TAK payah lah nak berperang dengan saya. Saya tak gugat sesiapa. Saya pegang jawatan AJK PAS Pusat bukan saya lobi dan mengampu. Perwakilan yang pilih saya. Saya duduk dalam AJK Dewan Ulamak PAS Pusat kerana AJK DUPP yang lantik saya. Saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah DAKWAH PUSAT kerana cadangan Harian Pusat bukan saya hantar permohonan.

Saya sandang jawatan Ketua DUP Negeri bukan dengan cara guling ketua terdahulu tapi saya dipilih melalui muktamar DUP Negeri. Sebelum saya dipilih ke jawatan di atas, saya pernah menyandang jawatan YDP Paya besar, Timbalan Ketua Pemuda Negeri dan Ketua Pemuda Kawasan Temerloh.

Sebelum itu saya hanya ahli biasa. Saya dah biasa tiada jawatan. Namun khidmat saya kepada parti saya buat sekadar kemampuan dan tak pernah terfikir nak buat parti sendiri dan saya angkat diri jadi presiden parti itu. Kalaupun nanti saya tak dipilih dan tak pegang apa-apa jawatan saya tetap begini. Setia saya kepada parti tidak berbelah bagi selagi parti ini setia dengan perjuangan Islamnya.

Jangan duk ungkit pasal ada mesyuarat parti yang saya tak hadir. Itu adalah kerana saya terpaksa hadir mesyuarat yang lain yang juga waktu yg sama. Jangan buat alasan kononnya status saya keras dan kasar. Itu adalah kerana terpaksa respon kepada manusia yang biadap dengan ulamak dan Islam. Kalau sekadar maki saya dan fitnah saya.. lantak kamu lah. Sya tak penting. Ada ataupun tiada. Tapi parti dan Islam adalah penting untuk terus ada hingga hari kiamat.

Jangn berbalah dengan saya. Sebab saya tak rebut kerusi sesiapa. Saya tak pernah tawar diri untuk mana-mana kerusi dan bahkan tak pernah bertanya di mana kerusi untuk saya. Kalaupun tiada jawatan saya masih ada pondok, kolej dan maahad tahfiz untuk saya berkhidmat sebelum digelar JENAZAH.

Jadi, tak payah berpolitiking dengan saya kerana saya tak pernah rampas dan rebut hak sesiapa. Cuma saya ingatkan. Jangan kamu kurang ajar dengan Islam, dengan jamaah, dengan ulamak dan pimpinan yang jujur. Saya akan memusuhi kamu. Ketika kamu menyerang Islam saya yakin ramai akan berdiri di belakang saya untuk sama-sama kembali menyerang kamu. – HARAKAHDAILY 19/4/2017

SAMA ada yang rasmi atau tidak, terlantik mahupun sukarela, saya dedikasikan pesanan ini buat semua yang berkhidmat membantu PAS di ruang siber.

Ringkas sahaja, melihat kepada senario semasa. Mungkin banyak lagi yang belum disebutkan sebagai garis panduan. Moga-moga ia dapat membantu meningkatkan kualiti kita semua.

1. UTAMAKAN MENERANG DARI MENYERANG
Agenda utama PAS berpolitik adalah untuk membawa Islam. Justeru kita mempunyai bahan tersendiri untuk dipersembahkan kepada rakyat. Sikap terlalu menyerang seteru politik akan menyebabkan orang tidak jelas apa motif dan isi perjuangan kita.

Gelaran cybertroopers atau mujahid siber menyebabkan kita kadang terkeliru peranan asal di medan media. Perkataan troopers dan mujahid itu membuatkan kita lebih suka menyerang. Jika tak menyerang maka seolah-olah kita tidak menjalankan kerja yang sepatutnya.

BPMS, Dokumen Hijau, Blok ketiga, kerajaan teknokrat, RUU355, dan banyak lagi agenda-agenda kita yang perlu diperjelaskan. Biarlah perbezaan menerang kepada menyerang dalam nisbah 75:25 atau 80:20 sahaja.

2. PULANGKAN PAKU BUAH KERAS
Dalam menggunakan pendekatan menyerang pula, biarlah kita melebihkan serangan dari membela atau menjawab sesuatu tuduhan ke atas PAS. Kerana menjawab atau membela meletakkan kita dalam posisi bertahan. Ia bukanlah posisi yang baik jika mahu menang dalam pertempuran. Maka perlu amalkan falsafah “menyerang adalah bentuk pertahanan terbaik”.

Maksudnya, jika PAS dituduh salah, alih peluru itu kepada si penuduh. Jika PAS dituduh UG, selain dari menafi, lebih baik buktikan tahap UG mereka pula. Seperti yang dibuat dalam kenyataan media terbaru Setiausaha Agung PAS. Rafizi menuduh PAS menerima 1MDB. Bukan setakat menafikan, malah beliau memulangkan peluru Rafizi dengan isu pendedahan duit dari John Soh.

Bukan bermakna tidak perlu menjawab atau membela langsung, tapi respon dengan lebih bijak. Lebihkan menyerang dalam nisbah 70:30.

3. MENYERANG DENGAN FAKTA, BUKAN AUTA ATAU NISTA
Jika mahu menyerang, gunakan fakta yang betul. Jangan buat tuduhan dari sumber separuh masak. Apatah lagi mereka-reka perkara yang tiada. Biarkan orang guna cara ini. Kita perlu berada atas garis Islam.

Jika mahu sentuh isu 1MDB, petik sahaja kenyataan pimpinan atau sebut sebagaimana apa yang media mainstream dedahkan. Begitu juga kalau mahu sentuh Banglo Lim Guan Eng, jawab kenyataan mereka seperti murah sebab tiada kolam renang, murah sebab feng shui tak baik. Jangan terus kata mereka perasuah selagi belum dibuktikan.

4. KAYAKAN BAHASA, USAH MENCERCA
Jangan juga menyerang dengan kata-kata kesat walaupun faktanya tepat. Mencarut, memaki hamun hanya menjauhkan orang dari kita. Orang mudah tolak fakta kita kerana bahasa yang diguna. Orang kita jiwanya lembut. Mudah simpati.

Bukan tidak boleh beruslub keras dan tegas, tapi laras bahasa perlu dicermati. Gaya bahasa al-Quran sangat baik untuk digunakan. Peribahasa atau kiasan melayu juga baik untuk dipersembahkan.

5. BELAJAR MERUJUK, TAK PERLU GELOJOH
Jika tidak pasti tentang sesuatu berita, amalkan tabayyun. Rujuk kepada pimpinan yang sepatutnya. Dapatkan sumber yang sahih.

Bina hubungan dengan mana-mana pimpinan agar maklumat yang diperolehi sentiasa selari dengan perspektif parti. Elakkan menjawab dengan andaian sendiri. Bimbang terpesong dari realiti.

6. JANGAN SENTUH PERIBADI
Setiap manusia tidak akan lari dari kekurangan dan kesilapan. Orang ada silap, kita juga ada silap. Tiada manusia yang dicipta sempurna Tetapi kita bukan menentang mana-mana parti kerana peribadi, atau individu mereka. Sebaliknya kerana dasar, tindakan dan pendirian mereka yang melibatkan kepentingan umum. Aib peribadi, bentuk fizikal dan tahap pencapaian usahlah disentuh.
Boleh kritik salah laku Najib dalam pentadbirannya. Tapi janganlah kaitkan dengan kepala botak, suka korek hidung atau tak lulus spm. Budaya melakar karikatur menghina fizikal juga usah diamalkan.

7. BUDAYAKAN DIAM
Bukan semua perkara kita wajib berkata, dan segera berkata. Ambil masa untuk selidik dan perhati. Jangan terburu-buru untuk menulis setiap yang terlintas.

Islam mengajar diam jika kita tidak mampu berkata-kata perkara yang memberi kebaikan. Ketahuilah diam itu adalah lambang kebijaksanaan.

Selain diam, amalkan juga tulisan yang ringkas dan padat. Letak satu posting dan abaikan komen. Komen satu kemudian biarkan ia dihurung seteru. Ia juga boleh menjadi salah satu teknik serangan yang hebat di medan media, yang akan membuatkan seteru tambah melenting jika tidak dilayan lalu menampakkan kelemahan mereka.

8. BAIKI NIAT, KAWAL NAFSU
Sentiasa betuli niat ketika bertempur di medan media. Syaitan akan sentiasa cari ruang untuk rosakkan amal kita walaupun pada awal, niat kita kerana Allah. Marah, iri hati, sangka buruk, berdendam, dan niat untuk mendapat pujian serta dilihat hebat akan mengganggu tujuan asal kita sebagai mujahid siber.

Provokasi adalah amalan wajib politik kotor. Jika tidak berhati-hati dan mengawal diri, mudah untuk kita mengikut apa yang seteru mahukan tanpa sedar.

9. LEBIHKAN LUARAN, KURANGKAN DALAMAN
Kadang-kadang ada beberapa perkara yang bersifat dalaman yang perlu diperbetulkan. Kurangkan mengguna medium terbuka untuk tujuan itu. Tumpukan media sebagai alat untuk memperbetulkan persepsi di luar parti.

10. UTAMAKAN KEBENARAN, JAUHI ASOBIYAH
Jangan sampai kerana ia parti kita dia ahli kita, dia pihak kita maka kita membelanya walaupun kita tahu mereka salah. Kita mesti berada di atas kebenaran sentiasa. Jika didapati pihak kita salah, tak perlu lagi membela tapi tidak bermakna kita perlu bertukar menyerangnya pula.

Nabi berkata, asobiyah itu adalah kamu membela saudaramu walaupun mereka yang zalim. Zalim di sini bukan sekadar menindas. Tapi apa jua perilaku yang bersalahan dengan syariat.

11. JADILAH PENYAMBUNG LIDAH PIMPINAN, BUKAN PENYAMBUNG LIDAH SYAITAN
Sentiasa perhatikan ucapan, kenyataan atau tulisan pimpinan. Sebarkan dan olah isi-isi dari mereka.

Bersikap responsif terhadapnya dengan cara memberi ulasan sokongan.

Jangan pula menyambut kata-kata dari pihak lain lebih dari pihak kita sendiri, walaupun ia bertujuan untuk menjawab atau menyerang kembali. Sikap itu hanya akan mempopularkan musuh dan menenggelamkan watak pimpinan.

Apatah lagi jika kita menyambut fitnah yang dilemparkan musuh. Secara tidak sedar, fitnah itu kita sebarkan. Mungkin niat kita mahu menjawab. Tapi dalam tak sedar kita sedang memperbesarkannya.

Jika ada keperluan untuk menjawab, kenal pasti dahulu sejauh mana berita itu berleluasa. Kawal sebaran jawapan supaya tidak menyebabkan yang tak tahu jadi tahu.

12. CIPTA ARUS SENDIRI, JANGAN TERPENGARUH PROVOKASI
Perlu sentiasa peka dengan muslihat musuh. Kadang-kadang mereka sengaja buat sesuatu supaya kita melenting atau menari mengikut paluan gendang mereka. Kita perlu bawa arus media yang tersendiri. Kadang-kadang mereka sengaja alih tajuk supaya kita tidak fokus kepada agenda asal.

Contohnya kejayaan membentang RUU355, cuba ditenggelamkan dengan dakwaan dana juta-juta. Pendedahan kaitan DAP dengan PAP, cuba dialihkan dengan isu tahi.

Belajar bagaimana media memainkan propaganda melalui kaedah framing, priming dan agenda setting.

13. PENYERU KE SYURGA BUKAN PENGHAMBAT KE NERAKA
Keberadaan kita adalah bagi menggalas tanggungjawab menyuntik kesedaran dalam masayarakat tentang kebenaran. Justeru tindakan kita mestilah memberi pulangan ke arah itu. Jangan bersikap terlalu responsif sehingga lupa tanggungjawab di atas.

Biarlah hasil tulisan kita bersifat mengajak ke arah kebenaran, bukan semata-mata menyerang sampai tak bagi peluang bernafas. Memang seronok bila menang hujah. Tapi lebih indah jika hujah kita boleh menginsafkan walaupun zahirnya tak menang.

Azam kita nak tarik seramai mungkin ke syurga. Hanya iblis yang berazam menghantar orang ke neraka.

14. TAMBAH ILMU, DALAMI AGAMA
Jangan merasa cukup dengan maklumat dan ilmu di dada. Sentiasa hadiri sesi penerangan, program, kuliah dan seumpamanya bagi memantapkan kefahaman tentang Islam, perjuangan dan isu semasa. Ia semua adalah peluru bagi seorang mujahid.

Ikat diri dengan jemaah sentiasa. Wajibkan seminggu sekali paling kurang, ada perjumpaan fizikal dengan ahli lain dalam apa jua program jemaah. Banyak berkatnya berhimpun sesama orang beriman, sefikrah dan sewadah.

15. TUMPUKAN SASARAN
Biar kita tahu kepada siapa kita mahu tujukan sebarang sebaran atau tulisan. Tersilap sasaran hanya akan merugikan peluru.

Pasaran PAS adalah orang Islam dan orang Melayu. Pastikan fakta, tahap dan bahasa kita boleh diterima oleh kebanyakan orang Islam dan Melayu.

16. SINGKIR EGO, BERANI MAAF
Andai sudah melakukan kesalahan terbuka, berani juga mengaku salah secara terbuka. Abaikan ego dalam diri. Tidak ada ruginya meminta maaf. Bahkan mungkin mampu menambat hati sesetengah orang. Ingat pepatah, orang sombong selalu rugi.- HARAKAHDAILY 19/4/2017

APA yang terpenting dari peristiwa Israk dan Mikraj adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW. Diperlihatkan kebesaran kerajaan Allah SWT supaya baginda sedar bahawa tugas kerasulannya kepada seluruh umat hingga ke hari kiamat, adalah terlalu kecil jika dibanding dengan kekuasaan Allah SWT.

Segala kuasa yang menentang Islam, termasuk kuasa besar yang ada pada hari ini, ibarat habuk yang halus sahaja di sisi kuasa Allah SWT.

Kita menyaksikan, selepas kejatuhan Soviet Union, ratusan juta umat Islam diserang, ditindas, dibelasah, dijajah, diseksa, dan dibunuh oleh penjajah Timur dan Barat. Penjajah Barat ialah negara-negara Kapitalis, negara Eropah, negara Kristian. Timur pula adalah negara Komunisme. Negara umat Islam dipecah-pecahkan, dibahagi-bahagikan antara kuasa-kuasa besar. Umat Islam dihancur leburkan.

Namun, kita juga menyaksikan cahaya Islam tidak padam. Agama ini bukan sahaja tidak berjaya disekat, malah ia terus berkembang dan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Dalam keadaan umat Islam begitu lemah ini, Allah menunjukkan kekuasaan-Nya yang Maha Besar.

Di Amerika, dalam ratusan juta rakyatnya, puluhan juta daripadanya telah memeluk Islam. Di India, dalam bilion rakyatnya, ratusan juta memeluk Islam. Di China, ratusan juta umat Islam. Di Rusia, jutaan daripadanya adalah muslim.

Allah menunjukkan, di negara-negara yang menjadi pusat untuk menentang Islam, rakyat mereka memeluk Islam dalam jumlah yang besar. Ini kekuasaan Allah yang boleh kita lihat pada hari ini.

Inilah antara bukti dari Israk dan Mikraj. Untuk menghiburkan hati Nabi SAW supaya tidak merasa lemah dan takut. Dan Nabi pernah menegaskan bahawa Allah akan pasti akan menyempurnakan urusan menyebarkan ajaran Islam ini. Nabi juga pernah menyatakan bahawa Islam akan sampai di mana sahaja sampainya siang dan malam.

Oleh itu kita bersama Islam ini, jangan rasa takut dan hina. Walaupun umat Islam dalam keadaan lemah, jangan sekali-kali merasa takut dan lemah. Kerana agama kita adalah agama Allah.

Sebab ramai orang Islam sekarang merasa hina, merasa takut nak mengaku Islam. Takut nak mengamalkan Islam. Merasa rendah diri dengan Islam.

Sebagai seorang Islam kita hendaklah sedar, kita adalah mulia di sisi Allah SWT. – HARAKAHDAILY 14/4/2017

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 17 Rejab 1438 14 April 2017 di susun oleh Alang Ibn Shukrimun.

MULAI minggu yang bermula Isnin 10 April 2017, senarai penuh calon-calon ahli jawatankuasa kerja pusat, dan dewan-dewan untuk dipertandingkan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-63 telah dikeluarkan. Ketulusan parti dalam mendepani cabaran organisasi cukup jelas, apatah lagi senarai-senarai tersebut boleh saja dilihat oleh sesiapa saja.

Meskipun kita dilingkungi suasana ambang pilihan raya umum ketika ini, ia tidak sekali-kali membataskan pendirian parti untuk terus memperkukuh organisasi melalui pemilihan kepimpinan. Apa yang perlu digusar? Adanya PAS dalam medan siasah bukan sekadar untuk menang pilihan raya dan berpolitik semata-mata.

Para pendukung PAS telah diberi kefahaman betapa keberadaan mereka di mana-mana bahagian organisasi parti bukanlah untuk kepentingan diri. Adanya kita di mana-mana bahagian parti adalah untuk berusaha menyerlahkan Islam melalui medan siasah agar rahmatnya dapat dirasai semua insan. Justeru, pemilihan hanyalah sebagai usaha para pendukung untuk meletakkan mereka yang terbaik bagi memimpin organisasi dari semasa ke semasa.

Buat kalian yang akan melangkah ke dewan muktamar sebagai perwakilan, agenda berkebajikan yang sedang diterajui parti haruslah terus diperkasa oleh seluruh jentera dan pendukung parti. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS hanyalah entiti yang dipertanggungjawab untuk terus memastikan agenda ini terus diberi penumpuan khusus. Di tangan kitalah penentu akan bangun atau jatuh agenda yang ditentukan.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan yang harus diberi perhatian para perwakilan termasuklah program bagi menjaga kepentingan ahli sebagai jentera dan pendukung utama. Ia  adalah antara skop tugas yang diberi penumpuan melalui LKKP.

Setiap ahli adalah nadi kepada parti. Apatah lagi bila ia terlibat langsung sebagai pendukung. Antara program pemerkasaan ahli sebagai jentera parti termasuklah program pembangunan murabitun dan penganjuran Skim Kifalah Ahli-ahli PAS atau Skimpas.

Melalui program pembangunan murabitun, hasrat kepimpinan adalah memastikan sedaya mampu kebajikan dan kepentingan para petugas parti sama ada sepenuh masa mahupun separuh masa sentiasa terpelihara. Begitu juga melalui program Skimpas, ia dirangka bagi meringankan bebanan ahli atau para waris pada waktu-waktu sukar.

Tanggungjawab ahli dan pendukung parti kepada parti adalah memberi apa jua dalam kemampuan bagi memastikan gerak kerja mendaulatkan Islam berjalan lancar. Peranan tersebut telah tersedia dimaklumi dan dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh sekalian pendukung. Di pihak organisasi pula, program-program di atas dirangka bagi meletakkan kepentingan ahli sebagai pendukung dan jentera parti sentiasa dilindungi dan dipelihara.

Melalui hubungan dua hala inilah, PAS harus dipacu sebagai gerakan Islam yang sedia terkehadapan bagi memimpin ummah pada posisi pembangkang mahupun sebagai pemerintah sebaik tiba waktunya. - HARAKAHDAILY 14/4/2017

LUMRAH makhluk Allah termasuklah manusia, mereka akan memusuhi dan menyerang siapa yang lebih di atas dan superior daripadanya.

Contohnya, semua pasukan Liga Super Malaysia akan menjadikan team seperti Pahang, Kedah dan JDT sebagai lawan yang perlu dikalahkan. Mana-mana pasukan yang dapat mengalahkan 3 team yang kuat ini dikira satu kebanggaan dan pencapaian yang baik. Demi mencapai matlamat, pasukan yang nak lawan 3 team ini akan rangka pelbagai taktik dan strategi.

Jika pasukan bola Brazil mengalahkan Malaysia, keputusan perlawanan tersebut mungkin tak keluar pun dalam berita surat khabar di Brazil kerana itu sebenarnya bukan berita yang ada nilai berita. Tapi kalau Malaysia kalahkan Brazil, mungkin ia tetap akan disebut dan dipertuturkan selepas 30 tahun mendatang.

Dalam politik begitu juga. Bila semua serangan ditujukan kepada PAS, ia adalah gambaran bahawa PAS adalah superior dan dominan dalam arus politik Malaysia sekarang. Lantas PAS perlu dijatuhkan dan dirosakkan imejnya.

Mungkin kedengaran agak pelik bila PAS yang menjadi sasaran serangan kerana PAS bukanlah sebuah parti pemerintah yang berkuasa. Malah kerusi Parlimen milik PAS lebih sedikit bilangannya dari yang dimiliki oleh penyerang seperti DAP dan PKR. Itu belum lagi dikira kerusi Parlimen PAS yang dibawa lari oleh khadam mereka seperti Shah Alam, Kota Raja, Kuala Krai, Tumpat, Kuala Terengganu, Parit Buntar dan kelihatannya Pokok Sena pun sudah semakin condong menyembah bumi.

Sebenarnya inilah hasil yang kita tuai apabila PAS terus teguh dan merasa izzah dengan aqidah serta prinsip perjuangan walau pelbagai badai melanda sehingga akhirnya kita kelihatan begitu terhormat di persada politik tanah air lalu mereka yang berpenyakit hati memandang kita dengan pandangan benci dan iri hati.

Perpaduan dalaman PAS sekarang berada pada tahap yang paling optimum ditambah lagi sokongan kepada kepimpinan Presiden bersama Timbalan Presiden kelihatan padu apabila kedua-dua jawatan ini diisytiharkan menang tanpa bertanding menjelang Muktamar Tahunan ke-63 di Alor Setar akhir April ini.

Kesepaduan dan kekuatan kita tentunya dicemburui. Paling ketara cemburu adalah parti yang berdebar-debar menunggu bagaimana nasib hubungan mereka bersama PAS yang akan dibahas dan diputuskan oleh muktamar nanti. Cuma walaupun belum lagi kita potong putus, nampaknya mereka telah menyiapkan gunting untuk dihulurkan kepada kita agar memudahkan kerja kita memotong riben tahaluf ini!

Serangan demi serangan ditujukan kepada PAS termasuklah yang terkini bagaimana pakar strategi PKR terkial-kial untuk mengaitkan PAS terima dana dari 1MDB. Sekejap kata orang yang rapat dengan PAS. Sekejap pula kata bekas pimpinan PAS yang terima dana. Mungkin lepas ini timbul orang yang rapat dengan bekas pimpinan PAS pula terima dana.

Percubaan untuk nak bunuh karakter Tuan Guru Presiden PAS tak semudah yang kamu sangka. Gerak langkah seorang ulama akan menjawab serangan kamu. Ketika kamu sedang lena tidur, ulama sedang menitiskan air mata atas sejadah. Kamu pasang segala pakar strategi, kamu lupa seorang ulama dilindungi Allah.

Itu belum kira lagi saya dan ratusan ribu lagi yang sayangkan ulama akan bersedia mempertahankan setiap inci serangan.

Akhirnya kamu akan sedar bagaimana kesudahannya. Tak sedar di dunia, di akhirat kelak. - HARAKAHDAILY 13/4/2017

Penulis ialah Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.

FIRMAN Allah swt dalam surah al Ahzab ayat 9-10, maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
"Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan."

PAS kini menjadi sasaran pelbagai sudut sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Apabila PAS memimpin gagasannya sebagai pembangkang Blok 3.

Pendekatan terbaru PAS menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta usaha gigihnya memartabatkan Islam melalui usaha Pindaan Rang undang-undang Akta 355 dipandang sinis. PAS terus tidak henti-henti menjadi sasaran serangan musuh yang bersifat anti Islam dan pengkhianat perjuangan Islam yang tidak senang dengan kemajuan dan kemampuan PAS dengan rangkaian rekayasa fitnah dan tohmahan bagi mendiskreditkan PAS.

Pendirian PAS terbaru ini adalah bagi menegaskan prinsip bahawa PAS tidak akan bersama dengan mereka yang keras anti kepada islam dan juga pengkhianat perjuangan Islam.

Serangan dan kepungan terhadap PAS ini mengembalikan nostalgia kenangan sirah yang berlaku terhadap Islam dan negara Madinah pimpinan Nabi saw sewaktu peristiwa peperangan Al ahzab.

Asal Usul Pakatan Al-Ahzab

Perkataan al-Ahzab membawa maksud kumpulan-kumpulan atau parti-parti yang bergabung sehingga terbentuk satu parti atau kumpulan yang bertujuan menghadapi dan menghancurkan Islam.

Pada asalnya kewujudan al Ahzab ini daripada penggerak utamanya ialah Yahudi Bani Nadhir yang sangat berdendam dengan Islam dan mengkhianati perjanjian persefahaman dengan Nabi saw atas asas Piagam Madinah. Malah musuh ini melakukan cubaan membunuh Nabi saw.

Dendam dan sikap permusuhan yang kuat terhadap Islamlah faktor kepada usaha menghidupkan al Ahzab.

Siapakah anggota Al Ahzab

Anggota Al Ahzab terdiri daripada beberapa kumpulan yang berbeza latar belakang.

Antara golongan yang anti Islam seperti Yahudi Bani Nadhir.

Golongan yang mengkhianati Perjanjian persefahaman Piagam Madinah iaitu Yahudi Bani Quraizah.

Golongan yang enggan menerima Islam dari kalangan sebangsa dengan Nabi saw dan para sahabat iaitu Musyrikin Mekah.

Golongan yang mengkhianati perjuangan Islam dan menikam dari belakang iaitu Munafikin.

Namun Yahudi Bani Nadhirlah penggerak utama, penyumbang kewangan dana kempen peperangan, pencetus idea dan perancang strategi.

Kesemua golongan tadi tunduk kehendak kepada Yahudi Bani Nadhir dan rancangannya. Mereka terpukau dengan janji manisnya dan habuan yang bakal diterima.

Strategi menghadapi al-Ahzab

Nabi saw sendiri bermusyawarah dengan para sahabatnya membincangkan strategi berdepan dengan Al Ahzab.

Idea Salman Al Farisi ra diterima oleh Nabi saw iaitu membina parit (khandak). Khandak adalah strategi asing bagi orang Arab kerana ia merupakan taktik orang Parsi. Taktik perang orang Arab hanyalah "hit and run".

Maka taktik menghadapi kemaraan Al Ahzab adalah strategi yang asing bagi musuh yang mampu memberikan kejutan.

PAS juga mengemukakan taktik dan strategi budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai satu langkah asing bagi musuh untuk berdepan dengan gabungan musuh yang memiliki kepelbagaian latarbelakang.

Munafikin yang mengganggu perjuangan Islam

Kerja penggalian parit sebagai taktik menghadapi Al Ahzab sering diganggu oleh Munafikin yang cuba menggagalkannya dengan cara menimbulkan pelbagai masalah. Mereka selalu mencuri tulang lari daripada tapak penggalian, ada yang secara senyap pulang ke rumah, ada juga di kalangan mereka yang sengaja tidak hadir ke tapak penggalian melaksanakan kerja menggali sepertimana para sahabat yang lain dengan memberi bermacam-macam helah dan alasan, ada juga yang lewat datang kerja menggali dan tidak melakukan kerja dengan bermundar mandir tanpa arah tujuan.

Sebaliknya para sahabat Baginda saw gigih dan optimis dengan taktik ini dalam melaksanakan tugas penggalian.

Sikap munafikin memperlihatkan rupa sebenar mereka bahawa mereka sememangnya berharap Islam gagal dalam pertempuran dengan Al Ahzab dan bukannya mereka ingin membantu Islam tetapi mereka membantu musuh Islam.

Taktik baru menjanjikan kemenangan

Sewaktu penggalian parit, berlaku peristiwa pemecahan batu yang menghalang kerja-kerja penggalian. Salman Al Farisi meriwayatkan bahawa Nabi saw memecahkan batu besar itu dengan tiga pukulan dan diselangi dengan pancaran cahaya. Setiap pancaran itu diceritakan Nabi saw bahawa yang pertama Baginda saw diperlihatkan kemenangan Islam atas Parsi, disusuli Rom dan Habshah. Rom dan Paris didoakan agar dianugerahkan kemenangan kepada Islam dan ghanimahnya sebagai hadiah kemenangan.

Ini satu pemahaman bahawa taktik penggalian parit adalah satu strategi yang bakal membuahkan hasil kemenangan pada masa akan datang yang dijanjikan Allah swt.

Al Ahzab ditewaskan dengan pertolongan Allah

Perjuangan Islam pasti berdepan dengan musuh yang ramai dan bersatu. Walaupun mereka berbeza latarbelakang dan pendirian. Akan tetapi tatkala berdepan dengan Islam mereka mengenepikan perbezaan dan bersatu menentang Islam.

Fizikal daripada kesatuan mereka menggerunkan sesiapa sahaja yang melihat mereka. Kemampuan dan keupayaan musuh dengan dana, kelengkapan persenjataan, bilangan anggota yang ramai, pimpinan yang ditonjolkan, semuanya memberikan kelebihan mengatasi lawannya.

Sebaliknya di pihak Islam serba kekurangan pada fizikal, bilangan anggota yang sedikit, dana yang ala kadar, kekurangan kelengkapan dan lain-lain sudah tentu tiada kelebihan jika dibanding dengan Al Ahzab.

Namun, pejuang Islam ada Allah. Yakin pada janji-Nya dan pertolongan-Nya. Optimis dengan masa depan Islam. Ingin keredhaan-Nya dan syurga-Nya bukan dunia yang murah dan tiada kekal.

Pada zahirnya sesiapapun yang melihat pasti akan mengatakan bahawa Islam akan mengalami kekalahan apabila bertembung dengan Al Ahzab.

Allah swt mengutuskan tenteranya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak mampu dihuraikan dengan lojik akal manusia yang terbatas. Angin kencang dan sejuk menjadi tentera Allah mengalahkan tentera Al Ahzab.

Begitulah juga PAS yang kini berdepan dengan Al Ahzab moden yang pada zahirnya serba kecanggihan dan keupayaan. Seolah-olahnya PAS langsung tiada peluang untul menang. PAS dilihat oleh pelbagai pihak sebagai lemah dan tiada upaya menghadapi Al Ahzab.

Maka pada waktu itu, yakinlah bantuan Allah yang tidak mampu dilihat dan diperjelaskan dengan akal fikiran akan didatangkan oleh Allah membela pejuang dan penegak agama-Nya.

Al Ahzab moden juga akan ditewaskan oleh tentera Allah tanpa sedikitpun kepayahan dan kesulitan di pihak Allah swt.

Inilah pertolongan Allah swt yang membawa kepada kemenangan yang tidak dijangka sekalipun bilangan musuh adalah 3 kali ganda berbanding kekuatan yang dimiliki Islam.

Beginilah kisah memori kenangan Perang Khandak atau Al-Ahzab yang amat rapat dengan situasi politik yang sedang dialami oleh PAS pada ketika ini.

Ketahuilah bahawa Al Ahzab tetap wujud sepanjang zaman hingga ke hari kiamat. Hanya yang berbeza adalah orangnya saja, tetapi sikap, perangai dan tindakan mereka adalah serupa dengan apa pernah dialami oleh Islam pada zaman Nabi saw.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 140: "Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid."

Semoga Allah swt memperkukuhkan kita di atas perjuangan Islam.
 
Ustaz Najhan Abdul Halim
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

PAS semenjak keberadaannya di medan siasah, dakwah dan tarbiah telah menganjurkan pelbagai wacana pemikiran tokoh. Saya sendiri semasa menjadi anggota Dewan Pemuda dan jaringan sivil telah terlibat dengan puluhan penganjuran wacana tokoh-tokoh gerakan Islam yang berjasa menyumbang kebaktian kepada ummah. Antaranya wacana memperingati Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Sheikh Ahmad Yasin, Datuk Ustaz Fadhil Mohd Nor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Datuk Ustaz Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Datuk Ustaz Abu Bakar Chik dan tokoh-tokoh yang lain.

Kajian tentang pemikiran tokoh serta jasa mereka adalah antara program mencanai intelektual, memberdaya keseriusan dalam membina gerakan serta mewujudkan budaya berfikir dan mengkaji. Jarang sekali program wacana tokoh dikritik malah dibuat laporan Polis seperti mana kes penganjuran wacana tokoh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh PAN minggu ini.

PAN sebagai parti serpihan PAS cuba memancing perhatian masyarakat dengan mengaitkan perjuangan mereka dengan nuansa perjuangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, walaupun keluarga tuan guru yang berpayung di bawah Yayasan Ni'matillah telah memprotes usaha memanipulasi nama baik almarhum. Laporan polis juga telah dikemukakan oleh anak almarhum, Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz, namun parti yang dibidankan oleh DAP ini tetap berdegil untuk meneruskan wacana.

Anak-anak muda Islamis negara ini wajar mengenal siapakah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau seorang yang tegas dengan prinsip Islam, tidak menggadaikan prinsip dengan mudah demi kekuasaan. Pada tahun 1981, Dewan Ulama PAS Pusat yang dipimpin oleh almarhum menolak usaha untuk bertahalluf dengan DAP sehingga hampir berlaku perang dingin dengan Presiden PAS saat itu.

Jatuh bangun almarhum tetap bersama perjuangan Islam, beliau pulang daripada pemukiman ilmu di Mesir dengan ijazah Sarjana, namun saat ilmuwan lain memilih untuk hidup senang dan bersama pemerintah, beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan. Hatinya hiba melihat tangkapan borong terhadap ulama dan asatizah yang mendokong PAS di Kelantan dibawah ISA. Almarhum memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir pada tahun 1967, mengalahkan wakil parti Perikatan.

Apabila Muktamar Khas PAS memutuskan harakatul ummah ini menyertai koalisi baru pemuafakatan politik Barisan Nasional pada awal dekad 1970-an, almarhum tetap bersama jamaah tercinta ini, walaupun jiwanya perih dengan kekasaran Umno terhadap PAS melalui tindakan gasar Pemuda tahan lasak Umno.

Beliau juga teguh bersama jamaah apabila berlaku krisis MB Kelantan pada tahun 1977, walaupun akhirnya tertubuh BERJASA, akibat konflik dalaman PAS. PAS hilang pengkalan kuasanya di Kelantan dalam pilihanraya 1978, almarhum dengan gigih membangunkan kembali kekuatan jamaah dengan menggerakkan jihad pendidikan. Kuliah-kuliah ilmu pagi jumaat di setiap kawasan di tanah serendah sekebun bunga menjadi pemangkin kepada ahli-ahli, menyuntik kembali semangat yang hilang akibat hilang kuasa di Kelantan.

12 tahun kemudian, PAS kembali merengkuh kekuasaan di Kelantan dan beliau memimpin negeri itu dengan motto "membangun bersama Islam". Pembangunan Kelantan diselaraskan dengan acuan Islam sehingga dicemburui oleh lawan. Kekuatan PAS semakin melebar, daripada kawasan pedalaman sehinggalah kawasan elit di kotaraya, pengaruh PAS mewabak dalam dekad 90-an.

Kelantan menqanunkan Enakmen Jenayah Syariah dan beliau tidak pernah menyembunyikan hasrat itu. Kerajaan Kelantan menjadi model kepada gerakan Islam lain, bagaimana upaya membangunkan pemerintahan.

PAN harus sedar diri bahawa kewujudan mereka adalah memecahbelahkan kesatuan amal Islami di tanah air ini. Keberadaan mereka ini adalah sebagai jamaah dhirar yang merosakkan aspirasi ummah, bahkan melengahkan kemenangan Islam.

Almarhum Tuan Guru dalam hayatnya sentiasa menekankan peri pentingnya mengukuhkan wadah ummah ini, mencela perbuatan mewujudkan khutlah mahu pun firqah. Beliau sentiasa mengingatkan para pendokong PAS untuk terus menjayakan cita-cita melihat tertegaknya perundangan Syariah di tanah air ini.

PAN seperti kontang idea untuk mengenengahkan tokoh atau ikon untuk mereka kaji. Saya mencadangkan pimpinan PAN mengkaji biografi politik Jeneral Murtopo, tokoh TNI (Tentera Nasional Indonesia), bagaimana makar serta strategi melumpuhkan gerakan Islam Indonesia serta gerakan swadaya Islam. Cukuplah memanipulasi sejarah emas Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat demi politik sempit kamu! – HARAKAHDAILY 11/4/2017

DI sebalik kejayaan Almarhum Tok Guru sebagai MB Kelantan dan Mursyidul Am PAS, adanya tangan Datin Sabariah yang berkorban jiwa dan raga, siang dan malam menjadi teman yang paling setia ketika susah dan senang kepada suami tersayang.

Ketika PAN menganjurkan Seminar Pemikiran Tok Guru kononnya mahu menghormati Tok Guru, PAN menidakkan kemahuan Datin Sabariah dan anak-anaknya, mencabuli perasaan seorang isteri dan anak-anak yang memahami isi hati dan pendirian sebenar seorang suami dan seorang ayah terhadap PAS dan pemimpinnya.

Siapa yang tidak tahu kenyataan kecewa Almarhum Tok Guru terhadap PasMa yang pemimpinnya kini bersama PAN.

Kerakusan PAN mengejar kuasa politik dan cita-cita untuk menumbangkan sebuah Kerajaan Islam yang dibina Almarhum Tok Guru lebih 20 tahun di Kelantan, malah mengheret nama baik Almarhum Tok Guru dengan rekayasa dan khayalan adalah tindakan yang paling jelek dan kotor yang tidak pernah saya saksikan dalam sejarah dunia politik di Negara ini.

Langkah desperado Machiavelli PAN yang disandarkan atas perasaan marah, kecewa dan dendam tanpa mengambilkira perasaan dan maruah keluarga Almarhum Tok Guru amatlah dikesali.

Tiga hari sebelum pemergian Almarhum Tok Guru, Tok Guru menuturkan satu persoalan kepada isteri kesayangannya,

“Nanti abang tak dok (meninggal dunia), lepas ini, sapo nak jago Yah?” kata Almarhum Tok Guru pada Datin Sabariah.

Perasaan Datin Sabariah pun PAN tidak jaga. Jauh sekali nak jaga perasaan Rakyat Kelantan pada Almarhum Tok Guru dan Keluarganya.

PAN tidak ikhlas dengan Seminar Pemikiran Tok Guru kerana di belakang pemikiran Tok Guru adanya tangan Datin Sabariah yang kuat menyokong suaminya. Dan PAN lupa untuk jadikan Datin Sabariah dan anak-anak beliau sebagai pelengkap kepada pemikiran Tok Guru itu.

Tidak menyokong permintaan ahli keluarga Almarhum Tok Guru ibarat mengkhianati Almarhum Tok Guru. Tiada gunanya mendabik dada kononnya sayang kepada Tok Guru tetapi tidak sayang kepada apa yang Tok Guru sayang.

Semoga Rakyat mengajar PAN dalam PRU Ke-14 nanti. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

PERCUBAAN zionis untuk melakar peta baharu Asia Barat melalui projek ala-ala Sykes Picot masih berlangsung hingga kini. Sewajarnya kita melihat permainan ini sekurang-kurangnya bermula selepas peristiwa 9/11 yang menjadi picu kepada kempen Islamphobia secara besar-besaran.

Kenali arkitek syaitan

Bernard Lewis

Merupakan orientalis British, menganut ajaran Yahudi. Bersama gerakan zionis. Mempunyai kerakyatan AS. Berkhidmat dengan Pentagon pada zaman Bush Sr. dan Bush Jr.

Bernard Lewis merupakan nama yang cukup penting sebagai arkitek kekacauan politik Asia Barat hingga ke hari ini.

Pada 1983, beliau telah mengadakan persidangan rahsia, membentangkan fail perancangan jangka masa panjang untuk Asia Barat.

Cita-citanya mahu memecahkan negara-negara umat Islam Asia Barat, tidak lain melainkan demi survival Israel dan misi pengukuhan Israel Raya yang dianggap semakin suntuk.

Taktik menyalakan konflik bangsa dan mazhab disusun rapi demi melihat perang saudara berpanjangan berlaku.

Dalam fail tersebut, Mesir dan Sudan dibahagi empat. Iraq dibahagi tiga. Syria dibahagi empat. Lubnan dibahagi lapan. Banyak lagi pembahagian yang dilakarkan, yang sukar untuk penulis terangkan di sini.

Natan Sharansky

Seorang Yahudi Russia yang berpindah ke Israel. Pernah menjadi menteri kabinet Ariel Sharon untuk satu sesi.

Dalam laporan New York Times, Bush dilaporkan telah berkata: “Jika kalian mahu memahami politik dasar luar saya, maka bacalah buku Natan Sharansky. Melalui tulisannya, kamu akan memahami dasar AS yang sedang dilaksanakan hari ini”.

Sharansky cukup terkenal dengan bukunya, The Case Of Democracy yang ditulis pada 2004. Beliau turut mengemukakan formula yang sama dengan Lewis Bernard, iaitu menjadikan polemik mazhab dan kaum sebagai pencetus kepada perang saudara di Rantau Asia Barat.

Strategi pecah dan perintah

Kita jangan menganggap taktik tersebut telah lapuk. Ia masih valid dipraktiskan oleh musuh dan cukup berkesan, memandangkan umat Islam masih lena dan cukup gemar mempercayai provokasi.

Menjadi pengikut zionis tanpa sedar

Di kalangan umat Islam yang masih gemar bertelagah permasalahan mazhab, secara langsung menjadi faktor kejayaan idea Lewis Bernard dan Natan Sharansky. Bahkan secara tidak langsung menjadi hamba kepada dua syaitan tersebut untuk memangsakan umat.

Walau apapun, sikap fanatik mazhab hanya membuka ruang kepada zionis untuk membaham umat dan bumi umat Islam.

Demi Israel Raya

Apa yang berlaku hari ini cuba diusahakan berlarutan hingga tahun 2020. Projek mega untuk mengukuhkan Israel ke arah Israel Raya idaman mereka.

Dalam keghairahan kita mengikuti konflik demi konflik, tanpa sedar kita telah terlepas pandang apakah nasib Palestin.

Sepatutnya kita jadikan al-Quds sebagai fius penilaian kita. Jika sesuatu itu merugikan al-Quds, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Kesedaran Kita

Berapa kali umat Islam ditipu. Menjadi lurus kerana emosional dan meninggalkan panduan wahyu. Menjadi masalah hari ini, segelintir umat Islam yang lurus bendul menganggap kononnya musuh Islam pun turut lurus bendul seperti mereka. Tidak mahu jadi paranoid katanya.

Akhir sekali ramai yang lebih memilih untuk tidak mempercayai pembongkaran strategi-strategi musuh ke atas Islam, sungguh pun ia adalah fakta-fakta konspirasi.

SELEPAS sahaja YB Marang membentangkan huraian usul RUU Persendirian bagi meminda Akta 355, YB Kota Bharu pula bangun menyampaikan ucapan sokongan usul tersebut selama hampir 1 jam 30 minit.

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa YB Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan merupakan seorang peguam dan dulunya pernah menjadi Majistret Mahkamah. Datuk Takiyuddin telah membuktikan sebenarnya PAS masih mempunyai tokoh profesional yang tidak kurang hebatnya pasca krisis Muktamar PAS 2015 dulu.

Ucapan beliau semalam ibarat pelengkap kepada Ucapan Tuan Guru Presiden PAS yang menghurai secara dasar mengenai RUU 355.

Penghujahan beliau secara jelas, terang, dan huraian secara teknikal daripada aspek perundangan dan Perlembagaan.

Beliau turut membawa latar belakang sejarah perundangan Islam seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam yang tersusun bermula dengan adanya Mahkamah Balai yang menggunakan sumber hukum syarak iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Mahkamah Syariah hakikatnya telah wujud seawal kurun ke-13 dan ke-14.

Apabila negara dijajah oleh Portugis, Belanda dan British, di peringkat awalnya institusi Mahkamah Syariah tidak terjejas langsung.

Namun, pada tahun 1920 British mula campurtangan terhadap sistem kehakiman di tanah Melayu dengan mewujudkan dua sistem mahkamah iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Adat yang menggunakan Hakim Inggeris.

Seterusnya, Datuk Takiyuddin memetik penghakiman kes Ramah vs Latun pada tahun 1927, dua orang Hakim di Mahkamah Rayuan British berkata "undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing bagi negeri ini bahkan ia adalah undang-undang negeri ini 'law of the land'. Oleh sebab itu, undang-undang Islam perlu diberikan pengiktirafan oleh Mahkamah."

Mahkamah Syariah yang pada asalnya Mahkamah di peringkat nasional telah diturunkan tarafnya ke peringkat Negeri sahaja oleh penjajah British. Hal ini menyebabkan Mahkamah Syariah dianggap sebagai mahkamah kelas kedua sahaja.

Datuk Takiyuddin turut merujuk Perkara 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan yang terkandung di dalamnya Jadual Kesembilan mengenai Senarai 1-Persekutuan, Senarai 2-Negeri dan Senarai 3- Bersama.

Butiran 1 Senarai 2- Negeri Jadual Kesembilan adalah mengenai institusi Mahkamah Syariah, undang-undang individu dan keluarga orang Islam. Kuasanya adalah terhad setakat mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan yang mengatakan Akta 355 adalah tidak berpelembagaan adalah salah kerana akta ini mempunyai punca kuasanya dalam Perlembagaan.

Dalam sistem perundangan sivil negara ini, Mahkamah Seksyen dan Majistret punca kuasanya di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948 manakala Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan punca kuasanya di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sungguh menarik apabila beliau dengan berpandukan hansard Parlimen yang bertarikh 3 Mac 1965, Akta 355 ini dibawa oleh Tun Abdul Rahman Yaakub, Ahli Parlimen dari Sarawak. Ia dibahaskan oleh seramai enam orang Ahli Parlimen yang kesemuanya Muslim. Ketika itu Lee Kuan Yew berada di dalam Dewan sebagai Ahli Parlimen Singapura dan ahli Parlimen Bukan Islam yang lain tidak pun masuk campur dalam perbahasan Akta 355.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Asri Muda dalam perbahasan ketika itu memohon jaminan Kerajaan adakah had sekatan bagi hukuman maksimum Mahkamah Syariah itu adalah mutlak dan tidak boleh dipinda pada masa depan.?

Lalu, Tun Abdul Rahman Yaakub yang menjadi Menteri membawa usul akta tersebut menjawab, bahawa Kerajaan memberi jaminan had sekatan boleh dipinda kerana Parlimen boleh membuat, mengubah, meminda dan memansuhkan undang-undang. Kalau di masa akan datang Parlimen berfikir hukuman di dalam klausa tersebut tidak mencukupi, ia boleh diubah.

Pada tahun 1984 pula, pindaan Akta 355 ini dibawa oleh Timbalan Menteri JPM, Datuk Dr Yusof Nor dan disokong oleh Timbalan Menteri KDN, Datuk Radzi Syeikh Ahmad. Akta 355 dibahas selama 10 hari pada 10, 11 dan 12 Oktober 1984.

Terdapat 10 orang yang berbahas, kesemuanya Ahli Parlimen Muslim.

Ketika itu ada YB Dr Chen Man Hin (DAP Seremban), YB Dr Tan Seng Giaw (DAP Kepong), YB Karpal Sing (Jelutong), YB Lim Kit Siang (DAP Kota Melaka).

Ketika itu, tidak ada pula Ahli Parlimen Bukan Islam yang bangun berbahas apatah lagi menentang Akta 355.

Setelah ia diluluskan oleh Dewan Rakyat, pindaan Akta 355 ini dibawa ke Dewan Negara pada 19 Disember 1984. Ia dicadang oleh Timbalan Menteri KDN, Datuk Radzi Syeikh Ahmad dan disokong oleh Menteri Kehakiman, Datuk Dr James P. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Sabah.

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Speaker ketika diasak oleh Ahli Parlimen PH, Datuk Takiyuddin menegaskan sekali lagi bahawa ketika Akta 355 ini digubal pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984 dan 1989, ia tidak pun melalui Majlis Raja-Raja.

Seterusnya, Datuk Takiyuddin menyatakan Akta 355 ini sudah 33 tahun tidak dipinda, ia seperti sudah lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Akta Keadilan Jenayah 1953 dengan pindaan 2007 telah mendefinisikan penjara seumur hidup ialah 30 tahun berbanding sebelum itu 20 tahun.

Hukuman tertinggi di Malaysia ialah hukuman mati, maka penjara seumur hidup adalah hukuman kedua tertinggi selepasnya.

Pindaan Akta 355 tahun 2017 ini mencadangkan 30 tahun sebagai had maksimum, terpulanglah kepada negeri-negeri untuk meletakkan kadarnya selagi tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan.

Dalam Kanun Keseksaan, Seksyen 377 B kesalahan bagi sumbang mahram, hukumannya ialah minima 10 tahun sehingga maksima 30 tahun, manakala seksyen 377 C kesalahan seks dengan objek, hukumannya minima 5 tahun sehingga maksima 30 tahun.

Jadi, apa yang peliknya dengan cadangan pindaan 30 tahun bagi Akta 355 ini.?

Rasional cadangan denda sebanyak RM 100,000 pula ialah had maksima yang boleh ditentukan kadarnya nanti oleh negeri mengikut jenis kesalahan.

Hukuman 100 sebat Syarie pula jauh lebih baik dan ia lebih ringan berbanding 1 kali hukuman sebat sivil.

Pindaan Akta 355 ini sekiranya diluluskan kelak ia tidaklah membawa makna secara automatik akan berubah had maksima di peringkat enakmen syariah di negeri-negeri. Ia bukanlah wajib dan negeri berhak untuk memilih sama ada mahu buat pindaan atau kekal dengan bidang kuasa 3 tahun penjara, denda RM 5000 dan 6 sebatan sedia ada.

Datuk Takiyuddin turut menceritakan mengenai hak orang bukan Islam yang terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan PAS di Kelantan. Mereka tetap boleh minum arak bahkan rumah ibadat orang bukan Islam tetap boleh dibina. Buktinya di Kelantan ada sleeping Buddha, standing Buddha, sitting Buddha, kuil Hindu di dalam Bandar Kota Bharu, Gereja Kristian ada di hadapan Pejabat MB Kelantan.

Walaupun usul ini belum sempat dibahaskan, tetapi terdapat 18 orang Ahli Parlimen yang bangun membuat pencelahan ketika ucapan sokongan usul oleh YB Kota Bharu, Mereka ialah Ahli Parlimen PAS Temerloh, Ahli Parlimen PAN Sepang, Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Ahli Parlimen BN Rompin, Ahli Parlimen BN Kota Tinggi, Ahli Parlimen BN Jerantut, Ahli Parlimen BN Bagan Serai, Ahli Parlimen BN Setiu, Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Ahli Parlimen Warisan Penampang, Ahli Parlimen PAN Shah Alam, Ahli Parlimen BN Tebrau, Ahli Parlimen BN Gerik, Ahli Parlimen BN Sekijang, Ahli Parlimen PAS Bachok, Ahli Parlimen BN Lenggong dan Ahli Parlimen BN Alor Gajah.

Benar seperti kata Datuk Takiyuddin, mereka yang begitu takut dengan Akta 355 ini seperti takut hantu. Mereka tidak tahu pun mengenai Akta 355 iseperti mana yang takut kepada hantu yang kita tidak tahu bagaimana rupanya? – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

MUNGKIN ramai yang hairan dengan kelakuan beberapa ahli parlimen Islam pada penghujung sidang parlimen semalam. Walaupun ramai tidak berpuashati penangguhan sidang di saat RUU355 belum sempat diperbahaskan, tetapi ramai lebih tersinggung dengan sikap Khalid Samad, Tony Pua, Rafizi Ramli, Hanipa Maidin dan lain-lain yang amat memalukan.

Entah kenapa mereka begitu berang semalam. Jika mahu berbahas untuk menyokong, sepatutnya emosi mereka tidak begitu terganggu selepas penerangan-penerangan yang jelas daripada Tuan Guru Abdul Hadi dan Datuk Takiyudin Hasan.

Bahkan emosi mereka sepatutnya dalam keadaan gembira kerana dua sebab. Pertama, buat kali pertama dalam sejarah, usul daripada pembangkang berjaya dibentang di parlimen. Kedua, usul yang dibawa adalah berkenaan penaiktarafan syariat agama mereka sendiri.

Sebenarnya mereka mempunyai rancangan lain. Semasa sidang media yang mereka adakan sejurus berakhir sidang parlimen, Rafizi menyatakan bahawa beliau sebenarnya mahu bertanya di parlimen tentang maklumat yang diterima beliau, bahawa dana 1MDB disalurkan melalui seorang tokoh yang rapat dengan PAS.

Ya! Mereka mahu mengalih perhatian tentang isu pemerkasaan syariah Islam kepada isu politik murahan yang berstatus tuduhan tanpa bukti. Isu yang bertitik tolak dari Sarawak Report, kemudian Husam dan kini beliau. Walaupun maklumat antara ketiga pihak ini tidak konsisten, tetapi ia tetap digunakan bagi menggambarkan wujud pakatan sulit antara Umno dan PAS.

Apabila Speaker, Tan Sri Pandikar menggunakan kuasanya untuk menangguh dewan, terpekik terlolonglah mereka kepanasan. Mana taknya, mereka sudah bersedia untuk perkara itu. Mereka tahu jika tuduhan dibuat di parlimen, mereka tidak boleh diambil tindakan undang-undang walaupun palsu. Tambahan pula Rafizi dijadualkan sebagai pembahas pertama untuk RUU355 ini. Keputusan Speaker benar-benar anti klimaks buat mereka.

Tapi sidang media semalam, seakan Rafizi sudah tersilap langkah. Perkara yang sepatutnya disebut di dalam dewan rakyat, terlanjur di sebut di luar dewan. Ini bukan pertama kali beliau tersasul di hadapan media. Pasti beliau tak senang duduk sekarang.

Adakah pemerintah dapat menghidu rancangan mereka? Saya rasa tidak. Umno punya sebab lain mengapa ia ditangguh. Mereka sebenarnya memikirkan kelangsungan politiknya. Dalam barisan pemerintah terutama ahli parlimen bukan Islam, kini sudah timbul hasutan supaya menolak kepimpinan Najib atas tuduhan cuba membawa negara kepada konsep negara Islam.

Umno dalam keadaan tersepit. Jika mereka menolak RUU 355, mereka akan dihukum penyokong sendiri. Jika mereka menerima, mereka akan dijatuhkan melalui sebilangan rakan yang tidak mahu Islam.

Apa jua keadaan, PAS berada dalam keadaan paling selesa. Sudah tidak timbul soal ditipu atau tidak. PAS sudah mendapat peluang yang begitu luas untuk membawa aspirasinya ke dewan rakyat. Apa yang jelas, pembangkang lain merasa tertipu dengan tindakan Speaker. Itu yang seperti kera kena belacan.

Walaupun RUU 355 belum dapat diluluskan, tetapi inilah hasil pendekatan terbaru PAS melalui BPMS. Jika dilihat sejarah pencapaian PAS dalam menegakkan agama di bumi Malaysia ini sejak ditubuhkan, semalam adalah pencapaian tertinggi yang pernah diraih.

Inilah berkat kesabaran ahli dan pimpinan PAS selama ini. PAS tidak pernah gopoh dalam mengharungi simpang siur siasah negara. Dalam keadaan banyak gerakan Islam negara lain sudah diharamkan, ada pula yang berubah menjadi liberal dan sekular, ada juga yang menjadi radikal mengangkat senjata, tapi PAS tetap istiqamah dengan muwajahah silmiah tanpa menggadai prinsip asolah.

Lebih 65 tahun usia PAS kini, menandakan berjuta pengalaman telah dilalui. PAS sudah berada pada tahap kematangan yang begitu tinggi. PAS sudah bersabar lebih setengah abad. Oleh itu PAS tidak bermasalah langsung untuk terus bersabar hingga ke sidang hadapan bagi meneruskan RUU355! – HARAKAHDAILY 8/4/2017

USRAH semalam, baca hadis ke-28 dari kitab 40 hadis Imam Nawawi. Ia berkenaan wasiat taqwa dan taat menghadapi zaman akhir sekarang.

Lafaznya berbunyi:

عن أبي نجيح العرباض بن سارية رضي الله تعالى عنه قال: وعظنا رسول الله صلى الله عليه وسلم موعظة وجلت منها القلوب وذرفت منها العيون. فقلنا يا رسول الله كأنها موعظة مودع فأوصنا، قال: { أوصيكم بتقوى الله عز وجل، والسمع والطاعة وإن تأمّر عليكم عبد، فإنه من يعش منكم فسيرى إختلافاً كثيراً، فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين عضّوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

“Dari Abi Nujaih Al-Irbadh bin Sariyah RA berkata: Rasullah telah menyampaikan suatu pesanan yang menggetar jiwa dan menggugurkan air mata. Lalu kami berkata, Wahai Rasulullah, pesananmu seolah-olah pesan terakhir seorang yang mahu mengucap selamat tinggal. Maka tinggalkanlah wasiat pada kami.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Aku wasiatkan pada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, dan dengar taat kepada pemimpinmu sekalipun doa seorang hamba sahaya. Sesungguhnya barangsiapa yang sempat hidup (pada akhir zaman) pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajiblah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifahku yang diberi petunjuk selepasku. Peganglah ia dengan gerahammu. Dan hindarilah perkara-perkara baharu. Sesungguhnya setiap bidaah adalah sesat." [HR Abu Daud dan Tirmizi]

Hadis ini sangat padat dengan makna dan pengajaran. Ia umpama pesanan terakhir Nabi. Secara kasar kita boleh senaraikan kepada beberapa poin:
1. Taqwa pada Allah
2. Dengar dan taat pada Allah
3. Ikut sunnah Rasul dan khulafa'
4. Hindari bidaah.

Keempat pesanan ini sebenarnya berkait antara satu sama lain. Ia merupakan solusi untuk menghadapi zaman yang Nabi sebut sebagai zaman berlaku percanggahan yang amat banyak.

Maka inilah zamannya! Zaman khilaf! Zaman masing-masing mahu pakai pendapat sendiri. Zaman pemimpin dicanggah oleh ahli sendiri. Zaman perselisihan yang membawa kepada perpecahan. Zaman hak demokrasi dijadikan pegangan utama mengatasi batas agama.

TAQWA ALLAH
Justeru Nabi berpesan, supaya terus teguh dengan jalan yang benar, dengan cara bertaqwa pada Allah yang pertama. Bina makrifah Allah pada hati dan akal. Kenal Allah sedalamnya. Takut Allah segerunnya. Cinta Allah sepenuhnya. Taat perintah-Nya dan hindar larangan-Nya. Bertawakallah hanya pada-Nya. Ini yang utama.

Mencari redha Allah sudah semestinya. Segala matlamat lain perlu dikesampingkan sekiranya bertembung dengan kehendak Ilahi. Yang dikejar semua adalah kemenangan akhirat, kemenangan dunia hanyalah bonus terpilih, bukan buat kepada semua pejuang.

TAAT PEMIMPIN
Kedua, taat pada pemimpin dalam erti kata sebenar. Nabi menggambarkan taat yang tidak berbelah bahagi, sehingga dia menyebut walaupun pemimpin itu seorang hamba. Jangan berkhilaf tindakan dengan arahan pemimpin. Hendak berkhilaf pendapat pun bukan di tempat terbuka sebagaimana sirah. Mengangkat suara kepada pemimpin atau mendahului mereka pun tidak dibenarkan, sebagaimana permulaan surah al-Hujurat.

Mempertahankan kepimpinan adalah suatu kemestian dalam menghadapi kecelaruan saf Islam hari ini. Lebih-lebih lagi apabila pemimpin diserang pihak luar. Renung bagaimana sahabat menadah tubuh mempertahankan jasad Nabi dari dijamah senjata musuh dalam peristiwa Uhud.

Punca perpecahan kita dapat kesan berlaku kerana tiada AsSam'u wal Taatu dalam diri anggota Islam. Dalam riwayat lain Nabi menambah sifat pemimpin selain hamba dengan habsyi dan rambut kerinting umpama pokok anggur. Ketiga sifat ini perlu dikaji teliti untuk diqiyaskan dengan fenomena dewasa ini.

Justeru, dakyah menukar pemimpin bukanlah idea yang baik. Ia tidak menepati pesan Nabi di atas.

MENGIKUT SUNNAH
Ketiga pula, mengikut sunnah Nabi dan khulafa'nya. Ini amat perlu dititik beratkan terutama dalam lapangan jemaah Islam. Setiap tindakan harus mencontohi sunnah supaya tidak tersasar lalu menyemarakkan lagi perpecahan tak berkesudahan. Hanya Al-Quran dan Sunnah jalan yang satu. FirmanNya:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِه

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain, kerana ia mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. [Al-Anaam:153]

Soal memilih kepimpinan, soal pelaksanaan syariah, soal fundamental pandangan Islam, dan berani berhadapan kuffar, haruslah menepati sunnah-sunnah manusia-manusia ulung yang baginda sebutkan. Apa yang mereka buat, itulah yang kita buat. Apa yang mereka tidak buat, jauhkanlah.

MENJAUHI BIDAAH
Keempat dan terakhir adalah tegahan keras terhadap pengamal bidaah. Ramai memahami bidaah dari sudut syariah, tetapi bidaah terbesar adalah dari sudut akidah. Berideologi songsang seperti liberalisme, pluralisme, sosialisme dan zionisme adalah bidaah yang berleluasa hari ini.

Dari sudut syariah pula, meninggalkan sunnah berpolitik Nabi SAW dan khulafa lalu meniru barat juga adalah bidaah. Menyebut negara-negara barat yang maju materialnya walaupun tidak menjalankan Islam sebagai contoh ikutan, dan menggambarkan keburukan negara umat Islam yang silap mengaplikasikan undang-undang tuhan, menjadi trend pemikiran hari ini. Sedang mereka tidak mengambil contoh negara-negara zaman kegemilangan Islam dahulu, disaat barat masih dibelenggu cengkaman gereja.

Ramai berhujah tidak salah mengambil kebaikan barat berdalilkan hadis kebijaksanaan barang tercicir milik orang Islam. Ya, tidak salah sekiranya tidak bertembung dengan Islam. Yang salah adalah meninggalkan ajaran sunnah semata-mata untuk mengikut barat. Inilah maksud BIDAAH!

Sebagai organanisasi Islam, hanya kembali kepada Islam jalan untuk menangani perpecahan.
Firman Allah SWT:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُول

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya. [An-Nisa:59]. - HARAKAHDAILY 3/4/2017