Jawapan RORA kepada PAS Marang dijawab

Fikrah
Typography
Mukadimah
 
Setelah menerima beberapa permintaan daripada kawan-kawan yang meminta saya menjawab sekali lagi jawapan balas yang diberi oleh Dr Rozaimi Ramli (RORA) terhadap tulisan saya, saya agak keberatan.
 
Ini kerana rasanya tiada keperluan untuk terus menjawab dan menjawab lagi tulisan Dr Rozaimi yang mengkritik tulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi secara tidak mengikut norma-norma perbincangan akademik. Iaitu dengan menukilkan pendapat Tuan Guru Abdul Hadi berdasarkan kesimpulan yang tidak dimaksudkan oleh penulisnya.
 
Akhirnya, saya akur menunaikan permintaan kawan-kawan dengan hati yang berat. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat.
 
Tajuk kritikan RORA yang tidak mewakili maksud penulis
 
Dr Rozaimi hanya memusatkan kritikan beliau kepada perenggan ini. 
 
"Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah S.A.W apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya. Lantas Baginda S.A.W bersabda:_ _“Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya”
 
Berdasarkan kepada perenggan ini, Dr Rozaimi merumuskan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat tak beradab dan haram menamakan Perdana Menteri (PM) dengan berdalilkan kisah ketua kabilah Bani Amir tersebut.
 
Selanjutnya, Dr Rozaimi mengerahkan seluruh fokus kritikannya kepada tajuk yang direkanya sendiri, iaitu "Apakah hukum menamakan PM sebelum PRU?".
 
Iaitu bukan tajuk yang hendak dibahaskan dengan terperinci oleh penulis asal. 
 
Artikel panjang yang menerangkan tentang bagaimana mengolah sistem politik Islam dalam rangka sistem demokrasi berpilihanraya di Malaysia mengikut pandangan penulis, langsung tidak diambil kira dalam memahami perenggan tersebut.
 
Itulah yang dimaksudkan dengan kritikan yang "entah apa-apa".
 
Menjawab jawapan RORA berdasarkan petikan tulisan beliau
 
1. "Saya telah pun membaca respon terbaru yang disiarkan dalam Harakahdaily berkaitan teguran saya kepada kenyataan tidak tepat TGHH."
 
Ulasan:
RORA menyifatkan kritikan beliau sebelum ini suatu 'teguran kenyataan tidak tepat Tuan Guru Abdul Hadi'. Walhal ia bukanlah bukanlah 'teguran' tetapi menghentam secara hentam keromo.
 
2. "Saya hairan dengan PAS hari ini. Wacana, perbahasan ilmiah dan teguran dianggap sebagai kebencian. Saya nasihatkan supaya penulis elokkan sangkaan beliau. Jangan ketaksuban menguasai diri sehinggakan nasihat dan teguran dianggap sebagai suatu yang dodasari dengan kebencian."
 
Ulasan:
Tidak nampak di mana perbahasan ilmiahnya dalam artikel kritikan Dr Rozaimi. Yang nampaknya ia jelas sekali bukan perbincangan ilmiah. Ia hanyalah seperti artikel jalanan yang memetik bahagian tertentu artikel dan mengkritiknya mengikut selera pengkritik semahu-mahunya.
 
Tak kiralah, sama ada itu maksud sebenar penulis asal atau tidak.
 
Dr Rozaimi juga meminta saya mengelokkan sangkaan saya kepada beliau, sedangkan beliau sendiri begitu berburuk sangka dengan apa beliau sebut sebagai "PAS hari ini".
 
3. "Penulis tidak membawa apa-apa perkara baru. Dan tidak menjawab pun soalan yang saya kemukakan. Artikel beliau bukanlah menjawab saya, tetapi lebih kepada memperlekehkan saya tanpa berikan input ilmiah."
 
Ulasan:
Ya, saya tidak membawa apa-apa perkara baru dan menisbahkannya kepada Dr Rozaimi secara tidak adil seperti yang beliau buat kepada artikel Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi. Saya cuma 'menegur' kritikan beliau yang jauh terpesong daripada norma kritikan ilmiah. Mungkin beliau terlalu taksub hendak mengkritik Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan PAS.
 
Selain itu, perenggan ini juga amat menarik kerana Dr Rozaimi menegaskan beliau tidak suka 'diperlekeh'. Tetapi yang ajaibnya beliau sangat suka 'memperlekehkan' orang lain.
 
 
4. "Mengapa saya katakan begitu? Ia kerana beberapa sebab:
 
- kisah Bani Amir itu sanadnya terputus. Adakah ia boleh dijadikan hujah? Jika boleh, ia tidak boleh dijadikan alasan larangan menamakan calon pemimpin. Sebaliknya ia bercerita tentang meminta jawatan. Saya tidak faham mengapa riwayat tentang meminta jawatan dipesongkan sehingga dijadikan hujah mengatakan perbuatan tidak menamakan calon PM selari dengan adab Islam.
 
- Abu Bakar pernah mencalonkan nama Umar sebagai khalifah selepas beliau. Adakah ia bercanggah dengan adab Islam?
 
- jika meminta jawatan tidak dibenarkan secara mutlak maka kenapa PAS masih bertanding pilihanraya?
 
- jika mencalonkan nama PM itu bercanggah dengan adab Islam, bagaimana dengan kenyataan Wakil Dewan Ulama PAS dahulu yang mencalonkan TGHH sebagai PM. Adakah mereka biadap?
 
- jika dikatakan yang menyalahi adab Islam itu ialah menamakan calon PM yang tidak layak, adakah semua calon PAS tidak layak jadi PM sehingga jika PAS calonkan nama PM maka ia menyalahi adab Islam?"
 
Ulasan:
Semua perbahasan dalil-dalil ini dibuat oleh Dr Rozaimi atas sangkaan meleset beliau bahawa Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat haram hukumnya menamakan calon PM, tidak beradab dan biadap berbuat begitu.
 
Walhal, bukan itu yang dikatakan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam artikelnya. Bahkan Tuan Guru Abdul Hadi tidak menulis mengenai 'Hukum meminta jawatan dalam kerajaan termasuk jawatan PM' atau 'Hukum menamakan calon PM sebelum memenangi sesuatu pilihanraya'.
 
Jadi Dr Rozaimi berdebat seorang diri. Beliau membayangkan beliau sedang berdebat dengan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Walhal, beliau sendiri menjadikan kisah ketua Kabilah Bani Amir sebagai dalil 'mengharamkan perbuatan menamakan calon PM'. Dan beliau sendiri yang membantah dalil itu.
 
Kemudian beliau perkuatkan pendapat beliau dalam perdebatan seorang diri itu dengan persoalan-persoalan yang panjang berdasarkan kepada dalil-dalil lain yang mengharuskan perbuatan menamakan calon PM itu.
 
Berdebat seorang diri, memang kitalah yang menang.
 
5. Semua soalan ini tidak dijawab sebaliknya penulis hanya menulis panjang tanpa fokus pada titik perbahasan. Beliau hanya fokus kepada perkara yang tidak menjadi titik perbahasan. Penulis sebaliknya fokus kepada isu yang saya tidak bantah. Iaitu isu PM perlu melaksanakan tanggungjawab.
 
Ulasan:
Pelik sekali Dr Rozaimi memarahi saya kerana tidak fokus kepada titik perbahasan beliau. Walhal beliau sewenang-wenangnya mengkritik artikel Tuan Guru Haji Abdul Hadi tanpa peduli kepada titik perbahasan.
 
6. "Penulis sebaliknya fokus kepada isu yang saya tidak bantah. Iaitu isu PM perlu melaksanakan tanggungjawab."
 
Ulasan:
Saya bukan fokus kepada isu yang Dr Rozaimi tidak bantah. Saya hanya hendak menarik beliau supaya kembali fokus kepada artikel.
 
7. "Namun analisis mendalam diperlukan untuk menilai alasan penulis ini iaitu sejauh mana perlakuan tidak mencalonkan nama PM dapat menjamin bahawa PM akan melaksanakan tugasnya menurut Islam? Apa hubungkait kedua isu ini? Bukankah dengan mencalonkan nama PM lebih menjamin pengetahuan pengundi bahawa calon ysng mereka akan pilih dipercayai akan menunaikan tanggungjawab Islamnya? Sangat ajaib alasan ini. Bahkan dangkal."
 
Ulasan:
Ya, persoalannya sejauh mana seorang PM itu akan melaksanakan tugasnya mengikut Islam. Itulah yang ditegaskan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam tulisannya. Agenda politik Islam mesti didaulatkan. Bukan setakat tukar PM semata-mata. Tetapi menukar PM dan barisan kabinetnya yang berkemampuan melaksanakan hasrat yang besar itu.
 
Tentang menamakan calon PM oleh PH, PAS tidak bantah. Tidak mengatakan haram dan berdosa. Tetapi PAS melihat ia kurang sesuai. Kerana kerja mengalahkan BN dalam Pilihan Raya bukanlah tugas mudah. Komponen PH mana yang paling mendapat banyak kerusi pun masih belum dapat dipastikan lagi.
 
Apatah lagi, calon PM yang PH namakan itu tidak mempunyai rekod yang baik dalam mendaulatkan syariat di negara kita. Bahkan calon itu tidak mendapat sokongan daripada sebahagian komponen PH sendiri.
 
Inilah persoalannya tentang calon PM. Bukan setakat menentukan hukum harus mencalonkan bakal PM daripada segi hujjah dan dalil semata-mata seperti yang dibuat oleh Dr Rozaimi. Bahkan kita mestilah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menganalisa nama calon PM tersebut mengikut neraca politik Islam berdasarkan realiti sebenar dalam politik negara.
 
8. "Nampaknya penulis tidak membaca dengan betul apa yang saya tulis. Saya nyatakan sedari awal bahawa jika Abdul Hadi kata ijtihad beliau tidak mahu letakkan calon PM kerana ia tidak menguntungkan PAS, saya tidak ada langsung masalah dengan kenyataan ini. Ia jelas menunjukkan ijithad. Apa yang saya bantah ialah apabila dikata tidak mencalonkan nama PM itu selari dengan adab Islam itu yang saya rasakan ia perlu diperbetulkan dan ditegur. Ada beza antara keduanya."
 
Ulasan:
Dr Rozaimi sangat geram kerana merasakan saya tidak membaca artikel beliau mengikut kehendak dan maksud beliau. Tetapi itulah yang Dr Rozaimi lakukan kepada artikel Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi.
 
Jika ia adalah perbezaan ijtihad seperti dakwaan Dr Rozaimi, sepatutnya Dr Rozaimi berlapang dada menerima perbezaan ijtihad. (Sebenarnya hanya ijtihad Dr Rozaimi yang ditulis, sebab Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak mengemukakan pendapat beliau tentang hukum syarak bagi masalah ini.)
 
Biasalah dalam khilaf di kalangan para mujtahidin. Satu pihak berpendapat harus, satu pihak berpendapat haram atau makruh. Tentulah pihak yang mengharamkan atau memakruhkan itu akan memberikan hujjah mereka yang keras dan kurang menyenangkan pihak yang mengharuskan.
 
Apa perlunya Dr Rozaimi menyalahkan 'ijtihad' pihak lain sedangkan beliau sendiri bersetuju bahawa dibolehkan berkhilaf dalam perkara ijtihad.
 
Kata Dr Rozaimi, silap Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengatakan tidak ada adab. 
 
Tidak ada adab ini apa hukumnya? Adakala haram, adakala makruh, adakala harus. Ia bukan bermakna haram semata-mata. Renungkanlah.
 
6. "- saya katakan saya bukan wakil PH. Saya juga tidak masuk campur masalah mereka.
 
- jika pencalonan nama PM adalah masalah besar PH, apa kaitannya dengan PAS? Adakah PAS sedang tunduk kepada PH dalam percaturan politiknya? Jika PAS menamakan calon PM nya apa kaitannya dengan PH?
 
- jika pencalonan PM itu masalah PH, adakah semestinya ia bercanggah dengan adab Islam?"
 
Ulasan:
Tulisan Dr Rozaimi di sini jelas sekali menunjukkan beliau tak faham apa-apa tentang politik Malaysia.
 
Kata Dr Rozaimi, beliau tidak campur urusan PH. Bahkan beliau sangat hairan kenapa PAS mengkritik tindakan PH dalam menamakan calon PM. Apa kaitan PAS dengan PH?
 
Bukankah begitu naif persoalan beliau. Setiap parti politik memanglah sentiasa mengambil perhatian terhadap tindakan dan perkembangan parti politik lain. Termasuk memberikan kritikan, cadangan ataupun kadang-kadang sokongan kepada parti politik lain dalam isu-isu yang menyentuh polisi negara dan kebajikan rakyat.
 
Parti politik yang hanya memberi perhatian kepada partinya sahaja dan tidak menghiraukan kewujudan parti-parti lain tidak wujud dalam sistem demokrasi. Dalam negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja yang tidak berfikir tentang parti politik lain.
 
Penutup
 
Dr Rozaimi akhirnya menulis, "Jenuh saya memikirkan apa kaitan PH dan PAS. Maaf, sel-sel otak tidak dapat berhubung untuk fahami huraian ini. Ia seperti perbuatan orang terdesak untuk membela tokoh sendiri walau sebenarnya tidak ada hujah kukuh."
 
Oh... Rupa-rupanya sel-sel otak Dr Rozaimi Ramli masih belum dapat berhubung. Barulah saya faham kenapa beliau begitu naif dalam memahami artikel Presiden PAS itu.
 
ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Kawasan Marang
27 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 28/12/2017