Sidebar

23
Sat, Sep

Sokong Parti Pribumi Bersatu bermakna sokong DAP?

Fikrah
Typography

SAYA menonton rakaman kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini di pautan berikut: http://www.kinitv.com/video/48416O74 . Di antara yang disebut oleh beliau dengan merujuk kepada Mursyidul Am PAS ialah, “.. dan ada juga kenyataan yang saya baca mengatakan mungkin dia akan buat keputusan mana kerusi UMNO, PAS tak akan bertanding. Mana kerusi PAS, mereka UMNO tak akan bertanding. Jadi bagi kami, baguslah buat begitu, memudahkan kita untuk membezakan PAS ini samada dia third force ataupun dia sebenarnya dia masuk bersubahat dengan UMNO. Dan kita nak bagitahu kalau begitu halnya, sokong PAS bermakna sokong UMNO.Mudah untuk kita mengatur strategi..”

Saya melihat Muhyidin sudah mula terikut-ikut dengan politik gaya Mahathir yang sedang menyerang PAS habis-habisan sehingga tergamak mengungkit balik nama almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Sepatutnya, Muhyidin tidak perlu mengambil pendekatan demikian apatah lagi gaya politik Mahathir sudah sampai ke penghujugnya. Gaya politik seperti itu sudah ketinggalan zaman, politik membantai dan menyondol bagaikan penasaran hanya boleh menikam diri sendiri. Ibarat kata Daivd Teo, “sekali air pantai sampai ke pantai..” (sambungannya tidak sempat diketahui).

Muhyidin sebenarnya memberikan respon terhadap kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS seperti yang dilaporkan di portal Free Malaysia Today di pautan : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/16/pas-umno-mungkin-sepakat-tak-lawan-di-kerusi-sama/ .

Persoalannya, adakah benar adanya kenyataan Mursyidul Am PAS yang menyatakan PAS akan mewujudkan kesepakatan dengan UMNO dengan persetujuan bahawa kerusi PAS tidak ditandingi oleh UMNO dan begitu juga sebaliknya?

Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, sekalipun diapit oleh pemimpin-pemimpin PAN dan DAP, adalah tidak wajar Muhyidin melontarkan komen demikian dengan hanya merujuk kepada laman cabuk seperti itu. Apakah salahnya jika Muhyidin berkata, “saya perlu membuat pengesahan terlebih dahulu adakah benar kenyataan tersebut daripada Mursyidul Am atau sebaliknya sebelum membuat ulasan..” ? Tidakkah ia kelihatan lebih berseni dan bertoma’ninah?

Kita tidak berhasrat untuk mengambil langkah menyerang parti baru ini namun mengharapkan untuk kita memeluk tubuh di saat PAS diserang adalah sama sekali tidak mungkin.

Untuk pengetahuan Muhyidin, setelah dibuat pengesahan dengan Mursyidul Am PAS, ayat-ayat tersebut tidak pernah keluar dari mulut beliau. Hanya beliau mengulangi semangat yang telah ditegaskan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini bahawa 'jika UMNO terima Islam, PAS boleh bubar'. Apa yang disebut oleh beliau ialah PAS boleh bekerjasama dengan mana mana pihak yang boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan PAS. Tidak pernah wujud dalam perbincangan PAS untuk memberikan laluan kepada UMNO di kerusi-kerusi tertentu dan menuntut balasan yang sama daripada UMNO. Ia hanyalah omong-omong kosong pelari kerusi yang melarikan diri setelah tewas di gelanggang parti.

Saya tertarik untuk menggunakan analogi yang sama yang digunakan oleh Muhyidin apabila melontarkan fatwa bahawa “undi PAS ialah undi UMNO” kerana katanya PAS tidak akan bertanding bersama UMNO di kerusi yang sama. Justeru, apabila telah sahih Parti Pribumi Bersatu tidak akan bertanding di kerusi sama yang ditandingi DAP, secara mudahnya menurut sifir tersebut, undi BERSATU bererti undi DAP.

Saya mengira Tan Sri Muhyidin bahkan Mahathir sekalipun akan bersetuju jika kita menyebut secara jelas dan terang, dengan lidah yang fasih, Undi Bersatu bererti Undi DAP! - HARAKAHDAILY 19/5/2017