PERUMPAMAAN yang digunakan dalam ucapan atau tulisan menunjukkan betapa kaya seseorang terhadap seni bahasa dalam menyampaikan mesejnya. Tatkala ia mengundang reaksi, ketika itulah dapat dilihat pelakunya. Ketepatan memilih perumpamaan menyebabkan sasaran bagai terenjat dan tersentap dengan seringkali melompat atau melatah, menghadirkan tindak balas berlebihan yang makin memualkan.

Begitulah hebatnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mengemukakan perumpamaan dalam ucapan dan tulisannya. Selalu sahaja ada pihak tidak senang duduk bagaikan ‘cacing kepanasan’, lalu melenting, memutar belit, membidas dan memburuk-burukkannya kerana perumpamaan digunakan. Perkara sama juga dilakukan media-media tertentu yang ghairah untuk memberi imej negatif padanya.

Selain tindak balas penolakan dan penafian, ada yang membidas perumpamaannya keterlaluan, celupar, tidak wajar, menghina, memperlekeh dan sebagainya. Langsung tidak ada perbahasan terhadap ibarat, permisalan, peringatan atau nasihat yang beliau cuba utarakan. Malah, perkara sama juga digunakan ketika beliau menyampaikan syarahan atau huraian kitab dalam kuliah agamanya.

Berikut antara perumpamaan digunakan beliau mengenai anjing di dalam ucapan dan tulisannya:

“Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah, biar dia sahaja yang bersuara, kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak, kabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju. Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,” ujar beliau mengulas penentangan pihak tertentu terhadap hudud dalam satu ucapan pada Jun 2015.

“Orang boleh kata kita macam anjing salak bukit sahaja. Ya macam anjing salak bukit. (Hakikatnya) anjing tak salak bukit, tapi anjing menyalak babi yang ada di bukit itu. Ini yang sebenarnya. Kita tak salak bukit. Tapi menyalak (menegur) kelemahan yang berlaku dan najis-najis yang memalitkan kita semua,” katanya menjawab bidasan pihak tertentu kepada PAS kononnya tidak serius mengkritik Umno-BN dalam ucapan pada September 2015.

“Kepada semua ahli PAS termasuk para pemimpin, khususnya yang menjadi Ahli Parlimen dan Adun supaya beristiqamah dengan cara Islam yang berpijak di atas landasannya dan jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya. Kewajipan kita ialah mengajak seluruh manusia dalam masyarakat majmuk supaya melakukan perubahan kepada Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua,” nasihatnya kepada ahli supaya tidak semberono menghadapi musuh politik dalam satu tulisan pada Oktober 2016.

“Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya,” utaranya sebagai peringatan terhadap sikap pihak asing dalam satu tulisan pada Julai 2017.

Pun demikian, ramai lawan beliau tampil mencemuh dan mempertikainya dengan semua perumpamaan digunakan itu. Mereka seperti ‘anjing tersepit’ yang merasa sakit lalu menjelir dan menyalak di sana sini kerana keberangan.

Namun tragisnya dan kebetulan pula negara mengalami beberapa kes anjing gila, secara tiba-tiba seseorang politikus membuat pengakuan yang dibayangi sifat cengkaman dan kediktatoran. Atas ‘kultus’, gilaian dan pemasyhuran oleh para anggota pakatannya, tidak mustahil mereka memperakui ‘label’ diberi pada dirinya. Beliau dengan menggunakan satu perumpamaan, megah mengisytiharkan bahawa dirinya dengan kata-kata, “I’m Top Dog”. – HARAKAHDAILY 19/7/2017

"I'm impressed by your hospitality and further impressed to know a lot of professionals are with PAS Youth. And most of you have a good command of and fluent in English!"

SCD 2Terjemahan: "Saya teruja dengan layanan mesra dan lebih lagi saya teruja apabila mengetahui ramai golongan profesional dalam saff Pemuda PAS. Dan kebanyakan kamu juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik!".

Begitulah lebih kurang rumusan komentar Michelle kepada kami semasa minum-minum petang tadi usai urusan temuramah. Beliau yang merupakan wartawan Sin Chew Daily bersama jurugambarnya telah menemuramah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkenaan isu politik semasa dan prospek PAS dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Kebetulan selepas selesai temuramah ada beberapa orang Exco di Pejabat Pemuda yang sama-sama berbincang santai bersama beliau. Dalam hati berbunga-bunga juga apabila beliau memberi penghargaan dan pandangan positif kepada Pemuda PAS! Beliau menyebut bahawa Pemuda PAS juga memberi kerjasama baik kepada beliau.

Bangga bukan kerana riak, tapi kerana mungkin ramai yang berpersepsi tidak positif terhadap Pemuda PAS (mungkin akibat kesan pemberitaan negatif media beragenda yang semenangnya anti agenda Islam yang diperjuangankan oleh PAS), namun bila mereka mendekati Pemuda PAS baru mereka memahami. Sungguh, tak kenal maka tak cinta! Dah kenal imej Pemuda PAS pasti jatuh cinta.

Pemuda PAS sesi 2017-2019 sebagaimana sesi sebelumnya adalah gabungan profesional dari pelbagai jurusan termasuk yang berkelulusan agama, kelulusan perubatan, kelulusan kejuruteraan, kelulusan IT, kelulusan ekonomi, kelulusan sains sosial juga tidak ketinggalan dalam kalangan aktivis. Semuanya bahu-membahu dan seiring sejalan membangunkan jamaah tercinta liridhalLah tanpa ada dikotomi.

Dalam DPPM kali ini ada Profesor, Profesor Madya, Dr PhD, Dr Perubatan, Jurutera, Penganalisis Ekonomi, murabithun yang teruji istiqamahnya dan pastinya Ulama' yang berusaha mengembangkan agama. Semoga kami dan kita semua terus bermotivasi serta beristiqamah dalam perjuangan ini selari dengan motto "Mara Menuju Cita" dan "Sejahtera Bersama Islam". Alhamdulillah!

Nasihat Imam Hassan Al-Banna rahimahullah berikut cukup terkesan di hati saya. Semoga saya dan anda juga berusaha sebaik mungkin menjadi pekerja dakwah yang serius bekerja dan bukan sekadar menjadi burung kakak tua yang sering sembang kemas!

Kata Imam Hassan Al-Banna:

“Rijalul qaul (orang yang pandai berbicara) tidak sama dengan rijalul ‘amal (orang yang pandai bekerja) dan rijalul ‘amal tidak sama dengan rijalul jihad (orang yang optimal dalam bekerja). Rijalul jihad pun tidak sama dengan Rijalul jihad yang muntij (produktif) wal hakim (bijaksana) iaitu orang yang mampu memberikan hasil yang optimal dengan pengorbanan yang paling kecil.”

“Sesungguhnya orang yang pandai berbicara itu banyak, tetapi sedikit di antara mereka yang tetap konsisten ketika bekerja. Dan banyak orang yang pandai bekerja tetapi sedikit yang mampu mengembangkan amanah jihad yang berat dan mahu bekerja keras (bersungguh-sungguh).”

Ustadz Fathi Yakan pula menukilkan di dalam buku “Abjadiyyat Al-Tasawwur Al-Haraki Li Al-‘Amal Al-Islami (Tasawwur Asasi Gerakan Islam)”:

“Pendidikan jihad ialah pendidikan yang menjadikan insan itu satu makhluk, apa juga kerjanya dan ikhtisasnya sebagai mujahid di jalan Allah, menjadikan manusia yang mempergunakan ikhtisasnya untuk jihad di jalan Allah. Oleh itu, di samping ia seorang ‘alim ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang doktor ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang jurutera ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang guru ia juga seorang mujahid dan seterusnya jihad itu menjadi satu simbol yang istimewa di kalangan mereka.

Pendidikan jihad perlu diberi perhatian lebih kepada dua perkara asas yang penting:

Pertama: Perhatian terhadap jiwa yang ada hubungan dengan Allah, rindu untuk menemuiNya serta mati di jalanNya. Seterusnya menjaganya dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkannya dan menjaga nafsunya sekalipun perkara yang halal dan baik. Dengan ini terbentuk jiwa mujahid.

Kedua: Perhatian terhadap jasad supaya ia sihat dan kuat, memiliki setiap kemampuan untuk bertahan, menyerang dan memiliki pengalaman bertahan dan menyerang, lebih-lebih lagi di zaman yang terdapat pelbagai pengalaman dan keilmuan.”

Demikianlah sewajarnya... Piawaian yang wajar untuk dijadikan sandaran para dae’i dalam dirinya ialah bahawa dia hendaklah mempertahankan iman dan bukan sekadar beriman, serta dia memahami akan kepentingan dirinya untuk berkorban dan bukan sekadar menyumbang. Sama-sama kita ikhtiarkan in shaa Allah.

Bagi mengakhiri posting ini, sama-sama hayati Sabda Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, maksudnya:

“Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang(berjihad), maka dia mati atas satu cabang kemunafikan."

(Riwayat Muslim dalam al-Imarah, al-Nasai dalam al-Jihad dan Abu Daud dalam al-Jihad). – HARAKAHDAILY 15/7/2017

Penulis merupakan Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Juga merupakan AJK PAS Pusat, Setiausaha PAS Negeri Sarawak dan Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak dan Gas Antarabangsa.

"SAYA perhatikan sekarang ini orang PAS dan Umno bukan macam dulu lagi. Boleh duduk sekali dalam 1 majlis. Boleh hadir kenduri, boleh sembahyang 1 masjid. Ini menguatkan lagi persepsi PAS dengan Umno ada sesuatu."

Ya! memang ada sesuatu! Dalam dunia dakwah dan politik demokrasi, kita bukan nak perambat orang pergi jauh-jauh tapi kita nak ajak orang mari bersama Islam. Berbeza dengan peperangan bersenjata, tujuan kita adalah untuk nak kalahkan dan halau musuh.

Silap besar bila orang Umno dilihat sebagai musuh, bukannya mad'u atau sasaran dakwah. Kalau kita faham bahawa orang Umno adalah sasaran dakwah, automatik kita akan tahu bahawa mereka perlu didekati dan dibuat kawan. Mana ada orang yang nak berdakwah tapi duduk jauh-jauh. Setiap hari kita buat musuh dengan mereka kemudian bila tiba masa pilihanraya, kita nak pergi rayu dia supaya undi PAS. Kalau selalu diperlakukan sebagai musuh lalu dipukul dan disakiti, bukan setakat orang malah kambing pun akan terkam dan tanduk kita balik!

Kenyataan ini orang Umno akan bantah apatah lagi PAN. Biasa saja kita dengar ungkapan, "Nak dakwah orang konon, PAS bukannya baik sangat." Setakat kena perlekeh seperti ini, kecil sangat saja ujian dakwah.
Jangan persempitkan takrif dakwah dengan makna ceramah dan kuliah sahaja. Menyantuni orang dalam kesusahan adalah dakwah. Hadir ketika mereka memerlukan adalah dakwah. Singgah tempat pemuda Umno jual burger dan beli burger mereka adalah dakwah. Bagi duit RM10 untuk sebiji burger, tak payahlah ambil balik baki.

Ziarah orang Umno sakit di hospital adalah dakwah. Ajak mereka mari makan kenduri rumah kita adalah dakwah. Tolong bayar air dan nasi berlauk JKKK dalam kedai kopi adalah dakwah. Bawa doktor pergi ziarah rumah orang Umno sakit adalah dakwah. Menziarahi jenazah dan hantar jenazah orang Umno ke kubur adalah dakwah.

Bagi hadiah penghargaan untuk anak-anak orang Umno yang berjaya dalam peperiksaan adalah dakwah. Main bola sekali di padang bola dengan orang Umno adalah dakwah. Ajak anak-anak muda Umno ikut sekali dalam ekspedisi bermotosikal adalah dakwah. Masuk waktu kita ajak mereka solat berjamaah.

Dalam banyak-banyak cabang dan lorong dakwah, saya melihat lorong dakwah melalui kebajikan adalah yang paling sukar untuk ditolak. Bertindak lebih berkesan dari bercakap. Manusia adalah hamba kepada budi.

Dakwah pula perlu diulang-ulang dan jangan mudah rasa jemu. Ingat Almarhum Dato' Omar Mohamad cerita dia beli buah nangka putik atas pokok rumah orang Umno. Setiap minggu dia singgah rumah orang Umno tersebut untuk nak tengok buah nangka dia. Begitulah berulang-ulang sehingga buah nangka masak dan akhirnya tuan rumah Umno masuk PAS.

Dalam dunia demokrasi setiap undi adalah dikira dan setiap undi sangat bernilai. Apatah lagi apabila bilangan ahli dan penyokong yang kita miliki belum cukup untuk memenangkan kita. Maka aktiviti yang sekadar berlegar dalam kalangan kita sesama kita adalah tidak mencukupi.

Kisah Arwah Tok Guru Nik Aziz nak dakwah seorang Umno gedeber di Bachok lebih menarik diceritakan oleh Ustaz Dr Nik Zawawi. Saya tak sebut nama orang gedeber di sini. Suatu petang lepas solat asar, Tok Guru ajak pemandu dia pergi cari rumah hamba Allah tersebut. Bila sampai di kampung kawan tu, Tok Guru singgah di kedai kopi dan tanya orang di situ, "Mano rumoh Sipolan ni?" Orang di kedai kopi bagi tahu jalan dan nak pergi rumah kawan tu. Tok Guru naik kereta dan berhenti di sebuah lagi kedai kopi lalu tanya soalan yang sama. Bila diberitahu arah jalan, Tok Guru naik kereta dan singgah di kedai kopi yang ketiga dengan soalan yang sama. Lepas tu Tok Guru naik kereta dan ajak pemandu dia balik.

Hairan pemandu Tok Guru. Kata nak pergi cari hamba Allah orang gedeber tersebut. Tapi ajak balik pula. Tok Guru kata, "Tak apa... dia akan mari jupo kito."

Kebetulan hamba Allah yang Tok Guru buat acah-acah cari petang tersebut keluar ke kedai kopi yang Tok Guru singgah tadi. Orang ramai bagitahu, "Tok Guru Nik Aziz ada mari cari demo takdi. Jupo ko dok?" Terkejut besar kawan ni bila Tok Guru merangkap Menteri Besar Kelantan mari cari dia. Ada kerja apa?
Esoknya belum subuh lagi dia dah sampai masjid Pulau Melaka. Sembahyang subuh dan nak jumpa Tok Guru. Lepas sembahyang, dia pergi salam dengan Tok Guru tanya sebab apa Tok Guru cari dia petang kelmarin. Tok Guru jawab, "Saja cari nak tanyo khabar, nak buat saing..."

"Allah... Tok Guru nak buat saing dengan ambo. Ambo ni bukan orang baik Tok Guru." jawab kawan tu.

"Tak apa... ambo buleh bersaing belako dengan sapo-sapo pun." jawab Tok Guru.
Menangis kawan tu dengar kata-kata Tok Guru. "Selama ni orang kampung pandang ambo ni jahat, pakat tak sir buat saing belako ngan ambo. Tapi Tok Guru nak buat saing. Kalu gini ambo nak masuk PAS Tok Guru!" – HARAKAHDAILY 3/7/2017

BILA Amerika Syarikat (US) nak campur tangan hal urusan negara lain, alasan klasik mereka ialah untuk menegakkan hak asasi manusia, keadilan, kebebasan dan mengembalikan hak rakyat.

Bila mereka masuk, maka Iraq adalah contoh nyata di depan mata. Apa yang berlaku ialah kemusnahan, pembunuhan, pencabulan dan perogolan serta perompakan khazanah minyak Iraq.

Penjara Abu Gharib, Baghdad berubah menjadi neraka mirip Guatanamo. Tahanan dibogel, dibelengu, diseret dengan tali anjing, dikencing mayat mereka. Penyeksaan dalam penjara Abu Gharib usah diceritakan lagi. Inilah hak asasi gaya US!

Kitab al Quran dijadikan sasaran menembak Tentera US dan muslimat Iraq dirogol. Kes rogol yang berlaku tak terkira lagi. Malah ada kes tentera Amerika merogol seorang gadis dalam rumah yang diserbu dan semua ahli keluarga gadis tersebut ditembak mati.

Fallujah, sebuah bandar Muslim Sunni yang sangat indah dengan penduduknya yang taat beragama sehingga Fallujah digelar ‘Madinatul Masaajid’ atau Bandar Masjid disebabkan bandar ini mempunyai begitu banyak masjid dibumi hanguskan oleh US. Ratusan ribu penduduknya terpaksa meninggalkan Fallujah menjadi pelarian di negera sendiri.

Apakah kebebasan bagi US bermakna merobohkan patung Saddam Hussein? Apakah hak asasi manusia telah berjaya ditegakkan apabila Saddam maut di tali gantung? Kebebasan apa yang diperjuangkan oleh US sehingga sekarang ini rakyat hidup ‘di bawah bayangan maut’ setiap hari? Sekarang rakyat Iraq mengeluh, “kalaulah Saddam masih ada tentu kehidupan kami akan lebih baik…”

Dr AzmanIraq yang asalnya sebuah negara terkaya dengan nilai matawang Dinar Iraq adalah yang tertinggi di dunia, sekarang tersenarai dalam kumpulan negara miskin di dunia. Bayangkan dulu 1 Dinar Iraq bersamaan USD3.30.

Kemakmuran apa yang dijanjikan oleh US dengan menjatuhkan Saddam kalau rakyat terpaksa keluar dari negara sendiri untuk mencari peluang pekerjaan. Kata kawan-kawan Iraq yang datang mencari rezeki di Malaysia, “Azman! Iraq bumi tempat awak belajar dulu sudah tiada hari esok!”

Saya tak pernah percaya, tidak percaya dan tak akan percaya dengan sebarang kata manis US walaupun atas nama menegakkan undang-undang dan keadilan dan nak tangkap perompak. Hakikatnya mereka adalah kepala penyamun! Mana mungkin kita boleh percaya kepada kepala penyamun untuk tangkap perompak.

Dr Azman Ibrahim
1 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 1/7/2017

DI BAWAH adalah surat terbuka Presiden PAS yang penting untuk politik negara. Ia menggegar pada hujung bulan Ramadhan, pagi raya Idil Fitri dan terus mengasak di medan politik negara sehingga hari ini.

Ia penting kerana ia adalah pernyataan sikap PAS dan nasihat penting kepada tuan-tuan dan parti-parti politik negara. Kealpaan akan mengundang padah yang besar kepada rakyat dan negara. Jangan negara tergadai oleh politik akalan pendek, tidak sabar dan tanpa disiplin yang tinggi.

Mana-mana negara yang lemah sistem dan amalan politiknya (seperti Malaysia) sememangnya menjadi intaian dan sasaran kuasa-kuasa besar untuk menguasainya secara langsung atau tidak langsung. Masing-masing dengan kepentingan politik masing-masing. Tiada sebarang tuah menunggu negara-negara lemah. Keselamatan negara hanyalah bergantung pada tahap kesedaran yang tinggi yang dimiliki oleh rakyatnya terutama tuan-tuan politiknya.

Lemah mana pun negara, jangan menjemput kuasa asing. Bayarannya amat tinggi. Maruahlah yang terjual nanti.

Tiada siapa pun akan mengaku menjemput kuasa asing. Ia pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Siapa mahu mengaku?

Bahkan, ia boleh berlaku tanpa niat atau dengan niat yang baik sekali pun. Niatnya mahu menolong negara, tapi tindakannya bakal mengundang padah tanpa disedarinya. Sejarah lepas (termasuk pada zaman al rasul صلى الله عليه وسلم sendiri) berjajaran mengajar kita agar berwaspada dan bersikap tegas.

PAS akan kekal dengan ketegasan yang tinggi. PAS mengkritik dan menasihati, sesuai dengan anjuran agama Islam. Kesabaran adalah pakaian PAS insya Allah. Demi Malaysia tercinta.

Nasihat benar yang dibenci oleh pemandu liar di jalan raya ialah 'biar lambat asal selamat'. Bagi mereka lambat itu adalah kegagalan dan peluang yang terlepas. Tetapi kesudahan mereka adalah katil hospital atau keranda terkujurlah jasad.

Saya membacanya beberapa kali. Saya mendapatinya amat penting. Saya anjurkan anda mengamatinya..

__________________________________________

Al-QURAN yang menjadi petunjuk mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran. Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.

Dalam lipatan sejarah Tamadun Islam, kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol tertangguh beberapa abad apabila salah seorang pemimpinnya, Ibnu Abbad yang menentang cadangan menjemput campur tangan asing, dengan tegas beliau menyatakan:

“Bahawa saya lebih rela menjadi gembala unta kepada yang zalim kalangan kita daripada menjadi gembala babi kepada pihak bukan kita.”

Namun, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad akhirnya kecundang apabila ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu memenangkannya dalam krisis dalaman. Akhirnya cahaya Islam dipadamkan di Sepanyol sehingga kini.

Dalam sejarah Alam Melayu pula, ada kalangan sejarawan kita melaporkan bahawa kejayaan penjajah menjatuhkan Kerajaan Melayu Islam Melaka apabila adanya sekelompok tertentu yang menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan atas sebab kemungkinan adanya kesalahan atau kezaliman, tetapi akibatnya selepas itu seluruh Rantau Nusantara dijajah dan dibahagikan buminya oleh penjajah selepas hilangnya kedaulatan Islam.

Begitulah juga, jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, Perwaja, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

Apapun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.

Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦۖ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَٰلَۢا بَعِيدٗا ٦٠ وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيۡتَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودٗا ٦١ فَكَيۡفَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةُۢ بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ جَآءُوكَ يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّآ إِحۡسَٰنٗا وَتَوۡفِيقًا ٦٢ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمۡ فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ وَعِظۡهُمۡ وَقُل لَّهُمۡ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَوۡلَۢا بَلِيغٗا ٦٣ النساء .

“Tidakkah Engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad S.A.W.) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut (diluar daripada Madinah), padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. (60) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (61) Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah). (62) Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka). (63) (Surah An-Nisa’: 60-63)

Sebab turunnya ayat ini kerana seorang yang mengaku Islam di kalangan Ansar bertelingkah dengan seorang Yahudi (bukan Islam) dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak memberi kemenangan kepadanya, lalu dia mengajak si Yahudi itu membawa perkara tersebut kepada pihak luar daripada Madinah.

Kesilapan kita kerana tidak menyelesaikan masalah dengan cara petunjuk Allah iaitu Islam. Bukan caranya menjemput pihak asing yang pasti tidak beriman dan budiman.

Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman.

Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ٱزۡدَادُواْ كُفۡرٗا لَّمۡ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغۡفِرَ لَهُمۡ وَلَا لِيَهۡدِيَهُمۡ سَبِيلَۢا ١٣٧ بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ النساء

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kufur sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar. (137) Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139) (Surah An-Nisa’: 137-139)

Kita adalah pendakwah mengajak manusia kepada Islam dan menyelamatkan seseorang Islam yang ada di dalam dirinya sifat munafiq dalam kawasan dan sempadan kita.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada seorang sahabatnya yang kuat beriman, tiba-tiba melakukan kesalahan yang besar kerana menghina rakannya:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
سنن أبي داود للسجستاني (4 / 504)

“Wahai Abu Zar! Kamu ini seorang yang masih ada pada dirimu sifat jahiliyah”. Namun Abu Zar R.A. tetap dikira kalangan para sahabat yang terbilang.

Allah pernah menurunkan firman-Nya kepada seorang sahabat, Hatib bin Abi Baltaah R.A. yang bertaraf ahli Badar yang mulia kerana memberi maklumat kepada musuh dengan firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١ الممتحنة

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul” (Surah Al-Mumtahanah: 1)

Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.

Sabda Rasulullah S.A.W. supaya mencegah kemungkaran secara bijaksana:

مَثَلُ القَائِمِ في حُدُودِ اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا ، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاها وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ ، فَقَالُوا : لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا ، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعاً ، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعاً . رواه البخاري.

“Bandingan orang yang menjaga sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan mereka yang jatuh ke dalamnya (melakukan kemungkaran) laksana satu kaum yang berada di atas bahtera. Maka sebahagian daripada mereka berada ditingkat atas dan sebahagian lagi berada dipetak bawah. Mereka yang berada dipetak bawah apabila mahukan air terpaksa melalui mereka yang berada di atasnya. Lalu mereka berkata: “Kalau kita tebukkan kapal ini untuk mendapatkan air tanpa mengacau mereka yang berada di atas”. Maka kalau dibiarkan kapal itu ditebuk mengikut kemahuannya nescaya semuanya mati tenggelam, kalau dihalang tindakan itu nescaya semuanya selamat”.

Kalaulah yang berlaku itu kerana satu kemungkaran yang nyata, beginilah akibatnya. Kalau yang berlaku itu adalah fitnah, maka celakanya lebih parah.

PAS terus bersabar walaupun sudah berlalu zaman setengah abad dan seterusnya, menukar pemimpin yang telah meninggal dunia dengan beristiqamah dan mereka yang tidak beristiqamah meninggalkan PAS juga tidak sampai ke matlamat dunia pun. Kerana wawasan kita mencapai keredaan Allah sehingga ke liang lahad dan hari kebangkitan semula bertemakan firman Allah:

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥ التوبة.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (Surah At-Taubah: 105)

Kita tidak ditanya mengapa belum menang, tetapi kita ditanya adakah sudah beramal dan berjuang atau tidak untuk meraih janji-janji kemenangan bersyarat yang mampu mengisi erti kemenangan sebenar bukannya kemenangan kosong, atau kita berjuang untuk menggantikan kemungkaran dengan menegakkan kemungkaran juga?

Tugas kita adalah mengajak manusia sebanyak-banyaknya kepada Islam, bukan sekadar menjatuhkan pemimpin dan berebut jawatan. Bahkan mengajak kepada islah pemimpin dengan melahirkan pemimpin yang tegak bersama hidayah, bukannya bergantung kepada jibayah.

Sabda Rasulullah S.A.W. kepada menantunya Ali bin Abi Talib K.W.H:

فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ. متفقٌ عَلَيْهِ

“Demi sesengguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah lebih baik daripada mendapat kenderaan paling mahal harganya”.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M

‎Kekalkan momentum Ramadan meraih taqwa: Bangun waktu sahur untuk makanan rohani

(وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ)
[Surat Adh-Dhariyat 18]

1. (Orang yang bertaqwa itu) Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun ) setelah siang penuh dengan makanan jasmani dan nafsu.
‎َ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ)
[Surat Aal-E-Imran 17]
Dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

2. Beginilah rahimNya Allah mentarbiyah hambaNya menuju taqwa menerusi kaedah kebiasaan selama 29-30 hari secara berterusan. Keberkesanan tarbiyah Allah kepada hambaNya apabila amalan bangun sahur itu dapat diteruskan sepanjang 11 bulan yang lain.

3. Begitulah amalan soleh yang lain. Perlu dilakukan secara berterusan dengan kesabaran dalam 30 hari agar sebati menjadi kebiasaan dalam hidup.

4. Galakan bangun makan sahur adalah strategi mengumpan hamba/manusia yang fitrahnya suka makan agar sanggup bangun walaupun pada hujung malam (saat paling lena) pada hal waktu sahur itu sebenarnya saat yang paling bernilai kepada seorang hamba untuk berdua-duaan dengan TUANnya yang sebenar mengadu nasib kerdilnya diri dan meletakkan sepenuh pasrah di atas segala takdir Allah kepadanya dan memohon agar menjadi hamba Saburan Syakuran.

‎رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ)
[Surat Al-Ahqaf 15]

5. Dengan segala ni'mat dan taqdir...Memohon meminta merayu agar diberi kekuatan termasuk dalam golongan sebaik-baik ummah
‎(كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ)
[Surat Aal-E-Imran 110]
kerana ummah yang terbaik ini dijanjikan kejayaan kemenangan dunia dan akhirat
‎(وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ)
[Surat Aal-E-Imran 104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menegakkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال وكل عام وانتم بخير ?

#RamadanMadrasahMuttaqin
#KekalkanmemontumRamadan
#JadilahHambaPemilikRamadan

Dr Uswah Tahir
Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPM

BERDOA ketika berhadapan situasi sukar adalah suatu usaha. Ia bukan suatu tindakan negatif dan tidak sewajarnya ditafsirkan sebagai pesimis sebagaimana pemikiran setengah liberalis muslim.

Di saat segala usaha fizikal dan teknikal telah diusahakan maka yang tinggal ialah iringan doa supaya ia dimudahkan oleh Tuhan. Setiap orang tidak boleh berputus asa mengharapkan rahmat Tuhan di saat sukar.

Hanya pemikiran sekuler yang memisahkan antara sebab fizikal dan kuasa Tuhan dalam menyempurnakan sesuatu usaha.

Berdoa tidak bererti menyerah untuk mati ketika berhadapan situasi sukar yang melibatkan antara hidup dan mati.

Tindakan pilot AirAsia yang mengajak semua penumpang berdoa ketika berhadapan situasi sukar adalah tindakan terpuji dan satu motivasi serta usaha mengajak semua penumpang secara bersama memohon keselamatan daripada bencana. Pergantungan pada Tuhan menandakan seseorang itu belum berputus asa untuk terus selamat.

Islam mengajar umatnya berdoa di kala sukar sebagaimana sabda Rasulullah saw:

َ لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ

"Tidak menolak ketentuan Tuhan itu melainkan doa." (Hadis riwayat Hakim)

Saya lebih merasa aman jika bersama pilot sebegini.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

DOKTRIN liberal kini dilihat semakin rancak. Artikel terbaru bertajuk "Larangan Solat Ketika Haid Satu Penindasan" mengejutkan kita semua. Ungkapan tersebut adalah melalui imam wanita kelahiran Turki, Seyran Ates yang merupakan pengasas rumah ibadah Islam liberal terbaru di Berlin.

“Saya rasa didiskriminasi di dalam masjid-masjid di Berlin dan seluruh Jerman kerana tiada solat bersebelahan (lelaki dan wanita), kerana perempuan terpaksa pergi ke bilik yang buruk.

“Perempuan disuruh untuk solat berasingan dengan lelaki dan menutup rambut ketika solat…dan untuk berhenti solat sewaktu datang darah haid… Kesemua larangan ini diletakkan ke atas perempuan kerana ianya cerminan kepercayaan sosial bahawa perempuan tidak lengkap dan tidak sesempurna lelaki," demikian antara ungkapan yang dizahirkan beliau. Rujuk pautan (https://www.menara.my/larangan-solat-ketika-haid-satu-penindasan-imam-wanita/)

Meneliti kata-kata hinaan terhadap agama ini, beliau sebenarnya sudah mencemarkan kemuliaan Islam. Sesungguhnya Allah S.W.T mengangkat martabat wanita di dalam Islam. Segala larangan dan perintah yang diarahkan terkandung hikmah kepada hambaNya yang beriman.

Dari Abu Sai’d, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
‎أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ ، وَلَمْ تَصُمْ فَذَلِكَ نُقْصَانُ دِينِهَا
“Bukankah bila si wanita haid ia tidak solat dan tidak pula puasa? Itulah kekurangan agama si wanita. (Muttafaqun ‘alaih, Hadis Riwayat  Bukhari)

Pengingkaran yang dilafazkan oleh Seyran merupakan bukti jelas bahawa puak liberal kini semakin berani mencabar kesucian agama. Allah S.W.T jelas mengharamkan wanita yang dalam keadaan haid untuk menunaikan solat. Namun perintah tersebut dianggap satu penindasan oleh beliau.

Justeru, kami DMPM melihat penularan doktrin ini perlu dikawal supaya tiada yang terpengaruh. Antara faktor terbesar sehingga menimbulkan kes ini ialah kejahilan yang melanda umat Islam. Agama Islam mula diperkotak-katikkan, dek kerana jahilnya ilmu dan tidak berguru dengan guru yang mahir dalam bidang agama.

Kesungguhan untuk mencari ilmu dan penjelasan Islam yang sebenar perlu diperkasakan. Kesedaran perlu dipupuk bersama demi melihat panji Islam tidak lagi diremehkan oleh tangan-tangan yang bencikan kebenaran. Seharusnya umat Islam tidak boleh membiarkan hal ini menjadi nanah kepada generasi akan datang.

Benarlah sabda baginda yang menceritakan perihal umat Islam yang lemah pada akhir zaman.

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”

Sabda Baginda SAW: “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”

Justeru, langkah drastik perlu disegerakan iaitu peranan semua pihak, khususnya Kementerian Pendidikan seharusnya melihat isu ini sebagai isyarat untuk menjadikan Pendidikan Islam yang syumul mesti dilaksanakan di semua peringkat institusi pendidikan sehingga ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia menyarankan agar pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil tindakan yang tegas agar pemikiran liberal ini tidak menular dengan berleluasa dan semua umat Islam sedunia perlu peka dan terus mencari ilmu keagamaan dari sumber yang dipercayai dan terus berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan hidup. Semoga kita terhindar dari golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduaya, iaitu: Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya” (Hadis Riwayat Malik)

"Muslimat Memacu Kemenangan"

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOOR
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Ramadan 1438H / 21 Jun 2017        

MALAIKAT telah meramalkan sejak penciptaan Adam a.s. lagi akan tindak tanduk manusia yang bakal melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Semestinya setiap kali Ramadan dan menjelangnya Syawal, pelbagai persiapan dibuat. Pasar-pasar raya penuh siang dan malam. Seharian sibuk menyediakan juadah berbuka puasa dan berhari raya, malamnya pula dihidupkan dengan temasya ibadah.

Namun, dalam keghairahan kita memburu taqwa, sayugia diingatkan bahawa hakikat penciptaan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini juga menuntut tanggungjawab menjaga alam sekitar sebagai intipati kepada taqwa.

Sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran bercerita mengenai penciptaan alam semesta ini sebagai tanda kebesaran Allah swt. Penciptaan gunung ganang, bukit bukau, sungai, laut, tumbuhan serta binatang-binatang yang menakjubkan adalah tanda-tanda kekuasaan Allah swt bagi hambaNya yang berfikir.

Maka, jadikanlah Ramadan yang masyhur sebagai medan penyucian diri ini sebagai satu ingatan untuk kita menjaga alam sekitar kurniaan serta dugaan daripada Allah swt. Adalah menjadi ironi sekiranya kita giat berbicara dan mengerjakan tulang empat kerat beribadah mencari Redha Allah swt tetapi pada masa yang sama kita mengabaikan makhluk Allah di sekeliling kita.

Kajian oleh pihak pengurusan sisa pepejal menunjukkan peningkatan mendadak penghasilan sampah sewaktu bulan Ramadan. Ayuh bersama kita gerakkan kesedaran untuk meningkatkan aktiviti kitar semula di sekeliling kita.

Masih belum terlambat. Pastikan Aidilfitri ini juga kita semua sama sama memberikan fokus kepada alam sekitar dan kebersihan.                        

Nazman Che Iberahim
Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia                      

MAPIM kesal dengan senario yang semakin buruk di negara-negara Arab yang menunjukkan kesatuan ummah ternyata gagal dibina di rantau di mana sejarah Islam mula bertapak.  

Liga Arab yang ditubuh pada 1945 dan GCC (Kerjasama Negara Teluk) pada 1981 yang dianggotai negara-negara Arab sepatutnya bertujuan merapatkan perhubungan dan kerjasama antara anggota wadah tesebut. Namun ternyata kedua platform itu tidak dapat menghasilkan kesatuan yang diharapkan. Padahal dari sekitar 340 juta bangsa Arab di rantau itu, 90% adalah Muslim dan sekitar 10% Kristian.

Ternyata 22 negara dalam Liga Arab dan 6 negara dalam GCC mempunyai idoelogi yang berbeza. Masing-masing mempunyai kiblat ekonomi dan politik yang berbeza sehingga mudah dicatur oleh kuasa luar. Saudi yang cuba menunjukkan kuasanya, memaksa negara lain patuh kepada kehendaknya.

Kini pergolakan yang tercetus mengakibatkan bangsa Arab saling bersengketa lagi.  Krisis antara negara Arab terutama di Negara-negara Teluk ( GCC ) telah mencetuskan satu lagi babak pertelingkahan yang berpotensi bergolak sehingga ke peringkat perang terhadap sebuah negara Islam oleh gabungan negara-negara Islam yang lain.

Krisis tekanan terhadap Qatar yang dilakukan oleh beberapa negara di bawah telunjuk Saudi, nyata memecah-belah dan menambah buruk lagi keadaan umat Islam di rantau itu. Lebih buruk lagi senarai 59 orang yang dituduh sebagai teroris di Qatar termasuk ulama tersohor Syeikh Dr Yusof Qardhawi. Malangnya Saudi dengan mudah menurut kehendak Amerika Syarikat dan Israel bila menyenaraikan individu dan organisasi yang dituduh teroris.

Kami sangat kesal ini berlaku di waktu umat Islam menjalani ibadah Ramadhan. Bulan suci yang sepatutnya dijadikan bulan memupuk silaturrahim, ukhuwwah dan kesatuan, tiba-tiba bertukar menjadi bulan memutuskan persaudaraan sehingga suasana bertukar tegang dan amaran dikeluarkan untuk berperang.

Setelah berlakunya krisis di rantau Arab pada 2011, akibat tercetusnya kebangkitan Arab (Arab Spring) yang melibatkan negara seperti Tunisia, Mesir, Libya, Yemen, Bahrain dan Syria, ternyata bangsa Arab berdepan dengan konflik dalaman yang parah.

Sebelumnya Iraq telah dihancurkan sehingga tidak ada lagi kestabilan sehingga hari ini. Satu demi satu negara Arab yang dipimpin oleh pelbagai kelompok yang telah menjatuhkan regim diktator masing-masing, tidak dapat bersatu untuk memulihkan negara.

Kali ini negara yang paling kaya dengan sumber minyak iaitu Saudi bersama dengan UAE pula,  merelakan diri bersekongkol dengan Amerika Syarikat dan Israel untuk menindas sebuah negara kecil Qatar atas nama membanteras terorisme dan memaksa Qatar memutuskan hubungan dengan Iran yang menjadi musuh nombor satu Saudi.

Kami kesal betapa pemimpin-pemimpin Arab telah rela diperalatkan oleh kuasa Barat dan zionis untuk diperlagakan sehingga kekayaan sumber minyak yang dimilikki oleh bumi Arab akhirnya diguna oleh musuh umat Islam sendiri iaitu zionis Yahudi dan kuasa imperialis Amerika Syarikat.

Krisis Qatar menjadi satu lagi babak perpecahan. Kali ini berlaku secara terang-terangan di bawah telunjuk Saudi Arab yang bersekongkol dengan AS dan Israel untuk menghukum mana-mana negara yang dianggap mencabar kuasa mereka.

Qatar dituduh kononnya mendukung teroris dan gerakan ekstrimis. Walaupun Qatar berkali-kali menafikan tuduhan tersebut namun Saudi dan konco-konconya meneruskan tindakan menghukum Qatar dengan hukuman yang sangat melampau.

Bukan sahaja Saudi dan beberapa negara GCC dan bukan GCC memutuskan hubungan diplomatik, malah melancarkan  sekatan udara, darat dan laut ke atas Qatar. Akibatnya ia telah memporak-perandakan kehidupan sosial orang awam di negara tersebut. Rakyat Qatar di negara-negara GCC yang lain diberi tempoh 14 hari untuk keluar. Kesan kepada keluarga rakyat awam di Qatar tiba-tiba menjadi tidak menentu. Mereka terpaksa berpisah antara suami, isteri dan anak-anak hanya kerana memilikki kerakyatan yang berbeza.

Akibat tindakan sekatan melampau keatas Qatar, semua perjalanan hidup sosial rakyat awam terganggu termasuk kehilangan jaminan pekerjaan, tempat tinggal, khidmat sosial, pendidikan, kebebasan bergerak dari satu negara ke satu negara.

Di negara GCC yang mempunyai hampir 50% warga asing sebagai pekerja dari keseluruhan 52 juta penduduk, akibat krisis yang berlaku, juga berdepan dengan masalah besar. Jika mereka keluar dari Qatar berkemungkinan mereka tidak boleh lagi pulang ke Qatar untuk menyambung pekerjaan. Jalan masuk dan keluar dari Qatar disekat sepenuhnya.

Inilah natijah dari pertelingkahan bangsa Arab yang berlaku kini.

Keuntungan terbesar yang dapat diraih segera dari krisis ini adalah oleh Zionis Yahudi dan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Israel sudah lama menunggu kesempatan ini untuk melenyapkan kelompok yang menjadi musuhnya iaitu Ikhwan Muslimin dan Hamas.

Saudi dilaporkan mengeluarkan kata dua kepada Qatar. Tuntutan 10 perkara ke atas Qatar diberi masa 24 jam untuk ditunaikan. Intisari tuntutan itu adalah untuk mengusir semua anggota Ikhwan Muslimin dan Hamas, menghentikan sokongan kepada mereka serta memutuskan hubungan dengan Iran.

Kami dengan ini mendapati pemimpin-pemimpin bangsa Arab nampaknya gagal menunjukkan keinginan untuk membina kesatuan umat kerana masing-masing mempunyai ego untuk kekal berkuasa dan merelakan diri menjadi budak kepada kuasa besar AS dan Zionis Yahudi.

Kami merumuskan selagi pemimpin-pemimpin Arab tidak menjadikan Islam sebagai asas perhubungan dan ideologi yang menyatukan mereka, selagi itu bangsa Arab tidak dapat diharapkan menjadi contoh untuk umat Islam di seluruh dunia.

Kami berpendirian pemimpin Arab telah terperangkap dalam percaturan zionis dan kuasa imperialis. Sejarah bangsa Arab diperalat oleh British untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah kini berulang lagi bila mereka merelakan diri diperguna untuk menghancurkan gerakan Islam di rantau itu.

Kami mengingatkan pemimpin-pemimpin Arab bahawa kuasa imperialis akan membuang mereka bila didapati mereka tidak berguna lagi. Jika sampai masanya mereka perlu mengganti pemimpin Arab dalam sesebuah negara, mereka boleh melakukan konspirasi yang paling berkesan untuk menghumban pemimpin itu bagi diganti orang yang boleh menjadi boneka kepada kuasa besar dan zionis Yahudi.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
12 Jun 2017

Al-Qur'an turunkan kepada Rasulullah SAW yang ummi untuk disampaikan kepada umat manusia yang Ummiyyin yang berada di dalam kesesatan yang nyata.

1. Maksud firman Allah: Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [Surah Al-Jumu'ah: 2]

2. Tidak sampai 30 tahun, hasil didikan Rasulullah saw yang berpusatkan Al-Qur'an telah berjaya melahirkan generasi al-Qur'an yang unggul (Jail Jailul Qur'an al-Farid) dan Islam tersebar meluas sampai ke Eropah sehingga tertegaknya negara Islam Andalus.

3. Hilangnya keyakinan umat Islam terhadap al-Qur'an dengan berkiblatkan akal dan pengasingan sumber wahyu daripada disiplin ilmu era kebekuan dan era penjajahan, umat Islam hari demi hari hilang jati dirinya sebagai khalifah di muka bumi ini.

4. Penjajah dengan agenda sekularisme telah memaksa umat Islam supaya menerima sistem pendidikan Barat dan berjaya memisahkan umat Islam daripada sistem pendidikan Qur'ani. Dengan itu, memudahkan lagi penjajah dan musuh Islam menanamkan racun-racun ideologi ke dalam pemikiran yang membawa kepada kemurtadan dan kecelaruan identiti sebagai seorang Muslim.

5. Dengan pelbagai krisis sosioekonomi ummah dan kepincangan politik negara hari ini, tidak ada jalan lain sebagai jalan penyelesaian kecuali menjadikan al-Qur'an sebagai rujukan utama di dalam sistem pendidikan negara agar segala penyakit yang melanda negara ini mampu diubati dengan penuh rahmat Allah swt.

Maksud firman Allah: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua." (Surat Al-Isra': 82)

6. Semoga sambutan Nuzul al-Qur'an kali ini membuka ufuk pemikiran dan kesedaran yang lebih mendalam kepada semua pencinta al-Qur'an untuk membuat anjakan paradigma terhadap al-Qur'an sebagai sumber utama ilmu dan pendidikan. Sistem Pendidikan yang bersumberkan al-Qur'an meletakkan aqidah tauhid sebagai teras setiap kurikulum dan semua kursus di instusi pengajian tinggi dan pusat latihan guru seterusnya semua subjek untuk dipelajari di sekolah-sekolah.

7. Sudah sampai saat yang kritikal pada hari ini sistem pendidikan negara perlu dikaji semula dasar kesetaraan gender dalam pendidikan disebabkan kecelaruan gender yang semakin merebak dalam kalangan umat Islam sehingga sanggup mempertahankan LGBT dan menghalalkan hubungan seks sesama jantina dengan hujah rahmatan lil'alamin. Wal'iyazubillah

Papan meja Lajnah Pendidikan DMPM
17 Ramadan 1438 / 12 Jun 2017

1. PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai prinsip dalam menentukan hala tuju dan gerak kerja untuk membina masa depan ummah yang sejahtera.

2. Berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan politik dari semasa ke semasa akan ditentukan oleh kepimpinan peringkat tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulamak PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

3. Al-Quran diturunkan kepada sekalian makhluk sebagai panduan untuk menjalani kehidupan di dunia dan akhirat kelak, justeru, barangsiapa yang mengambil isi Al-Quran keseluruhannya sebagai panduan, nescaya mereka akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Al-Quran juga sesuai pada setiap masa dan zaman.

4. Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh) merangkumi segala jenis cabang ilmu diatas muka bumi ini meliputi aspek politik, ekonomi, sosial, budaya, undang-undang dan lain-lain. Maka sebab itulah Islam merupakan cara  hidup yang sesuai kepada semua lapisan masyarakat.

5. DPPNPs sentiasa positif kepada mana-mana pihak yang mengutamakan kepentingan Islam. DPPNPs bersikap terbuka  kepada mana-mana pihak dalam usaha penyatuan umat dalam menegakkan syariat Allah SWT, seiring dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

6. Bersempena Nuzul Quran tahun ini, DPPNPs mengajak semua pihak samada individu atau kumpulan untuk sama-sama menjaga survival  Isam di negara kita supaya masa depan negara kita sentiasa aman dan makmur di bawah cahaya Islam.

Sejahtera Bersama Islam
Mara Menuju Cita

USTAZ MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis
12 Jun 2017 | 17 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 12/6/2017