Piagam Madinah: Keadilan sosial untuk bukan Islam

Fikrah
Typography

Islam memimpin umat

Kejayaan Baginda S.A.W membawa mesej Islam ke bumi Madinah tidak terhenti setakat ditikar solat, bahkan Baginda menterjemahkannya ke dalam masyarakat melalui sistem pemerintahan Islam yang menawarkan keadilan sosial buat semua penduduk. Sebab itu Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sering menegaskan, Islam ini bukan diterjemahkan mengikut fahaman Barat iaitu religion, (agama yang sempit pemahamannya) tetapi ia adalah suatu cara hidup yang meliputi segenap aspek.

Untuk membentuk kesepakatan sebuah negara yang unggul, Baginda S.A.W memperkenalkan perjanjian yang melibatkan semua pihak, Muhajirin dan Ansar dari kalangan umat Islam, qabilah Bani Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah yang mewakili masyarakat bukan Islam (Yahudi) bahkan golongan Munafiq juga turut dibenarkan menyertainya. Persefahaman ini dipanggil Piagam Madinah yang kita sebut pada hari ini sebagai Perlembagaan.

Asas utama bagi piagam ini berdasarkan frasa perjanjian: 

- وانه ما كان من بين هذه اهل الصحيفة من حدث او استجار يخاب فساده فمرده الى الله والى رسول الله.

"Dan apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan di kalangan mereka yang terlibat dengan perjanjian ini sama ada daripada orang Islam ataupun bukan Islam, yang dibimbangi merosakkannya, hendaklah dikembalikan kepada Allah ( Al Quran) dan kepada Nabi S.A.W (Hadith)."

Ini menunjukkan asas utama bagi sebuah Negara Islam adalah meletakkan Al Quran dan Hadith sebagai rujukan utamanya. Apa-apa yang bercanggah dengan keduanya dikira terbatal, sama ada di pihak pemutus ataupun pelaksana.

Jaminan keadilan sosial

Tidak disangkal lagi bahawa dasar keadilan sosial adalah asas tertegaknya negara Islam. Berikut disebutkan beberapa prinsip kandungan piagam yang membela dan memberikan keluasan untuk orang bukan Islam.

Prinsip kelapan: Orang bukan Islam mempunyai hak dalam agama dan harta mereka. Mereka tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam dan harta mereka tidak boleh dirampas.

Prinsip kedua belas: Kerajaan mestilah membantu orang bukan Islam yang dizalimi sebagaimana kerajaan melindungi orang Islam yang diganggu.

Prinsip keempat belas: Sekiranya kemaslahatan umat terletak pada kedamaian, semua rakyat wajib menerima perdamaian samada Islam mahupun bukan Islam.

Prinsip kelima belas: Seseorang tidak dihukum dengan sebab dosa atau kesalahan orang lain. Seorang penjenayah sebenarnya melakukan jenayah terhadap diri dan keluarganya sendiri.

Prinsip keenam belas: Kebebasan bergerak dalam negara dan kebebasan untuk keluar negara adalah terpelihara di bawah perlindungan negara.

Prinsip kelapan belas: Masyarakat ditegakkan diatas dasar kerjasama dalam kebajikan dan takwa, bukan dalam perbuatan dosa dan permusuhan.

Kesemua prinsip ini dipelihara dengan dua kekuatan iaitu kekuatan spiritual (pengawasan Allah) dan kekuatan material (keadilan, kerjasama, kebenaran, kebajikan)

Kebimbangan tiada asas

Daripada prinsip di atas sangat jelas bahawa tidak ada satu sebab pun orang bukan Islam perlu bimbang mereka ditindas mahupun di zalimi. Bahkan inilah sistem keadilan sosial tidak ada tandingnya yang wajar diterima oleh bukan Islam berbanding sistem pada hari ini.

Allah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(al-Mā'idah: 8)

Prinsip-prinsip ini amat bertepatan dan seiring dengan perkembangan pemikiran manusia berkenaan dengan definisi sebuah negara. Untuk menaungi seluruh manusia boleh dikatakan inilah prinsip yang paling sempurna, kerana Madinah bukan hanya diduduki oleh umat Islam, bahkan ia model kerajaan masyarakat majmuk yang amat berjaya.

Sebab itu kebimbangan yang timbul, bukan kerana Islam tidak mampu memerintah, tetapi jarum Islamophobia yang keterlaluan dan kebencian untuk melihat Islam dipratikkan secara menyeluruh.

Andai hari ini PAS dengan kesungguhannya mahu mengulangi keunggulan piagam Madinah di Malaysia, ia wajar disambut orang bukan Islam dengan lapang dada. Sudah tiba masanya sistem yang 'baru' mentadbir bumi Malaysia. Tanah air kita semakin tenat, bukan semata-mata diperintah oleh individu yang rosak, bahkan sistemnya juga adalah sistem yang gagal. Fitrah manusia mestilah kembali pada yang menciptakannya, bermaksud bersedia untuk mengikut aturan Tuhan.

"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah"."

(az-Zumar: 38)

Lalu, bagaimana untuk mengembalikan keberkatan di bumi?

"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
(al-'A`rāf: 96)

Rujukan:
* Durus Wa Ibar min Sirah Nabawiyah Mustafa Sibaie
* Kuliah Tuan Guru Hj Hadi Piagam Madinah

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
7 Februari 2018
-HARAKAHDAILY 7/2/2018