Ali Moertopo: Sang 'Intelligent' pemangsa Gerakan Islam

Fikrah
Typography
LEFTENAN Jeneral Ali Moertopo (1924-1984) merupakan seorang watak penting dalam sejarah dunia perisikan, khususnya di Indonesia. Kaca mata hitam menjadi identitinya, terkenal sebagai seorang yang nekad melaksanakan misi-misi gila. Sifat tersebut menjadi faktor kepada siri-siri kejayaan onarnya.
 
Tangan Kanan Suharto
 
Beliau mendapat gelaran tersebut ekoran dari peranannya membuka laluan kepada Suharto berkuasa setelah tersingkirnya Seukarno. Tidak keterlaluan jika dikatakan Ali Moertopo merupakan arkitek kepada Orde Baru bawaan Suharto. Sekali gus menjadi pemain di balik tabir yang menukar kiblat Indonesia dari Soviet kepada Amerika.
 
Dikatakan kepakaran Ali Moertopo dalam merancang dan merisik adalah hasil dari pengalamannya yang pernah menjadi perisik Angkatan Laut Belanda (Netherland Information Service)
 
Memperguna Mahasiswa
 
Pada tahun 1965, Ali Moertopo berkali-kali meminta kesediaan Suharto menggantikan Seukarno. Ketika itu, Ali Moertopo menggunakan mahasiswa untuk merusuh ke atas pemerintahan Seukarno. 
 
Ali Moertopo menyediakan markas Komando Tempur bagi Kesatuan Aksi Mahasiswa Indonesia bersembunyi. Semangat anak muda digunakan. Bahkan beliau juga memberikan bantuan senjata kepada kelompok mahasiswa sebagai perangsang untuk merusuh, walaupun sebahagian senjata yang diberikan gagal berfungsi.
 
Mencetak Berita Harian Palsu
 
Dalam rangka mensabotaj Seukarno yang sedang menjalankan kempen Ganyang Malaysia, Ali Moertopo menjadi dalang menyebarkan propaganda yang berfungsi mengendurkan senario konfrantasi antara Indonesia dan Malaysia.
 
Antaranya dengan mencetak 5,000 naskhah akhbar Berita Harian palsu pada September 1965. Bahan propaganda 8 muka surat itu dibawa dengan 6 buah tongkang nelayan dan mendarat di Pontian, Johor lalu disebarkan.
 
Penubuhan CSIS
 
Setelah berjaya menaikkan Suharto, Ali Moertopo menubuhkan pusat kajian Strategic & International Studies (CSIS) pada 1971. Pusat kajian yang terletak di Tanah Abang, Jakarta itu berfungsi sebagai lembaga pemikir kepada Orde Baru. Ia juga dikenali sebagai CIA cabang Indonesia. Terdapat banyak kajian dan pendapat yang mengkaitkan Ali Moertopo dengan pihak CIA.
 
Bermodalkan Dana
 
Demi melangsungkan kerja-kerja rahsianya termasuk melobi pihak-pihak tertentu, sudah pasti memerlukan dana yang banyak. Itulah modal utama untuk membeli mangsa-mangsa politik Ali Moertopo.
 
Sekitar tahun 60-an hingga 70-an, beliau pernah menerima sejumlah wang SGD35 juta, USD100 juta dan USD17 juta hasil dari aktiviti pencairan wang dari bank luar negara dan penyeludupan.
 
Strategi Pancing & Jaring Kumpulan Islam
 
Untuk menangani 'trend' kebangkitan Islam, Ali Moertopo mempunyai caranya tersendiri yang cukup licik memerangkap kumpulan Islam. Beliau menubuhkan pelbagai kumpulan Islam, lalu diprovok agar masing-masing terbakar semangat. Apabila perangkapnya telah penuh, maka operasi penangkapan dilancarkan.
 
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang kerap menceritakan bahawa Ali Moertopo merupakan dalang kepada wujudnya lambakan kumpulan Islam di Indonesia. Lantas masing-masing hilang fokus, menyebabkan kekuatan umat gagal disepadukan.
 
Mengkader Ejen Berpengajian Agama
 
Ali Moertopo mewujudkan sebuah kumpulan yang dikenali Jamaah Imran. Pemimpinnya bernama Imran dibiaya oleh Ali Moertopo untuk melanjutkan pelajaran ke Libya selama 5 tahun. Watak seperti Imran penting demi menjayakan perancangan memerangkap anak muda yang bersemangat Islam. Memandangkan kepercayaan masyarakat Islam kepada tokoh agama sangat tinggi.
 
Dalam kes yang membabitkan Jamaah Imran pada 1981, mereka telah merampas sebuah pesawat yang akhirnya berjaya ditumpaskan oleh tentera. Yang lebih menghairankan, kesemua yang terbabit ditangkap. Sementara Johny atau Najamudin yang merupakan aktor penting dalam drama rampasan tersebut berjaya meloloskan diri. Rupa-rupanya dia adalah ejen yang ditugaskan oleh Ali Moertopo agar menyusup masuk ke dalam Jamaah Imran untuk menjalankan kerja provokasi. Lantas dari aksi tersebut membenarkan tuduhan Islamphobia bahawa wujudnya kumpulan pengganas Islam.
 
Begitu juga seorang tokoh kumpulan Islam di Indonesia yang bernama Hilmi Aminuddin. Diperakui oleh ayahnya bahawa beliau dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah adalah dengan bantuan biaya dari Ali Moertopo.
 
Tawarkan Projek
 
Dalam peristiwa lumpuhnya kumpulan Darul Islam (DI), turut membabitkan peranan Ali Moertopo. Beliau menugaskan ejen-ejennya supaya menyusup masuk ke dalam DI. Seterusnya mendorong pimpinan DI agar segera melakukan perancangan secara agresif sehingga tertubuhnya skuad tenteranya sendiri yang digelar Komando Jihad.
 
Akhirnya pemimpin utama DI bernama S.M. Kartosoewirjo ditangkap dalam satu serbuan, sementara pendamping-pendampingnya lenyap. 
 
Selepas itu tokoh-tokoh DI dipujuk untuk berpaling tadah dengan tawaran projek-projek lumayan sebagai imbalan. Ada di kalangan mereka memperolehi projek menguruskan minyak, membangunkan jalan raya dan pasar. Semangat Islam yang berkobar-kobar habis terkulai layu setelah disua projek. Oleh kerana itu Ali Moertopo pernah berkata angkuh:
 
"Rakyat seperti singa sarkas. Jika perut mereka kenyang, mereka sanggup diperintah apa sahaja. Tetapi jika perut mereka lapar, mereka tidak segan-segan memangsakan pawangnya sendiri."
 
Sosok Penuh Rahsia
 
Hakikatnya banyak lagi cerita Ali Moertopo yang masih belum tersingkap. Apa yang pasti, cabaran ke atas gerakan Islam cukup pelbagai. Sejarah mengajar kita betapa musuh amat licik dan tekun memerangkap gerakan Islam. Persoalan yang selalu kita tanya setiap kali membelek sejarah. Jika dahulu musuh boleh buat, mustahil mereka tidak buat pada hari ini.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
24 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 24/12/2017