Ilmu melayakkan Nabi Adam sebagai khalifah

Fikrah
Typography

ALLAH S.W.T ingin menerangkan kepada malaikat berkenaan hikmah di sebalik pemilihan Nabi Adam A.S sebagai khalifah. Dan bahawasanya Baginda lebih berkelayakan sebagai khalifah, sesuai dengan kelebihan yang dibekalkan oleh Allah S.W.T.

Maka untuk tujuan itu, Allah S.W.T menyusun sebuah situasi sebagai pengalaman penting buat para malaikat dan Nabi Adam A.S. Kisah ini juga mengandungi pengajaran yang besar buat kita semua.

Allah S.W.T menjalankan sebuah ujian buat Nabi Adam A.S dan para malaikat.

Firman Allah S.W.T:

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya:

"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu berfirman, "Sebutkanlah nama benda-benda itu jika kalian memang golongan yang benar!""

(al-Baqarah: 31)

Hasil ujian tersebut menunjukkan Nabi Adam A.S berjaya menjawab soalan yang ditujukan kepada Baginda, sedangkan para malaikat tidak mampu mengemukakan jawapan mereka:

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya:

"Mereka menjawab, "Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.""

(Al-Baqarah: 32)

Allah mengajarkan Nabi Adam A.S berkenaan keseluruhan nama. Lalu dihadirkan para malaikat dan diminta agar mereka menerangkan nama-nama tersebut. Para malaikat tidak dapat melakukannya kerana ilmu yang ditanya tiada dalam pengetahuan mereka.

Seterusnya ayat tersebut dilanjutkan:

قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِم فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِم‎  

 
Maksudnya:

"Allah berfirman, "Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu..""

(al-Baqarah: 33)

Apabila Nabi Adam mampu menerangkan nama-nama yang diminta Allah, para malaikat langsung memahami hikmah di sebalik pemilihan Nabi Adam sebagai khalifah.

Kemudian Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat:

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُون

Maksudnya: 

"Allah berfirman, "Bukankah sudah Aku katakan kepada kalian, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kalian zahirkan dan apa yang kalian sembunyikan?""

(al-Baqarah: 33)

Persediaan ilmu yang diterima Nabi Adam A.S merupakan sebuah kemuliaan kurniaan Allah. Ia juga merupakan isyarat yang jelas bahawa ilmu merupakan keperluan utama bagi seorang khalifah atau pemimpin. Berbekalkan ilmu, Nabi Adam A.S diberi keutamaan menggalas tanggungjawab selaku khalifah di muka bumi berbanding malaikat.

Ayat ini juga menandakan sebuah pengiktirafan besar terhadap ketinggian nilai ilmu dan kedudukan ulamak di sisi Allah S.W.T.

Anehnya, kini wujud golongan yang dilihat menggalakkan kejahilan terus berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Ucapan mereka seolah-olah menidakkan kepentingan ilmu dalam menilai antara jalan yang benar atau sesat. Sedangkan hakikatnya, jalan kebatilan itu sangat mudah disalah anggap sebagai jalan kebaikan jika kita tidak mempunyai ilmu.

Barangkali mereka terlupa, Allah mengutuskan para Nabi untuk membebaskan umat daripada kejahilan.

SOFIA ALWANI ALI
7 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 7/1/2019