Kerajaan Teknokrat dan kisah Raja Zulqarnain

Fikrah
Typography

ALLAH S.W.T melakarkan di dalam al-Quran pelbagai kisah, prinsip dan hukum yang menjadi dasar kepada cetusan idea penubuhan Kerajaan Teknokrat cetusan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Konsep Kerajaan Teknokrat dibincangkan di dalam kitab kitab para ulamak antaranya Imam Mawardi di dalam Ahkam Sultaniah, yang menjelaskan tentang pembahagian bidang kuasa mengikut kepakaran masyarakat.

Tulisan ringkas ini hanya ingin mengaitkan konsep ini dengan kisah Raja Iskandar Zulqarnain yang memanfaatkan tenaga kepakaran masyarakat masyarakat setempat di dalam mendirikan tembok keselamatan negara.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-Kahfi:

Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” 

Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. 

‘Bawalah kepadaku ketul-ketul besi' sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: ‘Tiuplah dengan alat-alat kamu’ sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: ‘Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.’”

(a) Kepakaran yang Allah berikan kepada Raja Iskandar Zulqarnain ialah penggunaan bahan kimia. Kepakaran ini dimanfaatkan untuk membantu membina keselamatan negara. 

Beliau juga menolak sebarang pembayaran cukai yang ditawarkan kepadanya, dengan menggantikannya dengan tenaga kerja yang besar.

(b) Berdasarkan ayat ini juga, masalah cukai boleh diselesaikan dengan menyuburkan kepakaran dan tenaga masyarakat setempat.

Kepakaran orang orang tertentu dalam perniagaan seharusnya digunakan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara, bahkan mereka tidak sepatutnya menjadi bebanan negara.

(c) Sebagai seorang pimpinan, seharusnya memikirkan penyelesaian masalah rakyat dengan solusi yang tuntas.

Bukannya menyelesaikan ketirisan kewangan negara yang dilakukan oleh orang orang tertentu, dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukaian. - HARAKAHDAILY 15/2/2018