Sahabat seiman, menginspirasi kekuatan

Fikrah
Typography

SETELAH sepuluh tahun bermastautin di Madyan, Allah S.W.T mengilhamkan Nabi Musa as agar kembali ke Mesir. Dalam perjalanan pulang tersebut baginda singgah di Wadi Thuwa.

Tempat bersejarah tersebut menjadi saksi Nabi Musa A.S berbicara dengan Allah S.W.T secara langsung. Baginda turut diperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan Allah S.W.T iaitu tongkat dan tangan baginda. Seterusnya baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul, serta menerima perintah agar menyampaikan dakwah kepada Firaun dan kaumnya.

Kegusaran Pesuruh Allah

Nabi Musa diperintahkan berdepan dengan Firaun, Raja yang paling berkuasa dan zalim pada era tersebut. Memiliki kekuatan tentera yang terlalu ramai. Kekuatan Nabi Musa adalah kerana baginda mendepani Firaun sebagai seorang Rasulullah.

Namun baginda tetap meluahkan kebimbangan baginda kepada Allah S.W.T. Baginda risau sekiranya dakwah baginda didustakan bahkan baginda tidak menolak kemungkinan baginda bakal dibunuh.

Musa berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)ku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku.”

(al-Qasas: 33-34)

Berkata Musa,"Ya Tuhanku, sesungguh­nya aku takut bahwa mereka akan mendustakan aku. Dan (karenanya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku, maka utuslah (Jibril) kepada Harun. Dan aku berdosa terhadap mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.”

(asy-Syu'ara: 12-14)

Ibrah Musa dan Harun A.S

Situasi genting dapat diharungi dengan tenang apabila emosi kita berada dalam keadaan stabil. Perasaan yang terkawal, memudahkan untuk kita berbicara dengan tertib dan difahami audiens.

Sebaliknya rasa gemuruh, debaran yang memuncak  menyebabkan nafas tidak teratur. Lebih parah lagi, kondisi sebegini menjadikan suara tersekat dan sukar difahami. Inilah gambaran senario yang berlaku kepada Nabi Musa dan Harun A.S.

Rekod silam terbunuhnya seorang Qibti menimbulkan pelbagai kerisauan kepada Nabi Musa. Kekurangan yang dirasakan baginda membawa kepada doa agar baginda diteguhkan oleh seorang saudaranya, Harun A.S.

Dua permintaan Nabi Musa

Pertamanya, Nabi Musa A.S memohon agar Allah melapangkan dadanya, merungkai simpulan lidahnya agar pertuturan baginda mudah difahami pendengar.

Kemudian, baginda turut meminta agar diutuskan saudaranya Harun as sebagai pembantu dan penguat baginda. Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya ia telah melampaui batas".

Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku, dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (Iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah aku; dengan dia sebagai kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku

Sahabat: Antara faktor penguat 

Nabi Musa turut menerangkan doa baginda dengan terperinci. Baginda memohon diutuskan saudara yang bersama-sama menjadi Nabi. Tujuannya agar mereka saling memperingati dalam perkara keimanan. 

"Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau, dan banyak mengingati Engkau." Permintaan yang mendidik kita bahawa selaku manusia, kita mempunyai kekurangan dan kelemahan yang akan ditampung oleh sahabat kita yang lain.

Jangan kita nafikan fitrah manusia yang memerlukan sahabat. Namun, tatkala manusia menghalangi kita di jalan kebenaran, Allah S.W.T akan mencukupkan keperluan kita daripada manusia lain.

Saidatina Aisyah membenarkan Arab Badwi

Suatu hari ketika Saidatina Aisyah berangkat untuk menunaikan ibadah umrah. Di dalam perjalanan tersebut, beliau singgah beristirehat di sebuah perkampungan Badwi. Lalu beliau terdengar perbualan mereka. Seorang daripada mereka berkata; "Di dalam dunia ini, siapakah yang paling besar mamfaatnya kepada saudaranya?" Rakan-rakannya menjawab, "Kami tidak tahu." Lelaki itu berkata, "Kalau saya, demi Allah, saya mengetahui jawapannya." Lelaki itu menyambung, "Dia adalah Musa. Saat dia meminta agar saudaranya diangkat menjadi Nabi."

Aisyah R.A berkata, "Dia benar, demi Allah." Kerana itulah Allah S.W.T berfirman memuji sikap Musa A.S:

"Dan adalah dia(Musa), seorang yang mempunyai kedudukan yang terhormat di sisi Allah."

(al-Ahzab: 69)

- HARAKAHDAILY 14/2/2018