KITA masih lagi terkesan dengan fitnah penjajahan. Sebelum jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi pada 3 Mac 1924, terdapat beberapa peristiwa penting yang mendorong kepada penubuhan negara haram Israel. Antaranya adalah Deklarasi Balfour, yang menjadi pintu masuk secara rasmi kepada Yahudi Zionis untuk menceroboh Baitul Maqdis.
 
Rentetan Dari Sykes Picot
 
British memainkan peranan yang cukup penting untuk melemahkan Khilafah Uthmaniyyah. Antaranya dengan menyuntik adu domba kepada pembesar-pembesar dunia Arab agar meledakkan pemberontakan menentang Khilafah Uthmaniyyah. Meniup sentimen Arab lawan Turki. Maka tercetuslah Revolusi Agung Arab. Mereka bodoh kerana termakan janji palsu British yang kononnya akan mengiktiraf mereka sebagai khilafah baharu.
 
Setelah itu, termeterailah Perjanjian Sykes Picot antara British dan Perancis pada 16 Mei 1916. Akibatnya wilayah-wilayah Islam dibahagi-bahagikan oleh mereka. Maka terlakarlah peta baharu. British menguasai Jordan, Palestin dan Iraq. Sementara Perancis menguasai Lubnan dan Syria.
 
British yang menguasai Palestin telah merangka rancangan untuk menempatkan Yahudi Zionis di Palestin, sebagai batu asas penubuhan negara haram Israel.
 
Deklarasi Balfour
 
Setahun selepas termeterainya perjanjian Sykes Picot, maka berlangsunglah operasi memindahkan Yahudi Zionis dari Eropah ke Palestin.
 
Pada 2 November 1917, Menteri Luar British bernama James Arthur Balfour telah menulis deklarasi yang menampakkan siapa 'tuan' sebenar British. Ia dialamatkan kepada Lord Rothschild, pelobi Zionis yang cukup berpengaruh hingga kini.
 
Isi Kandungan Deklarasi
 
Kementerian Luar Negara,
2 November 1917,
 
"Yang Terhormat Lord Rothschild,
 
Saya sangat bahagia mewakili pemerintah (British) untuk menyampaikan rasa simpati terhadap cita-cita Yahudi Zionis. Aspirasi ini telah dikemukakan kepada kabinet dan dipersetujui.
 
Bahawa pemerintah (British) memberi perhatian dengan penuh simpati untuk mendirikan tanah air nasional bagi Yahudi di Palestin. Pemerintah (British) akan berusaha sehabis baik demi merealisasikan cita-cita ini. Namun perlu dijelaskan bahawa tiada sebarang tindakan prejudis ke atas golongan selain Yahudi yang sedia ada di Palestin. Begitu juga tidak melibatkan hak dan status politik bagi Yahudi yang berada di negara-negara lain.
 
Saya amat berterima kasih jika tuan memaklumkan kenyataan ini kepada gerakan Zionis"
 
Arthur Balfour.
 
Batu Asas Negara Haram Israel
 
Dari deklarasi tersebut, British membuka pintu seluasnya kepada Yahudi Zionis dari Eropah untuk mendarat ke pantai Palestin. Mereka menari keriangan, meraikan betapa cerahnya cita-cita yang selama ini diidamkan.
 
Pada 1922, PBB mengiktiraf inisiatif British. Pada tahun yang sama juga, Amerika mengisytiharkan dukungan penuh terhadap Deklarasi Balfour.
 
Yahudi Zionis pantas mendirikan badan ekonomi, politik, pendidikan, sosial bahkan militan. Ia dijayakan dengan bantuan British. Sememangnya mereka telah mensasarkan bahawa 30 tahun selepas itu akan berdirinya negara berdaulat bagi Yahudi Zionis.
 
Pada 29 November 1947, PBB mengeluarkan keputusan pembahagian tanah Palestin kepada 54 peratus untuk Yahudi, 45 peratus untuk Arab dan 1 peratus untuk internasional. Maka pada 14 Mei 1948, negara haram Israel diisytiharkan, Arab berputih mata. 
 
Mengapa Palestin?
 
Sesungguhnya kita dan mereka tahu, bahawa sesiapa yang menguasai Baitul Maqdis pasti akan menguasai dunia. Sejarah Bani Israel ketika mereka masih Islam dahulu, cukup membuktikan bahawa Baitul Maqdis merupakan kunci penguasaan dunia.
 
Mereka cukup terinspirasi dengan zaman emas Bani Israel yang mengukir sejarah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman sebagai penguasa dunia yang tidak terkalahkan. Mereka menyangka boleh mengulangi zaman tersebut sedangkan mereka telah kafir. Hakikatnya mereka sudah tidak sejalan dengan dua Nabi penguasa dunia tersebut.
 
Yang perlu disedari, kelayakan menakluk Baitul Maqdis telah diserahkan kepada umat Muhammad melalui peristiwa Isra'. Namun, perebutan Palestin antara agama langit pasti akan berpanjangan bahkan ia adalah sebahagian dari fenomena fitnah akhir zaman.
 
Neo Balfour?
 
Jika dahulu, mereka melakar peta Asia Barat melalui perjanjian Sykes Picot. Kini, projek pemetaan baharu Asia Barat rancak dijalankan. Bermula dengan kempen Islamphobia 11/9 kemudian pencerobohan AS ke atas Iraq. 
 
Seterusnya projek Arab Spring yang mencetuskan perang saudara. Sentimen Arab lawan Kurdish lawan Turki dimainkan. Malah polemik mazhab antara Sunni-Syiah, Salafi-Khalafi menjadi belerang yang membakar perang saudara di Asia Barat. Ini semua adalah plot ke arah pemetaan baharu Asia Barat seperti yang telah dirangka oleh Bernard Lewis.
 
Hasilnya Israel semakin selesa, sementara Palestin semakin tersepit. HAMAS sedang didorong untuk mengiktiraf negara haram Israel secara politik. Negara-negara Arab sekililing tumpang sekaki membuli Palestin.
 
Zionis sedang bersiap meluaskan kuasa yang disebut-sebut sebagai Israel Raya. Saat ini, sedang diusahakan penubuhan negara baharu sebagai proksi Israel. Ia adalah Kurdistan merdeka. Kedudukannya cukup strategik berada di tengah-tengah antara Iraq, Syria dan Turki.
 
Dari posisi itu, mereka bakal menguasai sungai Tigris dan Furat yang menjadi nadi kehidupan di rantau tersebut. Pada masa yang sama, negara pro Israel iaitu Eutophia sedang membina empangan Renaissance dengan bantuan IMF di hulu sungai Nil. Sekali imbas, menyedarkan kita bahawa kuasa Zionis sedang menguasai sumber air di lokasi yang dikaitkan dengan fitnah akhir zaman.
 
100 Tahun Yang Mendebarkan
 
Nabi telah berpesan:
 
"Sesungguhnya Allah pasti mengutuskan bagi setiap kemuncak 100 tahun, sesiapa yang akan memperbaharui (memperbaiki, memulihkan) agama bagi umatnya" - (HR Abu Daud)
 
Jika dihitung, umat Islam telah dijajah sepenuhnya oleh kuasa taghut mencecah 100 tahun. Nabi telah berjanji bahawa umatnya tidak akan dibiarkan rosak dan dibuli lebih dari 100 tahun.
 
Oleh kerana itu politik dunia mutakhir ini kacau bilau. Barangkali mereka sedang berkejar cuba memintas janji Allah. Sedangkan ia pasti gagal. Inilah saatnya, pertembungan antara haq dan batil mungkin sedang menuju ke kemuncaknya. Sejarah zaman berzaman, kebatilan akan hancur ketika berada di klimak kebatilannya. Manakala kebenaran akan menang ketika sedang ditekan ke tahap maksimum.
 
Di Manakah Kita?
 
Persoalannya jika kita berada di saat Furqan itu, adakah kita sedang bersama dengan kelompok yang mendukung Islam yang tulen, atau kita tergamak bersama dengan petualang kepada ajaran Tuhan? - HARAKAHDAILY 31/10/2017

SESIAPA yang mengamati peguam PAN sekarang berbahas di Parlimen baru-baru ini, pastinya anda akan perasan beliau menggunakan hadis Nabi untuk berhujah menghentam institusi agama terutama ulama. Beliau menghentam agamawan yang tidak menjalankan tugas menegur pemimpin yang zalim ataupun bersekongkol dengan kezaliman mereka.
 
Tidak dinafikan memang di akhir zaman ini akan muncul agamawan yang disebut oleh Nabi S.A.W sebagai ulama suk. Mereka persis ahli kitab Bani Israel yang bertugas sebagai pengampu dan membenarkan semua tindakan pemimpin. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan mereka wujud di setiap belahan dunia. Di Indonesia, Rusia, Saudi, Qatar, Syria, bahkan Mesir atau secara lebih tepat sebahagian masyaikh Azhar turut berperangai sebegitu.
 
Jika kita membaca sejarah Bani Israel, pemerintah sememangnya hebat dalam membeli agamawan dengan mata dunia, supaya mereka tidak menentang pemerintah dan menjadi benteng untuk mempertahankan tindak-tanduk pemerintah dengan memutar belitkan nas agama. Akan ada agamawan yang tertewas dengan sogokan pemerintah.
 
Namun ia tidak boleh sama sekali meletakkan semua agamawan dalam satu bakul yang sama. Kerana bukan semua terpedaya dengan pemerintah. Tidak bersama dengan pihak lain yang turut menentang pemerintah tidak bermaksud bersekongkol dengan pemerintah. Dunia bukan cuma punya hitam dan putih.
 
Saya fikir peguam PAN sekarang menunjukkan perkara ini kepada PAS. Jika dilihat melalui muk abukunya, siang malam pagi petang postingnya hanya menunjukkan kepada PAS. Sementelah hari ini PAS menggunakan pendekatan BPMS yang berbeza dengan pendekatan politik konvensional, kerjasama PAS dengan kerajaan atas isu RUU355, Rohingya, G2G Kelantan-Pusat, diikuti kenyataan Presiden PAS yang bersedia menasihat kerajaan, makin galaklah tuduhan PAS sudah bersekongkol dengan kerajaan.
 
Sebelum pergi lebih jauh, mari sama-sama kita amati nas hadis yang dipetik oleh peguam PAN sekarang itu. Sabda Rasulullah S.A.W:
افضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
"Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim."
[HR Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Majah]
 
Daripada hadis ini, kita perlu memahami fiqh menghadapi pemerintah zalim. Ia tidak semudah membaca satu hadis dan terus menginterpretasikan mengikut kefahaman akal sendiri. Ia mesti dibaca bersekali dengan semua nas-nas lain yang berkaitan. Sebagai contoh, hadis Nabi S.A.W:
سيد الشهداء حمزة بن عبد المطلب ورجل قام أمام سلطان جائر فأمره ونهاه قتله
"Penghulu para syuhada' adalah Hamzah bin Abdul Muttalib, dan lelaki yang berdiri di hadapan sultan yang zalim, lalu dia menyeru kebaikan dan menegah kemungkaran, maka dia dibunuh."
[HR Al-Hakim & At-Thabrani]
 
Kedua hadis ini menunjukkan kelebihan jihad menegur pemimpin yang zalim. Berkata benar di sisi pemimpin adalah sebaik-baik jihad. Lebih baik dari jihad mengangkat senjata. Lebih baik dari jihad peperangan. Lebih baik dari segala bentuk jihad. Perkara yang harus difahami oleh mereka yang berminda radikal atau revolusioner.
 
Jangan terlajak menentang pemerintah zalim sehingga menghalalkan segala tindakan-tindakan yang boleh meletakkan negara dalam huru-hara. Hatta jika pemerintah mengambil tindakan keras terhadap kita, ia tidak bermakna kita boleh mengisytiharkan perang atau mengangkat senjata. Biar kita dibunuh kerana melaksanakan amar makruf terhadap mereka, itu adalah sebaik-baik syahid, daripada mengajak rakyat mencetuskan rusuhan.
 
Hadis yang dipetik di atas juga menunjukkan kedudukan pihak yang menegur pemerintah itu. Mereka mendatangi atau berada di sisi pemerintah. Bermakna mereka mendekati pemerintah untuk menyampaikan teguran dan amar makruf nahi munkar. Mereka tidak menjauhkan diri dari pemerintah. Tidak memencilkan diri dari kerajaan. Jika tidak, bagaimana teguran akan sampai?
 
Di dalam syariat Islam digariskan secara terperinci adab-adab untuk menegur. Juga tentang tata cara amar maaruf nahi munkar. Secara lebih khusus, dihuraikan juga mengenai cara menasihati pemerintah yang berbeza dengan orang biasa. Semua ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan mu'tadil, tanpa ifrat dan tafrit.
 
Meniti di atas garisan syarak yang halus inilah, PAS memperkenalkan BPMS. Dasar PAS adalah Islam. PAS tidak mahu terikut dengan barat yang sering mempergunakan umat Islam untuk menjayakan agenda-agenda mereka. Wahana Color Revolution yang melanda dunia hari ini contohnya adalah pembawaan terbaru Barat untuk terus mengekalkan pengaruh mereka di peringkat global. Umat Islam perlu berwaspada dengan perkara ini.
 
Atas dasar inilah PAS berani tegaskan, jika kedaulatan negara terancam, PAS akan bersama pemerintah berjuang untuk mempertahankan kedaulata negara. Pun begitu, BPMS tidak sekali-kali bermaksud PAS bersekongkol dengan pemerintah dari semua segi.
 
Sehingga ke hari ini, PAS menentang keras cukai GST. Setiap tahun muktamar Dewan Ulamak PAS mempertegaskan GST adalah cukai yang haram. PAS juga menegur tentang amalan ekonomi riba. PAS membantah festival arak di ibu kota sehingga akhirnya dibatalkan. Kini PAS bersama PPIM menentang kedajalan gangster yang dilindungi pihak berkuasa.
 
Namun, pendekatan Islam terhadap pemerintah sering dimanipulasi pihak berkepentingan demi mencapaikan matlamat masing-masing. Satu golongan memanipulasi nas berkaitan menentang kezaliman untuk menghalalkan segala bentuk penentangan dan tindakan terhadap pemerintah, sehingga sanggup menerima pertolongan dari musuh Islam dan kuasa asing.
 
Di pihak pemerintah pula, memanipulasi nas berkaitan taat dan wala', untuk terus mengekalkan sokongan umat Islam terhadap mereka. Sehingga Perdana Menteri yang dikenali bukan seorang agamawan, boleh mengeluarkan buku bertajuk Fiqh Wala' dan Taat.
 
Kesimpulannya, perlu ada wacana khusus tentang 'Fiqh Berhadapan Pemerintah'. Tidak cukup dengan 'Fiqh Jihad', 'Fiqh Siasah' dan 'Fiqh Dakwah' semata-mata. Alangkah baik jika Dewan Ulamak mengadakan munaqasyah atau seminar berkait perkara-perkara ini, menjemput semua pihak tidak kira daripada anggota PAS mahupun pihak luar. Akhirnya segala hasil perbincangan didokumentasikan dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua pihak, terutama agamawan.
 
9 Safar 1439
29 Oktober 2017
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 29/10/2017
 
 

1. Bagi menjayakan agenda WINS 2051, pihak sekretariat menetapkan tempoh secara berperingkat sehingga tahun 2051. Ia dibahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama bermula 2018 sehingga 2030. Fasa kedua bermula pada 2031 sehingga 2040. Manakala fasa ketiga pula bermula pada tahun 2041 sehingga 2051.

2. Fasa pertama menekankan aspek pemulihan negara yang kini berhadapan dengan berbagai masalah. Peringkat ini dikira sebagai tempoh transisi daripada sistem dan budaya politik dan pentadbiran yang ada kepada yang baru berteraskan solusi Islam. Dalam tempoh ini, WINS 2051 akan menjayakan agenda Dokumen Hijau dalam bidang ekonomi, dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dari segi politik.

Selain itu program-program dan produk dari bidang lain akan terus dikeluarkan dari semasa ke semasa merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, pertanian, infraskruktur, urus-tadbir, sosio-budaya dan sebagainya. Dijangka pada tahun 2030, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat fasa pertama iaitu Transformasi Negara Sejahtera.

3. Bermula tahun 2031, WINS 2051 mengorak langkah ke hadapan dalam fokus membangunkan Malaysia menuju kepada Negara Sejahtera. Kenapa Negara Sejahtera? Kerana sejahtera merupakan salah satu definisi Islam sendiri. Kesejahteraan yang akan dibawa pada fasa ini adalah berteraskan 'kemajuan' dan 'kemakmuran'.

4. Fasa kedua ini sememangnya mahu membawa Malaysia dari status negara membangun kepada negara maju. Namun maju yang dimaksudkan adalah sama sekali berbeza dengan definisi konvensional yang mementingkan aspek material semata-mata. Kemajuan yang dicitakan WINS 2051 adalah selari antara material, mental dan spiritual. Kemajuan yang bersuluhkan visi akhirat, tidak terbatas setakat kemajuan duniawi sahaja.

5. WINS 2051 menambah satu lagi aspek negara sejahtera yang dicita-citakan iaitu kemakmuran (prosperous). Ini kerana kemajuan yang difahami ramai hari ini hanya menitik beratkan soal pendapatan dan ekonomi sahaja. Negara makmur bermaksud jurang pendapatan antara rakyat tidak ketara, rasa tenteram dan tiada kebimbangan dalam menjalani kehidupan seharian, keseimbangan eko-sistem, keadilan dalam perbezaan fitrah dan seumpamanya. Pencapaian material dianggap hanya alat bagi mencapai kehidupan makmur, dan bukan semua perkara bergantung kepada material.

6. Fasa kedua mengambil masa 10 tahun sehingga 2040. Tempohnya lebih singkat daripada fasa pertama yang memakan masa kira-kira 13 tahun, kerana mengambil contoh daripada agenda sosio-politik yang dimainkan oleh Rasulullah SAW. Sirah baginda memakan masa yang lebih lama di Mekah iaitu selama 13 tahun bagi membaiki sistem jahiliah yang lama mempengaruhi masyarakat, berbanding cuma 10 tahun di Madinah untuk memakmurkan sebuah kerajaan berdaulat.

7. Fasa ketiga akan bermula selepas itu iaitu pada tahun 2041 hinggalah ke akhirnya iaitu 2051. Tempoh ini dinamakan sebagai 'Malaysia Memimpin' dengan membawa model pentadbiran Malaysia kepada dunia luar untuk dicontohi. Pada tempoh ini, proses Kajian dan Pembangunan (RnD) terus berjalan dalam memastikan Malaysia terus kekal dengan status Negara Sejahtera, tetapi dalam waktu yang sama turut membantu negara-negara lain mengecap kemajuan yang sama-sama dicitai.

8. Fokus utama Malaysia Memimpin adalah kepada negara-negara OIC dan negara-negara membangun yang lain. Hal ini berbalik kepada kefahaman tentang prinsip agama Islam sendiri yang tidak mengenal sempadan negara bangsa atau geografi. Seluruh manusia adalah makhluk Allah yang terbaik, manakala orang beriman semuanya bersaudara. PSelain itu dengan melebarluaskan jaringan negara ia juga akan mempercambahkan lagi kemajuan Malaysia kerana Allah SWT telah menetapkan setiap bangsa itu memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri, dan perlu hidup secara integrasi dan bantu-membantu.

9. Mungkin ramai bertanya kenapa memilih tahun 2051? Adakah kerana reaksi terhadap Transformasi Negara 2050 (TN50) yang diperkenalkan kerajaan? Jawapannya bukan kerana mana-mana pihak. Tetapi mengambil sempena 100 tahun penubuhan PAS iaitu 1951. Tahun tersebut bermulanya PAS meletakkan tujuan penubuhan iaitu tertegaknya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang mengamalkan nilai-nilai dan hukum Islam, bermatlamatkan redha Allah SWT. Perjuangan PAS adalah bersifat rabbani dan universal, bukan untuk menjayakan matlamat politik sempit pihak tertentu.

Bermula penubuhan PAS, sudah banyak perkara yang dilakukan oleh PAS memberi lesan secara tidak langsung kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini. Sebelum negara mencapai kemerdekaan hingga saat ini, terlalu banyak sumbangan PAS dalam pelbagai aspek yang meletakkan Malaysia setaraf hari ini. Justeru ia amat signifikan untuk dihayati oleh seluruh pelusuk negara.

10. WINS 2051 akan bermula pada tahun hadapan iaitu 2018. Mengikut jangkaan, PRU14 akan diadakan awal tahun hadapan. PAS yakin akan mencapai matlamat untuk menjadi king-maker selepas pilihanraya nanti. Justeru PAS sudah menyiapkan pelan tindakan awal-awal yang akan bermula sebaik sahaja terbentuk pentadbiran negara yang baru.

Namun jika ditakdirkan PAS tidak berjaya mencapai objektif dalam PRU14 ini, ia tidak bermakna WINS 2051 akan disimpan begitu sahaja atau dianjak masa yang lain. WINS 2051 akan terus dijayakan dengan ruang yang ada. PAS sentiasa bersedia menjadi penasihat dan perunding bagi kerajaan yang bakal dipilih nanti sebagai yang sudah dinyatakan oleh Presiden PAS sebelum ini. Tanpa mengira siapa pun yang naik, PAS akan menghormati The Government of The Day yang dipilih secara sah oleh rakyat. Walaupun tidak menjadi kerajaan, PAS tetap menganggap diri sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap negara.

 

TERDAPAT banyak versi hadith yang menerangkan tentang kelebihan surah al-Kahfi. Antaranya sabda Nabi:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

“Barangsiapa yang memelihara (beramal) dengan 10 ayat dari awal surah al-Kahfi, dia terlindung dari Dajjal” – hr Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ahmad.

Berikut secara ringkas mesej yang terkandung dalam 10 ayat awal surah al-Kahfi, yang perlu difahami seterusnya dijadikan pedoman hidup ketika berada di zaman fitnah.

⚫ Istiqamah Dengan Nas.

Ayat pertama, Allah menjelaskan sifat al-Quran yang konsisten, tidak ada bengkang-bengkok.

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan buat hambanya (Muhammad) al-Kitab yang tiada bengkang bengkok” – al-Kahfi 1.
Itulah jalan istiqamah. Hidup dengan panduan al-Quran. Ajaran al-Quran semestinya diterjemahkan oleh hadith dan keseluruhan gaya hidup Nabi. Maka kesemua permasalahan hidup, mestilah diulas dan diselesaikan berdasarkan nas.

⚫ Jelas Membezakan Kebenaran & Kebatilan.

Ayat kedua, Allah mengingatkan fungsi al-Quran sebagai penyata jurang antara benar dan batil. Pengancam golongan yang ingkar, pendorong golongan yang beriman agar giat beramal.

“(Al-Quran) sebagai pembimbing yang lurus. Untuk mengancam seksaan yang dahsyat dari Allah, dan pembawa khabar gembira kepada golongan beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka dikurnia balasan yang baik” – al-Kahfi 2.
⚫ Jangan Jadi Sekular.

Ayat ketiga, Allah menyedarkan bahawa selepas kematian, ada perhitungan. Jangan membataskan wawasan hidup hanya di dunia. Bahkan di sana ada akhirat sebagai alam pembalasan segala kerja buat di dunia. Ia kekal abadi.

“Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya” – al-Kahfi 3.
⚫ Kenali & Berwaspada Dengan Musuh.

Ayat keempat, Allah mendedahkan musuh Islam yang perlu diawasi. Al-Quran mengancam golongan yang menuduh kononnya Allah mempunyai anak.

“Dan untuk mengancam golongan yang berkata Allah mengambil anak” – al-Kahfi 4.
Di kalangan ulama’ tafsir menjelaskan, ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi & Kristian. Dikuatkan lagi oleh ayat surah al-Baqarah ayat 120 yang turut mengingatkan ancaman Yahudi dan Kristian. Mereka gigih dan licik memesongkan umat Islam secara berperingkat-peringkat. Di zaman moden, kita maklum wujudnya kesepakatan antara Zionis Yahudi dan Zionis Kristian.

⚫ Proksi Zionis & Wabak Kejahilan.

Ayat kelima, sebagai respon dari cabaran Musyrikin Quraisy yang menjadi penyambung lidah puak Yahudi, bertanyakan soalan yang kononnya boleh memerangkap Nabi. Mereka dicadangkan oleh Yahudi untuk mencabar Nabi supaya menjawab soalan tentang kisah Ashabul Kahfi. Secara tidak sedar, Musyrikin Quraisy menjadi proksi Yahudi untuk menyerang ajaran Islam.

“Mereka sama sekali tiada ilmu, begitu juga nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka, sedangkan apa yang diperkatakan itu semuanya dusta” – al-Kahfi 5.
Nabi terus membalas bahawa soalan tentang Ashabul Kahfi akan dijawab pada hari esok, tanpa menyebut insyaAllah. Lantas Allah menangguhkan penurunan wahyu selama 15 hari.

Dalam tempoh itu, Musyrikin Quraisy galak melancarkan serangan propaganda. Kononnya Nabi seorang penipu, soalan perangkap mereka sudah mengena dan Allah telah meninggalkan Nabi keseorangan. Propaganda tersebut tersebar luas.

Mereka menyerang Islam dengan penuh kejahilan. Maka di ambang kiamat, sememangnya ramai yang jahil. Bahkan muncul golongan ‘ruwaibidah’ yang diingatkan oleh Nabi. Iaitu golongan jahil yang sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan. Sementara golongan berilmu khianat dan menyeleweng.

⚫ Fitnah Propaganda.

Kesan dari serangan propaganda, Nabi menanggung tekanan. Seorang al-Amin dituduh penipu.

“Maka apakah barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini” – al-Kahfi 6.

Ternyata propaganda boleh menguasai minda dan mencipta persepsi yang songsang. Ia cukup menguji ketahanan jiwa golongan yang mempertahankan iman. Apatah lagi hari ini, instrumen media propaganda jauh lebih efektif menyebarkan penipuan berbanding dahulu.

⚫ Sesatnya Ajaran Materialisme.

Ayat ketujuh, Allah mengingatkan godaan dunia. Ia sebagai ujian yang mengukur siapa yang benar-benar cekal beramal untuk akhirat.

“Sesungguhnya kami jadikan atas dunia ini perhiasan. Untuk menguji siapakah di antara mereka yang terbaik amalannya” – al-Kahfi 7.
Ajaran materialisme mengukur benar dan salah berdasarkan pulangan kebendaan. Membataskan wawasan hidup hanya di dunia. Melahirkan manusia yang memperajakan perut, memufliskan jiwa. Duit dan segala laba dunia dijadikan berhala yang ditaati penuh setia.

⚫ Fatamorgana.

Ayat kelapan, Allah menyedarkan kita bahawa apa yang dikejar di dunia, akan lenyap. Hamba dunia pasti tidak akan puas mengejar angan-angan dunia, ibarat fatamorgana.

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menjadikan pula apa yang di atasnya menjadi tanah rata lagi tandus” – al-Kahfi 8.
Dunia akan datang dengan mudah jika kita utamakan akhirat. Namun jika dikejar, dunia akan semakin jauh sambil mengejek keringat kita.

⚫ Jangan Mudah Terpengaruh.

Ayat kesembilan, Allah memulakan penceritaan Ashabul Kahfi.

“Apakah kamu mengira bahawa orang-orang yang mendiami gua dan raqim (catatan ilmu mereka) itu, mereka termasuk sebagai tanda kekuasaan kami yang menakjubkan” – al-Kahfi 9.
Ashabul Kahfi adalah golongan remaja yang tidak sempat mencapai apa-apa kejayaan di mata manusia. Melainkan mereka berjaya memelihara iman. Itulah kejayaan besar di sisi Allah.

Kisah mereka membawa mesej, agar cekal menjaga jatidiri. Jangan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang merosakkan, arus yang menyesatkan dan masyarakat yang serba jahil.

⚫ Doa Menghadapi Fitnah Islamphobia.

Ayat kesepuluh, Allah merakamkan doa yang diucap oleh Ashabul Kahfi. Sekaligus mengajar kita agar berdoa dengan doa yang sama tatkala berdepan dengan zaman serba keliru dan songsang.

“Ingatlah tatkala kelompok remaja itu mencari tempat berlindung ke dalam gua. Lalu mereka berdoa “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, dan sempurnakanlah untuk kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini” – al-Kahfi 10.

Bersedia dengan senario golongan yang jahat mendominasi golongan yang benar. Islam didefinisikan oleh masyarakat yang rosak. Sementara ajaran Islam yang sebenar menjadi bahan cemuhan dan pengikutnya dibenci bahkan menjadi buruan. Maka Allah mengajar kita doa ini, supaya diberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan Islam.

⚫ Wahai Allah, Lindungi Kami Dari Dajjal.

Ayat al-Quran tidak cukup dijadikan bahan bacaan dan hafalan semata-mata. Bahkan ia perlu serius dijadikan panduan, sebagai manual kehidupan seharian.

Allah telah mendedahkan kepada kita ruang-ruang strategik dalam kehidupan seharian kita, yang diintai oleh Dajjal. Ia dirumuskan secara ringkas dan padat melalui 10 ayat awal surah al-Kahfi.

Jika kita tidak beringat pesanan Allah itu, maka kita sangat berpotensi menjadi mangsa tipu daya Dajjal.

RASULULLAH sallaLlahu alaihi wasallam sedari kecil lagi adalah maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa dan kesalahan. Baginda sedari kecil dipelihara daripada kejahatan dan keburukan manusia. Allah memastikan baginda al Rasul menjalani kehidupan sedari kecil sebagai insan suci demi melicinkan dan menjayakan matlamat kelahiran baginda ke dunia iaitu sebagai utusan-Nya yang agung.

Baginda sedari kecil tidak menyembah berhala. Baginda juga tidak melakukan perkara munkar seperti minum arak, berjudi, merompak, bahkan langsung tidak melakukan sebarang aktiviti yang melalaikan dan merugikan masa, tenaga dan kehidupan.

Baginda dipuji oleh masyarakatnya kerana tidak melakukan perkara-perkara munkar tersebut. Baginda malah digelar al amin iaitu insan yang paling amanah.

Tetapi baginda tidak dipuji kerana tidak menyembah berhala. Sebaliknya tindakan itu merimaskan masyarakatnya yang jahiliyah dan syirik. Mereka menunjukkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka kerana bagi mereka, Rasulullah sebagai orang yang baik sepatutnya juga menjadi orang yang kuat beragama. Bagaimana boleh orang yang baik tiba-tiba menolak ugama? Itulah persoalan mereka.

Tetapi ketidakpuasan hati itu tidak diterjemahkan kepada kemarahan dan penentangan. Baginda tidak dimusuhi, malah mereka terus memuji dan menjadikan baginda sebagai insan paling terpercaya di kalangan penduduk Mekah. Baginda menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan isu-isu penting yang berlaku di kota Mekah.

Tetapi segala-galanya berakhir sebaik baginda menerima wahyu dan dilantik oleh Allah secara rasmi sebagai al Rasul. Sebaik baginda memulakan kerja dakwah, baginda telah dimusuhi dan diperangi. Malah di sisi masyarakatnya yang jahiliyah syirik itu, tiada lagi kebaikan pada batang tubuh Rasulullah. Putih tiba-tiba bertukar menjadi hitam.

Kesimpulannya ialah, kejahatan sedia menerima kebaikan selama mana kebaikan tidak mengganggunya. Apabila kebaikan mula menegurnya, maka kejahatan tidak mampu lagi memerima kehadiran kebaikan di sekelilingnya. Ia akan menjadikannya musuh yang utama.

Sebagai seorang muslim, kita adalah orang yang baik. Agama Islam mendidik dan membentuk kita begitu. Apabila kita baik, kita akan diterima baik oleh masyarakat walaupun mereka adalah kufur atau dalam kelalaian. Sejahat mana manusia, mereka tetap menyanjung kebaikan. Kebaikan dan keadilan adalah tunjang kehidupan manusia.

Tetapi manusia enggan berubah. Kejahatan yang merajai nafsu mereka malah menuntut tuannya menjadikannya sebagai satu hak yang perlu dilindungi dan dihormati. Hak untuk kekal jahat dan dihormati.

Ertinya, selama mana kebaikan tidak mengganggunya, maka mereka tidak perlu memusuhi kebaikan kerana kebaikan seolah-olah telah mengiktiraf hak kejahatan untuk kekal berkubang di lumpurnya.

Persoalannya, begitukah kebaikan? Menerima kejahatan sebagai satu hak untuk turut dirai dan dihormati?

Perutusan Allah melalui wahyu ke atas Rasulullah memberi jawaban yang tuntas. Kejahatan bukan hak. Bahkan kejahatan mestilah dilenyapkan oleh kebaikan. Caranya adalah dengan menolak, menegur dan memeranginya sebagaimana kaedah dan cara yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita.

Akhirnya, untuk menjadi muslim yang baik dan hakiki, usah beriya untuk tidak dimusuhi kejahatan. Kebaikan bukan buta, bisu dan pekak gerangannya. Itu bukan bikinan ajaran Islam. – HARAKAHDAILY 28/10/2017

BEBERAPA tohmahan dan sinis kepada PAS kebelakangan ini yang mari dari pelbagai jenis orang:

1. PAS parti suci
2. Ramai profesional bijak pandai tetapi dilembukan oleh agamawan sehingga jadi pak turut.
3. PAS bukan agama.

Komen saya :
1. Terima kasih kerana mendakwa PAS parti suci. Itu satu penghormatan yang berlebihan buat kami. Seolah2 yang berkata tu mengaku yang parti mereka atau parti selain PAS kotor (lawan suci). PAS tidak pernah mengatakan kita maksum atau tiada kesilapan. Manusia mana-mana pun berbuat silap dan salah.

Bukti PAS pernah silap ialah menaikkan dan memilih pemimpin seperti mantan pemimpin PAS yang dah keluar dan tubuh PAN. Tapi ahli cepat sedar dan kembali membetulkan keadaan dengan tidak memilih mereka. Terbukti mereka bermasalah sehingga keluar PAS dan menubuhkan PAN. PAS tidak suci, tetapi PAS bersungguh2 memperjuangkan Islam sebagai sebuah agama yang suci dan cara hidup yang benar bersumberkan kitab suci dan sunnah Nabi.

2. Bila ramai profesional dan cerdik pandai dari pelbagai bidang bersama dngan PAS, ini bukan bermaksud mereka berjaya diperbodohkan atau diperlembukan oleh ulama dalam PAS. Takkan lah orang cerdik pandai yang ramai begitu boleh mudah diperbodohkan dan taksub. Itu bukti bahawa PAS benar sehingga mereka dengan kecerdikan yang dimiliki boleh menerima hujjah PAS.

Mungkin yang menuduh itu sebenarnya taksub dengan pandangan sendiri, tidak open minded dan tak sanggup menerima realiti kebenaran dan kebaikan PAS. Atau mungkin individu itulah sebenar berfikir sempit dan taksub dengan diri sendiri.

3. Tiada siapa pun kata PAS adalah agama. Tiada pun dalam silibus tarbiah atau dokumen rasmi PAS yang mengatakan demikian. Sebab itu dalam perlembagaan PAS ada bab tatatertib. Di antara salah satu hukuman ialah dipecat keahlian. Takkan agama nak pecah penganut? PAS adalah sebuah jamaah yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam.

Berjuang menegakkan Islam adalah kewajipan seluruh orang Islam. Dalilnya sangat  banyak. Kewajipan berjuang Islam secara berjamaah adalah satu ubudiyyah. Sama juga solat, solat berjamaah, puasa, jual beli, nikah kahwin, menyusu anak, sediakan nafkah rumah, makan dan pakai untuk tanggungan, laksana hudud dan qisas dll adalah ibadah atau tanggungjawab ubudiyyah dalam Islam.

Sekarang, bagaimana kalau ada orang tanya; Menyusu Anak tu Agama ker? Menikah tu Agama ker? Puasa tu Agama ker? hah... amacam? lu fikir lar sendiri... – HARAKAHDAILY 28/10/2017

Seruan Kepada Agama Allah
 
Tugas amilin adalah mengajak manusia kepada agama Allah atau dalam ertikata yang lain adalah dakwah. Tugas ini mulia kerana ia adalah tugas para Nabi A.S. Kadang kala seruan ini, manusia dengar dan mereka menerima dan bersama Islam. Kadang kala juga seruan ini tidak didengari bahkan menjadi modal untuk mereka menghina akan seruan tersebut. Sebab itu terakam dalam sejarah para Nabi A.S, penerimaan seruan anbiya' itu berbeza-beza.
 
Rasulullah SAW bersabda:
 
 ابن عباس عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: “عرضت عليّ الأمم، فرأيت النبي ومعه الرهط، والنبي ومعه الرجل والرجلان، والنبي وليس معه أحد
 
"Diperlihatkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka akupun melihat ada Nabi yang memiliki pengikut hanya sekelompok kecil manusia. Dan ada Nabi yang memiliki pengikut dua orang. Dan ada Nabi yang langsung tidak memiliki pengikut."
(Riwayat Bukhari)
 
Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tanggungjawab dakwah menyeru manusia pada Islam itu wajib diteruskan sekalipun manusia itu menerima atau tidak. Hatta para Nabi A.S sendiri mengalami situasi demikian. Namun tugas dakwah dan mendidik manusia agar kembali pada agama fitrah ini terus dilangsungkan. Arahan dan perintah Ilahi sedikit pun tidak pudar dek penerimaan hambar seruan dakwah pada manusia ini.
 
Sedikit Tidak Bererti Lemah, Ramai Tidak Bererti Kuat
 
Dalam menggalas tugas para Nabi A.S ini, dua perkara yang diperingatkan secara tegas oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran yang sewajarnya dipegang kuat oleh para amilin. Pertama; hasil dari seruan dakwah, ada kalanya tidak ramai menerima seruan dan ajaran yang diajak. Perjuangan hanya didokongi oleh sedikit sahaja dalam kalangan manusia. Jumlah yang sedikit tidak menggambarkan perjuangan itu salah atau lemah. Ketika mula dakwah Nabi S.A.W, hanya segelintir bersama Nabi. Golongan ghuraba' setia mendampingi Baginda sama ada senang atau susah. Namun peperangan Badar menyaksikan bilangan yang sedikit tetapi jiwa yang penuh padat dengan kekuatan ruh jihad serta keyakinan pada Allah mengalahkan ketumbukan batalion tentera kuffar yang besar.  
 
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(surah Ali-Imran: 123)
 
"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)."
 
Kedua; bilamana perjuangan itu dibanjiri oleh manusia, hasil dakwah dan seruan generasi da'ie di sepanjang zaman. Pelbagai strategi disusun bagi menghancurkan jurang dan jarak antara amilin dan para mad'u dalam kalangan masyarakat yang kosong jiwanya serta perlu diisi. Ketegangan percambahan idea untuk menarik manusia kepada agama Allah ini yang seringkali dibincangkan oleh Nabi dan para Sahabat A.S sehingga mencetuskan strategi-strategi luar biasa yang disusun oleh Baginda seperti peristiwa dakwah sirri dan jahri, usrah di Darul Arqam, sulhu Hudaibiyah, risalah rasmi kepada kuasa besar dunia dari Rom dan Parsi dan lain-lain.

PAS tampil dengan strategi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) menongkah arus dengan membuang jauh politik yang menjadi kegilaan parti arus perdana kini. Iaitu budaya politik dengan penuh emosi, fitnah dan kebencian dalam semua keadaan yang hakikatnya memualkan masyarakat terutamanya anak muda. Strategi pendekatan BPMS ini memikat manusia bersama perjuangan Islam. Inilah hasil tiga elemen yang menjadi tonggak gerakan Islam ini iaitu dakwah, siyasah dan tarbiyah. 
 
Namun limpahan masyarakat kepada perjuangan ini tidak sepatutnya menjadikan para amilin dalam keadaan selesa dan alpa. Allah S.W.T menegur secara tegas sifat 'over confident' sebahagian amilin yang alpa dari meletakkan kebergantungan mutlak pada Allah Taala. Teguran itu pada Sahabat yang dipimpin sendiri oleh Baginda Nabi S.A.W dalam peristiwa Peperangan Hunain. Sudah tentu keterujaan para Sahabat itu saling tak tumpah dengan keterujaan kita hari ini bila mana melihat berbondong-bondong ahli masyarakat mendaftar diri sebagai ahli PAS. 
 
(لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ)
(surat At-Tawbah: 25)
 
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."
 
Tugas Ahli Tarbiyah
 
Hari ini perjuangan PAS menjadi deruan masyarakat menerimanya. Kerja dakwah mendidik dan memahamkan manusia di setiap masa membuka mata masyarakat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Mungkin bukan sebab seruan dakwah kita zaman sekarang ini tetapi barangkali mereka menerima perjuangan dengan hidayah Allah ini hasil usaha para ulama dan pendakwah dahulu yang telah meninggalkan kita. 
 
Apabila manusia sudah menerima seruan dakwah ini, sudah tentu bermacam ragam, feel dan pemahaman mereka dan tidak sama dengan kita. Apatah lagi jika sekiranya asal usul mereka bukan dari keluarga yang memahami Islam. Dalam sirah Nabi S.A.W sendiri, setara Nabi pun berhadapan dengan situasi ini. Mereka yang masuk Islam hasil seruan dan dakwah Nabi dan para sahabat, ada yang kekal istiqamah dengan Islam yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi S.A.W. Ada yang menjadi munafik, berpura-pura baik di hadapan Nabi dan kaum Muslimin. Dan ada yang keluar Islam mengkhianati kebaikan dan kejujuran yang telah diberikan oleh Nabi dan para Sahabat. Kemungkinan ini pasti berlaku. Kerana pemilik hidayah itu adalah Allah, bukan kita. Yang menggerak hati manusia itu adalah Allah.
 
(وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)
(surah Al-Anfal: 63)
 
"Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 
Justeru, di situlah peranan ahli tarbiyah. Di situlah sekali lagi tanggungjawab para amilin untuk sama-sama menjadi agen dalam mentarbiyah mereka yang baru, dengan suasana hidup mereka yang berbeza sebelum dari ini. Perlu dipertingkatkan kerja tarbiyah semaksimum mungkin. Kerja tarbiyah untuk menguatkan akidah mereka, keyakinan serta kefahaman mereka. Bukan menjarak dan membuang mereka dari bahtera perjuangan atau menunding jari atas kelemahan dan ketidakjituan fikrah mereka seperti kita.

Jika tidak, sia-sia kerja dakwah dengan pelbagai metode yang diketengahkan dan dibanggakan oleh para da'ie yang hebat-hebat. Susah perit dakwah dikuburkan hanya sebab mereka masih belum dimurnikan fikrah. Mencemuh dengan pelbagai tempelan sedangkan jiwa dan hati mereka sedang lembut untuk menerima sentuhan dan siraman tarbiyah serta acuan yang suci lagi murni.

USTAZ SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
6 Safar 1439H | 26 Oktober 2017 - HARAKAHDAILY 26/10/2017

Ulasan Buku Risalah ila Syababil Ummah / Dr Raghib al Sirjani - Siri ke-3

KETIKA mana telah turunnya wahyu ke atas Rasulullah SAW, kepada siapakah wahyu itu disampaikan? Siapakah generasi yang membawa risalah Islam ini? Siapakah generasi yang terus memberi komitmen membawa risalah Islam?

Siapakah generasi yang bertekad mengubah sistem kehidupan jahiliah Mekah secara keseluruhan bahkan dalam mengubah sistem kehidupan jahiliah di muka bumi ini secara amnya bukan sekadar di zamannya sahaja, bahkan juga sehingga ke hari kiamat?

Kesemua persoalan ini adalah menunjukkan ketinggian dan kehebatan pemuda di zaman Rasulullah SAW yang diiktiraf dalam al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Merekalah yang disebut sebagai generasi as sabiquun al awwalun minal muhajirin wal anshor, merekalah sebaik-baik generasi yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abdullah B Mas`ud r.a. Sabda Rasulullah SAW , “ Sebaik-baik manusia adalah pada qurunku, kemudain orang yang mengikuti mereka dan kemudian yang mengikuti mereka".

Siapakah generasi yang akan berhadapan dengan keangkuhan Taghut di Mekah dan keangkuhan Taghut di Semenanjung Tanah Arab, kemudian mampu menggegarkan serta menjatuhkan kezaliman dan keangkuhan Parsi dan Rom?

Umat Islam hari ini perlu merujuk dan melihat sejarah mereka sekiranya kita ingin mengikut jejak langkah sebagai ummah terbaik (khaira ummah). Sudah tentulah pemuda hari ini khususnya tidak ingin ditafsirkan sebagai buih-buih dilautan atau sampah sarap yang berada di sungai sebagaimana dalam Hadith Rasulullah SAW. Sejarah telah mencatatkan tokoh-tokoh besar pemuda di zaman Rasulullah SAW.

Antaranya tokoh seperti Az Zubair al Awwam yang merupakan panglima tentera Islam serta pembantu kanan Rasulullah SAW. Beliau juga seorang pahlawan yang berani lagi agresif. Mengikut sejarah, beliau telah Islam pada umur 15 tahun, iaitu kalau dibandingkan hari ini, pada umur tersebut pemuda sedang berada diperingkat sekolah menengah.

Apa yang kita dapat lihat hari ini pemuda yang sedang berada di sekolah menengah? Adakah di sana terdapat pemuda di peringkat ini yang sentiasa berintelektual, bijaksana, ada cita-cita dan kuat berusaha seperti Az Zubair al Awwam?

Mengapakah pemuda atau penuntut di peringkat sekolah rendah atau menengah hari ini sunyi daripada perkara-perkara yang baik dan tiada dalam pemikiran mereka melainkan filem-filem yang berlambak, nyanyian yang pelbagai serta permainan yang tidak berfaedah?

Mengapa pemuda masih kekal masa dan waktu di hadapan televisyen, internet, video, atau masih menghabiskan waktu dengan permainan seperti Billiard dan seumpamanya dan tidak menghabiskan masa untuk agama, menunut ilmu, menajamkan fikiran, menghubungkan tali persaudaraan, berdakwah, atau tujuan yang baik serta pekerjaan yang lebih penting? Tentulah di sana terdapat kepincangan yang harus dihitung dan dilihat semula.

Sejarah juga mencatatkan pemuda di zaman Rasulullah seperti Talhah b Ubaidillah yang merupakan salah seorang tenaga utama kepimpinan jemaah Islam bagi generasi pemuda di Mekah.

Dalam aspek dakwah, beliau adalah sahabat besar dan memainkan peranan penting terhadap penyebaran dakwah Islam. Manakala pada aspek peperangan, kehebatan beliau tidak dapat dinafikan lagi yang mempunyai keberanian luar biasa serta kemahiran yang tinggi sehingga beliau digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Talhah al Khair kerana bukan sahaja terkenal dengan kelebihan yang dalam aspek peperangan bahkan beliau sangat mempunyai sifat yang pemurah dalam melakukan infaq di jalan Allah SWT.

Beliau juga seorang sahabat dan pemuda yang telah menerima Islam pada umur yang sangat muda iaitu pada umur 16 tahun.

Generasi awal Islam juga telah dapat dibuktikan kehebatan dan keagungan sejarah kehidupan mereka melalui seorang pemuda dan sahabat iaitu Saad b Abi Waqash. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari aspek keberanian dan kegagahan kerana beliau dikatakan sahabat pertama yang menumpahkan darah semata-mata Islam. Beliau juga adalah satu-satunya sahabat yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW untuk Baginda menjadikan Ibu dan ayah Baginda sebagai jaminan ketika mana dalam peristiwa perang uhud, Baginda telah berkata kepada Sa`ad: Wahai Sa`ad, lontarkanlah panah itu, ayah dan ibuku sebagai jamninannya. Sejarah juga telah membuktikan beliau telah menerim Islam pada usia 17 tahun.

Al-Arqam b Abi Al-Arqam, namanya tercatat dalam lipatan sejarah Islam sebagai lelaki yang mempunyai kemuliaan dan kehebatan tersendiri iaitu apabila rumahnya menjadi markaz dan pusat perkaderan kader-kader dakwah Islam selama 13 tahun di Mekah.

Beliau berasal dari kabilan Bani Makhzum, iaitu satu kabilah yang saling bertelingkah dikalangan para pemimpinnya bersama dengan kabilan Bani Hashim. Beliau adalah sahabat yang menerima Rasulullah SAW dari kalangan kabilah Bani Hashim sebagai tetamu di rumahnya walaupun tidak syak lagi perkara itu akan menyebabkan kesulitan serta berisiko tinggi antara kalangan pemimpin kabilahnya, lebih-lebih lagi Abu Jahal adalah sebagai pemimpinnya.

Walaubagaimanapun, itulah sahabat yang bernama Al-Arqam b Abi Al Arqam r.a yang sanggu bergadai nyawa mengorbankan dirinya semata-mata untuk Islam. Beliau telah menerima Islam pada usia 16 tahun. Pemuda-pemuda seperti Zubair, Talhah, Sa`ad dan Al Arqam merupakan sahabat-sahabat Rasulullah yang agung, bukan kerana kehebatan umur mereka, akan tetapi kehebatan dari aspek kedudukan, ketajamam akal, kesungguhan dan keazaman, keimanan, amal dan akhlak.

Tiada pemuda sehebat dan setanding Ali b Abi Talib di zaman generasi awal Islam, kerana Beliau merupakan kanak-kanak terawal di zaman tersebut yang menerima Islam iaitu pada usia 10 tahun. Hanya pada usia 10 tahun. Dalam erti kata yang lain akal seseorang kanak-kanak berumur 10 tahun  belum mencukupi syarat seorang mukallaf sudah mampu menguasai perkara-perkara yang rumit dalam agama yang secara logiknya hanya mampu dibicarakan oleh kalangan orang dewasa.

Perkara seperti pemikiran ketuhanan yang bersifat maha Esa, pemikiran kenabian dan kerasulan, wahyu dan malaikat, kebangkitan hari kiamat, syurga dan neraka, serta kehidupan dan kematian pada jalan Allah. Bahkan dalam umur yang begitu muda sudah mampu mengendalikan perkara-perkara besar dalam urusan agama ketika suasana penentangan yang begitu hebat terhadap penyebaran Islam di Mekah seperti jalan rahsia menuju ke rumah Al Arqam B Abi Al Arqam, menunaikan ibadat solat di tempat tersembunyi, dan membaca al Quran jauh dari penglihatan manusia.

Zaid b Thabit yang telah diberi jolokan Penulis Wahyu, merupakan sahabat Rasulullah SAW yang juga menerima Islam sejak mencapai usia 13 tahun. Sedangkan umur sebegini seorang kanak-kanak masih belum mencapai usia baligh.

Walaubagaimanapun, usia muda sebegini tidak menghalang beliau menyibukkan diri dengan permasalahan ummah. Pernah dalam satu peristiwa tentera Islam bersedia untuk berperang dengan tentera musyrikin, maka beliau bergerak dengan penuh semangat, hatinya bergelojak dan meronta-ronta untuk turut serta bersama dengan tentera Islam, hinggakan beliau mengeluarkan pedang dan dikatakan pedang itu lebih panjang dari fizikal badannya.

Oleh kerana semangat yang ada, apabila sampai sahaja di tempat perkumpulan tentera Islam Rasulullah mendapati ada seorang budak yang masih kecil dari aspek umur dan fizikalnya maka Rasulullah bimbang akan terbinasanya. Lantas Baginda menolak dan tidak menerimanya sebagai salah seorang anggota tentera Islam. Itulah Zaid B. Thabit r.a.

Disediakan Oleh:
Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan Sesi 2017-2019  

ALLAH menurunkan bala bencana sebagai mesej yang serius dari-Nya. Ia bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main. 
 
Kelebihan Umat Muhammad
 
Nabi telah memohon kepada Allah:
 
سألت ربي أن لا يهلكنا بما أهلك به الأمم فأعطانيها
"Aku telah memohon kepada Tuhanku, agar kita tidak dihancurkan seperti apa yang telah berlaku ke atas umat terdahulu. Maka Dia menerima permintaanku."
(Riwayat Tirmizi)
 
Baginda meminta dari Allah agar umatnya tidak pupus sekali gus seperti pupusnya umat terdahulu. Sebagai rahmat, Allah memberi peluang yang luas untuk umat Muhammad agar tidak berhenti bertaubat. Namun demikian, ini tidaklah bermakna kita terlindung dari bala bencana. Ia tetap datang menimpa.
 
Fungsi Bala
 
Allah mencipta bala sebagai peringatan bagi golongan yang beriman dan balasan buruk ke atas golongan yang ingkar. Ia berfungsi menyentap kelalaian manusia.
 
أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ • أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ 
"Maka apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan Kami, sedangkan mereka tidur. Atau apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan pada waktu pagi, sedangkan mereka leka bermain."
(al-A'raf: 97-98)
 
Muhasabah
 
Sewajarnya apabila datangnya bala, orang-orang yang beriman pasti terduduk. Merasa gerun lantas terus meneliti kembali setiap dosa yang telah dilakukan oleh mereka hingga Allah menurukan bala.
 
Hanya taubat yang layak dijadikan sebagai reaksi langsung dari bala yang menimpa. Allah menyatakan beberapa punca yang menjadi faktor turunnya bala:
 
• Enggan beriman:
 
وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
"Tetapi mereka mendustakan ajaran Allah, maka Kami timpakan ke atas mereka seksaan, sebagai balasan terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan."
(al-A'raf: 96)
 
• Dosa yang menjahanamkan dunia:
 
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
"Munculnya kerosakan di daratan dan di lautan, kesan dari perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia."
(al-Rum: 41)
 
Rumusan dari dua ayat ini, bala datang sebagai balasan apabila Islam tidak dihiraukan. Bersikap angkuh terhadap Allah dan hilang sifat bertanggungjawab untuk mengurus dunia dengan panduan Allah, lantas muncullah pelbagai kerosakan.
 
Sindrom Penafian
 
Perkara yang perlu dielakkan adalah, jangan sama sekali menafikan bala sebagai bala. Berasa lega, kononnya ia hanyalah bencana alam yang tiada kaitan dengan kemurkaan Allah.
 
Jika ini berlaku, maka kita gagal berinteraksi dengan bala. Sepatutnya terus insaf bertaubat, tetapi malangnya tetap selesa dengan keadaan sedia ada yang serba lalai. Allah mengingatkan golongan yang tidak sedar diri, tidak beringat dengan bala adalah orang-orang yang rugi.
 
فَلا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الْخَاسِرُون
"Maka tiada siapa yang merasa aman dengan balasan azab Allah, melainkan mereka adalah golongan yang rugi."
(al-A'raf: 99)
 
Bukan Bahan Ejekan
 
Kita tidak sewajarnya menjadikan bala bencana sebagai bahan ejekan, meskipun ia menimpa ke atas musuh. Bala bukan perkara yang boleh dibuat sendaan main-main.
 
Kita perlu mengambil pengajaran ketika berlakunya banjir di Kelantan 2014, pelbagai tohmahan bernada angkuh dikeluarkan oleh Lim Guan Eng untuk menyah-kreditkan Kerajaan Kelantan. Perlakuan tersebut amat tidak wajar dalam keadaan ketika itu suasana sedih, tergamam dan insaf.
 
Kini giliran Pulau Pinang ditimpa bala. Jika Lim Guan Eng mengejek banjir di Kelantan dahulu, padanlah memandangkan dia seorang kafir. Barangkali tidak faham sifat musibah, ujian bala bencana itu bagaimana. Namun apakah tergamak kita meniru sikapnya sedangkan kita sedar bala itu adalah bala. Bukan bahan 'troll'.
 
Yang lebih menakutkan, wujud cara berfikir jika bala menimpa ke atas diri sendiri maka ia hanyalah fenomena alam. Sebaliknya jika bala menimpa ke atas musuh, maka barulah ia dianggap bala.
 
Kepercayaan bebal sedemikian menyebabkan kita merasa kebal dari sebarang muhasabah. Inilah mentaliti yang mendorong sikap golongan yang kufur untuk terus kufur. Sedangkan orang beriman tetap beringat dan berasa gerun dengan bala, tidak kira menimpa sesiapa pun.
 
Islam Mesti Dominan
 
Sedarlah, kita terlalu lalai dalam kehidupan. Terlalu banyak kesalahan yang telah kita lakukan tanpa sedar. Menyebabkan Allah timpakan bala. Beruntunglah mereka yang beringat. Celakalah mereka yang terus lalai terus menafikan peringatan Allah.
 
Apapun, kita perlu berusaha agar golongan yang sihat iman mereka untuk mendominasi masyarakat. Jika pendukung kebatilan dominan, sementara pendukung iman berpeluk tubuh, berwaspadalah dengan peringatan Allah:
 
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan takutlah terhadap ujian yang tidak menimpa ke atas golongan yang zalim dalam kalangan kamu secara spesifik. Dan ketahuilah, Allah Maha Dahsyat balasan-Nya"
(al-Anfal: 25)
 
Apabila manusia gagal bertugas sebagai khalifah, iaitu tidak bertanggungjawab menegakkan Islam dan mengurus dunia dengan Islam, maka Allah turunkan bala sebagai amaran.
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang - HARAKAHDAILY 24/10/2017

Huraian ayat-ayat rujukan

Sesuai dengan dengan rujukan utama PAS iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, PAS menjadikan empat ayat dari al-Quran sebagai rujukan WINS 2051. Kesemua ayat ini membincangkan tentang kenegaraan dan pemerintahan:

1. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. [Saba':15]

Ayat ini menerangkan kisah berkaitan kaum Saba', kaum daripada bangsa arab yang mendiami Yaman dan mendirikan kerajaan purba di sana. Allah memberikan kepada kaum tersebut nikmat yang hebat berupa dua kumpulan kebun yang subur menghijau. Mereka juga mendirikan bangunan yang hebat dan megah. Mereka memiliki segala kemewahan hidup.

Lalu Allah memerintahkan mereka untuk bersyukur kepadaNya. Supaya mereka melengkapkan kesempurnaan kurnia tuhan, iaitu kurnia negeri yang baik, dan kurniaan keampunan.

Inilah dia ciri negeri yang ingin ditegakkan dalam WINS 2051. Bukan sekadar negeri makmur, sejahtera dan maju yang menjamin kesenangan kepada rakyat, tetapi juga negeri yang dirahmati dan diampunkan oleh Allah SWT. Ini kerana negeri yang tidak menerima rahmat dan keampunan Allah, akan dibinasakan oleh Allah sebagaimana yang dikisahkan mengenai kaum Saba', dalam sambungan ayat di atas. Negeri yang tidak menerima rahmat Allah tidak akan aman dan selamat, terdedah kepada malapetaka dan bencana tanda kemurkaan Ilahi.

2. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. [Al-A'raf:96]

Ayat di atas pula menerangkan berkenaan dua syarat bagi mendapatkan limpahan keberkatan Allah atas sesebuah negeri iaitu beriman dan bertaqwa. Beriman maksudnya mempercayai segala yang dibawa oleh Islam dengan hati, percakapan dan perbuatan. Taqwa pula adalah mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala amalanNya.

Maka WINS 2051 menerapkan dua unsur ini. Prinsip pertama daripada 10 prinsip WINS adalah 'pematuhan kepada prinsip dan penyelesaian berasaskan Islam'. Kunci capaian pertama daripada 6 kunci capaian WINS 2051 pula adalah 'Pengukuhan Insaniah dan Penghayatan Nilai Taqwa'.

Kurniaan yang diberikan Allah datang daripada dua jalan. Turun dari langit berupa air yang menjadi sumber segala hidupan. Juga udara yang sangat penting bagi manusia, binatang dan tumbuhan. Juga cahaya yang mengimbangi kelestarian alam.

Keluar dari bumi pula berupa tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan manusia dan binatang, selain turut menghasilkan bahan-bahan asas pembinaan, kejuruteraan dan sebagainya. Seterusnya galian seperti emas, perak, logam, petroleum dan batu permata yang menjadi bahan penting bagi sebuah masyarakat madani. Termasuklah juga hasil laut yang belum lagi diteroka sepenuhnya.

3. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujurat:13]

Ayat ini pula menjelaskan prinsip Islam tentang perkauman. Secara asasnya, Islam mengiktiraf kedudukan kaum di dalam masyarakat. Setiap kaum memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Budaya dan adat setiap kaum harus dipelihara sebaiknya. Tidak wajar dihapuskan atas nama modenisasi.

Walaubagaimanapun, kaum bukanlah ukuran bagi menentukan martabat tinggi dan rendah manusia di sisi tuhan. Tidak ada beza antara arab atau ajam, melayu mahupun bukan.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, faktor kaum adalah perkara penting yang perlu diuruskan dalam menjamin kestabilan negara. WINS 2051 memandang serius perkara ini. Oleh itu kontrak sosial yang termeterai sejak kemerdekaan Malaysia perlu dipertahankan.

Salah satu prinsip WINS 2051 adalah menerapkan 'kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum'. Salah satu teras pendekatan WINS 2051 pada fasa pertama juga terletak pada aspek sosiobudaya, dengan program induknya adalah 'pengharmonian hubungan antara kaum dan agama, penekanan nilai hidup beragama dan adab timur.'

Penekanan WINS 2051 terhadap pembinaan nilai insan dan beragama sebagai tunjang kesejahteraan sesebuah negara adalah sesuatu yang istimewa kerana kebanyakan pelan kemajuan negara yang sedia ada di Barat mahupun Timur hanya memberi penekanan kepada nilai ekonomi serta fizikal semata-mata. Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam siri akan datang.

4. Firman Allah SWT:

الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ

Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. [Quraysh:4]

Ayat ini adalah penjelasan kepada orang Quraisy yang diseru untuk menyembah Allah. Menyebutkan tentang dua nikmat besar yang diberikan Allah kepada mereka selama ini iaitu selamat dari kelaparan dan ketakutan.

Secara tidak langsung, ayat ini juga telah memberi pengajaran bahawa hakikat kesejahteraan sesebuah negara bergantung kepada dua aspek, iaitu kecukupan bekalan makanan, dan keamanan. Jika kedua aspek ini dicapai, maka rakyat akan hidup senang dan tenang. Aktiviti seharian juga akan berjalan lancar. Masalah yang berlaku dalam negara hari, dan mana-mana negara yang bermasalah di dunia ini adalah kerana kepincangan pada dua aspek yang berkait antara satu sama lain ini.

Pertama kerana terdapat golongan yang tidak cukup makan, golongan fakir miskin yang tidak mampu menyara hidup. Faktornya kerana peningkatan kos sara hidup akibat pengurusan ekonomi yang tidak bijak. Kemiskinan mengheret manusia kepada jenayah demi untuk meneruskan kehidupan. Timbul jenayah, keamanan pula yang terjejas.

Kedua adalah masalah keamanan. Ada negara yang dilanda peperangan. Ada negara yang dihantui dengan kadar jenayah yang tinggi. Negara yang tidak aman akan menjejaskan aktiviti ekonomi, menyebabkan pengangguran dan akhirnya meningkatkan kadar kemiskinan.

Maqasid Syariat dalam pentadbiran negara Islam adalah bagi menangani kedua faktor ini. Justeru WINS 2051 menjadikan ayat ini sebagai rujukan dasar sebelum meneroka khazanah-khazanah syariat yang lain bagi menjayakan kedua faktor ini. Kerana itulah kebanyakan program-program induk WINS 2051 seawal fasa pertama menekankan berkenaan pengurusan ekonomi dan sosial, membasmi kemiskinan, kedaulatan makanan, memerangi jenayah, dan mempertingkatkan tahap keselamatan luar dan dalam negara.

Disamping empat ayat rujukan utama ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang dijadikan panduan. Kesimpulannya, WINS 2051 berpegang teguh kepada al-Quran dan sumber syariat Islam yang lain dalam menguruskan negara. Tidak ada satupun yang direncakan bercanggah dengan peruntukan al-Quran. Kerana ianya adalah sebaik-baik rujukan dan sebaik panduan.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan. [Al-Hadid:25]

Alang Ibn Shukrimun
2 Safar 1439 / 22 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 22/10/2017

PERCAYALAH...
Selagi PAS teguh dengan dasar dan prinsip Islam, Allah akan melindungi perjuangan ini.

Percayalah...
Ahli dan penyokong PAS berada di medan ini bukan kerana pemimpin itu atau pemimpin ini yang memimpin, tetapi kerana pemimpin tersebut memimpin atas keimanan dan bekerja untuk menegakkan keimanan.

Percayalah...
Pemimpin boleh datang dan pergi sebagaimana pengikut juga datang dan pergi. Ramai sudah pemimpin besar PAS yang pergi tapi bahtera ini terus belayar meredah samudera perjuangan.

Percayalah...
Arus perjuangan Islam bagaikan air yang mengalir turun dari tempat tinggi. Jangan disekat kerana ia akan melimpah lalu membanjiri kawasan yang luas.

Dr Azman Ibrahim
22 Oktober 2017 - HARAKAHDAILY 22/10/2017

DAKWAH menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan gaya hidup umat Islam yang perlu dipertahankan. Bahkan ia merupakan agenda penting, sebagai syarat untuk menjadi umat terbaik. Allah berfirman:
 
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ 
"Kalian adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah" (Ali-Imran: 110)
 
Konsep Dakwah
 
Hari ini ramai yang memberi fokus kepada pendekatan dan kreativiti dakwah, hingga terlupa untuk memperhalusi soal konsep serta prinsip dakwah. Akhirnya yang dipentingkan adalah persembahan dakwah, bukan isi dakwah itu sendiri.
 
Dakwah Adalah Pendidikan
 
Para Nabi diutuskan oleh Allah untuk membetulkan umat masing-masing yang kian rosak. Kaedah ancaman amat penting demi meruntuhkan tembok jahiliyyah yang menebal. Seperti yang diwartakan oleh Allah ketika fasa awal dakwah Nabi:
 
قُمْ فَأَنذِرْ
"Bangunlah dan berikan ancaman." 
(al-Muddatthir: 2)
 
Berikut beberapa cara dakwah Nabi:
 
• Tidak mengasingkan antara elemen galakan dan ancaman. Tidak mensekularkan antara amar ma'ruf dan nahi munkar.
 
• Mengkhabarkan perkara yang perlu diketahui oleh masyarakat. Bukan bercerita perkara yang tidak penting. Keperluan diukur berdasarkan kepada faktor kerosakan sesebuah masyarakat.
 
• Tidak menjadikan kehendak masyarakat sebagai penentu kepada pembawakan dakwah yang ingin disampaikan. Bermakna sama ada masyarakat mahu atau tidak mahu, jika ia penting, maka para Nabi tetap akan mengutarakan perkara yang mustahak tersebut walaupun berisiko untuk dibenci ramai.
 
• Tidak menjadikan kesukaan atau kebencian masyarakat sebagai parameter kejayaan dakwah mereka. Yang penting adalah kesedaran. Maka semua Nabi berjaya dalam dakwah, walaupun ada dalam kalangan mereka yang dilihat mempunyai pengikut yang amat sedikit.
 
• Tidak meletak harga kepada usaha dakwah mereka. Tidak terhutang budi. Bebas tanpa kawalan golongan berkepentingan.
 
• Berperingkat-peringat dalam berdakwah. Pada masa yang sama tidak berlengah untuk menaik-taraf isi kandungan dakwah. Hasilnya Nabi berjaya menyedarkan manusia dari jahiliyyah kepada Islam hanya mengambil masa 23 tahun sahaja.
 
Bukan Berkonsepkan Perniagaan
 
Pada hari ini, dakwah lebih terarah kepada aplikasi konsep perniagaan. Asas kepada konsep perniagaan adalah 'demand' (permintaan) & 'supply' (bekalan). Jika konsep ini digunapakai dalam dakwah, maka menghasilkan senario berikut:
 
• Pendakwah akan memilih topik, gaya dan pendekatan berdasarkan perkara yang digemari oleh masyarakat. Bermaksud jika sesebuah topik tidak digemari oleh masyarakat, maka pendakwah akan meninggalkannya sungguhpun ia amat mustahak.
 
• Menjadikan kesukaan dan kebencian masyarakat sebagai parameter kejayaan dakwah. Seperti konsep perniagaan, 'customer is always right'. Begitu juga halnya dalam topik ini, mereka menjadikan respon masyarakat sebagai 'juri' yang menentukan markah pendakwah.
 
Kisah Nokia Tidak Laku
 
Antara bukti bahawa kebanyakan orang memahami dakwah dengan konsep perniagaan, bukan konsep pendidikan adalah, denga kerap mengungkit kisah Nokia yang tidak laku.
 
Syarikat telefon bimbit tersohor itu jatuh tersungkur kerana dikatakan enggan mengikuti permintaan pasaran semasa yang inginkan perubahan. Nokia degil, maka jatuh.
 
Lalu kisah Nokia tersebut dijadikan qias, jika dakwah kita tidak berubah seiring dengan 'market' hari ini, maka kita turut jatuh tersungkur.
 
Momokan tersebut walaupun hakikatnya hanyalah qias kontradik, namun ia amat meragut kepercayaan pendakwah kepada mesej dakwah rabbani. Lantas, berjaya menghanyutkan pendakwah agar sentiasa mengikut 'market'. Maka secara tidak sedar, mencicirkan prinsip dan isi kandungan dakwah yang penting. Menjadikan pendakwah merasa terlalu bimbang takut ketinggalan bersaing dalam pasaran dakwah.
 
Siapa Ikut Siapa?
 
Ekoran dari kebingungan di atas, menyebabkan pendakwah akan mengikut segala kehendak masyarakat. Bukan masyarakat yang terkesan dan mengikuti pendakwah.
 
Maka yang berubah sedikit demi sedikit adalah pendakwah. Sedangkan sasaran dakwah mereka kekal lalai dan tidak beringat.
 
Kita Semua Pendakwah
 
Kesan dari ajaran sekular, melahirkan kefahaman kononnya hanya golongan yang digelar pendakwah sahaja dipertanggungjawabkan untuk berdakwah. Walhal, sesiapa yang mengaku Islam semuanya bertanggungjawab menyebarkan Islam.
 
Selari dengan itu, kita juga perlu faham bahawa Nabi dibenci bukan kerana motivasi amar makruf. Sebaliknya Baginda dibenci kerana melangsungkan mesej nahi munkar.
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang - HARAKAHDAILY 22/10/2017