merenjis air ruqyah ke tempat yang sakit itu ada asasnya berdasarkan rawatan Rasulullah SAW pada Thabit bin Qais, malah merenjis air ruqyah ke rumah yang diganggu juga adalah dibolehkan berdasarkan fatwa sebahagian ulama’, namun merenjis air ke laut itu sama sekali tidak ada signifikannya menurut syarak.

Kesilapan dalam bacaan ayat suci al-Quran

Jika dilihat kepada bacaan ayat al-Quran yang dibaca olehnya, didapati banyak kesalahan dari sudut tajwid dan juga sebutan makhraj huruf. Ini bukan kali pertama kerana berdasarkan beberapa rakaman video beliau sebelum ini, ia adalah kesalahan yang berulang-ulang. Sedangkan bagi rawatan ruqyah syar’iyyah, tajwid dan sebutan makhraj huruf serta kefasihan amat diteliti.

Garis Panduan Perbomohan

Kami juga meneliti Garis Panduan Perbomohan menurut Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapati bahawa Datuk Ibrahim Mat Zin ada melanggar beberapa garis panduannya. Kami simpulkannya dengan beberapa poin di bawah:

Menggunakan alatan seperti teropong buluh, meriam buluh, buah kelapa yang dibuang ke laut dan mengibas kain batik adalah jauh daripada akhlak Islam yang sebenar dalam rawatan kerana boleh mengundang syak yang buruk terhadap Islam.
Ia menimbulkan salahfaham masyarakat dunia terutamanya bukan Muslim terhadap Islam.
Teropong buluh tersebut digunakan seakan untuk ‘melihat’ sesuatu yang tidak ada pada mata kasar dan ini bertentangan dengan Islam kerana ramalan atau tebakan atau tenungan untuk sesuatu perkara adalah dilarang dalam syarak.
Dalam tradisi masyarakat Melayu lama, pawang angin dipercayai dalam mengelakkan malapetaka dan pakar dalam ilmu ghaib. Perbuatan beliau itu dikhuatiri menghampiri peranan pawang angin yang jelas bersalahan dengan syarak, kerana sebelum ini, beliau pernah meneropong dengan teropong buluh dan mendakwa melihat kapal terbang MH370 tersangkut di atas awan, di antara 3 buah negara.
Perbuatan beliau telah menjatuhkan maruah beliau sendiri.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kesimpulannya, upacara dan amalan yang dilakukan ini, tidak terdapat di dalam ajaran Islam dan ia sama sekali bercanggah dengan agama ini. Kami amat bersetuju dengan keputusan fatwa yang telah diwarta oleh negeri Perak di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015 yang telah memutuskan bahawa amalan tersebut adalah sesat dan haram. Ini kerana amalan yang dibawa oleh bomoh tersebut didapati terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Manakala di Wilayah Persekutuan pula sebagaimana Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974 menetapkan segala perbuatan atau amalan kebatinan, tahan diri (kuasa ghaib) telah difatwakan sebagai bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, orang Islam ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya.

Kami berpandangan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh beliau – walaupun tidak menyerupai sepenuhnya – tetapi adalah amat hampir menyerupai amalan ilmu kebatinan dan tahan diri (kuasa ghaib) yang juga termasuk dalam peruntukan Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974    

Sebarang tindakan sebagaimana yang telah maklum tersebut, akan menjadi bahan ketawa orang ramai dan boleh menjatuhkan nilai keintektualan dan maruah diri sendiri serta menjejaskan imej negara. Oleh itu, berwaspadalah dalam setiap tindakan dan gunakalah logik akal dan mantik dalam menyusun gerak langkah kehidupan. Kami juga merasa kesal dan tidak selesa apabila video seperti itu disebarkan terlalu luas hingga sampai ke seluruh dunia. Ini bakal memberi persepsi negatif terhadap negara kita di mata dunia serta agama Islam itu sendiri. Sedangkan, ia sama sekali tidak melambangkan ajaran Islam walaupun ayat-ayat al-Qur’an digunakan.

Maka, kami dengan tegas menyatakan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin adalah bid’ah yang wajib dihalang dari diteruskan. Kami mengambil peluang di sini menyeru kepada Datuk Ibrahim Mat Zin supaya kembali kepada landasan Islam yang sebenar dan bertaubat kepada Allah. Rujuklah kepada badan berautoriti agama seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri sebelum membuat apa-apa perbuatan yang bersangkut paut dengan agama Islam. Sesungguhnya Saidina Umar pernah berkata:

الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memberi kita petunjuk dan menerima setiap amalan yang kita lakukan. Amin. Wallahua’lam

Akhukum Fillah,

SS Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Mac 2017 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1438H