ORANG Mukmin diperintahkan agar memelihara lisan:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam."

(HR Al-Bukhari)

Termasuk perkataan yang baik adalah berkata benar, mencegah kemungkaran dan tidak menjadi saksi palsu.

Sabda Nabi S.A.W lagi:

إِنَّ أَفَرَى الفِرَى أَنْ يُرِي عَيْنَيْهِ مَا لَمْ تَرَيَا

“Sesungguhnya kedustaan yang paling berat ialah apabila seseorang mengemukakan kesaksian terhadap hal yang tidak di­saksikannya.”

(HR Al-Bukhari)

Begitu aneh manusia. Kita mengambil masa sekitar dua tahun untuk belajar bertutur. Tetapi, kemungkinan kita memerlukan seumur hidup untuk belajar menahan diri daripada berbicara perkara yang tidak perlu.

Kata Ibnu Rajab:

“Tidak ada perkataan yang bersifat pertengahan antara bicara dan diam. Kemungkinan yang ada ialah, suatu ucapan merupakan kebaikan sehingga kita diperintahkan untuk mengatakannya. Kemungkinan yang lain pula, suatu ucapan mengandungi keburukan sehingga kita diperintahkan untuk diam.”

(Jami'ul Ulum wal Hikam)

Kita perlu menyedari kekurangan kita selaku manusia biasa. Tidak semua perkara berada di dalam pengetahuan kita. Maklumat kita terbatas. Oleh kerana itu, Islam memberi panduan khusus berkenaan pendirian seorang Mukmin terhadap perkara yang tidak diketahuinya.

Diam. Orang yang suka menunjuk-nunjuk pengetahuannya seringkali terbabas hingga mempamerkan pula kejahilan dirinya. Adakah seorang Muslim diwajibkan untuk mengulas setiap isu yang berlaku? Tidak. Akan tetapi, kita pasti akan disoal atas setiap kata-kata dan perbuatan kita.

Allah S.W.T berfirman:

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempu­nyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung­jawabannya.”

(Al-Isra': 36)

Empat pendapat berkenaan ayat:

1.     Ibnu Abbas mengata­kan bahawa makna 'la taqfu' ialah 'la taqul'. Janganlah kamu mengatakan.

2.     Al-Aufi
Janganlah kamu menuduh seseorang dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuan berkenaannya.

3.     Muhammad bin al-Hanafiyah
Makna yang dimaksudkan ialah kesaksian palsu.

4.     Qatadah
Janganlah kamu mengatakan bahwa kamu melihatnya, padahal kamu tidak melihatnya. Atau kamu katakan bahawa kamu mendengarnya, padahal kamu tidak mendengarnya. Atau kamu katakan bahawa kamu mengetahuinya, padahal kamu tidak mengetahui. Kelak Allah S.W.T akan meminta kamu bertanggungjawab berkenaan hal tersebut secara keseluruhan.

Kesimpulan pendapat mereka, Allah S.W.T melarang hamba-Nya mengatakan sesuatu tanpa pengetahuan, bahkan melarang pula mengatakan sesuatu berdasarkan sangkaan semata-mata. Berbeza pula bagi mereka yang mempunyai ilmu, mereka diperintahkan untuk menyampaikan kebenaran.

Pesan Imam Ahmad bin Hanbal:

إذا سكت العالم تقية، والجاهل يجهل، فمتى يظهر الحق؟

“Apabila orang yang alim berdiam diri kerana taqiyah (play safe), dan orang jahil terus jahil, bilakah lagi kebenaran itu akan tertegak?”

Maha benar Kalamullah:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُواْ الألْبَابِ

“Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

(az-Zumar: 9)

SOFIA ALWANI ALI
14 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 14/3/2018

MENGGODA pemuda

Mereka meletakkan wanita-wanita sebagai alat untuk menggoda para pemuda untuk menguasai mereka dengan cara العاهرات المتصنعات (seolah pelacur yang dibuat/ciri-ciri macam pelacur dalam tak sedar).

Walaupun pada zahirnya nampak biasa kononnya, tapi hakikatnya ya. Lihat saja di kaca televisyen kita, hampir ke semua iklan yang ada, diiklankan oleh wanita. Kenapa? Sebab wanita ada daya tarikan di mata lelaki, simple.

Meruntuhkan kesopanan

1.     Fesyen yang melampau.

Membunuh kesopanan yang sepatutnya menjadi akhlak kepada wanita dengan diumpankan dengan pelbagai fesyen-fesyen yang melampau yang dibawa dengan dakyah-dakyah yang batil. Hujahnya, Islam sukakan kecantikan, kemajuan dan kemodenan.

2.     Alat solek yang berlebihan.

Mereka juga meruntuhkan kesopanan wanita dengan jalan, mempelbagaikan alat solek yang akhirnya wang tersebut pulang ke poket Yahudi.

Pendidikan yang merosakkan

Musuh Islam mendedahkan kepada para wanita ini dengan pendidikan yang merosakkan. Diperkenalkan pengajian yang menuju ke arah keduniaan yang akhirnya menuntut untuk melawan semula perintah agama.

Mempengaruhi wanita dengan seni

Mereka sangat berusaha mempengaruhi wanita Islam agar terlibat dengan dunia seni. Sebagai alat untuk menjayakan misi mereka, iaitu agar hilangnya jati diri dan kesopanan yang seharusnya menghiasi diri seorang muslimah.

Buka mata, lihat realiti hari ini. Dalam filem, pementasan, majalah, radio, televisyen, iklan-iklan dan banyak lagi. Sedih melihat saudara seagama kita menggadaikan maruah diri demi kemasyhuran dunia yang tiada nilai ini.

Percampuran gender

Akhirnya menatijahkan ikhtilat berlainan jantina. Hilangnya adab dan akhlak Islam dalam diri. Malah, menyebarkan dakyah untuk bermaksiat, dan mereka bermaksiat. Dan runtuhlah jati diri pemuda yang sepatutnya menjadi pemimpin generasi akan datang.

Dunia hari ini

Inilah agenda musuh-musuh Islam. Mereka tidak serang kita dengan senjata api, kereta kebal dan sebagainya. Tetapi jarum yang masuk begitu halus, begitu mudah tercucuk. Malah, golongan yang sepatutnya menjadi pembela agama Allah pun, ada yang tertipu dengan pemikiran sebegini. Moga kita dijauhkan daripada fitnah-fitnah ini. Benarlah, memang kita hidup di zaman Dajjal.

AINNUR UKHTA UWAIS 
14 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 14/3/2018

KEKUASAAN dan harta adalah alat yang ampuh untuk mempengaruhi manusia. Sama ada ianya digunakan ke jalan kebaikan dengan berusaha menegakkan Islam atau digunakan untuk mempengaruh manusia ke arah kebatilan dan menghalang manusia dari jalan Allah.

Al-Mudahanah : Usaha musuh menggadaikan prinsip

Dalam sirah memperlihatkan kaedah tekanan tidak berjaya mempengaruhi umat Islam. Akan tetapi kaedah tawaran kadangkala berjaya mempengaruhi golongan yang lemah imannya.

Pendedahan al-Quran terhadap strategi musuh

Al-Quran mengingatkan Nabi S.A.W agar tidak terpengaruh dengan projek kebajikan yang ditawarkan pihak musuh:

فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ (٨) وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُون (٩)

“Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah) (8). Mereka menginginkan agar engkau bersikap lunak maka mereka bersikap lunak (pula) (9).”

[al-Qalam: 8-9]

Berlepas diri terhadap tawaran musuh

Rasulullah S.A.W tidak tunduk pada rundingan pihak musuh yang cuba menawarkan dana terhadap Baginda:

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن قريشا دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى أن يعطوه مالا فيكون أغنى رجل بمكة، و يزوجوه ما أراد من النساء، و قالوا : هذا لك يا محمد، و كف عن شتم آلهتنا، و لا تذكرها بسوء.

فإن لم تفعل فإن نعرض عليك خصلة واحدة، و لك فيها صلاح. قال: و ما هي؟ قالوا : تعبد آلهتنا سنة، و نعبد إلهك سنة! فأنزل الله سورة الكافرون

“Daripada Ibnu Abbas R.A bahawasanya kaum Quraisy memanggil Rasulullah S.A.W untuk menawarkan harta kepada baginda lalu menjadi baginda sebagai orang yang paling kaya di Makkah, dan mengahwinkan baginda dengan sesiapa yang dikehendaki di kalangan perempuan-perempuan.

“Lalu mereka berkata : Ini untukmu wahai Muhammad, berhentilah mencela tuhan-tuhan kami dan jangan menyebut-nyebut mereka dengan keburukan.

“Sekiranya engkau tidak lakukan kami akan berikan kepadamu satu tawaran khusus, dan baginya ada manfaatnya terhadapmu.

“Sabda Nabi S.A.W : Apakah ia?

“Mereka menjawab : Engkau sembah tuhan-tuhan kami setahun, dan kami sembah tuhan engkau setahun (pula)

“Lalu Allah menurunkan surah al-Kafirun!:

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (١) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (٢) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (٣) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (٤) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (٥) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (٦)

[al-Kafirun: 1-6]

Bahaya bantuan musuh ke atas negara Islam

Pergantungan dengan pihak yang memusuhi Islam menghakis jati diri dan menyebabkan umat Islam mudah dipergunakan:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُون

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menginfaqkan harta mereka untuk menghalang-halangi orang dari jalan Allah. Mereka akan terus menginfaqkan harta itu, kemudian mereka akan menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan.”

[al-Anfal: 36]

Kita menyaksikan hari ini pemimpin-pemimpin negara-negara Islam dipergunakan dengan biaya yang diperolehi dari musuh. Musuh juga dengan mudahnya menggerakkan jentera-jentera mereka ke dalam negara Islam dengan dana yang diberi. Contohnya:

National Endowment For Democracy (NED) badan pelaksana perancangan Amerika yang banyak membiayai NGO-NGO yang menyebarkan propaganda di negara-negara Islam.

Projek Pengkhianatan "Deal Of The Century" menyaksikan pemimpin-pemimpin Arab yang menerima persepakatan musuh menyerahkan tanah Palestin kepada Zionis.

Tawaran Allah paling berharga

Dalam menghadapi situasi ini kita hendaklah mengingati jual-beli yang Allah tawarkan buat orang beriman:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janji-Nya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

[at-Taubah: 111]

Ujian kemewahan yang membimbangkan

Nabi S.A.W turut mengingatkan para Sahabat perkara yang menyebabkan kebinasaan umat terdahulu adalah berpunca dari kemewahan dan berlumba-lumba mendapatkan dunia:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أبشروا وأملوا ما يسركم، فوالله ما الفقر أخشى عليكم، ولكني أخشى أن تبسط الدنيا عليكم كما بسطت على من كان قبلكم، فتنافسوها كما تنافسوها، وتهلككم كما أهلكتهم" .

“(Rasulullah S.A.W bersabda) Bergembiralah dan mengharaplah dengan apa yang menyenangkan kalian, demi Allah bukanlah kemiskinan yang paling aku takutkan menimpa kalian, akan tetapi apa yang aku takutkan adalah dihamparkan kepada kalian kekayaan dunia, sebagaimana telah dihamparkan kepada umat sebelum kalian, lalu kalian berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba mendapatkannya hingga kalian binasa sebagaimana mereka binasa.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Jangan terpengaruh kesenangan duniawi

Kesimpulannya, walau berbagai tawaran keduniaan datang kepada kita, Allah mengingatkan agar tidak terpengaruh sepertimana orang-orang yang kufur terpengaruh dengan kesenangan dunia:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (١٦) وَالآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى (١٧)

“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi (16). Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal (17).”

(al-A'la: 16-17)

Semoga Allah pelihara jati diri umat Islam.

Rujukan:

1.Thawabit al-Muslim al-Mu'asir, Syeikh Solah Abdul Fatah al-Kholidi
2. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyatil Anfus, Said Hawa
3. Artikel "Racun 3 Serangkai Amerika Sejak 1983", Abdul Mu'izz Muhammad
4. Artikel "Awasi Projek Deal Of The Century Israel", Abdul Mu'izz Muhammad

JIHAD JUNDI
9 MAC 2018 - HARAKAHDAILY 9/3/2018

ADIL

Sistem kasta bercanggah dengan ajaran Islam. Budaya melindungi golongan pembesar dan aristokrat merupakan budaya puak jahiliah yang mesti ditolak. Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan sebuah hadis:

أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ المَرْأَةِ المَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ ، فَقَالُوا : وَمَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالُوا : وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ ، حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ ؟! ) ، ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ ، ثُمَّ قَالَ : ( إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

”Suatu hari, kaum Quraisy merasa khuatir apabila berlaku kes kecurian yang dilakukan oleh bangsawan Bani Makhzum. Setelah berbincang, mereka bersetuju mengutus Usamah bin Zaid untuk merayu kepada Rasulullah S.A.W agar meringankan hukuman. Usamah dipilih sebagai wakil kerana beliau merupakan ahli keluarga angkat, kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Beliau cuba berunding agar diringankan hukuman si pencuri tersebut, wanita dari Bani Makhzum.

“Tetapi Baginda membantah dengan tegas, sabda Nabi SAW, "Adakah engkau mahu meminta bantuanku dalam urusan hudud Allah?"

“Baginda bangun lalu menyampaikan ucapan Baginda, "Sesungguhnya faktor kehancuran kaum sebelum kalian adalah kerana sikap selektif mereka. Apabila seorang yang berkedudukan dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila yang mencuri merupakan orang biasa daripada kelas bawahan, tiba-tiba mereka menegakkan hudud Allah. Demi Allah! Sekiranya benar Fatimah binti Muhammad mencuri, tetap akan kupotong tangannya."”
(HR Bukhari dan Muslim)

Membeza-bezakan hukuman terhadap pesalah bukan daripada ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Orang biasa ditangkap dan dibelasah, manakala "VIP" disorok dan diberi keistimewaan. Jika benar kita mengikuti ajaran Islam, pesalah tetap kita adili tanpa menghiraukan pengaruh kedudukan dan pangkatnya.

Asabiyah

Selain kasta, asabiyah juga merupakan salah satu bentuk selektif dalam menegakkan keadilan. Bertentangan dengan kebenaran Islam. Mempertahankan seseorang atas dasar fanatik kepuakan semata-mata. Asal satu parti, yang salah pun dipejam sebelah mata.

Betapa banyak hadis menceritakan tentang asabiyah, menunjukkan amaran Nabi S.A.W dan keprihatinan generasi Sahabat R.A yang bertanya. Kerana takwa, tidak mahu terjerumus ke dalam kancah jahiliah.

Hadis pertama: Sayang semata-mata bukan bererti asabiyah, asabiyah itu apabila seseorang mempertahankan kejahatan kumpulannya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ؟ قَالَ : لَا، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ.

“Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiyah apabila seseorang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda S.A.W: 'Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seseorang itu menolong kaumnya dalam perkara kezaliman."
(Sunan Ibn Majah)

Hadis kedua: Mati ketika mempertahankan kebatilan termasuk dalam mati jahiliah:

مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

"Barangsiapa terbunuh kerana membela bendera kefanatikan yang menyeru kepada asabiyah atau mendukung asabiyah, maka matinya seperti mati jahiliah.”
(HR Muslim)

Hadis ketiga: Nabi tidak mengaku umat, mereka yang bersikap asabiyah:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

"Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada asabiyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”
(HR Abu Dawud)

Ringkasnya, amalan membela kesalahan puak sendiri merupakan ajaran jahiliah yang ditegah Nabi S.A.W. Sekiranya kita berdegil untuk tetap mempertahankan kesalahan atas nama "setia kawan atau satu parti", bersiap sedialah dengan ancaman yang disebutkan tadi. Sudahlah mati di dalam jahiliah, Nabi pula tidak mengaku umat.

Hisbah

Sistem hisbah merupakan ciri istimewa yang ada pada sistem pentadbiran Islam. KhilafahDaulahJamaah atau sekecil apa pun organisasi Islam tersebut, mesti diwujudkan sistem hisbah. Ianya merupakan kewajipan pentadbiran Islam. Keunikan ini yang membezakan sesebuah organisasi Islam dengan organisasi yang lain. Tidak seperti sistem teokrasiautokrasi mahupun aristokrasi yang bersifat kuasa mutlak, kuku besi dan veto.

Nabi S.A.W menegaskan bahawa, kewajipan amar makruf dan nahi mungkar ini perlu dipikul semua lapisan masyarakat. Pemerintah dan rakyat, pemimpin dan pengikut, guru dan anak murid. Hisbah dilaksanakan pada zaman Nabi S.A.W, diteruskan Khalifah Abu Bakar R.A dan ditingkatkan pelaksanaannya oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Berikut merupakan contoh yang menjadi praktis ketika era keemasan Saidina Umar R.A.

Hisbah dan pantauan pemerintah terhadap wakil Khalifah/Sultan/Presiden

Saidina Umar bukan sahaja melantik wakil terbaik dan berkelayakan, beliau malah melaksanakan hisbah terhadap para Gabenor beliau. Kata Saidina Umar, "Lebih baik aku memecat setiap hari daripada aku membiarkan seorang yang zalim satu masa yang singkat."

Hisbah terhadap khalifah sendiri

Seorang pengadu melaporkan kesilapan Saidina Ali bin Abi Talib terhadapnya, lalu Saidina Umar bertindak menjadi hakim. Umar berkata kepada Ali, "Wahai Abu al-Hasan, samakan kedudukan dengan lawanmu!" Tiba-tiba Ali menunjukkan wajah marah terhadap Umar.

Setelah selesai memberi keputusan dan sama-sama berada di majlis yang lain, Umar bertanya kepada Ali, "Kenapa tadi nampak marah? Adakah kerana aku menyamakan kedudukanmu dengannya?"

Ali menjawab, "Tidak! Tetapi aku marah kerana engkau memanggilku dengan Abu al-Hasan (panggilan sanjungan), sedangkan engkau tidak memanggil namanya seperti memanggilku."

Khalifah Umar terus mencium kepala Ali dan berkata, "Allah tidak menyelamatkan aku di dunia ini kalau tidak ada Abu al-Hasan."

Amru bin al-Aas dimarahi

Suatu ketika, Abdul Rahman bin Umar al-Khattab dan rakannya tersilap meminum arak. Tidak diketahui minuman itu merupakan arak. Walaupun demikian Abdul Rahman meminta supaya Amru al-Aas menjatuhkan hudud terhadap dirinya dengan sebatan dan dicukur kepala kerana merasa bersalah. Amru melaksanakan hukuman itu di rumah, bukan di khalayak ramai.

Apabila berita ini sampai kepada Khalifah, Umar menjadi marah kepada Amru kerana cara hukuman disembunyikan daripada khalayak. Tidak sepatutnya hukuman dilakukan secara tersembunyi semata-mata disebabkan Abdul Rahman itu anak Khalifah.

Pegawai Ansar dipecat

Seorang Sahabat dalam kalangan Ansar ditugaskan ke Hirah bagi membantu Amar bin Hayyan. Apabila beliau tiba, Amar menjemput beliau makan. Tiba-tiba beliau mempersendakan Amar dan menyapu janggut Amar secara bergurau.

Amar bin Hayyan mengadap Khalifah Umar dan mengadu telatah pegawainya. "Wahai Amirul Mukminin, saya pernah bertugas di bawah Raja Parsi dan Rom, tetapi saya tidak pernah dilayan seperti yang berlaku di masa pemerintahan tuan."

Setelah Umar menyelidik apa yang berlaku, beliau memanggil Sahabat Ansar tersebut dan berkata, "Hei, engkau diajak makan dan minum bersama, engkau tidak layan jemputannya. Kemudian kau persendakan dia. Kau sapu janggutnya. Kalau bukan kerana menyimpan janggut ini sunnah, nescaya aku cabut janggutmu! Berambus pergi, aku tidak lagi melantik engkau bertugas."

Pesanan kepada mereka yang meninggalkan hisbah

Abu Sa'id menceritakan suatu hari Nabi S.A.W bersabda:

لَا يَحْقِر أَحَدُكُمْ نَفْسَهُ". قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يَحْقِرُ أَحَدُنَا نَفْسَهُ؟. قَالَ: "يَرَى أَمْرًا لِلَّهِ فِيهِ مَقَال، ثُمَّ لَا يَقُولُ فِيهِ. فَيَقُولُ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَقُولَ فِيَّ كَذَا وَكَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ: خَشْيَةَ النَّاسِ، فَيَقُولُ: فَإِيَّايَ كُنْتُ أَحَقَّ أَنْ تَخْشَى".

"Janganlah seseorang di antara kalian menghina dirinya sendiri.” Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang di antara kami menghina dirinya sendiri?” Rasulullah S.A.W menjawab, "Apabila dia melihat suatu urusan menyangkut Allah yang harus diluruskannya, kemudian dia tidak mahu mengatakannya. Maka kelak di hari kiamat Allah akan berfirman kepadanya, 'Apakah yang menghalang-halangi kamu untuk mengatakan hal yang benar mengenai Aku dalam masalah sekian, sekian, dan sekian?' Maka dia menjawab, 'Takut kepada manusia (orang lain).' Maka Allah berfirman, 'Sebenarnya Akulah yang harus engkau takuti."
(Sunan Ibn Majah)

Asabiyah mengakibatkan kehinaan kepada pelakunya. Perjuangannya adalah perjuangan jahiliah. Jika ditakdirkan mati ketika mempertahankan kesalahan kaum sendiri seolah-olah mati jahiliah. Nabi S.A.W tidak mengakui sebagai umat.

Di hari akhirat, Allah akan bertanya mengapa kalian berani menyembunyikan kebenaran dan membelakangi Allah. Jawablah kalian kepada Allah. Sesungguhnya tanggungjawab kami hanyalah menyampaikan. Kami berlepas diri daripada kalian. - HARAKAHDAILY 9/3/2018

SAYA melihat kenyataan Husam haram undi PAS dari sisi yang positif. Mustahil beliau tak fikir dulu apa yang keluar dari bibirnya. Kecuali kesan penyakit beliau belum benar-benar sembuh sepenuhnya.

Beliau mungkin faham realiti masyarakat Malaysia hari ini. Pengaruh agama sudah semakin kuat dalam pertimbangan kehidupan rakyat Malaysia. Satu perkembangan yang baik jika dibanding dengan puluhan tahun lepas, ketika negara diserang pemikiran sekularisme yang dibawa penjajah Barat.

Menghukum haram undi PAS bukan perkara baru dalam politik tanah air. Umno sudah biasa dengan fatwa seperti ini. Kalau masih ingat, Ulama mereka Abdullah Saamah pernah keluarkan kenyataan serupa. Malah Umno Terengganu di bawah kepimpinan Mat Said pernah menganjurkan wacana PAS parti ajaran sesat.

Dahulu, Umno terkenal sebagai parti yang pekat dengan sekularisme dan agenda sekularisasi. Pemimpin PAN pula dikenali sebagai golongan yang dipengaruhi dengan pemikiran liberalisme dan rapat dengan golongan beragenda liberalisasi. Kedua kutub ini berkongsi pandangan dari sudut hubungan agama dan politik, iaitu perlu dipisahkan dan dibezakan.

Tetapi akhir-akhir ini, kedua pihak ini terpaksa menggunakan agama untuk matlamat politik mereka. Umno mula bercakap isu wala', bara, bertakbir, yahanana dan sebagainya. PAN pula hari ini secara jelas mengeluarkan hukum haram undi PAS, walaupun sebelum ini mereka mengkritik PAS akan kerana kononnya PAS suka menghukum.

Apa yang dapat dilihat, walau apa pun pandangan mereka dari sudut agama dan politik, akhirnya parti-parti politik tidak dapat mengelak dari mengambil kira unsur agama dalam kelangsungan politik. Walaupun prinsip mereka berbeza, namun politik yang bertunjangkan pragmatisme tidak mempedulikan unsur prinsip. Yang penting dapat undi dan sokongan.

Masyarakat Malaysia sekarang semakin beragama. Ini adalah kejayaan yang PAS cita-cita dan perjuangkan sejak sekian lama sepanjang keberadaan di arena politik dan medan dakwah. Walaupun berhadapan dengan berbagai ranjau, dan akhirnya ramai mendabik dada mendakwa merekalah penyebab Islamisasi Malaysia, tetapi tiada siapa boleh menafikan kaitan orientasi perjuangan PAS dengan kesedaran Islam di Malaysia sekarang.

Parti-parti lain yang bimbang tenggelam dek arus pemikiran rakyat yang dipengaruhi pertimbangan agama ini lantas mengambil jalan mempergunakan agama. Kalau tak guna agama, mereka bakal ketinggalan. Itulah juga yang berlaku dalam peradaban Barat. Daripada teokrasi muncul protestan, daripada protestan muncul counter-reformation dan akhirnya, gereja kini sedang dilanda pemikiran evangelicalisme yang mahu balik kepada pegangan Bible. Hatta gereja orthodox turut terkesan.

Secara tidak langsung, akhirnya parti-parti lain menuruti pandangan PAS sejak sekian lama bahawa agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Tok Guru Nik Aziz dahulu dikecam hebat gara-gara mengeluarkan kenyataan undi PAS dapat pahala atas alasan memperdagang agama. Tapi hari ini, terbukti mereka terdesak untuk lakukan perkara serupa. Undi PH dapat pahala.

Tinggal sekarang, pertimbangan pengundi untuk memilih mana satu parti politik yang boleh diberi amanah memimpin negara. Mana satu yang benar-benar memperjuangkan agama, dan mana satu yang hanya mempergunakan agama. Jangan menilai kenyataan seminggu dua yang dekat dengan pilihan raya ini, tetapi nilailah secara keseluruhan sikap-sikap sebenar mereka terhadap isu agama. Isu RUU355, isu Sekolah Agama Rakyat, isu Pesta Arak, LGBT, kalimah Allah, murtad, hak penjagaan anak dan sebagainya.

Gunakan kebijaksanaan sebaiknya untuk menilai. Jangan mudah diperbodohkan politikus jahat. Sesungguhnya akhir zaman ini penuh dengan syaitan berupa manusia, dan manusia berlidah dajjal.

ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 8/3/2018

SAYA tak pernah terasapun nak jadi VIP. Saya hanya bercita cita menjadi al-Murabithuun. Dipanggil saya datang disuruh saya pergi. Disuruh ke depan saya di depan, diarah ke belakang ke belakanglah saya. Diarah ke tepi saya ke tepi, disuruh ke atas ke bawah, di situlah saya. 
 
Tika diarah saya menurut, tika diam saya memerhati, tika kelam saya mencari, tika dilambung hoyong hayang saya berpaut di tali nakhoda. Disuruh perang saya perang, diminta aman saya amankan, jika peluru datang kepada pimpinan, saya meluru menjadi benteng. Tika bertelagah nakhoda dengan yang lain, saya hanya ada satu nakhoda untuk dipertahankan.
 
Saya diasuh dengan fikrah harakah islamiyyah oleh para murabbi jemaah, saya ada pemimpin yang mengawal fikrah dan jalan bekerja bagi jemaah ini. Mereka mewarisi ke'khalifahah'an para nabi dan Rasul yang merintis dan menunjuk jalan perjuangan. Yang bercanggah dengan mereka saya simpangi, yang menongkah mereka saya betuli. Yang mencalarkan mereka saya perangi. Mereka rais saya mar'us, mereka imam saya makmum. Saya sanggup apa saja untuk memenuhi syarat saya sebagai mar'us, dicaci dimaki, dihina, disaman, ditangkap atau dipenjarakan. Mati belum masuk ke senarai kesanggupan kerana saya masih lemah. Tapi Allah akan tentukan bila masa itu sampai.
 
Mereka didulukan dalam apa jua situasi hatta yang bertembung dengan perasaan dan fikrah saya sendiri. Mereka tentu ada sebab musabab yang lebih baik dari saya. Di sana pasti ada barakah daripada Allah. Saya tidak akan bercakap lebih kuat daripada mereka, tidak mendahului perasaan saya di depan daripada arahan mereka. Saya dengar dan saya taat. Di akhirat saya mahu ditempatkan bersama himpunan para pimpinan yang adil dan bertaqwa. Saya mengharapkan jalan yang saya turuti di belakang mereka ini memberikan saya pahala dan beroleh rahmat syurga. 'Mereka' itu ialah Presiden dan para pembantunya. Yang menentang presiden, bukanlah dari kalangan 'mereka'.
 
Sungguh jalan masih panjang. Sungguh manusia tidak maksum, sungguh mereka mungkin ada kesilapan. Jika belum bertemu syarat untuk hilang ketaatan, saya akan tetap di jalan kepatuhan. Saya hanya ada satu nakhoda, tidak dua tidak tiga. Lain daripada nakhoda adalah sahabat, pimpinan dan al-murabithun seperti saya juga. 
 
Jika masuk PAS dengan hasrat mengawal dan menentukan jalan sendiri. Sila ambil sedikit ruang untuk mengenali jantung hati jemaah ini. - HARAKAHDAILY 2/3/2018

ISLAM sebuah cara hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam adalah akidah, ibadah, muamalah, undang-undang, akhlak, hubungan antarabangsa, politik dan segala yang berhubung dengan kehidupan manusia.

Dewasa ini kita tidak dapat lari dari memperkatakan isu-isu politik umat Islam dan apa jua yang berkaitan dengannya termasuklah memilih pemimpin dan parti politik. Sudah tentu dalam hal ini ada perbincangan dan hukumnya di dalam Islam.

Wajib melantik pemimpin

Hukum melantik pemimpin adalah wajib di dalam Islam. Perkara ini disepakati oleh para ulama dan termasuk dalam persoalan siasah syariyyah. Bahkan tajuk 'nasbul imamah' diletakkan sebagi tajuk akhir dalam kitab kitab akidah seperti al iqtisod fil i'tiqod, jauharatul tauhid dan lain-lain. Imam Ibrahim al-Baijuri menyebut:

ونصب إمام عدل واجب على الأمة عند عدم النص من الله أو رسوله على معين

"Melantik pemimpin yang adil adalah wajib ke atas umat Islam ketika tiada nas dari Allah S.W.T dan Rasul-Nya kepada orang tertentu"

Justeru, kewajipan melantik pemimpin sudah tidak perlu diperbincangkan lagi kerana sudah terang dan nyata.

Tidak penting kerana bukan Rukun Iman?

Akhir-akhir ini banyak kenyataan yang mengelirukan tentang politik dan kepimpinan yang tidak ada tujuan lain selain ingin memisahkan umat Islam dari politik. Antaranya adalah kenyataan bahawa urusan politik bukan rukun iman. Tidak mempedulikan politik tidak menyebabkan seseorang itu murtad dan kafir atau sebagainya. Jika dulu golongan sekular mengatakan politik suku agama suku, maka kini terdapat sebahagian agamawan pula menyeru umat Islam menjauhkan diri dari politik kerana bukan rukun Iman.

Walaupun kenyataan ini benar tetapi amat berbahaya. Ia seolah-olah memisahkan Islam dan politik sedangkan Islam bukan hanya rukun Iman bahkan Islam adalah Iman, Islam dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril. Jika politik bukan rukun iman maka solat, puasa, haji dan lain-lain juga bukan rukun iman namun adakah bererti tidak wajib solat? Bahkan mengingkari kewajipan solat boleh dihukum murtad dan dibunuh sekiranya tidak bertaubat.

Dalam hal ini Prof Doktor Yusuf al-Qaradawi menyatakan:

"إن مسألة الإمامة عند أهل السنة والجماعة من مباحث الفروع؛ لأنها تتعلق بالعمل لا بالاعتقاد أساسًا، ولكنه استدرك قائلاً: إن هذا لا يعني التهوين من هذا الأمر ؛ لأن الإسلام ليس عقائد فحسب بل هو عقيدة وعمل، وإذا كانت الصلاة مثلاً من الفروع لأنها أعمال لا عقائد، فهذا لا يُخرجها عن كونها من أركان الإسلام، فكذلك الإمامة أو الحكم بما أنزل الله هو من الفروع ولكن اعتقاد وجوبه ولزومه والإيمان بالاحتكام إلى ما أنزل الله في كتابه ومتابعة رسوله هو من الأصول يقينًا، ومن صميم الإيمان".

"Sesungguhnya masalah imamah (pemimpin) di sisi ahli sunnah wal jamaah adalah dari perbahasan cabang agama kerana ia berkaitan amalan bukan akidah secara asas. Namun, kenyataan ini bukan bererti meremehkan urusan ini kerana Islam bukan hanya akidah sahaja tetapi Islam adalah akidah dan amalan. Bila solat contohnya dari urusan furu' kerana solat adalah amalan bukan akidah namun ia tidak mengeluarkannya dari rukun Islam. Begitulah juga persoalan pemimpin dan menjalankan hukum Allah adalah perkara furu tetapi beriktikad bahawa ia wajib dan satu kemestian serta beriman bahawa wajib menjalankan hukum Allah itu sebagaimana dalam Kitab-Nya dan mengikut Rasul-Nya adalah daripada prinsip-prinsip dan asas iman"

Beruzlah kerana ini zaman fitnah?

Antara sikap lain dan seruan yang ada adalah umat Islam mesti beruzlah dan menjauhkan dari fitnah politik. Ini adalah diqiyaskan kepada para Sahabat Rasulullah yang berkecuali dan menjauhkan diri dari terlibat dalam perselisihan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah.

Jika kita melihat secara kasar pendirian ini dan seruan kepadanya, ia seolah-olah benar dan ini seumpama jalan yang selamat. Namun, hakikatnya ia bercanggah dengan nas-nas agama dan kalam ulama muktabar walaupun kaedah istidlal hukum yang digunapakai adalah qiyas. Kenyataan ini adalah terbatal kerana:

1.     Punca utama perselisihan para Sahabat bukan dalam soal nasbul Imamah (melantik pemimpin) tetapi ia adalah perselihan tentang cara menuntut balas (qisas) kematian Saidina Osman sebagaimana disebutkan para ulama. Maka jelas qiyas fitnah Sahabat dengan situasi politik adalah qiyas maal fariq.

2.     Ulama ahli sunnah menuntut kita supaya diam dan tidak membincangkan soal perselisihan berdarah para Sahabat bukan supaya kita menjauhkan dari politik. Tujuannya adalah supaya kita tidak mengotorkan lisan kita dengan memburuk-burukkan Sahabat dan mencela mereka (sabbu sahabah). Ini kerana kemuliaan mereka dan ketinggian darjat mereka. Mereka mendapat pahala dalam ijtihad mereka. Imam Syihabuddin Abi Abbas Ahmad Al Ramli seorang ulama muktabar dalam mazhab as-Syafie menyebut di dalam Fathul Rahman bi syarhi zubad ibni Raslan:

وهي يجب سكوتنا عما جرى بين الصحابة رضي الله عنهم من المنازعات والمحاربات التي قتل بسببها كثير منهم فتللك دماء الله طهر الله منها ايدينا..فلا نلوث بها السنتنا كمنازعة معاوية عليا بسبب عدم تسليم قتلة عثمان الى عشيرته ليقتصوا منهم لأن عليا رأى تأخير تسليمهم اصوب"

"Dan adalah wajib berdiam diri dari memperkatakan tentang apa yang berlaku di antara para Sahabat daripada perselisihan dan pertelingkahan yang menyebabkan terbunuh ramai di kalangan mereka. Maka itu adalah darah yang Allah alirkan yang Allah mahu tangan kita suci (tidak mengkotori) darinya. Maka lebih lebih lagi Allah tidak mahu kita mengotorkan lidah kita dengan memburukkan mereka, seumpama Muawiyyah melawan Ali kerana tidak menyerahkan para pembunuh Osman kepada ahli keluarganya untuk di jalankan hukum qisas kerana Ali berpandangan soal tersebut lebih tepat jika dikemudiankan"

3.     Berdiam tanpa melibatkan diri dalam politik akan menyebabkan terabai kewajipan syara dan menolak nas nas wajib melantik pemimpin yang menjalankan syariat Allah yang terang lagi nyata, membiarkan umat tenggelam dalam maksiat dan munkar dan mendedahkan umat kepada bahaya musuh. Kesemua nas ini amat terang dan nyata.

4.     Nas-nas al-Quran dan hadis supaya menjalankan amar makruf dan kewajipan menegur pemipim yang zalim serta menyelamatkan umat Islam yang tertindas. Fitnah membiarkan umat Islam terabai aspek akidah dan syariah amat besar berbanding maslahah menjaga peribadi dari fitnah politik. Imam Al Ghazali menyebut :

الدين اس والسلطان حارس فما لا أس له فهالك وما لا حارس له فضائع

"Agama adalah asas dan dan kuasa politik adalah penjaganya. Maka jika agama hilang akan runtuhlah umat dan jika kuasa politik hilang maka jadi hilanglah kemuliaan umat."

5.     Dengan nas nas yang tidak terhitung banyaknya tentang kewajipan melantik pemimpin yang adil maka qiyas supaya berdiam diri adalah qiyas yang bercanggah dengan nas. Imam Al Ghazali menyebut di dalam kitab al-Mustashfa sebuah kitab usul fiqh :

القياس على خلاف النص باطل قطعا

"Qiyas dengan menyalahi nas adalah batil secara qatei"

6.     Walaupun kita andaikan qiyas ini benar, namun ia tetap marjuh kerana mengikut kaedah usul fiqh, di dahulukan nas di atas qiyas (sekiranya qiyas tidak silap). Prof Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitab Al Wajiz Fi Usuli Al Fiqh menyebut :

يرجح الكتاب او السنة الصحيحة على القياس لان القياس دليل ظني ولا يعمل به في موضع النص.

"Ditarjihkan dalil al-Quran dan sunnah di atas qiyas kerana qiyas merupakan dalil zhonni dan tidak digunakan dalam soal yang terdapat nas Al Quran dan Sunnah"

7.     Zaman fitnah tidak menyebabkan kewajipan melantik pemimpin digugurkan mengikut hukum syara'. Imam Ibrahim Al Baijuri menyatakan :

ولا فرق في وجوب نصب الامام بين زمن الفتنة وغيره..

(حاشية البيجوري على جوهرة التوحيد)

"Tiada bezanya wajib melantik pemimpin ketika zaman fitnah ataupun tidak"

8.     Sekalipun diharuskan i'tizal (menjauhkan diri) ketika zaman fitnah namun sekiranya terdapat jemaah yang berpegang dengan haq maka hukumnya wajib memberi sokongan dan bergabung dengannya. Imam Ibnu Hajar Al Asqolani seorang amirul mukminin dalam ilmu hadis menyatakan dalam kitab Fathul Bari:

المراد من اعتزال الناس زمن الفرقة: ما ذكره الحافظ ابن حجر رحمه الله في الفتح عن الطبري أنه قال: متى لم يكن للناس إمام فافترق الناس أحزابا فلا يتبع أحدا في الفرقة، ويعتزل الجميع إن استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر،

ومتى وجد جماعة مستقيمة على الحق لزمه الانضمام إليها وتكثير سوادها والتعاون معها على الحق؛ لأنها والحال ما ذكر هي جماعة المسلمين بالنسبة إلى ذلك الرجل وذلك المكان.

"Adapun yang dimaksud dengan menjauhi manusia pada saat terjadi fitnah perselisihan adalah seperti yang dijelaskan oleh al Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari dari Thabari bahawa dia mengatakan: Jika tidak ada pemimpin lalu manusia berpecah belah menjadi beberapa golongan, maka tidak boleh mengikuti seseorang dalam golongan tersebut. Dan hendaklah semampu mungkin menjauhi semua golongan, karena dibimbangi akan terjadi keburukan.

Tetapi jika ada jamaah yang tetap berpegang teguh pada kebenaran, dia hendaklah bergabung dan memperbanyak bilangan di dalamnya serta saling tolong menolong dalam menegakkan kebenaran, karena pada saat seperti itu, jamaah dan tempat itu adalah jamaah muslimin bagi orang dan tempat tersebut"

Maka telah terang dan nyatalah kebenaran bahawa wajib ke atas umat Islam melantik pemimpin yang adil dan terlibat dalam proses politik demi menjaga maslahah agama yang lebih utama berbanding masalah peribadi berdasarkan dalil dalil dan nas Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Begitu juga seruan agar menjauhkan diri dari politik adalah seruan yang tidak bersandar kepada hujjah yang kukuh.

KHAIRUL ANUAR ISMAIL
Ahli Jawatankuasa
Ikatan lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Kelantan
23 Febuari 2018 - HARAKAHDAILY 23/2/2018

MEMBACA dan menatap sirah Baginda S.A.W selayaknya menatijahkan dua perkara. Iaitu semakin bertambah minat untuk mentadabbur al-Quran dan kedua semakin meyakini tiada jalan yang lebih selamat selain Islam. Antara kisah yang wajar diambil pengajaran sebanyaknya ialah kisah surat Baginda S.A.W kepada Raja Rom Heraclius.

Meninggikan Islam dalam apa jua keadaan

Surat Baginda S.A.W dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim kemudian Nabi menyebutkan “dari Muhammad Hamba Allah dan Pesuruh-Nya kepada Heraclius Pembesar (Raja) Rom, sejahteralah sesiapa yang mengikut petunjuk. Islamlah, nescaya kamu akan selamat”.

Memulakan surat dengan 'intonasi' sebegini, menunjukkan suatu akhlak terpuji Nabi yang sentiasa meletakkan Islam dengan kedudukan yang tinggi. Sekalipun dari aspek kekuasaan, Rom boleh dikatakan sebagai Kuasa Besar dan Madinah hanyalah kerajaan kecil yang baru muncul.

Jiwa Besar Nabi S.A.W

Kesungguhan Nabi menyampaikan Islam kepada pemimpin tertinggi sebuah kerajaan kafir dengan mengajaknya masuk Islam bukti ketinggian politik Nabi. Membawa mesej Islam tanpa selindung dan menerangkan tujuannya dengan jelas. "Selamatlah sesiapa yang mengikut petunjuk, Islamlah, nescaya kamu akan selamat”.

Bermegah dengan kuasa dan merasa tinggi dengan Islam adalah dua perkara yang berbeza. Orang yang menunjukan kuasa biasanya mengugut dengan kekuasaan dan tentera, ia nyata berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Baginda S.A.W yang tidak memiliki bala tentera yang ramai sebagaimana Rom.

Pemimpin yang baik meletakkan nilai negaranya di atas ‘tangannya’ sendiri, bukan bergantung pada sesiapa apatah lagi kuasa besar. Sentiasa merasa mulia dengan ajaran Islam, akan membangkitkan perasaan kebolehupayaan Islam memimpin, kecuali jarum Islamophobia menghantui jiwa dan sanubari.

Acah-acah merindui Nabi

Dalam dialog yang panjang antara Heraclius dan Abi Sufian (ketika itu masih belum Islam), sekalipun Abu Sufian cuba untuk menipu dan menyeleweng, tetapi setiap kali itulah beliau memberi jawapan yang menambah keyakinan Heraclius bahawa Muhammad adalah Nabi yang dinanti-nanti!

Dalam dialognya, direkodkan dalam Sahih Bukhari secara kesimpulannya bahawa Raja Heraclius meyakini perkara berikut:

- Kenabian Muhammad S.A.W sebagai Nabi yang terakhir
- Ajaran Muhammad sebagai kesinambungan daripada ajaran Taurat dan Injil
- Mengakui Kebenaran ajaran Islam
- Sentiasa berharap dapat bertemu dengan Nabi

Heraclius mengatakan "kalaulah beliau (Muhammad) ada di depanku, nescaya aku akan kucup kakinya". Ucapan ini memberi pengajaran kepada kita bahawa, semata-mata mencintai atau merindui batang tubuh baginda S.A.W, bukan jaminan untuk kita selamat. Sebaliknya yang menyelamatkan kita adalah beriman dengan ajarannya. Nyata Heraclius amat berharap dapat melihat baginda S.A.W namun tidak mahu beriman.

Pada hari ini, selayaknya kita sentiasa mengajak masyarakat cinta dan rindu kepada baginda S.A.W, seterusnya menekankan aspek mengikut ajarannya. Selayaknya kita mencontohi para Sahabat R.A yang menjadi bukti kehebatan cinta dan kerinduan yang sebenar terhadap baginda S.A.W.

Najasyi & Hiraklius: Dua darjat Raja yang berbeza

Raja Najasyi merupakan pemimpin kerajaan Habsyah (Eutophia) yang memberikan suaka politik kepada umat Islam pada tahun kelima Kenabian. Dialog yang berlaku antara umat Islam yang diwakili Jaafar bin Abi Talib dengan Raja Najasyi, gara-gara salah faham yang ditimbulkan oleh Amru bin Al 'Asr mewakili pihak Musyrikin Makkah akhirnya memihak kepada umat Islam dan berakhir dengan keIslaman Najasyi!

Bahkan diriwayatkan, Najasyi menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan beriman sekalipun tidak pernah bersua muka dengan Nabi! Allah taala memuji Najasyi:

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

[Surat Al-Ma'idah 83]

Berbeza dengan Raja Heraclius. Dalam dialognya bersama Abu Sufyan jelas menyatakan kenabian Muhammad, namun di hujungnya beliau memilih untuk tidak beriman khuatir kehilangan kedudukan dan kestabilan kerajaan Rom tergugat.

Kisah Raja Daghathir yang syahid

Hiraclius bimbang penghujungnya umpama Raja Rom sebelumnya iaitu Daghathir, yang dikatakan beriman dengan ajaran Taurat dan Injil lalu dia dipukul dan dibunuh. Mulialah pengakhiran Daghathir yang syahid kerana memilih iman berbanding kedudukan!

Pengajaran

Kebendaan, samada berbentuk harta, mahupun kedudukan nyata perangkap yang ampuh untuk membolosi iman. 'Masuk Islam, selamat semuanya' - mesej yang mengatasi semua ideologi politik dan anutan yang ada di dunia. Tawaran yang tidak disukai oleh golongan yang berkuasa, termasuk golongan yang berkepentingan kerana akan mengenepikan semua nafsu serakah yang ingin kekal di atas takhta.

Semoga kita semua diselamatkan Allah dengan godaan ini yang kesannya bukan sahaja meranapkan iman, bahkan mampu meruntuhkan sebuah kerajaan Islam.

Rujukan

- Islamstory - surat Rasul kepada Raja Heraclius
- Kitab Permulaan Wahyu Sahih Bukhari
- Fathul Bari syarah Sahih Bukhari
- Biodata Abu Sufyan bin Harb
- Wikipedia: Raja Heraclius

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
23 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 23/2/2018

PAS dan demokrasi
 
Walaupun PAS sebagai sebuah harakah Islam di Malaysia menerima demokrasi sebagai satu wasilah bagi menegakkan Islam, namun PAS turut mengakui demokrasi memiliki kepincangan yang tersendiri. Ini kerana demokrasi hanya menceduk sebahagian nilai-nilai yang diperkenalkan oleh Islam, tetapi mencampuradukkan dengan falsafah asing yang bercanggah dengan Islam.
 
Antara percanggahan utama sistem politik Islam dan demokrasi adalah dari sudut kuasa tertinggi. Islam mempercayai Allah sebagai kuasa mutlak manakala demokrasi meletakkan rakyat sebagai pemegang kiasa mutlak. Tetapi tidak dinafikan, nilai-nilai demokrasi secara umum seperti hak memilih pemimpin, kebebasan bersuara, mengkritik pemerintah dan menubuhkan organisasi adalah selari dengan syariat Islam. Bagi memahaminya dengan lebih jelas, boleh merujuk kepada tajuk Islam dan Demokrasi dari buku Nadi Perjuangan.
 
Penerimaan terhadap demokrasi
 
Menimbang antara maslahah dan mafsadah, PAS menerima demokrasi atas beberapa sebab. Antaranya kerana 'wasilah' bagi melaksanakan kewajipan memerintah. Juga kerana 'darurat' menghalang pemerintahan negara jatuh di tangan pihak yang salah. Juga atas dasar 'adat' yang telah diterima masyarakat dunia yang moden hari ini. InsyaAllah perbincangan mengenai perkara ini akan diperluaskan dalam siri tulisan akan datang.
 
Penglibatan PAS di dalam demokrasi tidak akan membuatkan PAS hanyut dalam arus deras sistem adaptasi Barat ini. PAS perlu mengekalkan jatidiri sebagai sebuah gerakan Islam tulen yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat. Hanya menerima sudut-sudut demokrasi dalam rangka yang tidak bercanggah dengan Islam sahaja, atau meminimakan percanggahan dalam keadaan darurat.
 
BPMS sebagai alternatif
 
Pada waktu yang sama, PAS berusaha memandu dan membaiki politik Malaysia agar lebih menepati syariat. Sebagai contoh, PAS memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Tujuannya bagi mengawal politik negara dari terus rosak dengan konsep liberal demokrasi seperti yang telah berlaku di negara Barat.
 
BPMS menolak virus bawaan demokrasi seperti liberalisme, populisme, simpatisme, pragmatisme, persepsionisme, politiking, chaosisme dan seumpamanya. BPMS memperkenalkan konsep politik berteraskan prinsip, dakwah, solusi, diplomasi, rasional, berasaskan kebenaran dan mengutamakan rakyat. Kesemua konsep ini adalah terkandung di dalam ajaran Islam.
 
Kerajaan Teknokrat sebagai solusi
 
Di antara aspirasi PAS dalam menyelesaikan kemelut politik dan pentadbiran negara adalah memperkenalkan konsep Kerajaan Teknokrat. Secara umum, Kerajaan Teknokrat adalah gambaran sebuah kerajaan yang ditadbir oleh kumpulan profesional dan pakar dalam masalah yang sedang dihadapi negara. Pemilihan individu yang bakal menerajui badan eksekutif negara tidak terikat dengan parti politik yang disertai oleh mereka, tetapi lebih kepada kelayakan dan meritokrasi yang mereka miliki.
 
Sebagai contoh, walaupun PAS memiliki jumlah kerusi tertinggi yang melayakkannya memilih mana-mana anggota parti sebagai PM dan menteri kabinet, tetapi PAS boleh menerima mana-mana pihak dari parti berlainan malahan mereka yang tidak berparti dan tidak menjadi mana-mana wakil rakyat. Untuk menyelesaikan masalah ekonomi, PAS terbuka untuk memilih mana-mana pakar ekonomi, kewangan atau tokoh korporat sama ada mereka berada di bidang akademik atau di lapangan profesional. PAS akan melihat mana-mana sudut yang dibenarkan oleh perlembagaan dalam melaksanakan perkara ini.
 
Model Kerajaan Teknokrat ini telah diamalkan di banyak negara maju dan membangun baik di Timur mahupun Barat. Sehingga kini, sebahagian besar negara-negara Kesatuan Eropah telah menggunakan kaedah ini sama ada sebagai caretaker  government mahupun kerajaan penuh. Untuk mendapatkan lebih maklumat, boleh rujuk kepada tulisan Minda Presiden PAS yang disiarkan di HarakahDaily bertajuk, "Kerajaan Teknokrat Kelangsungan Pemerintahan".
 
Teknokrat di dalam al-Quran
 
Apa yang menarik, sebenarnya konsep kerajaan teknokrat adalah bertepatan dengan sistem politik Islam. Di dalam Islam, syarat utama untuk menjadi pemimpin adalah memiliki kepakaran dalam bidang yang diamanahkan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang layak menerimanya)."
[An-Nisa':58]
 
Juga boleh merujuk kepada perintah Allah kepada Nabi-Nya supaya melantik Talut sebagai raja bagi membebaskan Bumi Palestin. Ini berdasarkan kelayakan yang dimiliki walaupun bukan dari kalangan bangsawan dan politikus. Firman Allah SWT:
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya."
[Al-Baqarah:247]
 
Teknokrasi dan Demokrasi
 
Secara teori, konsep Kerajaan Teknokrat agak bercanggah dengan demokrasi. Ini kerana demokrasi tidak mensyaratkan sebarang merit untuk tercalon sebagai pemimpin. Hatta orang bodoh dan jahil boleh menjadi pemimpin. Kalau semua rakyat bodoh atau berjaya diperbodohkan, maka tidak mustahil si bodoh akan menjad pemimpin.
 
Populariti dan kemampuan membeli pengundi antara kriteria utama untuk menang dalam PRU. Tidak hairanlah selebriti seperti Arnold Schwazenegger dan Donald Trump boleh terpilih di US. Dan tidak mustahil Oprah Winfrey juga boleh terpilih sebagai Presiden US akan datang.
 
Beza Teknokrasi moden dan Islam
 
Kerajaan Teknokrat menurut kacamata Islam bukanlah sebuah kerajaan sementara yang akan tamat tempoh setelah objektifnya berjaya. Sebaliknya ia adalah syarat utama sesebuah kepimpinan dan akan kekal selagi mana kelayakan itu masih belum hilang. Tidak kiralah sama ada ianya menggunakan konsep syura seperti pemilihan Abu Bakar dan Uthman dan Ali ataupun konsep wasiat seperti pemilihan Umar dan raja-raja dinasti Islam lain, meritokrasi mestilah menjadi panduan setiap pemilih.
 
Apa yang penting, pemilihan pemimpin mengikut merit tidaklah sampai membenarkan seseorang yang menolak pemartabatan Islam dalam pentadbiran negara dipilih. Walaupun mereka dianggap pakar dan mampu dalam menyelesaikan masalah semasa negara, tetapi PAS mempercayai hanya ajaran Islam sahaja yang boleh menyelesaikan.
 
Teknokrat yang dipilih hanya berkuasa menentukan dasar kerajaan dan melaksanakannya, tetapi parti yang terpilih dalam PRU masih berkuasa menentukan undang-undang dan dasar negara. Jika PAS diizinkan sebagai peneraju politik negara, wakil-wakil rakyat PAS akan bertindak sebagai penasihat kepada teknokrat supaya sentiasa selari dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
Setidaknya inilah solusi PAS dalam mengatasi ketepuan sistem demokrasi. Bukan sekadar menolak demokrasi mentah-mentah namun tidak memiliki sebarang alternatif tuntas untuk memartabatkan Islam.
 
2 Jumadal Ukhra 1439
18 Februari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 19/2/2018

TUGAS sebagai wakil rakyat menurut Islam adalah merangkumi semua tugas secara bersepadu. 
 
Segala sesuatu yang dilaksanakan oleh wakil rakyat adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan umat di dunia dan di akhirat.   
 
Oleh itu, bukanlah mudah untuk menjadi seorang wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat.
 
Memang tidak dapat dinafikan ramai orang baik yang muda mahupun yang sudah berumur bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat bukanlah semudah yang disangkakan.
 
Ramai yang ingin menjadi YB (Yang Berhormat) dan suatu hari nanti, mereka akan mendapat peluang mereka.
 
Baik berada dalam mana-mana parti pun tentu akan mencari pemimpin yang benar-benar berkualiti untuk memimpin serta berkhidmat untuk rakyat.
 
Berbeza dengan pada masa dahulu, harapan rakyat kini adalah berbeza daripada 20 tahun lalu dan untuk memenuhi harapan tersebut bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi. 
 
Maka, dalam proses pemilihan wakil rakyat hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, kesesuaian kerja serta sifat kepimpinan yang ada pada seseorang calon itu seperti berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas. 
 
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesiapa yang melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya." (Riwayat Ahmad dan Ad-Dhiak)
 
Selain itu, sudah tentu parti akan menanggung beban dan akan menjadi buah mulut rakyat jika calon yang sudah beberapa kali bertanding dan kalah dalam pilihan raya terdahulu yang diistilahkan sebagai "calon kitar semula" diangkat semula menjadi calon.
 
Sesungguhnya jawatan sebagai wakil rakyat adalah suatu tanggungjawab. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapat sanjungan dan keistimewaan.
 
Ia adalah amanah dan orang yang memegang amanah kepimpinan mestilah memahami hakikat ini.
 
Rasulullah S.A.W mengingatkan kita dalam sabda baginda yang bermaksud, "Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi punca kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan haknya dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya." (Riwayat Muslim)
 
Sabda baginda lagi yang bermaksud, "Sesiapa di antara pemimpin yang dipertanggungjawab untuk memimpin rakyatnya yang mati ketika sampai ajalnya sedangkan ia melakukan penipuan terhadap rakyatnya, nescaya Allah akan mengharamkan syurga ke atasnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Justeru itu, orang yang insaf tentang hakikat ini tidak mungkin meminta atau berusaha merebut menjadi wakil rakyat. Ia akan akur kepada etika Islam yang tidak menjadikannya itu barang rebutan.
 
Ahad, 18 Febuari 2018
 
(Penulis adalah bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak) - HARAKAHDAILY 18/2/2018

KITAB  Talbis  Iblis karangan Imam Abu Faroj al-Jauzi merupakan kitab tasawwuf yang membongkar strategi Iblis dalam menyesatkan manusia ketika mereka melakukan perbuatan yang dianggap asalnya baik.
 
Penerangan-penerangan di dalam kitab Talbis  Iblis amat menyentap menyebabkan sesetengah golongan cukup tidak senang dengan kitab tersebut. Imam Abu Faroj al-Jauzi turut mendedahkan bagaimana penguasa boleh menjadi jahat.
 
Sungguhpun beliau menggunakan istilah 'salatin' yang bermaksud penguasa-penguasa, kita perlu memahaminya sebagai politikus dalam konteks realiti hari ini. Hal ini kerana sesiapa pun di kalangan politikus berpeluang menjadi penguasa.
 
Selain dari sikap licik mahir bermuka-muka, Imam Abu Faroj al-Jauzi menyenaraikan 12 taktik Iblis dalam merosakkan politikus:
 
Kononnya menang kerana disayangi Allah
 
Politikus sering kali mengkaitkan kemenangannya sebagai bukti Allah memilih dan menyayanginya. Walhal mereka tidak serius dengan syariat Allah. Sedangkan berapa banyak di dalam sejarah, Allah memberi peluang kepada golongan zalim sebagai penguasa. Imam Abu Faroj al-Jauzi mengingatkan:
 
"Jika mereka benar-benar wakil Allah, sudah pasti mereka melaksanakan hukum-hakam-Nya. Pada saat itulah mereka merupakan orang yang dicintai Allah kerana taat kepada-Nya"
 
Anti hujah ilmu
 
Politikus menganggap kuasa adalah segala-galanya. Mereka merasa rimas dengan hujah-hujah ilmu. Bahkan politikus suka mengambil kesempatan terhadap kejahilan orang-orang bawahan terhadap agama. Semakin jahil orang bawah, semakin selesalah politikus di tampuk kuasanya. Dari kejahilan tersebut, memberi peluang kepada politikus untuk menipu dan menyeleweng.
 
Takut dengan bayang-bayang sendiri
 
Politikus yang tersampuk dek Iblis pasti akan takut dengan bayang-bayang sendiri. Sentiasa merasa takut. Mereka membayangkan semua orang amat berpotensi menggugat kuasanya. Imam Abu Faroj al-Jauzi berkata:
 
"Iblis menghasut para politikus agar sentiasa merasa takut terhadap musuh. Lantas menyebabkan mereka sentiasa mengukuhkan pertahanan supaya apa yang ada di tangan tidak terlepas"
 
Dari paranoid inilah, politikus boleh melancarkan pelbagai fitnah ke atas sesiapa yang dianggap boleh menggugat survival politiknya.
 
Membela pengampu yang bodoh
 
Politikus suka dipuja dan dipuji oleh pengampu. Walaupun secara separa sedar mereka tahu bahawa hubungan mereka penuh kepalsuan, namun itulah nilai 'persaudaraan' politikus. Imam Abu Faroj al-Jauzi mendedahkan:
 
"Mereka melantik orang-orang yang tidak mampu dan bodoh agar mudah dipergunakan"
 
Melupakan Nas, bertuhankan 'Political  Mileage'
 
Politikus terlalu obses terhadap politik. Apa-apa yang menghalang nafsu politiknya akan dianggap sebagai pengacau, termasuklah nas dari Allah dan Rasul-Nya. Justeru mereka lebih selesa berpegang dengan pandangan sendiri. Jika dikritik bahawa tindak tanduk politikus bercanggah dengan kejujuran beragama, mereka dengan angkuh mengatakan inilah politik. Kononnya terdapat ruang vakum dalam Islam yang boleh diisi dengan tipu daya politik. Imam Abu Faroj al-Jauzi menjelaskan:
 
"Ini merupakan tipu daya yang paling dahsyat, kerana syarak merupakan peraturan Ilahi. Mustahil ada ruang vakum dalam peraturan Allah yang menyebabkan makhluk boleh menjalani kehidupan sesuka hati"
 
Tamak membolot peluang material
 
Apabila berkuasa, politikus percaya bahawa mereka menguasai segala-galanya. Termasuklah duit yang sedang berada di dalam poket-poket orang bawahannya. Mereka menyuruh orang bawahan mereka agar berkorban dan berjimat, sementara mereka sentiasa mengambil kesempatan. Maka jadilah politik peras ugut dan pembaziran secara sekali gus.
 
Menganut Machiavellianisme
 
Politikus cukup tegar berpegang dengan anutan matlamat menghalalkan cara. Semua tindakan walaupun dosa boleh dilakukan atas alasan demi kepentingan dan kebaikan bersama. 
 
Imam Abu Faroj al-Jauzi menjelaskan bahawa Iblis menghasut politikus agar bebas berbuat apa sahaja. Bermuka-muka, pragmatis, penipu, khianat dan fitnah sudah sebati bagi mereka.
 
Kononnya itulah jalan yang ada demi mengekalkan stabiliti taklukan bawahannya. Bukankah Allah memberi kepercayaan kepada politikus? Maka sudah pasti politikus layak berbuat apa sahaja. Itulah kepercayaan mereka.
 
Kononnya kompeten
 
"Iblis memperdaya majoriti politikus bahawa kononnya mereka telah melaksanakan segala kewajiban" - Imam Abu Faroj al-Jauzi.
 
Dari sikap merasa selesa tersebut, mereka akan melenting apabila dikritik. Pada masa yang sama mereka sentiasa merasa terbaik, walaupun ia tidak diungkap dengan kata-kata. Namun sikap politikus yang sensitif dengan kritikan menterjemahkan masalah jiwa yang mereka alami. Jadilah mereka sebagai penguasa berkuku besi.
 
Pemeras cukai yang tegar
 
Politikus yang sedang berkuasa sesuka hati mengenakan cukai kepada rakyat. Mereka menganggap kononnya rakyat sedang bermewah menikmati kesenangan. Lantas datang kedengkian terhadap rakyat mereka sendiri.
 
Sedangkan yang membazirnya adalah mereka. Lalu dari mudahnya mereka memeras ugut rakyat, berlakulah penyelewengan harta negara sesama kroni-kroni mereka. Imam Abu Faroj al-Jauzi menegaskan:
 
"Iblis menghasut mereka agar merasa bagus dengan tindakan merampas harta, memerintahkan rakyat untuk mengeluarkan cukai yang mencekik. Lantas mereka mengangkat golongan pengkhianat. Sedangkan seharusnya seorang penguasa perlu mengambil tindakan secara nyata ke atas sesiapa pun yang berkhianat"
 
Beri bantuan setelah menghina
 
Politikus cukup suka mengamalkan birokrasi sebagai kaedah menyukarkan bantuan dari sampai kepada mereka yang berhak. Bahkan politikus menganggap bantuan sebagai umpan yang perlu bijak disua hanya setelah tiba waktunya. Dalam erti kata yang lain, mereka suka orang-orang bawahan mereka susah. Apabila susah, maka semakin bertambahlah kebergantungan orang terhadap mereka.
 
Sudah menjadi kebiasaan situasi orang bawahan yang berhak terpaksa kelihatan mengemis semata-mata mahu mendapatkan bantuan dari pemimpin mereka. Imam Abu Faroj al-Jauzi berkata:
 
"Iblis menjadikan mereka beranggapan diri mereka baik menghulurkan bantuan setelah marah-marah. Iblis menghasut bahawa sedekah satu dirham dapat menghapuskan sepuluh kemarahan"
 
Aktiviti membilas dosa
 
Imam Abu Faroj al-Jauzi mendedahkan:
 
"Iblis menjadikan mereka memandang bagus segala dosa yang terus dilakukan dengan mengunjungi orang soleh dan meminta doa mereka. Pada sangkaan mereka kononnya aktiviti tersebut dapat meringankan dosa yang telah dilakukan"
 
Kerap kali kita melihat politikus sial suka menempel dengan orang-orang yang kelihatan soleh. Apabila menjelang musim pemilihan atau terpalit dengan skandal, maka aktiviti tersebut semakin digiatkan. Di samping untuk 'mencuci dosa', mereka cuba menghantar mesej bahawa orang soleh mendukung mereka.
 
Selesa bersubahat
 
Pengampu-pengampu politikus sedia melakukan apa sahaja, ikut apa sahaja walaupun dalam perkara dosa. Pada logik mereka kononnya dosa tersebut semata-mata ditanggung oleh ketua mereka yang mengeluarkan arahan. Sementara mereka tidak berdosa kononnya kerana mereka hanya menjadi alat. Selalu kedengaran jawapan 'kami hanya menuruti arahan' dari golongan pengampu seperti ini. Iblis membisikkan di hati mereka bahawa:
 
"Dosa akan ditanggung oleh orang atasanmu, bukan di atas bahumu"
 
Politik adalah amanah
 
Kita perlu faham bahawa politik merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ia bukanlah karier cari makan mahupun perniagaan yang boleh didagangkan.
 
Peringatan dari Imam Abu Faroj al-Jauzi yang juga merupakan cucu kepada Saidina Abu Bakar amat relevan untuk dijadikan sempadan hingga ke hari ini. Semoga kita tidak mengikuti idealisme Iblis dalam berpolitik.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
15 Februari 2017 - HARAKAHDAILY 16/2/2018

ALLAH S.W.T melakarkan di dalam al-Quran pelbagai kisah, prinsip dan hukum yang menjadi dasar kepada cetusan idea penubuhan Kerajaan Teknokrat cetusan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Konsep Kerajaan Teknokrat dibincangkan di dalam kitab kitab para ulamak antaranya Imam Mawardi di dalam Ahkam Sultaniah, yang menjelaskan tentang pembahagian bidang kuasa mengikut kepakaran masyarakat.

Tulisan ringkas ini hanya ingin mengaitkan konsep ini dengan kisah Raja Iskandar Zulqarnain yang memanfaatkan tenaga kepakaran masyarakat masyarakat setempat di dalam mendirikan tembok keselamatan negara.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-Kahfi:

Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” 

Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. 

‘Bawalah kepadaku ketul-ketul besi' sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: ‘Tiuplah dengan alat-alat kamu’ sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: ‘Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.’”

(a) Kepakaran yang Allah berikan kepada Raja Iskandar Zulqarnain ialah penggunaan bahan kimia. Kepakaran ini dimanfaatkan untuk membantu membina keselamatan negara. 

Beliau juga menolak sebarang pembayaran cukai yang ditawarkan kepadanya, dengan menggantikannya dengan tenaga kerja yang besar.

(b) Berdasarkan ayat ini juga, masalah cukai boleh diselesaikan dengan menyuburkan kepakaran dan tenaga masyarakat setempat.

Kepakaran orang orang tertentu dalam perniagaan seharusnya digunakan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara, bahkan mereka tidak sepatutnya menjadi bebanan negara.

(c) Sebagai seorang pimpinan, seharusnya memikirkan penyelesaian masalah rakyat dengan solusi yang tuntas.

Bukannya menyelesaikan ketirisan kewangan negara yang dilakukan oleh orang orang tertentu, dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukaian. - HARAKAHDAILY 15/2/2018