Perihal WINS (Siri 6): Huraian 10 prinsip WINS

Fikrah
Typography

UNTUK memastikan segala program WINS 2051 berjalan dengan baik dan mencapai matlamat yang digariskan, ianya akan dipandu dengan 10 prinsip sepanjang tempoh perlaksanaannya:

1. Pematuhan kepada syariat dan penyelesaian mengikut prinsip Islam.

Prinsip pertama ini boleh dianggap sebagai ibu bagi semua prinsip yang lain. WINS 2051 bakal menjadikan syariat sebagai panduan utama, sesuai dengan perjuangan PAS yang mempercayai hanya Islam sahaja yang boleh membawa kesejahteraan kepada negara.

Walaubagaimanapun ini tidak bermakna WINS 2051 bersifat tertutup dan tidak menerima sebarang idea selain apa yang diperkenalkan oleh tamadun Islam. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam, segala yang baik dari tamadun lain akan turut diambilkira. Kerana Islam mengajar bahawa kebijaksanaan itu adalah barang tercicir milik umat Islam. Di mana sahaja kebijaksanaan itu ditemui, maka orang Islamlah yang paling berhak untuk mengambilnya.

2. Insan berkualiti merangkumi akal, rohani dan fizikal adalah aset terpenting negara.

Prinsip kedua ini tidak menganggap manusia sebagai modal untuk mencapai keuntungan material. Tetapi manusia adalah makhluk paling mulia, yang sepatutnya dibangunkan dan dijaga segala elemennya dari sudut mental, fizikal dan spiritual. Material sepatutnya menjadi alat untuk manusia, bukan manusia sebagai alat untuk material.

Pembangunan insan menjadi misi utama WINS 2051. Mentaliti adalah elemen paling utama, justeru soal pendidikan dan budaya kajian ilmu akan menjadi tumpuan WINS 2051. Selain itu WINS 2051 turut menitik beratkan pembangunan fizikal melibatkan kesihatan jasmani. Sesuatu program tidak akan mengabaikan isu-isu kesihatan dan keselamatan samada kakitangan mahupun rakyat awam. Juga WINS 2051 menumpukan pembangunan rohani. Ia adalah asas kepada nilai dan moraliti rakyat bagi mencerminkan sebuah masyarakat bertamadun. Aspek inilah yang paling penting dalam membezakan manusia dengan mana-mana makhluk yang lain.

Sebenarnya, inilah juga konsep tamadun Islam yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW, dan diteruskan oleh semua dinasti Islam selepasnya. Tidak ada makna jika pembangunan hanya dari sudut fizikal dan material, tetapi jiwa dan minda manusia masih berhambakan makhluk.

3. Kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk semua lapisan rakyat.

Melalui prinsip ketiga ini, barulah WINS 2051 menjelaskan tentang material sebagai sebahagian sumber untuk menjana pembangunan negara. Perkasa asas yang perlu difahami adalah kekayaan bukan milik ekslusif mana-mana pihak. Ia adalah milik semua lapisan rakyat. Kerajaan hanya bertindak sebagai fasilitator dan moderator untuk memastikan kekayaan negara tidak berlegar setakat lapisan bangsawan atau pihak tertentu sahaja.

WINS 2051 memahami bahawa kekayaan dan hasil mahsul material adalah diciptakan oleh Allah untuk manusia. Justeru setiap yang bernama manusia berhak untuk menerimanya dengan adil. Namun begitu ia tetap perlu dikawal dan dijaga agar tidak berlaku salahguna dan pembaziran yang membawa kepada kerosakan di muka bumi.

4. Pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab bersama kerajaan pusat, negeri dan rakyat/komuniti.

Prinsip keempat ini merupakan terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang pernah diperkenalkan PAS kira-kira lima tahun lalu. Tanggungjawab untuk membangun dan menjaga negara tidak hanya terletak di bahu jentera kerajaan sahaja. Tetapi turut melibatkan setiap pihak sehingga ke peringkat akar umbi rakyat.

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan masyarakat yang sangat prihatin dan ringan tulang dalam membantu sesama mereka, bahkan amat sensitif dalam isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Sehingga ke hari ini sudah banyak institusi-institusi swasta yang bukan berasaskan keuntungan seperti NGO dan badan-badan kebajikan memainkan peranan membangunkan negara dan membantu rakyat dari segala segi.

WINS 2051 menyedari perkara ini dan akan memperkasakan lagi aspek ini. Rakyat akan diberikan lebih autoriti untuk memainkan peranan, kerana rakyat sendiri lebih memahami keperluan mereka. Prinsip ini juga dapat memupuk rasa ke’kita’an dan Malaysia ini kepunyaan bersama, selain menjadikan rakyat lebih produktif dan ‘peduli ummah’.

Satu lagi sudut yang perlu diperhatikan melalui prinsip ini adalah tanggungjawab antara kerajaan pusat dan negeri. Walaupun perlembagaan negara telah membahagikan bidang tugas antara pusat dan negeri, tetapi dari sudut tanggungjawab, keduanya memainkan peranan yang sama tanpa mengira perbezaan parti politik yang menerajui kerajaan tersebut.

Prinsip ini mengambil contoh daripada kisah Iskandar Zulkarnain dari al-Quran. Baginda meminta rakyat untuk turut bekerjasama dengan tenteranya bagi membina tembok penghalang Yakjuj dan Makjuj.

5. Pengasingan antara kuasa Politik dan kuasa Ekonomi. Kuasa Politik sebagai penentu halatuju negeri, Perancang Program, dan Pemantau. Kuasa Ekonomi melaksanakan perancangan yang diputuskan tanpa campur tangan kuasa politik.

Prinsip ini diletakkan kerana PAS menyedari punca kepincangan pembangunan ekonomi negara adalah kerana campurtangan orang politik terhadap perjalanan badan ekonomi. Segala polisi dan dasar ekonomi hanya cantik di atas kertas, tetapi gagal mencapai matlamat yamg digariskan kerana diganggu oleh orang-orang politik yang berkepentingan.

WINS 2051 memperbetulkan gejala ini dengan menerapkan polisi pengasingan kuasa antara kedua kutub ini. Orang yang menjalankan perlaksanaan ekonomi akan dipilih dari kalangan mereka yang benar pakar dan berpengalaman dalam segala cabang ekonomi seperti ahli korporat, ahli akademik, ahli perniagaan, pakar kewangan, akauntan dan lain-lain. Selaras dengan idea kerajaan teknokrat yang digagaskan Presiden PAS.

6. Pematuhan kepada Dasar Pemisahan kuasa Badan Legislatif, Badan Eksekutif dan Badan Judisiari tanpa ada campur tangan di antara satu sama lain.

Doktrin pemisahan kuasa ini sebenarnya sudah lama diperkenalkan sebagai konsep negara demokrasi moden. Malaysia juga salah sebuah negara yang menerima pakai sistem demokrasi terpimpin. Namun dari sudut realiti, masih banyak berlaku campur tangan antara ketiga-tiga badan ini menyebabkan keadilan tidak berjaya dicapai.

WINS 2051 akan mengembalikan kepatuhan negara kepada doktrin ini. Badan kehakiman bebas untuk mengheret sesiapa sahaja ke muka pengadilan tanpa memerlukan kebenaran daripada mana-mana badan lain. Badan eksekutif berhak menentukan kaedah perlaksanaan mereka dalam menjalankan tugas tanpa dipengaruhi kepentingan badan-badan lain.

7. Menaiktaraf hidup golongan miskin & pengurangan kos sara hidup.

PAS menyedari jurang antara kaya dan miskin di dalam negara sangat lebar. Keghairan untuk mengejar status negara maju menyebabkan kepentingan untuk keseimbangan sosioekonomi rakyat terabai. Ketidakseimbangan ini secara tidak langsung mewujudkan suasana pemisahan antara rakyat ataupun kasta.

WINS 2051 mahu meletakkan rakyat semua berada di darjat yang sama. Justeru program-program yang dirangka akan menekankan matlamat menaiktaraf hidup golongan bawahan dan miskin ke arah yang lebih baik. Antara yang dititik beratkan adalah isu kos sara hidup yang terlalu tinggi. Perkara ini mungkin tidak memberi kesan kepada golongan berpendapatan tinggi tetapi sangat menekan golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Perlu ditekankan, WINS 2051 tidak mengiktiraf sebarang sistem ekonomi samada kapitalis mahupun sosialis. Tetapi akan menggunakan sistem ekonomi Islam bagi menjayakan matlamatnya.

8. Penstrukturan sistem percukaian berdasarkan sistem ekonomi Islam.

Negara moden sekarang menggunakan polisi fiskal dalam menentukan kadar cukai dan perbelanjaan negara. Namun mereka membelakangi prinsip-prinsip percukaian di dalam Islam. Perkara ini menyebabkan ekonomi negara tidak dapat dibangunkan sebagaimana yang diharap.

WINS 2051 akan merombak sistem ekonomi negara yang sebelum ini berasaskan kepada konsep percukaian, kepada sistem ekonomi Islam yang tidak bergantung penuh kepada penentuan cukai. Cukai juga akan diskrukturkan semula supaya mematuhi syariat seperti cukai hanya dikutip daripada golongan berada, tidak melebihi kadar yang ditetapkan syarak dan juga dibelanjakan pada lapangan yang sepatutnya.

9. Pembangunan negara berasaskan prinsip lestari dan mapan.

Dengan prinsip ini, WINS 2051 turut menitikberatkan soal pemeliharaan alam sekitar. Keghairahan mengejar pembangunan tidak harus mengenepikan aspek penjagaan sumber alam. Ia juga sebenarnya adalah tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi, bagi mengelakkan alam ini rosak dengan sebab tangan-tangan manusia itu sendiri.

Kelestarian sumber alam adalah perlu bagi memasikan ianya kekal wujud untuk dimanfaatkan sepanjang masa. Sumber alam adalah sebaik-baik produk untuk dimanfaatkan manusia kerana ia adalah ciptaan langsung dari Allah SWT. Kegagalan memelihara kelestarian ini akan turut menambah bebanan negara dalam kos penyelenggaraan pembangunan sedia ada.

WINS 2051 mengambil kira program Sustainable Development Goals (SDG) yang diperkenalkan oleh United Nation Development Programme dalam prinsip kelestarian ini. Walaupun terdapat beberapa sasaran SDG yang perlu disemak kembali, tetapi ada beberapa perkara yang menepati konsep kelestarian ajaran Islam. Antaranya ialah kebersihan air, kepenggunaan dan penghasilan berhemah, kecermatan dalam guna tenaga, kepedulian terhadap perubahan iklim serta kecaknaan terhadap hidupan laut dan juga hidupan darat.

10. Kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum.

Prinsip terakhir WINS 2051 bagi menjamin kesejahteraan negara adalah supaya semua rakyat hidup berasaskan fitrah manusiawi yang tulen. Yang paling utama adalah kepercayaan kepada agama dan tuhan, selari dengan rukun negara yang pertama.

Ia tidak bermakna semua rakyat dipaksa untuk menganut agama Islam, kerana ajaran Islam memberi kebebasan untuk manusia memilih agama masing-masing. WINS 2051 lebih menekankan supaya walau apa agama sekalipun mereka anuti, mereka hendaklah mematuhi ajaran agama masing-masing.

PAS percaya walaupun Islam hanya satu-satunya agama yang diterima oleh Allah, tetapi semua agama lain bermatlamatkan kepada pembinaan nilai dan moral manusia mengikut kepercayaan masing-masing. Kebebasan mengikut agama masing-masing secara sempurna perlu ditekankan. Manusia yang bermoral dan tinggi nilainya akan menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat. Mereka yang percaya kepada kuasa tuhan dan balasan syurga neraka akan menjadi lebih baik secara moralnya berbanding mereka yang tidak bertuhan/atheis.

Sementelah Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang berbilang kaum serta agama, perihal agama dan budaya menjadi satu perkara yang amat sensitif dan perlu dipelihara supaya harmoni. Ia adalah langkah awal supaya rakyat boleh merasa tenteram berada di bawah sistem pemerintahan Islam, sebelum mereka beralih untuk mengkaji Islam dengan lebih mendalam lagi.

Tetapi ia tetap berpaksikan kepada peruntukan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Kedudukan Islam berbanding agama lain di negara ini perlu diiktiraf dan dihormati kerana ia adalah anutan majoriti rakyat. Tetapi agama lain juga bebas untuk diamalkan selagi tidak menggugat kedudukan Islam.

Selepas ini, akan dijelaskan pula perancangan WINS 2051 secara lebih terperinci pada fasa satu. Bermula dengan mengenalpasti segmen-segmen yang menjadi teras utama negara, diikuti pendedahan terhadap masalah utama seterusnya cadangan bagi setiap persalahan tersebut melalui program-program yang diatur. Petunjuk penilaian prestasi (KPI) akan diletakkan bagi setiap program bagi mencapai kunci capaian yang telah disusun sepanjang tempoh fasa tersebut, supaya matlamat Transformasi Negara Sejahtera berjaya dicapai di akhirnya. - HARAKAHDAILY 6/11/2017