Model penyelesaian dari Islam

Fikrah
Typography

MASALAH urus tadbir; Islam menyediakan model model pentadbir di dalam al Quran, seperti Nabi Yusuf A.S (contoh terdapat dalam Surah Yusuf) dan Nabi Sulaiman A.S. Begitu juga model kepimpinan Rasulullah S.A.W dan Khulafa ar-Rasyidin. Cadangan rujukan kitab seperti Ahkam Sultaniah dan Siyasah Syariyyah.

Masalah Pendidikan, Islam menyediakan sistem pendidikan Islam (contoh ayat kedua Surah al Jumu'ah) dan juga pentarbiahan di zaman Rasulullah S.A.W sebagai model rujukan (era Makkiyyah dan Madaniah). Pembiayaan kos pendidikan pula, Islam menawarkan konsep waqaf.

Masalah ekonomi, Islam menyediakan penyelesaian melalui sistem zakat, waqaf dan sistem cukai yang tidak menzalimi. Islam mengharamkan monopoli, rasuah, larangan membazir dan cukai yang dikenakan kepada semua orang. Huraian tambahan dimuatkan dalam bahagian muamalat dalam kitab fekah.

Masalah kesihatan, Islam menyediakan kaedah kaedah perubatan melalui Sunnah Nabi S.A.W, kaedah-kaedah umum iaitu pencegahan lebih baik daripada mengubati atau kaedah kemudaratan itu dihapuskan.

Masalah keselamatan, Islam menyediakan undang undang jenayah (seperti hudud, takzir, qisas) dan juga sistem hisbah (penguatkuasaan). Islam juga menyediakan model Rasulullah S.A.W dalam memelihara keselamatan negara seperti sistem kerahsiaan (peristiwa Hatib bin Abi Baltaah)

Masalah Pertanian, Islam menyediakan konsep pertanian cara Islam, antaranya konsep membuka tanah, dan memperkasakan pengeluaran tempatan (mengurangkan import). Pertanian juga dikenakan zakat bagi mewujudkan keseimbangan.

Masalah sosiobudaya, Islam menyediakan cara komunikasi yang baik sesama masyarakat seperti Surah al-Hujurat ayat 13 dan lain lain. Kehidupan Rasulullah S.A.W bersama kepelbagaian masyarakat di Madinah juga dijadikan model rujukan penting.

Masalah alam sekitar, Islam menyediakan kaedah yang rapi dalam menguruskan aset negara (tanah) bagi memastikan ekosistem dipelihara. Antaranya Surah al-Araf 56 mengikut Tafsiran ad-Dhohhak iaitu tidak menebang pokok sembarangan dan juga gangguan air.

Masalah prasarana, Islam menyediakan penyelesaian dari sudut meletakkan keutamaan terhadap kemudahan semua, bukan kesenangan individu, bersumberkan hasil negeri atau negara. Selain itu Islam menawarkan konsep waqaf prasarana, dan juga mengharuskan duit kotor dialirkan untuk pembuatan longkang, jalan raya dan tandas.

Kesimpulan

Islam menyediakan tawaran dan penyelesaian yang menyeluruh dalam segenap aspek masalah yang ada di dunia. Tulisan ini terlalu ringkas untuk menghuraikan kesemuanya. Di sana banyak lagi penyelesaian penyelesaian yang terperinci, yang disediakan di dalam al Quran, hadis Nabi S.A.W dan juga model-model para ulama selepas itu.

Disebabkan itulah, PAS yang bergerak di atas dasar Islam memperkenalkan WINS51 dan juga Dokumen Hijau secara terbuka untuk diteliti dan dikaji oleh sesiapa pun, termasuk kerajaan yang sedang memerintah hari ini.-HARAKAHDAILY 8/2/2018