SEBAIK sahaja Pilihan Raya Umum 1964 yang berlangsung pada 25 April 1964 berakhir, PAS dikejutkan dengan kematian Timbalan Yang Dipertua Agungnya, Prof Zulkifli Mohamad dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Gambang, Kuantan pada 6 Mei 1964. Prof Zulkifli Mohamad yang juga adalah Ahli Parlimen Bachok semenjak 1959, baru sahaja memenangi pilihan raya tersebut dengan mengalahkan calon Perikatan, Hassan Mohamed dengan majoriti 4,318 undi. Ekoran itu, satu Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok terpaksa diadakan pada 27 Jun 1964.

Kekosongan kerusi Parlimen Bachok ini sangat dirasai oleh PAS kerana ia diwakili oleh Prof Zulkifli Mohamad, seorang pemikir muda yang juga antara ahli Parlimen terbaik ketika itu. PAS telah memutuskan supaya calon PAS yang menggantikan beliau adalah seorang tokoh intelek yang tidak kalah hebatnya, dan akhirnya PAS menamakan Ustaz Abu Bakar Hamzah, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS yang ketika itu sedang berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah Izzuddin, Perak dan pernah menjadi pegawai Kolej Islam Malaya dan pengasas Perintis Akademi Islam, Pulau Pinang.

Prof Zulkifli Mohamad yang dilahirkan pada 1927 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar telah mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar dan American University of Cairo sebelum menjadi Setiausaha Kolej Islam Malaya. Sebagai pensyarah di kolej itu, beliau dianugerahkan gelar profesor oleh Universitas Sawerigading, Makasar pada 1959. Beliau menyertai PAS pada 1954 dan menjadi Ahli Jawatankuasa Politik PAS sebelum dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sejak 26 Disember 1956. Beliau mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum 1955 di Selangor Tengah, tetapi tewas, sebelum memenangi kerusi Bachok pada 1959 mengalahkan Nik Min Ali.

Pengganti beliau, Ustaz Abu Bakar Hamzah adalah berasal dari Sanglang, Perlis dan dilahir pada 1925. Beliau mendapat pendidikan di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang dan Madrasah Alawiyah, Arau, sebelum memasuki Sekolah Pertanian Teluk Chenai, Alor Setar pada zaman Jepun. Beliau juga pernah belajar di Kolej Islam Malaya tetapi tidak menghabiskan pengajian ijazahnya. Sebelum menyertai PAS, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Nahdatul Ulamak Malaya dan Ketua Pemuda Umno Perlis. Pada 1956, beliau menyertai PAS dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, Pegawai Penerangan PAS dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok ini diadakan dengan PAS sebagai penyandangnya di mana sejak 1959 Bachok adalah kubu kuat PAS. Pada 1959, Prof Zulkifli Mohamad mendapat 13,880 undi mengalahkan Nik Min Ali (Perikatan) dengan majoriti 10,119 undi. Manakala pada 1964, Prof Zulkifli Mohamad mendapat 12,659 undi sedangkan calon Perikatan, Hassan Mohamed hanya memperoleh 8,278 undi. Pilihan raya kecil ini diadakan dengan penamaan calon dibuat pada 5 Jun 1964 di mana Perikatan telah menurunkan Abdul Ghani Sulaiman, sedangkan PAS menamakan Ustaz Abu Bakar Hamzah. Pengundian diadakan pada 27 Jun 1964.

Pada hari pengundian, calon PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang mendapat 11,900 undi berjaya mempertahankan legasi Prof Zulkifli Mohamad setelah calon Perikatan hanya memperolehi 8,661 undi, iaitu perbezaan sebanyak 3,339 undi. Dengan kemenangan ini, PAS bukan dapat mengekalkan kerusi Parlimen Bachok, tetapi juga memiliki seorang ahli Parlimen yang lantang di Dewan Rakyat, seperti mana Prof Zulkifli Mohamad juga. Sejak pilihan raya kecil ini, Bachok kekal menjadi kubu kuat PAS sehingga hari ini.

Dalam sejarah pilihan raya di Bachok, PAS telah mempertahankan kerusi ini dengan bergaya melalui Cikgu Mohd Zain Abdullah yang memenangi pilihan raya umum pada 1969, 1974, 1978 dan 1982. Pada 1983, dalam krisis kepemimpinan PAS, Cikgu Mohd Zain Abdullah menyertai Datuk Mohd Asri Haji Muda, bekas Yang Dipertua Agung PAS untuk menubuhkan Hamim. Bila Hamim menyertai BN pada 1985, Cikgu Mohd Zain Abdullah menjadi calon BN untuk menentang Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1986, di mana calon PAS tewas dengan 207 undi. Dalam Pilihan Raya Umum 1990, kerusi ini kembali kepada PAS menerusi Ustaz Bunyamin Yaakob selama dua penggal, sebelum diganti oleh Cikgu Wan Nik Yusof pada 1999. Namu begitu, Cikgu Wan Nik Yusof telah tewas kepada Datuk Dr Awang Adek Hussein pada 2004 dengan majoriti 6,272 undi. Pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, PAS merampas semula kerusi Bachok masing-masing menerusi Ustaz Nasharudin Mat Isa (2008) dan Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (2013).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
17 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 17/5/2017

PADA tahun 2015, Hisomudin Bakar dari Ilham Center membuat analisa bahawa anak muda kecewa dengan politik Malaysia. Mereka sudah hilang minat terhadap politik dengan sikap ahli politik dan keadaan politik negara hari ini. Analisa tersebut mendapati bahawa kadar pendaftaran keahli parti politik dari golongan muda merosot begitu ketara sekali.

Namun sejak tahun itu juga, atau lebih tepatnya selepas muktamar 'pembersihan' sebilangan politikus dari PAS, PAS mula menerima pendaftaran keahlian yang berbondong-bondong. Ribuan permohonan diterima saban bulan hingga sekarang (2017). Hampir kesemuanya adalah anak muda!

Dalam kajian-kajian yang dibuat oleh berbagai pihak pula seperti Bersatu, Merdeka Center, IDE, PPP, IKS dan badan-badan bebas lain termasuk melalui undian facebook sejak 2016 menunjukkan PAS menjadi parti paling popular mengatasi BN dan parti-parti PH.

Ini menunjukkan kepada satu perkara, iaitu PAS sudah berjaya menemui ubat kepada alergik politik di kalangan kaum muda. PAS berjaya menarik kembali minat golongan muda terhadap politik.

Kenapa mereka memilih PAS? Kerana PAS memperkenalkan pendekatan terbaru dalam politik, iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Nyata ramai yang muak dengan politik sebenarnya bukan kerana tidak tahu kepentingan politik terhadap masa depan negara, tetapi kerana tidak suka budaya politik yang diamalkan politikus Malaysia selama ini. Mereka mengharapkan agar Malaysia berubah kepada budaya yang lebih harmoni dan profesional.

Maka menjadi kemestian kepada ahli PAS untuk menghadam sebaik mungkin tentang BPMS, dan menyebarluaskan tentangnya. Perkenalkan BPMS kepada setiap ceruk Malaysia, terutama orang muda. Kawan-kawan sekolah, rakan sekerja, jiran tetangga, ahli-ahli kelab hobi, sanak saudara dan semuanya.

Jangan malu lagi untuk bercakap mengenai politik. Saya yakin dengan memahami BPMS, ramai yang mampu terima dan sokong. BPMS lebih lunak dengan naluri manusiawi, lebih menepati kehendak Islam, dan lebih dekat dengan jiwa halus orang Melayu. - HARAKAHDAILY 17/5/2017

PENYATA Pelajaran Razak 1956 adalah salah sebuah penyata pelajaran terpenting dalam proses pembentukan dasar pelajaran kebangsaan menjelang kemerdekaan. Sebelum itu, Penyata Jawatankuasa Barnes 1951 dan Penyata Jawatankuasa Fenn-Wu 1952 telah menggariskan beberapa dasar berkaitan dasar pendidikan dalam menangani masalah perpaduan masyarakat. Ia adalah lanjutan daripada Penyata Jawatankuasa Cheeseman 1939 berkaitan pendidikan vokasional. Asas utama Penyata Pelajaran Razak 1956 adalah mewujudkan perpaduan melalui sistem sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu menjadi pengantar.

Penyata Pelajaran Razak telah dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Dato' Abdul Razak Hussain pada 15 Mei 1956 di Majlis Undangan Persekutuan. Ia bertujuan untuk menggabungkan penyata ini ke dalam Seksyen 3 Ordinan Pelajaran 1952 bagi membentuk Ordinan Pelajaran 1957. Pada asalnya, Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran ditubuhkan oleh Menteri Pelajaran untuk mengkaji ketidakpuasan hati rakyat pelbagai kaum terhadap Penyata Barnes dan Penyata Fenn-Wu. Penyata Pelajaran Razak kemudiannya diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 dengan sokongan penuh ahli-ahli majlis tersebut, termasuk wakil tunggal pembangkang, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin (PAS - Krian).

Wakil PAS yang berucap untuk membahas dan menyokong penyata ini pada 16 Mei 1956 telah mempertegaskan beberapa aspek, iaitu:

I. Menyokong Penyata Pelajaran Razak dalam memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pelajaran dan bahasa kebangsaan;

II. Mempertegaskan kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan nasional;

III. Mencadangkan semua sekolah diwajibkan menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar kerana masih ramai imigran yang tidak menguasai bahasa Melayu; dan

IV. Mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah persendirian, sehingga memungkinkan sekolah-sekolah tersebut ditutup.

Terdahulu, ketika Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran sedang menjalankan kajiannya, pada 14 Mac 1956, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah membangkitkan dalam mesyuarat Majlis Undangan Persekutuan supaya Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran turut mengkaji bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama Rakyat, sebagai sebahagian daripada isu penting dalam pembentukan dasar pelajaran. Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Bukan Kerajaan yang diketuai oleh Abdul Rahman Talib, Timbalan Menteri Sumbet Asli dan Kerajaan Tempatan.

Dengan sokongan padu daripada PAS ini, proses pembentukan dasar pelajaran kebangsaan melalui Ordinan Pelajaran 1957 telah berjalan dengan lancar, terutama apabila ordinan ini diluluskan dengan sokongan penuh pada 16 Mei 1956. Tarikh ini dianggap sangat penting kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan sebelum ia dikemaskan lagi oleh Penyata Pelajaran Rahman Talib 1960. Menghargai proses pembentukan dasar pelajaran pada 16 Mei 1956 ini, tarikh tersebut telah dipilih sebagai tarikh sambutan Hari Guru setiap tahun.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 16/5/2017

SEMPENA Hari Guru ini, rasanya yang paling layak menerima ucapan penghargaan adalah baginda Nabi Muhammad SAW. Dia adalah guru kepada semua guru kita. Baginda bukan sahaja mengajar, tetapi mendidik dan membimbing. Baginda bukan sahaja menunjuk jalan, tetapi memimpin kita ke jalan itu. Baginda bukan sahaja memberi amaran dari terjebak kepada jalan binasa, tetapi turut mengorbankan dirinya semata-mata menghalang kita dari terjerumus.

Firman Allah SWT:
ويعلمهم الكتاب والحكمة
Dialah Rasul yang mengajarkan kamu al-Kitab san segala kebijaksanaan.
[Al-Jumuah:2]

Sabda Rasulullah SAW:
إنما بعثت معلما
Sesungguhnya aku diutus sebagai guru
[HR Ibn Majah]

Kata Saidina Muawiyah RA:
ما رأيت معلما قبله ولا بعده أحسن تعليما منه
Aku tak pernah lihat seorang guru yang lebih baik cara didikannya selain dari Rasulullah SAW.
[Riwayat Muslim]

Dr Abdul Fattah Abu Ghudah menulis sebuah buku bertajuk الرسول المعلم (Rasul Pendidik). Di dalamnya beliau gariskan 40 cara didikan baginda SAW. Saya sebutkan secara ringkas di bawah. Anggaplah ia sebagai hadiah buat semua yang bergelar guru.

Sesungguhnya Rasulullah SAW itu:
1.  Mendidik dengan akhlak bukan setakat lisan.
2. Mendidik secara berperingkat.
3. Sederhana, mengambil kira masa agar tidak bosa.
4. Meraikan kepelbagaian tahap kemampuan murid.
5. Mendidik melalui dua hala.
6. Mendidik dengan perbahasan dan mengajak akal berfikir.
7. Menguji minda dan pengetahuan murid.
8. Mendidik dengan berkias dan berbidalan.
9. Mendidik dengan mendatangkan contoh.
10. Mendidik dengan lakaran visual.
11. Menggabungkan antara lisan dan body language.
12. Mengangkat tangan bagi menggambarkan keseriusan sesuatu.
13. Mendidik setiap masa yang sesuai tanpa ditanya terlebih dahulu.
14. Sentiasa menjawab soalan.
15. Menjawab lebih dari yang ditanya.
16. Kadang-kadang menjawab lain dari soalan.
17. Menjawab soalan dengan soalan.
18. Memberi peluang sahabat lain menjawab.
19. Memberi pujian kepada yang jawab betul.
20. Mendidik dengan berdiam diri.
21. Memberi pengajaran bertepatan dengan peristiwa dan situasi yang berlaku.
22. Mendidik dengan lawak jenaka.
23. Menyokong ilmu yang diberi dengan bersumpah.
24. Mengulang sehingga tiga kali.
25. Mengubah-ubah kedudukan semasa mengajar.
26. Menarik perhatian dengan kata-kata seru sebelum menyampaikan isi.
27. Memegang tangan murid.
28. Meninggalkan persoalan sementara membuatkan sahabat tertanya-tanya.
29. Memulakan dengan gambaran kasar, kemudian baru menghuraikan.
30. Menyebutkan jumlah sesuatu dahulu baru disebut satu persatu.
31. Sentiasa beri pesanan dan peringatan.
32. Menggunakan cara memberi semangat atau menakut-nakutkan.
33. Suka bercerita kisah-kisah.
34. Menyampaikan mukaddimah sebelum mengajar perkara-perkara aurat/aib.
35. Berbahasa lapik dalam perkara-perkara dalam melibatkan aurat/aib.
36. Mementingkan pendidikan terhadap kaum hawa.
37. Menyampaikan dengan penuh perasaan/emosi.
38. Mementingkan penulisan sebagai wasilah penyebaran ilmu.
39. Menyuruh sahabat belajar bahasa lain.
40. Menjadikan dirinya sebagai role model setiap yang disampaikan.

Kalau orang selalu datangkan pepatah:
لو لا مربي ما عرفت ربي
"Tanpa guru tidakkan ku kenal rabb-ku."

Hari ini saya ingin sampaikan satu lagi pepatah
لو لا نبينا ما وجدنا مربينا
"Tanpa Nabi kita, tiadalah guru kita."

SELAMAT HARI GURU, NABIKU DAN SEMUA GURUKU..
..اللهم صل على نبينا ومربينا محمد وبارك عليه وسلم..

(Alang Ibn Shukrimun)

KALAU kita bersikap keras tak bertempat, manusia akan jauh hati dari kita.

Hingus di pipi budak, memadai lap dengan tisu. Kereta yang kemek bekas accident, kalau lap dengan tisu juga, maka habis 40 kotak tisu pun tak berkesan apa-apa. Ia mesti diketuk dengan kuat. Tuan kereta jangan marah bila pomen ketuk kuat-kuat body kereta kerana memang itu caranya.

Ayam yang curi padi di jemuran, memadai dihalau saja. Jangan pukul, itu zalim namanya. Tapi kalau yang datang bertandang depan rumah kita adalah seekor ular tedung selar, maka wajib dipukul. Memukul ketika ini adalah cara yang paling berhikmah. Jangan buat olok-olok nak halau, nanti kesudahannya kita yang masuk hospital.

Satu pagi Umar Abdul Aziz masuk ke dalam masjid nak solat subuh. Dalam gelap kakinya tersepak seseorang yang sedang tidur dalam masjid. Kawan tu terkejut lalu menyergah, "awak gila ke?" Jawab Umar Abdul Aziz, "Tak! saya tak gila." Pengiring Umar Abdul Aziz minta izin nak pukul hamba Allah itu. Tapi kata Umar, "Kenapa nak pukul dia? Dia cuma tanya samaada aku gila atau tidak. Aku dah jawab, tak gila! Selesai, tak ada apa-apa masalah."

Ada ketikanya orang di hadapan kita bercakap mengkritik berapi-api. Akhirnya selepas habis bercakap, dia tenang dan puas hati walaupun kita belum jawab sepatah pun kritikan dia. Sebenarnya dia cuma nak kita dengar luahan rasa hatinya sahaja. Seorang pemimpin ada ketikanya hanya perlu menjadi seorang pendengar yang baik. Bukan semua perkara kita mampu jawab dan selesaikan. Kalau ketika dia tengah berapi-api, kita pun jawab dengan berapi juga, maka api bertemu api akan menyebabkan kebakaran besar!

Teringat ketika satu Muktamar PAS di Shah Alam, wakil dari Dewan Pemuda yang sekarang dah jadi Pemuda PAN berucap berapi-api sambil tangannya menghentak-hentak rostrum. Selesai dia berucap, Pengerusi Tetap PAS, Datuk Abu Kasim tegur dengan lembut. "Orang muda... bukan semua masalah dunia ini boleh selesai dengan peperangan. Ada ketikanya dengan sedikit senyuman sudah mampu menyelesaikan masalah." - HARAKAHDAILY 16/5/2017

YANG berlaku di Selangor sekarang hanya mengulangi episod hampir serupa di Kelantan kira-kira 21 tahun lampau.

PAS memutus kerjasama politik dengan Parti Melayu Semangat 46 ekoran pemimpin parti itu mendedah rahsia kerajaan negeri. Presiden PAS Ustaz Fadzil Mohd Noor mengumumkan keputusan itu pada 14 Julai 1996.

Datuk Rozali IsohakSebelum itu Pengerusi Perhubungan Semangat 46 Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak (Gambar) mendedahkan kerugian Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akibat perniagaan saham.

Selain itu turut mendakwa kerajaan negeri memberi kontrak bagi menyediakan draf Kanun Jenayah Syariah II kepada seorang peguam dari Terengganu.

Ketika itu tiga Adun Semangat 46 berada dalam saf Exco kerajaan negeri. Rozali sebagai Timbalan Menteri Besar II. Manakala Adun Gual Periuk, Nik Mustapha Nik Loding dan Adun Jelawat, Daud Jaafar sebagai anggota Exco.

Exco Semangat 46 juga enggan meletak jawatan ketika itu. Krisisnya jauh lebih hangat. Situasi yang berlaku tersebut boleh dianggap hampir sama, namun tidak serupa dengan kondisi sekarang.

PAS sejak awal sudah mengesan Tengku Razaleigh Hamzah mahu menyertai semula Umno selepas gagal mengemudikan Semangat 46.

Biarpun dinafi berkali-kali pemimpin Semangat 46, namun Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah mengesan bayangannya.

Maka tidak hairanlah bekas menteri besar itu menyifatkan Semangat 46 sudah berkubur. Namun penafian Semangat 46 tidak ke mana-mana. Ku Li akhirnya menganjur sambutan ulangtahun ke-50 penyatuan bangsa Melayu pada 11 Mei 1996.

“Ramai yang terkejut mendengar pengumuman saya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan usaha penyatuan kita dengan Umno sekarang. Ada yang bertanya, apakah kita sudah belot dalam perjuangan.

“Atau apakah kita sebahagian daripada soldadu lelah yang tidak upaya bertempur lagi. Tidak sama sekali. Semuanya tidak benar sama sekali. Apatah lagi kita pernah berkata, kita sanggup bertempur seribu tahun lagi dan kita sanggup mati daripada menyerah kalah dan berputih mata,” ujar Ku Li pada sambutan itu.

Sekarang apa yang berlaku. Ku Li tidak dapat menyangkal lagi, sejarah membuktikan beliau sudah lama menyerah kalah.  

Selepas Semangat 46 dibubar akhirnya tiga Exco parti terbabit meletak jawatan. Hari ini situasinya jauh berbeza. PAS tidak dibubar untuk membolehkan anggota Exconya meletak jawatan di Selangor selepas hubungan politik terbatal.

Adun PAS juga tidak dedah rahsia kerajaan Selangor. Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hashim Jasin menegaskan PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk manfaat Islam.

Pintu rundingan masih lagi terbuka biarpun berada di luar tahaluf siyasi. Seni politik masih luas. PAS sejak 2008 mahu mempertahan hayat kerajaan Selangor biar pun PAN, DAP dan Umno semakin panas punggung.

Malah Penyelia Dun dan Parlimen serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Kelantan dari PKR masih lagi kekal. Tiada keributan seperti di Selangor. – HARAKAHDAILY 15/5/2017
 
*** ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang.

"DR... sampai bila PAS nak bergantung kepada kutipan derma untuk biaya aktiviti parti?" Tanya seorang kawan yang tak terlibat dalam mana-mana organisasi parti.

Sampai kiamat Syeikh! Selagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini ada dan perjuangannya teguh atas dasar Islam, maka selagi itulah mereka yang cintakan perjuangan Islam akan terus menghulurkan derma selama mana ada bulan dan matahari.

Walau PAS dah perintah Kelantan, ahli dan penyokong PAS Kelantan terus menderma. Ketika PAS perintah Terengganu dan Kedah, ahli PAS di kedua-dua negeri ini terus menderma.

Saya tertarik bila dimaklumkan di Muktamar Alor Setar baru-baru ini bahawa PAS Kedah melancarkan kempen derma 50 sen sehari bagi setiap ahli PAS di Kedah untuk menyiapkan bangunan Kompleks PAS Kedah yang berharga sekitar RM2 juta.

Dalam masa yang sama jangan ingat PAS debek sangat dan bergerak semata-mata dengan derma orang ramai. PAS juga ada aset-aset berharga yang menjadi sumber pendapatan. Kalau pergi beli belah di Mydin Kuala Ibai, Kuala Terengganu, cuba tanya bangunan pasar raya itu siapa pemiliknya.

Derma antara sebab menjadikan ahli PAS rasa bahawa mereka adalah sebahagian dari parti. Ahli PAS majoritinya lebih berfikir untuk memberi dan bukannya untuk menerima. Jatuh bangun parti ini adalah hasil dari pengorbanan susah payah ahli. Malah saya biasa dengar ada ahli PAS yang hadir ke tempat ceramah bersungut hampa apabila dalam majlis tersebut tak dibuat kutipan derma. Mereka dah siap bawa duit untuk derma.

Semasa Himpunan Fastaqim H60k di Kota Bharu tahun lepas, seorang sahabat hampa apabila pemungut derma tak sampai ke tempat dia berada. Lalu 'nak lepas geram' dia masukkan beberapa keping note RM50 ke dalam tabung sebuah masjid yang dia singgah solat dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Dungun.

Ibarat sebuah masjid yang siap dibina oleh kontraktor dengan peruntukan kerajaan dibandingkan sebuah masjid yang dibina secara gotong-royong melalui kutipan derma. Tentu sekali ikatan hati kita dengan masjid yang dibina hasil susah payah sendiri akan lebih dekat dan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

Malah derma bagi orang PAS bukan sekadar dengan duit. Mereka bagi sumbangan lembu, kerbau dan kambing untuk disembelih bila ada program besar. Mereka hulur beras, kelapa, sayur, rempah ratus untuk kenduri. Mereka wakafkan kereta untuk kegunaan parti. Mereka beli komputer dan perabut untuk pejabat parti. Mereka wakafkan tanah untuk dibina premis parti. Mereka hulur simen, pasir dan batu-bata bila PAS nak buat bangunan. Yang ada kemahiran, mereka hulurkan sumbangan tenaga secara percuma. Belum lagi dikira yang diberi pinjam untuk kegunaan program parti secara percuma.

Bila kita nak buat jamuan laksa sambil menderma, ada tokey laksa yang marah sebab tak bagitahu dia. Sebabnya dia nak bagi 200 kg laksa secara percuma saja. Tokey ikan akan hulur ikan secara percuma untuk buat kuah laksa.

Ada sahabat yang kerja jual tanah lot. Ada 4 lot tanah, 3 lot untuk dia dan baki 1 lot untuk parti. Ada sahabat kerja jual gas. Hasil jualan setiap tong gas, 10 sen dia peruntukan untuk parti. Ada sahabat yang buka car wash. RM1 bagi setiap kereta yang dicuci dia masukkan dalam tabung parti. Ada sahabat yang kerja doktor gigi. Paginya dia kerja doktor gigi, petangnya habis duit hasil cabut gigi dibelanjakan untuk parti.

Ada yang masukkan RM2 dalam tabung sebab dia cuma kerja NGO (Nnoreh Getah Orang). Ada pula seorang sahabat Jabi yang berkemampuan membelanjakan lebih 50k seorang diri untuk biaya pengundi luar Jabi ketika PRU 13.

Biarlah orang hina kita dengan pelbagai gelaran termasuklah gelaran parti tin milo. Dengan izin Allah, tin milo tersebut akan jadi saksi di hadapan Allah nanti.

Tak betul tuduhan ahli parti bagi derma untuk pemimpin bermewah-mewah. Saya dah diamanahkan pegang jawatan dalam parti dari peringkat DUN, Kawasan, Negeri dan sekarang di PAS Pusat. Kita tak dibayar elaun dari mana-mana sumber apatah lagi dari duit derma walau 1 sen. Kalau ada bukti pemimpin yang makan duit derma, tolong adukan secara rasmi untuk tindakan Lembaga Disiplin PAS. Jangan main serkap jarang begitu. – HARAKAHDAILY 15/5/2017

PERLETAKAN jawatan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 26 September 1953 telah menimbulkan krisis kepemimpinan PAS beberapa ketika. Ini kerana PAS baru sahaja mengadakan pemilihan parti sebulan sebelumnya, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Tambahan pula Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias yang baru dipilih berada di Mekah kerana memimpin pasukan perubatan jemaah haji. Keadaan menjadi semakin sukar kerana Undang-undang Tubuh PAS 1953 tidak memperuntukkan tentang "Pemangku Yang Dipertua Agung PAS" jika berlaku sebarang insiden melibat jawatan tertinggi PAS itu.

Faktor ketiadaan Dr Haji Abbas Alias dalam negara dan ketiadaan peruntukan undang-undang untuk memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS telah mendorong Jawatankuasa Tadbir PAS (hari ini Jawatankuasa Harian PAS) pada 30 Oktober 1953 membincangkan langkah-langkah untuk merungkai masalah ini. Dua keputusan penyelesaian dicapai iaitu; pertama, bersetuju supaya Dr Haji Abbas Alias diangkat sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS tetapi ia mesti dipersetujui sebelum 15 November 1953; atau kedua, jika Dr Haji Abbas Alias menolak, Setiausaha Agung PAS akan membuka pencalonan kepada semua Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan semua Cawangan PAS. Kemudian nama calon-calon akan diedar untuk dipilih oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan semua Cawangan PAS, di mana calon yang terpilih akan disahkan sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS.

Pada 15 November 1953, sebaik sahaja pulang dari Mekah, Dr Haji Abbas Alias telah dikunjungi tiga pimpinan PAS iaitu Ustaz Othman Abdullah (Ketua Dewan Pemuda PAS), Tuan Guru Haji Mohd Nor Mahyuddin dan Haji Abdullah Akin (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) untuk memaklumkan keputusan Jawatankuasa Tadbir PAS itu. Melihat krisis ini, Dr Haji Abbas Alias dilaporkan "dengan penuh keikhlasan dan keinsafan sanggup memimpin PAS ini sehingga Mesyuarat Agung yang ketiga." Pada 17 November 1953, Dr Haji Abbas Alias mengesahkan penerimaannya untuk memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS. Beliau kemudiannya secara rasmi menjadi Pemangku Yang Dipertua Agung PAS mulai 27 November 1953.

Pada 25 Disember 1953, buat pertama kali Dr Haji Abbas Alias memimpin Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Beliau menegaskan, "Saya mengambil tempat ini (jawatan Yang Dipertua Agung PAS) kerana saya ingin melihat persatuan yang berdasarkan agama ini maju dan berkekalan...." Dalam mesyuarat pertama yang dipimpin oleh Dr Haji Abbas Alias ini, PAS memutuskan supaya penglibatan PAS dalam National Convention tajaan Umno-MCA ditamatkan kerana dasar-dasar mereka yang merugikan agama Islam dan orang Melayu. Walau bagaimanapun PAS mengambil pendirian untuk menyokong usaha menuntut pilihan raya segera diadakan ke arah berkerajaan sendiri.

Dalam tempoh antara Januari hingga Mei 1954, PAS terpaksa berhadapan dengan isu-isu yang besar dalam soal kenegaraan yang memerlukan kepemimpinan yang berkesan. Antaranya ialah penghantaran Rombongan ke London pada 21 April 1954 setelah kerajaan British sedia berunding tentang tuntutan pilihan raya segera, dan pada hari yang sama berlangsung Muktamar Islam Asia Tenggara di Kuala Lumpur kerana membincangkan hukum penyertaan umat Islam dalam pilihan raya. Ini ekoran terbitnya Kertas Putih Bilangan 21 pada 1 Februari 1954 tentang cadangan mengadakan pilihan raya. Perkembangan politik Tanah Melayu sepanjang awal 1954 terfokus kepada persoalan pilihan raya yang akan diadakan dan PAS sangat memerlukan pemimpin yang berkesan, sedangkan Dr Haji Abbas Alias yang berkhidmat sebagai Pegawai Kesihatan di Pejabat Kesihatan Malaya di Kelang menghadapi masalah perhubungan dengan Pejabat Agung PAS yang terletak di Kepala Batas, Seberang Perai.

Di sebalik usaha keras Dr Haji Abbas Alias mengemudi dan mengembangkan pengaruh PAS, pada Jun 1954, rombongan haji 1337 Hijriyah dari Tanah Melayu akan bertolak ke Mekah dan Dr Haji Abbas Alias sekali lagi akan memimpin pasukan perubatan jemaah haji. Ini memaksa beliau meninggalkan PAS antara Jun hingga November 1954, yang sekali gus memberi kesan buruk kepada kepemimpinan parti dalam menghadapi perubahan politik yang sedang berkembang ketika itu. Bagi menghadapi kelompangan kepemimpinan untuk tempoh lima bulan ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Mei 1954 telah memutuskan untuk membentuk dan melantik sebuah "Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS" untuk memimpin PAS.

Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS ini ditugaskan untuk mengendali dan memimpin PAS dalam tempoh pemangkuan sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga yang dijangka diadakan dalam bulan Ogos 1954 melantik seorang Yang Dipertua Agung PAS yang baru. Tiga tokoh yang diberikan amanah untuk memimpin PAS dalam Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS ini ialah Cikgu Ahmad Awang (Setiausaha Agung PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin (Bendahari Agung PAS) dan Haji Mansor Hassan JP (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Mereka berfungsi sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pads 12-14 Ogos 1954, di mana Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada pembukaan mesyuarat agung itu, sebelum Dr Haji Abbas Alias dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 14 Ogos 1954 yang sekali gus merungkai masalah kepemimpinan PAS.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Mei 2017

PENGUMUMAN oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada petang Khamis, 11 Mei 2017, menjadi satu titik tolak yang besar kepada PAS dalam meneruskan langkah penting untuk PAS memimpin perubahan politik Malaysia dengan Sejahtera Bersama Islam. Tindakan MSU dibuat dengan perkiraan syarak seperti mana ketika meluluskan juga tahaluf siyasi dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Kehujahan yang dilakukan oleh MSU tidak boleh dipertikai lagi sekiranya semua faham rujukan PAS adalah Quran, sunnah, ijmak dan qias. Dalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, berlaku banyak perlanggaran perjanjian, dan kebiasaannya mereka yang melanggar perjanjian tidak diberi muka lagi seperti Yahudi Bani Qaynuqa yang melanggar piagam Madinah, Yahudi Bani Nadhir yang khianat kepada Islam. Ataupun seperti mana putusnya Sulh Hudaybiah, apabila Qurays melanggar perjanjian dengan menolong Bani Bakr yang bertelingkah dengan Bani Khuzaah yang mempunyai ikatan dengan Kerajaan Islam Madinah.

Putusnya Tahaluf, Kebebasan PAS bergerak memimpin Perubahan

Sebelum memutuskan Tahaluf Siyasi dengan PKR, PAS sudah telah menyusun jalan yang bertepatan dengan pemahaman syariat dan sirah Nabawi dalam meneruskan perjuangan Islam di Malaysia ini. Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) adalah salah satu yang jelas kelihatan di mata umum. PAS berjaya menunjukkan kefahaman sebenar bagaimana perbezaan antara politiking pilihan raya dan juga politik taawun dan tafahum dalam membina negara dan menyelesaikan masalah negara dan umat.

Harapan membawa perubahan dengan Islam dinyatakan dengan jelas dalam Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kedah, baru-baru ini. Tema Sejahtera Bersama Islam menunjukkan keyakinan PAS untuk terus membawa Islam sebagai penyelesaian yang membawa sejahtera kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat Malaysia.

Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara (WIN), Gagasan Penyelesaian PAS yang perlu Ke Hadapan

PAS sudah terlepas beban untuk menunjukan jalan keluar kepada setiap masalah dalam negara ini termasuk dalam negeri Selangor. Dokumen Hijau PAS adalah salah satu cadangan PAS yang bertepatan dengan pendekatan BMPS sebagai nasihat penyelesaian kepada Negara untuk dilakukan atau kepada PAS bila memerintah nanti. Waktu yang sama, masalah-masalah baru yang dijangka berlaku seperti masalah penswastaan air Selangor dan juga kemungkinan-kemungkinan kegagalan kerajaan negeri sekarang menyelesaikannya secara mengutamakan rakyat, PAS boleh bersedia memberi penyelesaian tanpa terikat dengan alasan tahaluf siyasi yang cuba dikatakan oleh kebanyakan orang.

Secara umumnya, dengan pengumuman MSU memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR, PAS telah memulakan langkah maju ke hadapan tanpa perlu terikat dengan masalah-masalah berangkai melibatkan rakan tahaluf sebelum ini. Yang penting untuk diutamakan sekarang adalah menerangkan gagasan-gagasan PAS dan membuktikan bahawa PAS mampu membawa perubahan negara dengan Sejahtera Bersama Islam.

Ahmad Hakimi Othman
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor
Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan PAS Pusat
12 Mei 2017 / 15 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 12/5/2017

KESULTANAN Mughal (atau Mongol) adalah kerajaan Islam yang terakhir di India sejak masuknya Islam ke benua kecil ini pada tahun 711 melalui gerakan yang dipimpin oleh Panglima Muhammad al-Qassim di Sind. Setelah itu, perluasan Islam di India dilakukan oleh Kerajaan Ghaznawi (977-1186) apabila Kandahar dan Kabul jatuh ke tangan Islam pada tahun 998, diikuti kejayaan Sultan Mahmud Ghaznawi menawan Delhi dan Gujerat sehingga 1025. India kemudiannya dikuasai pula oleh Kesultanan Ghowri (1000-1215), sebelum terbentuknya Kesultanan Delhi (1206-1526) yang menyebabkan pengaruh Islam berkembang ke seluruh benua India.

Kesultanan Delhi yang terdiri dari Dinasti Mamluk (1206-1290), Khilji (1290-1320), Thuglaq (1320-1413), Sayyid (1414-1451) dan Lodi (1451-1526) telah menguasai wilayah utara India atau kawasan Hindustan sekarang. Kerajaan Islam lain yang wujud ialah Kesultanan Deccan (1347-1687) di tengah India, Kesultanan Bangla (1343-1576) di timur India, Kesultanan Gujerat (1398-1513) di barat India, selain Kesultanan Janpur (1349-1477) dan Kesultanan Malwa (1401-1534). Pada 1526, telah bangkit Kesultanan Mughal di Delhi yang kemudiannya menguasai seluruh India pada abad ke-17 dan 18, sebelum ia dijatuhkan oleh British pada 1857. Kejatuhan Kesultanan Mughal pada 1857 telah menamatkan penguasaan Kerajaan Islam di India selama 11 abad sejak 711.

Hal ini menimbulkan kebangkitan umat Islam selepas berlakunya Dahagi 1857. Muncul dua tokoh pembaharu (reformis) yang penting di India ketika ini iaitu Syed Ahmad Khan (1817-1898) dan Dr Mohammad Iqbal (1877-1938) yang dianggap pelopor kebangkitan Islam. Pada 1875, Syed Ahmad Khan mengasaskan Muhammadan Anglo-Oriental College (kemudian dikenali sebagai Aligarh Muslim University) sebagai universiti Islam yang pertama di India, diikuti oleh penganjuran Muhammadan Educational Conference sejak 1886. Melalui persidangan pendidikan ini, pada 30 Disember 1906, umat Islam telah menubuhkan All India Muslim League (AIML) yang dipimpin oleh Agha Khan III. AIML yang memperjuangan pemisahan India dan menyokong British telah tidak mendapat sokongan umat Islam sehingga ia didukung oleh Mohammad Iqbal dan kemunculan Mohamad Ali Jinnah pada 1913 sebagai pemimpin utamanya. Pada 1916, melalui Pakatan Lucknow, AIML telah mengadakan kerjasama dengan parti Kongres India untuk membendung perbalahan Muslim-Hindu di India, sehingga akhirnya timbul gagasan menubuhkan Pakistan untuk memisahkan Muslim dan Hindu.

Di sebalik gerakan AIML yang berbau sekular kebangsaan dan pro British, dua reformis Islam yang muncul di Delhi lebih awal iaitu Syah Waliyullah ad-Dehlawi (1703-1762) dan Syed Jamaluddin al-Afghani (1838-1897) turut memberi pengaruh. Al-Afghani yang berada di Delhi pada 1855-1856 turut menyaksikan saat kejatuhan Kesultanan Mughal, telah mengemukakan gagasan Pan-Islamisme kepada Khalifah Othmaniyah yang turut berpengaruh di India dan Alam Melayu. Oleh kerana Kesultanan Mughal adalah cabang kekhalifahan Othmaniyyah sejak 1526, pergolakan politik yang menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II di Istanbul oleh gerakan Revolusi Turki Muda pada 1908 telah dianggap ancaman yang menggugat kekhalifahan. Kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang turut melibatkan Khilafah Othmaniyah telah mewujudkan Gerakan Khalifat di India antara 1919-1924 yang dipimpin oleh Muhammad Ali dan Shaukat Ali bersaudara.

Dalam pada itu, pada 1867, ulamak-ulamak pengikut ad-Dehlwi seperti Abdul Rashid Ahmad Gangohi, Mohammad Qassim Natotvi dan lain-lain telah menubuhkan Darul Ulum Deoband, sebuah universiti yang menentang Pakistan. Kerana kegagalan dasar AIML, mereka kemudiannya menubuhkan Jamaat Ulamak Hind pada 1916 untuk membela dan mempertahankan Islam dan menjadi induk gerakan-gerakan ulamak di India. Jamaat Ulamak Hind ini dipimpin oleh Maulana Syed Hussain Ahmad Madani dengan didukung oleh keseluruhan ulamak Deoband. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan Kongres India dalam perjuangan kemerdekaan dan perpaduan Muslim-Hindu, tetapi memperjuangkan India sebagai sebuah negara Islam dengan menolak pemecahan India-Pakistan. Beberapa ulamak Deoband seperti Sheikh Rahmatullah Khan dan Maulana Ubaidullah Sindi yang kuat memperjuangkan negara Islam telah dibuang negeri oleh British dan menubuhkan Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah di Mekah. Muhammad Iqbal yang awalnya menyokong AIML, telah beralih mendukung Jamaat Ulamak Hind kerana mahukan sebuah negara yang melaksanakan syariat.

Kegagalan AIML mendukung perjuangan Islam kerana pengaruh sekular kebangsaan, kelumpuhan Gerakan Khalifat pada 1924 ekoran penangkapan pimpinannya dan perpecahan Jamaat Ulamak Hind lantaran isu pembentukan Pakistan sepanjang dekad 1930-an, telah mendorong seorang tokoh ulamak India, Syed Abul A'la al-Maududi membentuk gerakan Islam berpusat di Pathankot dengan sokongan Muhammad Iqbal pada 1938, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Jamaat Islami pada 26 Ogos 1941 dengan matlamat menegakkan negara Islam. Selepas pemecahan India-Pakistan pada 1947, Jamaat Islami juga turut berpecah mengikut negara di seluruh benua India.

Perkembangan gerakan Islam di India selepas 1857 telah memberi kesan besar terhadap gerakan Islam di Tanah Melayu. Pada peringkat awal, Gerakan Khalifat yang mendukung Pan-Islamism mula berkembang di Singapura dan memberi pengaruh kepada Jam'iyat Khair di Jakarta, di mana ia kemudiannya berkembang dalam Sarekat Islam. Ketika berlakunya pemberontakan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada 1924-1928 yang menjulang "Bendera Stambul (Istanbul)," British segera merumuskannya sebagai "wing of Sarekat Islam." Selepas 1930, mula terdapat pelajar-pelajar Melayu yang belajar di India dalam sistem Deoband dan juga Aligarh, selain mengikuti pengaruh Deoband di Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah di Mekah. Akhirnya, pengaruh India menjadi dominan dalam politik Islam di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Dalam aliran Aligarh, tokoh terbesar yang lahir ialah Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Dato' Abu Bakar Umar (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS). Manakala aliran Deoband pula melahirkan Tuan Guru Haji Abbas Mohamad (bekas Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu Utara), Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Mufti Haji Ishak Baharom (bekas Ahli Majlis Syura PAS), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am PAS) dan lain-lain. Sedangkan menerusi Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebahagian besar ulamak pengasas PAS termasuk Mufti Haji Ghazali Abdullah (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS) adalah antara alumninya.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 11/5/2017

SEPERTI yang sudah dinyatakan dalam tulisan lepas, Azmin tidak akan berani cari pasal dengan PAS. Beliau tahu tanpa PAS, tiada lagi yang boleh diharapkan. Pimpinan PKR sudah lama berbulu mata melihat Azmin di tampuk kuasa itu. Kini bulu itu tambah lebat bila exco-exco PAS juga masih di situ.

PAS memiliki 13 kerusi Dun sahaja di Selangor. Ia bersamaan dengan 23% daripada jumlah 56 kerusi di Selangor. Untuk memerintah, 29 kerusi diperlukan. Secara asasnya PAS tidak mampu memerintah dengan hanya 13 kerusi ini sahaja.

Tetapi apa yang dapat kita lihat, PAS berdaya untuk kekal dalam kerajaan Selangor walaupun hampir pasti tidak lagi bertahaluf dengan PKR. Pengumuman Azmin semalam untuk mengekalkan PAS membuat rakan-rakan PH terlopong kempunan. Dengan kuasa eksekutif utama negeri, PAS boleh terus membawa agenda perjuangannya tanpa perlu lagi terikat dengan disiplin atau perjanjian dengan mana-mana parti politik lain.

Itulah hikmatnya kingmaker. Di peringkat nasional, PAS mensasarkan 40 kerusi sahaja, iaitu sekitar 18% dari jumah 222 kerusi parlimen Malaysia. Walaupun tampak lebih kecil bilangannya, tetapi situasi kerusi itu tidak boleh disamakan dengan Selangor kerana BN di sana lemah. Di peringkat nasional, kekuatan PH dan BN boleh dikatakan sekata sekarang. Maka 40 kerusi sudah cukup untuk berperanan sebagai kingmaker.

PAS bijak menggunakan kerakusan nafsu politikus untuk berkuasa sebagai leverage menjadi kingmaker. Matlamat politikus dalam politik sememangnya mahu berkuasa, walau apa jua cara. Jika mereka melihat dengan bersama PAS mereka mampu meraih kuasa, maka mereka tidak akan teragak-agak walaupun secara zahirnya agenda perjuangan antara mereka dan PAS amat berbeza. Inilah ajaran politik Machiavelli.

Dengan kerakusan ini, bargaining power PAS akan lebih kuat. PAS akan tawarkan sesiapa sahaja boleh menumpang kekuatan PAS untuk sama-sama mendapatkan kuasa, dengan syarat mereka boleh setuju dengan agenda perjuangan PAS. PAS tidak kisah individu mana sekalipun di teraju utama negara, asalkan mereka boleh pastikan agenda perjuangan PAS direalisasikan.

Najib nak jalankan Islam? Silakan. Lim Kit Siang sanggup peluk Islam dan mahu laksanakan Islam? Silakan. Asalkan agenda Islam mengikut perancangan. Biar PAS di belakang mencatur. Mereka di depan hanya bertindak akur.

Jika mereka ingkar setelah berkuasa, PAS boleh batalkan kerjasama bila-bila yang menyebabkan kehilangan kuasa dan jatuh. Sanggupkah mereka? Kini Azmin sudah menunjukkan contoh, apakah mereka berani atau tidak.

Inilah maksud kingmaker. Raja pencatur.

1. TAHALUF BUKAN BERGABUNG
Tahaluf adalah bermaksud perjanjian bersama atau kerjasama. Ia bermaksud beberapa pihak yang berbeza bersatu atas titik-titik yang dipersetujui bersama dalam perjanjian.

Maka tahaluf tidak bermaksud mereka adalah sebahagian dari kita dan kita sebahagian dari mereka. Kita cuma bergerak bersama dalam satu kenderaan untuk ke destinasi tertentu. Bila sampai di destinasi yang dimaksudkan, masing-masing akan teruskan dengan agenda masing-masing.

Prinsip agree to disagree adalah satu kemestian dalam tahaluf. Kita tak boleh perjuangkan apa yang mereka perjuangkan, dan kita tak boleh minta mereka bersetuju dengan semua agenda kita.

Kalau buang prinsip ini, maka tiada lagi erti tahaluf. Ia sudah bertukar kepada indhimam atau indimaj bererti bergabung dan menyertai. Perjuangan kita dan perjuangan mereka jadi sama. Kalau mereka beragenda meminggirkan agama dari politik, Adakah kita sanggup melaksanakan agenda sama?

2. TAHALUF BUKAN SEKADAR DALAM PERKARA POLITIK
Secara umumnya orang faham tahaluf itu adalah kerjasama politik. Tapi bukan semua tahaluf itu bersifat siyasi dan bukan juga semua tahaluf siyasi itu bermatlamat siasah walaupun anggotanya adalah institusi politik.

Boleh jadi objektif utama tahaluf siasi lebih kepada dakwah. Contohnya matlamat kerjasama dengan parti dominasi bukan Islam sebenarnya untuk menembusi kelompok bukan Islam supaya Islam sampai kepada mereka. Dengan tahaluf siyasi, kita boleh dijemput ke pentas parti bukan Islam dan berkenalan dengan sasaran mereka. Sudah tentu ia menguntung dakwah.

Boleh jadi juga tahaluf antara parti politik bermatlamat kebajikan. Contohnya bertahaluf dengan parti yang memiliki kuasa atau yang memiliki pengikut ramai. Tujuannya adalah supaya agenda kebajikan dapat dilakukan melalui kuasa yang mereka ada ataupun dengan pengaruh mereka terhadap pengikutnya.

3. TAHALUF BUKAN SEKADAR UNTUK PILIHAN RAYA
Apa yang berlaku di Malaysia, parti-parti politik cuma bergabung hanya untuk menghadapi pilihan raya. Wacana yang sering diketengahkan untuk menjustifikasikan tujuan pakatan atau kerjasama yang dibuat hanyalah supaya dapat memenangi pilihan raya.

Keadaan ini telah menyebabkan banyak parti politik yang bercerai berai usai pilihan raya. Apabila sudah dapat kuasa yang dikehendaki, mulalah mereka buat hal kepada rakan tahaluf kerana merasakan rakan itu tidak lagi diperlukan untuk pilihan raya akan datang, atau mengganggu agenda sebenar mereka.

Ini sekaligus adalah bentuk pembodohan terhadap rakyat. Rakyat mengundi satu-satu pihak adalah bertujuan untuk dipimpin oleh mereka. Kalau selepas PRU mereka ubah haluan atau bentuk kerjasama, maka mereka telah melakukan pengkhianatan terhadap kepercayaan dan undi rakyat.

Sebaliknya dengan bertahaluf selepas pilihan raya, ia adalah satu perkara yang baik. Masing-masing membawa kekuatan tersendiri hasil sokongan rakyat terhadap ideologi perjuangannya dan bekerjasama untuk menguruskan politik negara, sama ada menjadi pemerintah bersama atau pembangkang bersama.
Model tahaluf sebegini lebih profesional dan rasional untuk kebaikan rakyat. Ia boleh jadi sebagai unity government ataupun government coalition. Turki, UK, Palestin dan Tunisia antara negara yang mengamalkannya.

4. TIDAK BERTAHALUF TIDAK BERERTI TIDAK BOLEH BERSAMA
Tidak ada sebarang persefahaman politik tidak bermakna bermusuhan. Jika bermusuhan sekalipun, tidak bermakna tidak boleh langsung duduk sekali. Hatta jika ada ketetapan untuk tidak terlibat dengan sebarang akitiviti parti tertentu sekalipun, ia masih tidak bermakna tidak bertegur sapa dan menjauhi terus ahli parti tersebut.

Tahaluf hanya untuk mencapai matlamat bersama dalam beberapa perkara. Tanpa berkongsi matlamat yang sama sekalipun, perbezaan wadah politik sama sekali tidak boleh menafikan hubungan sesama insan.

5. TAHALUF ANTARA PARTI DAN TAHALUF SESAMA ORGAN NEGARA
Perlu dibezakan antara kerjasama sesama parti politik dan kerjasama dengan kerajaan, NGO, syarikat atau mana-mana individu undang-undang (legal person). Meminta kerjasama JKKK ahli Umno untuk menandatangani borang permohonan ahli PAS tidak bermakna PAS telah bekerjasama politik dengan Umno.

Berapa ramai ahli PAS yang menjadi guru di sekolah-sekolah kerajaan? Berapa ramai ahli PKR yang bekerja sebagai penjawat awam? Semua mereka secara adalah kakitangan kepada kerajaan, yang mana ketuanya adalah Perdana Menteri Malaysia. Bukan ahli Umno. Dia presiden Umno!

6. TAHALUF BUKAN SATU-SATUNYA BENTUK PERHUBUNGAN
Dalam fiqh dakwah dan siasah Islam, tahaluf bukan hanya satu bentuk jalinan yang boleh diadakan antara institusi Islam dan pihak lain. Perlu difahami bahawa di sana terdapat konsep lain seperti Taawun, Himayah, Sulh, Muahadah dan sebagainya.

Jika tidak dapat mencapai syarat-syarat tahaluf, maka tidak semestinya tidak boleh ada langsung hubungan dalam bentuk yang lain. Boleh dilihat konsep-konsep yang lain untuk diterapkan mengikut syarat-syarat khususnya.

Walaupun ditakdirkan antara PKR dan PAS tidak lagi memiliki tahaluf, maka tidak semestinya PAS wajib memisahkan diri dari semua negeri yang diterajui PKR. Perlu dilihat dari sudut undang-undang, kesan dan ruang yang ada bagaimana boleh untuk meneruskan agenda agama dan rakyat melalui kuasa yang ada tanpa mempedulikan hubungan politik yang dingin. – HARAKAHDAILY 9/5/2017