RUU164: Maslahah Islam lebih utama berbanding hubungan PAS-Umno

Fikrah
Typography

ANTARA isu yang paling popular untuk mengaitkan PAS mahu bergabung dengan Umno adalah RUU355. Walaupun PAS menerangkan bahawa pendirian PAS untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam urusan RUU355 adalah demi maslahah Islam, tetapi ia tetap dipusing kononnya tujuan sebenar adalah untuk bergabung. Walau tekanan terus diberikan, tetapi PAS tetap komited memperjuangkan RUU355 hingga ke hari ini.

Untuk membuktikan tujuan sebenar PAS adalah maslahah Islam, kita boleh lihat dari sudut bagaimana PAS berhadapan dengan RUU164 pula. RUU164 adalah satu usul untuk meminda akta 164, iaitu akta yang berkaitan dengan hak perkahwinan dan perceraian. Perkara yang ingin dipinda dalam akta tersebut turut melibatkan implikasi terhadap status agama anak.

Usul pindaan dibawa oleh pihak kerajaan kali pertama pada sidang parlimen November 2016. Bacaan pertama tersebut diluluskan. Tetapi untuk bacaan kali kedua, kerajaan mendapat banyak tentangan termasuk dari PAS sendiri. Akhirnya sidang April 2017 mereka terpaksa tangguhkan. Hari ini (7 Ogos 2017), kerajaan sekali menangguhkan usul tersebut, walaupun pada asalanya ia berada dalam senarai.

Dalam hal ini pemindaan akta 164 sangat merugikan Islam. Jadi PAS mengambil pendekatan untuk membangkang. Walaupun PAS bersama kerajaan, atau lebih tepatnya Umno dalam isu RUU355, tapi dalam isu RUU164 PAS menentang. Kerana perjuangan PAS di arena politik ini menimbang untung rugi dari sudut maslahah Islam.

Apa yang dapat dikesan, RUU164 adalah langkah BN untuk menagih kembali sokongan non-muslim terhadap mereka, selepas hilang apabila cenderung pada RUU355 pada awalnya. Komponen BN seperti terutama parti di Sabah Sarawak semacam takut dilihat terlalu terikut dengan agenda Islamisasi.

Yang kita bimbang, Umno yang diwakili ahli parlimen muslim turut terbawa-bawa sekali. Keputusan majlis tertinggi BN yang gagal mendapat konsensus untuk bawa RUU355 sebelum ini walaupun diketuai oleh Umno, mungkin boleh berulang dalam RUU164 pula. Tampak mereka masih main tarik tali.

PAS tidak mahu mempolitikkan samada isu RUU355 mahupun RUU164. Soal apakah keuntungan PAS dari sudut sokokngan politik jika mengambil sikap berbeza antara dua usul ini tidak menjadi pertimbangan utama. Yang penting adalah PAS mahu membela kedudukan dan masa depan Islam dan umatnya di negara ini. Apa jua ruang yang mungkin PAS akan gunakan. PAS tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua sehingga menggadai nasib Islam.

Sebenarnya apabila PAS memperjuangkan Islam, secara automatiknya PAS turut memperjuangkan kebajikan rakyat. Buktinya dalam isu GST. Kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam, maka PAS menjadi badan terawal, malah satu-satunya parti yang memfatwakan GST adalah haram. Bahkan pada setiap muktamar, PAS mengulang-ulang tentang pengharaman GST. Kerana tidak Islamik, GST telah menyebabkan rakyat sangat terbeban. Rakyat marah. Maka PAS bersama aspirasi rakyat dalam hal ini.

Posisi PAS dalam isu GST juga berbeza dengan RUU355. Iaitu membangkang kerajaan. Ini bukti PAS tidak menjadi khadam Umno sebagaimana digambarkan. Sebaliknya inilah pendekatan BPMS yang PAS kemukakan. Dalam perkara baik seperti RUU355, Rohingya, Perpaduan Ummah, PAS akan sokong dan sedia bersama sesiapa sahaja. Dalam perkara buruk seperti GST, RUU164, nasab anak zina, PAS akan bangkang dan sedia berhadapan dengan sesiapa sahaja. Perjuangan berlandaskan prinsip bukan pragmatis. – HARAKAHDAILY 7/8/2017