Tribut buat Almarhum Ustaz Ansori

Fikrah
Typography

SOSOK ini sangat dikenali oleh angkatan pemuda di penghujung dekad 90-an, tubuhnya sasa, mengilas serban dengan berjuntai rambut panjang paras bahu. Saya mengenalinya semasa beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang, sering bertemu dan menjadi peserta dalam program Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau seorang yang mudah didekati, mudah membantu, ringan tulang serta mudah melontarkan senyuman. Tidak pelik jika tokoh ini mempunyai jaringan kawan-kawan yang sangat meluas.

Ustaz Muin atau Ustaz Ansori mendapat pendidikan Islam di Pondok Darul Ansar, Selangor iaitu mantan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor iaitu Ustaz Zakaria Ansori merupakan pengasas madrasah yang tersohor dalam dekad 80-an ini. Beliau adalah kawan baik kepada Ustaz Nazmi Abdul Karim semasa belajar dan seterusnya menyambung pendidikan di Pusat Pendidikan terkenal di Terengganu iaitu Taman Islam Kemaman. Taman Islam bukan sekadar sebuah madrasah yang mengajar kitab-kitab turath tetapi memperkenalkan pelajarnya kepada perjuangan Islam melalui usrah dan tamrin. Tidak pelik kerana kebanyakan tenaga pengajarnya adalah aktivis PAS.

Ustaz Ansori seterusnya melanjutkan pendidikan ke Pondok Pattani, bermukim ilmu di sini semakin membuka ruang berfikir kepada perjuangan Islam. Beliau menyaksikan penindasan kepada umat Islam di Selatan Thailand oleh regim Thailand. Wilayah Islam Yala, Narathiwat, Setul, Pattani sedang bergolak sehinggalah membawa pembunuhan ulama-ulama serta tindakan sistematik kerajaan Thailand untuk mematikan sistem pengajian pondok. Wilayah Melayu Islam ini mempunyai lebih 400 buah pondok pengajian agama, institusi inilah yang mempertahankan akidah dan jatidiri muslim di Selatan Thailand. Belajar dan bermukim ilmu di pondok pengajian Islam inilah yang akhirnya mempengaruhi cita-cita besar almarhum Ustaz Ansori. Beliau akhirnya mendapat reputasi sebagai pengasas Pondok Bustanul Ariffin, sebuah pondok yang bukan sekadar mengajar pendidikan Islam tetapi membentuk remaja menjadi kader-kader dakwah.

Beliau pulang daripada menuntut ilmu dengan menggenggam satu keazaman, untuk membina generasi yang cintakan Islam. Beliau terlibat dengan Dewan Pemuda PAS Selangor dan juga Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang. Wajahnya sering ada dalam demonstrasi-demonstrasi, program-program perkaderan serta pelbagai program PAS. Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang. Ansori bukan sekadar menjadi pengkuliah di masjid dan surau tetapi membangunkan Pondok Bustanul Ariffin. Pondok ini menerima pelbagai jenis pelajar, termasuk remaja yang nakal dan terlibat dengan penagihan najis dadah.

Beliau membentuk anak-anak remaja ini menjadi insan yang cintakan perjuangan Islam, malah pondoknya sering menjadi tapak program perkaderan anak muda. Beliau berusaha mencari dana untuk memastikan kesinambungan pusat pendidikan itu. Usaha gigihnya itu membuka mata masyarakat sehingga ada hartawan yang turut ingin membantu. Watak dengan penampilan sederhana ini kadang kelihatan berjalan bersama tongkatnya, mengangkat tangan dan tersenyum menyapa kawan-kawan.

Ustaz Ansori dalam keseriusannya menuntut ilmu telah berlanglangbuana ke Timur Tengah. Beliau memasuki mahaad Lughah di Syria bagi mengemaskini bahasa Arab bagi mendalami ilmu-ilmu Islam. Beliau juga melanjutkan pelajaran ke Universiti Sadat dan juga berguru dengan masyaikh di luar kampus.

Beberapa tahun kebelakangan ini,kesihatan beliau mula merosot dan berada  di perbaringan beberapa bulan terakhir ini.  Beliau mendapatkan rawatan di hospital dan melakukan pembedahan. Namun taqdir terpahat, apabila pada tengah malam 2 November, roh beliau telah berkelana ke alam abadi. Berita pemergian tokoh ini dengan pantas tersebar dan pada pagi yang sama, jenazah beliau disolatkan oleh ribuan manusia di kawasan lapang Pondok Bustanul Arriffin, Kampung Labuhan Dagang. Beliau disemadikan dalam usia 48 tahun, meninggal dalam usia yang muda namun penuh dengan jasa kebaktian pada ummah. – HARAKAHDAILY 3/11/2017