SEJARAH Bani Israel dimulakan dengan kisah anak-anak Nabi Ya'qub yang cuba membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf. Sejarah tersebut sebagai peringatan betapa Yahudi Bani Israel amat mahir dalam pembikinan plot fitnah dan sabotaj. Bahkan ia juga merupakan kisah yang mengajar kita akan kaedah bagaimana menangani fitnah.

Dengki

Punca utama budaya fitnah adalah kerana dengki yang meluap. Iri hati dengan nikmat yang ada pada orang lain. Yang lebih dahsyat, dengki dengan orang yang mempunyai hubungan dekat. Dalam kisah Nabi Yusuf, abang-abang Nabi Yusuf dengki terhadap Nabi Yusuf kerana baginda lebih disayangi oleh bapa mereka, Nabi Ya'qub.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat." (Yusuf: 8)

Mereka sekeluarga. Sesama Islam. Tetapi berpenyakit iri hati yang kronik.

Menganggap Semuanya Persaingan

Hubungan darah yang sepatutnya terjalin perkongsian kasih sayang, tiba-tiba dijadikan sebagai persaingan merebut perhatian hingga meragut keharmonian. Kita boleh memilih samada mahu saling kuat menguat atau sengaja mencipta persaingan atas rasa dengki.

Bunuh Nyawa Atau Bunuh Karektor

Abang-abang Nabi Yusuf mengemukakan dua pilihan plan komplot ke atas Nabi Yusuf. Sama ada bunuh nyawa atau bunuh karektor. Mereka memilih bunuh karektor Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi supaya identiti Nabi Yusuf lenyap.

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya bapa kalian kembali memberi perhatian kepada kalian." (Yusuf: 9)

Bilas Dosa Sabotaj Dengan Ibadat

Pelaku komplot jahat kebiasaannya meredakan rasa bersalah mereka dengan amal ibadat. Kononnya susulan ibadat mereka dapat menampung dosa kejahatan mereka yang suka memfitnah dan tikam belakang.

"Dan sesudah itu (membuang Nabi Yusuf) hendaklah kamu menjadi orang-orang soleh." (Yusuf: 9)

Tuduhan Kononnya Orang Lain Sangka Buruk

Bagi membentengi dakwaan jahat serta memaksa orang lain agar bersetuju dengan fitnah mereka, pelaku fitnah akan melemparkan tuduhan kononnya sesiapa yang tidak percaya pembohongan mereka adalah di kalangan orang yang suka bersangka buruk terhadap mereka.

Abang-abang Nabi Yusuf mengulang-ulang dakwaan bahawa bapa mereka, Nabi Ya'qub suka bersangka buruk terhadap mereka. Sedangkan curiga itu datang dari diri mereka sendiri.

"Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu sukar mempercayai kami?." (Yusuf: 11)

"Ayah sama sekali tidak akan percaya dengan kami sekalipun kami adalah orang-orang yang benar." (Yusuf: 17)

Mahir Berlakon

Pemfitnah dan pengkhianat tegar mesti mempunyai bakat berlakon yang luar biasa. Kemahiran ini penting demi mempersembahkan perancangan mereka dengan jayanya. Mereka boleh bermuka-muka dan tidak kelu lidah ketika menipu.

"Kemudian mereka datang kepada bapa mereka pada waktu malam dalam keadaan menangis." (Yusuf: 16)

Bayangkan mereka yang mengkhianati Nabi Yusuf, mereka pula yang menangis kesedihan dan kekesalan. Mereka kelihatan cukup baik lagi penyayang. Hakikatnya berhati bangsat.

Reka Bukti Palsu

Dakwaan mereka bukan dengan tangan kosong. Bahkan beserta bukti! Tetapi bukti palsu.

"Mereka datang membawa baju (Yusuf) dengan berlumuran darah palsu." (Yusuf: 18)

Dalam plot tersebut, abang-abang Nabi Yusuf telah memangsakan serigala sebagai tertuduh. Serta mengorbankan kambing yang tiada kaitan dengan konflik mereka untuk diambil darahnya dijadikan bukti palsu.

Dalam plot fitnah, pasti akan ada yang menjadi mangsa walaupun pada asalnya tiada kaitan. Kambing yang dikambinghitamkan.

Jadilah Seperti Nabi Ya'qub

Seorang Nabi mempunyai sifat bijaksana. Mampu rasional dalam menilai dan bertindak. Antara sikap Nabi Ya'qub adalah:

• Berhati-hati dengan sikap yang mencurigakan. Berwaspada adalah hikmah.

• Mampu membezakan antara bukti benar dan bukti palsu. Nabi Ya'qub menilai bahawa bukti baju Nabi Yusuf itu palsu kerana tidak logik ia diterkam serigala tetapi tidak koyak. Zaman sekarang masing-masing mendakwa ada bukti. Kita perlu ingat, ada bukti benar dan ada bukti palsu.

• Mengambil sikap sabar, yakin satu hari kelak Allah pasti menyingkap kebenaran.

"Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Yusuf: 17)

Boleh jadi orang yang mewarisi sikap dan kemahiran abang-abang Nabi Yusuf dalam melakukan onar, mempunyai pertalian darah dengan Yahudi al-Maghdub.

Semoga Allah pelihara kita semua.

Abdul Mu'izz Muhammad
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
2 April 2017 | 5 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 2/4/2017

PENGERUSI PKR Sarawak, Baru Bian menegaskan bahawa mereka tetap akan menentang RUU355 walaupun sekiranya Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada akta ini.

Dia tak faham ke, RUU355 ini hanya beri keharusan kepada negeri untuk pertingkatkan jumlah hukuman, bukan mewajibkan negeri ikut semua hukuman maksima. Tak timbul pun soal berkecuali atau tidak. Kalau Sabah Sarawak tak mahu, mereka boleh kekalkan enakmen sedia walaupun RUU355 diluluskan. Bukan setakat Sarawak, kalau Pulau Pinang sendiri tak mahu pinda enakmen mereka, tak jadi masalah dari sudut undang-undang!

Antara perkara menarik yang dinyatakan beliau, penentangan dibuat kerana berpegang kepada perkara 8 Perlembagaan Persekutan yang menyebut:

1.Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

2.Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang

Beliau menyatakan RUU355 adalah satu bentuk diskriminasi dan pelanggaran hak kesamarataan di sisi undang-undang. Justeru ia bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.

Bagaimana beliau sampai boleh tafsir sedemikian? Tidakkah beliau baca klausa yang jelas menyebut "Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini"? Klausa ini telah menafikan semua asas penentangan beliau.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan ini. Justeru segala urusan undang-undang yang melibatkan Islam adalah dalam terma "yang dibenarkan dengan nyata oleh undang-undang". Maka ia menjadi hak orang Islam yang mesti dihormati semua rakyat Malaysia, selagi tidak bercanggah dengan undang-undang lain.

Senarai kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa agama merupakan bidang kuasa negeri-negeri. Walau bagaimanapun dalam menjalankan prosedur kehakiman syariah, mereka perlukan punca kuasa dari Perlembagaan. Maka akta 355 adalah antara punca kuasa mahkamah syariah negeri-negeri. Lalu apa benda yang bercanggah dengan perlembagaan?

RUU355 juga dibawa mengikut prosedur undang-undang yang sepatutnya. Mahkamah telah memutuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh peguam yang mewakili Presiden PAS, Datuk Takiyudin Hasan dalam isu saman RUU355 oleh 4 individu sebelum ini, bahawa usul persendirian RUU355 tidak bercanggah dengan undang-undang. Saman tersebut telah ditolak oleh mahkamah dan RUU355 dibenarkan untuk dibawa ke parlimen.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan masih banyak cacat-celanya sebagaimana adat semua makhluk, tapi sangat tidak disangka, ada juga yang berhelah dalam menafsirkan perlembagaan. Di ambil sebahagian dan dibuang sebahagian. Sama macam perangai Bani Israel dalam menafsirkan al-Quran. – HARAKAHDAILY 29/3/2017

MUNGKIN ramai pemerhati politik di luar sana terkejut dengan kekalahan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz di kerusi Timbalan Yang Di Pertua Pengkalan Chepa. Tetapi bagi ahli PAS yang menerima tarbiah, ia merupakan perkara biasa.

Sebagaimana yang selalu dinyatakan, PAS bukan sekadar sebuah parti. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengamalkan masih mengekalkan segala nilai-nilai utama sebuah gerakan Islam. Pemilihan hanyalah satu proses demokrasi sebagai memenuhi prosedur pertubuhan berdaftar di Malaysia.

PAS yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam seringkali mengingatkan para ahli agar tidak mengejar jawatan. Kisah Abu Dzar yang meminta jawatan seringkali disebut oleh para murabbi. Sabda Rasulullah menegur Abu Dzar:

يَا أَبَا ذَرَ إنّكَ ضَعِيفٌ وَإنّهَا أَمَانَةٌ، وَإنّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إلاّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقّهَا وَأَدّى الّذِي عَلَيْهِ فِيهَا.

Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya kamu lemah. Dan ia adalah suatu amanah. Pada hari kiamat nanti adalah kesedihan dan penyesalan, melainkan buat mereka yang mengambilnya dengan menunaikan hak dan tanggungjawab yang sepatutnya. [HR Muslim]

Lantaran hadis ini, menjadi budaya para ahli PAS apabila dilantik sesuatu jawatan, orang tidak mengucapkan tahniah sebaliknya mengucapkan takziah. Astaghfirullah kalau menang, dan Alhamdulillah jika kalah.

Jawatan hanyalah medium untuk berkhidmat di jalan Allah. Majikan sebenar adalah Dia Yang Maha Esa. Memandangkan jalan ini amat berat untuk dipikul dengan kudrat manusia biasa, maka pertolonganNya sentiasa diharap. Justeru mengejar jawatan bukanlah caranya sebagaimana Sabda Baginda SAW:

يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ , فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا

Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin . Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu .Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu. [HR Bukhari & Muslim]

PAS tidak menawarkan sebarang imbuhan kepada penjawat-penjawat parti. Apa yang ada hanyalah imbuhan daripada tuhan, berupa pahala dan maqam di syurga bagi yang melaksanakan secara ikhlas dan menepati syariat.

Pemilihan PAS tidak pernah panas. Berlaku secara harmoni dan kadang-kadang langsung hambar. Hambar kerana tiada pertandingan dan seringkali calon menarik diri. Sabda Rasulullah SAW:

إنا لا نولي هذا من سأله ولا من حرص عليه

Sesungguhnya kami tidak melantik jawatan ini sesiapa yang memintanya atau sesiapa yang bercita-cita mendapatkannya. [HR Bukhari & Muslim]

Tiada pencaturan. Tidak timbul soal politik wang, lobi melobi dan kempen mengempen. Semua itu hanya berlaku dalam amalan demokrasi. Sebagai gerakan Islam, ia suci dari semua itu. Ini kerana walau siapa pun yang naik, segala keputusan dan gerakerja dilakukan secara jamaie. Tiada istilah keputusan dan tindakan peribadi atas nama jamaah.

Budaya PAS adalah budaya warisan turun temurun Islam. PAS meneladani sikap para sahabat dalam pemilihan. Saidina Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah ketika menjadi calon khalifah, mereka bukan sahaja tidak kempen untuk diri sendiri, bahkan mereka mengempen untuk pesaingnya pula. Saidina Abu Bakar sendiri mencalon Umar dan Abu Ubaidah. Saidina Umar pula menyebutkan kelayakan-kelayakan Abu Bakar di hadapan khalayak sehingga akhirnya beliau terpilih.

Mungkin semua pernah ingat, ketika Tuan Guru Abdul Hadi menarik diri setelah dicalonkan sebagai Presiden PAS yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor. Walaupun beliau pada waktu itu lebih terkenal dan dilihat oleh ahli sebagai pemimpin masa depan, tetapi beliau secara spontan memberi alasan: "Macam mana saya bertanding Presiden dengan Ustaz Fadzil. Dalam soal solat sunat pun saya dah tak boleh lawan dia."

Yang kalah tidak akan merajuk atau bawa diri. Mereka akan jadi pembantu yang setia kepada ketua. Lihat bagaimana Umar di sisi Abu Bakar, dan Ali di sisi Uthman, dan Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di sisi Ustaz Fadzil walaupun mereka tidak pernah bersaing. Kesemuanya menjadi orang paling kanan dalam pentadbiran bekas pesaingnya dalam pemilihan jawatan.

Mungkin sejak akhir 80-an sehingga muktamar bersejarah 2015, lantaran inflirtasi pihak luar yang berkepentingan, PAS diresapi budaya baru yang tidak sihat bagi gerakan Islam. Akibat sikap orang PAS yang tidak mahukan jawatan berlaku di berbagai peringkat, kumpulan ini mudah membina nama dengan hanya mencalonkan diri. Orang PAS, kalau ada yang nak jawatan , memang terus diberi laluan. Akhirnya dengan mudah kumpulan ini berjaya ke tampuk pimpinan pusat. Mereka berjaya melaksanakan strategi mengikut kertas kerja yang ditulis oleh pimpinan pihak ini dengan mudah pada awalnya.

Kepincangan tentang halatuju dan prinsip perjuangan PAS mula berlaku dalam tempoh itu. Ahli mula menyedari sikap pemimpin waktu itu yang membawa agenda lain dari yang selama ini diperjuangkan. Ada ahli yang terpengaruh. Mujurlah kesan tarbiah Islam masih kuat, ahli sendiri yang membuat keputusan untuk menurunkan mereka dari tampuk kepimpinan. Malangnya mereka tidak seperti orang PAS lain. Mereka tidak boleh menerima kekalahan lalu keluar menubuhkan wadah baru. Khabar mereka, wadah baru itu semua pencalonan akan menang tiada yang kalah. Trauma betul mereka dengan terma kalah.

Kini, boleh dikatakan budaya itu semakin berkurangan pasca muktamar 2015. Kalau adapun hanya saki baki kumpulan mereka yang berstatus harumanis dan seumpamanya. Jemaah ini sentiasa dipelihara oleh Allah. Yang ada matlamat peribadi pasti akan tersingkir.

Apa yang menarik pada pemilihan kali ini, ia berlaku di saat pilihanraya umum akan berlaku bila-bila masa sahaja. Parti-parti lain tidak berani untuk buat pemilihan dalam tempoh ini. Umno dan DAP sudah menangguhkan pemilihan mereka sehingga pilihanraya. PKR bukan setakat pemilihan, bahkan langsung menangguhkan konvensyen tahunannya. PAN? Macam mana nak buat pemilihan, perlembagaan pun tak ada!

Semua parti lain tidak berani buat pemilihan kerana takut berlaku perkara tidak diingini sepanjang proses dan selepas proses. Ini kerana semua melihat bakal ketua di setiap peringkat adalah bakal calon PRU nanti. Setiap mereka ada pengikut tersendiri. Jika ditakdirkan seorang penyandang kalah pemilihan, dia dan pengikutnya akan boikot yang menang. Yang menang terpaksa mulakan gerak kerja baru. Sudah tentu keadaan ini akan menyukarkan parti.

Perkongsian daripada Dr Azman Ibrahim, TYDP PAS Setiu mungkin boleh menggambarkan keadaan ini. Seorang doktor di Manir sanggup meminjam ratusan ribu dengan Ah Long bagi menghadapi pemilihan Umno yang lepas. Rancang beliau, jika berjaya menang, cerah masa depan untuk menjadi calon dan jika menang, bolehlah membayar hutang Ah Long itu. Tetapi beliau ditakdir kalah, menyebabkan beliau terpaksa lari dari kampung meninggalkan rumah dan kliniknya kerana diburu Ah Long.

Namun PAS tetap menjalankan pemilihan dengan tenang dan harmoni, lebih harmoni dari beberapa tahun sebelum ini. Tiada isu-isu panas. Tiada kedengaran debat, salah laku dalaman, provokasi, pendedahan senarai pencalonan, kempen tidak sihat dan sebagainya. Bagi PAS, tiada apapun dalam pemilihan kali ini. Yang menang atau kalah tiada apa-apa kaitan dengan PRU. Jika tidak kerana tuntutan ROS, mungkin sekali jawatan parti tidak akan bertukar melainkan jika penyandang sakit atau mati sahaja! – HARAKAHDAILY 27/3/2017

MUNGKIN telahan ini agak kelakar bagi sebilangan pihak memandangkan kerusi yang ditandingi DAP kini sekitar 70 kerusi sahaja. Sedangkan majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah 112. Tetapi jika dilihat melalui data-data yang ada, andaian ini sangat munasabah.

Jika kita melihat kerusi-kerusi parlimen yang dimenangi DAP sejak 1995, kita akan mendapati peningkatan mendadak bermula tahun 2008. Rajah di bawah menunjukkan pola pengaruh DAP yang meningkat dari satu PRU ke satu PRU.

Tahun 1995, mereka cuma memiliki 9 kerusi. Tahun 1999 walaupun bersama gabungan parti pembangkang dalam Barisan Alternatif, mereka cuma berjaya menambah satu kerusi menjadi 10 walaupun parti dominan Melayu lain seperti PAS dan PKR mengalami peningkatan mendadak.

Lim Kit Siang pernah menyuarakan kebimbangan selepas melihat peningkatan drastik kesedaran politik di kalangan orang Melayu menerusi blognya pada masa itu. Tahun 2003, DAP mengambil keputusan untuk keluar dari BA sebagai protes disebabkan gagal memaksa PAS membuang Islam dari dasarnya dan negara Islam sebagai matlamat perjuangannya.

Faktor perpecahan pembangkang disamping faktor-faktor lain telah menyebabkan BN kembali menang besar pada 2004 menjadikan ia kemenangan terbesar sejak 1978. Kemerosotan undi pembangkang juga besar apabila PAS hanya menang 7 kerusi berbanding 27 pada 1999. PKR pula hanya tinggal satu dari lima yang ada. Ironinya, DAP konsisten meningkatkan jumlah kerusi di parlimen, dengan 2 lagi penambahan menjadikan 12.

Tahun 2008 merupakan kekalahan besar buat BN sepanjang sejarah PRU lepas apabila dinafikan majoriti 2/3 di parlimen buat kali pertama. Berlaku peningkatan mendadak lebih 150% kepada kerusi DAP menjadikan ia 28. Tahun ini juga buat pertama kalinya DAP Berjaya mengambil alih Pulau Pinang dari parti Gerakan. Selain itu PAS berjaya menambah dari 7 kerusi parlimen kepada 23 kerusi serta berpeluang memerintah Kedah dan Perak. PKR pula dianggap paling berjaya, daripada 1 kerusi parlimen kepada 31 serta diberikan mandat mengepalai kerajaan Selangor.

Tahun 2013, prestasi BN terus merudum walaupun bertukar PM. DAP pula terus melebarkan sayap di parlimen apabila menyapu 10 lagi kerusi tambahan menjadi 38. Sedangkan PAS dan PKR mengalami kemerosotan undi berbanding 2008. PAS hilang dua kerusi parlimen menjadi 21, sebelum hilang 7 lagi kerusi apabila 6 ahli parlimennya menyertai PAN dan 1 menyertai PKR. PKR juga kehilangan 2 kerusi sebelum 1 lagi kerusi hilang selepas memecat MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Perkara ini menjadikan DAP parti yang terkuat dalam Pakatan Rakyat kerana memiliki jumlah kerusi terbesar dalam Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu mereka kini begitu berani dan lantang menunjukkan wajah yang sebenar. Jika di ambang PRU12 mereka hanya bercakap soal menawan Pulau Pinang, namun melihat potensi yang ada selepas itu, mereka sudah bercakap soal menawan Putrajaya.

Mereka juga semakin berani mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan hak-hak bumiputera, selain kerakusan yang didakwa berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Melihat fenomena peningkatan ketara dan konsisten kerusi DAP walaupun dalam latar belakang yang berbeza, diunjurkan bahawa DAP mampu menguasai sehingga 50 kerusi pada PRU14 nanti. Kerana itu kini mereka begitu pro-aktif mengimport pemimpin-pemimpin Melayu menyertai partinya supaya dapat menembusi kerusi-kerusi yang memilki nisbah Melayu yang lebih besar dari sebelum ini.

Pada waktu yang sama, mereka terus menggunakan strategi pecah dan perintah terhadap parti-parti lain. PAS telah berjaya dipecahkan kepada serpihan PAN. PKR pula secara konsisten mengalami perpecahan demi perpecahan sejak ditubuhkan. Umno kini memiliki satu lagi serpihan baru selepas KITA dan Ikatan iaitu PPBM. Dengan perpecahan parti dominasi Melayu yang berterusan ini, DAP dijangka kekal sebagai parti pembangkang terkuat.

Baki persoalan yang perlu dijawab ialah, walaupun DAP mampu menawan hingga 50 kerusi sekalipun, bagaimanakah mereka mampu untuk menawan Putrajaya yang memerlukan minimum 112 kerusi? Jawapannya sangatlah mudah. Tengoklah BN sendiri. Jika bergantung pada 1 parti sahaja, memang mustahil mereka dapat memerintah. Umno hanya memiliki 89 kerusi. Tetapi dengan bantuan parti-parti komponen lain, mereka memiliki 133 kerusi.

Ini bermakna DAP boleh merealisasikan cita-cita memerintah Malaysia dengan bantuan parti lain dalam Pakatan Harapan. Sedikit dari PKR, sedikit dari PAN, sedikit dari PPBM sudah cukup untuk mereka menyaingi BN. Jika PAS turut bersama, hampir pasti Putrajaya bakal ditawan pembangkang.

Cuma yang menjadi isu adalah, siapa yang bakal menerajui kerajaan baru itu? Sudah tentu parti yang memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan, seperti Umno dalam BN sekarang. Maka jelaslah sebagaimana Umno mengetuai BN, Dap mempunyai peluang yang baik mengetuai Pakatan Pembangkang menerajui pentadbiran negara jika majoriti rakyat memilih mereka di PRU14 nanti. – HARAKAHDAILY 24/3/2017

KENAPA ada sebahagian orang yang masih menganggap agenda RUU355 tidak begitu penting jika dibandingkan dengan agenda memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seumpamanya?
Kerana mereka berfikir sekerat jalan. Mereka hanya fikir tentang ‘masalah’, tapi mereka tak mampu fikir tentang ‘solusi’; cara menyelesaikan masalah.

Apabila sebut perangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, cepat sahaja mereka setuju penuh semangat. Ini kerana ia terus merujuk kepada ‘masalah’ iaitu RASUAH, PENYELEWENGAN, SALAH GUNA KUASA. Tetapi bila disebut RUU355, perkataan ini agak kompleks. Memerlukan pengamatan dan pemerhatian.

Hakikatnya, RUU355 adalah ‘solusi’ kepada masalah JENAYAH, GEJALA SOSIAL dan KEMUNDURAN EKONOMI. Sedangkan slogan perangi rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa itu hanya sebuah pernyataan ‘masalah’ dan retorik kosong, tanpa ‘solusi’.

Rasanya kalau kempen RUU355 dibawa melalui naratif memerangi ‘masalah’ JENAYAH, KEMUNDURAN EKONOMI, GEJALA SOSIAL tentu sekali orang lebih mudah menerima. Semua pihak akui jenayah di Malaysia bahkan di dunia semakin menjadi-jadi. Semua setuju bahawa alkohol menjadi faktor besar jenayah, gejala sosial, kemalangan dan kemunduran. Ramai berpendapat negara yang tidak aman dari jenayah dan kemalangan, boleh menjejaskan kemasukan pelabur asing ke dalam negara, lalu menyumbang kepada kemunduran ekonomi.

Jadi, RUU355 adalah ‘solusi’ kepada semua ‘masalah’ di atas. Kurangkan bercakap tentang teknikal pindaan, tentang teknik perlaksanaan hukuman dan prosedur-prosedur undang-undang yang kompleks. Susah nak menerobos ke minda awam yang tak tahu hujung pangkal.

Orang yang membawa slogan memerangi masalah rasuah, ekonomi, penyelewengan bagai itu sekadar menceritakan masalah, tetapi tidak memiliki solusi tuntas untuk menyelesaikan masalah. Mereka hanya mencanangkan slogan dan retorik, tetapi apabila diminta solusi yang praktikal, mereka diam. Hanya berjanji akan berintegriti, akan beramanah, akan berkaliber dan sebagainya. Tetapi pelan strategik atau kaedah untuk membentuk budaya kerja yang amanah, integriti dan berkaliber tidak ada.

Malah, mereka menunjukkan perkara sebaliknya. Isu air di Selangor, isu banglo Lim Guan Eng, penambakan laut di Penang, campur tangan fatwa, menentang RUU355 yang diputuskan mahkamah tidak bercanggah dengan perlembagaan. Semua isu ini tidak menggambarkan integriti, amanah dan profesionaliti.

Tapi orang kita mudah percaya dengan ‘retorik’ indah melebihi ‘solusi’ yang tuntas. Lebih suka bersorak bertakbir apabila dengar ‘masalah’ yang dikemukakan. Apabila dengar ‘solusi’, lambat faham dan malas berfikir. Mentaliti sebegini yang mudah dimanipulasi media tak berintegriti.

Saya tidak sesekali berpendapat isu rasuah dan salah guna kuasa itu tidak penting, tetapi tiada guna bercakap tanpa mengemukakan solusi. Jangan jadikan semua isu itu hanya bahan politik untuk meraih kuasa, tetapi apabila berjaya meraihnya, berperangai dua kali lima sahaja atau lebih teruk.

Saya teringat retorik-retorik perjuangan Aun San Suu Kyi. Sebelum menang, berbagai slogan dan janji ditabur. Kononnya nak mengembalikan demokrasi negara. Tetapi selepas menang, bersikap double standard kepada wartawan beragama Islam. Konon nak selesaikan isu Rohingya. Tapi selepas menang, mereput membisu tanpa mempedulikan Rohingya lagi.

Malangnya seperti Myanmar dan Malaysia, negara dunia ketiga memang mudah termakan politik jenis begini. Politik jenis ini tidak akan memajukan negara. Berpolitiklah dengan idea dan solusi. Barulah setanding negara-negara maju. – HARAKAHDAILY 8/3/2017

FIRMAN Allah:

ولقد أضل منكم جبلا كثيرا أفلم تكونوا تعقلون

Maksudnya: Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu, (setelah mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf. (Surah Yaasin: ayat 62)

Syaitan bekerja keras siang dan malam memalingkan manusia dari jalan Allah dalam menegakkan Islam dan kemuncak harapan makhluk yang penuh tipu helah.

Ia akan terus berusaha untuk mencampakkan manusia ke lembah kemaksiatan walaupun gagal mengeluarkan manusia dari agama Islam dengan pelbagai hasutan demi hasutan dari bisikan penuh keindahan dan kebaikan disebabkan ramai yang gugur hingga tidak dapat dibilang dengan jari jemari.

Bermula dari seorang individu, masyarakat hingga kepada pemerintah, kejayaan yang penuh bergaya cuba direncanakan iblis.

Siapa yang tidak mengenali Abu Jahal, Abu Lahab, penduduk Anthokiah, Firaun, Raja Namrud dan ramai lagi yang termakan hasutan syaitan.

Strategi yang memperindahkan sesuatu perbuatan sebenarnya bertentangan dengan syariat Islam sehingga nampak bagus di mata dan dapat diterima oleh manusia.

Firman Allah:

فلولا إذ جآءهم بأسناتضرعوا ولكن قست قلوبهم وزين لهم الشيطان ما كانوا يعملون

Maksudnya: Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka,bahkan hati mereka telah menjadi  keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka lakukan. (Surah Al-An'am: 43)

Oleh itu, berilah sokongan yang tidak berbelah bagi RUU 355 yang di bawa oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi kebaikan umat Islam, memperkasakan mahkamah syariah agar institusi ini dapat memberi suatu impak yang positif kepada umat Islam.

Kepada pihak yang keliru dan menentang kebaikan ini cukuplah kerana tidak tanduk dan perbuatan kalian akan menjadi saksi dihadapan Allah SWT  di hari pembalasan.

Bagi yang menyokong dan mengajak orang ramai untuk memberi sokongan kepada RUU 355 yakinlah dan percaya Allah akan memberi ganjaran kepada kita.

Sabda Rasulullah SAW:

 الدال على خير كفاعله

Orang yang menyuruh membuat kebaikan pahalanya seperti orang yang melakukannya. (Riwayat Bukhari)

Disediakan oleh:

Ustaz Hasri Hamdan
AJK Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
6 Mac 2017 / 7 Jamadil Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 6/3/2017

SEJAK zaman Nabi Muhammad SAW, muslimat ditempatkan di posisi yang sesuai dengan fitrah mereka. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan lemah namun fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberi sumbangan yang amat besar kepada perjuangan, gelombang dan kebangkitan Islam.

Muslimat jelas mempunyai peranan tersendiri dalam membina kekuatan ummah dalam mendorong perjuangan ke arah kejayaan. Oleh itu, muslimat perlu kreatif dalam pengurusan organisasi dan bersedia mempelajari teori-teori pentadbiran agar dapat meningkatkan kualiti kepimpinan. Malahan dalam persiapan menghadapi pilihan raya, muslimat perlu mempersiapkan diri berkemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa.

PAS Sarawak dengan kerjasama PAS Pusat kerap mengadakan beberapa sesi kursus ke arah menguasai ilmu dan selok-belok pilihan raya. Sesungguhnya dengan kursus ini hanya boleh dicapai melalui kerja kuat yang berterusan dan menguasai pengurusannya.

Sering kita dengar seruan jihad yakni "perjuangan mempertahankan kemurnian Islam di peringkat diri, masyarakat dan negara". Dalam menghadapi situasi hari ini, muslimat kena cenderung kepada jihad di bidang keilmuan dan kebajikan masyarakat. Muslimat mesti bersedia menyebarkan ilmu di samping menitikberatkan kebajikan masyarakat yang sedang mengalami kelompangan dalam bidang-bidang tertentu.

Insya Allah, PAS Sarawak tidak akan kekeringan dengan muslimat yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang membanggakan dalam segenap bidang keilmuan.

Dalam memainkan peranan menyebarkan ilmu kepada masyarakat, haruslah difahami bahawa menyampaikan ilmu itu juga bermatlamat menegak hukum-hukum Allah SWT dan juga bertujuan membetulkan akidah dan akhlak dari penyelewengan yang berlaku. Muslimat kena mengamalkan konsep "tawazun" yakni keseimbangan dalam rutin harian mereka. Perlu ada jadual untuk beriadah dan istirehat bersama suami dan anak-anak bahkan menziarahi ahli keluarga, jiran dan saudara-mara.

Sebenarnya, ketaatan kepada Islam akan menjadikan muslimat ibu yang baik, mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Konsisten dalam mendisiplinkan anak-anak dan berdisiplin dalam mengamalkan jadual harian mereka. Tidak cukup dengan itu, muslimat haruslah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak mereka kepada setiap aktiviti jemaah.

Janganlah membuat alasan bahawa rumahtangga dan anak-anak menghalang mereka daripada melibatkan diri dengan perjuangan Islam dan mendekati masyarakat. Sesungguhnya, dalam mengharungi kehidupan berjemaah, tidak kira siapa, mesti mempunyai keimanan yang kuat terpancar dari hati suci, keikhlasan yang padu terbit dari sanubari yang bersih, semangat yang tinggi serta kesediaan untuk bekerja dan berkorban dan amal yang digerakkan oleh keazaman yang teguh.

Dengan memiliki ciri-ciri yang sedemikian, insya Allah, muslimat akan terus ke hadapan, bergerak di tengah-tengah masyarakat sebagai satu wadah yang mewakili perjuangan untuk mengembalikan martabat umat yang terbaik dan berperanan sebagai pendidik dan pemimpin.

CIKGU SHOKRI AHMAD FAUZI
5 Mac 2017, Ahad
6 Jamadil Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 5/3/2017

REALITI kita sedang hidup di zaman bencana lagi keliru. Kita cukup terhutang budi dengan Huzaifah al-Yaman, sahabat yang banyak menyoal Nabi SAW bagi pihak kita tentang simptom-simptom bencana zaman kekeliruan.

Berikut adalah latar pemikiran Huzaifah al-Yaman yang banyak mempengaruhi tindakannya:

Worst Case Scenario

Melalui pengakuan Huzaifah, beliau tidak memilih untuk berfikir di zon selesa. Karektornya sangat berwaspada dengan bahaya yang tidak disedari oleh orang ramai.

"Ramai yang bertanya Rasulullah tentang perkara-perkara baik, sedangkan aku bertanya Rasullah tentang perkara-perkara buruk. Khuatir keburukan tersebut menimpaku." - HR Bukhari & Muslim.

Realistik & Bersedia Dengan Cabaran Masa Hadapan

Huzaifah bukan seorang yang berteori. Bahkan beliau terjun ke medan. Hasilnya menyebabkan beliau mampu berfikir melangkaui zaman. Maka tidak peliklah jika kita membelek hadith-hadith tentang fitnah akhir zaman, nama Huzaifah sebagai perawi tersangat popular.

Bahkan kita dapati Huzaifah tidak segan mengemukakan soalan demi soalan kepada Nabi SAW. Manfaat inisiatif beliau dinikmati oleh kita semua hari ini. Menemukan kita solusi apabila terjebak ke zaman fitnah.

Umar pernah bertanya: "Siapakah di kalangan kalian yang tahu hadith Nabi tentang zaman fitnah?"

Huzaifah menjawab: "Saya"

Umar mengiktiraf: "Sungguh, engkau dalam topik ini di kalangan orang yang berani" - HR Bukhari.

Penyimpan Rahsia Yang Tiada Kompromi

Satu-satunya sahabat yang diberi kepercayaan oleh Nabi SAW untuk menyimpan rekod nama-nama munafiqin yang merupakan musuh dalaman gerakan Nabi SAW.

Huzaifah amat sensitif menghidu ancaman musuh dalaman umat Islam. Barangkali itulah faktor mengapa Nabi SAW memberi kepercayaan kepadanya.

Walaupun Umar pernah bertanya tentang nama-nama munafiqin, Huzaifah tetap kemas menyimpan rahsianya.

Perisik Nabi Yang Berani Mati

Dalam perang Ahzab, Nabi SAW membuka peluang kepada para sahabat yang sanggup menjadi perisik untuk menyusup masuk ke kem tentera Ahzab bagi mendapatkan maklumat intel musuh.

Tiada sahabat yang sanggup. Lantas Nabi SAW melantik Huzaifah menjalankan tugas bahaya tersebut. Beliau selamat dalam operasi itu walaupun berdepan dengan cubaan soal siasat dari pasukan Ahzab.

Berani beliau bukan acah-acah. Bahkan kelicikan Huzaifah bukan sembarangan.

Kesimpulan

Banyak lagi kisah Huzaifah yang menggambarkan kewaspadaannya cukup tinggi. Malangnya cara berfikir Huzaifah banyak ditinggalkan oleh umat Islam pada hari ini. Takut dikatakan kononnya paranoid. Hakikatnya lurus bendul.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
5 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 5/3/2017

SEBAHAGIAN ahli-ahli bertanya apakah persiapan dan bekalan yang utama untuk menghadapi PRU14. Maka dalam situasi politik hari ini persiapan yang paling utama kepada ahli disemua peringkat ialah persiapan hati. Dan sifat hati yang paling utama ialah Hati Yang Thiqah.

قال الشهيد الامام حسن البنا في الثقة (وأريد بالثقة اطمئنان الجندي إلى القائد في كفاءته وإخلاصه، اطمئنانا عميقا ينتج الحب والتقدير والاحترام والطاعة)

Berkata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna: "Yang aku maksudkan dengan 'Thiqah' ialah berlapang dada/tenang/percaya dan yakin serta rasa puas seorang tentera (amilin/pejuang) kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya (pemimpin) dengan lapang dada/tenang dan yakin yang mendalam yang dapat menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”.

Bermula sekarang hati kita semua mesti ditarbiyah agar bersifat dengan sifat berlapang dada, tenang, percaya dan yakin kepada Mursyidul Am dan Majlis Syura, Tuan Guru Presiden serta seluruh saf kepimpinan PAS Pusat.

Thiqah pada kepimpinan merupakan hal dalaman dari sudut rasa ketenangan dan keyakinan para ahli terhadap kemampuan, keikhlasan, sifat amanah para pemimpin serta rasa tersebut adalah cukup mendalam.

Di antara petanda gerak kerja yang menzahirkan bahawa hati para ahli mempunyai thiqah kepada pemimpin ialah hormatnya seorang ahli/amilin kepada pimpinan dan dia mentaati semua arahan yang diberi tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi atau rasa kekurangan apatah lagi terselit rasa ingin mengingkari dan menyelewengkan arahan.

Natijah yang terhasil daripada tiqah dalam hati para ahli ialah rasa kasih, rasa penghargaan, rasa hormat dan hati yang taat sepenuhnya kepada pimpinan.

Renungkan sebuah ibarat bagaimana seharusnya seorang ahli/amilin/murabitun/pejuang berinteraksi kepada pemimpin.

في دعوة الإخوان حق الوالد بالرابطة القلبية، والأستاذ بالإفادة العلمية، والشيخ بالتربية الروحية، والقائد بحكم السياسة العامة للدعوة، ودعوتنا تجمع هذه المعاني جميعا.

Maksudnya: "Dalam dakwah ikhwan (hubungan amilin dan pemimpin) sebagaimana hak seorang ayah dalam hubungan hati, hak seorang guru dalam pengambil manfaat ilmu, hak seorang syeikh dalam pendidikan rohani/proses tarbiyah keruhanian dan hak pemimpin dalam menentukan percaturan politik secara umum bagi dakwah. Dakwah kita menghimpunkan nilai-nilai tersebut secara keseluruhan".

Kesimpulan

Maka diibarat TG Mursyidul Am & TG Presiden serta seluruh kepimpinan tertinggi merupakan seorang ayah yang mesti disayangi sehingga jauh dilubuk hati, seorang guru yang mesti dihormati, seorang Syiekh yang mesti dipercayai, diyakini dan dijaga adab juga seorang pimpinan politik yang mesti ditaati segala arahan serta dipercayai setiap strategi yang disusun demi kemenangan Islam.

Inilah bekalan terbaik kepada para ahli dan pimpinan di semua peringkat selain daripada yang telah kita semua maklum bekalan iman dan taqwa serta yakin bahawa kemenangan dari Allah, keberkatan dari mengikut Rasulullah SAW dan kejayaan dari sifat yakin dengan Islam dan taat pada kepimpinan ulamak. Jikalau ulamak pewaris Nabi SAW tidak lagi kita thiqah kepada siapa lagi?

Semoga Allah Ta'ala menganugerahkan kepada kita seketul hati yang thiqah kepada pemimpin dan kepimpinan ulamak pewaris Nabi SAW.

Al Faqir Nik Bakri Nik Mat
Pengerusi Lajnah Tarbiyah DUPNS

NAMPAKNYA isu-isu melibatkan agama Islam di negara kita semakin hebat menerima serangan. Tidak seperti dekad-dekad yang lalu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan sudah tidak lagi dihormati. Perjuangan menjadikan Malaysia sebuah negara liberal yang menganjurkan persamaan semua agama sebagaimana barat semakin menjadi-jadi.

Teladani polemik RUU355. Pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah ini hanya melibatkan orang Islam sahaja. Tetapi ia diserang begitu hebat pemimpin politik bukan Islam. Turut terlibat menentang adalah golongan pejuang hak kebebasan beragama Islam. Malah ada agamawan turut mempertikai. Kita hairan, kenapa usul RUU355 yang bersifat begitu teknikal, bermatlamat menaiktaraf martabat Islam dan eksklusif hanya kepada penjenayah beragama Islam ini mendapat tentangan sebegini dahsyat?

Isu Dr Zakir juga sama. Dia dituduh ancaman kepada negara. Dia dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Dia diwatakkan seperti penjenayah berbahaya. Sedangkan kepada yang pernah mendengar ceramah beliau, pasti tahu bagaimana pembawaan beliau. Tidak pernah sekali-kali beliau memperomosikan keganasan. Ceramahnya sarat dengan hujah ilmiah dan logikal yang menepati manhaj akademik. Beliau tidak pernah menghina sesiapapun dan sangat hormat kepada undang-undang dan pemerintah setiap negara yang dilawati.

Lalu apakah punca sebenar semua penentangan ini berlaku?

Tidak lain dan bukan, kerana kedua isu ini membawa keuntungan buat masa depan Islam di negara ini.

Mereka tahu sekiranya undang-undang syariah berjaya diaplikasikan setelah RUU355 diluluskan, orang akan melihat keindahan ajaran Islam yang sebenar, jauh dari apa yang digambarkan barat. Lalu akan membawa kepada kecenderungan untuk memeluk Islam.

Mereka juga tahu setiap hujahan Dr Zakir Naik mampu membuatkan orang meyakini kebenaran ajaran, lalu memeluk Islam. Hampir setiap kali program ceramah yang dilakukan, ada sahaja saudara baru yang memeluk agama suci ini.

Jika kedua usaha ini dibiarkan, Islam akan terus berkembang pesat. Islam akan menjadi pegangan semua kaum yang ada di Malaysia. Maka ia akan menggagalkan usaha mengliberal negara ini. Justeru bagi mereka, ia tidak boleh dibiarkan.

Semua ini adalah sebab utama semua penentangan berlaku. Hakikat yang sebenar, mereka anti kepada usaha kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat. Dengan kata lain, mereka anti-Islam!

Malang sekali, mereka kini semakin lantang bersuara. Walaupun umat Islam adalah majoriti dan mereka hanya mewakili pandangan sebilangan kecil rakyat Malaysia, mereka tetap mengganas dan terus diberikan muka.

Puncanya adalah kerana umat Islam sendiri yang bertelagah. Masing-masing bermusuh antara satu sama lain. Ada orang Islam sanggup berpihak kepada penentang Islam ini termasuk agamawan, dengan memberi modal hujah kepada golongan ini, hanya kerana yang memperjuangkan syariat ini adalah seteru politik mereka atau berlainan fikrah dengan mereka.

Atas nama hak untuk berbeza, kita umat Islam sendiri membina tembok antara kita, sehingga tidak boleh duduk bersama walaupun demi kepentingan Islam.

Hanya satu-satunya cara mendiamkan golongan anti-Islam ini adalah bersatu atas nama Islam. Buang perbezaan politik, buang percanggahan ideologi, mazhab, aliran, dan semuanya. Sama-sama pertahankan Islam. Jangan lagi bercakap tentang perbezaan, tentang perkara khilaf. Semua itu tidak membantu agama buat masa ini. Melayu, aswaja, wahabi, kaum muda, kaum tua, PAS, Umno, keadilan, buang ke tepi dahulu semua nama ini. Kita guna satu nama sahaja. MUSLIM!

Atas nama muslim, sama-sama pertahan pemerkasaan syariat Islam. Sama-sama pertahankan Dr Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEAKAN menjadi sunnah dalam perjuangan para Nabi dan Rasul alaihimussalam berdepan tuduhan sebagai pendusta, ahli sihir, gila dan pemecah belah masyarakat lantaran seruan mereka kepada mentauhidkan/mengesakan Allah.

Mereka dihalau dari kampung halaman, dihalang memasuki negara orang, malah dengan cara yang kejam seperti Nabi Muhammad SAW yang dilontarkan batu sehingga berdarah ketika mahu masuk ke Taif.

Sebahagian Nabi dibunuh seperti perlakuan Bani Israel yang membunuh Nabi-nabi dari kalangan mereka.

Usaha yang sabar berjaya mengislamkan sebahagian, manakala sebahagian besar yang lain tetap tidak mahu beriman sekalipun mereka tewas apabila berdepan hujah yang benar, malah ditunjukkan mukjizat kenabian yang tertentu.

Pahala membawa manusia kepada Islam sangat besar. Jika satu orang menjadi Islam kerana usaha kita, Allah janjikan ganjaran begitu besar. Ini pula ribuan yang menjadi Islam oleh usaha para nabi.

Zakir Naik mengajak manusia kepada Islam dengan jalan menghujahkan secara terbuka dan ilmiah. Beliau membenarkan orang menyoalnya dan dia memberikan jawapan. Dia tidak memaksa bukan Islam hadir ke majlisnya, tetapi memberi layanan baik kepada yang sudi hadir. Beliau tidak memaksa orang menerima jawapannya. Beribu orang menjadi Islam oleh usaha beliau.

Ada yang menuduh Zakir Naik tidak patut membandingkan agama. Tetapi tugas semua pendakwah mengeluarkan manusia daripada kesesatan. Untuk berbuat demikian sudah tentu seorang itu perlu menjelaskan perkara yang benar dengan perkara yang salah. Yang lurus dengan yang sesat.

Nabi Ibrahim a.s pernah sampai menggantungkan kapak di patung berhala yang paling besar sehingga ditanya oleh kaumnya siapa yang telah pecahkan semua patung berhala yang ada di keliling patung yg terbesar itu?

Maka dijawab oleh Nabi Ibrahim "Tanya lah berhala yang besar yang ada kapak itu?

"Lalu dijawab kaumnya mustahil patung itu berbuat demikian kerana ia tak boleh buat apa apa kerana cuma patung.

Dibidas oleh Nabi Ibrahim, "makanya kenapa kalian menyembah patung yang tidak boleh berbuat apa-apa? "

Zakir Naik dituduh mengganggu keharmonian, memecah belahkan mesyarakat.

Tidakkah sama seperti yang dituduh kepada para Nabi?

Naudzubillah, tetapi kelihatannya jika Siti Kasim, Asiah Jalil dan 'Mujahidin" itu berada pada zaman Rasulullah SAW, mereka bagaikan berada di baris hadapan dalam kelompok menghasut masyarakat membenci Nabi atas alasan menggugat keharmonian, memecahbelahkan rakyat .

Orang Islam yang sejati mempertahankan Zakir Naik.

Malah saya sendiri ingin sekali menjadi Zakir Naik.

Kami semua adalah Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. (Riwayat Imam Malik)

 

PADA hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan Sambutan Maulid Nabi SAW sebagai menzahirkan kecintaan kita semua kepada Penghulu Segala Nabi, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda dalam bulan Rabi'ul Awal Tahun Gajah merupakan satu cahaya yang menerangi seluruh kegelapan alam. Kita sangat bertuah kerana dipilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW, sehingga kita mendapat nikmat iman dan Islam pada hari ini. 

Dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang penuh kesesatan dan dunia yang menjadi perebutan kuasa besar - Rom dan Parsi - telah memberi isyarat betapa kehadiran Baginda adalah untuk membawa rahmat, cahaya hidayah dan agama yang akan mengembalikan semula manusia kepada Sang Pencipta. Dalam tempoh 23 tahun, Baginda telah berjaya mengubah umat Arab Jahilliyah menjadi 'Khair Ummah.' Demikianlah besarnya kesan akibat kelahiran Sang Nabi SAW ini.

Sekarang, setelah 1348 tahun Baginda mendirikan negara di Madinah untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah, segalanya telah berubah. Kewafatan Baginda telah membawa semula manusia kepada kesesatan agama dan ideologi ciptaan manusia. Umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia menjadi seperti buih di tengah lautan kerana mereka meninggalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Lihatlah apa yang terjadi kepada umat Islam di Palestin dan Rohingya, ditindas tanpa pembelaan!

Bagi menguatkan semula umat yang telah terbabas dari al-Quran dan Sunnah inilah, para ulamak telah menubuhkan PAS pada 1951 dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum yang memandu perjuangannya. PAS mengajak manusia kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah demi untuk mengembalikan kekuatan seluruh orang yang beriman, sebagai mana zahirnya Nabi SAW dengan agenda Rabbani untuk benar-benar meletakkan manusia sebagai hamba Allah.

Bersempena dengan Sambutan Maulid Nabi SAW pada hari ini, saya menyeru seluruh umat Islam atas nama agama yang suci dan kemuliaan Nabi SAW, supaya kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Bersatu dan membina kekuatan atas nama Islam, melaksanakan syariat Allah demi sebuah ketaatan dan meninggalkan kesesatan seluruh ideologi serta kemungkaran demi menjayakan tujuan penciptaan.

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
12 Rabiul Awal 1438 - HARAKAHDAILY 12/12/2016