Kamu sembang besar, rakyat kena tempias

Fikrah
Typography
KUALA LUMPUR: Sebanyak 131 kejadian cerun runtuh yang berlaku di Pulau Pinang dalam jangka waktu daripada 15 September hingga 4 November baru-baru ini adalah satu rekod baharu kebangsaan. 
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, agak sukar bagi mana-mana negeri lain untuk memecahkan 'rekod' ini. 
 
"Dalam suasana cuaca yang tidak menentu ditambah pula kita masih dalam edah musim tengkujuh sekarang, kebarangkalian untuk angka ini terus meningkat adalah tinggi. 
 
"Saya tidak berhasrat hendak mengucapkan tahniah kepada Lim Guan Eng atas pencapaian 'rekod yang memberansangkan' ini kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat. Yang terkorban juga rakyat," ujar beliau kepada Harakah hari ini.
 
Apabila menjejakkan kaki ke Pulau Pinang katanya, dengan mudah sesiapa pun akan dapat melihat bagaimana kondominium serta apartment mewah di lereng-lereng bukit; tumbuhnya lebih rancak dari cendawan yang muncul selepas hujan. 
 
Ini adalah menurutnya, gaya hidup masa kini, 'trend' kehidupan gaya mewah yang hanya mampu dilihat oleh warga Melayu penduduk asal Pulau Pinang. 
 
"Guan Eng mempunyai kuasa dan wang, maka semua itu mampu mereka gapai. Namun ada ketikanya lantaran kerakusan menarah lereng dan tebing bukit untuk pembangunan dengan bermodalkan kuasa dan wang akan menyebabkan alam memberontak. 
 
"Ketika inilah kalau manusia mahu sedar; betapa kerdilnya diri mereka berdepan dengan kuasa alam. Kalau tidak mahu insaf juga maka terpulanglah," ulas beliau.  
 
Terangnya, Allah telah jelaskan kepada hambanya di dalam Al-Quran bahawa bukit-bukau adalah pasak yang mengukuhkan dan menstabilkan muka bumi.
 
Menganggu pasak jelasnya, bermakna menggugat 'baji' yang menguatkan bumi di mana hasilnya jelas dan nyata lalu dapat dilihat oleh semua orang. 
 
"Simpati kita kepada rakyat kebanyakan yang basah terkena tempias air liur yang tersembur dari mulut orang suka sembang besar bernama Lim Guan Eng!" bidas Dr Azman. - HARAKAHDAILY 14/11/2017