Berpaling tadah lalu kecewa

Fikrah
Typography
ALLAH telah merakamkan perlakuan golongan munafiqin yang gopoh berpaling tadah. Firman-Nya:
 
فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ
"Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, mereka gopoh menyertai musuh. Mereka beralasan "Kami bimbang kalah dikepung". Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kemenangan kepada Rasul-Nya atau suatu keputusan dari sisinya. Maka akibat terlalu ikutkan apa yang bersarang di dalam diri mereka, menyebabkan mereka menjadi orang-orang yang menyesal"
(al-Maidah: 52)
 
Golongan yang digambarkan oleh ayat ini adalah:
 
• Tidak tahan apabila Islam diasak teruk. Beranggapan kononnya jika terus dengan prinsip Islam, tiada harapan untuk meraih kemenangan.
 
• Lantas mereka tidak berfikir panjang, secara gopoh terus berpaling tadah dari kumpulan Islam.
 
• Lalu mereka menyertai gerombolan yang sudah sedia menentang Islam yang disangkakan lebih ramai dan dominan. Hakikatnya mereka tidak ubah seperti kawanan kambing yang menyerah diri kepada serigala-serigala politik.
 
• Mereka beralasan, takut kalah jika terus bersama dengan kumpulan Islam. Disebabkan itulah mereka sanggup berpaling tadah.
 
• Sedangkan mereka tidak tahu, ketika tekanan memuncak itulah Allah bakal hadiahkan kemenangan kepada kumpulan Islam.
 
• Bahkan mereka tidak tahu nasib yang bakal menimpa mereka yang menyebabkan mereka menyesal berpanjangan.
 
• Inilah akibat bagi golongan yang obses dengan kemenangan yang membabi buta. Ditipu oleh keghairahan diri sendiri.
 
Allah merahsiakan masa depan. Namun Allah membekalkan kita al-Quran, sebagai pembayang apakah akibat di setiap tindakan kita.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
9 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 9/1/2018