Tiga penjuru: Opurtunistik yang diperlukan

Fikrah
Typography
PELUANG PAS untuk meraih sokongan yang disasarkan semakin cerah setelah faktor penolakan terhadap Mahathir semakin kuat di dalam PH. Kalangan yang terpengaruh dengan kempen "UndiRosak" antara prospek penting yang perlu didekati bagi menawarkan mereka alternatif PAS. Ramai mereka adalah anak muda. Tidak terbelenggu dengan kepentingan yang banyak. Mudah menerima jika dijelaskan dengan baik.
 
Kerajaan yang ada pula semakin dilihat lemah untuk mempertahankan agama sendiri. Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes pengislaman keluarga berbangsa India semakin menyerlahkan kelemahan tersebut. Bakal menyebabkan pengundi Umno sebelum ini yang masih pedulikan agama, beralih kepada PAS. mereka sebelum ini tidak memilih PAS kerana bersama DAP yang dilihat sangat anti-Islam.
 
Negara kita majoriti Islam dan kesedaran Islam semakin tinggi. Kebencian dan ancaman terhadap Islam pula di peringkat antarabangsa pula semakin meningkat. Menyebabkan orang yang berjiwa luhur semakin peduli dengan nasib agama. Sesiapa yang dilihat menjuarai umat Islam bakal menjadi pilihan. Sesiapa yang dilihat mengancam Islam pula akan ditolak.
 
Kini PAS tidak perlu lagi banyak menyerang pihak itu dan pihak ini. BN sudah terlalu banyak serang PH. PH juga sudah buat kerja menyerang BN. Serang menyerang memang prinsip mereka berpolitik sejak dulu. Biarkan mereka menyerang sesama sendiri. 
 
Peluang begini bukan selalu datang. Perlu pandai manfaatkan keadaan. Politik perlu bersifat oportunisitik dalam kerangka yang tidak bercanggah dengan syarak. Pertembungan lebih dari dua penjuru banyak juga manfaatnya. Antaranya menjimatkan tenaga kita. Memberi ruang untuk kita fokus agenda yang lebih penting untuk rakyat dan negara.
 
Ayuh fokus kepada menerang agenda dan produk yang ada kepada rakyat. Olah WINS, Dokumen Hijau, Kerajaan Teknokrat dan manifesto dengan pelbagai bentuk kreatif agar dapat sampai ke semua pihak daripada kalangan urban di kota metropolitan, hingga ke rural di hulu desa. Jelaskan apa itu King-Maker dan BPMS dengan berbagai medium supaya difahami berbagai peringkat umur.
 
Biarkan BN dan PH main peranan meruntuhkan sesama mereka. Biar kita fokus untuk membina semula atas tapak runtuhan mereka. Dengan solusi ajaran Islam.
 
Biarkan mereka kekal dengan politik kebencian. Biar kita bawa masyarakat ke arah politik yang matang. Dengan politik ajaran Islam.
 
15 Jumadal Ula 1439
1 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 1/2/2018