Iman dan takwa, kunci istiqamah dalam perjuangan

Fikrah
Typography

ALLAH SWT memerintahkan Bani Israel pengikut Nabi Musa A.S berjihad membuka Kota Palestin. Taklifan yang jika dilaksanakan, akan meninggikan martabat Bani Israel. Daripada kaum yang ditindas Firaun menjadi kuasa pemerintah Palestin.

Manfaat jihad untuk umat

''Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.''

Apabila umat Islam diarahkan berjihad, Allah S.W.T menjamin kemenangan jika kita beriman dan bersabar.

Sebaliknya apabila umat ini meninggalkan kewajipan jihad, kita akan menjadi rugi dan terhina.

Kun fayakun

Allah S.W.T boleh memberikan kemenangan secara percuma kepada Bani Israel. Perkara tersebut telah pun berlaku ketika Bani Israel diburu Firaun dan bala tenteranya. Bani Israel selamat menyeberangi laut, sebaliknya Firaun dan khadam-khadamnya tenggelam lemas di tengah lautan.

Tetapi Allah memerintahkan mereka berjihad membuka Palestin. Ketika itu Palestin dikuasai Kerajaan Jabbarin yang besar dan gagah.

Biadap dan ragu janji kemenangan

Pelbagai peristiwa ajaib telah berlaku sebagai pertolongan Allah kepada mereka. Mereka juga menyaksikan pelbagai mukjizat Nabi Musa A.S. 

Akan tetapi, perkara tersebut tidak menambah keimanan dan tawakkal mereka kepada Allah S.W.T. 

Bukan sahaja ingkar terhadap perintah jihad, bahkan mereka menyuruh Nabi Musa A.S sahaja yang berjihad dengan bantuan Allah. Sebaliknya mereka hanya mahu duduk berehat, menunggu kemenangan tersebut berlaku. Seolah-olah menyindir janji kemenangan dan pertolongan Allah.

Istiqamah natijah dari iman

"Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: 'Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya pasti kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman'."

Pengikut Nabi Musa A.S yang istiqamah pada masa tersebut hanyalah dua orang. Bilangan yang sangat sedikit.

Kunci istiqamah mereka bersama perjuangan Nabi Musa A.S adalah iman dan takwa kepada Allah. Untuk membina iman yang kukuh, manusia mesti dididik dengan ilmu dan tarbiyah. Kerana iman tersebut akan berdepan ujian dan godaan yang menggugat keyakinan mereka terhadap Islam.

Kerana degil dan malas berjihad

Berkata Musa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu." 

Sebagai hukuman ke atas maksiat kedegilan mereka, Allah S.W.T menghukum mereka dengan disesatkan selama empat puluh tahun di padang pasir Sinai.

Dalam tempoh tersebut, wafat Nabi Harun dan Nabi Musa A.S.

Generasi tua yang pengecut juga mati dan digantikan Allah dengan generasi baru dan beriman.

Contohi akhlak Sahabat

Perangai hodoh Bani Israel tersebut dirakamkan di dalam al-Quran supaya menjadi sempadan bagi kita.

Sikap mereka berbeza dengan sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam menghadapi Perang Badar yang serba kekurangan tenaga dan kelengkapan persenjataan, mereka tetap bersama-sama perjuangan Nabi S.A.W

Al-Miqdad berkata, "Wahai Rasulullah, teruskan saja sebagaimana yang diperlihatkan oleh Allah kepada engkau, kami akan tetap bersamamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada engkau sebagaimana Bani Israil berkata kepada Musa, tetapi kami katakan: "Pergilah engkau berperang bersama Tuhanmu, kami akan turut berperang bersama." Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika engkau berjalan dengan kami ke arah pasukan berpedang, tentu kami akan tetap menyerang dengan pedang bersamamu melawan mereka, sehingga engkau dapat menyampaikan dakwah kepada mereka."

Sa’ad bin Mu’adz pula berkata: “Kami telah beriman kepada engkau dan membenarkan engkau. Kami bersaksi bahwa apa yang engkau bawa adalah benar. Kami berikan kepada engkau janji kami untuk selalu taat kepada engkau. Oleh kerana itu, teruslah wahai Rasulullah dengan apa yang engkau kehendaki, kami akan tetap bersamamu. Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika engkau bentangkan lautan di hadapan kami, lalu engkau mengharunginya, tentu kami akan turut mengharunginya bersamamu dan tidak satu pun dari kami yang tertinggal. Sesungguhnya kami akan bersabar dalam peperangan dan jujur dalam pertemuan. Semoga Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa yang menggembirakan dari kami."

Di sinilah terletaknya kemuliaan umat Nabi Muhammad S.A.W. "Sanggup pergi ke mana sahaja, kerana kami bukan seperti Bani Israel."

Kejujuran dalam beriman.-HARAKAHDAILY 6/2/2019