Kerajaan Teknokrat: Mengatasi ketepuan demokrasi

Fikrah
Typography
PAS dan demokrasi
 
Walaupun PAS sebagai sebuah harakah Islam di Malaysia menerima demokrasi sebagai satu wasilah bagi menegakkan Islam, namun PAS turut mengakui demokrasi memiliki kepincangan yang tersendiri. Ini kerana demokrasi hanya menceduk sebahagian nilai-nilai yang diperkenalkan oleh Islam, tetapi mencampuradukkan dengan falsafah asing yang bercanggah dengan Islam.
 
Antara percanggahan utama sistem politik Islam dan demokrasi adalah dari sudut kuasa tertinggi. Islam mempercayai Allah sebagai kuasa mutlak manakala demokrasi meletakkan rakyat sebagai pemegang kiasa mutlak. Tetapi tidak dinafikan, nilai-nilai demokrasi secara umum seperti hak memilih pemimpin, kebebasan bersuara, mengkritik pemerintah dan menubuhkan organisasi adalah selari dengan syariat Islam. Bagi memahaminya dengan lebih jelas, boleh merujuk kepada tajuk Islam dan Demokrasi dari buku Nadi Perjuangan.
 
Penerimaan terhadap demokrasi
 
Menimbang antara maslahah dan mafsadah, PAS menerima demokrasi atas beberapa sebab. Antaranya kerana 'wasilah' bagi melaksanakan kewajipan memerintah. Juga kerana 'darurat' menghalang pemerintahan negara jatuh di tangan pihak yang salah. Juga atas dasar 'adat' yang telah diterima masyarakat dunia yang moden hari ini. InsyaAllah perbincangan mengenai perkara ini akan diperluaskan dalam siri tulisan akan datang.
 
Penglibatan PAS di dalam demokrasi tidak akan membuatkan PAS hanyut dalam arus deras sistem adaptasi Barat ini. PAS perlu mengekalkan jatidiri sebagai sebuah gerakan Islam tulen yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat. Hanya menerima sudut-sudut demokrasi dalam rangka yang tidak bercanggah dengan Islam sahaja, atau meminimakan percanggahan dalam keadaan darurat.
 
BPMS sebagai alternatif
 
Pada waktu yang sama, PAS berusaha memandu dan membaiki politik Malaysia agar lebih menepati syariat. Sebagai contoh, PAS memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Tujuannya bagi mengawal politik negara dari terus rosak dengan konsep liberal demokrasi seperti yang telah berlaku di negara Barat.
 
BPMS menolak virus bawaan demokrasi seperti liberalisme, populisme, simpatisme, pragmatisme, persepsionisme, politiking, chaosisme dan seumpamanya. BPMS memperkenalkan konsep politik berteraskan prinsip, dakwah, solusi, diplomasi, rasional, berasaskan kebenaran dan mengutamakan rakyat. Kesemua konsep ini adalah terkandung di dalam ajaran Islam.
 
Kerajaan Teknokrat sebagai solusi
 
Di antara aspirasi PAS dalam menyelesaikan kemelut politik dan pentadbiran negara adalah memperkenalkan konsep Kerajaan Teknokrat. Secara umum, Kerajaan Teknokrat adalah gambaran sebuah kerajaan yang ditadbir oleh kumpulan profesional dan pakar dalam masalah yang sedang dihadapi negara. Pemilihan individu yang bakal menerajui badan eksekutif negara tidak terikat dengan parti politik yang disertai oleh mereka, tetapi lebih kepada kelayakan dan meritokrasi yang mereka miliki.
 
Sebagai contoh, walaupun PAS memiliki jumlah kerusi tertinggi yang melayakkannya memilih mana-mana anggota parti sebagai PM dan menteri kabinet, tetapi PAS boleh menerima mana-mana pihak dari parti berlainan malahan mereka yang tidak berparti dan tidak menjadi mana-mana wakil rakyat. Untuk menyelesaikan masalah ekonomi, PAS terbuka untuk memilih mana-mana pakar ekonomi, kewangan atau tokoh korporat sama ada mereka berada di bidang akademik atau di lapangan profesional. PAS akan melihat mana-mana sudut yang dibenarkan oleh perlembagaan dalam melaksanakan perkara ini.
 
Model Kerajaan Teknokrat ini telah diamalkan di banyak negara maju dan membangun baik di Timur mahupun Barat. Sehingga kini, sebahagian besar negara-negara Kesatuan Eropah telah menggunakan kaedah ini sama ada sebagai caretaker  government mahupun kerajaan penuh. Untuk mendapatkan lebih maklumat, boleh rujuk kepada tulisan Minda Presiden PAS yang disiarkan di HarakahDaily bertajuk, "Kerajaan Teknokrat Kelangsungan Pemerintahan".
 
Teknokrat di dalam al-Quran
 
Apa yang menarik, sebenarnya konsep kerajaan teknokrat adalah bertepatan dengan sistem politik Islam. Di dalam Islam, syarat utama untuk menjadi pemimpin adalah memiliki kepakaran dalam bidang yang diamanahkan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang layak menerimanya)."
[An-Nisa':58]
 
Juga boleh merujuk kepada perintah Allah kepada Nabi-Nya supaya melantik Talut sebagai raja bagi membebaskan Bumi Palestin. Ini berdasarkan kelayakan yang dimiliki walaupun bukan dari kalangan bangsawan dan politikus. Firman Allah SWT:
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya."
[Al-Baqarah:247]
 
Teknokrasi dan Demokrasi
 
Secara teori, konsep Kerajaan Teknokrat agak bercanggah dengan demokrasi. Ini kerana demokrasi tidak mensyaratkan sebarang merit untuk tercalon sebagai pemimpin. Hatta orang bodoh dan jahil boleh menjadi pemimpin. Kalau semua rakyat bodoh atau berjaya diperbodohkan, maka tidak mustahil si bodoh akan menjad pemimpin.
 
Populariti dan kemampuan membeli pengundi antara kriteria utama untuk menang dalam PRU. Tidak hairanlah selebriti seperti Arnold Schwazenegger dan Donald Trump boleh terpilih di US. Dan tidak mustahil Oprah Winfrey juga boleh terpilih sebagai Presiden US akan datang.
 
Beza Teknokrasi moden dan Islam
 
Kerajaan Teknokrat menurut kacamata Islam bukanlah sebuah kerajaan sementara yang akan tamat tempoh setelah objektifnya berjaya. Sebaliknya ia adalah syarat utama sesebuah kepimpinan dan akan kekal selagi mana kelayakan itu masih belum hilang. Tidak kiralah sama ada ianya menggunakan konsep syura seperti pemilihan Abu Bakar dan Uthman dan Ali ataupun konsep wasiat seperti pemilihan Umar dan raja-raja dinasti Islam lain, meritokrasi mestilah menjadi panduan setiap pemilih.
 
Apa yang penting, pemilihan pemimpin mengikut merit tidaklah sampai membenarkan seseorang yang menolak pemartabatan Islam dalam pentadbiran negara dipilih. Walaupun mereka dianggap pakar dan mampu dalam menyelesaikan masalah semasa negara, tetapi PAS mempercayai hanya ajaran Islam sahaja yang boleh menyelesaikan.
 
Teknokrat yang dipilih hanya berkuasa menentukan dasar kerajaan dan melaksanakannya, tetapi parti yang terpilih dalam PRU masih berkuasa menentukan undang-undang dan dasar negara. Jika PAS diizinkan sebagai peneraju politik negara, wakil-wakil rakyat PAS akan bertindak sebagai penasihat kepada teknokrat supaya sentiasa selari dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
Setidaknya inilah solusi PAS dalam mengatasi ketepuan sistem demokrasi. Bukan sekadar menolak demokrasi mentah-mentah namun tidak memiliki sebarang alternatif tuntas untuk memartabatkan Islam.
 
2 Jumadal Ukhra 1439
18 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 19/2/2018