Kewajipan melantik pemimpin serta syubhah sekitarnya

Fikrah
Typography

ISLAM sebuah cara hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam adalah akidah, ibadah, muamalah, undang-undang, akhlak, hubungan antarabangsa, politik dan segala yang berhubung dengan kehidupan manusia.

Dewasa ini kita tidak dapat lari dari memperkatakan isu-isu politik umat Islam dan apa jua yang berkaitan dengannya termasuklah memilih pemimpin dan parti politik. Sudah tentu dalam hal ini ada perbincangan dan hukumnya di dalam Islam.

Wajib melantik pemimpin

Hukum melantik pemimpin adalah wajib di dalam Islam. Perkara ini disepakati oleh para ulama dan termasuk dalam persoalan siasah syariyyah. Bahkan tajuk 'nasbul imamah' diletakkan sebagi tajuk akhir dalam kitab kitab akidah seperti al iqtisod fil i'tiqod, jauharatul tauhid dan lain-lain. Imam Ibrahim al-Baijuri menyebut:

ونصب إمام عدل واجب على الأمة عند عدم النص من الله أو رسوله على معين

"Melantik pemimpin yang adil adalah wajib ke atas umat Islam ketika tiada nas dari Allah S.W.T dan Rasul-Nya kepada orang tertentu"

Justeru, kewajipan melantik pemimpin sudah tidak perlu diperbincangkan lagi kerana sudah terang dan nyata.

Tidak penting kerana bukan Rukun Iman?

Akhir-akhir ini banyak kenyataan yang mengelirukan tentang politik dan kepimpinan yang tidak ada tujuan lain selain ingin memisahkan umat Islam dari politik. Antaranya adalah kenyataan bahawa urusan politik bukan rukun iman. Tidak mempedulikan politik tidak menyebabkan seseorang itu murtad dan kafir atau sebagainya. Jika dulu golongan sekular mengatakan politik suku agama suku, maka kini terdapat sebahagian agamawan pula menyeru umat Islam menjauhkan diri dari politik kerana bukan rukun Iman.

Walaupun kenyataan ini benar tetapi amat berbahaya. Ia seolah-olah memisahkan Islam dan politik sedangkan Islam bukan hanya rukun Iman bahkan Islam adalah Iman, Islam dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril. Jika politik bukan rukun iman maka solat, puasa, haji dan lain-lain juga bukan rukun iman namun adakah bererti tidak wajib solat? Bahkan mengingkari kewajipan solat boleh dihukum murtad dan dibunuh sekiranya tidak bertaubat.

Dalam hal ini Prof Doktor Yusuf al-Qaradawi menyatakan:

"إن مسألة الإمامة عند أهل السنة والجماعة من مباحث الفروع؛ لأنها تتعلق بالعمل لا بالاعتقاد أساسًا، ولكنه استدرك قائلاً: إن هذا لا يعني التهوين من هذا الأمر ؛ لأن الإسلام ليس عقائد فحسب بل هو عقيدة وعمل، وإذا كانت الصلاة مثلاً من الفروع لأنها أعمال لا عقائد، فهذا لا يُخرجها عن كونها من أركان الإسلام، فكذلك الإمامة أو الحكم بما أنزل الله هو من الفروع ولكن اعتقاد وجوبه ولزومه والإيمان بالاحتكام إلى ما أنزل الله في كتابه ومتابعة رسوله هو من الأصول يقينًا، ومن صميم الإيمان".

"Sesungguhnya masalah imamah (pemimpin) di sisi ahli sunnah wal jamaah adalah dari perbahasan cabang agama kerana ia berkaitan amalan bukan akidah secara asas. Namun, kenyataan ini bukan bererti meremehkan urusan ini kerana Islam bukan hanya akidah sahaja tetapi Islam adalah akidah dan amalan. Bila solat contohnya dari urusan furu' kerana solat adalah amalan bukan akidah namun ia tidak mengeluarkannya dari rukun Islam. Begitulah juga persoalan pemimpin dan menjalankan hukum Allah adalah perkara furu tetapi beriktikad bahawa ia wajib dan satu kemestian serta beriman bahawa wajib menjalankan hukum Allah itu sebagaimana dalam Kitab-Nya dan mengikut Rasul-Nya adalah daripada prinsip-prinsip dan asas iman"

Beruzlah kerana ini zaman fitnah?

Antara sikap lain dan seruan yang ada adalah umat Islam mesti beruzlah dan menjauhkan dari fitnah politik. Ini adalah diqiyaskan kepada para Sahabat Rasulullah yang berkecuali dan menjauhkan diri dari terlibat dalam perselisihan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah.

Jika kita melihat secara kasar pendirian ini dan seruan kepadanya, ia seolah-olah benar dan ini seumpama jalan yang selamat. Namun, hakikatnya ia bercanggah dengan nas-nas agama dan kalam ulama muktabar walaupun kaedah istidlal hukum yang digunapakai adalah qiyas. Kenyataan ini adalah terbatal kerana:

1.     Punca utama perselisihan para Sahabat bukan dalam soal nasbul Imamah (melantik pemimpin) tetapi ia adalah perselihan tentang cara menuntut balas (qisas) kematian Saidina Osman sebagaimana disebutkan para ulama. Maka jelas qiyas fitnah Sahabat dengan situasi politik adalah qiyas maal fariq.

2.     Ulama ahli sunnah menuntut kita supaya diam dan tidak membincangkan soal perselisihan berdarah para Sahabat bukan supaya kita menjauhkan dari politik. Tujuannya adalah supaya kita tidak mengotorkan lisan kita dengan memburuk-burukkan Sahabat dan mencela mereka (sabbu sahabah). Ini kerana kemuliaan mereka dan ketinggian darjat mereka. Mereka mendapat pahala dalam ijtihad mereka. Imam Syihabuddin Abi Abbas Ahmad Al Ramli seorang ulama muktabar dalam mazhab as-Syafie menyebut di dalam Fathul Rahman bi syarhi zubad ibni Raslan:

وهي يجب سكوتنا عما جرى بين الصحابة رضي الله عنهم من المنازعات والمحاربات التي قتل بسببها كثير منهم فتللك دماء الله طهر الله منها ايدينا..فلا نلوث بها السنتنا كمنازعة معاوية عليا بسبب عدم تسليم قتلة عثمان الى عشيرته ليقتصوا منهم لأن عليا رأى تأخير تسليمهم اصوب"

"Dan adalah wajib berdiam diri dari memperkatakan tentang apa yang berlaku di antara para Sahabat daripada perselisihan dan pertelingkahan yang menyebabkan terbunuh ramai di kalangan mereka. Maka itu adalah darah yang Allah alirkan yang Allah mahu tangan kita suci (tidak mengkotori) darinya. Maka lebih lebih lagi Allah tidak mahu kita mengotorkan lidah kita dengan memburukkan mereka, seumpama Muawiyyah melawan Ali kerana tidak menyerahkan para pembunuh Osman kepada ahli keluarganya untuk di jalankan hukum qisas kerana Ali berpandangan soal tersebut lebih tepat jika dikemudiankan"

3.     Berdiam tanpa melibatkan diri dalam politik akan menyebabkan terabai kewajipan syara dan menolak nas nas wajib melantik pemimpin yang menjalankan syariat Allah yang terang lagi nyata, membiarkan umat tenggelam dalam maksiat dan munkar dan mendedahkan umat kepada bahaya musuh. Kesemua nas ini amat terang dan nyata.

4.     Nas-nas al-Quran dan hadis supaya menjalankan amar makruf dan kewajipan menegur pemipim yang zalim serta menyelamatkan umat Islam yang tertindas. Fitnah membiarkan umat Islam terabai aspek akidah dan syariah amat besar berbanding maslahah menjaga peribadi dari fitnah politik. Imam Al Ghazali menyebut :

الدين اس والسلطان حارس فما لا أس له فهالك وما لا حارس له فضائع

"Agama adalah asas dan dan kuasa politik adalah penjaganya. Maka jika agama hilang akan runtuhlah umat dan jika kuasa politik hilang maka jadi hilanglah kemuliaan umat."

5.     Dengan nas nas yang tidak terhitung banyaknya tentang kewajipan melantik pemimpin yang adil maka qiyas supaya berdiam diri adalah qiyas yang bercanggah dengan nas. Imam Al Ghazali menyebut di dalam kitab al-Mustashfa sebuah kitab usul fiqh :

القياس على خلاف النص باطل قطعا

"Qiyas dengan menyalahi nas adalah batil secara qatei"

6.     Walaupun kita andaikan qiyas ini benar, namun ia tetap marjuh kerana mengikut kaedah usul fiqh, di dahulukan nas di atas qiyas (sekiranya qiyas tidak silap). Prof Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitab Al Wajiz Fi Usuli Al Fiqh menyebut :

يرجح الكتاب او السنة الصحيحة على القياس لان القياس دليل ظني ولا يعمل به في موضع النص.

"Ditarjihkan dalil al-Quran dan sunnah di atas qiyas kerana qiyas merupakan dalil zhonni dan tidak digunakan dalam soal yang terdapat nas Al Quran dan Sunnah"

7.     Zaman fitnah tidak menyebabkan kewajipan melantik pemimpin digugurkan mengikut hukum syara'. Imam Ibrahim Al Baijuri menyatakan :

ولا فرق في وجوب نصب الامام بين زمن الفتنة وغيره..

(حاشية البيجوري على جوهرة التوحيد)

"Tiada bezanya wajib melantik pemimpin ketika zaman fitnah ataupun tidak"

8.     Sekalipun diharuskan i'tizal (menjauhkan diri) ketika zaman fitnah namun sekiranya terdapat jemaah yang berpegang dengan haq maka hukumnya wajib memberi sokongan dan bergabung dengannya. Imam Ibnu Hajar Al Asqolani seorang amirul mukminin dalam ilmu hadis menyatakan dalam kitab Fathul Bari:

المراد من اعتزال الناس زمن الفرقة: ما ذكره الحافظ ابن حجر رحمه الله في الفتح عن الطبري أنه قال: متى لم يكن للناس إمام فافترق الناس أحزابا فلا يتبع أحدا في الفرقة، ويعتزل الجميع إن استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر،

ومتى وجد جماعة مستقيمة على الحق لزمه الانضمام إليها وتكثير سوادها والتعاون معها على الحق؛ لأنها والحال ما ذكر هي جماعة المسلمين بالنسبة إلى ذلك الرجل وذلك المكان.

"Adapun yang dimaksud dengan menjauhi manusia pada saat terjadi fitnah perselisihan adalah seperti yang dijelaskan oleh al Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari dari Thabari bahawa dia mengatakan: Jika tidak ada pemimpin lalu manusia berpecah belah menjadi beberapa golongan, maka tidak boleh mengikuti seseorang dalam golongan tersebut. Dan hendaklah semampu mungkin menjauhi semua golongan, karena dibimbangi akan terjadi keburukan.

Tetapi jika ada jamaah yang tetap berpegang teguh pada kebenaran, dia hendaklah bergabung dan memperbanyak bilangan di dalamnya serta saling tolong menolong dalam menegakkan kebenaran, karena pada saat seperti itu, jamaah dan tempat itu adalah jamaah muslimin bagi orang dan tempat tersebut"

Maka telah terang dan nyatalah kebenaran bahawa wajib ke atas umat Islam melantik pemimpin yang adil dan terlibat dalam proses politik demi menjaga maslahah agama yang lebih utama berbanding masalah peribadi berdasarkan dalil dalil dan nas Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Begitu juga seruan agar menjauhkan diri dari politik adalah seruan yang tidak bersandar kepada hujjah yang kukuh.

KHAIRUL ANUAR ISMAIL
Ahli Jawatankuasa
Ikatan lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Kelantan
23 Febuari 2018 - HARAKAHDAILY 23/2/2018